Skip to main content

Apabila Asri Memuji Khairy : Pintu Dosa Yang Tertutup

Apabila Asri Memuji Khairy
Pintu Dosa Yang Tertutup


1. Saya masih kurang bersetuju dengan beberapa pandangan Dr Asri berhubung kefahamannya tentang sifat "keterbukaan" PAS dan "ketertutupan" UMNO yang didakwanya sudah terbalik (maknanya PAS nampak lebih terbuka pada hari ini, manakala UMNO pula kelihatan bersifat tertutup dalam isu-isu agama) Menurut Dr Asri PAS semakin terbuka, manakala UMNO pula semakin bersifat tertutup.

2. Saya sama sekali kurang bersetuju dalam kenyataan ini. Semua isu agama yang dipertahankan oleh UMNO mempunyai hujah yang tersendiri. UMNO sebagai parti pemerintah wajib mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menutup segala punca fitnah yang boleh merosakkan agama Islam. Isu duit judi, isu orang kafir masuk masjid, isu tidak boleh berdoa untuk orang kafir dan isu penggunaan kalimah Allah - semuanya mempunyai hujah masing-masing. Baik ulama yang mengharuskannya, mahu pun ulama yang melarangnya - masing-masing ulama mempunyai hujah. Dan kerajaan - memikirkan melalui fiqh waki' dan realiti pada masa kini - isu-isu tersebut mesti ditangani dengan tegas kerana fasad (kerosakan) yang bakal dibawa oleh isu tersebut ke atas masyarakat dan untuk masa yang akan datang ,jauh lebih besar daripada maslahah (kebaikan) yang terdapat untuk masa terdekat.

3. Semua isu yang disebut di atas tidak boleh dilihat dalam kerangka mentaliti sempit. Ia mesti dilihat melalui kesan dan impaknya ke atas masyarakat Islam untuk 10 atau 20 tahun yang akan datang. Islam boleh bertoleransi dalam hal-hal tertentu, tetapi, dalam isu yang boleh mengundang fitnah ke atas Islam dan umatnya - wajib bagi kerajaan mencegahnya, walau seberapa mahal nilai harganya yang patut dibayar.

4. Menyentuh berkenaan pujian Dr Asri terhadap ucapan Ketua Pemuda UMNO - mungkin itu pandangan peribadi beliau. Pada saya, ucapan Khairy tidak lebih daripada sebuah "laporan tahunan aktiviti Pemuda UMNO Malaysia" untuk dipaparkan kepada Presiden UMNO. Ketiadaan idealisme yang mantap, ketandusan strategi untuk mengukuhkan perpaduan Pemuda UMNO dan kelemahan ketara dalam merencana hala tuju perjuangan Pemuda UMNO - menjadikan ucapan Khairy tidak lebih daripada sebuah dokumen laporan tahunan, yang disulami dengan retorik bahasa dan ayat suci al-Quran, yang kemudiannya dibungkus dengan istilah Maqasid dan Manhaj bagi menyedapkan rasa.

5. Dr Asri juga mungkin terlepas pandang - keterbukaan PAS yang dipujinya, bukanlah atas kefahaman mereka bahawa Islam itu mudah dan perlu dipermudahkan - keterbukaan PAS adalah disebabkan faktor kuasa dan bukan atas faktor prinsip dan penghayatan perjuangan mereka. Keterbukaan PAS menggugurkan perjuangan untuk menegakkan hukum Hudud dan negara Islam, bukanlah berasaskan kepada penghayatan dalam memahami fiqh keutamaan, iaitu "apa yang perlu didahulukan dan apa pula yang perlu dikemudiannya" - sebaliknya pengguguran tersebut adalah bersifat takiyyah (kepura-puraan) demi mengejar kuasa dan sokongan kaum Cina dan India. Secara tuntas, pengguguran PAS terhadap perjuangan menegakkan hukum Hudud dan negara Islam - adalah pengguguran atas nama prinsip perjuangan parti tersebut.

