Skip to main content

Menjawab Tohmahan Kononnya UMNO Parti Nasionalisme Yang Haram di Sisi Islam


MENJAWAB TOHMAHAN
KONONNYA UMNO PARTI NASIONALISME
YANG HARAM DI SISI ISLAM

(Saya siar ulang, tulisan saya berhubung isu UMNO dan Nasionalisme)

1. Tahun ini merupakan tahun ke-52 tanah air kita mencapai kemerdekaan. Semua lapisan rakyat, tidak kira agama dan bangsa, telah menikmati kemakmuran dan keamanan, hasil daripada usaha dan perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan terdahulu. Tidak ternilai segala jasa dan pengorbanan mereka itu. Dan bersyukur merupakan sebahagian daripada tanda kenangan kita terhadap perjuangan mereka itu.


2. Kemerdekaan sama sekali tidak dapat dipisahkan daripada konsep nasionalisme. Iaitu semangat cinta akan tanah air dan bangsa sendiri. Namun demikian, terdapat segelintir umat Islam di negara ini, yang menyalah tafsirkan konsep nasionalisme sehingga ada yang sanggup mendakwa bahawa konsep tersebut merupakan konsep yang bercanggah dengan ajaran Islam. Dakwaan golongan ini adalah mudah, iaitu nasionalisme adalah sama ertinya dengan assabiyah. Mereka berhujah berdasarkan sabda Rasulullah, “bukan daripada golongan kami orang yang menyeru kepada assabiyah, dan bukan daripada kami orang yang berperang atas dasar assabiyah dan bukan daripada kami orang yang mati atas dasar assabiyah.” (Riwayat Abu Daud).


3. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Rasulullah dengan perkataan assabiyah itu? Apakah assabiyah semakna dengan konsep nasionalisme itu sendiri? Soalan-soalan sebegini harus segera dijawab agar tidak lagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Nasionalisme berasal daripada perkataan Latin natio yang mendukung erti “kelahiran”. Pada zaman ini, nasionalisme sudah diterima sebagai istilah bagi suatu keyakinan politik. Malah daripada kalimah natio itu juga terbentuknya istilah-istilah lain seperti nation (bangsa), nationality (perasaan kebangsaan), nationalization (menjadikan sesuatu harta kekayaan sebagai hak milik negara) dan nation-state (negara bangsa).


4. Tokoh-tokoh sejarah barat seperti Hans Kohn mentakrifkan nasionalisme dengan agak sempit iaitu, “satu keadaan fikiran yang menyerap ke dalam jiwa segenap masyarakat dan mereka mengiktiraf negara bangsa sebagai bentuk organisasi politik yang unggul, dan bangsa sebagai punca bagi segala kehidupan budaya yang membina dan mengguna kebajikan ekonomi. Oleh itu kesetiaan ulung manusia adalah tertumpu kepada bangsanya, kerana kehidupannya sendiri adalah dipercayai berdasarkan kepada dan dimungkinkan oleh kebajikan bangsanya.”


5. Ini merupakan takrif golongan yang tidak beriman kepada Allah. Golongan seperti ini menjadikan perjuangan atas nama bangsa sebagai perjuangan untuk mencapai segala-galanya. Sedangkan Islam, konsep nasionalisme diletakkan pada kedudukannya yang sesuai dan wajar, serta tidak terkeluar daripada garis syariat itu sendiri. Oleh kerana itu, Islam sama sekali tidak menolak semua ciri yang terdapat dalam konsep nasionalisme tersebut. Menurut Islam , mana-mana ciri nasionalisme yang sesuai dengan roh dan syariat Islam, maka ia harus diterima, manakala ciri yang terpesong daripada ajaran Islam, maka ia harus segera ditolak. Ada benarnya juga apa yang telah di dakwa oleh bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Muhammad Abdul Rauf, “konsep Barat yang sempit mengenai nasionalisme tidak ada tempat di dalam negara Islam.”


6. Di Malaysia, terjadinya salah faham terhadap konsep nasionalisme dalam kalangan masyarakat adalah disebabkan oleh kesilapan mereka sendiri, yang memahami nasionalisme di Malaysia sepertimana nasionalisme yang difahami dan ditakrifkan oleh orang-orang barat seperti di atas. Sedangkan nasionalisme yang dibentuk di Malaysia sejak dahulu lagi adalah berasaskan kepada nasionalisme yang dilihat dari perspektif Islam itu sendiri. Kejahilan kita dalam hal ini, hanya mengundang prasangka buruk kepada kerajaan dan sesama Islam.


7. Lantaran itu, tidak hairanlah mengapa Dr. Burhanuddin al-Hilmy pernah berkata dalam kongres Parti Islam Se-Malaya dalam tahun 1964, “Biarlah saya mengambil peluang mengingatkan lagi kepada bangsa-bangsa di dunia ini bahawa Melayu itu adalah nama satu bangsa yang mempunyai kebudayaan dan tanah airnya sendiri. Menghapuskan nama rupa bangsa Melayu adalah satu pengkhianatan politik kepada bangsa Melayu.”


8. Oleh kerana itu, di Malaysia nasionalisme diertikan dan difahami oleh tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan dahulu merujuk kepada konsep cintakan tanah air dan bangsa sendiri, di samping perasaan benci kepada sebarang bentuk penjajahan kuasa luar, seperti mana takrif yang terdapat di dalam Kamus Dewan. Mencintai tanah air dan bangsa sendiri merupakan perkara yang sama sekali tidak bercanggah dengan roh Islam itu sendiri.


9. Golongan yang cuba mengelirukan masyarakat dengan mentakrif bahawa assabiyah adalah sama dengan semangat nasionalisme, merupakan golongan yang cuba merosakkan fikiran masyarakat yang kurang berpengetahuan. Hal ini kerana, Rasulullah telah bersabda ketika seorang sahabat bertanya “Ya Rasulullah, adakah terbilang daripada assabiyah seseorang itu yang kasih akan kaumnya?'' baginda menjawab “Tidak! Tetapi, terbilang daripada assabiyah menolong kaumnya melakukan kezaliman (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah). Perkara ini diperkuatkan dengan satu lagi sabda Rasulullah apabila baginda ditanya oleh Wailah bin Asqah “Ya Rasulullah, Apakah yang dikatakan assabiyah itu?'' Jawab baginda “Bahawa engkau menolong kaummu dalam kezaliman.” (Riwayat Abu Daud).


10. Cukup jelas sabda-sabda Rasulullah tersebut. Assabiyah adalah merujuk kepada “menolong kaum sendiri dalam melakukan kezaliman”, seperti mana yang firman Allah “hendaklah kamu tolong-menolong dalam mengerjakan pekerjaan yang baik dan janganlah bantu membantu dalam mengerjakan dosa.” (Al-Maidah:2) Malah, assabiyah ini lebih menghampiri makna ta`assub atau fanatik. Hal ini adalah kerana, kebiasaannya orang-orang yang ta`ssub sahaja yang gemar mengikuti kumpulan, kaum atau bangsanya secara membuta-tuli, walaupun sudah jelas kesalahan atau dosa yang mereka lakukan. Hal ini adalah sama dengan PAS, jika para penceramah PAS berceramah dengan mencaci-maki pemimpin dan membuat prasangka buruk kepada pemimpin negara, ia harus ditegur dan bukan disokong.


11. Dan ini sudah pasti berbeza dengan takrif nasionalisme yang menjurus kepada makna “rasa cinta serta kasih kepada bangsa dan tanah air sendiri” serta menolak sebarang bentuk penjajahan kuasa luar. Ini adalah kerana, Rasulullah sendiri mempunyai perasaan kasih dan sayang kepada bangsa dan tanah airnya sendiri. Kerana itulah, setelah beberapa tahun Rasulullah dan para pengikutnya berhijrah ke Madinah, mereka mula merasa rindu kepada tempat kelahiran mereka sendiri iaitu Mekah. Rasa rindu mereka bertambah-tambah sehinggalah hajat mereka ditunaikan oleh Allah.


12. Justeru itu, nasionalisme di Malaysia merupakan nasionalisme yang berada pada garis yang benar dan secocok dengan roh Islam itu sendiri. Seperti mana yang pernah dikatakan oleh Dr Muhammad Abdul Rauf, “walau bagaimanapun, nasionalisme sebagai sentimen yang semula jadi, cinta dan kesetiaan kepada tanah air sendiri adalah konsisten (secocok) dengan semangat Islam dan menggerakkan semangat untuk menghalang penjajah kuasa luar dengan apa cara sekalipun adalah selaras dengan konsep izzah (kehormatan diri sendiri) yang ditujukan Allah dengan firmannya “al-izzah adalah untuk Allah dan pesuruh-Nya dan yang beriman kepada Allah, tetapi orang munafik itu tiada mengetahui.” (al-Munafiqun: 8).


13. Ibnu Khaldun di dalam kitabnya Muqaddimah memetik sebuah hadis yang bermaksud “Allah tidak mengutus seseorang nabi melainkan dengan kekuatan kaumnya sendiri.” Dalam membincangkan hadis ini, Ibn Khaldun berpendapat bahawa kekuatan kaum adalah penting bagi setiap perjuangan, termasuk gerakan dakwah agama. Menurutnya, jika nabi pun memerlukan kekuatan kaumnya terlebih dahulu dalam menyampaikan risalah Allah, maka sudah tentu, kita sebagai insan biasa amat memerlukannya lagi.


14. Nabi Muhammad juga pada permulaan dakwahnya dibantu oleh kekuatan keturunan dan salasilah keluarganya yang berasal daripada bani Hasyim. Selain itu, baginda turut dibantu oleh isterinya, Siti Khadijah yang tidak hanya disegani kerana kekuatan perniagaannya, tetapi kerana keturunannya yang dimuliakan oleh penduduk Mekah.


15. Maka, sekali lagi Nabi Muhammad dibantu oleh “kekuatan kaum” dalam saat baginda menyampaikan risalah Allah SWT Jadi kaum atau bangsa yang kuat amat diperlukan sebagai medium menyampaikan risalah Allah di muka bumi ini. Kekuatan kaum atau bangsa ini tidak mungkin diperoleh tanpa rasa kasih sayang yang ditanam di dalam diri kita sendiri.


16. Oleh itu, dapat kita perhatikan bahawa, nasionalisme yang mempunyai kaitan dengan semangat kasih sayang dalam mempertahankan bangsa dan negara, harus berpandukan kaca mata al-Quran dan As-Sunah. Menolak seratus peratus konsep nasionalisme, merupakan sesuatu yang cukup malang dan berbahaya. Namun demikian, membiarkan konsep nasionalisme tanpa bimbingan al-Quran dan As-Sunah juga bakal mendatangkan keburukan. Mempertahankan Islam dan memperjuangkannya adalah perkara yang utama, namun mencintai tanah air dan bangsa sendiri juga merupakan perkara yang harus di sisi Islam. Oleh sebab itu, tanggungjawab setiap individu adalah memperkemaskan diri mereka dengan pelbagai ilmu pengetahuan, agar sesuatu penilaian kita itu berasaskan kepada ilmu dan bukannya nafsu.

Comments

Anonymous said…
NIK AJIS PATUT BACA INI.TERMASUK PENYOKONG PENYOKONG TEGAR BELIAU
Anonymous said…
tidak ada pendapat lain yg akan diterima pakai oleh penyokong pas selain dari pendapat nik Najis...sesungguhnya Nik NAjis itu sama level makamnya dgn makam rasul...mengingkari nik Najis samalah mcm mengingkari rasul...hu..hu..makan najis la ko..
Anonymous said…
Tong Najis bagi satu alasan UMNO pakai dasar kebangsaan....tapi tgk apa yang UMNO buat untuk Islam...PKR pakai dasar apa???DAP langsung tak nak negara ISlam dasar apa PKR dan DAP pakai untuk islam....Isu yang cukup dangkal...itu pun BN takut nak jelaskan isu ini sepenuhnya....malang sungguh
azlishukri said…
harap2 penyokong PAS insaf...

Pilihan Pembaca

Akhil 2009 : Hari Tanpa Esok

AKHIL 2009 Hari Tanpa Esok KUALA LUMPUR 25 Mei - ''Februari lalu, dia pernah meminta kebenaran untuk mengahwini Waheeda. Saya reda dan membenarkannya. ''Bagaimanapun, selepas dia mendiamkan diri termasuk tidak pulang ke rumah dan menjawab telefon, saya sudah hilang sabar serta nekad untuk menuntut cerai.'' Itu tegas isteri kepada penyanyi dan pendakwah Akhil Hayy, Maizawati Zainal, 33, berhubung kemelut rumah tangga mereka yang kini sedang hangat diperkatakan gara-gara Akhil didakwa mempunyai hubungan dengan penyanyi Waheeda atau Norwahidah Abdul Wahab, 31. Menurut Maizawati, selepas lama memendam perasaan, dia hilang rasa sabar dengan apa yang melanda hidupnya ekoran gosip hubungan berkenaan termasuk apa yang telah Akhil lakukan terhadap dirinya. ''Saya pernah beberapa kali menghubunginya tetapi dia tidak menjawab telefon. Alasan yang diberikan adalah sibuk dengan kerja. ''Dia juga sudah lama tidak pulang ke rumah. Ketika saya memfailka...
Hikayat Dewan Ekonomi Episod Satu : Kemelut Di Dalam Sarang Semut Oleh Muhammad Azli Shukri Menguruskan sebuah majalah, bukanlah semudah menerbitkan sebuah buku atau jurnal. Penerbitan sebuah majalah memerlukan kesinambungan idea dan komitmen para penulis. Saya diterima bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 7 Disember 2006 (mungkin kerana saya agak rapat dengan mantan Ketua Pengarah DBP dahulu, Datuk Dr Firdaus Abdullah) - sebagai staf kontrak (kontrak akan disambung pada setiap tahun). Oleh kerana latar belakang pekerjaan saya sebelum ini adalah dalam pendidikan dan bukan penerbitan, maka dunia penerbitan merupakan dunia baharu bagi saya. Setelah saya ditempatkan untuk bertugas di bahagian majalah, di bawah kendalian ketua editornya, Puan Padilah Hj Ali, maka saya terpaksa menyahut cabaran dengan apa-apa juga tugas yang akan diberikan olehnya kelak. Pada ketika itu, DBP baru sahaja mengambil alih penerbitan majalah yang sebelum ini telah difancaiskan kepada syarikat Karangkra...

Dewan Masyarakat atau Masyarakat Dewan?

Dewan Masyarakat atau Masyarakat Dewan ? Saya difahamkan bahawa Tan Sri Muhyiddin akan melawat ke Dewan Bahasa dan Pustaka pada hari ini (walaupun mungkin tidak kesampaian). Sama ada TS Muhyiddin jadi membuat lawatan ataupun tidak, ia secara tidak langsung menjelaskan betapa beliau merupakan seorang yang benar-benar berjiwa rakyat dan tidak suka dibodek. Lawatan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa DBP begitu diambil perhatian serius oleh Timbalan Perdana Menteri itu, malah tidak terkejut rasanya jika tidak lama lagi DBP akan ditransformasikan menjadi lebih baik daripada dahulu. DBP - nama yang sangat gah dan hakikatnya perlu banyak berubah. Pada pandangan peribadi saya, DBP bukan tidak hebat, sebaliknya terdapat segelintir "orang atasannya" yang lebih gemar menjadi pembodek dan main silat, sehingga nama baik DBP kotor dan dipandang tidak bermaya oleh masyarakat luar. Saya sebenarnya sangat kagum dengan Datuk Baha, salah seorang ahli Lembaga Pengelola DBP yang begitu...