Skip to main content

DUN Galas Kembali Ke Tangan UMNO!


DUN Galas
Kembali Ke Tangan UMNO!


Secara peribadi, saya menyambut baik pelantikan Tengku Razaliegh sebagai pengarah pilihan raya kecil UMNO/BN untuk DUN Galas yang bakal diadakan Oktober depan. Ia bukan sahaja tepat, malah tidak mustahil UMNO mampu merampas kerusi DUN Galas daripada PAS. Baca tulisan JEFRI ZACHARIAH di bawah :

Keputusan paling bijak. Ini rumusan yang boleh saya buat bila mendapat tahu yang anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya UMNO/BN untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas. Benar, Ku Li adalah ahli politik yang penuh warna. Ada hitam, ada putihnya sehinggakan adakalanya saya pun keliru sama ada Ku Li ini orang UMNO, SEPARUH UMNO atau BUKAN UMNO. Tetapi dalam apa keadaan sekalipun, ketokohan putera raja ini tak boleh disangkal sama sekali.

Sejarah pencapaian dan kejayaannya, sama panjang dengan sejarah penglibatannya dalam dunia politik tanah air. Dari segi usia, beliau berusia 12 tahun lebih muda berbanding Tun Dr. Mahathir Mohamad dan 10 tahun lebih tua berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun begitu, Tengku Razaleigh yang lebih mesra dipanggil Ku Li adalah pemimpin UMNO yang lebih kanan berbanding Dr. Mahathir sewaktu di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak. Beliau terlebih dahulu dipilih sebagai naib Presiden UMNO. Saya difahamkan, sewaktu Tun Hussein Onn mengambil-alih teraju pimpinan parti dan negara setelah Tun Razak meninggal dunia secara mengejut di London pada 1976, beliau telah diminta oleh Tun Hussein Onn untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sebelum itu, Tun Hussein Onn telah bercadang melantik Tan Sri Ghazali Shafie (King Ghaz) sebagai timbalan beliau. Namun disebabkan Tan Sri Ghazali bukanlah salah seorang daripada Naib Presiden UMNO, maka 3 Naib Presiden telah meminta Tun Hussein Onn membatalkan niat itu dan meminta agar senioriti Naib-Naib Presiden UMNO dihormati.

Konsensus Tun Hussein dan 3 Naib Presiden itu kemudiannya sepakat agar Ghaffar Baba dipilih memandangkan kedudukannya sebagai Naib Presiden terkanan. Namun, pada waktu pagi sebelum pengumuman jawatan Timbalan Perdana Menteri dibuat, Ku Li sekali lagi dipanggil oleh Tun Hussein Onn.

Tun Hussein Onn mahu menukar keputusannya buat kali kedua. Ia suatu keputusan yang mengejutkan. Lebih mengejutkan apabila Tun Hussein Onn bercadang untuk mengumumkan Ku Li sebagai pengganti. Namun Ku Li dengan sifat rendah dirinya membantah cadangan itu. Beliau yang baru berusia 39 tahun mencadangkan agar pemimpin yang lebih berpengalaman dan dewasa daripadanya dipilih.

Oleh itu, beliau mencadangkan Dr. Mahathir. Pada masa itu, Dr. Mahathir masih lagi kawannya yang agak akrab. Maka, akhirnya Dr. Mahathir dipilih sebagai TPM manakala Ku Li telah dilantik sebagai Menteri Kewangan. Pada hujung pentadbiran Tun Hussein Onn, sekali lagi Ku Li dipanggil untuk suatu cadangan yang mengejutkan. Tun Hussein Onn bercadang untuk meletakkan jawatan atas alasan kesihatan dan mahu Ku Li Menggantikannya.

Sekali lagi Ku Li tidak bersetuju. Walaupun tiada peruntukkan dalam perlembagaan bahawa TPM secara outomatik menggantikan PM apabila berlaku kekosongan, namun dari sudut senioriti sebagai TPM, maka adalah wajar jika Tun Hussein Onn mempertimbangkan Dr. Mahathir sebagai penggantinya.

