Skip to main content

A for Azli, V for Vendetta, U for UMNO


A for Azli
V
for Vendetta
U
for UMNO


Oleh Muhammad Azli Shukri



Saya sudah mendengar hampir seluruh pemimpin utama UMNO menjawab soalan asas yang sangat penting - mengapa generasi muda tidak menyokong UMNO. Dalam siaran Hujah yang seringkali mengetengahkan calon-calon utama UMNO bagi merebut jawatan-jawatan penting dalam parti Melayu terbesar di dunia itu, dapatlah dibuat kesimpulan - hampir semua pemimpin UMNO tidak faham, apakah kehendak sebenar masyarakat dan akar umbi ahli-ahli UMO itu sendiri. Mereka masih terus menerus beretorik kosong dengan mendakwa begitu dan begini, serta langkah-langkah untuk menarik minat generasi muda kembali kepada UMNO.




Namun begitu, hampir semua cadangan dan idea mereka masih tidak berupaya menyelesaikan masalah asas tersebut. Bahkan - lebih malang, mereka seolah-olah takut untuk bercakap benar, yakni bercakap daripada suara hati nurani dan bukan dari suara alam mimpi. Kita harus memahami terlebih dahulu - generasi muda tidak peduli apakah maknanya kontrak sosial itu, tidak peduli apakah hak istimewa orang Melayu, tidak peduli kepentingan kuasa politik Melayu, tidak endah berkenaan bahasa Melayu dan jauh lebih hebat daripada itu, generasi muda pada hakikatnya membenci UMNO hanya beralaskan kepada "Kami sudah muak dan ingin merasa parti lain memimpin Malaysia, itu sahaja alasan kami" ada ketikanya, mereka menyokong parti pembangkang - tanpa alasan atau hanya suka-suka, semata-mata untuk mengubah selera dan cita rasa.




Inilah sebenarnya jiwa orang muda - kita harus memahami ini terlebih dahulu - bukan mencipta pelbagai teori mengapa generasi muda membenci UMNO. Yang sebenarnya UMNO tidak memahami perubahan sikap dan mentaliti generasi muda sekarang. Mereka masih tetap mahu mengikuti sistem UMNO yang sudah ketinggalan zaman.




Justeru itu, apabila saya seringkali menonton siaran Hujah di TV9, tiada satu cadangan pun yang saya perhatikan daripada calon-calon yang hendak bertanding tersebut (baik di peringkat pemuda, wanita, naib dan timbalan) yang benar-benar menjiwai apakah yang sebenarnya dikehendaki oleh orang muda di dalam UMNO. Pada saya, Khairy pun turut gagal memahami aspirasi dan kehendak generasi muda pada waktu kini. Hakikatnya, ahli-ahli UMNO dan masyarakat muda di luar UMNO, mahu melihat UMNO diterajui oleh mereka yang tiada rekod buruk, rasuah dan mempunyai persepsi negatif. Mana-mana calon yang merasakan bahawa mereka mempunyai sejarah dan rekod yang buruk - lebih baik berundur, itu pun jika kita masih ada rasa sayang kepada UMNO.




Kedua, ahli-ahli UMNO mahu melihat sistem pemilihan UMNO yang lebih telus dan jujur - dengan kata lain, tidak menyerahkan kuasa memilih pucuk pimpinan hanya kepada para pewakilan yang mewakili bahagian masing-masing ke persidangan Mesyuarat Agung UMNO di Kuala Lumpur saban tahun. Sebaliknya, berikan kuasa memilih kepada seluruh ahli UMNO untuk menentukan siapa pemimpin yang mereka mahu - tanpa duit, tanpa sogokkan dan tanpa bodek membodek - zaman mengampu sudah berakhir, generasi muda tidak mahu melihat itu semua - UMNO kena faham hakikat ini . Berubahlah.




Ketiga, UMNO mesti kembali kepada penghayatan agama dan akhlak - tentang dosa dan pahala, tentang halal dan haram - bertegas dalam semua hal itu. UMNO tidak memerlukan kuantiti dari segi jumlah ahli, sebaliknya memerlukan kualiti dalam kalangan ahlinya - kita bukan mahu menang dalam pilihanraya semata-mata, tetapi lebih jauh daripada itu, kita mahu membina bangsa Melayu yang kuat berpegang kepada agama dan mempertahankan bangsanya. Mahu atau tidak mahu, UMNO perlu segera mengambil peranan yang telah ditinggalkan oleh PAS - yakni memperjuangkan Islam! PAS sudah kehilangan semuanya itu, mereka sudah terikat dan hilang dalam ideologi perjuangan politik sempit DAP dan PKR - PAS sekarang sudah jauh berbeza dengan PAS pada zaman Dato' Asri atau Dato' Fadhil Noor dahulu. Dahulu, halal dan haram menjadi pertaruhannya, dosa dan pahala menjadi nasihatnya - tetapi, semua itu sudah tiada lagi dalam PAS sekarang, - Islam hanya tinggal nama sahaja. Politik lebih utama daripada agama. Saya tegaskan, UMNO harus segera mengambil peluang yang telah ditinggilkan oleh PAS ini - tanpa kita sedar PAS semakin hari semakin menghampiri untuk menjadi sebuah parti politik seperti UMNO yang rosak lagi dirosakkan.




