Skip to main content

Demokrasi : Apa Yang Kita Cari?

Demokrasi
Apa Yang Kita Cari?

1. Saya sangat bersetuju dengan kenyataan Tun Mahathir di bawah. Sesetengah demokrasi tidak membawa apa-apa kemakmuran kepada sesebuah negara yang mengamalkannya. Dalam konteks Malaysia, saya percaya demokrasi tidak banyak membawa kejayaan dan ketenangan kepada rakyatnya yang berjumlah 27 juta ini. Kewujudan parti pembangkang yang gilakan kuasa dan tidak memperdulikan undang-undang - merosakkan lagi demokrasi yang sedia ada.

2. Di Malaysia, pada hemat saya tidak sesuai dijalankan sistem demokrasi bebas tanpa sempadan. Seharusnya demokrasi di negara ini dipimpin dan ditunjukkan arahnya. Kita sudah dapat melihat keadaan Malaysia yang porak-peranda selepas PRU ke-12, apabila Pakatan Pembangkang mendapat kuasa di beberapa buah negeri - mereka menjadi gila dan tidak ingat dunia. Mereka lebih banyak mengganggu kerajaan daripada membantu memakmurkan negara. Demokrasi yang mereka inginkan, hanyalah demokrasi untuk bebas bersuara dan memburukkan parti pemerintah, dan bukan untuk memakmurkan rakyat. Baca pandangan Tun Mahathir di bawah :

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Tidak wujud globalisasi sebenar sekiranya diskriminasi dan sekatan selektif masih dikenakan terhadap sesetengah negara, kata Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau berkata sekiranya interpretasi semasa mengenai dunia tanpa sempadan dan global adalah merujuk kepada pergerakan bebas modal, teknologi dan keupayaan untuk mengeksploitasi sumber; negara-negara miskin juga seharusnya dibenarkan melabur di negara-negara kaya.

"Keadaan sekarang nampak berat sebelah kerana interpretasinya hanya merujuk kepada satu pihak. Kita diberikan idea, mereka menginterpretasinya dan kita terpaksa melaksanakannya. Begitu juga keadaannya dengan politik dunia. Seseorang kemuka idea, memperkenalkannya, dan kita dimestikan untuk menerimanya tanpa apa-apa bantahan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya di Forum Antarabangsa mengenai "Pembentukan Warga Global: Liberalisasi Media dan Realiti Baru Politik" yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 di sini hari ini. "Kita perlu beritahu diri, apabila timbul satu idea dan konsep baru, mari kita duduk dan berbincang mengenai interpretasi keseluruhan idea itu, supaya ia memberi manfaat kepada setiap negara," katanya.

"Kita perlu memiliki hak yang sama untuk berbincang mengenai idea-idea baru. Setiap orang seharusnya dibenarkan memiliki interpretasi sendiri sebarang idea baru," katanya. Merujuk kepada demokrasi, Dr. Mahathir berkata banyak hipokrasi merupakan aspek yang dicetuskan oleh realiti politik baru dalam perkara ini.

"Hari ini ada pihak yang sanggup membunuh orang demi demokrasi, itulah yang berlaku di Iraq, untuk menjadi lebih demokratik, anda terpaksa membunuh orang terlebih dahulu. Ia adalah pemahaman mengenai betapa hebatnya demokrasi sehingga anda perlu membunuh orang bagi memaksa demokrasi ke atas mereka.

"Tapi demokrasi bukan agama, ia bukan datangnya dari Tuhan. Ia datang dari ahli falsafah yang sentiasa memikirkan bagaimana untuk menjadikan keadaan lebih baik. Namun begitu ia biasanya baik buat mereka sahaja, bukan untuk setiap orang," tambahnya. "Kenapa (jajah) Iraq? Saya rasa China tidak demokratik, tapi kenapa tidak berperang dengan China? Itu adalah gambaran idea dan realiti keadaan. Kebanyakan orang demokratik merasakan mereka yang kuat itu selalunya di pihak yang benar," katanya.

Beliau berkata hari ini dunia semakin tidak demokratik, di mana sesetengah negara mengamalkan demokrasi dalam negara, tapi bukan antara negara. Dr. Mahathir berkata inilah realiti hari ini dalam dunia politik, di mana ada persaingan antara kata sepakat Washington, dan kata sepakat Beijing. "Ada sebuah negara miskin, tapi dengan mengamalkan kata sepakat Beijing dengan betul, ia menjadi negara kedua terkaya dalam dunia dengan AS$2.3 trilion simpanan. Ini membuktikan bahawa negara bukan demokratik juga boleh memberikan kehidupan yang baik kepada rakyatnya," katanya.

"Tidak ada demokrasi di China, bukan jenis demokrasi sebagaimana yang kita faham, tapi cuba tengok kepada kemajuan yang dibawa oleh sistemnya. Walaupun ia kerajaan authoritarian, mereka menukar pemimpin mereka secara aman. Dalam jangka masa panjang, Beijing mungkin menang," kata Dr. Mahathir.

Katanya sesetengah demokrasi tidak dapat dijayakan kerana rakyat tidak dapat menetapkan pendirian mereka. "Kita lihat banyak negara demokratik, di mana pemimpin bertukar setiap dua tahun, tiada kemajuan langsung. Di sesetengah negara, demokrasi sebenarnya menghalang kemajuan dan menjadikan negara tidak stabil," tambahnya.