6. Dr Asri harus memahami - keterbukaan PAS yang dilihat dalam beberapa isu mengenai Islam sejak akhir-akhir ini - bukanlah natijah daripada kefahaman parti tersebut terhadap ajaran Islam, sebaliknya keterbukaan itu merupakan "sifat talam dua muka" PAS dalam mengejar dan mencari kepentingan dunia yang sementara. Talam dua muka - dalam bahasa agamanya adalah munafik. Tidak terlalu susah untuk mengukur sifat keterbukaan PAS yang sejak akhir-akhir ini mendapat pujian dan perhatian daripada Dr Asri, sama ada "keterbukaan" PAS itu benar-benar berpaksi kepada kefahaman Ad-Deen dan keikhlasan atas nama agama ataupun, sebenarnya terdapat udang disebalik batu, yakni atas kepentingan politik.

7. Sebagai contoh, isu berhubung penggunaan kalimah Allah, mengapa sewaktu awal-awal dahulu, ketika KDN meluluskan penggunaannya dalam penerbitan akhbar Gereja Katolik, PAS tidak bising dan menyokongnya atas dasar keterbukaan Islam? Mengapa selepas keizinan tersebut ditarik balik oleh KDN dan isu tersebut di bawa ke mahkamah, barulah PAS bertempik, kononnya tidak ada masalah jika orang bukan Islam mahu menggunakan kalimah Allah? Atas kepentingan apa sebenarnya PAS cuba menonjolkan "keterbukaannya" itu? Dr Asri sepatutnya kembali menilai hal seperti ini.

8. Ingin saya bertanya, sekiranya orang UMNO yang membawa orang kafir atau wakil rakyat kafir masuk ke masjid, agak-agaknya apa yang akan dituduh oleh PAS? Cuba kita jawab? Kalaulah wang judi yang diberi kepada warga emas di Pulau Pinang tempoh hari adalah pemberian daripada kerajaan BN/UMNO, agak-agaknya apa yang akan dituduh oleh PAS? Cuba jawab? Kalaulah orang UMNO yang mula-mula mendoakan kebaikan untuk orang kafir dalam khutbah Jumaat, agak-agaknya apa yang akan dituduh oleh PAS? Cuba jawab? Mengapa Dr Asri dan PAS tidak melihat tindakan DS Najib meluluskan lesen judi bola sepak sebagai "keterbukaan" dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negara ini? Judi bola sepak untuk orang kafir dan bukan untuk orang Islam - mengapa ia tidak dilihat sebagai sifat keterbukaan kerajaan? Soalnya, jika lesen judi bola sepak diluluskan oleh kerajaan Lim Guan Eng - agak-agaknya apa yang akan dikatakan oleh PAS? Cuba jawab.

9. Keterbukaan PAS yang dipuji oleh Dr Asri sama sekali tidak boleh dipandang mulia - keterbukaan PAS dalam beberapa isu agama, lebih banyak mengundang fitnah dan menjadikan Islam sebagai agama yang sangat liberal. Ia bukan dibuat atas kefahaman dan keimanan. Sememangnya, Islam itu sangat terbuka, fleksibel dan mudah dilaksanakan - namun demikian, keterbukaan PAS yang mendapat tempat di hati Dr Asri adalah keterbukaan palsu yang didasarkan atas kepentingan nafsu untuk menghancurkan saudara seIslam.

10. Mengapa keterbukaan UMNO untuk mengadakan muzakarah dan mewujudkan perpaduan dengan PAS tidak dilihat sebagai "keterbukaan" UMNO dalam menjalankan sunnah Rasulullah yang mengharamkan perpecahan? Mengapa dalam isu perpaduan UMNO-PAS, PAS tidak menunjukkan sifat "keterbukaannya" berbanding dengan UMNO? Di mana Dr Asri ketika itu? Sepatutnya ulamalah yang menjadi orang tengah bagi merealisasikan agenda perpaduan tersebut - malangnya semua ulama membisu, kerana takut diherdik oleh Nik Aziz - kecuali TS Harussani!

11. Kita jangan terlalu mudah ditipu dengan dasar keterbukaan yang kononnya sudah mula ditonjolkan oleh PAS - ia penuh dengan tipu daya dan perangkap yang sangat merbahaya. Apabila sesuatu hukum Islam "dilonggarkan" ikatannya oleh PAS, maka bersegeralah kita mendakwa, kononnya itu adalah "keterbukan Islam" sebaliknya, apabila UMNO melakukannya, cepat-cepat dituduh UMNO menolak Islam, menghina Islam dan pelbagai tuduhan kotor yang tidak bertanggungjawab.

