Skip to main content

Mengapa Kita Suka Memfitnah Orang Lain?


Mengapa Kita Suka Memfitnah Orang Lain
Sedangkan Kita Sendiri Tidak Mengkaji?


Oleh Hasrizal Abdul Jamil Universiti Mu’tah, Jordan

Di bawah ini saya sertakan sebuah tulisan yang agak baik, bagi permulaan untuk para pembaca saya agar perlahan-lahan mengenali Ibn Taimiyyah sepintas lalu, InsyaAllah akan saya dedah, sediki demi sedikit pembohongan dan penipuan gerakan anti-Ibn Timiyyah dari semasa ke semasa.

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepada kamu membawa berita, periksalah ia terlebih dahulu. Agar nanti jangan kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan jahil (terhadap apa yang benar), lantas kamu kemudiannya menyesal atas apa yang telah kamu lakukan” (Surah Al-Hujurat 49 : 6) Firman-Nya lagi: “Dan janganlah kamu berpendirian di dalam sesuatu perkara yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu akan dipersoalkan (di akhirat).” (Surah Al-Isra’ 17 : 36)


Kenyataan bahawa begitu ramai ulama’ yang ditohmah oleh umat Islam sendiri, adalah sesuatu yang pedih untuk diterima tetapi terpaksa diakui bersama. Bermula daripada tuduhan-tuduhan melampau terhadap ulama’ seawal Imam At-Thabari serta Imam Al-Hakim An-Naisaburi dan seterusnya Ibnu Taimiyyah dsb, semuanya itu sentiasa menjadi wacana perbalahan yang selalunya berakhir dengan kerugian terhadap umat Islam itu sendiri. Sikap menelan semua fakta dan bahan penulisan tanpa meneliti secara adil latar belakangnya, adalah satu perilaku yang bercanggah dengan amanah ilmu dan mengakar umbikan permasalahan seperti yang tersebut di atas. Saya tertarik dengan tulisan saudara Abdul Rasyid Idris di dalam Majalah Tamadun keluaran Jun 1999 yang diberikan tajuk “Lagi Sokongan Buat Syeikh Wahabi” di mukasurat 8.


Permusuhan terhadap Muhammad bin Abdul Wahab dan gerakan Wahabiah banyak berpunca daripada hubungkait aliran ini dengan method Ibnu Taimiyyah. Ia digambarkan sebagai proses tajdid (pembaharuan) kepada aliran pemikiran Ibnu Taimiyyah sekaligus mengheret cerita-cerita buruk berkenaan Ibnu Taimiyyah sebagai hujah juga untuk menghukum Muhammad bin Abdul Wahab. Oleh yang demikian, pembersihan imej Muhammad bin Abdul Wahab, mahu tidak mahu mesti melibatkan usaha memurnikan syakhsiah Ibnu Taimiyyah daripada tohmahan liar mereka yang memusuhinya. Kebanyakan pihak yang menuduh sesat Ibnu Taimiyyah, banyak mengambil hujah daripada riwayat-riwayat yang terkandung di dalam buku Pengembaraan (Rehlah) Ibnu Bathutah. Misalnya Kiyai Sirajuddin Abbas di dalam bukunya “Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah” yang masyhur di tanah air.


Musuh-musuh Ibnu Taimiyyah mendakwa bahawa beliau termasuk di dalam golongan Ahli Tamsil (yang menyamakan Allah SWT dengan makhluk) serta Ahli Tajsim (yang menjisimkan Allah SWT). Dakwaan ini datangnya daripada permusuhan mereka terhadap Ibnu Taimiyyah itu sendiri dan yang keduanya berdasarkan keterangan Rehlah Ibnu Bathutah; sebuah kitab yang penuh dengan pembohongan dan mitos yang tertolak oleh disiplin ilmu yang sahih. Di sini saya akan membawakan catatan yang dibuat oleh Al-Allamah Bahjatul Baithar tentang penipuan kisah Hadith An-Nuzul (hadith yang menerangkan tentang turunnya Allah dari langit bumi ke dunia) sebagaimana yang dihikayatkan oleh Ibnu Bathutah. Ibnu Bathutah di dalam riwayat pengembaraannya ke Damsyik menceritakan betapa satu ketika beliau melihat Ibnu Taimiyyah mengajar di atas mimbar Masjid Umawi di Damsyik. Lalu beliau ditanya tentang ‘Hadith An-Nuzul’ itu tadi, lantas Ibnu Taimiyyah menjawab, “Tuhan turun sebagaimana turunnya aku ini..!”. Rujuk Rehlah Ibnu Bathutah (juzuk 1 ms. 57) Berikut adalah beberapa noktah penting tentang riwayat Ibnu Bathutah berkenaan: Ibnu Bathutah hakikatnya tidak pernah mendengar dari Ibnu Taimiyyah atau berkumpul bersamanya.


