Skip to main content

Berakhirnya Kebencian

Berakhirnya Kebencian

Oleh Zulkefli Bakar

1. Untuk seketika selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, Barisan Nasional (BN) menjadi tumpuan arena politik negara. Ia berikutan pencapaian terburuknya dalam sejarah pilihan raya apabila kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan terlepas genggaman kekuasaan di tiga negeri iaitu Selangor, Perak dan Kedah sementara Pas terus memerintah di Kelantan.

2. Kedudukan BN dikatakan semakin tergugat apabila dalam beberapa pilihan raya kecil yang diadakan beberapa bulan selepas pilihan raya umum 2008, parti itu tewas. Antaranya termasuklah di Parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) BN kecundang di Bukit Selambau, Permatang Pasir dan Manek Urai. Semua itu menyebabkan pakatan pembangkang yang disertai oleh PKR, DAP dan Pas mula bercita-cita tinggi untuk menawan Putrajaya.

3. Mereka menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-13 sebagai sasaran kononnya untuk 'mentalkinkan' BN. Pembangkang juga menguar-uarkan sejarah politik dunia menunjukkan sebuah parti yang memerintah terlalu lama tidak akan bertahan dengan mengambil contoh apa yang berlaku di Jepun dan India.

4. Berikutan itu maka ramailah yang resah apakah benar hala tuju politik negara akan berubah pada pilihan raya umum akan datang. Ada ketika seolah-olah kita semua sudah dibelenggu kebimbangan BN tidak akan berkuasa lagi selepas pilihan raya berkenaan. Tetapi senario sejak kebelakangan ini seharusnya memberikan isyarat kepada pembangkang bahawa rakyat negara ini tidaklah selama-lamanya akan terperangkap dengan agenda politik sempit mereka.

5. Kegigihan dan kesungguhan kerajaan BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam melakukan transformasi kepada pemerintahan negara mula dilihat menarik hati rakyat. Isyarat diterima di DUN Bagan Pinang dan Galas, Parlimen Hulu Selangor dan Batu Sapi. Jangan lupa DUN Batang Ai sebelumnya.

6. Walaupun terlalu awal untuk dijadikan ukuran namun ia sekurang-kurangnya menyuntik semangat kepada BN untuk terus berusaha mengembalikan sepenuhnya sokongan rakyat kepada mereka. Apa yang berlaku di dalam pakatan pembangkang sekarang termasuklah cara mereka memerintah di negeri-negeri yang dikuasai sudah membuktikan kestabilan negara dalam pelbagai bidang akan tergugat.

7. Masa depan rakyat tidak boleh dipertaruhkan kepada satu pakatan yang dianggotai tiga buah parti yang ibarat biarpun tidur setilam dan sebantal tetapi selimut berbeza dan mimpi lain-lain. Tindakan-tindakan mereka bagaikan 'kera mendapat bunga' setelah diberi kuasa akibat protes rakyat kepada BN pada tahun 2008 telah membuktikan pakatan berkenaan masih belum layak disandarkan harapan memerintah negara ini.

8. Lihatlah bagaimana sebuah parti yang mengaku demokratik tetapi dilihat memerintah penuh rasis di Pulau Pinang, sekutunya pula menggunakan nama keadilan tetapi tindakan mereka sendiri tidak adil hatta dalam parti sendiri manakala teman mereka, sebuah parti yang mengaku memperjuangkan Islam tetapi tindak-tanduk tidak mencerminkan keadaan itu.

9. Mengulas perkara ini seorang penganalisis politik terkenal di utara tanah air berkata, rakyat sudah melihat bagaimana situasi dalam pakatan pembangkang dan ia seharusnya memberikan mereka ruang untuk menilai. ''Memang dulu BN ada masalah, namun kepimpinan Najib telah memperlihatkan kesungguhan untuk atasi semua isu-isu besar yang membelenggu UMNO dan BN.

