Skip to main content

Akhlak Mulia ialah Jenama Nabi Muhammad dalam Berniaga

TIADA ALASAN LAIN, MENGAPA MICHAEL HART sanggup meletakkan Nabi Muhammad sebagai manusia paling berpengaruh dalam sejarah manusia melalui buku terkenal beliau berjudul  “Seratus Tokoh Paling Berpengaruh dalam Sejarah”, melainkan Nabi Muhammad seorang yang benar-benar berpengaruh dalam dunia perniagaan. 
 

Para orientalis sering berbohong dengan mendakwa Nabi Muhammad ialah seorang penganggur, sebelum Baginda diutus menjadi rasul dan nabi. Fakta berkenaan Nabi Muhammad sebagai pengurus, usahawan dan peniaga sering diputar-belitkan demi menidakkan kredibiliti Nabi Muhammad sebagai seorang rasul agung pilihan Tuhan. Nabi Muhammad didedahkan dengan dunia perniagaan seawal usia 12 tahun, sewaktu mengikuti  bapa saudaranya Abu Thalib dan kumpulan peniaganya dalam ekspedisi dagang ke Syria – sebuah ekspedisi agung yang menyerlahkan kenabian Muhammad melalui kaca mata Pendeta Bahira. Hakikat sejarah yang tidak mampu dinafikan oleh sesiapa pun. 

Nabi Muhammad ketika berumur  17 tahun, sudah mula berniaga sendirian secara kecil-kecilan di Kota Makkah. Membeli barangan dari pasar dan kemudian menjualnya kepada orang lain. Rutin ini telah menyerlahkan kredibiliti Baginda sebagai usahawan yang rajin dan amanah, malah membawa Baginda ke transaksi perniagaan yang jauh lebih luas daripada sebelumnya. Nabi Muhammad merintis pekerjaannya sebagai peniaga dan usahawan dengan modal yang kecil dan kadangkala bekerja sebagai ejen untuk mendapatkan upah. 

Melalui perniagaan berbentuk Shirkat (kerjasama) yang menjadi tradisi perniagaan masyarakat di kota Makkah ketika itu, telah menemukan Baginda dengan para pemberi modal yang terdiri daripada para janda, anak-anak yatim dan kaum wanita yang tidak berdaya. Golongan ini walaupun bertaraf jutawan, namun tidak mampu berniaga secara langsung. Lantaran itu, mereka memberikan pinjaman modal atau mengupah mana-mana peniaga yang mampu menguruskan perniagaan serta mampu membawa keuntungan kepada mereka. 

Nabi Muhammad amat beruntung, keperibadian unggul yang dimilikinya berjaya menarik ramai peminjam dana untuk mengamanahkan tanggungjawab perniagaan kepadanya. Termasuklah Siti Khadijah. Sebelum bekerja dengan Khadijah lagi, Baginda sememangnya berpengalaman dalam melakukan banyak ekspedisi dagangan di luar Makkah atas nama sendiri. Apatah lagi setelah Khadijah melantik Nabi Muhammad sebagai pengurus perniagaannya. 

Ketika umur Nabi Muhammad mencecah 25 tahun, Baginda sudah diiktiraf sebagai pengurus muda yang cukup berjaya menempa nama, tidak hanya di tempat kelahirannya sahaja, malah di persada antarabangsa sebagai tokoh peniaga, pengurus dan usahawan yang terkenal. 

Hakikat ini diakui oleh pemimpin Bahrain bernama Al-Ashajj apabila beliau mendapati Nabi Muhammad begitu mahir dalam soal perniagaan, budaya keusahawanan dan perekonomian negaranya, terutama di kota-kota besar seperti di Safar, Mushaqqar dan Hijar. Akhirnya, Al-Ashajj berkata kepada Baginda, “Anda nampaknya lebih mengetahui negara saya daripada diri saya sendiri.” Kisah ini dicatat di dalam kitab Musnad Imam Ahmad.

Aktiviti perniagaan Nabi Muhammad tidak terhenti walaupun sudah berumah tangga dengan Siti Khadijah. Malah, selepas bernikah Baginda dilihat lebih aktif dalam menguruskan syarikat dan perniagaan isterinya dengan lebih berjaya.

Baginda juga berjaya memperkasakan ekonomi dan perniagaan Siti Khadijah dengan etika perniagaannya yang cukup tersusun dan menyenangkan hati para pedagang dari daerah-daerah lain. Oleh sebab itu, ketika Baginda menjadi pengurus kepada perniagaan Siti Khadijah, perniagaannya begitu pesat berkembang dan nama Baginda sentiasa meniti di setiap bibir para pedagang yang membanjiri kota-kota perdagangan semenanjung Arab, Syam, Yaman, Syria, Busra, Iraq, Yordania dan Jorash.

Baginda tidak hanya dikenali kerana perniagaannya yang maju, tetapi lebih daripada itu Baginda dikenali sebagai pedagang dan usahawan yang serba cukup dengan ilmu perniagaan dan perekonomian, di samping etika perniagaannya yang penuh dengan kejujuran, kesetiaan, menepati janji, menjaga kualiti barangan, amanah dalam tadbir urus korporatnya, profesional dan memudahkan urusan jual beli. 