Ini berdasarkan fakta bahawa beliau telah sampai ke Damsyik pada hari Khamis 19 Ramadhan 726H, sedangkan Ibnu Taimiyyah telah pun dikurung di dalam penjara Kota Damsyik di awal bulan Syaaban tahun berkenaan. Beliau terus dipenjara di dalam kota itu sehinggalah pulang ke rahmatullah pada malam 22 Dzulkaedah tahun 728H. Jika begitu perihalnya, maka bilakah masanya Ibnu Bathutah melihat Ibnu Taimiyyah mengajar di atas mimbar Masjid Umawi sebagaimana yang didakwa di dalam riwayatnya itu tadi?!Rehlah Ibnu Bathutah sedia dimaklumi oleh mereka yang mengkajinya sebagai sebuah buku yang penuh dengan riwayat dan hikayat yang ganjil. Banyak fakta di dalamnya tidak mampu diterima oleh akal dan naqal bahkan hanya mengaibkan mereka yang meriwayatkannya. Misalnya di dalam juzuk 1 ms. 54, Ibnu Bathutah menyatakan bahawa di tengah-tengah Masjid Umawi terletaknya makam Nabi Zakaria AS, sedangkan makam berkenaan adalah makam Nabi Yahya AS. Ibnu Bathutah juga menyatakan bahawa beliau telah meriwayatkan daripada Sufian Ats-Tsauri tentang kelebihan Damsyik kononnya mendirikan solat di Masjid Umawi itu sama pahalanya dengan mendirikan 30 ribu solat di tempat lain! Hal ini tidak pernah muncul di dalam periwayatan sesiapa, apatah lagi oleh Sufian Ats-Tsauri.


Tidak mungkin bersolat di Masjid Umawi lebih utama dari mendirikan solat di Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.Ibnu Taimiyyah tidak pernah mengajar atau berkhutbah di atas mimbar Masjid Umawi sebagaimana yang didakwa oleh Ibnu Bathutah. Bahkan apa yang jelas Ibnu Taimiyyah apabila mengajar, hanya duduk di atas kerusi dan dikelilingi oleh hadirin, sebagaimana yang diterangkan oleh Al-Hafidz Adz-Dzahabi.Al-Hafidz Ibnu Hajar menjelaskan di dalam Ad-Durarul Kaminah (juzuk 1 ms. 154) tentang tindakan sesetengah ulama’ di zaman Ibnu Taimiyyah menghebohkan masalah riwayat turunnya beliau dari tangga mimbar itu berpunca daripada penulisan Ibnu Taimiyyah yang menentang fahaman Wahdatul Wujud, yang mana mereka itu telah menyelitkan sekali kisah kononnya Ibnu Taimiyyah telah turun dari mimbar sebanyak dua anak tangga lalu berkata “.. Tuhan turun sebagaimana turunnya aku ini..” Lantas dengan mitos itu, Ibnu Taimiyyah dikaitkan dengan fahaman tajsim.Dari kalam Ibnu Bathutah juga, kononnya Ibnu Taimiyyah telah dipenjarakan beberapa tahun dengan perintah Al-Malik An-Nasir, lalu menulis semasa di dalam tahanan itu sebuah kitab tafsir yang dinamakan ‘Al-Bahrul Muhith’. Kemudian bonda Ibnu Taimiyyah telah mengadu dan membantah tindakan Al-Malik An-Nasir lalu diperintahkan agar Ibnu Taimiyyah dibebaskan. Akan tetapi kemudiannya Ibnu Taimiyyah telah dipenjarakan sekali lagi.


Ibnu Bathutah mendakwa bahawa beliau berada di Damsyik dan pada waktu itulah beliau menyaksikan perihal Ibnu Taimiyyah dan kisah Hadith An-Nuzul berkenaan.Ibnu Bathutah juga meriwayatkan kononnya Al-Faqih Al-Maliki menceritakan bahawa Ibnu Taimiyyah telah dipukul dengan tangan dan kasut sehingga terjatuh serbannya lantas tersingkap bahawa di atas kepalanya, Ibnu Taimiyyah memakai kain kasa sutera! Apa yang jelas, Al-Malik An-Nasir adalah orang yang bertanggungjawab mengeluarkan Ibnu Taimiyyah dari tahanan di Iskandariah, Mesir. Beliau juga merupakan orang yang menyambut ketibaan Ibnu Taimiyyah dengan disertai oleh para hadirin yang ramai termasuk para ulama’ dan qadhi. Antara yang hadir menyambut Ibnu Taimiyyah adalah Ibnu Makhluf Al-Maliki yang memusuhi beliau. Ibnu Makhluf pernah meminta Ibnu Taimiyyah supaya mengeluarkan fatwa membunuh beberapa orang qadhi tetapi tidak mendapat persetujuan Ibnu Taimiyyah.


Manakala bonda Ibnu Taimiyyah pula telah meninggal dunia pada hari Rabu 20 Syawal tahun 716H, selepas Ibnu Taimiyyah pulang ke Damsyik. Beliau tidak pernah mengadu kepada mana-mana pemerintah berkenaan anaknya Ibnu Taimiyyah sebagaimana yang dihikayatkan oleh Ibnu Bathutah. Memang tidak dinafikan bahawa Ibnu Taimiyyah telah dipenjarakan di akhir hayatnya itu atas perintah Al-Malik An-Nasir. Ini berikutan daripada penguasaan para ulama’ yang memusuhi Ibnu Taimiyyah, terhadap Al-Malik An-Nasir. Mereka mendakwa bahawa Ibnu Taimiyyah telah mengeluarkan fatwa mengharamkan ziarah ke makam Rasulullah SAW, sebagai usaha untuk memfitnahnya. Lantas Al-Malik An-Nasir telah memerintahkan supaya Ibnu Taimiyyah dipenjara. Peristiwa ini berlaku pada hari Isnin 6 Syaaban 726H. Kisah Al-Faqih Al-Maliki tentang pemakaian sutera oleh Ibnu Taimiyyah itu juga merupakan mitos Ibnu Bathutah. Ibnu Al-Athir mahupun Ibnu Kathir atau Ibnu Hajar Al-Asqalani, tidak pernah meriwayatkan kisah sedemikian rupa, yang mustahil ditinggalkan ketika proses mengadili perawi (ilmu al-jarh wat ta’dil) dibuat.


Semestinya Ibnu Taimiyyah kehilangan kredibilitinya jika benar beliau memakai sutera sebagaimana yang didakwa oleh Ibnu Bathutah! Adapun tohmahan-tohmahan lain yang dilemparkan oleh sekalian pihak terhadap Ibnu Taimiyyah tanpa mendatangkan sebarang bukti, tidaklah ia mempunyai sebarang nilai di sisi keilmuan Islam. Golongan seperti ini sentiasa menjadikan tohmahan dan fitnah sebagai alat untuk menentang musuhnya. Bahkan Baginda SAW sendiri tidak terlepas dari dituduh sebagai ahli sihir dan penyair jahat. Begitu juga fitnah musuh terhadap para sahabat seperti Uthman Al-Affan RA, Abu Hurairah RA, Muawiyah bin Abi Sufian RA dsb. Mereka yang banyak menyumbang kepada umat, mereka jugalah yang banyak diserang tohmahan musuh termasuk daripada kalangan umat Islam yang memperhambakan diri kepada hawa nafsu dan kejahilan.