10. ''BN khususnya UMNO kini tampil jauh lebih bertenaga dan dinamik serta kukuh berbanding pakatan pembangkang yang semakin berkecamuk,'' katanya ketika dihubungi. Menurut beliau, keadaan itu berlaku kerana Pas kini dibelenggu pemikiran yang berkecamuk dan hala tuju tidak jelas sehingga menimbulkan persoalan apakah mereka kini berada di landasan yang betul atau tidak.

11. ''Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ternyata menjadi liabiliti besar kepada Pas. ''Oleh itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden mesti berani menguasai Pas dan melebarkan pengaruh beliau seperti era 80-an dulu,'' katanya. Mengenai PKR, beliau berkata parti sudah menjadi parti yang semakin hari semakin hilang taring dan kredibilitinya.

12. ''Pakatan pembangkang nyata sebuah marriage of convenience yang cacamarba. Negara akan lebih berkecamuk jika mereka berpeluang memerintah. Keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara akan hancur berkecai di tangan mereka,'' katanya. Dalam situasi dunia yang semakin mencabar kini, negara sememangnya tidak boleh lagi terjebak dengan ketidakstabilan atau ketidaktentuan politik seperti mana dialami pada tahun 2008.

13. Sikap marah, protes dan benci sehingga sanggup menggadaikan masa depan negara dengan mengundi pakatan pembangkang yang berjaya mengabui mata rakyat melalui mainan politik persepsi harus dihentikan. Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, suara rakyat adalah suara keramat, di tangan mereka penentu sama ada mereka hendak memilih kestabilan atau kekacauan. Kestabilan politik negara perlu dipertahankan, mereka sudah melihat apa yang terjadi apabila pembangkang mempunyai secebis kuasa.

14. Ketika diminta mengulas perkara ini, penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, perbezaan teras perjuangan menjadi satu petanda utama bahawa tidak wujud satu persefahaman yang jelas akan hala tuju sebenar pembangkang untuk membawa negara ini jika ditakdirkan mereka berjaya membentuk kerajaan pada suatu masa nanti.

15. ''Pelbagai polemik telah berlaku dari semasa ke semasa yang menjadi tontonan rakyat. DAP dilihat semakin ketara tidak kasihnya kepada orang Melayu sebagaimana yang banyak didedahkan di Pulau Pinang. Manakala di Perak pula, pemimpin-pemimpin parti itu mula bergaduh sesama sendiri. Semua kerana kuasa dan pengaruh.

16. ''Pas pula, walaupun mempunyai kapasiti untuk mempengaruhi orang Melayu dengan kekuatan falsafah politik dan teras perjuangan mulai dilihat oleh masyarakat Melayu akhir-akhir sebagai parti yang hanya menjadi pak turut semata-mata dalam pakatan. ''PKR sebagaimana yang semua ketahui sudah pun berada di ambang kehancuran yang berlaku bukan diakibatkan oleh pihak luar tetapi adalah kerana faktor dalaman mereka sendiri,'' katanya.

17. Oleh itu, kata beliau, rakyat perlu melihat kesungguhan Perdana Menteri yang menunjukkan kualiti kepimpinan dan kebijaksanaan beliau dalam merancang strategi-strategi untuk negara baik dari segi ekonomi, politik dan pembangunan masyarakat

18. ''Pembaharuan yang cuba diketengahkan dalam bentuk Pelan Transformasi Negara yang mencakupi dimensi ekonomi, sosial dan terakhir politik telah membuka mata banyak pihak akan keseriusan kerajaan untuk mengembalikan semula kehebatan negara sebagaimana yang pernah kita kecapi suatu masa dahulu terutamanya di era Tun Dr. Mahathir Mohamad,'' kata Ahmad Masrizal.

