Skip to main content

Monolog Azli Shukri : Bab 14 : Daripada Pemuda Kepada Pemuda


MONOLOG AZLI SHUKRI
Bab 14 : Daripada Pemuda kepada Pemuda


Oleh Muhammad Azli Shukri



Saya simpulkan semua isu yang mendominasi Malaysia pada bulan ini dalam satu tulisan, bermula isu PPSMI, Penggunaan Nama Allah, Pemilihan UMNO Hujung Bulan ini dan Pilihan Raya Bukit Gantang. Semua akan saya berikan pandangan saya secara jelas dan ikhlas di sini.


Tentang PPSMI


Saya mempunyai pendirian yang agak sama dari satu segi dengan para pejuang bahasa yang menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong baru-baru ini. Malah, saya juga sempat menghantar SMS kepada Datuk Baha - betapa saya kagum beliau sanggup bersama-sama dengan Prof Ismail Hussien membuat laporan polis berkenaan isu tersebut. Saya katakan kepadanya, "perjuangan Datuk menjadi aspirasi saya." Saya rapat dengan Datuk Baha sewaktu saya bekerja dengan DBP dan beliau menjadi ahli Lembaga Pengelola DBP - banyak aktiviti yang kami hadir bersama. Saya tegaskan bahawa dari segi menguasai ilmu - kita harus mempelajarinya dalam bahasa ibunda, tetapi untuk maju dan mendapatkan pekerjaan kita harus menguasai bahasa Inggeris - itu adalah hakikat dan realiti.



Ibu bapa yang mempunyai banyak duit pada hari ini lebih selesa menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta - untuk apa? untuk memastikan anak-anak mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik, hal ini termasuk anak-anak menteri dan ahli korporat. Mereka tidak berapa yakin dengan sistem pendidikan yang kita ada selama ini. Kehebatan yang kita lihat pada diri A.Samad Said, Dr. Hassan Ahmad, Prof Ismail Hussien, Ainon Mohamad, Abdullah Hassan dan lain-lain perjuang bahasa adalah hasil daripada sistem pendidikan Inggeris yang mereka peroleh dahulu. Mereka menjadi hebat kerana mereka boleh menguasai kedua-dua bahasa tersebut - di sekolah semua mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris, terpaksa oretar dalam bahasa Inggeris, lantaran itu mereka menjadi hebat dalam bahasa tersebut.



Manakala, apabila mereka kembali ke rumah, ibu bapa mereka akan bertutur dengan mereka menggunakan bahasa Melayu, bercakap dengan dialek Melayu, mengajar tajwid dan al-Quran dalam bahasa Melayu - jadi mereka beruntung kerana dapat menguasai kedua-duanya sekali, maka tiada masalah untuk mendapatkan pekerjaan, setelah mereka menamatkan pelajaran di universiti. Begitu juga dengan anak-anak Cina - di sekolah belajar bahasa Ibunda mereka, tetapi apabila di rumah mereka bertutur dalam bahasa Inggeris - jadi mereka beruntung dapat dua-duanya sekali.



Tetapi anak orang Melayu? di sekolah cakap Melayu, di rumah cakap Melayu, di kedai cakap Melayu, jadi bila masanya kita mampu menguasai bahasa Inggeris? Isu PPSMI adalah dilema semua orang, dilema para pejuang bahasa yang berniat ikhlas untuk melihat bahasa Melayu maju, dilema ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka mahir dalam bahasa Inggeris - kerana terbukti graduan Melayu kita ketinggalan apabila mereka cuba bekerja di sektor swasta, dilema kerajaan pula adalah mahu melihat dan memudahkan orang Melayu pandai bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris agar mereka mudah mendapatkan pekerjaan dan tidak bergantung harap kepada sektor awam semata-mata untuk bekerja. Oleh itu, semua pihak berada dalam dilema. Itu hakikatnya.



Lantaran itu, isu PPSMI sudah menjadi semakin kompleks - kerana masing-masing mempunyai tujuan yang tertentu sama ada mahu mempertahankan atau menentangnya. Bagi saya kedua-dua pihak ada kebenaran jika mereka melihat dari perspektif masing-masing. Seperti yang dikemukakan oleh Tun Mahathir - PPSMI adalah bertujuan untuk menguasai ilmu, lantaran kerana hampir semua aspek ilmu pengetahuan ditulis dalam bahasa Inggeris, hal ini adalah kerana industri terjemahan negara kita masih lemah untuk menterjemahkan segala ilmu tersebut dalam bahasa Melayu, khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Oleh sebab itu, kita harus mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, kerana itu adalah cara yang paling mudah.



