Skip to main content

Hatta Ramli 2010 : Hilang Dalam Cahaya


Hatta Ramli 2010
Hilang Dalam Cahaya



Dr Hatta Ramli bukanlah nama besar dalam kepimpinan PAS. Namun demikian, peranannya lebih bersifat "Man Behind The Door" yang sangat tangkas dan pantas menggerakkan massa. Tanggungjawabnya dalam menghimpun dan melakukan demonstrasi jalanan sangat berjaya, khususnya sekitar tahun 1998 - 2000. Dan kali ini, beliau diberi tugas yang sama bagi menghimpun dan menjayakan misi gerakan massa di bawah judul, "Bantah Pembaziran, Selamatkan Rakyat" pada 9 Ogos ini di Kampung Kerinchi. Demonstrasi sudah menjadi budaya hidup para pendukung parti pembangkang. Budaya jahiliah ini terus diwarisi umat Islam atas nama "kebebasa bersuara dan demokrasi" - padahalnya, ia adalah budaya yang jauh terpesong daripada nur Islam dan rahmat Ilahi. Baca artikel tulisan saya di bawah ini, semoga Allah membuka hati kita kepada kebenaran. Wallahualam.

1. Antara kejahilan ketara yang sering kita lakukan dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu isu yang diperdebatkan, adalah ketidakemampuan kita melihat isu tersebut dari disiplin ilmu lain, kegagalan itu – akhirnya membawa kita ke jurang kesesatan yang paling bahaya, bahkan menyebabkan kita terlalu mudah menjatuhkan sesuatu penilaian hanya berasaskan kepada latar belakang pendidikan yang kita terima. Umpamanya, isu kebebasan bersuara dan kebebasan untuk melakukan rapat umum dan berdemonstrasi, sering kali dilihat dari kaca mata perundangan semata-mata. Apatah lagi jika orang yang berbicara berkenaan isu tersebut merupakan lulusan undang-undang.


2. Begitu juga apabila kita menyentuh soal ekonomi, kita sering melihat isu tersebut berasaskan kepada latar belakang pendidikan tinggi kita, dan jika kelulusan kita dalam bidang agama, maka isu tersebut hanya akan dilihat dari sudut agama semata-mata. Jarang kita memikirkannya di luar kepompong disiplin ilmu yang kita miliki untuk lebih memahami topik dan mencari kebenaran yang sejati terhadap sesuatu isu itu.


3. Hal ini terjadi adalah kerana, kemalasan kita untuk memahami disiplin ilmu lain, atau dengan kata lain, kadang kala kita terlalu ego dengan diri sendiri kerana merasakan bahawa disiplin ilmu yang kita kuasai selama ini sudah cukup untuk membuat analisis yang tepat terhadap isu yang sedang diperbincangkan. Jalan terbaik untuk kita berlaku adil terhadap perbincangan yang melibatkan pelbagai isu, ialah kita, seharusnya mengetahui disiplin sesuatu ilmu yang berkaitan dengan isu yang sedang diperdebatkan, dan bagaimanakah ahli dalam bidang tersebut melihatnya. Lantaran itu, dalam membicarakan sesuatu isu, sama sekali kita tidak boleh melihat dari satu aspek semata-mata, tetapi dari pelbagai aspek, mengikut disiplin ilmu tersebut. Mahu atau tidak mahu, kita harus mengetahui pelbagai disiplin ilmu, barulah sesuatu isu itu dilihat dengan matang dan bertujuan untuk mencari kebenaran.


4. Jika isu tersebut berkenaan agama, maka seharusnya kita mengetahui disiplin ilmu agama untuk mengupas isu tersebut, agar lebih adil dan bertujuan mencari kebenaran. Jika isu melibatkan ekonomi, maka disiplin ilmu ekonomilah yang harus kita ketahui, agar rumusan kita kelak tidak terkeluar daripada kebenaran. Dan adalah baik, jika kita berupaya menguasai pelbagai disiplin ilmu agar kita bisa membuat kesimpulan yang lebih menghampiri kebenaran dan keadilan.


