Skip to main content

UMNO & PAS 2010 : Politik Tanpa Parti


UMNO & PAS 2010
Politik Tanpa Parti

(Artikel Ulangan)


1. Meninjau berita sepanjang minggu ini - khususnya berhubung niat murni TS Muhyiddin untuk bertemu dan membincangkan isu perpaduan Melayu-Islam di negara ini dengan PAS- sangat menyentuh hati. Sudah begitu lama isu ini dicanang dan dijaja - tetapi masih belum menemui jalan pulang.


2. Ada yang menyokong, dan tidak kurang yang menentang. Secara peribadi saya menyokong penuh agenda penyatuan ini - sekurang-kurangnya penyatuan dari aspek tertentu perlu dilakukan di peringkat awal. Namun demikian, ia bukanlah semudah yang difikirkan. Banyak rintangan dan cabaran perlu dihadapi. Buat masa terdekat ini - saya rasa ia sangat sukar untuk direalisasikan. Dalam keadaan nafsu serakah PAS yang sedang menggelegak untuk mendapatkan kuasa sepantas yang mungkin, ditambahkan pula dengan hasutan syaitan bertopengkan manusia seperti Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang - maka, harapan untuk melihat UMNO dan PAS bersatu dalam kancah politik perdana terlalu jauh untuk digambarkan.


3. PAS tidak mungkin akan bersetuju untuk bersatu dengan UMNO selagi mereka belum merasai erti kekuasaan dan kegagalan. Manakala, UMNO sanggup berkongsi bantal dengan PAS tatkala kuasa mula tampak hilang di tangan.


4. Demokrasi, rupa-rupanya tidak menjadikan kita lebih matang dan berfikiran jauh. Sebaliknya, demokrasi dan peti undi seakan-akan adalah tempat untuk orang Melayu melepaskan amarah dan dendam kesumat. Kita tidak seperti bangsa Cina yang menjadikan peti undi sebagai alat perpaduan dan lubuk ekonomi - walaupun mereka berlainan ideologi dan cita-cita.


5. Di sisi lain, orang Melayu-Islam lebih gemar dengan falsafah "yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu", walaupun kita tahu kesan dan risiko yang akan kita tanggung. Amalan bangsa kita dalam berpolitik adalah lebih mengutamakan - emosi daripada akal fikiran. Jarang kita menggunakan kematangan sebagai cara untuk berpolitik.


6. Matang - dalam erti dan kamus fikiran kita pada hari ini adalah maksud "menyokong pembangkang dan membongkar segala keburukan yang dilakukan oleh kerajaan" - inilah kematangan yang kita takrifkan tanpa sedar. Perubahan - dalam bahasa mudah orang Melayu adalah merujuk kepada "mengubah kerajaan" dan bukan bermaksud "mengubah mentaliti dan sikap negatif diri sendiri" - sama ada UMNO atau PAS - kita tetap orang Melayu-Islam! Realitinya bukanlah isu UMNO atau PAS yang akan menang dalam pilihan raya - sebaliknya, persoalan tentang Melayu-Islam yang akan hilang kuasa dan hak.


7. Islam tidak akan berjaya ditegakkan melalui saluran demokrasi dan peti undi. Islam bukan agama yang dibangunkan melalui uslub "berapa ramai" orang yang menyokong dan berapa ramai pula yang mengundi - Islam ditegakkan atas nama dakwah dan akhlak - kuasa adalah marhalah yang terakhir! Kesedaran terhadap indahnya syiar Islam bukanlah diukur melalui peti undi dan sistem demokrasi - sebaliknya, Islam itu indah melalui akhlak para penganutnya. Islam sama sekali tidak akan berjaya diperjuangkan melalui lidah demokrasi, kerana demokrasi menuntut suara majoriti - lantaran itu, kebenaran dan kebatilan dalam konsep demokrasi diukur melalui "yang mana lebih banyak meraih undi serta sokongan" dan bukan berpandukan kepada kebenaran mutlak Ilahi.


8. Andaikata lebih separuh ahli DAP dan PKR tidak menyokong Hudud, apakah PAS akan meneruskan hasratnya juga? Atau, PAS akan membuat perhitungan semula terhadap untung-rugi masa depan politiknya? Kesedaran terhadap Islam tidak boleh dilakukan melalui peti undi - ia hanya akan berjaya melalui pendidikan dan kerja-kerja dakwah - manakala, kerja-kerja dakwah memerlukan kesabaran serta pengorbahan - dan inilah yang tidak sanggup dihadapi dan harungi oleh para perajurit-perajurit PAS. Kemenangan Islam bukan datang bergolek - tidak cukup dengan ceramah dan membuka aib para pemimpin kerajaan - sebaliknya, kita memerlukan kebijaksanaan dan tindakan berhikmah - jika, jiwa para pemimpin UMNO boleh dilembutkan dengan agenda perpaduan dan pendekatan dakwah yang betul - maka mengapa mesti kita menolak?


9. Berlembut dengan UMNO bukanlah bermaksud tewas dan mengalah - sebaliknya, berlembut dengan UMNO adalah untuk berdakwah! Jika, mulut celupar Karpal Singh mengenai Islam boleh kita bersangka baik - mengapa tidak dengan para pemimpin UMNO? PAS bukanlah terlalu Islam dan UMNO pula bukanlah terlalu sekular - ada titik temu yang boleh ditemui - tetapi sejauh mana kejujuran kita? Perkauman bukanlah teras perjuangan UMNO - kerana yang diperjuangkan oleh UMNO merupakan perjuangan terhadap hak yang semestinya dimiliki oleh orang Melayu-Islam di negara ini. Dan hak orang Melayu merupakan hak yang dipersetujui secara bersama dalam kerangka mewujudkan perpaduan kaum 50 tahun yang lalu. Mempertahan hak dalam kaca mata Islam adalah perbuatan yang mulia dan wajib dilaksanakan!


10. Namun demikian, dalam mengharungi perjalanan mempertahankan hak tersebut - UMNO tidak terlepas daripada berhadapan dengan sebahagian ahlinya yang korup, menyeleweng, mementingkan diri sendiri, menindas hak orang lain dan berlaku zalim terhadap sesetengah pihak - tetapi, itu bukanlah dasar perjuangan UMNO selama ini - sebaliknya, itu merupakan sikap, perangai dan tabiat sesetengah daripada kita yang membangsakan diri sebagai "orang Melayu" - orang Melayu jenis ini, tetap wujud sama ada di dalam UMNO, PAS mahu pun PKR. Cara orang Melayu berfikir dan berpolitik, tetap sama - tidak mengira parti politik. Perjuangan Islam gaya PAS tidak sedikit pun mengubah cara orang Melayu berfikir dan berpolitik -ahli-ahli PAS tetap tiada bezanya dengan ahli-ahli UMNO. Jika ahli UMNO mengumpat, mereka juga turut mengumpat, jika ahli UMNO mengamalkan kroni, ahli PAS juga sama - dari segi sikap dan akhlak, orang Melayu di dalam UMNO dan PAS sama sahaja warnanya.


11. Justeru itu, apakah sebenarnya yang membimbangkan kita untuk menjayakan agenda perpaduan? Jika kita mahu bersikap jujur - kita boleh menemui terlalu banyak persamaan dari segi sikap dan perangai para penyokong PAS dengan para penyokong UMNO, tidak jauh bezanya. Jika terdapat ahli UMNO yang rasuah, ahli PAS juga ada yang sebegitu, jika ada ahli UMNO yang menipu dalam berniaga, begitu juga dengan ahli PAS, jika ada ahli UMNO yang suka berbohong, ahli PAS juga tidak terkecuali. Sikap mahmudah dan mazmumah bukanlah dinilai melalui parti mana yang kita sertai - ia bergantung kepada hati dan keimanan.


12. Menyertai PAS, tidak menjadikan seseorang itu terlalu Islamik dan menyertai UMNO pula tidak bererti menjadikan seseorang itu munafik. Islam melalui peti undi - sama sekali tidak menjadikan seseorang itu zuhud terhadap dunia dan beramal dengan amalan ahli syurga. Sebaliknya, meletakkan Islam di dalam peti undi, bermakna menjadikan Islam seolah-olah agama yang sangat rendah nilainya - sehinggakan umat Islam terpaksa "mendapatkan suara majoriti" bagi membuktikan bertapa Islam itu agama yang indah lagi benar.


