
KEJAYAAN ADALAH DOSA
Mendengar khabar bahawa Puan Lee Sai Fa (Selina Lee) isteri kepada Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin (Sasterawan berbangsa Cina terkenal tanah air) akan bersara secara pilihan pada esok hari - sangat menggoncang hati nurani saya. Mungkin orang diluar daripada Dewan Bahasa dan Pustaka tidak mengenali siapakah Puan Lee Sai Fa kepada DBP, mungkin masyarakat awam lebih mengenali suaminya berbanding beliau sendiri.
Beliau telah memilih untuk bersara awal, dan meninggalkan DBP yang dicintainya lebih awal daripada sepatutnya, - seluruh warga DBP yang ikhlas dan jujur akan tetap merasakan kehilangan seorang bangsa Cina yang begitu pakar dalam bahasa Melayu , di samping mengabdikan diri kepada perjuangan bahasa Melayu - malah beliau yang juga merupakan salah seorang Munshi Dewan yang berkaliber dan sukar dicari ganti. Namun demikian, seperti sikap manusia biasa - semasa batang tubuh kita masih wujud di DBP tiada sesiapa pun yang peduli dan bersyukur, sebaliknya apabila kita mahu bersara, barulah kehilangan dirasai.
Puan Lee, atau Kak Selina, merupakan nama yang besar di DBP - diambil masuk bekerja di DBP atas kehendak orang atasan, daripada seorang guru biasa sehingga menjadi Pegawai Perancang Bahasa dan akhirnya mengemudi Jurnal Bahasa dan Malay Literature. Selama tujuh tahun berkhidmat di DBP - pelbagai ragam manusia dilihat dan dirakamnya - sesuatu yang lumrah dalam kehidupan ini. Namun begitu, rasa kecewa lebih banyak dirasai daripada rasa bahagia, khususnya sejak beberapa tahun belakangan ini.
Puan Lee - seorang yang pendiam, tetapi bisa kata-katanya, seorang yang kuat berpegang kepada moraliti dan amanah. Tidak mudah sesiapa pun yang mempengaruhinya, atau meracuni fikirannya. Seorang yang bebas dalam memberi pandangan dan buah fikiran, maka mungkin kerana itu jugalah, beliau kurang disenangi oleh "orang tertentu" di bahagiannya. Saya juga tidak terlepas daripada kritikan bisanya sebelum ini, maka adalah jelas beliau bercakap dari suara hati dan naluri sendiri, serta bukan dipengaruhi. Inilah pejuang bahasa yang harus dipuji dan bukan untuk dijual-beli.
Memang susah untuk bercakap perkara yang benar, manusia lebih suka mendengar cerita bohong dan kisah hantu di dalam Mastika daripada menerima kritikan membina, untuk bangsa dan bahasa tercinta. Golongan yang bercakap daripada hati nuraninya sendiri dan cuba berlaku jujur, akan segera dituduh sebagai pemecah belah kesatuan dan melaga-lagakan orang tertentu, sebaliknya, golongan yang hipokrit dan menikam kawan dari arah belakang akan diangkat dan dipuja sebagai editor yang terbaik.
Manusia jarang bersyukur, begitulah di DBP - cubalah tanya kepada Puan Lee, mengapa beliau bertekad membuat pilihan untuk bersara lebih awal, tanyalah hati nuraninya, dan jangan tuduh dengan mendakwa bahawa beliau dihasut untuk berbuat sedemikian. Lihatlah dengan mata hati dan bukan dengan menipu diri sendiri.
