Oleh Syed Mu'az Syed Putra
PETALING JAYA, 26 Nov — Senator Dr Syed Husin Ali khuatir Pakatan Rakyat (PR) akan berhadapan dengan nasib ikatan-ikatan tidak formal pembangkang masa lalu jika perikatan tiga komponen itu gagal menangani gabungan terbaru dikenali sebagai “Third Force” pada pilihan raya umum ke-13.
Beliau yang akan melepaskan jawatan timbalan presiden PKR Ahad ini berkata, kini terdapat hanya satu gabungan yang boleh menjadi pilihan rakyat dalam pilihan raya akan datang. “Namun ada percubaan untuk membentuk apa yang disebut sebagai ‘Third Force’.
“Jika terbentuk, badan ini boleh memberi nafas kepada Umno-BN. Ia akan juga menyulitkan Pakatan untuk mencapai kemenangan besar. Perkara ini pelu ditangani dengan bijaksana,” kata beliau dalam ucapan dasar merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR di sini pagi ini. Syed Husin yang tidak mempertahankan jawatan yang disandang sejak 2003 berkata, PKR yang tersusun, mantap, padu dan kuat dari segi politik dan organisasi adalah penting.
“Hanya dengan demikian baru kita boleh menangkis segala serangan dari luar. Sekarang ini PKR dan tokoh utamanya, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, menghadapi bermacam-macam rancangan dan percubaan untuk melemah dan memporak perandakan.
“Puncanya, kerajaan zalim dan korup sekarang takut kepada kemungkinan rakyat akan memilih Pakatan ke Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13,” kata beliau. Katanya, PKR selalu didakwa sebagai parti paling lemah dalam Pakatan. “Mungkin benar kerana ia paling muda dan baru sekarang mengalami segala perit getir yang dilalui lebih awal oleh PAS dan DAP untuk menjadi lebih kuat. “Namun musuh-musuh kita, terutama pimpinan Umno menyedari PKR memainkan peranan besar untuk menguatkan Pakatan.
“PKR melalui Anwar berjaya menyatukan dan memantapkan Pakatan. Itulah sebabnya sasaran musuh kini ditumpukan terhadap PKR dan Anwar,” kata beliau. Kata Syed Husin, melihat bagaimana angin kemenangan Gagasan-APU dulu beralih arah setelah Tengku Razaleigh Hamzah dituduh sebagai ejen Kristian, kini pemimpin-pemimpin Umno cuba menggunakan taktik lama.
“Kepada orang Melayu mereka menuduh Anwar tali barut Cina. Di hadapan orang bukan Melayu, terutama Cina, dia ditohmah sebagai ekstremis Melayu dan Islam,” katanya. “Media dan individu-individu tertentu sambut menyambut mendendangkan lagu sumbang selah dalam orkestra kokak, menuntut Anwar meletakkan jawatan.
“Mereka tiada hak. Anggota-anggota parti melalui wakil-wakil mereka dalam Kongres seperti inilah yang berhak menentukan kedudukan ketua umum kita. Saya percaya Kongres kali ini pasti akan memberikan sokongan seratus peratus kepadanya,” katanya lagi. Selain itu kata beliau, mereka meneruskan fitnah kedua tentang liwat. “Mereka membuat tuduhan dan fitnah bertubi-tubi melalui VCD yang terus mereka sebar dan media yang mereka kuasai.
“Ketara sekali pihak berkuasa dengan rakus memperalat media, mahkamah dan polis untuk menghukum Anwar. Walaupun demikian, alhamdulillah rakyat ramai yang tidak mempercayai dakwaan dan fitnah itu,” katanya lagi. Syed Husin berkata, banyak pengalaman dan pengajaran yang dapat ditimba dari gabungan atau kerjasama tenaga dalam gerakan untuk mengganti Umno-BN dan membawa perubahan dalam pemerintahan.
“Saya lihat Pakatan sekarang ini mempunyai banyak kekuatan yang tidak ada pada gabungan-gabungan sebelumnya,” katanya. Pertamanya, kata beliau, Pakatan Rakyat menyatukan parti-parti terbesar di luar pemerintahan sebagai hanya satu gabungan. “Namun begitu ia harus menarik juga parti-parti kecil yang masih belum menyertainya, dengan syarat mereka menyokong penuh Dasar Pakatan Rakyat yang telah disetujui pada 19 Disember 2009,” katanya.
Kedua, menurut beliau, kerjasama dan persefahaman dalam Pakatan Rakyat sangat baik, terutama sekali di peringkat pimpinan pusat. “Apa yang patut diusahakan ialah memperkukuh kerjasama dan persefahaman di peringkat bawah di negeri-negeri dan di kawasan-kawasan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri.
“Selain itu harus digalakkan cara bertindak untuk kebaikan bersama dan bukan keuntungan satu-satu parti tertentu. “Apatah lagi kepentingan persendirian pemimpin yang oportunis dan individualis. “Segala program dan tindakan hendaklah ditujukan kepada menguatkan Pakatan,” katanya.
Ketiga, menurut Syed Husin, kerjasama di antara parti dan pemimpin dalam Pakatan diperkuat oleh wujudnya empat kerajaan negeri yang dikuasai oleh gabungan ini. “Semua parti dan pemimpin di negeri-negeri ini perlu bekerjasama rapat dan bekerja kuat untuk menarik kepercayaan dan sokongan rakyat. “Prestasi mereka yang baik adalah sangat penting untuk memastikan kejayaan untuk Pakatan berjaya ke Putrajaya.
“Dalam hal ini peranan serta prestasi Kerajaan Selangor adalah sangat penting bagi PKR,” katanya. Anggota Dewan Negara ini menambah, tidak boleh dinafikan bahawa adalah menjadi tugas penting bagi kerajaan-kerajaan negeri Pakatan berusaha membela nasib rakyat ramai.
“Mereka tidak harus kelihatan bertindak apatah lagi memang bertindak untuk mendapat keuntungan diri sendiri dan suku-sakat. “Selain itu, perlu juga kerjasama yang rapat di antara kerajaan-kerajaan negeri untuk membela rakyat, menentang salahguna kuasa dan menghapuskan rasuah. “Kerajaan Pusat dengan segala alat jenteranya sentiasa berusaha untuk memburuk dan memporak perandakan pentadbiran negeri-negeri Pakatan,” katanya lagi.
Comments
http://anakcucujawa.blogspot.com/
http://anaksufi.blogspot.com/