Pada saat Rasulullah menguruskan perniagaan Siti Khadijah, Baginda mampu memperkasakan perniagaan dan ekonomi majikannya itu dengan mengadakan perniagaan secara shirkat (kerjasama) melalui beberapa tokoh perdagangan lain seperti Saib ibn Ali Saib, Qais ibn Saib dan Rabi ibn Badr. Dan kerjasama ini benar-benar menguntungkan kedua-dua pihak, sehingga Saib berkata, “Muhammad ialah rakan kerjasamanya dalam perniagaan dan selalu lurus dalam perkiraan-perkiraan perdagangan.”

Kekuatan dan kejayaan Rasulullah dalam memperkasakan ekonomi dan perdagangannya banyak bergantung kepada ilmu, akhlak dan etika dalam mengurus perniagaannya. Sehingga dicatatkan bahawa baginda berjaya meluaskan empayar perniagaannya hingga ke luar Semenanjung Arab dan lebih daripada 10 pasar besar perniagaan yang terkenal telah disertainya, seperti pasar Fumatul Jandal di utara Hijaz, Mushaqqar di Hijar, Suhar di Oman, Shir (Maharah) di sebelah pantai laut Arab antara Aden dan Oman, San'a Ibu kota Yaman, Rabiyah di Hadramaut, Ukaz di Najd, Nazat di Wilayah Kahibar, Hijr di Yamamah dan banyak lagi. 

Kejayaan baginda menguruskan perniagaannya benar-benar menggambarkan manifestasi daripada sebuah hadis Baginda yang amat masyhur, “Allah memberikan rahmat-Nya pada setiap orang yang bersikap baik ketika menjual, membeli dan membuat suatu kenyataan.” (Riwayat Bukhari).

Hakcipta Terpelihara ©Muhammad Azli Shukri, 2020 NS 2021/6/2020 e-NS : ASRJ 06. Ikuti saya di saluran-saluran berikut :
 
Telegram   : t.me/azlishukri 
FB Profile : Azli Shukri
FB Page    : Muhammad Azli Shukri
Instagram  : azli.shukri
Twitter       : AzliShukri
LinkedIn    : Muhammad Azli Shukri
YouTube    : Azli Shukri Channel
Blogspot    : Azli Shukri Jurnal
TikTok      : Azli Shukri

Comments

Pilihan Pembaca

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca ...

Terkini Isu Rombakan Kabinet : Tahniah KJ!

Saya memetik sebuah laporan daripada blog Melayu Baru berkenaan isu pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai menteri penuh. Sebelum ini, saya sudah maklumkan di dalam blog ini , bahawa KJ berkemungkinan besar akan menyertai kabinet DS Najib tidak lama lagi, ekoran kejayaan luar biasa beliau mendaftarkan ahli baru Pemuda UMNO melebihi 40 ribu orang dalam masa yang sangat singkat - dan jika laporan blog ini menjadi realiti, soalnya hanya satu, apakah pendirian para bloggers pro-kerajaan kelak? Apakah para bloggers ini bakal berpaling tadah dan bertukar kiblat seperti mana yang dikatakan oleh Zaini Hassan dalam kolumnya Cuit-cuit di Utusan Malaysia ? Apa-apa pun, sama-sama kita tunggu perkembangannya. Baca laporan itu di sini : NAMPAKNYA HASRAT KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ) untuk menjadi Menteri akan tercapai dalam rombakan Kabinet yang dijangka akan dilakukan pada hujung bulan ini. Lebih memeranjatkan, cadangan perlantikan KJ kali ini dikatakan disokong oleh Timbala...

Kabinet Najib : Masih Kenal Saya?

NOSTRADAMUS SUDAH MATI! Hampir semula ramalan dan tekaan daripada para pemerhati politik dan ahli-ahli politik telah gagal membaca betapa dalamnya hati nurani DS Najib bagi memilih senarai ahli kabinetnya sebentar tadi. Saya percaya, beberapa hari yang lalu, lobi melobi telah berlaku, malah tidak kurang juga ratusan SMS berlegar diruang udara, menceritakan siapa yang bakal dilantik ke kementerian tertentu. Namun demikian, saya percaya pasti ramai yang terkejut dengan barisan kabinet DS Najib pada kali ini, kerana sangat jelas bahawa DS Najib tidak terpengaruh dengan sesiapa pun ketika beliau membuat keputusan melantik ahli jemaah menterinya. Hal ini sangat jelas, tatkala semua ramalan awal dan ramalan di saat-saat akhir turut tersasar jauh daripada hakikatnya. DS Najib memang bijak, maka tidak hairanlah mengapa Tun Mahathir menginginkan beliau menjadi PM, dan terbuktilah juga mengapa Anwar Ibrahim selama ini begitu bimbang andaikata DS Najib menerajui negara. Sesungguhnya, banyak tin...