12. Satu ketika dahulu UMNO dituduh kononnya menghalalkan judi dan arak, kerana terlalu banyak pusat disko dan karoke di negeri Selangor. Sekarang, apabila PKR, PAS dan DAP berkuasa di Selangor, berapa banyak pusat judi, disko dan kilang arak telah berjaya ditutup oleh PAS? Mengapa baru sekarang PAS mendakwa semua itu untuk orang bukan Islam - dan Islam sangat bersifat terbuka dalam hal seperti ini. Atas paksi apa sikap "keterbukaan" yang cuba ditonjolkan oleh PAS ini?

12. Keterbukaan PAS yang dilihat baik oleh Dr Asri - adalah kudis dan nanah yang akan membusuk dan terus membusukkan umat Islam. PAS dalam bulan Ramadhan yang lalu. bersetuju menggugurkan negara Islam dan hukum Hudud dalam agenda perjuangannya - demi menjaga hati DAP dan PKR - tetapi apabila kita berkesempatan mendengar ceramah ustaz-ustaz PAS di kampung-kampung, kita bisa sahaja mengurut dada dan mengucap syahadah - bagaimana mereka sanggup berbohong kepada orang kampung, kononnya PAS akan melaksanakan hukum Hudud dan memperjuangkan negara Islam, apabila mereka berjaya memerintah negara ini - sedangkan pada hakikatnya, hal tersebut sudah pun diputuskan oleh pucuk pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat - bahawa hukum Hudud dan negara Islam, sama sekali tidak akan dilaksanakan di Malaysia!

13. Siapa sebenarnya yang mengkhianat perjuangan? Dan siapa pula yang merosakkan agama? Siapa? Bukankah ini merupakan sifat orang munafik? Dengan orang kampung, PAS berjanji untuk melaksanakan Hudud dan negara Islam, tetapi dengan DAP dan PKR, PAS berjanji kita gugurkan Hudud dan negara Islam? Apakah maknanya semua ini? Ini bukan strategik dalam berpolitik - ini namanya BOHONG dan PENIPU! Ini bukan namanya KETERBUKAAN, tetapi ini namanya NAFSU!

13. Cuba kita bertanya, sudah berapa ramai ulama dan ustaz di negara ini yang ditipu dan dikelirukan dengan sikap "keterbukaan" PAS dalam beragama? Pernahkan kita memikirkannya? Ingin saya mengingatkan kepada sesiapa yang terpedaya dengan keterbukaan PAS - itu bukan keterbukaan dalam erti kata agama - tetapi, keterbukaan yang cuba ditonjolkan oleh PAS sejak akhir-akhir ini, tidak lebih daripada keterbukaan yang menjadikan Islam terlalu liberal atas nama nafsu politik dan kedudukan dunia yang sementara. Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua. Wallahualam. Baca Laporan di bawah :

KUALA LUMPUR, 24 Okt — Bekas mufti Perlis berkata, Umno perlu mengambil pendekatan praktikal memandangkan parti utama BN itu membawa isu-isu yang menjadikannya “seakan-akan PAS era 1980-an” dan kelihatan mengadaptasi pandangan “sempit” lagi tidak relevan dengan persekitaran semasa,

Justeru kata Dr Mohd Asri Zainul Abidin, ketika PAS mula menonjolkan diri lebih terbuka dan cuba mengambil pandangan yang lebih relevan untuk partinya, Umno pula memainkan isu-isu yang “lekeh”. Dalam kebanyakan isu sejak setahun dua ini, PAS mengambil pendekatan dari sudut bertentangan berbanding Umno dan dilihat lebih “progresif”.

Bagaimanapun pendirian PAS itu juga mendapat perhatian perwakilan Umno yang membahaskan ucapan dasar presiden dan usul-usul. Umno selesai mengadakan perhimpunan agung tahunannya semalam. Ia turut membincangkan usul agama dan pendidikan. Kata Asri, Umno atau selain mereka, dalam memilih pandangan-pandangan agama dalam negara yang berbilang bangsa dan agama ini, hendaklah memilih pandangan yang paling kuat dari segi dalil dan dalam masa yang sama memenuhi keperluan suasana negara.

