Skip to main content

Siapakah yang Tertewas?



PILIHLAH KETUA PEMUDA
YANG BERSIH DAN BEBAS
DARIPADA POLITIK WANG


Saya agak sebak dan sangat sedih, tatkala membaca laporan Utusan pada hari ini, - jika benar Datuk Seri Ali Rustam terlibat dengan politik wang, dan akan diambil tindakan disiplin ke atasnya oleh Jawatankuasa Disiplin UMNO esok, maka jelaslah, pemimpin-pemimpin UMNO tidak mengambil iktibar daripada apa-apa yang terjadi dalam PRU Ke-12 pada tahun lalu. Saya sebak, bukan kerana sedih, tetapi sebak kerana sebagai ahli UMNO biasa yang mahu melihat UMNO bersih dan pulih - seolah-olah masih jauh daripada keyataan, lantaran sikap sesetengah pemimpinnya yang ingin mengejar dunia dan jawatan. Semoga Allah mengampuni mereka.




Sekarang sangat jelas, kenyataan Tun Mahathir sebelum ini, bahawa terdapat calon-calon yang sebelum ini tidak cukup pencalonannya terpaksa menabur duit untuk memastikan mereka dicalonkan oleh Bahagian UMNO tertentu, agar memenuhi syarat untuk bertanding hujung bulan ini. Saya terkejut, sedih dan marah - jika inilah sikap kita, maka tidak hairanlah mengapa masyarakat membenci UMNO. Saya tidak tahu apakah politik wang juga bertaburan dalam pencalonan untuk merebut Ketua Pemuda UMNO sebelum ini? Jika kita perhatikan bahawa - tatkala pencalonan Datuk Mukhriz mencanak naik dan melepasi syarat untuk bertanding, sudah ada kendengaran dalam kalangan ahli UMNO bahawa calon tertentu bimbang akan pencalonannya dan terpaksa "melakukan" sesuatu untuk memastikan pencalonannya melepasi syarat untuk bertanding.



Terdapat juga dakwaan bahawa kemungkinan calon tertentu tidak akan mencukupi syarat untuk bertanding Ketua Pemuda UMNO andaikata duit tidak ditabur ke bahagian-bahagian tertentu. Saya agak kecewa. Hal ini bukan menjadi rahsia lagi, tetapi beritanya sudah bersifat mutawatir. Jika pencalonan untuk Timbalan Presiden UMNO pun tidak berapa bersih, apatah lagi untuk pencalonan jawatan-jawatan lain seperti Naib Presiden dan Ketua Pemuda. Sebab itu, sebelum ini pernah saya timbulkan persoalan, bagaimanakah seorang calon Ketua Pemuda yang hanya berpendapatan sebagai seorang ahli Parlimen semata-mata, mempunyai wang dan dana kewangan yang besar untuk berkempen ke seluruh negara? Di samping berupaya membayar gaji kepada para pembantu khasnya.




Hal ini sangat berbeza dengan Datuk Mukhriz, beliau mempunyai perniagaan sebelum memasuki politik, para pegawainya bekerja dengan syarikat beliau dahulu dan menjadi pembantunya secara tidak langsung tatkala beliau mencebur bidang politik. Saya timbulkan isu ini agar sama-sama kita fikirkan, kerana secara logik bagaimana mungkin dengan tiba-tiba seorang calon Ketua Pemuda UMNO boleh mendapat pencalonan secara berturut-turut di saat-saat akhir, khususnya dari sebuah "negeri" agar melayakkannya untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia? Saya tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakan. Tetapi, SPRM mungkin boleh mendapatkan "tanda-tanda" dan garis panduan yang pernah digambarkan oleh Tun Mahathir pada satu ketika dahulu, bahawa selidik dan siasat, mana-mana calon UMNO yang mendapat pencalonan banyak di saat-saat akhir bagi melayakkannya bertanding untuk merebut jawatan tertentu, hal ini termasuklah dalam kalangan calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Saya yakin, jika kita siasat, kita pasti menemui kebenarannya. Semoga kebenaran akan terselah, sama-samalah kita berdoa.




Bertitik tolak daripada itu, saya fikir kita undilah calon Ketua Pemuda UMNO yang bersih dan terbukti kelihatan bersih daripada rasuah. Janganlah kita silap lagi memilih pada kali ini, yang akhirnya merugikan UMNO dan BN itu sendiri. Sehingga kini, seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum, terbukti lebih selesa dan gembira dengan Datuk Mukhriz Mahathir, menurut mereka, selain wajah manis dan ceria Datuk Mukhriz, beliau juga bebas dan bersih daripada politik wang. Maka, inilah pemimpin yang kita harapkan untuk memimpin Pemuda dan InsyaAllah mungkin akan menjadi Perdana Menteri Malaysia pada suatu hari nanti. Amin.


Salam Perjuangan dan Salam Berani Berubah!