13. Maka, di manakah perjalanan kita ini akan berakhir? Agenda perpaduan bukanlah bermakna mahu menjadikan UMNO itu PAS dan PAS itu UMNO - sebaliknya, agenda perpaduan tidak lebih daripada usaha untuk bersama-sama mempertahankan agama dan bangsa melalui "kuasa perpaduan" bagi menjernihkan semula hubungan sesama saudara seIslam yang sudah sekian lama bermusuhan. Wallahualam

Comments

Pilihan Pembaca

Di Manakah Syaitan dalam Peristiwa itu?

MONOLOG AZLI SHUKRI BAB 12 : Di Manakah Syaitan dalam Peristiwa Itu? Saya agak lambat membuat respons berkenaan apa-apa yang telah berlaku di Kuala Kangsar, khususnya di Istana Sultan Azlan di Bukit Chandan baru-baru ini. Banyak sms saya terima yang mahukan agar saya segera memberi sedikit pandangan berkenaan isu tersebut, memandangkan bahawa saya merupakan anak jati Kuala Kangsar (kerana ayah dan ibu saya orang Kuala Kangsar dan saya juga dilahirkan di Kg Semat, Manong., K.K.) Saya percaya - seluruh ahli UMNO dan sebahagian besar ahli PAS dan PKR membenci tindakkan Karpal Singh yang cuba mengeruhkan keadaan dengan bertindak untuk menyaman Sultan Perak. Semua orang bersetuju bahawa Karpal Singh terlalu biadab dan kurang ajar dengan Sultan Perak. Dan semua ini akhirnya, menyebabkan kita membuat beberapa kesimpulan bahawa Karpal harus diambil tindakkan tegas - sekurang-kurangnya ditangkap dengan menggunakan Akta ISA, serta tidak kurang juga yang mahu agar beliau diharamkan masuk ke neger...

"Semalam, Saya Menerima SMS daripada Datuk Seri Rais Yatim."

Tahniah Datuk Seri Rais Yatim! Oleh Muhammad Azli Shukri Akhirnya, saya harus berterus-terang dengan jujur dan ikhlas – sesungguhnya salah seorang Naib Presiden UMNO yang harus dipilih oleh perwakilan kelak, ialah Datuk Seri Rais Yatim. Malah, saya juga sudah berazam untuk membantu kempen Datuk Seri Rais Yatim – melalui blog saya ini bagi memastikan salah satu kerusi Naib Presiden UMNO dimiliki oleh beliau. Menonton siaran Hujah di TV9 semalam – membuka mata saya bahawa “inilah diri sebenar Datuk Seri Rais Yatim” – agak malang kepada sesiapa yang sayangkan UMNO tidak menonton siaran Hujah semalam yang menampilkan dua lagi calon Naib Presiden UMNO, iaitu Datuk Seri Syafie Afdal dan Datuk Seri Rais Yatim. Pada pandangan peribadi saya, sejak siaran Hujah keudara di TV9 – Rais Yatimlah satu-satunya pemimpim UMNO yang sanggup berterus-terang tentang hasrat dan perubahan yang diinginkan oleh akar umbi selama ini. Lantaran itu, pada “ijtihad politik” saya, saya “mewajibk...

Isu Syiah : Tutup Pintu Neraka Itu!

Kepada sesiapa yang masih mahu mempertahankan ajaran Syiah Imam 12 atau yang seangkatan dengannya, cubalah renung dan baca tulisan-tulisan di sini, semoga Allah membuka hati dan memberi hidayah kepada tuan-tuan. Klik di sini , di sini , di sini , di sini , di sini , di sini , di sini , di sini , di sini , di sini - cukuplah rasanya bukti-bukti ini bagi menolak fahaman Syiah yang jelas menyimpang jauh daripada ajaran Islam yang sebenar. Sekiranya kita mengaku sebagai ahli akademik dan golongan ilmuan, apakah kita masih tergamak menolak segala bukti ini demi mempertahankan ajaran dan ideologi Syiah semata-mata atas alasan demokrasi dan kebebasan beragama? Syiah bukan salah satu mazhab dalam ajaran Islam, pokok akidahnya sangat jauh daripada ajaran dan amalan Islam yang sebenar - segala hujah dan alasannya sangat lemah dan tidak bersifat akademik yang menyeluruh. Saya masih tidak faham mengapa masih terdapat para intelektual di negara ini sangat mudah terpengaruh dan begi...