
BUIH-BUIH MASA HADAPAN
Menjawab Persoalan Benarkah UMNO akan Pupus?
(Artikel Ulangan)
Oleh Muhammad Azli Shukri
1. Setelah jurnal Foreign Affairs menerbitkan rencana “Pertembungan Tamadun” tulisan tokoh sains politik masyhur dunia, Samuel P.Huntington pada musim panas 1993, rencana tersebut telah menimbulkan keresahan dan kegelisahan terhadap masyarakat dunia. The Clash of Civilizations and The Remaking of World Order buku kontroversi Huntington adalah lahir daripada respons mereka terhadap rencana beliau yang tersiar di dalam jurnal tersebut.
2. Huntington berpendapat, pola politik  global selepas tamat perang dingin akan lebih berpaksi pada jati diri  dan disusun kembali mengikut garis budaya, tamadun dan keetnikan sesuatu  kaum. Masing-masing kaum ingin mengekalkan jati diri budaya dan jati  diri tamadun mereka sendiri. Dan sebuah tamadun sejagat yang  digembar-gemburkan oleh Barat sama sekali tidak akan berlaku. Tamadun  utama dunia seperti China, India dan Islam semakin mengukuhkan jati diri  dan budaya mereka. Tiada kompromi dalam soal ini. Ramalan Huntington  dalam beberapa tahun belakangan ini semakin menjadi kepastian. 
3. Kebangkitan  Iran telah menghantar mesej penting kepada Barat – mereka adalah  penyambung keunggulan Tamadun Islam. Manakala penonjolan China dan India  dalam ekonomi dan ketenteraan mengesahkan hakikat bahawa mereka ingin  kembali menjadi tamadun yang dihormati tanpa mengikut telunjuk Barat  lagi. 
4. Hepotisis Huntington dalam soal ini adalah jelas. Segala  bentuk ideologi yang cuba membentuk sebuah Tamadun Sejagat semakin  runtuh dan tidak diterima. Pada lewat tahun 1980-an rejim Komunis  tumbang dan Tembok Berlin sudah runtuh. Tatkala Barat sedang rancak  menyebarkan bendera liberalisme dan demokrasi di seluruh dunia.  Suara-suara tentangan semakin jelas kedengaran di setiap pelosok dunia,  bahawa mereka tidak mahu lagi melihat susuk tubuh pemimpin kacukan ala-  Hitler, Lenin mahupun Stalin bagi menerajui dunia moden. Pada ketika  ini, cita rasa setiap bangsa dan kaum adalah ingin bangkit untuk  mengikut kepercayaan dan jati diri mereka sendiri, tanpa dipengaruhi  oleh bangsa atau kaum lain. 
5. Akhirnya, kenyataan Huntington  diterjemahkan melalui PRU ke-12 setahun yang lalu. Malah, ia merupakan  medan bagi setiap kaum meluahkan rasa hati mereka. PRU ke-12 bukanlah  kisah tentang harga minyak yang naik 30 sen, atau kisah kebangkitan  Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah mengalahkan tokoh wanita UMNO di Lembah  Pantai. Tetapi PRU ke-12 adalah kisah tentang kesedaran setiap kaum bagi  mempertahankan bangsa dan kaum mereka. Dengan kata lain, keputusan PRU  ke-12 adalah manifestasi tentang rasa setiap kaum terhadap masa hadapan  mereka. Bukan lagi ideologi politik yang diutamakan. Orang Melayu terasa  kehilangan identiti pada saat tuntutan mereka untuk melihat pengajaran  Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Melayu telah diketepikan. Soal  bahasa, merupakan perkara penting bagi orang Melayu. 
6. Dan  yang lebih mendukacitakan, masalah sosial yang menular dalam kalangan  muda-mudi Melayu tidak dibanteras secara menyeluruh oleh kerajaan yang  selama ini mencanagkan pendekatan Islam Hadhari menambahkan lagi  kekecewaan mereka. Akhirnya orang Melayu menggunakan peti undi untuk  meluahkan rasa. Pada masa yang sama, orang Cina yang terkenal dengan  budaya perniagaan, semakin tertekan sejak akhir-akhir ini, tatkala  perniagaan mereka bertambah merosot dan mendakwa ekonomi negara tidak  ditadbir dengan baik. Lantaran itu, mereka beralih sokongan kepada DAP.  Kaum India bangkit menyokong pembangkang, khususnya PKR bukan kerana isu  Hindraf . Sebaliknya, perasaan yang menyelubungi mereka selama ini –  adalah bertitik tolak daripada rasa tersisih, tidak diberi perhatian dan  tiada pembelaan, malah kaum India merasakan bahawa rintihan mereka  selama ini telah dipandang sepi oleh kerajaan. 
