Tetamu Kehormat...

July 12, 2010

Saman Ekor : UMNO Sanggup Tanggung Risiko


Saman Ekor
UMNO Sanggup Tanggung Risiko



Maafkan saya - jika luahan ini tidak sekata dan seia dengan pihak kerajaan. Isu saman ekor, bukanlah isu baharu di negara ini. Ia sudah lama berlarutan dan pelbagai pihak sudah menegur kaedah yang digunakan oleh polis dalam mengendali masalah ini. Izin saya bercakap daripada suara hati rakyat bawahan yang setiap hari kehidupan kami adalah di jalan raya. Saya memandu kereta sejak tahun 2004 dan sehingga hari ini, saya tidak pernah disaman - namun demikian, itu tidak bermakna saya bersetuju bahawa kaedah saman ekor tersebut sangat pratikal dilaksanakan di negara ini. Baca di sini.



Saman ekor sudah dibincang dari semua aspek, baik pro mahu pun konnya - namun demikian, yang menjadi masalah dalam kalangan rakyat bukanlah saman ekor - tetapi cara saman ekor itu dilaksanakan. Menjadikan saman ekor sebagai beban kepada rakyat sehingga sesiapa yang tidak menjelaskannya, maka cukai jalan kenderaan mereka tidak akan diperbaharui, hanya mengundang amarah rakyat - dalam keadaan sekarang, segala tindak-tanduk kerajaan melalui agensi-agensinya akan dilihat melalui kaca mata politik dan bukan melalui kaca mata kematangan. Sejak kerajaan menguatkuasakan arahan "menyenaraihitamkan" nama-nama individu yang degil untuk membayar tonggakan hutang saman ekor - keluhan rakyat sudah dirasai. Ketika saat ini - sama ada kita sedar mahu pun tidak , sesungguhnya pandangan dunia (world view) orang Melayu terhadap sesuatu isu atau tindakan kerajaan - perhitungannya adalah politik. Sudah tiada perhitungan lain. Baik isu agama, isu undang-undang, isu pendidikan, isu keselamatan - semuanya akan dipolitikan semaksimum mungkin.



Sebahagian besar kehidupan masyarakat Melayu pada ketika ini, sama ada nilai hidupnya, pandangannya, agamanya, dan pendiriaannya - banyak ditentukan oleh pengaruh politik. Adakalanya - sehingga satu peringkat, masyarakat Melayu sudah hilang pertimbangan waras, sehinggakan antara undang-undang, mahkamah dengan UMNO sudah tidak ada bezanya lagi, dari sekecil-kecil perkara, umpamanya seorang individu mendapat kontrak membaiki longkang di sebuah sekolah di pedalaman Pahang sehinggalah sebesar-besar perkara seperti isu kerugian yang dialami Sime Darby - semuanya akan dikaitkan dengan politik!



Rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu terlalu sukar untuk memisahkan diri mereka daripada pengaruh politik. Isu saman ekor - sekali pun ia sangat baik dari segi pelaksanaan undang-undang dan pihak kerajaan bentangkanlah segala pandangan pakar yang mendakwa saman ekor ini sangat baik bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya - rakyat bawahan, tetap tidak akan dapat menerimanya, walaupun dengan seribu alasan.



Tuduhan-tuduhan tidak berasas sudah mula kedengaran - bagi menunjukkan kebencian mereka terhadap penguatkuasaan saman ekor yang dilaksanakan pada hari ini. Kata-kata seperti, "Ini membuktikan kerajaan sudah tiada duit, UMNO guna cara ini untuk dapatkan duit segera" - semakin kuat kedengaran. Saman ekor tidak akan dilihat dari kaca mata perundangan dan keselamatan - sebaliknya, rakyat melihat pelaksanaan "keras" saman ekor baru-baru ini - sebagai, sebahagian daripada bentuk-bentuk kezaliman kerajaan UMNO kepada rakyat marhaen. Menekan rakyat dengan cara zalim, kerana terdapat ramai pemandu yang merungut bahawa mereka tidak dapat notis saman ekor - dan dengan tiba-tiba nama mereka sudah disenaraihitamkan di JPJ. Mereka mendakwa - berapa ramai dalam kalangan kita yang benar-benar meneliti saman ekornya di skrin Polis Trafik? Atau kita tanpa banyak cakap terus membayar saman tersebut tanpa menyelidik terlebih dahulu? Benarkah kita bersalah memandu lebih had laju atau mungkin terdapat kesilapan ternikal yang dilakukan oleh pihak polis.



Banyak kes sudah dilaporkan berhubung nombor plat pendaftaran kereta yang serupa, sekali gus menyebabkan pihak polis tersalah mengeluarkan saman ekor. Pada ketika ini, saman ekor hanya mengundang amarah rakyat - dan UMNO berhadapan dengan risiko kehilangan undi atas faktor tersebut. Budaya orang Melayu, sudah terbukti "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga" - orang Melayu, kerana perkara yang kecil, mereka sanggup menukar kerajaan dan hilang pertimbangan akal, bahkan pada saat ini orang Melayu kelihatan sangat sensitif dan mudah terasa hati - silap haribulan UMNO hilang undi. Bersediakah kita dengan realiti ini? Wallahualam.

8 comments:

Anonymous said...

Patut polis menyediakan laman web yang boleh memudahkan orang-orang yang tak menerima saman tersebut untuk melihat/memeriksa dengan disertakan gambar, laman web tak perlu kos yang tinggi dan mudah dicapai, kalau dah disediakan pun masih lagi nak merungut tu bukan salah polis lagi, itu dah salah orang tu yang tak nak/liat nak bayar saman.

Sebab manusia ni ada bermacam-macam perangai sendiri mau ingatlah.

kalau boleh dibenarkan buat bayaran ansuran kalau dah tak mampu sangat yelah dah kos barang naik patut-patut lah.

tu baru dikatakan Rakyat di utamakan

airman_1 said...

salam,
jangan bimbang saudara sbb lepas pru13 umno dah jadi pembangkang,
kerajaan baru akan batal saman ekor kah...kah...kah.....

Anonymous said...

Saya sokong airman pasal kat Selangor pun janji masa PRU12 nak kurangkan cukai rumah n saya blum bayar pasal nak tunggggggu pengurangan tu...hahhahhah

P/S Hati2 kalu ke tmpt saya pasal skg ni banyak lubang.Maklumlah musim tengkujuh...

خير الأنوار a.k.a kayrolldin said...

dlm laman web JPJkan mmg boleh cek saman online. masukkan IC atau no plat kereta jer. apa susah?

yg susah saman ekor tu..

a ali /46sekupang said...

dua buah kereta atas nama saya,dua-dua kena saman.yang malangnya satu sudah tamat cukai jalan,jadi saya ingin memperbaharuinya dan terpaksa membayar denda dahulu.tetapi pihak Polis memerintahkan saya mesti membayar kedua-dua sekali baru boleh memperbaharui cukai jalan yang tamat tempoh- RM600.00.tak terfikirkah mereka yang bertanggong jawab diatas kesusahan orang lain/pengguna.malahan bukan saya yang memandu,tempat dan juga masa.tak bolehkah orang yang bertanggong jawab timbang untuk menerima penyelesaian satu persatu.gunakan akal yang dikurniakan oleh Allah untuk keselesan ummah?.sekiranya Negara tidak mempunyai wang janganlah terlalu menekan pengguna,nanti keburukan yang kita terima.sebab itu TDM mengatakan Melayu mudah lupa.sahingga hendak contect hot line polis Bukit Aman pun tak layan.Harapan saya DSN jangan mudah leka kemungkinan apa yang jadi pada TAB akan berulang.satu kezaliman yang bagitu ketara hingga tak mahu bertolak ansur.tepok dada tanya selera.jangan sangka pihak tuan-tuan senang dah mula nak pijak pengguna.

kluangman said...

Kenapa nak saman ekor sedangkan yang laju ialah kepalanya.

Tindakan serta hukuman Polis dan JPJ mendahuli mahkamah?

Tindakan dan hukuman yang sah dari segi akta yang diluluskan oleh Parlimen yang terdiri dari anggota parlimen kerajaan dan pembangkang?

Anonymous said...

aduyai truk nyer nk idup. interest rumah naik, interest kete naik, pastu harga minyak naik, harga gula naik, harga barang2 lps ni sume msti naik. bulan2 plak duit nak kna simpan utk bayar saman ekor. gaji dh la kecik je. klu macam ni la kerajaan bn memerintah, aku trpaksa menyokong pakatan pada plhanraya pru13 akn datang. mari lah kwn2 semua, kita sokong pakatan utk menunjukkan protes kerajaan yg ada pada hari ni tidak lagi menolong n mmbela rakyat2 yg berpendapatan sederhana mcm kita.

Muhammad Azli Shukri said...

terima kasih atas komen tuan2 semua