Kesimpulan Kita tidak mendakwa sesiapa dengan dakwaan ismah (kemaksuman) selain daripada mereka yang mendapat peruntukan khusus oleh Allah SWT dari kalangan Nabi dan Rasul AS. Di sana terdapat pelbagai pro dan kontra berhubung dengan pendirian dan seruan Ibnu Taimiyyah, baik di zaman beliau mahu pun pada masa-masa yang mendatang selepas itu. Maka kita nyatakan bahawa, bagi Ibnu Taimiyyah apa yang betul, dan ke atasnyalah segala kesilapan yang pernah berlaku. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang layak untuk sekalian hambaNya. Akan tetapi, memburuk-burukan nama beliau atau mana-mana ulama’ yang telah menghabiskan hidupnya untuk mempertahankan Islam, ia bukanlah sesuatu yang sihat untuk diketengahkan ke gelanggang perbualan masyarakat. Tidak dinafikan, ada di antara fatwanya yang berbeza dengan pendapat majoriti dan masyhur, tetapi ia tidaklah menjadi satu kesalahan kerana kedudukannya sebagai mujtahid. Bahkan setiap hujahnya, adalah berserta dengan dalil yang terbuka untuk dibincangkan oleh mereka yang tidak bersetuju, tetapi bukannya dengan melemparkan tohmahan melulu yang bercanggah dengan kemuliaan etika umat ini. Selain hujah-hujah di atas, ada pula segelintir yang menganggapnya Ibnu Taimiyyah sesat semata-mata dengan alasan bahawa beliau itu seorang banduan yang mati dalam tahanan, adalah hujah dangkal yang memalukan pendukungnya.


Sebelum Ibnu Taimiyyah, Imam Abu Hanifah juga pernah dipenjara. Apakah itu menjatuhkan martabat beliau? Tidak sama sekali! Bahkan yang berlaku adalah sebaliknya. Bersedia menanggung azab demi mempertahan kebenaran…! Jika kita membaca tentang Ibnu Taimiyyah sama ada melalui penulisannya, mahupun berdasarkan pendapat ulama’ tentang beliau, kita akan dapati bahawa Ibnu Taimiyyah tidaklah seperti yang digambarkan oleh tohmahan- tohmahan yang dilemparkan kepadanya bahkan itu semua hanyalah rekaan musuh-musuh yang mengelilingi beliau. Ini adalah kerana, kebanyakan musuh Ibnu Taimiyyah adalah dari kalangan Ahli Fiqh dan Tasauf yang berkepentingan, terutamanya dengan pemerintah ketika itu. Sesungguhnya jihad Ibnu Taimiyyah, usaha beliau dan sumbangan baktinya, tidak mungkin tersembunyi dari pengetahuan sesiapa yang mengkaji, melainkan orang-orang yang jahil dan taasub.


Bacalah tulisan-tulisan Ibnu Taimiyyah yang begitu banyak dan mudah diperolehi. Dari risalah yang ringkas seperti Risalah Al-Wasithiah hinggalah kepada tulisan-tulisannya yang besar seperti Minhaj As-Sunnah yang meruntuhkan ‘berhala’ syiah, pasti akan kita temui suatu pembentangan ilmu yang hebat dan mulia sebagai warisan umat ini. Lihat sahaja Risalah Al-Wasithiah yang beliau sediakan atas permintaan penduduk Wasith.


Penjelasan tentang akidah berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih telah diperdebatkan beberapa kali di antara beliau dan ulama’ yang sezaman dengannya. Akan tetapi tidak pula ada yang mampu membuktikan kesalahan atau kesesatan risalah berkenaan, bahkan mereka mengiktirafnya. Malangnya, bilamana permusuhan mengatasi rasional ilmiah, berlakulah apa yang telah berlaku. Apabila gagal mendatangkan hujah untuk melawan, mereka mencipta pula pembohongan dan fitnah.


Bencana ini berterusan pula apabila timbul budaya menafsirkan istilah seseorang tanpa merujuk kepada pemahamannya tentang istilah itu. Penggunaan istilah oleh Ibnu Taimiyyah banyak ditafsirkan sebagai dalil yang membuktikan beliau itu seorang ahli tajsim, menetapkan arah dan tempat bagi Allah dan sebagainya. Sedangkan penggunaan istilah sedia dimaklumi oleh kita semua bagaimana ia mempunyai dilalat (pemaknaan) dan pemahaman yang kadangkala berkembang, berbeza dari seorang kepada seorang yang lain, dari satu zaman ke satu zaman yang lain.


Hal yang sama berlaku kepada mereka yang menghukum sesat Syed Quthb semata-mata kerana tidak memahami istilah dan maksud yang Syed Quthb gunakan di dalam penulisan beliau. Sungguh malang keadaan seperti ini… Inilah yang berlaku kepada Ibnu Taimiyyah dan Muhammad bin Abdul Wahab. Kedua-duanya muncul pada zaman yang rumit. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah muncul ketika umat Islam belum sembuh dari kehancuran Daulah Abbasiyyah tahun 656H. Manakala Muhammad bin Abdul Wahab pula berusaha untuk mengislahkan umat ketika Daulah Othmaniyyah berada di ambang kehancuran. Dua zaman yang menyaksikan bagaimana umat diselaputi segala macam bencana. Daripada masalah khurafat, pembohongan dan bidaah yang tersebar, hinggalah kepada tercemarnya keilmuan Islam dengan hadirnya ramai yang bergelar ulama’ tetapi mempunyai niat jahat untuk mendapatkan sedikit habuan dunia daripada pemerintah. Soal bacaan politik Muhammad bin Abdul Wahab tentang kedudukan Daulah Othmaniyyah adalah soal lain. Aqidah dan fiqh yang sahih, belum menjamin seseorang itu untuk membuat bacaan politik yang tepat.


Maka pemberontakan Wahabiah di hadapan kepimpinan Daulah Othmaniyyah adalah tajuk yang berasingan daripada soal kesesatan aqidah dan sebagainya. Setiap satu persoalan hendaklah kita pertimbangkan dengan adil secara berasingan. Marilah kita bersama-sama meneliti dan merenung kembali segala perihal itu tadi. Adalah tidak wajar kita menganggap satu-satu fakta itu telah muktamad dan benar semata-mata kerana ia masyhur atau disokong oleh segelintir yang menisbahkan diri kepada ilmu dan Islam. Kajilah secara adil agar kerugian umat akibat kemusnahan Baghdad dulu tidak menjadi lebih kronik dengan mentohmah ulama’ dan warisannya yang berbaki.. Mudah-mudahan Allah menunjukkan kepada kita apa yang benar, lalu direzekikan untuk mematuhinya, serta menunjukkan kepada kita apa yang batil, lalu diberi kekuatan untuk membanteras dan menjauhinya.


Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepada kamu membawa berita, periksalah ia terlebih dahulu. Agar nanti jangan kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan jahil (terhadap apa yang benar), lantas kamu kemudiannya menyesal atas apa yang telah kamu lakukan” (Surah Al-Hujurat 49 : 6) Firman-Nya lagi: “Dan janganlah kamu berpendirian di dalam sesuatu perkara yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu akan dipersoalkan (di akhirat).” (Surah Al-Isra’ 17 : 36) Hasrizal Abdul Jamil Universiti Mu’tah, Jordan

Comments

HomeBiss said…
Salam once again Muhammad Azli Shukri.. :)

I'm a bit confused here. Why do you mention Ibn Taymiyyah in the same breath with Wahhabiyyah?

