Tetamu Kehormat...

September 13, 2010

Antara TulisanTerbaik Ridhuan Tee Abdullah


Antara Rencana Terbaik
Ridhuan Tee Abdullah

Saya fikir ini merupakan antara tulisan Dr. Ridhuan Tee Abdullah yang paling baik dan terkesan. Sama-samalah kita menghayati dan mengambil iktibarnya. Wallahualam.

1. Kebelakangan ini kedengaran suara-suara sumbang ultra kiasu yang mahukan saya dan beberapa orang lagi, dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan, hanya kerana membangkitkan beberapa isu berkaitan agenda negara, yang semakin tidak dipedulikan, berbanding dengan agenda bangsa yang semakin mengasak. Specis ini lebih suka kita membuang terus jati diri negara ini kerana bagi mereka tidak penting, yang lebih penting adalah jati diri bangsa.

2. Bukanlah sesuatu yang pelik jika ada pihak polis yang mengeluarkan kata-kata “balik negeri” seperti yang berlaku baru-baru ini kerana ada yang masih tidak boleh memahami bahasa jiwa bangsa ini. Apalah erti tinggal dalam sebuah negara merdeka ini, jika agenda negara langsung tidak pedulikan. Inilah akibatnya apabila kita dipisahkan sejak kecil melalui sistem pendidikan perkauman (vernacular). Lebih malang lagi ada di antara kita yang tidak sanggup merombak kurikulum Unified Examination Certificate (UEC) untuk sesuaikan dengan jati diri negara, hanya kerana jika rombakan dilakukan, sijil tersebut tidak akan diikhtiraf oleh negara luar seperti China dan Taiwan.

3. Baru-baru ini saya menghadiri Majlis Dialog Selangor Blueprint bagi tempoh 2011-2013 Pihak Berkuasa Tempatan, ada kalangan peserta yang langsung tidak boleh berbahasa dan memahami bahasa Melayu. Saya seolah-olah tidak berasa berada di Malaysia yang menjunjung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Mereka lebih mengambil berat soal pilihan raya bagi memilih ahli majlis daripada agenda negara yang lebih besar. Di manakah kiblat kita sebenarnya? Saya amat bimbang apa yang berlaku di sini dipantau oleh kuasa besar di luar sana?

4. Agak-agaknya berapa ramaikah sebenarnya mereka yang benar-benar boleh faham dan menulis dalam bahasa Melayu. Inilah bezanya dengan bangsa saya yang tinggal di Sabah dan Sarawak. Saya amat bersetuju dengan kata-kata Perdana Menteri bahawa 1Malaysia telah lama bertapak di sana berbanding dengan Semenanjung yang begitu kental dengan perkauman. Di sini kita lebih mementingkan agenda bangsa berbanding agenda negara.

5. Saya yakin pihak polis yang mengeluarkan kata-kata “balik negeri” adalah perkara yang sudah lama terpendam. Mereka sudah tidak tahan dengan sikap sesetengah pihak yang membelakangkan agenda nasional. Lebih 53 tahun merdeka, kita masih tidak menguasai bahasa kebangsaan, sedangkan bahasa asing dikuasai begitu bersungguh-sungguh. Apakah makna semua ini? Dimanakah semangat patriotism yang kita laung-laung selama ini? Adakah ia tidak kaitan langsung dengan soal penguasaan bahasa kebangsaan?

6. Sedarkah kita, tidak ramai yang bercerita dan melaporkan betapa sukarnya pembanci 2010 untuk membuat bancian kerana didapati ada kalangan warganegara kita yang tidak dapat memahami bahasa Melayu, selaku bahasa utama dan pertama negara. Saya tidak perlu melabelkan siapa, kerana saya yakin para pembaca sudah dapat menekanya. Pelik sungguh, sekian lama merdeka, rupa-rupa masih ramai lagi orang sebegini. Apakah ini satu kesilapan atau kegagalan kita menguatkuasakan undang-undang sedia ada? Sejak dahulu lagi artikel saya tidak henti-henti mengulangi masalah negara ini. Malangnya saya dituduh lebih Melayu dari Melayu. Sedangkan saya menulis soal pembangunan negara bangsa, semangat patriotisme dan pembangunan jati diri.

7. Menurut Jabatan Perangkaan, sepanjang gerakan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 sehingga kini, masih ramai yang tidak tahu berbahasa Melayu dan Inggeris. Mereka hanya tahu berbahasa bangsa sendiri. 70 peratus daripada mereka yang tidak memberikan respon adalah masyarakat Cina. Perkara ini tidak seharusnya terjadi dalam sebuah negara yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Saya masih menunggu jawapan daripada pejuang-pejuang bahasa ibunda, sekolah vernakular dan parti-parti politik ultra kiasu, sebab musabab perkara ini berlaku.

8. Lebih malang lagi ada yang sanggup melepaskan beberapa ekor anjing bagi menghalang pembanci mendekati rumah mereka. Elok juga bancian dibuat, jika tidak, ramai lagi yang akan menuduh saya mengkhianati bangsa sendiri atau sengaja mereka-reka cerita.

9. Saya mohon supaya jabatan perangkaan mengambil tindakan terhadap mereka yang enggan memberi kerjasama berdasarkan Akta Banci 1960. Pada masa sama, catitkan bilangan mereka yang tidak boleh langsung berbahasa Melayu. Selepas itu kita boleh kemukakan data-data ini kepada kerajaan, parti politik dan NGO perkauman untuk mereka bertindak menanamkan semangat jati diri dan patriotism kepada golongan ini. Saya sudah lama mencadangkan agar kajian rapi dibuat untuk melihat berapa peratuskah sebenarnya rakyat negara, termasuk sekolah vernakular yang benar-benar dalam menguasai bahasa kebangsaan ini?

10. Amat menyedihkan sehingga Jabatan Perangkaan terpaksa mendapatkan kerjasama media berbahasa Cina, penterjemah Cina dan persatuan-persatuan mewakili bangsa Cina bagi memberi respon kepada pembanci. Kebanyakan mereka yang buta bahasa kebangsaan adalah mereka yang tinggal di bandar dan mendapat akses kemudahan pendidikan. Itupun specis ini tidak mengambil inisiatif langsung untuk mempelajari bahasa kebangsaan. Mereka masih boleh senang-lenang walaupun tidak memperdulikan langsung agenda membina negara. Bandingkan dengan negara lain, apakah kita masih ada harapan untuk menjadi penduduk tetap, apatah lagi menjadi warganegara? Saya yakin di kalangan ahli politik dan korporat ultra kiasu, masih ramai yang tidak dapat menguasai bahasa jiwa bangsa ini dengan baik.

11. Kita selalu mendesak kerajaan melaksanakan gagasan 1Malaysia untuk mendapatkan sama rata dan sama rasa atau setaraf dalam semua sektor, terutama sektor ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya. Persoalannya, kenapa tidak dalam dalam soal bahasa jiwa bangsa?

12. Kita memandang rendah terhadap bahasa Melayu sebab persepsi umum mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Bahasa Melayu tidak ada nilai komersial. Menguasai bahasa Melayu adalah langkah mundur ke belakang berbanding bahasa-bahasa lain yang lebih penting dan ada nilai komersial. Apakah negara maju yang ingin dicapai pada 2020 nanti akan menenggelamkan jati diri ini? Jika itulah yang berlaku, negara pertama di dunia yang terkubur jati dirinya adalah Malaysia?

13. Bayangkan dalam negara sekecil Malaysia yang hanya mempunyai sejumlah 28.3 juta penduduk, kita tidak dapat menyelesaikan masalah besar negara ini. Bandingkan jika negara kita sebesar Indonesia, China, India, Amerika dan sebagainya. Tidakkah kita boleh mengambil iktibar bagaimana negara-negara besar ini memperkasakan bahasa jiwa bangsa demi survival dan masa depan negara mereka? Perlukah diulang berkali-kali untuk diingatkan?

14. Jika dibandingkan dengan negara-negara lain di dunia ini, mereka tidak menghadapi masalah dan kerumitan seperti kita. Masalah asas seperti isu bahasa kebangsaan telah lama selesai. Ia dikuatkuasakan melalui undang-undang. Sesiapa yang engkar akan dihantar pulang. Tindakan tegas ini ternyata membuahkan hasil. Tetapi tidak kita. Kita terlalu berlembut sehingga kaduk naik junjung. Saya yakin, hasrat murni Perdana Menteri melalui gagasan 1Malaysia tidak akan kesampaian jika soal pokok ini tidak selesaikan segera.

15. Semua masalah ini berpunca disebabkan oleh sistem kita yang terlalu bersifat perkauman, bermula dengan pendidikan yang menjadi asas, sehingga kepada perkara lain seperti media cetak, elektronik, parti politik dan sebagainya. Dari manakah datangnya semangat patriotisme jika bahasa kebangsaan bukan kayu ukurnya?

16. Justeru marilah kita muhasabah diri dalam hal ini. Sebagai warganegara Malaysia, jika saya tidak mempunyai pilihan, saya rela tidak dapat menguasai bahasa asing, tetapi jangan sampai bahasa negara tidak dikuasai dan tidak fahami. Namun, jika kita mempunyai pilihan, sudah tentu kita dituntut menguasai sebanyak mungkin bahasa kerana ia merupakan satu kredit dan amat digalakkan oleh agama Islam dan begitu juga agama lain.

17. Apa yang berlaku di negara kita tidak pernah berlaku di negara lain di dunia ini. Kita sahaja yang terlalu liberal dan terlalu bertolak ansur. Justeru, ultra kiasu mengambil kesempatan. Maka tidak hairanlah berita ini tidak mendapat perhatian laman ultra kiasu seperti laman web Malaysianinsider, Malaysiakini, CPI dan sebagainya. Saya yakin jika diberi pilihan antara bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, selain bahasa ibunda yang semestinya akan dipertahankan, mereka tidak akan memilih bahasa Melayu. Saya yakin kolumnis CPI akan bersetuju dengan saya.

18. Apakah kita masih mahu memejamkan mata mendengar rintihan pembanci-pembanci ini. Kita perlu memikirkan perkara ini dengan serius dalam merealiasikan gagasan 1Malaysia. Jika perlembagaan perlu dipinda untuk memperkasakan bahasa kebangsaan, sudah sampai masanya kita berbuat demikian seperti mana yang dilakukan oleh negara lain? Sekadar berkempen, ia tidak akan menyelesaikan masalah, disebabkan perlambakan media perkauman dan bahasa asing yang langsung tidak dapat dikawal.

19. Saya sebenarnya sudah malas menulis isu kerana tidak mahu dituduh dan dihina lagi. Tetapi inilah realiti yang berlaku yang mesti difahami oleh kita semua dan saya tidak boleh menghentikan pena ini. Saya tidak salahkan orang bukan Melayu semuanya seratus-peratus kerana mereka pandai mengambil kesempatan. Satu persoalan saya, apa yang kita lakukan selama ini, terutama kementerian-kementerian yang berwajib? Kita terlalu banyak berpolitik sehingga masa depan negara terabai. Kita hanya mementingkan kepentingan masa kini daripada masa hadapan. Sedangkan masa hadapan lebih penting daripada masa kini. Masa hadapan akan diwarisi oleh anak cucu kita.

20. Lihat sahaja sekeliling kita. Tonton dan dengar siaran televisyen dan radio, lihat sahaja iklan-iklan dan kain rentang yang digantung dan ditampal di sana sini, sekeliling bandar raya dan juga kenderaan-kenderaan awam termasuk kenderaan transit aliran ringan (LRT) dan Express Rail Link (ERL). Berapa banyak bahasa Melayu digunakan? Jawablah sendiri.

21. Ini tidak termasuk pejabat-pejabat GLC dan pejabat korporat yang dipunyai oleh orang Melayu sendiri. Pandang kiri dan kanan, lihatlah berapa peratuskah bahasa Melayu digunakan berbanding dengan bahasa Inggeris. Saya tidak perlu menyebut syarikat atau kementerian yang diketuai oleh bukan Melayu, kerana penggunaan bahasa Melayu teramat menyedihkan, langsung tidak dipedulikan. Jika tidak percaya, pergilah melawat kementerian- kementerian di bawah jagaan mereka, dengarlah bahasa apa yang dipertuturkan. Bayangkan kita berada di Malaysia atau tidak. Pendek kata, daripada perkara sebesar-besarnya sehingga sekecil-kecilnya pun, bahasa Melayu ini tidak didaulatkan. Masuk sahaja dalam lif, akan kedengaranlah kata-kata going up, going down daripada lif naik dan lif turun.

22. Dalam pemikiran kita, barat dan bangsa sendiri adalah ukuran segalanya. Ada kalangan kita yang sudah malu jika berbahasa Melayu. Tampak kuno dan tidak moden. Maka hari ini ada kalangan orang Melayu lebih lancar berbahasa asing berbanding bahasa sendiri. Jarang sekali kita lihat tokoh korporat dan orang-orang besar kita berbahasa Melayu.

23. Sedangkan, negara lain begitu hebat memperkasakan bahasa mereka sendiri. Thailand teramat aktif memperkasa dan mendaulatkan bahasa Siam dari perkara sekecil-kecilnya sampailah sebesar-besarnya. Media elektronik dan segala media serta produk disiamkan hampir seratus peratus. Pada mereka, orang Siam mesti menjadi Siam, barulah wujud kehebatan negara bangsa Siam. Hatta, saya pernah terbaca kerajaan Thai mahu menukar nama negara mereka daripada Thailand kepada nama Siam kerana nama Thailand tidak memperlihatkan kesiamannya. Begitu hebatnya Siam mahu menjadi Siam. Malangnya, Melayu sudah malu menjadi Melayu, tidak yakin dengan Melayu. Apakah kita fikir orang lain akan memperdulikan Melayu?

24. Begitu juga dengan negara lain seperti Iran, Turki, China, Perancis, Jerman dan sebagainya. Mereka tidak akan menggunakan bahasa lain (Inggeris), walaupun mereka mahir, selain menggunakan bahasa bangsanya, ketika menyampaikan ucapan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Bahasa bangsa mereka digunakan dengan megahnya. Itulah satu-satu caranya untuk memperkenalkan bangsa mereka kepada dunia. Jika tidak siapakah yang akan kenal mereka? Ketika tokoh-tokoh ini berucap, maka kelam-kabutlah penterjemah untuk menterjemahkannya. Penterjemahan ini terpaksa dilakukan kerana, seluruh dunia mahu mengetahui apa yang akan disampaikan oleh pemimpin-pemimpin berkarisma ini. Begitulah kuatnya jati diri bangsa lain. Kenapa kita tidak bertindak seperti mereka? Jawapannya, kita merasai inferioriti kompleks. Takut dikatakan mundur dan kolot. Sedangkan kita sepatutnya merasai megah dan bangga memperkenalkan bahasa dan bangsa kita kepada dunia.

25. Kita selalu menyalahkan orang lain apabila bahasa kebangsaan tidak didaulatkan. Tetapi kita sengaja tidak mahu sedar atau ambil pusing, apakah yang kita lakukan selama ini? Pendapat pakar-pakar bahasa dibakulsampahkan. Penyelidikan berkaitan dengan bahasa Melayu tidak dipandang serius. Kita lebih serius dengan anak kita yang tidak menguasai bahasa Inggeris, tetapi kita tidak serius dengan kecintaan rakyat Malaysia terhadap bahasa kebangsaan.

26. Hari ini ada sekumpulan Melayu yang mahukan Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan walaupun kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak meneruskannya. Sebenarnya siapakah yang menjadi petualang dalam merosakkan bahasa kebangsaan?

27. Masih terngiang-ngiang guruan rakan-rakan seperjuangan. Melayu satu hari ini akan tinggal satu nama iaitu baju Melayu, yang lain telah hilang, termasuk Keretapi Tanah Melayu.

6 comments:

amnitpg said...

Di cadangkan supaya yang tidak tahu berbahasa Malaysia itu menjalankan ujian DNA walau pun tidak dipersetujui oleh kaum-kaum terlibat.
Sebabnya: cuba kita kaji berapa ramai rakyat Cina yanag datang melawat negara kita tetapi hilang tak dapat dikesan.
Apakah DAP, PR < MCA atau Gerakan setuju?? Jika tidak persoalan n ya kenapa.. mungkin kah benar telahan ramai bahawa mereka ini pendatang yang disorokkan oleh bangsa sendiri..

Anonymous said...

Ini ada sedikit cadangan yang tak seberapa dari saya:
1) kalau nak bagi apa2 darjah kebesaran pada seseorang, syaratkan supaya bakal penerima fasih berBahasa Melayu (BM)..baru lah orang respect. sebabnya pengalaman diri saya berurusan dengan individu yang bergelar "Datuk" kadangkala sangat menyakitkan hati..BM tunggang langgang!

2)sesiapa nak mohon apa2 lesen (memandu/perniagaan dll) kat negara nih, mesti boleh cakap & faham BM.Saya yang terlibat dengan sesi temuduga lesen perniagaan kat salah sebuah PBT kadang2 geleng kepada bila berdepan dengan pemohon yang sepatah haram tak reti & faham BM walhal Mykad kaler biru!(tertanya2 jugak, dia ni warganegara ke?)

Muhammad Azli Shukri said...

saya sependapat dengan tuan2

Anonymous said...

ada harapan la Ridhuan Tee jadi Senator...ha ha ha

Muhammad Azli Shukri said...

bagus juga dia jadi senator..

shamshul anuar said...

Saudra azli,

Selagi pemimpin Melayu mengamalkan budaya terlalu fikirkan apa orang bukan Mealyu cakap, maka segala kekusutan tak akan terlerai.

Disinilah ketegasan diperlukan.

1) 1 Malaysia tak akan tercapai tanpa satu sekolah untuk semua kanak kanak. Jangan biarkan lagi penubuhan sekolah Vernakular.



2) UMNO mesti letak calon UMNo dikawasan majoriti Melayu. Biar MCA, Gerakan "bertempur" dengan DAP dikawasan majoriti Cina.

3) Najib mesti lantik Menteri Dalam Negeri yang baru. terbukti Hishamudin tidak tegas dan "lembik".

$) Jangan takut guna ISA. Kalau DAP berkuasa, sudah lama ia guna ISA berlipat kali ganda dari UMNO.