19. Sememangnya rakyat sudah melihat kesungguhan kerajaan BN untuk membawa negara ke arah lebih berjaya bersandarkan kepada gagasan 1Malaysia, 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.' Mereka tidak boleh lagi terpedaya dengan perjuangan pakatan pembangkang yang berteraskan kepada prinsip untuk merebut kekuasaan semata-mata. Tindakan pembangkang yang tidak mengotakan segala janji seperti mana diuar-uarkan ketika pilihan raya umum lalu membuktikan masa depan negara tidak boleh digadaikan kepada kelompok seumpama ini.

20. Bagaimanapun BN terutamanya pemimpin serta ahli UMNO perlu konsisten dalam memenuhi agenda perubahan yang sedang diusahakan oleh Najib bersama Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. "Rakyat sedar UMNO adalah tunjang kepada kekuatan BN. Keutuhan UMNO adalah kunci kejayaan BN. Oleh itu pemahaman ahli UMNO terhadap aspirasi Najib dan Muhyiddin yang dilihat masih lagi pada tahap sederhana haruslah dipertingkatkan demi untuk kelangsungan kepimpinan BN,'' kata Ahmad Masrizal.

21. Apa pun segalanya terserah kepada rakyat untuk menilai dan membuat keputusan. Mereka mempunyai dua pilihan sama ada ingin terus menyaksikan kemelut di pembangkang yang haru-biru kerana mendapat kuasa atau bersama-sama kerajaan BN meneruskan agenda kesejahteraan untuk rakyat dan negara. Pokoknya, rakyat tidak boleh lagi bergantung atau menaruh harapan kepada 'roket' yang rakus bila ditambah kuasanya atau 'mata' yang sentiasa buta untuk menunaikan janji atau kepada bulan yang tidak akan dominan cahayanya kerana sekadar menurut.

22. Cukup-cukuplah arena politik negara dilihat berada dalam ketidakstabilan akibat mainan politik pembangkang. Senario ini perlu diubah dengan menjadikan kesungguhan BN untuk membawa kesejahteraan rakyat sebagai sandaran. Adalah sesuatu yang malang apabila negara ini terus berada dalam suasana politik tidak menentu sedangkan negara-negara lain sedang berlumba-lumba untuk menjadi negara maju.

23. Kestabilan politik, kemakmuran yang diusahakan dan kesejahteraan yang hendak dicapai melalui agenda kerajaan BN tidak harus disia-siakan. Mereka perlu mengingati pesanan Najib ketika menghadiri majlis kesyukuran di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kelmarin antara lain beliau berpesan,''

24. ''Dalam banyak perkara, manusia mengambil mudah perkara tertentu dan hanya akan merasakan ia sangat bernilai sekiranya ia tiada lagi di sisi mereka. Banyak perkara dalam kehidupan kita yang kita anggap perkara biasa. Tetapi sebenarnya apabila Tuhan menarik balik nikmat itu daripada kita, pada masa itulah kita rasa perkara itu bernilai.''

25. Hakikatnya, apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri sudah dirasai oleh sebahagian besar rakyat yang melontarkan undi mereka kepada pembangkang dalam pilihan raya umum lalu. Semoga mereka menginsafi kesilapan berkenaan dan mengembalikan nikmat yang hilang itu demi masa depan negara serta rakyat keseluruhannya.

Comments

cicaksakit said…
insya allah lepas ni BN akan kuasai PRU 13. Rasanya orang melayu di Pulau Pinang dah rasa perit duduk bawah pemerintahan DAP yang rasis. Kedah pulak dah terasa macamana peritnya mengharungi banjir tanpa sokongan kerajaan negeri (kerajaan lambat). Kelantan pula dah bosan dengan air kotor yang dibekalkan. Perak pula makin kukuh bawah MB Zambry.

Tranformasi PM menampakkan hasil

mohon link blog saya: http://lidahcicak.blogspot.com
Anonymous said…
...dan rakyat akan lebih riang ria dengan adanya hub hiburan malam, disco kelas dunia, konsert artis antarabangsa dan bangunan mega untuk dijadikan panorama. Mungkin RTM boleh menganjurkan pertandingan karaoke piala 1st lady, semoga Malaysia lagi happening.

DR NO
To Live Again said…
DR NO

Mmg retorik pembgkang la..Hbs modal je mula melalut pasal 1st lady la rosmah la..Apasal xmau cita pasal PIALA ELI TELNJANG KE..PIALA GEREJA ORGANISED BY KAHLID SAMAD KE kn bgs hehe..

1 lg plan transformasi 2 pon br dibentang dn 2 merupakan dsar kerajaan yg msh dlm kajain dn menunggu respons dr jabatan keraajan,profesional dn rakyat marhaen..Akan pasti ada pindaan dn penambah baikan..Sm la mcm kes judi bola dulu..Puak PR menyalak pasal bnda yg blm pasti dilaksanakan dn akhirnya Najib slumber menolak cadangan 2..Dn rakyat yg memerhati jgak responsif dgn menunjukkan isyarat JARI TENGAH pd pok nik di galas dgn memberi kemenangan besar di atas sikap responsif najib pd suara rakyat..

Pilihan Pembaca

Penulis dua dari kanan bersama dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Pada 10 September yang lalu, Sidang Editor Bahagian Majalah berkesempatan berbuka puasa bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Sime Darby Convention Center. Terima kasih atas Jemputan tersebut. Jazakumullahu Khairan Kasiran. * Dari kiri Ros, Suria Janib (Penolong Editor Dewan Masyarakat ), A. Zaidel (Penolong Editor Dewan Masyarakat ), Datuk Seri Khaled Nordin, Muhammad Azli Shukri (Editor Dewan Ekonomi) , dan Armin Azhari (Editor Pelita Bahasa ).
Nasihat Pemimpin Patuhi Etika Islam Oleh Muhammad Azli Shukri (Artikel saya ini telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 18/09/2003) Dalam Islam, pemimpin atau pemerintah yang telah dilantik haruslah diikuti perintahnya, selagi perintah tersebut tidak bercanggah dengan suruhan wahyu dan perintah Rasul, seperti mana firman Allah di dalam surah an-Nisa ayat 59, "Wahai orang-orang yang beriman! patuhilah olehmu perintah Allah dan patuhilah olehmu perintah Rasul dan ulil amri di antara kamu." Oleh kerana para pemimpin atau pemerintah merupakan manusia biasa dan tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat, maka mereka juga wajib diberi nasihat oleh rakyat yang sedang di pimpinnya, bersesuaian dengan roh Islam itu sendiri yang berteraskan kepada amar makruf nahi mungkar, sebagaimana firman Allah, "Kamu adalah umat yang terbaik yang telah dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.'' (
MONOLOG AZLI SHUKRI Bab 10 : Muhammad Azli Shukri Lagi! Saya agak sukar untuk menulis Monolog ke-10 saya pada kali ini. Saya merasakan inilah monolog yang sangat susah untuk saya meluahkannya. Saya tidak tahu, bagaimanakah harus saya sampaikan monolog saya pada kali ini? Apakah saya harus menulis atas prinsip saya sebagai seorang wartawan? Atau sebagai seorang ahli politik? Atau sebagai seorang penulis bebas? Atau sebagai seorang editor? Semua ini menyukarkan saya untuk menulis monolog saya yang terakhir pada bulan ini. Saya merasakan bahawa saya harus berterus terang dengan jujur dan amanah, tanpa rasa takut dan kesal, kerana kebenaran dan jihad harus ditegakkan dengan segala kekuatan yang ada. Yang pasti, kebenaran tidak boleh disembunyikan lagi. Dan Sesungguh, untuk menjadikan kejahatan bermaharajalela, cukuplah sekadar kebenaran mendiamkan diri! Saya tidak berupaya membiarkan itu semua berlaku. Dan untuk kali ini saya harus bercakap benar dengan nada yang berterus terang. A