5. Dalam hal ini, isu berkenaan demonstrasi, sering dilihat dari kaca mata perundangan dan ekonomi, jarang kita melihatnya dari aspek agama. Maksud saya, isu ini acapkali disisihkan daripada kaca mata Islam, bahkan tidak kedengaran langsung dalam kalangan ulama tempatan membicarakannya, seolah-olah mereka turut redho atas segala tindak tanduk penyokong-penyokong PKR yang menganjurkan demonstrasi besar-besaran selama ini bagi menjatuhkan kerajaan. Mengapa para ulama membisu? mengapa mereka tidak bercakap perkara yang hak? Dan mengapa mereka menyembunyikan ilmu dan hukum?. Jika berkenaan Karnival Sure Heboh atau konsert artis, para ulama pantas memberikan hukum, tetapi dalam isu demonstrasi dan tunjuk perasaan yang sering dianjurkan oleh parti pembangkang, tiada ulama pun yang menegur. Apakah mereka takut dituduh sebagai penyokong kerajaan? Atau mereka tidak mahu bercakap benar?


6. Aneh, dan kadang kala menjadi misteri dalam kalangan ulama tempatan, baik yang berfahaman salaf mahupun tidak. Mereka seolah-oleh bersetuju bahawa cara berdemonstrasi itu merupakan cara terbaik menegakkan kebenaran dan keadilan di negara ini. Tidak kurang juga terdapat ulama-ulama kerajaan yang termakan dengan pelbagai alasan yang dikemukakan oleh para ulama parti pembangkang, kononnya demonstrasi yang sering diadakan itu adalah bertujuan menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.


7. Maka, mereka pun menghimpunkan ribuan manusia membanjiri jalan-jalan raya sambil berarak memprotes kerajaan yang mereka dakwa terlalu zalim itu. Manakala, para peguam dan pengamal undang-undang yang jahil pula – mengangkat bendera sokongan, kononnya semua itu adalah sah di sisi undang-undang dan kerajaan tidak sepatutnya menghalang mereka untuk berdemonstrasi. Begitulah syaitan menyesatkan kita semua. Dan kini, saya tidak bisa lagi menyembunyikan ilmu yang telah saya ketahui, setelah mengkaji dan melakukan penyelidikan. Kebenaran tetap kebenaran, kerana sifat kebenaran itu sememangnya pahit untuk ditelan.


8. Mengapa ini semua terjadi? tak lain dan tak bukan ia disebabkan kegagalan kita menguasai disiplin ilmu lain yang tidak kita pelajari di universiti. Lantaran itu, saya mencari jawapan berkenaan persoalan yang sering berlegar dalam kotak minda saya,selama ini, iaitu bagaimanakah Islam memandang demonstrasi? Dan apakah pula hukumnya jika kita sama-sama menyertai dan menghalalkannya? Hal ini terfikir oleh saya setelah melihat para ulama berdiam diri seribu bahasa dalam soal tersebut. Rakyat jadi keliru, apakah ini budaya yang disarankan oleh Islam dalam mengamalkan amar makruf nahi mungkar? Apakah berdemonstrasi itu juga merupakan sebahagian daripada menegakkan kebenaran dan keadilan dalam Islam? Akhirnya saya mendapat jawapan. Dan kebenaran ini, akan saya gigit dengan kemas-kemas sebagai hujah dan dalil yang terang dan jelas. Moga-moga hati kita tidak lagi buta dalam melihat kebenaran.


9. Demonstrasi pada amnya merujuk kepada konsep tunjuk perasaan, baik ia bersifat aman, mahupun ekstrim. Yang penting, konsep demonstrasi difahami sebagai cara untuk meluahkan rasa ketidakpuashatian di khalayak ramai dengan mengadakan perarakan serta rapat umum yang melibatkan orang ramai.