Dalam aspek tersebut, jika itulah hakikat yang Tun Mahatir mahukan, maka saya memberi jawapan sebegini, bukankah kita boleh memperuntukkan dalam bajet negara berkenaan memperluas dan membesarkan industri terjemahan negara sekurang-kurangnya setanding dengan Indonesia? - bukankah kita juga boleh meminta agar setiap universiti melahirkan sebanyak mungkin para penterjemah yang berkaliber? - bukankah kita juga boleh mewujudkan jawatan Pegawai Penterjemah dalam sektor awam? atau jika tidak mencukupi kita boleh belajar daripada Indonesia bagaimana mereka boleh berjaya dalam industri terjemahan di negara mereka. Mungkin juga kita terpaksa mengambil para pekerja penterjemah dari Indonesia untuk bekerja di Malaysia bagi merancakkan lagi kerja-kerja terjemahan di negara ini atau, mungkin sahaja kita melaksanakan kontrak dengan institusi terjemahan di Indonesia agar sama-sama membangunkan industri terjemahan di negara ini. Ini merupakan satu pandangan. Ia mungkin boleh dan mungkin tidak boleh.



Bagi pejuang bahasa yang mahu menghapuskan PPSMI, mereka berhujah bahawa jika ia dilaksanakan maka bahasa Melayu akan pupus sebagai bahasa ilmu dan komunikasi. Itu saya boleh terima - memang benar fungsi bahasa Melayu harus diperluaskan. Kematian bahasa Hawaii pada satu ketika dahulu adalah kerana mereka menggantikannya dengan bahasa Inggeris dalam perbualan seharian dan dalam sistem pendidikan mereka, malah bahasa Sanskrit juga mati adalah berpunca daripada para penuturnya yang menyekat penggunaan bahasa tersebut hanya dalam upacara keagamaan dan kerohanian semata-mata. Jadi kita tidak mahu bahasa Melayu menjadi seperti begitu - oleh itu bagaimanakah cara penyelesaiannya? jawapannya mudah, sesuatu bahasa itu diangkat oleh bangsa dan masyarakat luar adalah kerana faktor ilmu yang ada dalam bahasa tersebut.




Kita terpaksa mempelajari bahasa Inggeris dan Jepun adalah kerana banyak ilmu baru dan terkini ditulis dalam kedua-dua bahasa tersebut - dan sekarang cuba tanyakan apakah ilmu-ilmu baru yang kita miliki dan ditulis dalam bahasa Melayu? Apakah terdapat buku dalam bahasa Melayu yang popular yang mengetengahkan ilmu baru atau teori baru dalam pelbagai bidang? saya rasa sukar untuk menemuinya - malah mungkin tiada. Kita mahu orang Melayu melahirkan teori baru dan penemuan baru dan ditulis dalam bahasa Melayu dan buku tersebut mesti bersifat popular. Hal ini akan menaikkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.



Tetapi, para cendiakawan dan pejuang bahasa yang berada di Malaysia pun, saya fikir kurang berjaya menghasilkan teori dan penemuan baru yang boleh dibanggakan dan dipopularkan, apatah lagi untuk memberi kesan kepada masyarakat. Cuba kita tanyakan kepada para pejuang bahasa tersebut, manakah buku yang mereka tulis yang berupaya memaparkan penemuan baru dan teori baru dalam bidang tertentu dan boleh dipopularkan sehingga menjadi buah mulut orang ramai. Umpamanya seperti buku-buku yang ditulis oleh Covey, Peter Drukcer, Antony Robbins, Tony Buzzan, Edward De Bono dan banyak lagi - hakikatnya orang Melayu bukan tidak boleh menulis dan tidak mempunyai banyak idea - sebaliknya, mereka takut "orang mengata" itu dan ini, terhadap idea-idea baru yang mereka paparkan itu, maka sebab itulah banyak idea kreatif orang Melayu tidak dapat diketengahkan kepada khalayak ramai, dan tidak boleh dihayati oleh bangsa lain.



Orang Melayu memiliki banyak idea, tetapi tidak mahu menulis, tidak mahu diterbitkan, kerana takut "nanti apa orang cakap". Jesteru itu, macam mana bahasa Melayu hendak berkembang maju? Penulis-penulis Melayu kurang membuat kajian dan tidak mahu berfikir di luar kotak, kerana fobia dengan kata-kata "apa nanti orang cakap, kalau aku pandai-pandai cipta teori sendiri? Inilah puncanya bahasa kita tidak boleh pergi jauh - saya ambil contoh diri saya sendiri, apabila saya mengemukakan buku tulisan saya (buku Psikosemantik) ramai juga yang mencemuh dan mengutuk - tetapi, hakikatnya yang memberi aspirasi jauh lebih ramai daripada yang mencemuh. Menurut mereka, ini merupakan usaha yang bagus dan perlu diteruskan. Saya membina teori psikologi saya sendiri untuk apa? untuk cuba melahirkan sudut pandangan orang Melayu yang berbeza dengan masyarakat barat berkenaan dunia psikologi yang selama ini tak habis-habis kita menceduknya dari dunia barat - melalui tulisan tokoh-tokoh besar mereka seperti, Victor Frankl, Singmund Frued dan banyak lagi.



Orang Melayu mesti mencipta banyak ilmu baru, agar berupaya menarik minat bangsa lain untuk mempelajari bahasa kita. Kita tidak boleh berharap kepada kerajaan semata-mata, untuk mempertahankan bahasa Melayu - tetapi pada masa yang sama kita lupa akan tanggungjawab kita untuk melahirkan ilmu baru dalam bahasa ibunda kita sendiri. Jangan kita asyik menyalahkan Dr Mahatir tidak henti-henti, beliau orang politik, dan sudah tentu beliau melihat isu bahasa dari kaca mata orang politik dan bukan dari kaca mata orang bahasa. Dr Mahathir akan membuat keputusan politik dan bukan keputusan bahasa - beliau akan lebih mengutamakan kepentingan dan kehendak masyarakat serta bagaimanakah menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh para remaja dan graduan dalam mencari pekerjaan ketika kita sedang dilanda arus globalisasi.



Sekarang kita harus bertanya kepada diri kita sendiri, apakah hasil yang telah kita beri kepada bahasa Melayu? apakah nilai tambah yang telah sama-sama kita sumbang kepada bahasa Melayu? manakah buku yang kita tulis untuk menunjukkan kehebatan bahasa Melayu dalam bidang psikologi, politik, agama, sosial, sains, ekonomi dan sebagainya? Tak ada - kita masih banyak bertaklid kepada ilmu barat. Kita tidak menggalakkan cendiakawan dan para pejuang bahasa kita untuk melahirkan ilmu baru dalam bidang tersebut dari persepsi dan perspektif orang Melayu untuk dikongsi oleh dunia luar. Inilah masalah sebenar kita. Sekiranya hal ini dapat diatasi, kita tidak perlu bergantung kepada perlembagaan untuk mempertahankan bahasa kesayangan kita. Kita harus menjadikan bahasa Melayu relevan dengan membina teori dan ilmu baru dalam bahasa kita sendiri dan bukan bertaklid kepada bangsa lain.Wallahualam.


Tentang Penggunaan nama Allah



Isu ini pada hakikatnya sudah selesai, apabila penggunaan nama Allah tidak diizin untuk digunakan oleh penerbitan dalam surat khabar kristian. Tetapi isu ini timbul semula, apabila terdapat segelintir bloggers yang mengutip pandangan Nik Aziz dan Dr Asri bagi menghalalkan perbuatan tersebut. Saya tidak menyalahkan Nik Aziz dan Dr Asri dalam hal ini, mereka menulis dengan ijtihad mereka, berasaskan kepada ilmu yang mereka miliki, malah jika diperhatikan hujah kedua-dua pihak ada kebenarannya. Namun demikian, pada pandangan saya hujah yang lebih menghampiri kebenaran berasaskan kepada (waki') atau realiti semasa, maka suka saya menerima hasil ijtihad Mufti Perak, Datuk Harussani. Dr Asri berhujah bahawa ada beza antara merebut nama Allah dengan mempertahankan aqidah, lantaran itu, Dr Asri melihat isu tersebut berasingan, maka kerana itu beliau tidak melarang penggunaan nama Allah tersebut.



Dr Asri perpandangan, "Di samping, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan aqidah Islam dan selainnya bukanlah kepada rebutan atau sebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik, Di samping itu, kita harus bertanya kepada diri kita, mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah?" dari satu segi saya sependapat dengan Dr Asri, hal ini adalah kerana bukti-bukti yang sahih telah dikemukakannya dalam artikel beliau, namun begitu saya jelaskan isu tersebut bukanlah isu ringan pada masa kini dan ia perlu dilihat dari sudut yang lain. Datuk Seri Harussani melihat isu tersebut dalam konteks fiqh waki' oleh sebab itu ijtihad beliau berbeza dengan Nik Aziz dan Dr Asri - Harussani lebih banyak terlibat dengan pelbagai isu kristianisasi sebelum ini, beliau lebih arif tentang bagaimana halusnya para pendakwah kristian untuk cuba menyesatkan umat Islam di negara ini - kita harus faham latar belakang Harussani dalam hal tersebut.



Dalam usaha kita mengeluarkan ijtihad - kita harus menguasai fiqh waki' yakni fiqh yang menguasai hal-hal terkini, serta segala ancaman terbaru yang dihidangkan kepada umat Islam dan aqidahnya. Justeru itu, dalam hal ini - Harussani mendahului dari mufti-mufti yang lain. Harussani dapat melihat apa-apa yang kurang diberi perhatian oleh ulama lain, inilah yang mengagumkan saya berkenaan diri Harussani. Dalam mengemukakan sebarang ijtihad, kita tidak cukup sekadar menguasai ilmu hadis atau syariat semata-mata, sebaliknya pelbagai disiplin ilmu agama harus kita kuasai - khususnya untuk menghadapi ancaman terhadap umat Islam pada masa kini. Ulama harus bijak menangkap tipu muslihat musuh-musuhnya, dan dari situ ijtihadnya akan lebih tepat dan berwibawa.




Berbalik kepada isu di atas - Harussani melihat fasad (kerosakan) yang timbul akibat daripada penggunaan nama Allah dalam penerbitan pihak kristian itu jauh lebih besar daripada kebaikannya, terutama ketika umat Islam begitu lemah dengan pelbagai masalah dan kelemahan. Harussani berpandangan, jika diizinkan kelak - ia membuka pintu fitnah kepada agama Islam dan umatnya - inilah ancaman yang dibimbangi oleh beliau. Harussani dengan segala ilmunya melihat waki' atau realiti umat Islam, khususnya generasi muda di Malaysia sangat lemah dari segi aqidah dan akhlak, dan lebih mudah terpesong aqidahnya jika hal tersebut tidak dibendung dari sekarang. Dan untuk jangka masa panjang, hal ini sangat merbahaya kepada aqidah umat Islam.




Lantaran itu, Harussani melihat isu tersebut dari kaca mata yang berbeza dengan Nik Aziz dan Dr Asri. Beliau melihat secara holistik, yakni kesan terhadap "keizinan tersebut" pada masa akan datang kepada agama Islam dan umatnya. Sekarang ini, nama Allah merupakan maruah umat Islam - kita tidak mahu fitnah melanda atas nama Allah yang Maha Agung dan Maha Besar itu melalui permainan oranq-orang kafir yang tidak faham akan agaran Islam yang sebenar - kita tidak mahu generasi muda menyalah tafsirkan nama Allah dan kefahaman terhadap-NYA melalui penerbitan media kristian yang tidak amanah. Jadi, menurut Harussani - fasad atau kerosakkan yang melanda agama Islam adalah lebih besar daripada kebaikannya, sekiranya nama Allah diizinkan untuk digunakan oleh penerbitan kristian tersebut. Malah, menterjemahkan perkataan "God" kepada Allah merupakan penyelewangan fakta yang jelas. Hal ini adalah kerana perkataan Allah datangnya daripada bahasa Arab, manakala God daripada bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, Harussani berpendapat untuk jangka panjang hal tersebut boleh merosakkan aqidah dan nama baik agama Islam itu sendiri.



Bertitik tolak daripada itu, kaedah fiqh adalah mudah, jika sesuatu perkara itu jelas membawa fasad atau kerosakan yang lebih besar daripada maslahatnya (kebaikannya) maka haruslah kita tinggalkan. Dan dalam isu ini, saya percaya ijtihad Harussani lebih menghampiri kebenaran , beliau yakin kerosakannya adalah besar kepada agama Allah ini jika kita tidak berhati-hati dalam isu tersebut - semoga Allah memberikan ganjaran terhadap perjuangannya. Wallahualam.


Tentang Pilihan Raya Bukit Gantang


Jika saya berterus-terang, pasti orang akan marah, tetapi saya terpaksa bercakap benar bahawa pilihan raya di Bukit Gantang tidak sama di Kuala Terengganu - kini bukan lagi isu salah pilih calon, sebaliknya, isu yang mendominasi pada kali ini adalah berkenaan leburnya kuasa PR di Perak dan kesan isu tersebut kepada masyarakat. Sehingga artikel ini ditulis, saya masih cuba melihat mood rakyat kepada UMNO - adakah sudah berubah dan lebih bersifat positif sikit daripada dahulu? Saya sangat bimbang, hal ini adalah kerana , saya mendapati mood rakyat masih tidak berubah dan tidak ada tanda-tanda bahawa rakyat kembali yakin dengan UMNO. Saya tidak tahu mengapa. Apakah cara kita mengambil kerajaan Perak tempoh hari membuatkan rakyat semakin membenci UMNO dan BN, dan pada masa yang sama apakah dengan sikap kurang ajar pemimpin-pemimpin PKR kepada Sultan Perak, berupaya menarik minat rakyat untuk kembali semula kepada perjuangan UMNO? saya tidak berapa pasti akan hal tersebut. Tetapi yang jelas, mood rakyat masih tidak berubah terhadap UMNO - inilah yang merisaukan saya.



Namun demikian, jika saya menganalisis, saya berpandangan bahawa sama ada UMNO akan menang atau tewas adalah bergantung kepada keputusan pemilihan UMNO pada hujung bulan ini - rakyat biasa dan ahli UMNO biasa seperti saya, akan menilai apakah UMNO benar-benar sudah insaf dan memahami mengapa rakyat menolak mereka di Kuala Terengganu dahulu? Jika ramai pemimpin UMNO yang tiba-tiba menang tanpa disangka-sangka dalam pemilihan hujung bulan ini- maka persepsi masyarakat akan tetap mendakwa bahawa UMNO masih belum bebas daripada politik wang. Jika tiba-tiba calon yang tidak mendapat pencalonan yang tinggi menang - maka fitnah akan terus menyelubungi UMNO di Bukit Gantang.



Tetapi, sekiranya semua calon yang mempunyai pencalonan tertinggi memenangi jawatan masing-masing, maka UMNO boleh menang di Bukit Gantang. Saya yakin - rakyat dan ahli UMNO biasa sedang melihat perkembangan tersebut. Maknanya - mahu atau tidak mahu, semua perwakilan harus memenangkan calon-calon yang terbukti dikehendaki oleh akar umbi - umpamaya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Hishamuddin dan lain-lain calon yang jelas mendapat pencalonan tertinggi untuk jawatan masing-masing. Jika hal ini tidak berlaku - maka jangan salah orang lain atau rakyat, mengapa UMNO kalah di Bukit Gantang kelak, sebaliknya salahkan diri sendiri.



Dan harus dijelaskan bahawa UMNO akan dilanda fitnah sekali lagi andaikata calon-calon yang tidak mendapat pencalonan tinggi memenangi jawatan tertentu - dan UMNO akan terus dituduh sebagai parti yang tidak mahu mendengar suara akar umbinya sendiri dan masih terbelit dengan politik wang dan nafsu serakah sesetengah individunya. Bahkan - ahli UMNO akan berpecah jika hal tersebut benar-benar berlaku kerana akar umpi tidak akan dapat menerima hakikat mana-mana calon yang tidak banyak mendapat pencalonan dengan tiba-tiba boleh menang dan berjaya. Hal ini adalah kerana - jelas perwakilan tidak amanah membawa suara akar umbi, dan jika perwakilan sendiri sudah tidak amanah, maka apakah yang tinggal kepada UMNO lagi? Oleh kerana itu, fikir-fikirkan soal ini. Bukit Gantang akan kembali kepada UMNO, jika pemilihan UMNO hujung bulan ini menunjukkan kejujuran para perwakilannya. Wallahualam.



Tentang Pemilihan UMNO Hujung Bulan Ini


Saya masih tegaskan - bahawa calon yang mendapat pencalonan tertinggi harus menang, jika kita semua berhasrat mahu melihat UMNO kembali pulih dan lari daripada tuduhan masyarakat yang mendakwa UMNO parti yang rosak dan penuh kekotoran. Dalam keadaan fitnah yang semakin menjadi-jadi kepada UMNO, kita tidak ada pilihan lain, melainkan UMNO harus menang dalam pilihan raya yang akan datang. Maka, semua calon UMNO yang menerima pencalonan tertinggi di peringkat bahagian, harus dimenangkan pada pemilihan UMNO hujung bulan ini (itu pun jika kita mahu keyakinan rakyat kembali kepada kita) . Jika ini tidak terjadi, maka marilah sama-sama kita membacakan takqin untuk UMNO untuk PRU yang akan datang.



Saya rasa hal ini sangat mudah. Kita sebagai perwakilan - ikut sahaja kehendak akar umbi melalui pencalonan yang telah kita terima daripada bahagian masing-masing, nak tukar buat apa lagi? jika amanah daripada bahagiam masing-masing kita laksanakan, saya percaya tiada masalah perpecahan dan fitnah memfitnah - sangat mudah, kita kembali kepada kehendak akar umbi, siapa yang mereka mahu untuk jawatan tertentu. Semua perwakilan harus jujur membawa amanah bahagian masing-masing, lantaran itulah kita namakan mereka sebagai "Perwakilan" yakni menjadi wakil kepada suara dan kehendak orang bawah dan akar umbi.



Jika semua perwakilan jujur, UMNO akan dipandang mulia semula selepas ini. Tetapi, jika hati para perwakilan mudah goyah dan tidak mahu mengikut kehendak akar umbi - selepas ini jangan salahkah rakyat mengapa mereka membenci UMNO dan pemimpinnya. Hal itu adalah jelas. Jika seseorang pemimpin diangkat oleh bukan dalam kalangan suara akar umbi - maka sudah pastilah rakyat dan ahli UMNO biasa akan memberontak dan berpecah.




Jadi, sama-samalah kita fikirkan, apakah kita hanya mahu menjaga pemimpin yang kita kasihi, atau mahu menjaga UMNO? tepuk dada tanya iman. Selain daripada itu, kita juga harus pastikan pemimpin UMNO yang kita pilih kelak, mestilah diterima oleh semua kaum, dengan kata lain harus diterima oleh orang Melayu di luar UMNO, diterima oleh orang Cina di luar MCA dan diterima oleh orang India di luar MIC. Jika pemilihan kali ini tidak menggambarkan hakikat tersebut - maka janganlah kita menaruh harapan tinggi agar rakyat menyokong UMNO kembali. Ingat, kita memilih pemimpin bukan untuk ahli UMNO semata-mata, sebaliknya, untuk semua kaum dan parti kompenen BN yang lain. Itu pun, jika para perwakilan mahu berfikir demi kebaikan parti UMNO untuk masa akan datang. Wallahualam.


Comments

Anonymous said…
kenapa ada bau sampah dalam blog ni
ROSHATIKA said…
Salam Azli,

Saya telah tegaskan sebelum ini bahawa pencalonan bahagian adalah tidak relevan bagi mengukur sokongan akar umbi.

Saya rasa Azli yang aktif di cawangan dan bahagian memahami keadaan ini.

Secara ringkasnya, kebanyakkan cawangan tidak mencalonkan jawatan tertinggi parti, mereka cuma mencalonkan jawatan yang dipertandingkan di peringkat bahagian.

Manakala diperingkat bahagian, yang menentukan pencalonan peringkat tertinggi ialah perwakilan dari cawangan.

Nampak tak? sebenarnya tiada penglibatan akar umbi secara keseluruhan.

T. kasih
haniesyafique said…
sbb ang kot terpalit dengan sampah....??? cium2 la diri sendiri tu dlu nooo
The Aminos said…
Tepat sekali. Penerangan yang sangat baik dan sincere.
caturist said…
Rasionalnya, apabila dikatakan "kehendak", maka ianya adalah pelbagai tidak kira dari akar umbi dan peringkat seterusnya.

Seharusnya temukanlah titik kesaksamaan pada kepelbagaian itu.

Sesungguhnya tidak ada seorang insan pun yang punya kebenaran mutlak.

Politik bukanlah segala-galanya.

Terbanglah ke langit dan lihat bumi di bawah.
Baijat said…
Salam untuk saudara azli, semoga sihat hendaknya. Banyak isu dikompilasi, sungguh menarik untuk dibaca dan buat kita fikir......

Isu Bahasa & PPSMI - membuatkan kita dalam dilema. Diluah mati emak, ditelan mati bapa. Bila singgah ke blog Che Det, ia membuatkan saya terfikir lagi tentang penggunaan bahasa. Memang benar, kita perlu menguasai bahasa asing untuk mempelajari teknologi mereka.

Tidak salah kalau saya cuba kaitkan tentang satu hadis Nabi SAW - tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China. Dari hadis tersebut, pernahkah kita terfikir kenapa Nabi SAW menyebut negeri China sedangkan tamadunnya berbeza dari sudut bahasa dan adat budaya. Wallahualam....

Bagi saya, yang menjatuhkan dan mendirikan bahasa itu bermula dari pihak kita sendiri. Satu perkataan yang cukup untuk menyatakannya - MEMBACA. Kerana kita tidak pupuk sifat membaca sejak dari kecil. Kita tidak membudayakannya dalam hidup seharian. Sekiranya amalan membaca satu budaya, tidak mungkin jadi demonstrasi dan memorandum. Tidak perlu kita risau lagi tentang perkara ini kerana asas, jati diri tentang bahasa sudah kukuh dek budaya membaca.

Mungkin satu hari perlu ada pernyataan sebegini -
TIDAK MEMBACA MEMBAHAYAKAN BAHASA

Isu penggunaan Allah - saya mendoakan agar kita mendapatkan petunjuk dari Allah SWT.

Isu politik - piLIHanraya, pemiLIHan, peraLIHan. Sebagai rakyat dan warganegara, saya melihat ini suatu saat yang agak sukar diramalkan. Keadaan ekonomi yang tidak menentu, ditambah suasana politik yang rasa kurang stabil, saya mengharapkan sesuatu yang baik akan berlaku, bukan yang buruk terus berlaku. Kepentingan rakyat dan negara diutamakan. Ingatlah kuasa demokrasi - DARI RAKYAT, UNTUK RAKYAT, KEPADA RAKYAT.

Isu Hak-hak Raja @ les majeste - Kesimpulan saya boleh nyatakan disini adalah sedalam mana pemahaman kita terhadap Perlembagaan kita? Cubalah kita tanya kawan, teman, sahabat handai kita tentang Rukunegara? Adakah terkial-kial mengingati semula Rukunegara yang hanya dilafaz sewaktu sekolah atau perhimpunan jabatan? Saranan saya kepada ahli politik, sebelum jadi wakil rakyat, ringan-ringanlah tangan membelek buku Perlembagaan Malaysia. Jangan mengharapkan peguam sahaja. Jika tidak, akan jadilah seperti meludah ke langit atau menjilat ludah sendiri.

Maafkan saya kalau tersinggung serta tedapat kesilapan. Terima kasih.
azlishukri said…
Roshatika - sehingga kini itulah sistem yang UMNO lakukan, dan itulah takrifan akar umbi, tak kan saudari tak memahami. hakikat sebenar akar umbi ialah rakyat, bukan semata2 ahli UMNO sahaja jika mahu takrif yang lebih holistik, tetapi sehingga hari ini, akar umbi yg difahami oleh kepimpinan adalah suara yg di bawa oleh bahagian melalui wakil2 mereka. Nanti setelah berlaku perubahan kepimpinan kita cadangkanlah agar sistem pemilihan ditukar. tetapi buat masa ini - itulah akar umbi, dan inilah yg hendak kita tukarkan.
azlishukri said…
Syafiq - biasalah syafiq jika yang dengki tu ramai sangat.

Aminos - terima kasih

baijat - ulasan yang menarik nie.

Caturist - saya sependapat
ROSHATIKA said…
Terima kasih Azli,

Sekurang-kurangnya kita semua telah sedar, sistem pencalonan sekarang adalah tidak relaven untuk mengukur sokongan akar umbi.

Sistem ini perlu dirombak bagi menguatkan semula parti dan menghapuskan politik wang.

Saya tidak mahu mendefinasikan terlalu luas akar umbi, untuk parti kita akar umbi adalah ahli parti.

Sekiranya sistem ini berjaya diubah saya percaya pemimpin peringkat tertinggi akan lebih kerap menjenguk akar umbi dan akan `memeriahkan' semula UMNO.

Terima kasih.
azlishukri said…
Ros - itulah yang saya perjuangkan kini. saya sependapat dengan saudari dalam hal tersebut
Anonymous said…
kepada Anonymous 5.45pm,

Saya rasa anda tidak perlu komen apa2..lebih baik anda byk membaca dan memahami isu politik Malaysia skrg..

Saya bukan seorg yg mahir dan ingin menunjuk hebat,dan juga bukan seorang kaki pengampu tetapi berusaha menjadi seorang rakyat Malaysia dan bangsa melayu yang bertangungjawab.

Tuan Azli byk memberikan idea dan memberikan kualiti penulisan yang baik..jadi ambil la ksempatan membaca dan memahami serta mempelajari cara2 memberi pendapat dan penulisan yang baik..

Ampun maaf jika terkasar bahasa..

Bangun la dari tidur mu yang lena wahai pemimpin dan bangsa melayu!!

-warganegara Malaysia
C.H.E Dayat said…
salam abg azli. maaf lama saya tak singgah ke blog abang kerana baru tiba setelah 5 hari berada di sabah. maaf juga saya tak dapat ke kl haritu kerana sibuk dengan urusan perjalanan ke sabah... harap abang dan rakan-rakan bloggers lain dapat singgah ke blog saya.. ada posting baru..

sekian,

salam perjuangan.

hidayat rashid

www.kisahsebuahbangsa.blogspot.com
Brahim Nyior said…
Salam, makaseh kupasan isu yang panjang tapi menarik untuk dibaca dan dihayati.

Persoalannya, adakah pandangan ikhlas tuan sebagai akar umbi akan diambil kira oleh pucuk pimpinan?

Isu bahasa, rasanya ramai yang keliru: Ahli bahasa dan cerdik pandai Melayu tidak menolak kepentingan Bahasa Inggeris, tetapi ia harus diperkasakan dengan memfokuskan kepada subjek BI itu sendiri. Satu daripada caranya ialah subjek EST; amat baik untuk menajamkan daya fikir pelajar. Dalam masa yang sama, BM harus kembali digunakan sebagai medium Sains dan Matematik; jika tidak, BM akan diperlecehkan oleh anak cucu kita..
kudabesi said…
kupasan dari linguist da lama saya nanti-nantikan di arena blog..

ramai yang tak faham akan hakikat ini..menentang PPSMI bukan bererti kita menolak BI

menentang kerana seharusnya pengajaran BI itu yg dimantapkan barulah dpat lahirkan generasi yg mampu menguasai S&T di arena dunia

setakat nih, yg menyokong jarang memberi ulasan berbentuk akademik.

siapa boleh nafikan jasa TDM, tp beliau juga manusia
azlishukri said…
Brahim - itulah masalahnya.

Kuda besi - kadang2 kita perlu pandangan ahli linguistik - penjejak awan tu antara watak kegemaran saya.

dayat - ada masa kita boleh jumpa
malay-machista said…
salam saudara azli,
saya bersetuju dengan ulasan saudara tentang ppsmi. satu bentuk pernyataan dilema yang benar berlaku. sekarang, setelah ramai yang berhujah, terpulanglah pada pemimpin negara untuk membuat keputusan.
tentang kenyataan bahawa tiada linguist yang memberikan hujah akademik, sebenarnya ada. cuma mediumnya tentulah bukan di blog, kerana keterbatasan ruang.
saya juga sangat bersetuju dengan brahimnyior tentang est. Jika saudara membaca Dokumen kurikulum EST, saudara akan dapati mata pelajaran ini merupakan antara alat terbaik untuk mencapai kehendak Tun dan kehendak masyarakat.
dan satu lagi,
tahniah saudara kerana "cakap serupa bikin". aku ni cakap saja banyak, satu artikel pun tak pernah aku sumbangkan untuk kebaikan masyarakat. semua penulisan dan kajian aku semata-mata untuk karier aku dan disiplin aku sendiri saja...
azlishukri said…
Malay-chista, saya yakin bahasa Melayu mampu menjadi bahasa Ilmu, ini adalah tanggungjawab kita bersama.
Ayman Siddiq said…
Saudara..terima kasih singgah ke blog saya Diari saorang Adam dan di mana bumi di pijak di situ langit di junjung.
Saya banyak menganali saudara melalui blog saudara. pendirian saudara yang tegas adalah satu anjakan melayu kini yang bukan lagi hanya berdiri tegak dan akur kamana hala akan di bawa.. kini melayu kian berani dan intar membuat keputusan...

Ayman Siddiq
Syameer Firdaus said…
haha.....ha bagus sekali artikel ini....walaupun agak panjang tetapi sungguh penuh makna!!!
azlishukri said…
Terima kasih syameer
D'Rimba said…
Kuala Terengganu sebagai permulaan perjuangan pejuang bahasa sekalian. Mudahan tempat lain bakal mengikut jejaknya. Bahasa sendiri kurang dipercayai kemampuan untuk dibangunkan yang takde roh dan jasad apatah lagi bangsa untuk dibangunkan.

Pilihan Pembaca

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca

Lagi Kisah Siti Nurhaliza : Mana Perginya Produk CTea?

Lagi Kisah Siti Nurhaliza Mana Perginya Produk CTea? Oleh Satu Hala (Malaysia Instinct) Inilah antara benda-benda yang buat sakit hati dengan orang kaya Melayu ni. Datuk K sanggup perabis RM66,550 untuk beli nombor plate KCT 1 untuk isteri tercinta, Datuk Siti Nurhaliza. Kononnya cintan maut habislah tu kan. Tak tahulah kot-kot Rozita Che Wan yang dulu orang kata dapat Mercedes dari Datuk K (lepas dah kahwin dengan Siti) pun akan dapat nombor plate yang sama. Gasaklah hal Rozita Che Wan tu. Yang penulis tertarik nak tulis ialah sikap orang macam Datuk K dan Siti Nurhaliza. Parasit adalah perkataan paling tepat. Tahu tak Siti Nurhaliza adalah pemohon pinjaman Tekun untuk bisnes barang solek Simply Siti. Kalau tak percaya, pergilah cek dengan Tekun. Pasti nama Siti akan terpacul. Sakit hati betul penulis dengan orang-orang macam ini. Dah tahu duit banyak, gunalah duit sendiri untuk berniaga, tak pun pinjamlah bank. Gi pinjam dengan Tekun tu buat apa? Mentanglah bayar

Tulisan Terbaik Mufti Perak

1. Minggu yang lepas telah memaparkan semula perbahasan tentang ancak serta beberapa isu yang berkesinambungan dari perkara-perkara yang sepatutnya sudah selesai dan tidak diperbincangkan lagi di media cetak dan elektronik mahupun laman sesawang. Tidak kurang juga beberapa ulasan dari blogger tentang isu ancak yang masih tidak berkesudahan nampaknya. Tambah menyemarakkan keadaan, terdapat komen-komen yang agak pedas di samping cacian, pendustaan dan kalam-kalam yang terbit dari hati sekiranya dibaca berulang kali boleh membawa kepada kesedihan yang amat mendalam 2. Itulah realiti yang perlu ditempuh oleh semua orang terutamanya para pemimpin, pendakwah atau pun sesiapa sahaja. Itulah juga mentaliti sebahagian dari kita yang banyak menghabiskan masa dan memerah fikiran semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu mereka yang selama-lamanya tidak akan puas. 3. Masih ramai di kalangan umat Melayu-Islam ini tertarik dan terpesona untuk membuat ungkapan, percakapan ma