Skip to main content

UMNO & PAS 2010 : Politik Tanpa Parti


UMNO & PAS 2010
Politik Tanpa Parti



1. Meninjau berita sepanjang minggu ini - khususnya berhubung niat murni TS Muhyiddin untuk bertemu dan membincangkan isu perpaduan Melayu-Islam di negara ini dengan PAS- sangat menyentuh hati. Sudah begitu lama isu ini dicanang dan dijaja - tetapi masih belum menemui jalan pulang.


2. Ada yang menyokong, dan tidak kurang yang menentang. Secara peribadi saya menyokong penuh agenda penyatuan ini - sekurang-kurangnya penyatuan dari aspek tertentu perlu dilakukan di peringkat awal. Namun demikian, ia bukanlah semudah yang difikirkan. Banyak rintangan dan cabaran perlu dihadapi. Buat masa terdekat ini - saya rasa ia sangat sukar untuk direalisasikan. Dalam keadaan nafsu serakah PAS yang sedang menggelegak untuk mendapatkan kuasa sepantas yang mungkin, ditambahkan pula dengan hasutan syaitan bertopengkan manusia seperti Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang - maka, harapan untuk melihat UMNO dan PAS bersatu dalam kancah politik perdana terlalu jauh untuk digambarkan.


3. PAS tidak mungkin akan bersetuju untuk bersatu dengan UMNO selagi mereka belum merasai erti kekuasaan dan kegagalan. Manakala, UMNO sanggup berkongsi bantal dengan PAS tatkala kuasa mula tampak hilang di tangan.


4. Demokrasi, rupa-rupanya tidak menjadikan kita lebih matang dan berfikiran jauh. Sebaliknya, demokrasi dan peti undi seakan-akan adalah tempat untuk orang Melayu melepaskan amarah dan dendam kesumat. Kita tidak seperti bangsa Cina yang menjadikan peti undi sebagai alat perpaduan dan lubuk ekonomi - walaupun mereka berlainan ideologi dan cita-cita.


5. Di sisi lain, orang Melayu-Islam lebih gemar dengan falsafah "yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu", walaupun kita tahu kesan dan risiko yang akan kita tanggung. Amalan bangsa kita dalam berpolitik adalah lebih mengutamakan - emosi daripada akal fikiran. Jarang kita menggunakan kematangan sebagai cara untuk berpolitik.


6. Matang - dalam erti dan kamus fikiran kita pada hari ini adalah maksud "menyokong pembangkang dan membongkar segala keburukan yang dilakukan oleh kerajaan" - inilah kematangan yang kita takrifkan tanpa sedar. Perubahan - dalam bahasa mudah orang Melayu adalah merujuk kepada "mengubah kerajaan" dan bukan bermaksud "mengubah mentaliti dan sikap negatif diri sendiri" - sama ada UMNO atau PAS - kita tetap orang Melayu-Islam! Realitinya bukanlah isu UMNO atau PAS yang akan menang dalam pilihan raya - sebaliknya, persoalan tentang Melayu-Islam yang akan hilang kuasa dan hak.


7. Islam tidak akan berjaya ditegakkan melalui saluran demokrasi dan peti undi. Islam bukan agama yang dibangunkan melalui uslub "berapa ramai" orang yang menyokong dan berapa ramai pula yang mengundi - Islam ditegakkan atas nama dakwah dan akhlak - kuasa adalah marhalah yang terakhir! Kesedaran terhadap indahnya syiar Islam bukanlah diukur melalui peti undi dan sistem demokrasi - sebaliknya, Islam itu indah melalui akhlak para penganutnya. Islam sama sekali tidak akan berjaya diperjuangkan melalui lidah demokrasi, kerana demokrasi menuntut suara majoriti - lantaran itu, kebenaran dan kebatilan dalam konsep demokrasi diukur melalui "yang mana lebih banyak meraih undi serta sokongan" dan bukan berpandukan kepada kebenaran mutlak Ilahi.


8. Andaikata lebih separuh ahli DAP dan PKR tidak menyokong Hudud, apakah PAS akan meneruskan hasratnya juga? Atau, PAS akan membuat perhitungan semula terhadap untung-rugi masa depan politiknya? Kesedaran terhadap Islam tidak boleh dilakukan melalui peti undi - ia hanya akan berjaya melalui pendidikan dan kerja-kerja dakwah - manakala, kerja-kerja dakwah memerlukan kesabaran serta pengorbahan - dan inilah yang tidak sanggup dihadapi dan harungi oleh para perajurit-perajurit PAS. Kemenangan Islam bukan datang bergolek - tidak cukup dengan ceramah dan membuka aib para pemimpin kerajaan - sebaliknya, kita memerlukan kebijaksanaan dan tindakan berhikmah - jika, jiwa para pemimpin UMNO boleh dilembutkan dengan agenda perpaduan dan pendekatan dakwah yang betul - maka mengapa mesti kita menolak?


9. Berlembut dengan UMNO bukanlah bermaksud tewas dan mengalah - sebaliknya, berlembut dengan UMNO adalah untuk berdakwah! Jika, mulut celupar Karpal Singh mengenai Islam boleh kita bersangka baik - mengapa tidak dengan para pemimpin UMNO? PAS bukanlah terlalu Islam dan UMNO pula bukanlah terlalu sekular - ada titik temu yang boleh ditemui - tetapi sejauh mana kejujuran kita? Perkauman bukanlah teras perjuangan UMNO - kerana yang diperjuangkan oleh UMNO merupakan perjuangan terhadap hak yang semestinya dimiliki oleh orang Melayu-Islam di negara ini. Dan hak orang Melayu merupakan hak yang dipersetujui secara bersama dalam kerangka mewujudkan perpaduan kaum 50 tahun yang lalu. Mempertahan hak dalam kaca mata Islam adalah perbuatan yang mulia dan wajib dilaksanakan!


10. Namun demikian, dalam mengharungi perjalanan mempertahankan hak tersebut - UMNO tidak terlepas daripada berhadapan dengan sebahagian ahlinya yang korup, menyeleweng, mementingkan diri sendiri, menindas hak orang lain dan berlaku zalim terhadap sesetengah pihak - tetapi, itu bukanlah dasar perjuangan UMNO selama ini - sebaliknya, itu merupakan sikap, perangai dan tabiat sesetengah daripada kita yang membangsakan diri sebagai "orang Melayu" - orang Melayu jenis ini, tetap wujud sama ada di dalam UMNO, PAS mahu pun PKR. Cara orang Melayu berfikir dan berpolitik, tetap sama - tidak mengira parti politik. Perjuangan Islam gaya PAS tidak sedikit pun mengubah cara orang Melayu berfikir dan berpolitik -ahli-ahli PAS tetap tiada bezanya dengan ahli-ahli UMNO. Jika ahli UMNO mengumpat, mereka juga turut mengumpat, jika ahli UMNO mengamalkan kroni, ahli PAS juga sama - dari segi sikap dan akhlak, orang Melayu di dalam UMNO dan PAS sama sahaja warnanya.


11. Justeru itu, apakah sebenarnya yang membimbangkan kita untuk menjayakan agenda perpaduan? Jika kita mahu bersikap jujur - kita boleh menemui terlalu banyak persamaan dari segi sikap dan perangai para penyokong PAS dengan para penyokong UMNO, tidak jauh bezanya. Jika terdapat ahli UMNO yang rasuah, ahli PAS juga ada yang sebegitu, jika ada ahli UMNO yang menipu dalam berniaga, begitu juga dengan ahli PAS, jika ada ahli UMNO yang suka berbohong, ahli PAS juga tidak terkecuali. Sikap mahmudah dan mazmumah bukanlah dinilai melalui parti mana yang kita sertai - ia bergantung kepada hati dan keimanan.


12. Menyertai PAS, tidak menjadikan seseorang itu terlalu Islamik dan menyertai UMNO pula tidak bererti menjadikan seseorang itu munafik. Islam melalui peti undi - sama sekali tidak menjadikan seseorang itu zuhud terhadap dunia dan beramal dengan amalan ahli syurga. Sebaliknya, meletakkan Islam di dalam peti undi, bermakna menjadikan Islam seolah-olah agama yang sangat rendah nilainya - sehinggakan umat Islam terpaksa "mendapatkan suara majoriti" bagi membuktikan bertapa Islam itu agama yang indah lagi benar.


13. Maka, di manakah perjalanan kita ini akan berakhir? Agenda perpaduan bukanlah bermakna mahu menjadikan UMNO itu PAS dan PAS itu UMNO - sebaliknya, agenda perpaduan tidak lebih daripada usaha untuk bersama-sama mempertahankan agama dan bangsa melalui "kuasa perpaduan" bagi menjernihkan semula hubungan sesama saudara seIslam yang sudah sekian lama bermusuhan. Wallahualam

Comments

Anonymous said…
Demi menjayakan penyatuan UMNO dan PAS, kerajaan hendaklah besedia untuk berkongsi kuasa. Untuk permulaan kerajaan BN boleh melantik Presiden PAS Haji Hadi memegang jawatan setaraf Menteri atau jadikan beliau Menteri Hal Ehwal Agama yang mengurus segala hal dan masalah agama-agama di Malaysia di bantu oleh timbalannya yang juga di kalangan ahli PAS TANPA perlu menyertai atau mewakili UMNO atau Barisan Nasional.Mungkin dengan perlantikan itu UMNO dan PAS dapat menjalinkan hubungan sambil mencari titik persamaan.Disamping itu juga mungkin pihak PAS dapat memperbetulkan keadaan sosial dan maksiat yang makin menjadi-jadi sekarang.Kalau sebelum ini segala masalah sosial di salahkan ke kerajaan BN, mudah-mdahan dengan perlantikan tersebut kita mendapat idea baru ala PAS untuk membanteras gejala tersebut.-ASP-Z-
Pada pandangan aku, masaalah jawatan tidak ujud dalam isu ini. Sekiranya PAS yang merupakan parti orang melayu/islam kedua terbesar bersedia bekerjasama dengan UMNO, jangankan jawatan Menteri Hal Ehwal Agama, Timbalan Perdana Menteri pun boleh bagi. Selepas itu kalau nak jadi Perdana Menteri pun tak ada masaalah. Yang penting ialah persefahaman.

Kehadiran PAS mungkin boleh mengubah cari pemikiran pemimpin-pemimpin Islam dalam BN dari sudut pengertian. Kerjasama dan kemampuan UMNO dalam mentadbir negara pula boleh membantu memakmurkan.

Di sini kita dapat lihat kelebihan (advantage) yang boleh diperolehi sekiranya berlaku kerjasama ini.

aku yang bingai
azlishukri said…
terima kasih komen tuan2

Pilihan Pembaca

"Semalam, Saya Menerima SMS daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin."

HENTIKAN SEGALA FITNAH Saya agak tertarik dengan kenyataan Datuk Seri Ali Rustam semalam, bahawa tidak timbul isu konspirasi untuk menjatuhkan beliau melalui Lembaga Disiplin. Kenyataan tersebut turut disambut oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib dengan menegaskan bahawa ahli-ahli UMNO perlu menerima keputusan tersebut, serta memikirkan kepentingan UMNO melebihi daripada kepentingan individu. Yang menarik perhatian saya adalah, terdapat satu mesej yang sangat jelas bahawa apa-apa yang sedang berlaku ketika ini merupakan pertembungan antara "pemimpin UMNO yang berimej bersih VS pemimpin UMNO yang berimej tidak bersih", malah terdapat usaha yang meminta mana-mana pemimpin UMNO yang mempunyai imej tidak baik dan bersih, disaran berehat dahulu daripada politik, serta pikirkan terlebih dahulu kepentingan parti dan kehendak akar umbi. Saya mengucapkan kesyukuran, tatkala Datuk Seri Ali Rustam, mengakui kesilapan beliau dan berharap agar para penyokongnya bertenang dan ...
KENALI DATUK MUKHRIZ MAHATHIR Siri Pertama "Saya membesar seperti kanak-kanak lain." Oleh Muhammad Azli Shukri Menelusuri kehidupan zaman remaja Datuk Mukhriz Mahathir, sangat teruja. Anak ketiga kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad ini begitu ceria sewaktu membicarakan zaman remajanya kepada penulis. “Zaman remaja saya penuh dengan keriangan, saya seperti kanak-kanak lain, hidup dalam budaya Melayu yang sangat menekankan soal adat dan agama Islam.” Ujar Mukhriz ketika memulakan perbualan. “Saya dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan dan agama, ayah saya Tun Mahathir sangat tegas dalam pendidikan kami. Walaupun beliau sibuk sebagai ahli politik, namun pendidikan anak-anaknya sangat diambil berat.” Sambung Mukhriz lagi. Menurut beliau, zaman remajanya sangat menarik untuk dikongsi bersama. Walaupun keluarga Mukhriz sangat dihormati oleh masyarakat pada ketika itu, kerana Tun Mahathir merupakan seorang doktor perubatan, namun hubungan...

Akhil 2009 : Hari Tanpa Esok

AKHIL 2009 Hari Tanpa Esok KUALA LUMPUR 25 Mei - ''Februari lalu, dia pernah meminta kebenaran untuk mengahwini Waheeda. Saya reda dan membenarkannya. ''Bagaimanapun, selepas dia mendiamkan diri termasuk tidak pulang ke rumah dan menjawab telefon, saya sudah hilang sabar serta nekad untuk menuntut cerai.'' Itu tegas isteri kepada penyanyi dan pendakwah Akhil Hayy, Maizawati Zainal, 33, berhubung kemelut rumah tangga mereka yang kini sedang hangat diperkatakan gara-gara Akhil didakwa mempunyai hubungan dengan penyanyi Waheeda atau Norwahidah Abdul Wahab, 31. Menurut Maizawati, selepas lama memendam perasaan, dia hilang rasa sabar dengan apa yang melanda hidupnya ekoran gosip hubungan berkenaan termasuk apa yang telah Akhil lakukan terhadap dirinya. ''Saya pernah beberapa kali menghubunginya tetapi dia tidak menjawab telefon. Alasan yang diberikan adalah sibuk dengan kerja. ''Dia juga sudah lama tidak pulang ke rumah. Ketika saya memfailka...