Skip to main content

Menyingkap Pemikiran Khairy : Antara Idealisme dengan Realiti


Menyingkap Pemikiran Khairy
Antara Idealisme dengan Realiti



1. Izinkan saya mengupas isu sesi dialog politik pada Persidangan Tahunan Pimpinan Mahasiswa Malaysia 2010 antara Presiden Datuk Ibrahim Ali dengan Khairy Jamaluddin (baca di sini). Walaupun saya tidak menghadiri majlis dialog tersebut, melalui laporan dan ulasan-ulasan daripada para blogger, sedikit sebanyak membantu saya membuat rumus - khususnya rumus untuk meninjau pemikiran Ketua Pemuda UMNO Malaysia berhubung kefahaman sebenar beliau terhadap hakikat perjuangan UMNO.


2. Dalam andaian awal saya ini - atau kesimpulan awal saya - Khairy telah melihat UMNO sebagaimana beliau melihat dirinya sendiri. Beliau mempunyai idealisme - tetapi idealisme yang yang tidak bersifat menyeluruh sehingga ke akar rumpun masyarakat Melayu. Melalui kata-kata Khairy ini, "Keistimewaan Melayu terletak kepada kemampuan untuk bersaing dan mencapai kejayaan dan bukannya disebabkan hak-hak istimewa yang dinikmati," - merupakan nada yang sama dengan pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini. Hal yang sama pernah disuarakan oleh Tun Mahathir - sehingga beliau menangis kerana gagal mengubah tabiat dan sikap negatif orang Melayu - dan rumusan yang mudah dalam hal ini adalah dengan menyalahkan kewujudan Hak Keistimewaan Orang Melayu yang diterjemahkan melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB).


3. Hampir semua orang, tidak mengira bangsa, parti politik, ahli korporat dan ahli akademik telah menunding jari dan meletakkan hipotesis ganjil bahawa orang Melayu ketinggalan dan lemah adalah disebabkan "dasar perlindungan" dan "tongkat ajaib DEB". Khairy adalah sebahagian kecil daripada generasi muda Melayu yang berpegang kepada idealisme seperti ini. Mereka berhujah dan merumuskan, cara untuk menghadapi kelemahan orang Melayu yang sedang membelengu bangsa itu selama ini, haruslah berdasarkan kepada pencapaian hebat, kejayaan unggul serta merit yang tinggi, seperti mana pencapaian yang sedang mereka nikmati. Kehebatan mereka berbahasa Inggeris, keunggulan mereka bersaing dengan para pelajar luar negara, kehidupan mereka yang bebas di luar negara, dan "kesusahan" mereka untuk berjaya di negara orang - menjadikan kesimpulan mereka ini lebih rumit dan sukar untuk dileraikan. Mereka berpandangan "pengalaman hidup" mereka itu adalah satu-satunya cara yang terbaik dalam menyelesaikan kemelut bangsa Melayu yang kelihatan kurang berdaya saing dan serba-serbi lemah dalam pelbagai bidang.


4. Seandainya kita memerhati dengan jujur, hampir semua orang yang menyatakan "halangan" utama kejayaan orang Melayu dalam ekonomi dan perniagaan ialah DEB, adalah terdiri daripada individu yang berjaya dalam dunia korporat, atau bekas pelajar luar negara yang hidup lama di negara maju, atau individu yang bermaustatin dan bekerja terlalu lama di negara-negara Eropah - Inilah golongan yang sangat "memusuhi" DEB dan menuduh DEB sebagai batu penghalang kepada kemajuan orang Melayu selama ini. Dengan kata lain - golongan ini terlalu ta'asub dan percaya - satu-satunya cara untuk menjadikan orang Melayu berjaya adalah dengan menuruti pengalaman dan langkah mereka. Mereka yakin bahawa - mereka menjadi hebat, berjaya dan cemerlang pada saat ini adalah disebabkan oleh kehidupan mereka yang tidak "terikat" dengan DEB dan Hak Keistimewaan Orang Melayu yang tidak pernah wujud di negara lain.



5. Mereka merasakan bahawa dengan berdikari dan berdiri atas kaki sendiri di luar negara - adalah jalan terbaik untuk menjadikan orang Melayu berjaya dan kaya-raya. Satu ketika dahulu, Tun Mahathir dan Tun Abdullah juga, hampir-hampir dihinggapi "penyakit" ini - dengan mengandaikan bahawa kegagalan orang Melayu adalah disebabkan dasar perlindungan yang sekian lama berakar umbi dalam pemikiran bangsa Melayu.



6. Menyalahkan Hak Keistimewaan Orang Melayu dan DEB adalah jalan pintas untuk membina reputasi dan menjadi superhero untuk bangsa lain. Mengaitkan dasar perlindungan orang Melayu dengan masalah pencapaian orang Melayu dalam bidang ekonomi dan pendidikan - adalah perbuatan yang memualkan sama sekali. Ia tidak menyelesaikan apa-apa pun, selain menyemarakkan lagi api kebencian dalam kalangan orang Melayu itu sendiri. Orang Melayu lemah dalam ekonomi dan pendidikan bukan disebabkan dasar perlindungan atau Hak Keistimewaan - ia disebabkan oleh masalah lain, iaitu masalah dalam penghayatan beragama! Kita tidak menjadikan Islam sebagai amalan dalam kehidupan, sebaliknya menjadikan Islam sekadar alat politik dan matlamat sekunder.



7. Khairy berpandangan untuk menjadikan Melayu lebih kuat dan cemerlang - adalah dengan membiasakan bangsa Melayu melalui budaya persaingan. Dengan kata lain, orang Melayu perlu diajar berdiri di atas kaki sendiri dan jangan bergantung harap dengan dasar perlindungan yang sudah termaktub di sisi undang-undang sekian lama. Soalnya, benarkah selama ini orang Melayu tidak berdiri di atas kaki sendiri? Suka saya merujuk kepada kejayaan tokoh korporat terkenal Syed Mokhtar al-Bukhari sebagai simbol satu-satunya orang Melayu yang berupaya menjadi contoh dalam menggabungkan antara kekuatan dasar perlindungan dan Hak Keistimewaan Orang Melayu dengan kekuatan Islam sebagai amalan dalam kehidupannya. (Baca di sini) , (di sini) dan (di sini).


8. Baca sendiri sejarah kehidupan dan kejayaannya dalam dunia perniagaan - serta jangan lupa juga melihat kehidupan beragamanya. Beliau tidak belajar ke luar negara, tidak memiliki ijazah, belajar setakat tingkatan lima dan tidak pernah tinggal di Eropah - tetapi masih boleh berjaya , bahkan lebih berjaya daripada individu-individu yang mengkritik dan menyalahkan DEB. Lihat kata-kata beliau, "Dasar DEB itu tidak sia-sia. Saya boleh mempertahankan manfaatnya. Ini bukan masalah dasar tetapi masalah manusia yang tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik."



9. Jelaslan bahawa dasar perlindungan yang sudah sekian lama diamalkan di Malaysia untuk bangsa Melayu, sama sekali tiada kaitan dengan masalah kemunduran dan kegagalan orang Melayu dalam perniagaan, ekonomi dan pendidikan. Ia hanyalah sekadar mitos untuk membiarkan orang Melayu hidup tanpa perlindungan dan mensia-siakan hak mereka yang sebenarnya wujud atas nama Keistimewaan Orang Melayu!

Comments

samsuri ismail said…
aku ambil jalan tengah bukan jalan pintas.apa yg khairi kata itu pun ada juga kebenaran.bukan sampai tidak boleh dipakai langsung.cumanya hak keistimewaan orang melayu ini janganlah diguna selalu.ibarat tongkat gunalah dia sewaktu jln yang tidak rata atau naik bukit yg sukar.simpanlah kesaktian ini elok-elok jangan disalahgunakan.gunakanlah ditempat yang diperlukan.dari segi idealnya mungkin kita berhendak begitu.tapi dari segi realitynya kadang-kadang perlu kadang tak perlu.eloklah dizaman kini orang melayu sudah mula dilateh dan diasuh untok berdiri secepat mungkin.biarlah kejayaan melayu tanpa dikaitkan dengan keistimewaan ini seboleh mungkin.masaalahnya melayu ini dia manja sepanjang masa.dia ingat kerajaan ini dia punya.itulah pemikiran yang ada.cuma sikap orang umno yg diperintah pembangkang.perangai mereka tak ubah.masih meminta-minta dimanja macam diuperintah bn.habis macam mana nak buat.salah siapa semua ini?