Sehubungan tegas Asri, Islam akan menjadi mangsa jika isu-isu agama dimainkan mengikut selera politik. “Dukacita pada pandangan saya, Umno kebelakangan ini memainkan isu-isu yang menjadikan Umno seakan PAS di era 80-an. “Ketika PAS mula menonjolkan diri lebih terbuka dan cuba mengambil pandangan-pandangan yang lebih relevan untuk partinya, Umno pula memainkan isu-isu yang ‘lekeh’.

“Isu-isu bukan Muslim tidak boleh masuk masjid, tidak boleh berdoa untuk bukan Muslim, isu wang judi dan seumpamanya menjadikan Umno kelihatan mengadaptasi pandangan-pandangan sempit dan tidak relevan untuk sebuah pemerintahan yang bersifat pelbagai kaum dan agama,” katanya. Selain itu menurut Asri lagi, media-media pro-Umno menonjolkan pandangan-pandangan agama “jalur keras” yang dibuat oleh tokoh-tokoh agama yang dipilih, seakan berpihak kepada parti dominan Barisan Nasional.

“Akhirnya, Islam menjadi mangsa, Umno dipandangkan berbahaya,” kata Asri dalam tulisan terbaru blognya dan disiarkan ketika berlangsungnya perhimpunan agung tahunan parti itu. “Maka, politik idea dan ilmu hendaklah dimakmurkan. Politik ‘yes man’ tanpa memikirkan apa yang diungkapkan hendaklah dielakkan,” kata beliau sambil menambah, “inilah yang terjadi apabila slogan Islam Hadari dilaungkan dan yang lain hanya mengangguk tanpa memberikan pandangan yang kritis.”

“Akhirnya, slogan itu memakan diri Umno. Inilah pandangan saya yang ikhlas dan sepintas lalu untuk Umno dan juga parti-parti politik yang lain,” kata beliau yang tetap berterima kasih kepada Umno yang menjemputnya menghadiri persidangan agung tahunanya kali ini walaupun memberikan pandangan agak “tajam” buat parti itu.

Beliau juga menghadiri forum sempena perhimpunan agung tahunan kali ini dan memberikan pandangan yang hampir sama nadanya. Malah Asri pernah disebut-sebut akan menyertai Umno Jun lalu bersama 40 ulama muda tetapi menegaskan beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik buat masa sekarang.

Beliau juga menyentuh soal itu dalam tulisan terbarunya ini. “Politik kita sepatutnya pergi lebih jauh daripada sekadar mengisi borang ahli. “Politik bukan sekadar dalam kepungan pagar-pagar kepartian. Politik sepatutnya berteraskan pemikiran dan idea. “Jika politik diukur dengan pandangan dan idea, saya kira saya telah cuba melakukannya selama ini,” kata beliau.

Kata Asri, ruang menerima perbezaan nampaknya masih ada dalam Umno dibandingkan dengan sesetengah kumpulan politik yang lain. Asri juga berkata, beliau tertarik dengan isi ucapan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menurutnya telah melakarkan politik yang lebih terbuka dan politik era baru. “Sayap-sayap yang lain, minta maaf, pada saya masih lagi dalam ‘rentak semalam’ dan belum menggambarkan politik era baru,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung kedudukan Umno dalam membawa isu, Asri juga menegaskan, rakyat berharap parti-parti yang wujud dalam negara ini bersaing secara sihat. “Mereka hendaklah menjadi pasaran idea yang menguntungkan negara. Mereka hendaklah bak pasar terbuka yang menyediakan barangan segar dan berkualiti yang dapat dinikmati oleh rakyat.

“Sesiapa yang berjaya menyediakan barangan yang terbaik dan memenuhi inspirasi rakyat akan mendapat tempat,” kata beliau. Asri menambah, rakyat akan memberi sokongan kesetiaan dan undi dalam pilihan raya dan oleh itu, setiap parti hendaklah bertungkus-lumus menyediakan idea-idea politik dan kenegaraan yang berkualiti dan praktikal untuk sebuah negara bernama Malaysia.

“Ini politik Ulul Albab, politik golongan yang matang dan masak fikiran mereka,” katanya lagi. Asri juga berkata, bukan kerja sebuah parti politik itu sekadar untuk menceritakan kelemahan lawannya sedangkan mereka sendiri kontang idea. Katanya, politik menuding jari kesalahan orang lain tanpa mampu membukti kemampuan diri adalah politik adu-domba yang tidak sesuai untuk sebuah negara yang aman dan merdeka.

