Skip to main content

Tuan, Berapa Harga Putrajaya?


Tuan, Berapa Harga Putrajaya?

Oleh Jamhariah Jaafar


1. Rakyat terutama yang pernah menyokong pembangkang sehingga memberi gabungan pakatan pembangkang di empat negeri untuk memerintah, sudah pasti melihat dengan serius gelagat pemimpin parti yang menjulang kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 atas slogan ‘kuasa rakyat’ kerana nyata mereka akhirnya turut menjadi ‘gila kuasa’.

2. Malahan, kelemahan itu turut diakui ramai pemimpin pembangkang termasuk penyokong kuat mereka dan mereka bukan sekadar semakin hilang hala tuju, malahan kritikan dan kutukan rasuah yang hebat dilemparkan kepada parti pemerintah kini berbalik kepada mereka.

3. Dalam tempoh dua tahun saja, semakin ramai pemimpin pembangkang ketiga-tiga parti menunjuk belang masing-masing – ada yang menyalahgunakan kuasa, bertelingkah untuk membuktikan siapa lebih berpengaruh, tidak segan silu mengamal kronisme dan nepotisme, malahan amalan rasuah turut berleluasa.

4. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan saja terus cuba membatalkan kes liwat dan sehingga hari ini tertangguh lebih 20 kali, tapi turut mengheret kesnya ke gelanggang antarabangsa dengan mengguna pengaruh teman lamanya di Washington.

5. Usaha bekas Timbalan Perdana Menteri itu menggunakan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al-Gore; bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz dan bekas Duta AS ke Malaysia, John Mallot mendapat tempelakan seorang penulis, Roy Thinnes yang dengan sinis berkata:

6. “Gore dan Wolfowitz berkelakuan seolah-olah Anwar adalah Nelson Mandela, bukan seorang oportunis.... dan sesumpah (chameleon) yang pakar dalam seni memperdayakan orang.” Thinnes yang menulis mengenai tiga sahabat ini, berkata Anwar, orang yang dipertahan Al Gore bukan saja menyerang Perdana Menterinya sendiri, Datuk Seri Najib Razak, bahkan turut mengkritik Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama, yang dianggap lemah kerana tidak cukup lantang mengutuk Israel.

7. Kata penulis ini, Anwar mengutuk kaum Yahudi kerana menguasai segala-galanya termasuk Kerajaan Malaysia sehingga mencetus perasaan tidak puas hati Washington. Tidak cukup dengan gelagat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini yang cuba menggugat keharmonian negara dengan menggunakan pengaruh di gelanggang antarabangsa, partinya sendiri bergolak dengan pergelutan kuasa di kalangan orang kanannya.

8. Setiap orang tahu betapa Kerajaan Pakatan Pembangkang Selangor yang diketuai PKR kini mengalami pergelutan kuasa serius antara Menteri Besarnya, Datuk Seri Khalid Ibrahim serta orang kanan Anwar, Mohamed Azmin Ali yang menjadi Pengerusi PKR Selangor.

9. Itu belum ditambah kerenah pemimpin PKR lain seperti Datuk Zaid Ibrahim yang ketika ini ‘merajuk’ sehingga tidak mahu bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti November depan.

10. Kerajaan Pakatan Pembangkang Selangor yang baru berusia dua tahun empat bulan ini juga menunjuk tanda ketidaksepakatan antara parti gabungan, di samping berlaku penyalahgunaan kuasa, rasuah dan isu moral yang serius – membabitkan ketiga-tiga parti gabungannya – PKR, DAP dan PAS.

11. Ramai tersenyum sinis apabila penyokong kuat pakatan pembangkang dalam buruan, Raja Petra Kamarudin, meluahkan kekecewaannya terhadap perangai pemimpin semua parti gabungan ini yang tidak mengambil masa lama untuk melupakan janji mereka kepada rakyat Malaysia.

12. “Seorang pemimpin PAS pernah memberitahu saya: ‘Apa bezanya antara PAS dan UMNO atau pakatan pembangkang dan Barisan Nasional? Rasuah juga wujud dalam parti pembangkang seperti ia berlaku dalam parti pemerintah.

13. “Saya menjawab, mungkin dalam PAS atau PKR, tapi sudah pasti bukan dalam DAP. Pemimpin PAS itu hanya tersenyum dan sekarang saya tahu mengapa,” kata anak raja dalam buruan ini meluahkan kekecewaan di dalam blognya, terhadap isu rasuah yang turut berlaku di kalangan pemimpin DAP.

14. Apa yang pasti, bukan seorang dua penyokong pembangkang membidas pemimpin mereka kerana melupakan rakyat yang memberi kuasa, bahkan semakin ramai kecewa melihat pemimpin yang diharap dapat membuat perubahan kepada landskap politik negara kini leka dan asyik dengan usaha mengejar kehebatan kuasa peribadi masing-masing.

15. Pepatah Inggeris mengenai power corrupt, absolutely power corrupt absolutely nyata berlaku dengan mudah tanpa mengira siapa mereka dan kelakuan ‘gila kuasa’ dan ‘cakap tak serupa bikin’ pembangkang memang dijangka sejak dari awal.