Tambahan pula, Ku Li merasakan bahawa masanya sebagai PM akan tiba jua memandangkan umurnya yang jauh lebih muda berbanding Dr. Mahathir. Disebabkan Ku Li bertegas untuk tidak menerima tawaran itu, maka akhirnya Tun Hussein Onn akur untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada Dr. Mahathir. Itu dari segi politik. Dari segi ekonomi, tak boleh disangkal lagi yang beliaulah antara pengasas kepada PETRONAS.

Ku Li berjaya mengambil resipi PERTAMINA Indonesia hasil hubungan rapat dengan Presiden PERTAMINA,General Ibnu Sotowo yang jauh berusia daripada Ku Li. Ibnu Sotowo begitu kagum dengan kebijaksanaan Ku Li biarpun dengan usia sebegitu muda, tetapi memiliki cita-cita besar sedangkan Malaysia hanya sekadar memiliki 'setitik'hasil minyak berbanding Indonesia.

Hari ini jika dibandingkan dengan Indonesia PETRONAS cukup tersohor dalam pencairan minyak di lebih 50 negara. Ku Li juga merupakan orang Malaysia pertama menemui Perdana Menteri China iaitu Chow En Lai dan merupakan arkitek terhadap merintisnya Persahabatan Malaysia-China 1974 yang membawa kejatuhan Parti Komunis Malaya.

Semasa Ku Li memimpin Bank Bumiputera, beliau telah menjemput Wong Am Pui dan Dato Khoo Kay Peng melatih kakitangan Melayu sehingga pukul 10.00 malam agar mahir dalam pengurusan bank. Pada waktu itu adalah sukar untuk mencari anak melayu yang tahu selok-belok menguruskan sebuah bank, pastinya ia memerlukan masa.

Ternyata hari ini anak Melayu bukan sahaja mampu menguruskan bank malah sudah mampu memiliki bank seperti TanSri Azman Hashim, Tan Sri Rashid Hussin dan lain-lain. Beliau juga menjadi Menteri Kewangan paling lama iaitu dari tahun 5 Mac 1976- Julai 1984 dan setiap tahun membentangkan belanjawan negara di Parlimen melalui siaran secara langsung oleh RTM.

Ketika itu, perkembangan ekonomi negara berkembang 6-8 peratus setahun. Tapak bangunan PWTC asalnya adalah milik Ku Li, tetapi demi untuk melihat bangunan UMNO tersegam indah dan gagah ditengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur, Ku Li sanggup serahkan pada UMNO.

Nah, atas segala jasa dan pencapaian ini, saya tak nampak kenapa Ku Li patut diketepikan dalam perjuangan untuk meneruskan survival UMNO di Kelantan, tanah tempat tumpah darahnya. Nyata keputusan yang diambil UMNO semalam memang tepat dan kena pada masanya. Hanya Ku Li yang boleh mengajar Pas cara berpolitik dan berjuang dengan betul. Hanya Ku Li yang boleh mengajar Pas bahawa berpolitik secara menghentam dan memfitnah tidak akan membawa Galas kemana-mana!

Comments

Anonymous said…
Tahniah TPM dan Umno kerana melantik KU LI, satu tindakan yg bijak setelah sekian lama saya melihat Umno Kelantan dalam kepincangan barulah nampak sinarnya.
Anonymous said…
Isu tuntutan wang royalti petroleum (sudah saman)akan bergema semula dengan lagi nyaring. Kelantan 95% melayu dan banyak potensi, apasal duk bagi dalih hujah undang-undang yg manusia sendiri buat, bukannya hukum Maha Pencipta.