“Politik yang sekadar menceritakan hal ‘kain orang’ sehingga terlupa diri sendiri, tidak akan mampu membawa kita ke mana. “Kehebatan ceramah atau ucapan politik bukanlah apabila ia sarat dengan mengutuk lawannya, tetapi kehebatan apabila mampu memberikan pandangan dan idea yang dapat membangunkan rakyat dan negara,” katanya lagi.

Asri menambah, Islam adalah teras politik orang Melayu, bahkan bagi semua mereka yang mendakwa dirinya Muslim. Tegas beliau, kejayaan “kita hanyalah apabila kita kembali berpegang dengan Islam yang tulen seperti mana yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya.” “Tiada siapa yang patut berbeza pendapat dalam hal ini. Tokoh-tokoh politik Muslim dalam negara ini hendaklah mendalami dan mempelajari politik dalam kaca mata Islam.

“Politik dalam Islam sangat luas, fleksibel dan praktikal, namun sentiasa bertunjangkan wahyu. Bukan semua cakap ‘ustaz’ tentang politik itu boleh ditelan. “Politik ada disiplinnya yang tersendiri yang memerlukan keluasan pengetahuan tentang maqasid syarak yang memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara. “Sekadar mempelajari beberapa hal dalam agama belum tentu dalam mendalami maksud politik dalam Islam,” katanya lagi. Oleh itu kata Asri, tafsiran politik sempit sekalipun atas nama Islam hendaklah ditolak. Ini kerana tegas beliau, politik dalam Islam tidak sempit tetapi luas dan lebar berteraskan maslahah rakyat.

Comments

Anonymous said…
"Apabila Asri menghentam IFF..."
Anonymous said…
Kerosakan agama boleh dipecahkan kepada kerosakan akidah dan kerosakan akhlak. Salah satu satu tanda jelas kerosakan akidah dan juga akhlak ialah tidak menunai rukun Islam spt solat. Apa kata kita ambil 10,000 ahli UMNO dan 10,000 ahli PAS secara rawak dan melata berumur 21 - 40 tahun dan cari statistik yang mana lebih ramai tak solat. Kalau tak mahu buat survey betul, agak-agaknya parti mana ya?

DR NO
oRang kAmpong said…
kpd anon 3.40 solat tu rasanya susah sikit nak ukur kut.xp klu benda lain tu spt arak, judi dan zina sama byk je teman tengok.mcm nilah bro dosa pahala ni kita xbolih nak salahkan sape2 bab ianya terpulang pd iman dan takwa seseorg individu tu.xada kena mengena lansong ngan umano ka pus ka.jadi klu rasa nak masok syurga berbuat baiklah kita ikut alkuran dan sunnah rasanya xperlu undi pas nak masok syurga.hak ni kita kena tanya us asri bab dia baik ngan tok guru.
Anonymous said…
salam Tuan Azli..artikel yg sgt menarik.penuh dengan Fakta.
salam..


pinjam artikel..

artikel tuan sangat bagus.
azhar said…
Sudah menjadi lumrah , apabila mana2 parti politik bertembung , masing2 akan saling jatuh - menjatuh antara lain untuk kekal berkuasa atau mendapat kuasa . Setiap pari politik akan sedaya upaya menegakkan perkara yang dirasakan benar diatas prinsip dan matlamat perjuangannya .

Di dalam beragama , penegakkan sesuatu perkara atau pendapat seharusnya menyediakan hujah berdasarkan al quran dan hadis , mendahului prinsip dan matlamat sempit kepartian.

warga marhain kini harus lebih cerdik . Gajah sama gajah bergaduh pelanduk jangan mati di tengah.
Raja Bilah said…
Sejarah telah membuktikan, bukan semua org yg kononnya ada title dan hieraki dlm bab agama boleh dipercayai.

Asri ni pun begitu, ada masanya berbelit2 dlm satu isu. Isu bersumpah dulu pun begitu jugak, apabila saiful telah bersumpah, dia belit ikut lain plak. Byk lg isu2, yg lain.