Comments

add said…
Masa semakin hampir.... maka pakat-pakat berdoa dan bertawakal kepada Allah agar DMM akan memperoleh kemenangan mutlak nanti...InsyaAllah
azlishukri said…
Itulah yang terbaik add, sama2 kita berdoa
Salam Azli Shukri,

Jam 4.00 petang ini,

Mari Kita Tengok, Siapakah Yang Kenaaaaa..........

Dua hari lepas saya mendapat sms dari seorang sahabat mengatakan ada peristiwa besar akan berlaku dalam sehari dua ini. Saya seperti biasa tidaklah gelojoh sangat untuk mengetahui apakah peristiwa besar itu kerana saya lebih berminat kepada peristiwa -peristiwa yang menggemparkan seperti peristiwa 1998 apabila DS Anwar dipecat daripada UMNO dan 1986 apabila Tun Musa meletakkan jawatan.

Kalau isu politik wang yang melibatkan tokoh-tokoh UMNO bukanlah peristiwa besar kerana ianya memang ditunggu dan sudah diketahui umum. Sama ada ianya betul-betul ikhlas untuk membersihkan UMNO atau untuk membersihkan 'orang-orang Pak Lah' yang pasti 17.Mac 2009 jam 4.00 petang semuanya akan terlerai. Mari kita tengok, siapa yang kenaaaa? (dailog Ibrahim Pendek dalam filem AliBaba Bujang Lapok)

Seolah-olah macam tidak ada kes tentang aduan rasuah dalam UMNO kepada Lembaga Disiplin parti dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia . Segalanya bermula apabila 2orang anak tokoh UMNO, Datuk Kadar Ninam Shah dan Datuk Mazlan Harun yang hendak mengambil tindakan injunksi bagi menghalang Perhimpunan Agung UMNO berkaitan kes-kes politik wang yang tidak diselesaikan.

Berikutan dengan itu Tun Mahathir juga telah menyentuh secara langsung di dalam blognya yang bertajuk 'Rasuah UMNO 2'. Tun menyatakan di waktu mesyuarat bahagian-bahagian UMNO diadakan untuk mencalon calon-calon bagi Majlis Tertinggi UMNO, pengerusi Lembaga Disiplin (Tengku Ahmad Rithaudeen) telah menyatakan yang beliau telah terima lebih 900 aduan berkenaan rasuah dalam pencalonan.

Tambahnya lagi, 'orang ramai tertunggu-tunggu untuk mendengar tentang siasatan dan tindakan yang diambil terhadap mereka yang terlibat.Sekarang Mesyuarat Agong yang akan memilih ahli-ahli Majlis Tertinggi akan diadakan tidak lama lagi. Tetapi tidak ada apa-apa pun kedengaran berkenaan 900 aduan tersebut. Apakah semua 900 aduan ini sudah didapati tidak berasas dan tidak ada salahlaku oleh sesiapa? Apakah pemilihan calon Majlis Tertinggi bersih seperti kain putih?'

Kes pertama melibatkan Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said yang bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan rasuah politik dan salah guna kuasa dalam kementerian itu.

Datuk Mohamad Norza Zakaria,43 merupakan pemimpin tertinggi UMNO yang pertama dihadapkan di mahkamah atas dakwaan politik wang. Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan hadir di Mahkamah Majistret Temerloh untuk mendengar dua pertuduhan yang didakwa berlaku pada 20 Januari lalu.

Dalam perkembangan terkini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan semua pihak di dalam UMNO jujur dengan diri sendiri dalam menghadapi isu politik wang. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus isu politik wang yang membabitkan beberapa pemimpin UMNO termasuk yang bertanding bagi jawatan tertinggi parti.

Dalam isu terbaru, dikatakan ada kalangan calon yang bertanding jawatan tertinggi parti telah disiasat dan sedang menunggu tindakan diambil terhadap mereka. Menurut beliau, parti memang serius dalam soal isu politik wang dan mahu memastikan parti bersih dariapda amalan yang tidak sihat tersebut.

Pengerusi Lembaga Disiplin, Tengku Ahmad Ritahudeen akan mengadakan sidang media hari Selasa 17/03/2009 jam 4 petang. Difahamkan, sidang media berkenaan akan diadakan bagi mengumumkan keputusan siasatan lembaga berkenaan yang dipercayai ada kaitan dengan isu politik wang.

JAM 4.00 PETANG INI. MARI KITA TENGOK SIAPAKAH YANG KENAAAAAA..........


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com
azlishukri said…
amirhamzah - semoga yang benar akan terselah jua akhirnya?
add said…
Jangan sampai bertelagah sesama sendiri disebabkan "cah keting" dah la selepas menang nya seseorang pemimpin...manalah tahu... bila KJ kalah (memang kalah pun Insya Allah)...beliau akan mempengaruhi pemuda agar jangan beri kerjasama kepada DMM...
Pok Li said…
Cubalah betulkan satu persatu. Dari pemimpin atau dari pengikut. Umno sudah terlalu lama dalam kemelut.
ikan emas said…
... tertunggu-tunggu laporan Lembaga Displin UMNO ( ???? )

.....kES KM Melaka tu , adakah sambungan episod kes Dato' Isa Samad.Sy respek kat mantan MBNS ni ,walau apa jd dia masih setia ,cool dan yg pasti org kelilingnya tetap setia!!! Wah mkn mudah laluan Dr Zahid .... Mcm ne nak kempen kalau xde bajet byk yg nak ditabur mcm Kem luar bandar???

Semoga semuanya ikhlas memperjuangkan bangsa.
azlishukri said…
pok li dan ikan emas - betul sangat kenyataan saudara berdua.
The Aminos said…
Saya setuju jika Datuk Mukhriz yang menang. Yang lagi dua tu.... cukup lah. Malaysia tengah susah ni.
azlishukri said…
Aminos - benar kenyataan saudara itu, sama2 kita beri sokongan moral kepada DMM
cz said…
salam muhibah saudara azli..
terima kasih kerana mnjd pengikut blog sy.. =D
Anonymous said…
ameno ngan rasuah x leh di pisah kan he he
haniesyafique said…
aik sonyap jek pembela2 kj yg sblm ni bersemngt hentam mukhriz?
hurmm....

Pilihan Pembaca

MONOLOG AZLI SHUKRI Bab 8 : Kenapa Bukan Khairy Memilih pemimpin bukanlah seperti memilih pakaian. Mana-mana yang kita berkenan, maka kita terus memilih dan membeli tanpa banyak berfikir. Memilih pemimpin juga bukanlah seperti memilih makanan yang mana-mana kita suka, maka kita terus makan, tanpa banyak berfikir. Tetapi, memilih pemimpin adalah umpama memilih seorang isteri atau seorang suami. Mesti kenal dan mesti pastikan bahawa calon isteri atau suami tersebut memahami diri dan mengetahui hati budi kita yang sebenar. Begitu juga dalam memilih seorang pemimpin, sebelum kita memilih seseorang pemimpin, seharusnya kita fahami terlebih dahulu siapakah pemimpin yang hendak kita pilih itu. Bukan boleh main ikut suka atau ikut hati semata-mata. Kita seharusnya melakukan analisis terlebih dahulu, layak atau tidak seseorang itu memegang sesuatu jawatan yang sedang dipertandingkan. Hal ini adalah kerana, jawatan adalah amanah dan tanggungjawab. Jika salah kita memilih, maka akan hancurlah ses...

Monolog Azli Shukri : Bab 15 : Monolog Terakhir Azli

MONOLOG AZLI SHUKRI Bab 15 : Monolog Terakhir Azli Kurang 6 hari lagi, genaplah setahun saya menjadi bloggers amatur dalam alam maya. Penuh ranjau dan berliku untuk menjadi bloggers yang cuba sedaya upaya bercakap benar. Segala macam cemuhan, fitnah dan cacian saya terima, malah tidak kurang juga pujian dan sanjungan. Semua itu, merupakan asam garam kehidupan. Kita harus berhadapan dan bersabar dengan barisan kawan-kawan yang tidak setia dan jujur, dengan kawan-kawan yang menikam dan memburukkan kita dari arah belakang, dan dengan kawan-kawan yang mahu melihat kita tersungkur. Namun demikian, dalam hidup ini masih terdapat juga kawan-kawan yang benar-benar menghargai persahabatan. Monolog ini adalah monolog terakhir saya, setelah selama setahun ia disiarkan di dalam blog ini. Ada yang menyokong dan ada yang tidak menyukainya. Tetapi, itu merupakan hak masing-masing. Saya masih percaya kepada kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat. Itu adalah hak asasi manusia. Blog seharusnya men...

Blog Pro-Kerajaan Diserang!

Blog Pro-Kerajaan Diserang! Usaha untuk memadamkan kebenaran semakin giat dijalankan oleh para hacker (penggodam) untuk menutup kelemahan parti pembangkang atau pemimpin agung mereka, Anwar Ibrahim. Setelah salah seorang blogger Pembela Negara, saudara Kumbang melalui blognya analisisringan.blogspot.com digodam dua hari yang lepas, para hacker ini bersembunyi dibalik nama blog tersebut untuk melancarkan serangan bertali-arus terhadap blog-blog yang pro kerajaan lewat petang semalam dan sehari sebelumnya. Blog saya juga tidak ketinggalan daripada diserang sebanyak dua kali melalui domain blog milik Kumbang tersebut. Serangan terpaksa dipatahkan seberapa segera, agar domain atau tapak blog tersebut tidak digunakan lagi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi melancarkan serangan yang penuh dengan kejelekan dan tidak bermaruah ini daripada terus-menerus memporak-perandakan persahabatan serta hubungan ukhwah sesama blog pro-kerajaan. Modus operandinya adalah sangat mudah - iaitu memil...