Skip to main content

Siapa Sebenarnya Yang Tidak Faham, Tuan Ibrahim Atau DAP?


PAS Berlutut
Minta Izin Kepada DAP
Untuk Laksana Islam


Saya sebenarnya agak rasa sedikit kasihan dengan para pemimpin PAS yang terpaksa menagih simpati dengan DAP dan Karpal Singh. Seolah-olah hina sungguh Islam, sehingga terpaksa melutut dan menagih kasihan kepada DAP - jelaslah umat Islam terlalu lemah di negara ini, lantaran kita berpecah-belah dan saling membenci, sehingga untuk melaksanakan hukum Hudud dan membentuk negara Islam pun, kita terpaksa memohon izin kepada Lim Kit Siang dan Karpal Singh.

Sekiranya PAS berfikiran jauh dan bijak - semasa isu perpaduan UMNO-PAS meletus, mereka tidak seharusnya bersikap bongkak dan ego, halakan sahaja dakwah mereka itu kepada UMNO dan bukan kepada DAP - jika Islam dan umat Melayu bersatu, kita tidak perlu meminta izin pun kepada DAP untuk melaksanakan hukum Hudud di negara ini. Tetapi sekarang - berbuih-buih mulut para pemimpin PAS untuk mentarbiyyah Ustaz Karpal Singh dan Tok Guru Lim Kit Siang, agar mereka menerima hukum Hudud dan konsep negara Islam ala-PAS. Soalnya, dalam PR, siapakah yang sebenarnya berkuasa dan siapa pula yang dikuasai?

Dari luar, tampaknya PAS terpaksa berlutut kepada DAP semata-mata untuk melaksanakan hasrat parti tersebut melaksanakan hukum Hudud - jika dalam hal-ehwal agama Islam pun PAS terpaksa memohon ehsan daripada Karpal Singh, apatah lagi dalam hal-ehwal politik dan ekonomi - bertambah-tambahlah serban PAS dipijak-pijak oleh DAP. Agak mengecewakan, Islam bertambah dihina dibawah politik gaya PAS - sudahlah hukum Allah tidak dapat dilaksana, kemudian sesuka hati sahaja pemimpin DAP menyindir hukum tersebut. Tetapi, saya percaya, kerana kemarukan kuasa dan mahu menghancurkan saudara seIslam yang bernama UMNO, PAS tidak akan mengakui semua ini. PAS lebih rela disish, diperlekeh dan dilanyak oleh DAP, janji UMNO hilang kuasa.

Malang sungguh umat Melayu-Islam di negara ini. Tanah airnya adalah milik mereka, tetapi merempat menagih simpati, sokongan dan kuasa daripada bangsa lain. Ini adalah rumah kita - negara asal-usul kita, tetapi kita tiada kuasa untuk menentukan nasib kita sendiri, kerana kita lebih selesa berpecah-belah dan menjadi hamba kepada orang lain. Wallahualam.


KUALA LUMPUR, 23 Ogos — DAP perlu memahami dasar perjuangan PAS yang bercita-cita mahu melaksanakan hukum hudud dan negara Islam, sekiranya menawan kerajaan persekutuan, bagi mengatasi masalah jenayah dan sosial membabitkan orang Islam. Parti itu juga menegaskan, ia tidak akan kompromi sama sekali dalam soal menegakkan hukum hudud dan cita-cita menjadikan Malaysia negara Islam.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pelaksanaan hukum hudud hanya melibatkan orang Islam, bukannya masyarakat bukan Islam.

“DAP tolak hukum hudud mungkin kerana salah faham kerana tidak memahami secara jelas mengenai pelaksanaannya.

“Sebenarnya hukum hudud ini sudah menjadi kewajiban untuk dilaksanakan dan ia merupakan tanggungjawab pemerintah,” kata beliau kepada The Malaysian Insider. Beliau berkata DAP perlu memahami dasar perjuangan PAS yang selama ini memperjuangkan Islam.

“Kita harap DAP memahami dasar perjuangan PAS kerana kita selama ini tidak pernah menyentuh dasar DAP ataupun dasar Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Ada perkara yang kita boleh terima dan kita harap DAP juga begitu dan saya percaya DAP tolak hukum hudud dalam konteks pelaksanaan dalam negara,” katanya. Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, DAP perlu diberikan penerangan mengenai hukum hudud secara jelas supaya mereka memahami maksud sebenar pelaksanaan hukum hudud itu.

“Hukum hudud hanya untuk orang Islam, jadi kalau kita laksanakannya orang bukan Islam tidak akan kena apa-apa tindakan.

“Jadi orang bukan Islam tidak perlu risau mengenainya, jadi saya harap isu ini tidak dijadikan polemik oleh media,” katanya lagi. Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Nasruddin Hassan Al-Tantawi berkata parti itu akan melunturkan dasar perjuanagn mahu melaksanakan hukum hudud dan negara Islam.

Sambil yakin DAP akan menerima penjelasan PAS, Nasruddin berkata pihaknya hanya mahu menjelaskan kepada rakan mereka itu mengenai hukum hudud, bukannnya mempertikaikan kesetiaan DAP dalam PR hanya kerana memberikan pandangan berlainan dalam isu ini.

“DAP tidak memahami apa itu hukum hudud jadi sudah menjadi kewajiban bagi PAS untuk memberikan penjelasan supaya mereka faham.

“Kita bukan nak pertikaikan kesetiaan DAP tapi hanya mahu beri penjelasan kepada mereka tentang Islam yang dicadangkan PAS,” katanya. Beliau berkata PAS tetap akan memperjuangkan dasar parti iaitu memperjuangkan Islam walaupun ditolak DAP.

“Kalau DAP nak tolak itu hak mereka tapi kita akan tetap memperjuangkan PAS dan kalau DAP tidak memahami kita akan jelaskan kepada mereka termasuk pelaksanaan hukum hudud.

“Kita akan terangkan kepada DAP mengenai pelaksanaan hukum hudud mengikut syariat Islam dan bagaimana aplikasinya kepada orang Islam,” katanya. Nasruddin berkata walaupun terdapat perbezaan pendapat antara PAS dan DAP mengenai hukum hudud namun ia tidak menjejaskan hubungan dan kerjasama antara dua parti itu.

“Hubungan antara PAS dan DAP hanya kerjasama politik jadi tidak wujud unsur bahawa kita tidak bersepakat dengan DAP.

“PAS dan DAP akan tetap bekerjasama dalam PR dan kita juga tidak pertikaikan kesetiaan mana-mana parti dalam PR,” katanya. Semalam Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata hukum hudud dan negara Islam bukan merupakan dasar Pakatan Rakyat (PR).

Lim mempertahankan pendirian konsisten parti itu yang sentiasa menekankan bahawa Malaysia sebuah negara sekular. Malah Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh mengumumkan bahawa beliau kekal menentang undang-undang sedemikian jika PR mengambil alih kerajaan persekutuan. Kata Karpal, undang-undang sedemikian “tidak berperlembagaan” dan setiap orang perlu menghormati perlembagaan.

DAP mengeluarkan kenyataan ini sehari selepas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat kenyataan Karpal yang tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud adalah pandangan peribadinya. Menteri Besar Kelantan berkata suara-suara sumbang yang timbul mengenai hukum hudud adalah pendapat peribadi dan bukan kenyataan rasmi parti itu.

“Pemimpin DAP lain senyap, hanya dia yang timbul isu itu. Ini kerana apa yang ditimbulkan oleh pemimpin DAP itu merupakan pendapat perseorangan dan bukannya keputusan parti,” katanya. Karpal tidak bersetuju dengan cadangan Nik Aziz, yang dibuat Khamis lalu bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

“Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini.

“Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud,” kata Karpal.

Comments

Anonymous said…
Ngok punya PAS,dah terang2 DAP tolak negara islam tapi nak juga terangkan kat DAP. Sampai bila pun DAP tak nak islam.
Anonymous said…
Tiada manafaat puak-puak PAS ni untuk agama islam di Malaysia....agama dipermain-main lagi ada laa....
Anonymous said…
salam Azli-manusia yang ego selalunya mereka akan menghalakan kesalahan pada orang lain,tipu diri.lebeh baik mereka menghidupkan wayang kulit dan boleh bersandiwara dibelakang takbir.idea pun maseh clipak dari orang lain.mereka ini boleh diketegirikan dengan Abdullah bin Ubay semasa zaman Nabi saw dulu.
Anonymous said…
Salam,
kiranya cita-cita pas itu ibarat orang yang belajar dalam bidang sastera tapi nak jadi jurutera ataupun pakar bedah jantung.so, sebut aje la bagi sedap telinga dengar, aku bercita-cita ....... tapi sendiri sudah tau tak mungkin. tapi dengar best. org dengar pun best. apa yg penting, bukannya memastikan cita-cita terlaksana, tapi telinga dengar best. itula yg pas boleh buat. bagi alipas dengar best. mereka suka take beer.
Anonymous said…
Saya ada komen dlm Pisau.net mengenai isu tersebut dan saya buat salinan utk rakan2 di Azli Shukri Tody :
Dalam melaksanakan hukum hudud oleh PAS, saya ingin kita lihat kembali mengenai 'Blueprint' Negara Islam yang dilancarkan oleh Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 12 November 2003 dan bacalah Q&A dengan wartawan (Star, 13 November 2003) Apa dah jadi dengan 'Blueprint' Negara Islam yang diuar-uarkan oleh PAS yang mendapat bantahan rakan-rakan pembangkang ketika itu. Matalamat adalah untuk meminda perlembagaan negara dalam merealisasikan impian tersebut. Sekarang senyap dan bukan matalamt pokok dalam perjuangan PAS bersama PR. Sehubungan dengan itu, saya melontarkan CABARAN kepada PAS untuk menarik balik 'Blueprint' Negara Islam yang telah dilancarkan, sebelum orang berkata ianya akan jadi 'bluefilm' PAS terkini bersama PR. Yang baik kita kena sokong, cuma jangan hipokrit dalam agama.

Pilihan Pembaca

KENALI DATUK MUKHRIZ MAHATHIR Siri Pertama "Saya membesar seperti kanak-kanak lain." Oleh Muhammad Azli Shukri Menelusuri kehidupan zaman remaja Datuk Mukhriz Mahathir, sangat teruja. Anak ketiga kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad ini begitu ceria sewaktu membicarakan zaman remajanya kepada penulis. “Zaman remaja saya penuh dengan keriangan, saya seperti kanak-kanak lain, hidup dalam budaya Melayu yang sangat menekankan soal adat dan agama Islam.” Ujar Mukhriz ketika memulakan perbualan. “Saya dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan dan agama, ayah saya Tun Mahathir sangat tegas dalam pendidikan kami. Walaupun beliau sibuk sebagai ahli politik, namun pendidikan anak-anaknya sangat diambil berat.” Sambung Mukhriz lagi. Menurut beliau, zaman remajanya sangat menarik untuk dikongsi bersama. Walaupun keluarga Mukhriz sangat dihormati oleh masyarakat pada ketika itu, kerana Tun Mahathir merupakan seorang doktor perubatan, namun hubungan...
Kebenaran Tanpa Penghujung Oleh Muhammad Azli Shukri "Manusia menjadi musuh dengan apa-apa yang tidak diketahuinya." - ini adalah pepatah orang-orang Arab. Bukan hadis nabi. Namun demikian, kata-kata ini banyak kebenarannya. Saya sedikit agak kecewa, bahkan mungkin merungut sedikit. Saya memohon maaf jika tulisan saya kali ini agak pedas dan keras (syadid) sikit daripada biasa. Hal ini adalah kerana saya sememangnya tidak gemar apabila seseorang begitu mudah memberi hukum tanpa usul periksa. Isu memboikot barang-barang tertentu yang jelas bersekongkol dengan Israel, saya tegaskan bahawa saya sangat bersetuju dilaksanakan, tetapi lakukan boikot tersebut dengan bijaksana dan berhikmah. Bukan dengan membuta-tuli atau berlandaskan kejahilan serta kebodohan yang kita miliki. Umat Islam menjadi lemah adalah disebabkan sifat ingin tahu mereka terlalu rendah. Malah, untuk mencari ilmu pengetahuan pun kita begitu malas. Umat Islam, khususnya di Malaysia- lebih gemar mendengar khabar a...

Daripada Rakyat Kepada Rakyat : Ke mana Mukhriz Selepas Ini?

Daripada Rakyat Kepada Rakyat Kita harus bersyukur - sesungguhnya "Kem Kebenaran" sudah menang. Setidak-tidaknya gandingan Datuk Seri Najib bersama Tan Sri Muhyiddin sangat sesuai dan mampu meneruskan perjuangan UMNO. Setakat ini, nampaknya kumpulan bersih telah berjaya mewarnai dan menerajui kepimpinan tertinggi UMNO - walaupun saya agak kecewa sedikit dengan kekalahan Datuk Seri Rais Yatim dan Datuk Mukhriz Mahathir. Namun demikian, suara lantang masih wujud di dalam UMNO. Datuk Seri Shahrizat dalam ucapannya setelah bergelar Ketua Wanita UMNO, turut mengucapkan terima kasih beberapa kali kepada Tun Mahathir - kerana banyak menyokongnya dalam dunia politik. Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Najib juga dikatakan sangat rapat dengan Tun Mahathir - ini menandakan, InsyaAllah mungkin banyak idea dan pandangan Tun Mahathir akan didengari selepas ini. Saya ucapkan tahniah juga kepada Datuk Seri Hishamuddin, Datuk Syafie Apdal dan Datuk Seri Zahid Hamidi kerana berjaya seperti mana...