Skip to main content

Tuan, Berapa Harga Putrajaya?


Tuan, Berapa Harga Putrajaya?

Oleh Jamhariah Jaafar


1. Rakyat terutama yang pernah menyokong pembangkang sehingga memberi gabungan pakatan pembangkang di empat negeri untuk memerintah, sudah pasti melihat dengan serius gelagat pemimpin parti yang menjulang kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 atas slogan ‘kuasa rakyat’ kerana nyata mereka akhirnya turut menjadi ‘gila kuasa’.

2. Malahan, kelemahan itu turut diakui ramai pemimpin pembangkang termasuk penyokong kuat mereka dan mereka bukan sekadar semakin hilang hala tuju, malahan kritikan dan kutukan rasuah yang hebat dilemparkan kepada parti pemerintah kini berbalik kepada mereka.

3. Dalam tempoh dua tahun saja, semakin ramai pemimpin pembangkang ketiga-tiga parti menunjuk belang masing-masing – ada yang menyalahgunakan kuasa, bertelingkah untuk membuktikan siapa lebih berpengaruh, tidak segan silu mengamal kronisme dan nepotisme, malahan amalan rasuah turut berleluasa.

4. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan saja terus cuba membatalkan kes liwat dan sehingga hari ini tertangguh lebih 20 kali, tapi turut mengheret kesnya ke gelanggang antarabangsa dengan mengguna pengaruh teman lamanya di Washington.

5. Usaha bekas Timbalan Perdana Menteri itu menggunakan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al-Gore; bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz dan bekas Duta AS ke Malaysia, John Mallot mendapat tempelakan seorang penulis, Roy Thinnes yang dengan sinis berkata:

6. “Gore dan Wolfowitz berkelakuan seolah-olah Anwar adalah Nelson Mandela, bukan seorang oportunis.... dan sesumpah (chameleon) yang pakar dalam seni memperdayakan orang.” Thinnes yang menulis mengenai tiga sahabat ini, berkata Anwar, orang yang dipertahan Al Gore bukan saja menyerang Perdana Menterinya sendiri, Datuk Seri Najib Razak, bahkan turut mengkritik Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama, yang dianggap lemah kerana tidak cukup lantang mengutuk Israel.

7. Kata penulis ini, Anwar mengutuk kaum Yahudi kerana menguasai segala-galanya termasuk Kerajaan Malaysia sehingga mencetus perasaan tidak puas hati Washington. Tidak cukup dengan gelagat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini yang cuba menggugat keharmonian negara dengan menggunakan pengaruh di gelanggang antarabangsa, partinya sendiri bergolak dengan pergelutan kuasa di kalangan orang kanannya.

8. Setiap orang tahu betapa Kerajaan Pakatan Pembangkang Selangor yang diketuai PKR kini mengalami pergelutan kuasa serius antara Menteri Besarnya, Datuk Seri Khalid Ibrahim serta orang kanan Anwar, Mohamed Azmin Ali yang menjadi Pengerusi PKR Selangor.

9. Itu belum ditambah kerenah pemimpin PKR lain seperti Datuk Zaid Ibrahim yang ketika ini ‘merajuk’ sehingga tidak mahu bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti November depan.

10. Kerajaan Pakatan Pembangkang Selangor yang baru berusia dua tahun empat bulan ini juga menunjuk tanda ketidaksepakatan antara parti gabungan, di samping berlaku penyalahgunaan kuasa, rasuah dan isu moral yang serius – membabitkan ketiga-tiga parti gabungannya – PKR, DAP dan PAS.

11. Ramai tersenyum sinis apabila penyokong kuat pakatan pembangkang dalam buruan, Raja Petra Kamarudin, meluahkan kekecewaannya terhadap perangai pemimpin semua parti gabungan ini yang tidak mengambil masa lama untuk melupakan janji mereka kepada rakyat Malaysia.

12. “Seorang pemimpin PAS pernah memberitahu saya: ‘Apa bezanya antara PAS dan UMNO atau pakatan pembangkang dan Barisan Nasional? Rasuah juga wujud dalam parti pembangkang seperti ia berlaku dalam parti pemerintah.

13. “Saya menjawab, mungkin dalam PAS atau PKR, tapi sudah pasti bukan dalam DAP. Pemimpin PAS itu hanya tersenyum dan sekarang saya tahu mengapa,” kata anak raja dalam buruan ini meluahkan kekecewaan di dalam blognya, terhadap isu rasuah yang turut berlaku di kalangan pemimpin DAP.

14. Apa yang pasti, bukan seorang dua penyokong pembangkang membidas pemimpin mereka kerana melupakan rakyat yang memberi kuasa, bahkan semakin ramai kecewa melihat pemimpin yang diharap dapat membuat perubahan kepada landskap politik negara kini leka dan asyik dengan usaha mengejar kehebatan kuasa peribadi masing-masing.

15. Pepatah Inggeris mengenai power corrupt, absolutely power corrupt absolutely nyata berlaku dengan mudah tanpa mengira siapa mereka dan kelakuan ‘gila kuasa’ dan ‘cakap tak serupa bikin’ pembangkang memang dijangka sejak dari awal.