DR NO
AMIR RAOF said…
pelik kenapa pemimpin yang cerdik seperti ku li tidak diangkat sebagai pemimpin. Kalau boleh biarlah dia meng dan buktikan kemampuannya
Anonymous said…
killing many birds with just one stone......smart decision PM/TPM

Pilihan Pembaca

Lagi Kisah Siti Nurhaliza : Mana Perginya Produk CTea?

Lagi Kisah Siti Nurhaliza Mana Perginya Produk CTea? Oleh Satu Hala (Malaysia Instinct) Inilah antara benda-benda yang buat sakit hati dengan orang kaya Melayu ni. Datuk K sanggup perabis RM66,550 untuk beli nombor plate KCT 1 untuk isteri tercinta, Datuk Siti Nurhaliza. Kononnya cintan maut habislah tu kan. Tak tahulah kot-kot Rozita Che Wan yang dulu orang kata dapat Mercedes dari Datuk K (lepas dah kahwin dengan Siti) pun akan dapat nombor plate yang sama. Gasaklah hal Rozita Che Wan tu. Yang penulis tertarik nak tulis ialah sikap orang macam Datuk K dan Siti Nurhaliza. Parasit adalah perkataan paling tepat. Tahu tak Siti Nurhaliza adalah pemohon pinjaman Tekun untuk bisnes barang solek Simply Siti. Kalau tak percaya, pergilah cek dengan Tekun. Pasti nama Siti akan terpacul. Sakit hati betul penulis dengan orang-orang macam ini. Dah tahu duit banyak, gunalah duit sendiri untuk berniaga, tak pun pinjamlah bank. Gi pinjam dengan Tekun tu buat apa? Mentanglah bayar ...

Wanita Makin Tidak Selamat?

WANITA MAKIN TIDAK SELAMAT? KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) menerima 25 aduan daripada isteri yang mengalami pelbagai bentuk keganasan seksual daripada suami masing-masing, tahun lalu, dengan sekurang-kurang dua mangsa diliwat. Presiden WAO, Meera Samanther, berkata bagaimanapun kebanyakan isteri terbabit enggan membuat laporan polis, antara lain kerana masih dibelenggu perasaan keliru sama ada pihak suami sebenarnya berhak atau tidak untuk memperlakukan mereka sedemikian. Selain itu, beliau berkata, ada juga mangsa yang tiada atau kurang mempunyai pendedahan mengenai perlindungan undang-undang bagi isteri yang menjadi mangsa penderaan seksual suami, di samping faktor tidak mahu perkara memalukan dalam rumah tangga mereka diketahui umum. Ulasan Saya : Saya rasa sangat sedih dengan keadaan ini. Allah menganugerahkan kita seorang isteri adalah untuk kita melayaninya dengan baik. Kebanyakan lelaki yang kurang pendidikan agama dan selalu menonton video lucah sering menjadikan...
MONOLOG AZLI SHUKRI Bab 6 : Sisi Gelap Kebenaran Salah satu kebodohan dan kejahilan ketara yang sering kita lakukan dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu isu yang diperdebatkan, ialah ketidakemampuan kita melihat isu tersebut dari disiplin ilmu lain, kegagalan itu – akhirnya membawa kita ke jurang kesesatan yang paling bahaya, bahkan menyebabkan kita terlalu mudah menjatuhkan sesuatu penilaian hanya berasaskan kepada latar belakang pendidikan yang kita terima. Umpamanya, isu kebebasan bersuara dan kebebasan untuk melakukan rapat umum dan berdemonstrasi, sering kali dilihat dari kaca mata perundangan semata-mata. Apatah lagi jika orang yang berbicara berkenaan isu tersebut merupakan lulusan undang-undang. Begitu juga apabila kita menyentuh soal ekonomi, kita sering melihat isu tersebut berasaskan kepada latar belakang pendidikan tinggi kita, dan jika kelulusan kita dalam bidang agama, maka isu tersebut hanya akan dilihat dari sudut agama semata-mata. Jarang kita memikirkannya di lu...