7. Saya  dilahirkan 10 tahun selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969. Generasi yang  seusia dengan saya pada hari ini, sesungguhnya sama sekali tidak  memahami secara menyeluruh mengapa peristiwa itu terjadi. Walaupun kami  membaca buku sejarah yang sama. Tetapi kami tidak berada dalam sejarah  itu sendiri. Kami sering mengandaikan, Malaysia yang kini dilihat  berjaya adalah natijah daripada dasar bebas dan kesamarataan. Namun  demikian, itu merupakan pandangan yang salah. Generasi muda yang berjaya  pada ketika ini harus memahami, kejayaan mereka itu adalah hasil  daripada perjuangan orang Melayu yang ingin melihat bangsanya mampu  bersaingan dengan kaum lain secara adil di pentas yang sama rata. Dan  bukan dicuram atau di lembah gunung yang penuh jalan berliku. 
8. Malangnya,  generasi inilah yang sedang bersorak di luar sana mahukan perubahan dan  menjatuhkan sistem yang selama ini memayungi mereka, kononnya untuk  membentuk sebuah kerajaan Malaysia yang lebih adil dan saksama. Adil  hanya akan terjadi apabila pentas persaingan itu benar-benar sudah  seimbang dan meletakkan sesuatu di tempat yang sesuai. Seorang ayah yang  mempunyai anak lelaki berusia 10 tahun, 13 tahun dan 15 tahun sama  sekali tidak akan menunjukkan keadilannya dengan membeli baju yang  bersaiz S untuk ketiga-tiga orang anaknya itu. Keadilan tidak akan  tercapai dengan cara membeli baju yang bersaiz sama, sebaliknya si ayah  hanya berupaya memberikan keadilan dengan membeli saiz baju yang sesuai  dengan peringkat umur anak-anaknya. Maka itulah yang dikatakan keadilan,  yakni meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Generasi saya yang  rata-ratanya mempunyai anak berusia sekitar tiga hingga lima tahun,  sesungguhnya tidak pernah terfikir apakah jenis “payung” yang masih ada  untuk anak-anak mereka bersaing dalam tempoh 10 atau 20 tahun yang akan  datang. Darah muda sering menjadikan “emosi” sebagai kompas yang  menunjuk arah. Jarang kami menggunakan ilmu, sejarah dan nasihat orang  tua untuk mengandaikan masa hadapan. Mengikut hati lebih mudah daripada  mengikut fikiran yang waras.
9. Kekalahan Barisan Nasional (BN)  dalam PRU ke-12 dan di beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini,  seharusnya menjadi pengajaran kepada generasi muda, agar tidak  memperjudikan nasib anak-anak mereka yang baru berusia beberapa tahun  itu. Kerapuhan pakatan pembangkang dalam mentadbir beberapa buah negeri  sudah mula dilihat apabila mereka menunjukkan ideologi yang berlainan  dalam pentadbiran negeri masing-masing. DAP di Pulau Pinang sudah mula  mengetepikan “kontrak sosial” yang sudah disepakati sekian lama oleh  semua kaum di Malaysia melalui kenyataannya bahawa tiada lagi amalan  Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang selepas  ini. PAS di Perak dan PKR di Selangor disyaki akan lebih banyak  terpengaruh dengan ideologi DAP yang menuntut pelbagai kesamarataan di  pentas yang masih tidak rata untuk orang Melayu. Apakah generasi Melayu  di Pulau Pinang, Perak dan Selangor sudah bersedia dengan realiti baru  ini?
10. Dan sesungguhnya, orang Melayu, khususnya generasi muda sudah ditipu dengan slogan pembangkang yang menuntut kesamarataan dan persamaan hak – hakikatnya Melayu, Cina, India di Malaysia mempunyai saiz baju yang berbeza. Hampir 60% penghuni di negara ini terdiri daripada bangsa Melayu, bangsa Cina pula hampir 40% dan India pula hampir mencecah 30% - jadi adalah jelas bahawa umur bagi setiap kaum di Malaysia adalah berbeza, maka sudah tentulah saiz bajunya harus juga berbeza. Memberi perhatian yang lebih dan serius kepada orang-orang Melayu merupakan satu bentuk keadilan, manakala memberi kesamarataan kepada semua kaum adalah umpama memberi saiz baju yang sama untuk anak-anak kita yang berumur 10 tahun, 13 tahun dan 15 tahun – dan sesungguh, hal tersebut hanya menuju ke arah ketidakadilan dan ketidakseimbangan sosiopolitik, malah hanya mengundang rasa tidak puas hati, dan tidak mustahil tragedi 13 Mei akan kembali semula dalam lipat sejarah negara.