Dan fikir-fikirkanlah mengapa begitu ramai yang memilih untuk bersara lebih awal, tanyakan juga kepada En Razak Abu Bakar, bila pula beliau mahu bersara? Dan cubalah tanya kepadanya mengapa beliau mahu bersara dengan lebih awal? Tidak gembirakah bekerja dengan DBP? Atau kita kecewa dengan orang tertentu? Berapa ramai lagi yang mahu keluar daripada Bahagian M, dan soalnya mengapa mereka mahu keluar? Apakah yang sebenarnya tidak memuaskan hati mereka selama ini? Adakah wujud golongan yang akan bercakap dengan jujur dan benar? seperti mana jujurnya mereka bercakap di kedai bucu atau di kafe tingkat 5 DBP dan Dawama? Atau , segala yang diluahkan itu - hilang dan lenyap di tengah jalan menuju ke Mirama? Cuba tanya dan bertanya dengan jujur. Hentikan hipokrit diri sendiri. Bercakap berterus-terang dan bukan hanya berani bertutur dan mengherdik hanya di dalam Restoren Kancil semata-mata. Tiada sesiapa yang akan mendengar, segala ketidakpuashatian itu akan hanya tenggelam timbul dalam enaknya sambal bilis dan gulai tempoyak di Restoren Kacil atau di Jaya Jusco Taman Maluri.
Terlalu banyak yang hipokrit, bimbang jika bercakap secara jujur, akan dimaki-hamun pula nanti, mereka yang dulunya begitu berani mengangkat sepanduk untuk menegakkan kebenaran sehingga wajah tertera di dalam Harakah, kini hanya pandai mengangguk dan mengiya sahaja. Keberanian sudah hilang lantaran termakan hasutan. Padahalnya, golongan inilah yang dulunya sebegitu kuat meluahkan pelbagai ketidakpuashatian mereka terhadap pentadbiran dan pengurusan di Bahagian M.
Sama-sama kita berfikir, apakah yang sebenarnya kita mahu dalam kehidupan ini, mencari kebendaan sehingga menutup kebenaran, atau pun mencari keampunan dan menghancurkan kebatilan? Masihkah kita ingat lagi berkenaan pesanan, nasihat dan luahan yang telah diucapkan oleh arwah Penolong Editor Dewan Sastera yang sangat kita kasihi, Puan Rohaya Mohd Yussof sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dahulu? Masih ingat atau kita sengaja melupakannya. Berderai air mata kita mengalir, kononnya kita sudah insaf dan bertaubat - tetapi akhirnya? kita lebih suka menjadi hipokrit daripada bercakap perkara yang sebenar. Segala nasihat dan peringatan Puan Rohaya, semuanya menjadi habuk dan debu yang kita tiupkan bersama dari tingkat 20. Kita tidak melaga-lagakan sesiapan pun, kita hanya bercakap dari hal yang sebenar, dari hal yang hari-hari kita ucapkan dan kita mahu perkara yang selama tidak kita sukai akan segera diubah. Berkata jujurlah demi kepentingan Bahagian dan Dewan Bahasa dan Pustaka tercinta. Tiada maknanya jika kita berdegang-degang dan mengutuk dari arah belakang, tetapi akhirnya kita tewas dalam medan perjuangan yang sebenar. Saya malas untuk bercakap panjang. Nanti kononnya dituduh melaga-lagakan orang. Padahalnya, mereka yang berkata sedemikanlah yang selama ini melakukan perbuatannya melaga-laga orang lain.
Kepada Puan Lee, saya ucapkan selamat bersara, nasib kita berbeza, puan bertuah kerana dibentang pilihan sama ada mahu meneruskan perkhidmatan, ataupun sebaliknya. Semoga, puan lebih dihargai diluar sana. Sudah tiba masanya, kita melakukan sesuatu kerja dengan ikhlas dan bukan kerana takut dimarahi bos sendiri. Renung-renungkan coretan saya kali ini. Dan bagi mereka yang masih memendam rasa, fikirkan apa-apa yang telah kita ucapkan selama ini, apakah rasa tidak puas hati tuan-tuan dan puan-puan sekalian sudah berbaloi diluahkan selama ini? atau kita terus memendam rasa sehingga ke akhir hayat, jadikan teladan dengan apa-apa yang telah berlaku ke atas Puan Lee Sai Fa dan arwah Puan Rohaya, jadilah manusia yang jujur dan bukan hipokrit. Wallahualam. Selamat Bersara, Selamat Menyambut Hari Pekerja dan Salam Sejahtera.
Gambar : Puan Lee Sai Fa semasa berwajah jelita.