Demokrasi juga gagal di beberapa negara kerana ia tidak dapat menunaikan apa yang dijanjikan. "Sistem pilihan raya contohnya, jika anda mahukan 100 peratus majoriti sebelum anda bentuk sebuah kerajaan, akhirnya anda tidak akan ada kerajaan," kata Dr. Mahathir. Katanya itu sebabnya negara perlu berpuas hati dengan kerajaan majoriti, di mana walaupun kerajaan majoriti pastinya tidak dapat memuaskan hati minoriti, namun peruntukan khusus buat kaum minoriti tetap disediakan. - Bernama

"Jangan fikir dengan menukar kerajaan segalanya akan berubah. Sudah tentu semasa pilihan raya anda buat banyak janji, terutama sekiranya anda tidak menjangka untuk menang. Pembangkang sebenarnya akan berbuat perkara yang sama dengan apa yang dilakukan kerajaan sekiranya mereka berkuasa," tambahnya.

— BERNAMA SOR HAZ KHY AZH

Comments

joegrimjow said…
parti pembangkang melihat kerajaan yg celarukan demokrasi.

kerajaan melihat pembangkang yang jahanamkan demokrasi

win win lose lose
azhar said…
Demokrasi = kerajaan rakyat.

mana mana wakil yang dipilih rakyat pembangkang /kerajaan yang membawa aspirasi rakyat telah mengamalkan demokrasi dengan baik.

Demokrasi meraikan perbezaan pendapat.Menyekat atau mahukan hanya 1 pendapat sahaja didengar merosakkan perjalanan demokrasi.
Kenn said…
Kita cari definasinya... walaupun secara bersantai..seperti ini:-

KaBel In My Mind

he..he..he..

Pilihan Pembaca

Roti Canai Banjir dari UIA

ROTI CANAI BANJIR DARI UIA Saya agak sibuk dalam minggu ini, namun demikian ada beberapa perkara menarik yang ingin saya katakan, dan ia sangat penting bagi melihat ke mana Malaysia selepas ini, hal ini terlintas dalam kota fikiran saya tatkala saya selesai minum pagi dan makan roti canai banjir di UIA pagi tadi. Antaranya : 1. Sultan Azlan mendakwa bahawa rakyat di negara ini lebih gemar berpolitik daripada memikirkan pembangunan negara - saya sangat bersetuju. Bagaimana penyelesaiaanya? 2. Tahap pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah dan membimbangkan. Apa yang harus dibuat? 3. Terdapat segelintir individu/golongan yang lebih mementingkan kuasa dan politik, sehingga sanggup melakukan apa-apa sahaja agar cita-citanya tercapai. Siapakah mereka? 4. Pemilihan pucuk pimpinan PAS pada bulan Jun ini. Siapa pilihan kita? 5. Jambatan Bengkok atau Lurus? Apakah komen Datuk Seri Najib? 6. Transformasi pendidikan - Apa kata rakyat? 7. PPSMI - Bagaimana penyudahnya? 8. ...
MONOLOG AZLI SHUKRI Bab 10 : Muhammad Azli Shukri Lagi! Saya agak sukar untuk menulis Monolog ke-10 saya pada kali ini. Saya merasakan inilah monolog yang sangat susah untuk saya meluahkannya. Saya tidak tahu, bagaimanakah harus saya sampaikan monolog saya pada kali ini? Apakah saya harus menulis atas prinsip saya sebagai seorang wartawan? Atau sebagai seorang ahli politik? Atau sebagai seorang penulis bebas? Atau sebagai seorang editor? Semua ini menyukarkan saya untuk menulis monolog saya yang terakhir pada bulan ini. Saya merasakan bahawa saya harus berterus terang dengan jujur dan amanah, tanpa rasa takut dan kesal, kerana kebenaran dan jihad harus ditegakkan dengan segala kekuatan yang ada. Yang pasti, kebenaran tidak boleh disembunyikan lagi. Dan Sesungguh, untuk menjadikan kejahatan bermaharajalela, cukuplah sekadar kebenaran mendiamkan diri! Saya tidak berupaya membiarkan itu semua berlaku. Dan untuk kali ini saya harus bercakap benar dengan nada yang berterus terang. A...

UMNO 2009 : Tolong Jangan Baca Entri Ini, Nanti Kena ISA?

FROM NEW HOPE TO ONE HOPE Oleh Muhammad Azli Shukri Pagi ini Tun Mahathir telah menemui Perdana Menteri Malaysia yang baru iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi menyampaikan borang kemasukan semula sebagai ahli UMNO di Putrajaya. Serentak dengan itu, anak beliau Datuk Mokhzani Mahathir juga akan bertindak sama kembali kepada UMNO. Dan pada Isnin ini, Tun Mahathir dijangka turun berkempen di Dataran PPP, Batu 2 1/2 Simpang, Taiping untuk calon BN bagi kawasan Bukit Gantang. Semalam, sewaktu menyampaikan ucapan penghargaan kerana dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6 di kaca television, Datuk Seri Najib mengumumkan pembebasan seramai 13 orang tahanan ISA dan pada masa yang sama menarik semula sekatan penerbitan terhadap akhbar Harakah dan Suara Keadilan yang digantung permit penerbitannya selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta. Malah, Datuk Seri Najib juga berjanji akan mengkaji semula akta ISA yang digunapakai selama ini. Saya secara peribadi melihat Datuk Seri Najib...