16. Rata-rata yang menang Pilihan Raya Umum Ke-12 tempoh hari adalah manusia biasa. Tidak ramai yang memiliki kemewahan dan kesenangan hidup seperti Anwar, Azmin atau Zaid. Apa lagi pemimpin PAS sebelum ini ramai sekadar menjadi pendakwah bebas atau orang biasa, yang dalam melaksana operasi parti pun mengharap derma orang ramai.

17. Jadi perkara pertama yang dilakukan sudah pasti untuk mendapat sedikit kekayaan untuk keselesaan hidup masing-masing. Tapi takkan kaum keluarga dan handai taulan hendak dilupakan – maka kekayaan di negeri yang diperintah sudah pasti diagihkan sesama sendiri.

18. Manakala, pemimpin pembangkang yang kaya raya dan mereka yang sudah beberapa penggal menjadi wakil rakyat pula bagai dirasuk hanya satu impian iaitu merampas Putrajaya walau apapun kosnya.

19. Dalam menggapai impian, mereka sudah pasti akan melakukan apa saja untuk merosakkan imej kerajaan pemerintah hari ini... apa saja sehingga sanggup melihat rakyat pelbagai kaum yang selama ini hidup aman dan damai, diselubungi dengan perasaan saling curiga, tidak puas hati dan membenci antara satu sama lain.

Comments

TAAVEEKUN PERAK said…
salam ziarah sdra,
DR M sedang pukul Anwar.Mmg benar apa yg dikatakan sdra.Kubur panggil Anwar mari dan keamanan Malaysia flying kick Anwar.

Pilihan Pembaca

Isu Tan Sri Ali Hashim : Di Sini Putih Bukanlah Warna

1. Saya mengenali bekas Pengerusi dan CEO Johor Corporation, Tan Sri Ali Hashim hampir dua tahun. Selalu berurusan dengan para pegawai kanannya dan sering pula menulis tentang perkembangan anak-anak syarikat JCorp. Sepanjang saya menjadi wartawan, saya sangat selesa bekerjasama dan begitu mudah mendapatkan pandangan dan idea daripada Tan Sri Ali Hashim. Secara jujur saya katakan, beliau merupakan salah seorang CEO yang sangat saya kagumi dan hormati. Cara dan strategi Tan Sri Ali Hashim mengIslamisasikan organisasi di bawah pentadbirannya, patut dipuji dan diberi penghargaan. 2. Walaupun apa pun yang dikatakan oleh musuh-musuhnya - ia masih belum mampu menafikan segala kebaikan dan jasa beliau dalam membina dan membangunkan JCorp, sehingga dihormati dan dikagumi oleh banyak pihak. Saya tidak tahu apakah sebenarnya yang telah berlaku dalam pentadbiran JCorp sejak akhir-akhir ini. Namun demikian, saya yakin ada sesuatu yang tidak kena, sehingga Tan Sri ali Hashim bertindak meletakkan jaw...

Tun Mahathir Dalam Bahaya!

Saya rasa Anwar Ibrahim akan menyaman Tun Mahathir dengan jumlah amaun yang sangat besar - mungkin mencecah RM 1 Bilion. Mahathir sangat berani mendedahkan kebenaran, sekali pun beliau mungkin akan dizalimi oleh Anwar dan kumpulannya. Berita di bawah saya petik daripada portal Agenda Daily - tulisan Helme Hanafi. Selamat membaca. 1. TUN DR MAHATHIR MOHAMAD mengakui sepanjang 22 tahun mentadbir Malaysia beliau buat banyak silap, tetapi menegaskan keputusan memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan satu kesilapan sama sekali. Bekas Perdana Menteri itu berkata Anwar sepatutnya menjadi pemimpin nombor satu negara kini, tetapi itu tidak berlaku kerana perbuatannya sendiri Ini dinyatakan beliau dalam memoir bertajuk ‘A doctor in the house’ yang dilancarkan di Kuala Lumpur petang Selasa. 2. Dr Mahathir menulis dua bab dalam buku itu untuk menjelaskan tentang isu Anwar.Buku setebal 816 muka surat itu keseluruhan terbahagi kepada...

8 July : The Last Stage

8 JULY THE LAST STAGE KUALA LUMPUR 22 Jun - Kes liwat yang dihadapi oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini mulai 1 Julai ditangguhkan sehingga 8 Julai ini. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan penangguhan bagi membolehkan beliau mendengar dua permohonan Ketua Pembangkang itu terlebih dahulu sebelum perbicaraan kes tersebut bermula. Menurutnya, pada 1 Julai ini beliau akan mendengar permohonan untuk mendapatkan dokumen berkaitan kes itu setelah Sulaiman Abdullah yang mengetuai barisan peguam mewakili Anwar memohon penangguhan bagi membolehkan pihaknya memfailkan jawapan kepada afidavit balasan pihak pendakwaan. Permohonan tersebut sepatutnya didengar oleh hakim tersebut pada hari ini. Hakim Mohamad Zabidin juga menetapkan 8 Julai ini bagi mendengar permohonan Anwar untuk membatalkan tuduhan liwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang dijadualkan didengar pada Jumaat ini. ...