Pilihan Pembaca

Ranking Terbaru Blog Politik : Di Mana Kedudukan Anda?

Terlalu ramai blogger yang telah menghantar alamat blog mereka dan setelah diaudit, 10 blog baru telah tersenarai kedalam Top 100 dan 10 blog yang berada didalam Top 100 pada 15 Disember telah terkeluar. Pada kali ini sebanyak 54 blog telah jatuh anak tangga, yang paling teruk ialah blog 'Buaya Merah' sebanyak 23 anak tangga. Sebanyak 23 blog berjaya berubah tempat yang mana blog 'Ipoh Malay' melompat sebanyak 13 anak tangga dan 13 blog lagi kekal ditangga masing-masing. Pihak kami masih menerima mana-mana blog yang tiada dalam senarai Top Ranking Online. Memandangkan terlalu banyak blog yang mempunyai potensi untuk meningkat naik, pihak kami mungkin akan menambah 50 anak tangga lagi, menjadikan ia sebagai Top 150 pada masa akan datang. Segala sokongan daripada anda semua sangat-sangat kami alukan. Untuk memudahkan, anda boleh melihat dibahagian bawah laman Top Ranking Online adakah blog anda ada dalam senarai jika tiada, sila hantar alamat blog anda. Lihat ranking terb...

Mengapa Mesti Di Masjid? Mana Kaum Lain?

Saya terpanggil untuk berkongsi sebuah rencana yang agak menarik untuk kita renungi. Rencana yang ditulis oleh JEFRI ZACHARIAH dari Malaysia-Instinct ini sedikit banyak mampu membuka fikiran orang Melayu dan mengapa bangsa kita selalu diperbodohkan oleh orang lain. Baca tulisan menarik beliau : APA SUDAH JADI dengan orang Islam? Itulah persoalan yang bermain di benak saya apabila melihat majoriti mereka yang hadir dalam perhimpunan haram semalam di Masjid Negara. Pada mulanya saya membayangkan bahawa perhimpunan haram ini akan dihadiri oleh rakyat Malaysia berbilang kaum yang tidak berpuas hati dengan kenaikan tariff air. Malangnya apa yang saya bayangkan tidak kesampaian. Nampak sangat orang Islam telah dipergunakan oleh pihak tertentu untuk menjerit di masjid. Nampak sangat pihak tertentu ini bukan sahaja mahu mempergunakan orang Islam tetapi juga mengganggu orang Islam lain yang hendak beribadat. Pernahkah kita terfikir kenapa setiap kali demonstrari haram ...

Mufti Perlis Perlu Betulkan Kenyataan

Saya fikir, Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya tidak benar-benar memahami apa yang sedang berlaku di dalam negara kita pada waktu ini (baca di sini) . Isu S.Kesavan yang memetik dua terjemahan ayat dalam surah Ali Imran secara songsang dan menyimpang jauh daripada kebenaran merupakan kemuncak segala penyelewengan yang telah dilakukan oleh kaum bukan Islam di negara ini, selepas tercetusnya isu bacaan merapu Nga Kor Ming, Setiausaha DAP Perak, terhadap ayat suci al-Quran pada pilihan raya kecil Bukit Gantang tahun lalu. Juanda Jaya seharusnya faham, Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak hanya melihat isu S.Kesavan semata-mata dalam menetapkan hukum, sebaliknya para mufti yang hadir pada malam tersebut, telah mendalami isu ini terlebih dahulu secara holistik dan menyeluruh, agar ia tidak menimbulkan fitnah yang berterusan terhadap agama Muhammad! Sejak akhir-akhir ini, orang bukan Islam semakin berani mempersendakan al-Quran atas alasan demokrasi dan kebebasan bersuara - manakala sebahag...