10. Pada dasarnya, demonstrasi bukanlah kaedah yang dianjurkan oleh Islam untuk menyampaikan dakwah serta menganjurkan amar ma’ruf nahi mungkar dalam kalangan masyarakat. Hal ini adalah kerana, demonstrasi mempunyai unsur-unsur yang boleh membawa pelakunya bermaksiat kepada Allah. Apatah lagi jika demonstrasi itu dilakukan dengan tujuan membuka aib golongan tertentu, serta menjatuhkan kepimpinan masyarakat Islam. Maka, hal ini amat jelas dosanya. Antara kemungkaran yang dibawa oleh demonstrasi adalah :


11. Demonstrasi amat jelas berbentuk tasyabbuh, yakni perbuatan yang menyerupai perbuatan orang-orang kafir. Sedangkan tasyabbuh amat dilarang oleh Islam. Sabda Rasulullah, “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum itu, maka dia termasuk kaum mereka.” (Riwayat Abu Dawud). Menurut Ibn Taimiyyah, tasysbbuh kepada orang kafir, mempunyai beberapa tingkat hukum. Yang tertinggi adalah haram, dan yang terendah adalah makruh. Sebagai contoh, tasyabbuh kepada pakaian orang-orang kafir yang mendedahkan aurat di khalayak ramai adalah haram. Dalam hal ini, berdemonstrasi adalah mirip golongan kafir. Hanya golongan yang lemah iman dan yang tidak beriman sahaja suka melakukan demonstrasi.


12. Demonstrasi termasuk khuruj, yakni keluar menentang pemerintah, yang jelas ditegah oleh Rasulullah dalam banyak hadis shahih baginda. Seperti, “Barangsiapa yang melihat sesuatu yang tidak disukainya daripada penguasanya, maka hendaklah ia bersabar, kerana barangsiapa yang memisahkan diri daripada jamaah sekadar sejengkal, maka kematiaannya adalah kematiaan jahiliah.” (Riwayat Bukhari). “Akan ada sesudahku para imam atau kepala negara yang tidak mengikut petunjuk dan tidak menjalankan sunnahku. Dan akan bangun pada mereka (dalam kalangan mereka) laki-laki yang hati mereka adalah hati syaitan dalam tubuh manusia. Bertanya Huzaifah, bagaimanakah saya hendak lakukan jika saya menemuinya, Ya Rasulullah? Baginda bersabda, hendaklah engkau mendengar dan taat, walaupun ia memukul belakangmu dan mengambil hartamu. Dengar dan taatlah.” (Riwayat Muslim). “Akan ada pemerintah yang kamu mengenali mereka dan kamu mengingkarinya. Maka, barangsiapa yang mengenali, sesungguhnya ia telah bebas dan barangsiapa yang membenci maka ia selamat. Akan tetapi orang yang redho dan mengikutnya? Mereka bertanya, bolehkah kami memerangi mereka? Rasulullah bersabda, Tidak! Selama mereka bersolat.” (Riwayat Muslim).


13. Hadis-hadis sahih di atas merupakan peringatan Rasulullah agar umat Islam mengelakkan sebarang perkara yang boleh memecahbelahkan kesatuan umat Islam. Demonstrasi sama sekali tidak mendatangkan manfaat kepada masyarakat dan negara, bahkan lebih banyak menimbulkan kerosakan. Demonstrasi di jalan-jalan raya serta di tempat awam, merupakan tatacara meluahkan perasaan yang terpesong jauh daripada roh Islam yang lebih menggalakkan musyawarah serta menanamkan perasaan sabar.


14. Unsur ketiga pula, demonstrasi sering disertai dengan ucapan-ucapan dan ceramah yang menaikkan semangat dalam kalangan para petunjuk perasaan. Di samping itu, para penceramah dan pemidato juga akan membuka aib serta keburukan individu serta pemimpin tertentu yang tidak mereka senangi. Perbuatan sebegini cukup jelas dilarang oleh Islam. “Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang.” (Al-Hujrat 12). “Sesungguhnya orang-orang yang menyukai agar tersebar keburukan dalam kalangan orang-orang beriman, bagi mereka adalah azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”. (An-Nur 19).


15. Selain daripada itu, demonstrasi juga memiliki unsur ikhtilath, yakni bercampur-baur antara lelaki dengan perempuan. Bahkan kadang-kala berhimpit-himpit dan bergesel-geselan. Perbuatan ini sama sekali bercanggah dengan etika sosial Islam. Walaupun kadang-kala terdapat demonstrasi yang memisahkan antara lelaki dengan perempuan, tetap perbuatan menggalakkan wanita keluar dari rumah untuk menyertai demonstrasi tersebut merupakan perbuatan yang membelakangi sunnah. Malah, ia juga boleh menimbulkan fitnah.


16. Unsur kelima, ialah demonstrasi itu sendiri mampu mencetuskan huru-hara, di samping mencetuskan bermacam-macam fitnah yang akhirnya kembali kepada masyarakat Islam itu sendiri. Dan sesungguhnya, inilah unsur yang amat berbahaya kepada agama, masyarakat dan negara. Hal ini bermakna, demonstrasi lebih banyak membawa mafsadat (kerosakan) berbandingan dengan maslahat (kebaikan) terhadap harta benda, perasaan dan jiwa yang sememangnya ditegah oleh Allah di dalam Al-Quran.


17. Unsur keenam, ialah demonstrasi bukanlah cara menyampaikan amar ma’ruf nahi mungkar yang dituntut Islam, kerana demonstrasi lebih menjurus ke arah kekerasan dan lebih condong untuk menunjukkan pengaruh dan kuasa. Sedangkan dalam menyampaikan amar ma’ruf nahi mungkar, sifat halus dan penyabar adalah dituntut. Firman Allah dalam surah Ali Imran, “Maka disebabkan rahmat daripada Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap kasar lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan dari sekelilingmu.”


18. Dalam hal ini, Ibn Taimiyyah dalam kitabnya, Al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyi ‘Anil Mungkar, mengemukakan dua buah hadis shahih berkenaan keperluan sifat lemah lembut dan halus dalam berdakwah. Sabda Rasulullah, “Tiadalah sikap halus dalam sesuatu hal, melainkan memperindahkan sesuatu itu dan tiadalah sikap kasar dalam hal melainkan memperburukkannya.” (Riwayat Muslim). “Allah bersifat sangat halus, menyukai sifat halus dalam semua urusan dan Dia memberi kerana sikap halus itu, sesuatu yang tidak akan Dia berikan kerana sikap kasar.” (Riwayat Bukhari). Kemudian, Ibn Taimiyyah menyambung, “Para penyeru dakwah (yang melakukan amar ma’ruf nahi mungkar) harus bersifat sabar dan tabah terhadap setiap gangguan, sebab ia pasti menemui gangguan. Jika tidak tabah dan sabar, maka ia lebih banyak membawa kerosakan daripada maslahat. Demonstrasi merupakan kaedah menyampaikan amar ma’ruf nahi mungkar yang terpesong daripada cara berlemah lembut dan bijaksana dalam menyampaikan risalah tauhid, yang dituntut oleh Islam.


19. Berasaskan hujah-hujah di atas ini, agak malang kerana masih terdapat dalam kalangan umat Islam di negara ini yang cuba menghalalkan demonstrasi dengan beralaskan kepada riwayat-riwayat mungkar, serta tidak boleh dijadikan dalil dan hujah. Seharusnya, umat Islam khususnya di Malaysia, menjadikan peristiwa pembunuhan Khalifah Uthman sebagai ikhtibar, kerana peristiwa berdarah tersebut adalah berpunca daripada tercetusnya fitnah yang dijaja melalui demonstrasi oleh Abdullah bin Saba’ dalam kalangan kaum muslimin. Dan akhirnya, demonstrasi menjadi amalan umat Islam sehingga Saidina Ali turut menjadi mangsa.


20. Inilah kesan serta impak daripada perbuatan golongan yang gemar menganjurkan demonstrasi. Manakala, masyarakat yang jahil pula begitu mudah terpengaruh dengannya, tanpa berfikir panjang. Sedangkan Allah mengingatkan kita dengan firmannya, “Dan janganlah kamu mengikuti apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya, pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan diminta pertanggungjawapannya.” (Al-Isra 36).