To the best of my knowledge and please correct me if I'm wrong, nobody has accused Ibn Taymiyyah as the catalyst for Wahhabiyyah.
azlishukri said…
HomeBiss..salah faham terhadap ibn Taimiyyah mengundang salah faham terhadap kefahaman wahabiyyah...dan pusat fatwa al-Azhar menghukum kedua-duanya ini sebagai terkeluar daripada Islam...di Malaysia masyarakat mengaitkan tokoh ini dengan fahaman wahabi..InsyaAllah tuan akan dapat melihat gambarannya dari semasa ke semasa...mulakan bacaan dengan artikel ini terlebih dahulu...sabar..tuan akan memperoleh kebenarannya..jika tuan bersabar sedikit dan lapangkan dada..tak akan wujud konfius...jika perlahan2 kita mengenali ibn taimiyyah dan kemudian sama2 kita mengenali siapa wahabi ekstrem dan siapa wahabi tidak ekstrem...
Anonymous said…
mengapa suka menfitnah???

itu kena tanya bdak2 pas dan pro-jubo laaa....hehehe

klose
HomeBiss said…
Muhammad Azli Shukri,

Interesting.

Couldn't help noticing that you have divided Wahhabiyyah into two different groups there, the Extremists and the Moderates. I have never heard of that before. :)

In my opinion, we can dive into the history of Wahhabiyyah but we will probably never know the truth. What is important is right now. Today in the Age of Fitan, Wahhabiyyah is considered dangerous by scholars. Whether or not our National Fatwa Council also considers Wahhabiyyah as dangerous is yet to be known.

Personally, I will be very wary of Wahhabiyyah and I hope our Religious Authorities (including our National Fatwa Council) will give us the much needed Fatwa as soon as possible.
azlishukri said…
homebiss - fatwa berkenaan eksstremnya wahabi sangat jelas di Palestin, namun demikian fatwa tersebut tidak boleh dpakai di negara ini, kerana di Malaysia tiada penganut wahabi..yang ada hanyalah penganut manjah salafi...harap maklum
HomeBiss said…
Muhammad Azli Shukri,

I'm sorry but I find it a little hard to believe. In the last 50 years, we have sent many religious students overseas. Only Allah knows what kind of school of thoughts they brought back home after their graduations.

We do have extremists here in Malaysia, whether or not they have links with Wahhabiyyah is yet to be known but they are lurking somewhere out there. I don't think you can deny that, can you?

We cannot close our eyes to the dangers posed by Wahhabiyyah, that is for sure.
azlishukri said…
homebiss - saya tiada fakta berkenaan hal itu. Tetapi, sepanjang yang saya tahu..hanya gerakan salaf. Golongan ini tidak mengkafirkan sesama umat Islam, malah mereka juga golongan yang lebih hampir dengan pemerintah.Kebanyakan golongan salaf di Malaysia akan lebih condong menyokong kerajaan..termasuk saya.
HomeBiss said…
Muhammad Azli Shukri,

And so do I. :)

Pilihan Pembaca

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca ...

Isu Tan Sri Ali Hashim : Di Sini Putih Bukanlah Warna

1. Saya mengenali bekas Pengerusi dan CEO Johor Corporation, Tan Sri Ali Hashim hampir dua tahun. Selalu berurusan dengan para pegawai kanannya dan sering pula menulis tentang perkembangan anak-anak syarikat JCorp. Sepanjang saya menjadi wartawan, saya sangat selesa bekerjasama dan begitu mudah mendapatkan pandangan dan idea daripada Tan Sri Ali Hashim. Secara jujur saya katakan, beliau merupakan salah seorang CEO yang sangat saya kagumi dan hormati. Cara dan strategi Tan Sri Ali Hashim mengIslamisasikan organisasi di bawah pentadbirannya, patut dipuji dan diberi penghargaan. 2. Walaupun apa pun yang dikatakan oleh musuh-musuhnya - ia masih belum mampu menafikan segala kebaikan dan jasa beliau dalam membina dan membangunkan JCorp, sehingga dihormati dan dikagumi oleh banyak pihak. Saya tidak tahu apakah sebenarnya yang telah berlaku dalam pentadbiran JCorp sejak akhir-akhir ini. Namun demikian, saya yakin ada sesuatu yang tidak kena, sehingga Tan Sri ali Hashim bertindak meletakkan jaw...

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil...