Skip to main content

UMNO & PAS 2010 : Politik Tanpa Parti


UMNO & PAS 2010
Politik Tanpa Parti



1. Meninjau berita sepanjang minggu ini - khususnya berhubung niat murni TS Muhyiddin untuk bertemu dan membincangkan isu perpaduan Melayu-Islam di negara ini dengan PAS- sangat menyentuh hati. Sudah begitu lama isu ini dicanang dan dijaja - tetapi masih belum menemui jalan pulang.


2. Ada yang menyokong, dan tidak kurang yang menentang. Secara peribadi saya menyokong penuh agenda penyatuan ini - sekurang-kurangnya penyatuan dari aspek tertentu perlu dilakukan di peringkat awal. Namun demikian, ia bukanlah semudah yang difikirkan. Banyak rintangan dan cabaran perlu dihadapi. Buat masa terdekat ini - saya rasa ia sangat sukar untuk direalisasikan. Dalam keadaan nafsu serakah PAS yang sedang menggelegak untuk mendapatkan kuasa sepantas yang mungkin, ditambahkan pula dengan hasutan syaitan bertopengkan manusia seperti Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang - maka, harapan untuk melihat UMNO dan PAS bersatu dalam kancah politik perdana terlalu jauh untuk digambarkan.


3. PAS tidak mungkin akan bersetuju untuk bersatu dengan UMNO selagi mereka belum merasai erti kekuasaan dan kegagalan. Manakala, UMNO sanggup berkongsi bantal dengan PAS tatkala kuasa mula tampak hilang di tangan.


4. Demokrasi, rupa-rupanya tidak menjadikan kita lebih matang dan berfikiran jauh. Sebaliknya, demokrasi dan peti undi seakan-akan adalah tempat untuk orang Melayu melepaskan amarah dan dendam kesumat. Kita tidak seperti bangsa Cina yang menjadikan peti undi sebagai alat perpaduan dan lubuk ekonomi - walaupun mereka berlainan ideologi dan cita-cita.


5. Di sisi lain, orang Melayu-Islam lebih gemar dengan falsafah "yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu", walaupun kita tahu kesan dan risiko yang akan kita tanggung. Amalan bangsa kita dalam berpolitik adalah lebih mengutamakan - emosi daripada akal fikiran. Jarang kita menggunakan kematangan sebagai cara untuk berpolitik.


6. Matang - dalam erti dan kamus fikiran kita pada hari ini adalah maksud "menyokong pembangkang dan membongkar segala keburukan yang dilakukan oleh kerajaan" - inilah kematangan yang kita takrifkan tanpa sedar. Perubahan - dalam bahasa mudah orang Melayu adalah merujuk kepada "mengubah kerajaan" dan bukan bermaksud "mengubah mentaliti dan sikap negatif diri sendiri" - sama ada UMNO atau PAS - kita tetap orang Melayu-Islam! Realitinya bukanlah isu UMNO atau PAS yang akan menang dalam pilihan raya - sebaliknya, persoalan tentang Melayu-Islam yang akan hilang kuasa dan hak.


7. Islam tidak akan berjaya ditegakkan melalui saluran demokrasi dan peti undi. Islam bukan agama yang dibangunkan melalui uslub "berapa ramai" orang yang menyokong dan berapa ramai pula yang mengundi - Islam ditegakkan atas nama dakwah dan akhlak - kuasa adalah marhalah yang terakhir! Kesedaran terhadap indahnya syiar Islam bukanlah diukur melalui peti undi dan sistem demokrasi - sebaliknya, Islam itu indah melalui akhlak para penganutnya. Islam sama sekali tidak akan berjaya diperjuangkan melalui lidah demokrasi, kerana demokrasi menuntut suara majoriti - lantaran itu, kebenaran dan kebatilan dalam konsep demokrasi diukur melalui "yang mana lebih banyak meraih undi serta sokongan" dan bukan berpandukan kepada kebenaran mutlak Ilahi.


8. Andaikata lebih separuh ahli DAP dan PKR tidak menyokong Hudud, apakah PAS akan meneruskan hasratnya juga? Atau, PAS akan membuat perhitungan semula terhadap untung-rugi masa depan politiknya? Kesedaran terhadap Islam tidak boleh dilakukan melalui peti undi - ia hanya akan berjaya melalui pendidikan dan kerja-kerja dakwah - manakala, kerja-kerja dakwah memerlukan kesabaran serta pengorbahan - dan inilah yang tidak sanggup dihadapi dan harungi oleh para perajurit-perajurit PAS. Kemenangan Islam bukan datang bergolek - tidak cukup dengan ceramah dan membuka aib para pemimpin kerajaan - sebaliknya, kita memerlukan kebijaksanaan dan tindakan berhikmah - jika, jiwa para pemimpin UMNO boleh dilembutkan dengan agenda perpaduan dan pendekatan dakwah yang betul - maka mengapa mesti kita menolak?


9. Berlembut dengan UMNO bukanlah bermaksud tewas dan mengalah - sebaliknya, berlembut dengan UMNO adalah untuk berdakwah! Jika, mulut celupar Karpal Singh mengenai Islam boleh kita bersangka baik - mengapa tidak dengan para pemimpin UMNO? PAS bukanlah terlalu Islam dan UMNO pula bukanlah terlalu sekular - ada titik temu yang boleh ditemui - tetapi sejauh mana kejujuran kita? Perkauman bukanlah teras perjuangan UMNO - kerana yang diperjuangkan oleh UMNO merupakan perjuangan terhadap hak yang semestinya dimiliki oleh orang Melayu-Islam di negara ini. Dan hak orang Melayu merupakan hak yang dipersetujui secara bersama dalam kerangka mewujudkan perpaduan kaum 50 tahun yang lalu. Mempertahan hak dalam kaca mata Islam adalah perbuatan yang mulia dan wajib dilaksanakan!


10. Namun demikian, dalam mengharungi perjalanan mempertahankan hak tersebut - UMNO tidak terlepas daripada berhadapan dengan sebahagian ahlinya yang korup, menyeleweng, mementingkan diri sendiri, menindas hak orang lain dan berlaku zalim terhadap sesetengah pihak - tetapi, itu bukanlah dasar perjuangan UMNO selama ini - sebaliknya, itu merupakan sikap, perangai dan tabiat sesetengah daripada kita yang membangsakan diri sebagai "orang Melayu" - orang Melayu jenis ini, tetap wujud sama ada di dalam UMNO, PAS mahu pun PKR. Cara orang Melayu berfikir dan berpolitik, tetap sama - tidak mengira parti politik. Perjuangan Islam gaya PAS tidak sedikit pun mengubah cara orang Melayu berfikir dan berpolitik -ahli-ahli PAS tetap tiada bezanya dengan ahli-ahli UMNO. Jika ahli UMNO mengumpat, mereka juga turut mengumpat, jika ahli UMNO mengamalkan kroni, ahli PAS juga sama - dari segi sikap dan akhlak, orang Melayu di dalam UMNO dan PAS sama sahaja warnanya.


11. Justeru itu, apakah sebenarnya yang membimbangkan kita untuk menjayakan agenda perpaduan? Jika kita mahu bersikap jujur - kita boleh menemui terlalu banyak persamaan dari segi sikap dan perangai para penyokong PAS dengan para penyokong UMNO, tidak jauh bezanya. Jika terdapat ahli UMNO yang rasuah, ahli PAS juga ada yang sebegitu, jika ada ahli UMNO yang menipu dalam berniaga, begitu juga dengan ahli PAS, jika ada ahli UMNO yang suka berbohong, ahli PAS juga tidak terkecuali. Sikap mahmudah dan mazmumah bukanlah dinilai melalui parti mana yang kita sertai - ia bergantung kepada hati dan keimanan.


12. Menyertai PAS, tidak menjadikan seseorang itu terlalu Islamik dan menyertai UMNO pula tidak bererti menjadikan seseorang itu munafik. Islam melalui peti undi - sama sekali tidak menjadikan seseorang itu zuhud terhadap dunia dan beramal dengan amalan ahli syurga. Sebaliknya, meletakkan Islam di dalam peti undi, bermakna menjadikan Islam seolah-olah agama yang sangat rendah nilainya - sehinggakan umat Islam terpaksa "mendapatkan suara majoriti" bagi membuktikan bertapa Islam itu agama yang indah lagi benar.


13. Maka, di manakah perjalanan kita ini akan berakhir? Agenda perpaduan bukanlah bermakna mahu menjadikan UMNO itu PAS dan PAS itu UMNO - sebaliknya, agenda perpaduan tidak lebih daripada usaha untuk bersama-sama mempertahankan agama dan bangsa melalui "kuasa perpaduan" bagi menjernihkan semula hubungan sesama saudara seIslam yang sudah sekian lama bermusuhan. Wallahualam

Comments

Anonymous said…
Demi menjayakan penyatuan UMNO dan PAS, kerajaan hendaklah besedia untuk berkongsi kuasa. Untuk permulaan kerajaan BN boleh melantik Presiden PAS Haji Hadi memegang jawatan setaraf Menteri atau jadikan beliau Menteri Hal Ehwal Agama yang mengurus segala hal dan masalah agama-agama di Malaysia di bantu oleh timbalannya yang juga di kalangan ahli PAS TANPA perlu menyertai atau mewakili UMNO atau Barisan Nasional.Mungkin dengan perlantikan itu UMNO dan PAS dapat menjalinkan hubungan sambil mencari titik persamaan.Disamping itu juga mungkin pihak PAS dapat memperbetulkan keadaan sosial dan maksiat yang makin menjadi-jadi sekarang.Kalau sebelum ini segala masalah sosial di salahkan ke kerajaan BN, mudah-mdahan dengan perlantikan tersebut kita mendapat idea baru ala PAS untuk membanteras gejala tersebut.-ASP-Z-
Pada pandangan aku, masaalah jawatan tidak ujud dalam isu ini. Sekiranya PAS yang merupakan parti orang melayu/islam kedua terbesar bersedia bekerjasama dengan UMNO, jangankan jawatan Menteri Hal Ehwal Agama, Timbalan Perdana Menteri pun boleh bagi. Selepas itu kalau nak jadi Perdana Menteri pun tak ada masaalah. Yang penting ialah persefahaman.

Kehadiran PAS mungkin boleh mengubah cari pemikiran pemimpin-pemimpin Islam dalam BN dari sudut pengertian. Kerjasama dan kemampuan UMNO dalam mentadbir negara pula boleh membantu memakmurkan.

Di sini kita dapat lihat kelebihan (advantage) yang boleh diperolehi sekiranya berlaku kerjasama ini.

aku yang bingai
azlishukri said…
terima kasih komen tuan2

Pilihan Pembaca

Tahniah Tan Sri! Kita Memerlukan Lebih Ramai Seperti Ini

Saya mengambil kesempatan secara peribadi mengucap setinggi-tinggi tahniah kepada Tan Sri Hamad Kama Piah yang baru sahaja menerima anugerah Pencapaian Seumur Hidup daripada majalah perniagaan berpengaruh dunia - The Leaders. Sememangnya beliau sangat layak untuk menerima anugerah yang berprestij tersebut. Sekali lagi saya ucapakan syabas dan diharapkan beliau terus berusaha membangunkan ekonomi orang Melayu-Islam ke persada antarabangsa. Doa saya semoga kesihatannya sentiasa terpelihara dan persahabatan kita terus berkekalan. KUALA LUMPUR, 23 Julai — Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman menerima anugerah Pencapaian Seumur Hidup pada majlis Anugerah Kepimpinan Global di sini. Hamad Kama Piah , yang mempunyai pengalaman 30 tahun di bidang pelaburan dan pengurusan unit amanah, membangunkan PNB dengan aset di bawah pengurusan meningkat berganda dari RM40.7 bilion pada Disember 1997 kepada hampir RM150 bili...

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca ...
Nasihat Pemimpin Patuhi Etika Islam Oleh Muhammad Azli Shukri (Artikel saya ini telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 18/09/2003) Dalam Islam, pemimpin atau pemerintah yang telah dilantik haruslah diikuti perintahnya, selagi perintah tersebut tidak bercanggah dengan suruhan wahyu dan perintah Rasul, seperti mana firman Allah di dalam surah an-Nisa ayat 59, "Wahai orang-orang yang beriman! patuhilah olehmu perintah Allah dan patuhilah olehmu perintah Rasul dan ulil amri di antara kamu." Oleh kerana para pemimpin atau pemerintah merupakan manusia biasa dan tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat, maka mereka juga wajib diberi nasihat oleh rakyat yang sedang di pimpinnya, bersesuaian dengan roh Islam itu sendiri yang berteraskan kepada amar makruf nahi mungkar, sebagaimana firman Allah, "Kamu adalah umat yang terbaik yang telah dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.'' (...