Tak payah la UMNO nak mengharapkan org begini utk berjuang dlm UMNO. Zaman ni,bukan lagi utk kita main angguk setuju cakap2 org yg ada gelaran agama ni.
Anonymous said…
""Muhammad Azli Shukri
Kuala Kangsar, Perak, Malaysia
Berusia 31 tahun.Bekas pelajar Universiti Malaya di Fakulti Bahasa dan Linguistik dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Sepanyol.Pernah bekerja sebagai tenaga pengajar di Maa'had Tahfiz Dar al-Hikmah,Ampang dan pensyarah di Kolej Universiti Binary.Banyak menulis rencana dan puisi di media massa perdana.Bekas Ketua Penerangan UMNO Talang Masjid,Kuala Kangsar(2004-2008). Sekarang, Setiausaha UMNO Talang Masjid,Ketua Penerangan Pemuda UMNO Talang Masjid, EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Perak dan merangkap Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar. Mantan Editor Majalah Dewan Ekonomi(2007- 2008). Saya ialah : 1. Mantan Seorang Guru 2. Mantan Seorang Pensyarah 3. Mantan Seorang Wartawan 4. Mantan seorang Editor 5. Belum Berkahwin ""...

~kalau ye pon pgang jwatan, takyah la sampai nak gtau kat orang azli oiii...nmpak sgt ko ni...hehehe
~kawin2 la azli oiii...
Anonymous said…
Anon 6:40 pm.
Awat la yang hang sakit hati kat saudara Azli Shukry.
Ni blog dia.. ikut suka dia nak tulis apa-apa "yang penting saudara AZLI berkata benar, nukilan yg bermutu, realiti dan berpijak dibumi nyata"

Ini orang pun ada ka.."JENIS OTAK HIJAU, JANTUNGHATI PUN HIJAU..tapi dibajai dgn banyak tompok-tompok hitam" Kesian... kesian..
Anonymous said…
Banyak sangat berbahas tentang agama nanti boleh berdosa. Perkara pokok kena ingat iman tidak boleh diukur, iman tidak boleh diwarisi, iman tidak boleh dijualbeli. Fahamilah RUKUN IMAN dan RUKUN ISLAM, semoga segala yang baik dibuat kita dalam dunia ini diterimaNYA. Dalam kubur kita tidak akan ditanya "apa parti politik mu" Wallahhualam..
Anonymous said…
Ni masalah utama Umno...kalau seseorang alim ulama tu bcanggah pandangan dgn umno,maka kita kte dia mcm2...cuba2 lah ambik pandangan mereka2 ni...bmusuhan dgn golongan agama akan mjauhkan sokongan rkyat kpd anda...ape sbenarnye peranan biro agama dlm umno ni,setakat tukang bce doa dlm mjlis je ke?...surau2 n masjid2 sape yg duk rmi penuhkan...t'inging gak nk dgr mereka ni bagi tazkirah dan ceramah agama mcm org2 pas slalu buat...isu org bukan islam masuk masjid just rujuk kt jakim,dh lme dh kuar ftawa tu...
azlishukri said…
saya bercakap secara jujur, terpulang kalau mahu berkongsi bersama...
azlishukri said…
melanau dan panglima - sila tiada masalah.
Anonymous said…
Sebagai orang luar, pandangan Dr Asri adalah seimbang iaitu mengkritik aspek keberunduran UMNO dalam isu agama dan memuji kedinamikan UMNO dalam aspek mencari kesegaran baru.

Cumanya kenapa penilaian dari sudut agama terhadap seseorang atau kumpulan harus dibandingkan dengan seseorang atau puak-puak yang lain? Apakah betul pendekatan sedemikian itu?

Secara khusus kenapa isu seperti judi, bekerjasama dengan orang bukan Islam dan peraturan serta adab memasuki rumah ibadat harus dibandingkan dengan mana-mana parti? Kenapa tidak diulas terus dari sudut agama?

AntiHipokrit
Anonymous said…
Tak sangka pula laman maya ada diskusi siapa lebih dari siapa dari segi solat, kah kah, dan tak lama lagi akan ada pula DR yang akan membuat perbandingan siapa yang lebih banyak mencarut, siapa yang lebih banyak memfitnah dan bla, bla. Lawak, lawak, he he.
Anonymous said…
aduh aduh aduh

apsal bila cakap agama ala pas seolah2 orang yg bercakap tu dalm keadaan mabuk.

dr maza tu dah jadi pemabuk keee?

mabuk politik/
oRang kAmpong said…
salam bro azli pd teman artikel tuan amat baik sekali.teman rasa pun pernah terbaca komen dr asri tentang bukan muslim mengziarah ke masjid.pun teman rasa artikel yg terbaik dari dr asri klu diukur dr sudut ugama.xp teman rasalah islam biasanya mementingkan nawaitu ckp melayunya niat.ustaz teman dulu ada bg tau contoh SOLAT klu niat kita solat BERSOLAT itu utk menunjuk2 hukumnya berdosa.jadi teman terkilan juga us kita tu tak sentoh lansong bab niat dan tujuan kapir2 tu masok ke masjid.xbolih gitu us nanti org ckp double standard punya komen.tak gitu tuan azli.
gagasan_warisan said…
ermm Dr Maza biasa laa...mmg sikap dia cam tu...suka jadi hero...
ajijasin said…
salam alaikum...
aku semenjak DRRRRRRRRRRRRR MAZA ni bercakap berputarrrrr putarrrrr...
banyak yang aku kurang setuju...

ada beberapa isu yang berbangkit berkenaan Islam, dia telah memberi ulasan, yang tak berapa aku nak setuju!!!

bagi aku ISLAM itu MUDAH
bukan menyusahkan!!!
ISLAM itu tidak memeningkan!!!
ISLAM itu tidak memberatkan!!!
ISLAM itu tidak JUMUD!!!

WALLAHHUALAM...
BISSAWAB...
Anonymous said…
kalau ada sesiapa yg boleh membongkar hubungan shahidan kasim dan maza ... boleh kita kongsi ...

Pilihan Pembaca

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca

Lagi Kisah Siti Nurhaliza : Mana Perginya Produk CTea?

Lagi Kisah Siti Nurhaliza Mana Perginya Produk CTea? Oleh Satu Hala (Malaysia Instinct) Inilah antara benda-benda yang buat sakit hati dengan orang kaya Melayu ni. Datuk K sanggup perabis RM66,550 untuk beli nombor plate KCT 1 untuk isteri tercinta, Datuk Siti Nurhaliza. Kononnya cintan maut habislah tu kan. Tak tahulah kot-kot Rozita Che Wan yang dulu orang kata dapat Mercedes dari Datuk K (lepas dah kahwin dengan Siti) pun akan dapat nombor plate yang sama. Gasaklah hal Rozita Che Wan tu. Yang penulis tertarik nak tulis ialah sikap orang macam Datuk K dan Siti Nurhaliza. Parasit adalah perkataan paling tepat. Tahu tak Siti Nurhaliza adalah pemohon pinjaman Tekun untuk bisnes barang solek Simply Siti. Kalau tak percaya, pergilah cek dengan Tekun. Pasti nama Siti akan terpacul. Sakit hati betul penulis dengan orang-orang macam ini. Dah tahu duit banyak, gunalah duit sendiri untuk berniaga, tak pun pinjamlah bank. Gi pinjam dengan Tekun tu buat apa? Mentanglah bayar

Tulisan Terbaik Mufti Perak

1. Minggu yang lepas telah memaparkan semula perbahasan tentang ancak serta beberapa isu yang berkesinambungan dari perkara-perkara yang sepatutnya sudah selesai dan tidak diperbincangkan lagi di media cetak dan elektronik mahupun laman sesawang. Tidak kurang juga beberapa ulasan dari blogger tentang isu ancak yang masih tidak berkesudahan nampaknya. Tambah menyemarakkan keadaan, terdapat komen-komen yang agak pedas di samping cacian, pendustaan dan kalam-kalam yang terbit dari hati sekiranya dibaca berulang kali boleh membawa kepada kesedihan yang amat mendalam 2. Itulah realiti yang perlu ditempuh oleh semua orang terutamanya para pemimpin, pendakwah atau pun sesiapa sahaja. Itulah juga mentaliti sebahagian dari kita yang banyak menghabiskan masa dan memerah fikiran semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu mereka yang selama-lamanya tidak akan puas. 3. Masih ramai di kalangan umat Melayu-Islam ini tertarik dan terpesona untuk membuat ungkapan, percakapan ma