KUALA LUMPUR 29 Mei - Dewan Pemuda Pas berikrar untuk mempertahankan institusi kepimpinan ulama kerana ia merupakan satu gagasan yang telah menjadi sumber kekuatan kepada parti itu selama ini. Ketuanya yang baru, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, Pemuda juga mahu kepimpinan ulama diperkasakan lagi sejajar dengan kedudukan Pas dalam politik arus perdana yang kini disifatkan semakin kukuh. Justeru kata beliau, pihaknya akan memastikan hanya individu atau satu kumpulan kolektif yang memenuhi tiga kriteria kepimpinan ulama iaitu beriman, bertaqwa dan berilmu sahaja diberi mandat menerajui Pas. '
'Pemuda amat mengambil berat tentang perkara ini kerana ia melibatkan dasar yang ditetapkan dalam Islam. Islam telah menetapkan untuk menjadi pemimpin mereka perlu di kalangan orang yang beriman, bertaqwa dan berilmu. ''Ini soal asas dalam pemerintahan Islam. Mengenai latar belakang pendidikan, itu soal lain kerana bagi Pemuda, tiga kriteria perlu dipenuhi terlebih dahulu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Nasrudin sebelum ini telah diumumkan sebagai pemimpin tertinggi dalam Dewan Pemuda Pas selepas beliau berjaya memenangi jawatan itu tanpa bertanding. Pengumumannya telah dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Datuk Mustafa Ali pada satu sidang akhbar 26 Mei lalu. Sementara itu Nasrudin berkata, beliau telah menggariskan tiga perkara untuk memantapkan lagi Pemuda terutama dalam memastikan keberkesanannya sebagai barisan hadapan parti.
Pertama beliau berkata, menjadikan Islam sebagai teras perjuangan. ''Saya tidak akan berkompromi dalam perkara ini kerana Pas terbina atas nama Islam dan Islam merupakan teras perjuangan kami. Islam juga membentuk kepimpinan ulama dalam parti. "Kami tidak akan menerima sesuatu yang selain daripada Islam,'' katanya. Kedua, beliau dan rakan-rakan akan membuat gerakan pengukuhan dalaman parti dengan bermatlamatkan tiga objektif utama iaitu akidah, gerakan berasaskan kepada wadah perjuangan Islam tulen serta keperibadian anggota yang soleh. "Ketiga, ialah mengemas kini jalinan hubungan dengan pihak luar parti supaya perjuangan Pas serta dakwah parti kami berjalan dengan baik,'' katanya.
Ulasan Saya : Jika benar iltizam yang dikatakan oleh Nasrudin itu maka saya minta agar beliau menerima cadangan saya ini :
1. Pastikan PAS menjadi badan dakwah yang kukuh, seperti mana al-Arqam pada suatu ketika dahulu. Adakan KPI untuk Pemuda PAS, yakni salah satu KPI mereka adalah membawa dakwah Islam di pedalaman Sabah dan Sarawak, Islamkan sebanyak mungkin orang-orang asli di sana. Buatkan juga sasaran berkenaan berapa ramai ahli-ahli PAS yang akan berhenti menghisap rokok pada setiap tahun atau pada setiap bulan atas kesedaran bahawa merokok adalah jelas hukumnya iaitu haram. Sasarkan juga berapa ramai ahli DAP yang akan masuk Islam pada setiap tahun, serta pastikan program dakwah kepada ahli-ahli DAP tentang Islam sentiasa berjalan sepanjang masa, dan bukan semata-mata bekerjasama dengan DAP dalam soal kepentingan politik sahaja. Islamkan juga mereka, jika benar PAS mahu menegakkan Islam.
2. Nasrudin juga harus berani menegur dan bercakap benar kepada para penceramah PAS bahawa membuka aib pemimpin UMNO dalam ceramah-ceramah politik mereka adalah dosa besar, dan tidak boleh dihalalkan sama sekali. Jika pemimpin PAS mahu menasihat pemimpin yang zalim ada kaedah dan caranya, dan bukan cara yang diamalkan oleh Mat Sabu dan Mahfuz Omar selama ini.