16. Rata-rata yang menang Pilihan Raya Umum Ke-12 tempoh hari adalah manusia biasa. Tidak ramai yang memiliki kemewahan dan kesenangan hidup seperti Anwar, Azmin atau Zaid. Apa lagi pemimpin PAS sebelum ini ramai sekadar menjadi pendakwah bebas atau orang biasa, yang dalam melaksana operasi parti pun mengharap derma orang ramai.

17. Jadi perkara pertama yang dilakukan sudah pasti untuk mendapat sedikit kekayaan untuk keselesaan hidup masing-masing. Tapi takkan kaum keluarga dan handai taulan hendak dilupakan – maka kekayaan di negeri yang diperintah sudah pasti diagihkan sesama sendiri.

18. Manakala, pemimpin pembangkang yang kaya raya dan mereka yang sudah beberapa penggal menjadi wakil rakyat pula bagai dirasuk hanya satu impian iaitu merampas Putrajaya walau apapun kosnya.

19. Dalam menggapai impian, mereka sudah pasti akan melakukan apa saja untuk merosakkan imej kerajaan pemerintah hari ini... apa saja sehingga sanggup melihat rakyat pelbagai kaum yang selama ini hidup aman dan damai, diselubungi dengan perasaan saling curiga, tidak puas hati dan membenci antara satu sama lain.

Comments

TAAVEEKUN PERAK said…
salam ziarah sdra,
DR M sedang pukul Anwar.Mmg benar apa yg dikatakan sdra.Kubur panggil Anwar mari dan keamanan Malaysia flying kick Anwar.

Pilihan Pembaca

Di Manakah Syaitan dalam Peristiwa itu?

MONOLOG AZLI SHUKRI BAB 12 : Di Manakah Syaitan dalam Peristiwa Itu? Saya agak lambat membuat respons berkenaan apa-apa yang telah berlaku di Kuala Kangsar, khususnya di Istana Sultan Azlan di Bukit Chandan baru-baru ini. Banyak sms saya terima yang mahukan agar saya segera memberi sedikit pandangan berkenaan isu tersebut, memandangkan bahawa saya merupakan anak jati Kuala Kangsar (kerana ayah dan ibu saya orang Kuala Kangsar dan saya juga dilahirkan di Kg Semat, Manong., K.K.) Saya percaya - seluruh ahli UMNO dan sebahagian besar ahli PAS dan PKR membenci tindakkan Karpal Singh yang cuba mengeruhkan keadaan dengan bertindak untuk menyaman Sultan Perak. Semua orang bersetuju bahawa Karpal Singh terlalu biadab dan kurang ajar dengan Sultan Perak. Dan semua ini akhirnya, menyebabkan kita membuat beberapa kesimpulan bahawa Karpal harus diambil tindakkan tegas - sekurang-kurangnya ditangkap dengan menggunakan Akta ISA, serta tidak kurang juga yang mahu agar beliau diharamkan masuk ke neger...

"Semalam, Saya Menerima SMS daripada Datuk Seri Rais Yatim."

Tahniah Datuk Seri Rais Yatim! Oleh Muhammad Azli Shukri Akhirnya, saya harus berterus-terang dengan jujur dan ikhlas – sesungguhnya salah seorang Naib Presiden UMNO yang harus dipilih oleh perwakilan kelak, ialah Datuk Seri Rais Yatim. Malah, saya juga sudah berazam untuk membantu kempen Datuk Seri Rais Yatim – melalui blog saya ini bagi memastikan salah satu kerusi Naib Presiden UMNO dimiliki oleh beliau. Menonton siaran Hujah di TV9 semalam – membuka mata saya bahawa “inilah diri sebenar Datuk Seri Rais Yatim” – agak malang kepada sesiapa yang sayangkan UMNO tidak menonton siaran Hujah semalam yang menampilkan dua lagi calon Naib Presiden UMNO, iaitu Datuk Seri Syafie Afdal dan Datuk Seri Rais Yatim. Pada pandangan peribadi saya, sejak siaran Hujah keudara di TV9 – Rais Yatimlah satu-satunya pemimpim UMNO yang sanggup berterus-terang tentang hasrat dan perubahan yang diinginkan oleh akar umbi selama ini. Lantaran itu, pada “ijtihad politik” saya, saya “mewajibk...

Isu Syiah : Tutup Pintu Neraka Itu!

Kepada sesiapa yang masih mahu mempertahankan ajaran Syiah Imam 12 atau yang seangkatan dengannya, cubalah renung dan baca tulisan-tulisan di sini, semoga Allah membuka hati dan memberi hidayah kepada tuan-tuan. Klik di sini , di sini , di sini , di sini , di sini , di sini , di sini , di sini , di sini , di sini - cukuplah rasanya bukti-bukti ini bagi menolak fahaman Syiah yang jelas menyimpang jauh daripada ajaran Islam yang sebenar. Sekiranya kita mengaku sebagai ahli akademik dan golongan ilmuan, apakah kita masih tergamak menolak segala bukti ini demi mempertahankan ajaran dan ideologi Syiah semata-mata atas alasan demokrasi dan kebebasan beragama? Syiah bukan salah satu mazhab dalam ajaran Islam, pokok akidahnya sangat jauh daripada ajaran dan amalan Islam yang sebenar - segala hujah dan alasannya sangat lemah dan tidak bersifat akademik yang menyeluruh. Saya masih tidak faham mengapa masih terdapat para intelektual di negara ini sangat mudah terpengaruh dan begi...