21. Nah, sekarang saya bisa terasa beban sudah terlepas dengan menyatakan yang hak dan kebenaran. Segala ilmu yang saya ketahui dalam persoalan ini telah saya sampaikan kepada para pembaca sekalian. Terpulang sama ada Allah membuka hati kita untuk menerima kebenaran tersebut. Tanggungjawab saya telah terlepas dengan menyampaikan apa-apa yang telah saya kaji dan ketahui, maka mari sama-sama kita mengambil manfaat daripada firman Allah dalam surah Fusshilat ayat 33-34, “Siapakah yang lebih baik perkataanya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang salih dan berkata, ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri. Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antara mu dengan antara dia ada permusuhan seolah-olah menjadi teman yang sangat setia.”


22. Sesungguhnya kebenaran sudah jelas, tetapi kita degil dengan mengikut hawa nafsu sebagai petunjuk. Dan benarlah dengan firman Allah ini, “Dan siapa yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya, dengan tidak mendapat petunjuk daripada Allah sedikit pun.” (Al-Qashash 50).


23. Apabila kita sudah dihadapkan dengan kebenaran, janganlah berpaling lagi. Peganglah ia kuat-kuat, agar iman kita bertambah.Firman Allah, “Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu, tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu, apabila kamu telah mendapat petunjuk.” (Al-Maidah 105).


24. Dan sekarang, bagaimanakah prinsip kita terhadap demonstrasi yang sering dilakukan dan dianjurkan oleh pihak pembangkang, khususnya PKR? Masihkah kita menerimanya sebagai perkara yang halal? Bukankah sebelum ini kita disajikan dengan macam-macam demonstrasi yang dianjurkan oleh pembangkang, seperti demonstrasi BERSIH, demonstrasi turun harga minyak dan pelbagai lagi. Jadi pada hari ini, sebagai manusia yang mengaku beriman kepada Allah. Tepuklah dada dan tanyakanlah iman kita.


25. Manakala, bagi sesetengah ulama yang masih tidak berani berkata benar dalam hal ini, fikirkanlah tentang kepentingan agama, bangsa dan negara . Janganlah kita begitu mudah terpengaruh dengan dakyah dan retorik kosong pihak yang menghalalkan demonstrasi jalanan yang jelas terpesong jauh daripada tatacara berdakwah generasi salaf. Sesungguhnya, pada hari ini, kebenaran seakan-akan tidak diendahkan lagi, malah, bagi mereka yang mengkritik parti pembangkang kerana menganjurkan demonstrasi jalanan pula yang dipersalahkan, kononnya mereka tidak demokratik dan tidak memahami perundangan. Dan kini, saya rasakan kebenaran sudah berada di sisi gelapnya. Manakala ulama pula, membisu seribu bahasa. Semoga Allah selamatkan negara ini.Wallahualam.

Comments

Pilihan Pembaca

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca ...

Isu Tan Sri Ali Hashim : Di Sini Putih Bukanlah Warna

1. Saya mengenali bekas Pengerusi dan CEO Johor Corporation, Tan Sri Ali Hashim hampir dua tahun. Selalu berurusan dengan para pegawai kanannya dan sering pula menulis tentang perkembangan anak-anak syarikat JCorp. Sepanjang saya menjadi wartawan, saya sangat selesa bekerjasama dan begitu mudah mendapatkan pandangan dan idea daripada Tan Sri Ali Hashim. Secara jujur saya katakan, beliau merupakan salah seorang CEO yang sangat saya kagumi dan hormati. Cara dan strategi Tan Sri Ali Hashim mengIslamisasikan organisasi di bawah pentadbirannya, patut dipuji dan diberi penghargaan. 2. Walaupun apa pun yang dikatakan oleh musuh-musuhnya - ia masih belum mampu menafikan segala kebaikan dan jasa beliau dalam membina dan membangunkan JCorp, sehingga dihormati dan dikagumi oleh banyak pihak. Saya tidak tahu apakah sebenarnya yang telah berlaku dalam pentadbiran JCorp sejak akhir-akhir ini. Namun demikian, saya yakin ada sesuatu yang tidak kena, sehingga Tan Sri ali Hashim bertindak meletakkan jaw...

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil...