Saya agak sukar untuk menulis Monolog ke-10 saya pada kali ini. Saya merasakan inilah monolog yang sangat susah untuk saya meluahkannya. Saya tidak tahu, bagaimanakah harus saya sampaikan monolog saya pada kali ini? Apakah saya harus menulis atas prinsip saya sebagai seorang wartawan? Atau sebagai seorang ahli politik? Atau sebagai seorang penulis bebas? Atau sebagai seorang editor? Semua ini menyukarkan saya untuk menulis monolog saya yang terakhir pada bulan ini. Saya merasakan bahawa saya harus berterus terang dengan jujur dan amanah, tanpa rasa takut dan kesal, kerana kebenaran dan jihad harus ditegakkan dengan segala kekuatan yang ada. Yang pasti, kebenaran tidak boleh disembunyikan lagi. Dan Sesungguh, untuk menjadikan kejahatan bermaharajalela, cukuplah sekadar kebenaran mendiamkan diri! Saya tidak berupaya membiarkan itu semua berlaku. Dan untuk kali ini saya harus bercakap benar dengan nada yang berterus terang.
Agak lama saya tidak mengemas kini blog sejak seminggu lalu, lantaran terlalu sibuk dengan tugas di pejabat, tambahan pula terlibat dengan Mesyuarat Agung Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar yang berlangsung selama dua hari yang bermula pada 26 dan 27 Oktober lalu. Ramai rakan blogger yang mengetahui, saya merupakan perwakilan pemuda UMNO Bahagian yang secara terang-terangan menyokong Datuk Mukhriz Mahathir sebagai calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia, namun demikian, perkembangan yang berlaku adalah sebaliknya, apabila Khairy Jamaluddin (KJ) menang tanpa bertanding di Bahagian Kuala Kangsar. Ramai yang bertanya, ke mana perginya Azli Shukri? Mengapa tidak mencalonkan Datuk Mukhriz? Apakah Azli Shukri sudah dibeli oleh KJ dan konco-konconya? Sehinggakan KJ boleh menang percuma di Bahagian Kuala Kangsar. Dan bukankah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Tan Sri Rafidah Aziz sendiri amat membenci KJ dan menulis surat kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tentang tingkah laku KJ yang tidak menyenangkan banyak pihak? Jadi bagaimanakah KJ boleh menang tanpa bertanding sebagai calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia di Kuala Kangsar?
Nampaknya, permainan KJ dengan menggunakan masalah teknikal masih menjadi senjata utama untuk terus melemahkan para pencabarnya. Ternyata, cara tersebut amat berkesan, sehingga saya turut tertipu dengan teknik yang sangat tidak demokratik, bahkan cara tersebut tidak ubah seperti seorang pengecut yang takut terhadap realiti dan bayang-bayang sendiri. Saya merasakan, teknik yang sama telah digunakan oleh KJ dan konco-konconya di persidangan perwakilan UMNO Bahagian lain, demi memastikan beliau cukup kuota pencalonan bagi melayakkan dirinya bertanding untuk kerusi panas Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Melihat wujudnya penyokong Mukhriz yang memakai lencana yang terpapar gambar Tun Mahathir Mohamad dengan slogan “Perjuangan Belum Selesai”, sedikit sebanyak menimbulkan rasa bimbang kepada penyokong yang ditaja oleh KJ. Lantaran itu, sesuatu harus dilakukan, agar nama Mukhriz tidak akan dicalonkan dalam persidangan kali ini.
Saya agak terkilan (bukan kecewa) dengan cara KJ dicalonkan dan kemudian diisytiharkan menang tanpa bertanding, kerana masalah teknikal yang seharusnya tidak terjadi seperti itu. Jika sekali pun kita menyokong KJ, bukakanlah medan peperangan dengan adil dan serahkan kepada para perwakilan yang menentukannya. Namun demikian, hal tersebut tidak terjadi. Pada hemat saya, KJ menang dengan penuh tipu daya.
Sewaktu Pengerusi Tetap Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Kangsar saudara Ahmad Bajuri Rahman, meminta para perwakilan yang sudah selesai mengundi untuk memilih Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian, agar bolehlah mereka menjamu selera dengan makanan tengah hari yang disediakan, di samping menunaikan solat Zuhur, tiada sesiapa pun yang menyangka, masa yang diperuntukkan untuk makan dan solat Zohot tersebut hanyalah sekitar setengah jam, kerana masa yang sebenar tidak diberitahu. Namun demikian, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Setelah selesai sahaja pengundian AJK Pemuda UMNO Bahagian, rupa-rupanya agenda mesyuarat telah diteruskan, dengan jumlah perwakilan yang berada di dalam Dewan Hargreves, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) itu boleh dikira dengan jari. Di sisi lain pula, hampir seluruh AJK Pemuda UMNO Bahagian ketika itu adalah penyokong KJ, termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO Kuala Kangsar saudara Azizul Rahim.
Bagi saya, itu tidak ada masalah, sama ada mahu menyokong KJ, atau pun Mukhriz itu hak masing-masing. Yang dikesali ialah ketiadaan pertandingan serta seolah-olah ingin memenangkan KJ tanpa bertanding. Inilah yang menyebabkan penyokong Mukhriz sakit hati dan benci! Dalam soal ini, saya fikir sikap Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Dato’ Ramly Zahari harus dipuji. Walaupun beliau pada asalnya telah menang tanpa bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, setelah pencabarnya Dato’ Ahmad Jaafar hilang kelayakan bertanding ekoran dua buah cawangan UMNO yang bersidang tidak mengikut etika yang seharusnya dituruti.
Namun demikian, di saat-saat akhir setelah sebuah cawangan tersebut bersidang kembali serta mencalonkan nama Dato’ Ahmad Jaafar sebagai Ketua UMNO Bahagian, sekali gus melayakkan beliau untuk bertanding jawatan tersebut, maka dengan sikap yang profesional, Dato’ Ramly mengisytiharkan pada pagi persidangan tersebut, bahawa beliau tidak lagi diklasifikasikan sebagai pemenang tanpa bertanding, sebaliknya akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian yang disandangnya itu, ekoran Dato’ Jaafar sudah layak bertanding bagi merebut jawatan tersebut pada saat-saat akhir.
Walaupun Datuk Jaafar tewas, namun sikap Datuk Ramly yang sanggup mengimarakkan demokrasi dalam UMNO Bahagian Kuala Kangsar, harus dipuji, kerana sebelum ini Dato’ Ramly tidak pernah diuji dan ditentang oleh sesiapa pun. Oleh sebab itu, setelah beliau menang, kita harus terima hakikat tersebut.
Namun begitu, hal ini tidak terjadi dalam persidangan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar, setelah semua perwakilan keluar untuk makan dan solat Zohor, kesempatan tersebut diambil oleh para penyokong KJ untuk meneruskan agenda memilih Ketua Pemuda UMNO Malaysia dengan mencalonkan nama KJ yang kemudiannya disokong dan seterusnya mencadangkan agar “Cadangan Ditutup”. Semua ini berlaku dengan amat pantas, malah ketika terdapat perwakilan yang cuba mencadangkan nama Mukhriz (kerana perwakilan tersebut hadir lewat), cadangan tersebut tidak diterima lagi, beralaskan kepada "cadangan sudah pun ditutup" dan pemilihan sudah pun selesai. Segala bantahan tidak akan dilayan.
Saya ketika itu, masih tidak menyedari bahawa mesyuarat sudah pun berjalan dan sebahagian besar perwakilan yang hadir pun tidak mengetahui agenda tersebut (kerana terdapat perwakilan yang pergi ke tandas, solat dan makan tengah hari). Segala-galanya berlaku dengan amat pantas, dan apabila saya kembali ke dewan, keputusan sudah pun selesai dan agenda yang berikutnya ialah membahaskan usul. Saya agak terkilan, bahawa cara ini digunakan demi memberi kemenangan kepada KJ. Seharusnya kita lebih telus dan ikhlas. Saya percaya, cara yang sama juga dilakukan di bahagian-bahagian lain, kerana bimbang KJ tidak cukup pencalonan.
Pada malam tersebut, saya menelefon Azrin (Pegawai Media Datuk Mukhriz) untuk menceritakan kisah yang berlaku di Kuala Kangsar, malah saya juga menghantar SMS kepada Datuk Mukhriz, agar beliau tahu perkara yang sebenar. Rupa-rupanya kisah duka lara tidak hanya muncul di Kuala Kangsar, nun di Mesyuarat Pemuda UMNO PJ Utara, kubu kuat Datuk Mukhriz, ada kisah yang jauh lebih duka jika dibandingkan dengan kisah di Kuala Kangsar, apabila tanpa disangka-sangka nama Datuk Seri Khir Toyo dicalonkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia dengan kemenangan yang sangat menghairankan. Malah, Azrin juga gagal mempertahan jawatan AJK Pemuda Bahagian yang disandangnya sebelum ini. Bagaimanakah Khir Toyo boleh menang? Sedangkan Pemuda UMNO PJ Utara merupakan kubu paling kuat Datuk Mukhriz. Apakah yang berlaku sebenarnya? Maka jelas, ada unsur politik wang yang bertaburan di sana. Apakah kita tidak tahu bahawa duit yang kita ambil itu adalah haram hukumnya? Dan tubuh yang tumbuh dengan duit yang haram - maka neraka jahanamlah jawapannya?
Yang pasti, kumpulan Datuk Mukhriz harus bekerja lebih kuat, melawan arus politik wang dengan kebijaksanaan, menghimpun ahli UMNO yang ikhlas dan bijak membaca hati budi. Sesungguhnya, untuk menghancurkan kebatilan, kita tidak memerlukan bala tentera yang ramai, memadai tentera yang sedikit, tetapi istiqamah dan bergantung harap kepada Allah. Percayalah, Datuk Mukhriz akan menang, walaupun ramai yang meraguinya!
Gambar : Penulis selepas mewawancara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SKALI, Tengku Farith Rithaudden di pejabatnya.