11. Hakikatnya, generasi muda sudah tersalah  langkah dalam melihat pola politik Malaysia yang sudah kukuh dibina dan  tersimpul kemas dengan strategi terbaik dalam pentadbiran sesebuah  masyarakat yang majmuk sifatnya. Politik dunia selepas perang dingin  sudah berubah corak, seperti mana dakwaan Huntington di atas tadi, yakni  daripada perjuangan mempertahankan sesebuah ideologi kepada perjuangan  mempertahankan nilai dan jati diri sesuatu bangsa. 
12. Landasan  politik Malaysia sudah berada di garis yang lurus selama 50 tahun  dengan menjadikan pluralisme sebagai nadi mewujudkan kestabilan dalam  politik, ekonomi dan sosial. Dengan konsep ini, setiap kaum yang  terlibat mengekalkan budaya dan jati diri masing-masing, di samping  sama-sama membina perpaduan. Setiap kaum mempunyai partinya sendiri yang  menjaga dan mempertahankan nilai, budaya dan kepentingan mereka. Ini  merupakan sesuatu yang lumrah. 
13. Apabila Tun Abdul Razak  memperkenalkan DEB, beliau sudah menghidu bahawa pola politik Malaysia  akan berubah pada masa hadapan, berasaskan kepada perjuangan jati diri  dan semangat perkauman, dan tidak lagi berteraskan kepada masalah  ketidakseimbangan ekonomi antara kaum atau ideologi perpaduan. Hal ini  terjadi pada saat semua kaum khususnya golongan muda elit dan para  peniaga merasa selesa terhadap tahap ekonomi yang hampir boleh dikatakan  sama rata (pada pandangan mata kasar) antara setiap kaum (walaupun  hakikatnya tidak). Lantaran itu, mereka mula beralih memperjuangkan  nilai budaya dan jati diri mereka pula dalam pilihan raya yang lalu.  Dalam PRU ke-12 ramai yang gagal menyelami hakikat tersebut. 
14. DAP  berjaya menarik sokongan orang Cina bukanlah kerana tawarannya untuk  menurunkan harga minyak, tetapi mesej di sebalik kempen mereka yang  menawarkan sebuah kebebasan untuk menjadi diri mereka sendiri, tanpa  mempedulikan ideologi kesepakatan yang menjadi teras perpaduan kaum di  Malaysia. Dengan kata lain, mereka mahu menjadi bangsa Cina yang unggul  seperti mana yang tercatat dalam sejarah bangsa itu. Di sisi lain pula,  PAS menarik sokongan orang Melayu Islam atas tawaran yang hampir sama,  membangunkan semula sejarah dan tamadun agung Islam melalui saluran di  peti undi. Manakala PKR, menawarkan sebuah negara Utopia yang berbilang  kaum sifatnya tetapi bergabung dengan harapan mewujudkan sebuah bangsa  Malaysia yang mempunyai ciri tersendiri mengikut tafsiran mereka. 
15. Semua  mesej parti pembangkang ini tanpa disedari telah sampai kepada  masyarakat. Dan akhirnya, PRU ke-12 membuktikan perjuangan parti politik  yang berasaskan ideologi perpaduan semakin di persimpangan. Sebaliknya,  rakyat telah memilih perjuangan yang bersandarkan perkauman dan jati  diri bangsa masing-masing. Tanpa menafikan, faktor keselesaan telah  menyebabkan sebilangan rakyat negara ini mudah alpa dan lupa terhadap  nilai perpaduan dan kontrak sosial yang sekian lama terbina. Mereka  berfikir seolah-olah semua kaum di negara ini sudah mencapai kemakmuran  ekonomi yang seimbang setelah kita mencapai kemerdekaan 50 tahun dahulu.  Benarkah begitu? Jika benar, sudah pasti kita tidak lagi tercari-cari  jawapan mengapa DEB telah gagal! 
16. Sebagai generasi muda yang  mengharap agar pembangunan negara berterusan dan hak orang Melayu-Islam  terus terpelihara, akhirnya harapan saya ini hampir berkecai, lantaran  sikap generasi muda kini yang lebih banyak mengikut emosi. Jika benar  mereka mahu membetulkan kerajaan, mengapa tidak sahaja menyertai parti  pemerintah? Perjuangkan apa-apa yang dirasakan benar oleh golongan ini  dari dalam parti dan bukannya bersekongkol dengan pembangkang yang lebih  suka melihat negara ini menjadi lemah. Kita yakini, rusuhan kaum  seperti tahun 1969 tidak akan berulang, kerana faktor kematangan dan  setiap kaum mempunyai kepentingan yang banyak di bumi Malaysia tercinta  ini. Namun demikian, itu bukanlah alasan yang konkrit bahawa tragedi  malang tahun 1969 itu tidak kembali menghantui kita semua. Ia akan hadir  dalam bentuk yang berlainan. 
17. Hujah PAS, PKR dan DAP  bahawa zaman perjuangan sesuatu kaum sudah berakhir, merupakan hujah  orang yang terpesong jauh daripada realiti. Hakikatnya, Allah menjadikan  pelbagai kaum dan bangsa adalah bertujuan untuk saling mengenali serta  memahami antara satu sama lain dan bukan untuk melenyapkan identiti  mereka menjadi satu. Perjuangan sesuatu bangsa adalah untuk mengekalkan  identiti mereka, tetapi haruslah berteraskan kepada ajaran Islam. Oleh  sebab itu, PKR akan hancur dan tidak akan kekal lama, kerana mereka  memperjuangkan ideologi yang hanya berteraskan kepada emosi dan rasa  hati – yakni kebenaran dan keadilan dari kaca mata mereka dan bukan  daripada kaca mata Islam. Tetapi pelik, parti inilah yang sangat  dipercayai oleh PAS. 
18. Untuk 10 tahun akan datang, parti yang  berteraskan kepada ideologi seperti keadilan, komunisme, liberalisme dan  sebagainya akan hancur, kerana manusia menuju ke arah perjuangan  mempertahankan jati diri tamadun asal mereka. Fahaman politik  berideologi sudah tidak ada tempat lagi dalam mana-mana parti politik  pada masa akan datang. PKR akan musnah kerana mereka merupakan parti  yang tiada identiti tamadunnya sendiri. Lantaran itu, saya katakan  bahawa PKR merupakan alat dan boneka kuasa asing dan diambil kesempatan  oleh parti pembangkang lain di Malaysia, demi mencapai matlamat politik  sempit mereka. PAS, walaupun mempunyai ciri perjuangan yang berteraskan  Tamadun Islam, namun demikian sangat lemah dalam melihat waqi’ atau  realiti politik Malaysia yang berasaskan perkauman, setelah British  mempora- perandakan ekonomi Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu.
19. DAP tidak memperjuangkan agenda keadilan dan kebebasan demokrasi, sebaliknya mereka memperjuangkan agenda ketamadunan China – untuk menjadi diri mereka yang sebenar di bumi Malaysia. Semua topeng ini telah terbuka dalam PRU ke-12. Namun begitu, rata-rata orang Melayu telah ditipu atas slogan demokrasi dan keadilan. Dan yang paling malang ialah PAS, percaya akan semua retorik ini. Jika benar demokrasi dan keadilan yang dituntut, PAS seharusnya segan silu untuk mengkritik dan menegur para pemimpi pembangkang yang lain, termasuk Anwar Ibrahim, jika jelas mereka melakukan kesalahan atau melanggar lunas-lunas syariat Islam. Tetapi, hal tersebut tidak berlaku dalam PAS. Tatkala Karpal Singh menolak hokum Hudud dan pembentuk Negara Islam, pemimpin-pemimpin PAS hanya membisu seribu bahasa, demi menjaga hati si Karpal Singh. Dan kini, apabila Haji Hadi melontarkan gagasan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO, maka kedengaranlah suara-suara sumbang yang memperlekehkan usaha tersebut, malah kepada sesiapa yang menyokong idea tersebut mereka akan segera dicop sebagai boneka UMNO, padahalnya Al-Quran dan As-Sunnah secara terang-terang mewajibkan umat Islam bersatu-padu dan mengelakkan sengketa. Jadi, apakah matlamat perjuangan PAS yang sebenarnya selama ini?
20. Bertitik tolak daripada hal ini, mana-mana andaian  termasuk Tun Mahathir sendiri yang bimbang bahawa UMNO akan hancur dalam  PRU ke-13, sesungguhnya, hal tersebut InsyaAllah tidak akan berlaku.  Hal ini adalah kerana, dasar UMNO itu sudah berada di landasan yang  betul, hakikatnya masalah hanyalah berpunca daripada kepimpinan yang  lemah dan bukan masalah parti atau asas perjuangan. Ia merupakan masalah  manusia. UMNO adalah parti yang setakat ini hampir lengkap  perjuangannya iaitu agama, bangsa dan negara. 
21. Saya bukanlah  peminat Samuel P.Huntington, kerana beliau merupakan sebahagian daripada  propaganda Yahudi Amerika untuk menakluki dunia, namun begitu,  kajiannya tetap mempunyai nilai akademik yang kuat dan kukuh. Selagi  ianya tidak bercanggah dengan Islam, maka sesuatu ilmu itu tetap memberi  manfaat kepada manusia. Saya percaya UMNO tetap akan wujud, Cuma ketika  ini ia lemah, lantaran sesetengah pemimpinnya yang lebih mementingkan  politik peribadi daripada sebuah perjuangan yang suci. PKR tidak akan  bertahan lama, mereka hidup atas dasar ihsan Amerika Syarikat dan bukan  atas perjuangan mendaulatkan suatu tamadun atau bangsa. Percayalah  bahawa UMNO akan terus hidup dan sedang membina kekuatannya semula.  Wallahualam.
Comments