3. Beriman, Bertaqwa dan Berilmu - ini syarat yang ditetapkan oleh Nasrudin, ia sangat jelas dan merupakan syarat generasi salaf-as soleh, namun demikian siapakah yang akan memantau pemilihan Ketua Pemuda PAS Cawangan dan Kawasan? Nasrudin perlu tahu bahawa PAS di peringkat cawangan dan kawasan tidak terjaga dan terbela. Masih ramai yang menjadi ahli PAS dan memegang jawatan tertentu di peringkat cawangan dan kawasan masih meninggalkan solat serta isteri dan anak-anak mereka tidak menutup aurat. Mereka menyokong dan menjadi ahli PAS bukan atas dasar kesedaran Islam sebaliknya kerana membenci UMNO. PAS jangan lihat di peringkat pusat atau nasional sahaja, sekali-sekali turun padang, jangan syok sendiri kononnya mereka sudah sempurna. Berapa kali pemimpin PAS pusat turun ke Kuala Kangsar? Dan melihat para penyokong dan ahli-ahlinya di sana? Saya nasihatkan jika benar Nasrudin ikhlas, pastikan pemilihan Ketua PAS Cawangan dan Ketua Pemuda PAS Cawangan juga harus mengikut syarat beliau iaitu "Beriman, Bertaqwa dan Berilmu", barulah PAS akan benar-benar akan kukuh. Pada hari ini, PAS kelihatan kuat adalah kerana faktor kebencian orang terhadap UMNO, dan bukan kerana faktor dakwah atau kesedaran Islam yang dijalankan oleh PAS selama ini. PAS Harus sedar akan faktor itu semua.
4. PAS harus menghentikan permusuhannya dengan UMNO, seteruk-teruk UMNO, DAP jauh lebih teruk. Kena ingat ini semua. Jangan terlalu sibuk dengan politik dan kuasa, sebaliknya tanggungjawab untuk menyatukan umat Islam diketepikan. Semua sifat buruk sangka PAS kepada UMNO harus segera dikikis dan dihentikan. Utamakan Islam terlebih dahulu daripada kepentingan politik dan kuasa.
5. Rakyat mahu PAS menjadi badan dakwah yang lebih kemas dan mempraktikkan segala sunnah nabi dalam bentuk tindakan dan amalan. Para pemimpin PAS harus menunjukkan teladan yang baik. Perbuatan mencaci-maki pemimpin kerajaan harus diganti dengan mendoakan kepimpinan negara menjadi lebih baik. Jika ahli-ahli DAP boleh kita doakan agar hati mereka tertarik dengan Islam, apatah lagi dengan hati para pemimpin UMNO, ia lebih afdal dan mulia. Pemuda PAS juga harus bergerak seperti mana gerakan al-Arqam dahulu, berdakwah di shopping kompleks, di kaki-kaki lima bersama anak-anak muda, dampingi mat rempit sama ada di disko atau di kelab-kelab malam, berdakwah kepada para remaja di tempat-tempat maksiat dan sebagainya. Kita tidak mahu pemimpin PAS hanya pandai berceramah di masjid-masjid sahaja, tetapi apabila diminta berdakwah di pedalaman Sabah dan Sarawak atau di lorong Haji Taib, mereka beri pelbagai alasan. Kemudian, apabila jenayah dan maksiat meningkat semua salah kerajaan dan salah UMNO, tiada sedikit pun salah ahli-ahli PAS. PAS tidak sedar bahawa banyak juga maksiat dan jenayah dilakukan oleh ahli -ahli PAS dan penyokong mereka. Jika PAS mahu Islam, maka Islamkan PAS itu secara keseluruhannya. Baru betul. Jangan lihat sebelah mata sahaja.
6. Apabila Nasarudin berkata bahawa syarat untuk memilih kepimpinan PAS adalah berasaskan kepada syarat "Beriman, Bertaqwa dan Berilmu" saya mahu tambah sikit, ia tidak cukup bagi PAS jika itu syaratnya sahaja. Tambahan saya adalah, "Beriman, Bertaqwa, Berilmu dan Beramal". Maksudnya, tak cukup seseorang pemimpin PAS itu hanya beriman, bertaqwa dan berilmu semata-mata, sebaliknya ia mesti beramal dengan seluruh ajaran Islam. Tiada guna jadi pemimpin PAS jika masih beramal dengan sikap jahiliah seperti mengumpat pemimpin UMNO, menghina pemimpin UMNO, mencaci dan membuka aib pemimpin UMNO, merendah-rendahkan maruah pemimpim UMNO dan ulama-ulama UMNO. Ini semua bukan ajaran Islam. Sebab itu untuk menjadi pemimpin PAS tak cukup dengan beriman, bertaqwa dan berilmu sahaja. Itu syarat asas dan sesuai untuk UMNO, tetapi bagi parti seperti PAS ia harus ditambah dengan perkataan "beramal". Sebab PAS mendakwa bahawa mereka menjunjung sepenuhnya al-Quran dan as-Sunnah. Maka, semestinya para pemimpin PAS mempraktikkan segala suruhan al-Quran dan Sunnah nabinya. Dengan hal tersebut, barulah PAS boleh dipanggil parti Islam.
7. PAS tidak seharusnya meletakkan syarat "beriman, bertaqwa dan berilmu" hanya kepada sesiapa yang mahu memimpin parti tersebut, ia tidak akan tercapai sekiranya ahli-ahli PAS sendiri masih banyak yang tidak bertaqwa dan berilmu. Seorang pemimpin yang beriman, bertaqwa dan berilmu akan hanya dipilih andaikata seluruh ahlinya mempunyai ciri-ciri beriman, bertaqwa dan berilmu juga. Oleh sebab itu, saya cadangkan kepada Pemuda PAS , agar mereka membawa usul kepada PAS Pusat berkenaan syarat baharu untuk menjadi ahli PAS, iaitu mana-mana individu yang ingin menjadi ahli PAS , maka ia harus diselidik terlebih dahulu agar mempunyai ciri-ciri beriman, bertaqwa dan berilmu - jika ada syarat ini, barulah seseorang itu diterima sebagai ahli PAS, jika tidak ada, maka ia tidak layak menjadi ahli PAS. Tidak cukup hanya membayar yuran seringgit semata-mata mahu menjadi ahli PAS. Sebaliknya, PAS memerlukan ahli yang berkualiti dan bukan kuantiti. Hal ini penting jika PAS mahu memilih pemimpin yang beriman, bertaqwa dan berilmu pada masa akan datang. Oleh sebab itu, pastikan terlebih dahulu ahli-ahli PAS yang biasa benar-benar mempunyai ciri beriman, bertaqwa dan berilmu, barulah kepimpinan ulama mampu direalisasikan.
8. Saya nak tambah syarat bagi mana-mana ahli PAS yang berminat untuk memimpin PAS, tak cukup dengan syarat beriman, bertaqwa dan berilmu. PAS perlu menambah syarat tersebut menjadi sebegini, "Beriman, Bertaqwa, Berilmu, Beramal dan Bijaksana". Mengapa saya tambah "Bijaksana",? kerana kebanyakan pemimpin PAS mudah dimomok dan ditipu oleh Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin DAP. Padahalnya, inilah musuh-musuh utama PAS pada awal tahun 80-an dan 90-an. Saya doakan untuk masa yang akan datang pilihlah pemimpin PAS yang bijaksana, bukan bertaqwa semata-mata. Saya akan kupas dalam posting yang akan datang bagaimanakah Islam memilih pemimpin. Wallahualam.