Mahu atau tidak mahu - UMNO harus mengorbankan seluruh pemimpinnya yang jelas mempunyai kes dan rekod yang buruk pada masa lalu - hari ini UMNO telah dihukum oleh persepsi dan emosi. Kita tidak lagi boleh bercakap bahawa, - Oh! pemimpin UMNO harus turun padang, harus tahu masalah rakyat dan bermacam lagi kata retorik yang kita dengar saban hari, hakikatnya rakyat tidak mahu dan peduli itu semua. Hari ini, rakyat membenci UMNO, khususnya generasi muda, kita perlu sedar semua itu. Membenci seseorang tidak semestinya mempunyai alasan - kadang-kadang cukup kerana perkataan "boring".




Mencari keburukan parti pembangkang - adalah umpama senjata makan tuan! Ia hanya memendekkan lagi hayat UMNO dalam PRU yang akan datang! hentikan kempen memburuk-burukkan parti pembangkang. Kita selesai dulu masalah UMNO, masalah kekotoran sebahagian daripada pemimpin-pemimpinnya - baru kita boleh bercakap soal rasuah dan integriti, soal perubahan dan transformasi. Tiada guna kita menyerang pembangkang pada waktu ini, walau sehodoh dan seburuk mana pun perangai pemimpin-pemimpin pembangkang - rakyat dan generasi muda akan tetap mengatakan pemimpin UMNO jauh lebih jahat. Kita sebenarnya sudah tiada lagi banyak alasan untuk menyakinkan rakyat dan generasi muda - kita kena banyak berubah dahulu, seluruh sistem pemilihan UMNO perlu dirombak dan distruktur semula. UMNO memerlukan perubahan radikal dan bukan perubahan secara subradikal. Pemimpin-pemimpin UMNO yang sudah terlalu lama memegang jawatan di peringkat bahagian dan pusat (lebih daripada 3 penggal) harus letak jawatan, beri laluan kepada muka-muka baru, jangan halang mereka untuk pergi lebih jauh.




Generasi muda mahu melihat UMNO berubah mengikut peredaran zaman - perjuangan UMNO dan ideologinya harus diberi nafas baharu. Pemimpin-pemimpin yang memiliki rekod dan sejarah hidup yang gelap harus segera dikeluarkan, kita memerlukan pemimpin yang tidak hanya lantang bersuara sebaliknya pada masa yang sama berakhlak mulia. Maafkan saya kerana meluahkan apa-apa yang saya rasa. Wallahualam.

Comments

Baijat said…
Semoga pemilihan UMNO kali ini bukan lagi 'PEMILIHAN DALAM SELIMUT'. Biarlah yang dipilih, memilih dan terpilih bersikap telus, jujur dan memikul amanah sebaik mungkin.
Jangan MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI.
APPLE PIE said…
pilih jangan tak pilih.
Faisal Admar said…
Saya agak bosan dengan politik Malaysia pada masa kini. Malas, muak dan nak muntah. Itu je kot yang dapat saya gambarkan betapa hina politik Malaysia sekarang.

Terbaru: Bergaduh di luar parlimen dan dalam parlimen usah ditanya.

Tapi apa yang membuatkan saya tertarik dengan post ni ialah gambar Vendetta! Saya sangat suka movie ni :)
RAHISAM RAMLI said…
Kehendak golongan muda yang mahukan UMNO bersih dari segala kekotoran suatu impian yang sangat mulia. Bersama-sama lah kita untuk mencapai impian itu.
Unknown said…
Satu luahan yang jujur dan berani. UMNO perlukan ramai lagi orang seperti saudara. Kalau semua orang dapat terima pendapat ini dengan hati yang terbuka, insya-Allah UMNO akan kekal kukuh di bumi Malaysia.
salam azli,
:) tak sangka buleh juga terkeluar tajuk yang sebegini rupa oleh azli.
baiklah, saya juga mahu turut kongsikan ilmu.
"L - for Lambretta" ha ha :)

a,v,& u.
bagus sekali tajuk dan cerita yg azli nak sampaikan ni.
mungkin ada yang pelik, kenapa Vandetta? walaupun dinyatakan oleh penulis secara bersantai, tetapi tetap serius disebalik maksud yang tersirat.

saudara azli shukri yang saya hormati,

SAYA SETUJU dan SAYA SOKONG bagi apa jua program untuk mendekati adik-adik (anak-anak) belia muda remaja kita.

kitalah yang sebenarnya lalai dan lupa untuk bersama dengan mereka,
kita lupa untuk ‘bercakap dengan bahasa mereka’.

saudara azli,
insyaAllah, demi masa, akan saya coba untuk berhubung dengan saudara tentang beberapa modul penting bagi belia remaja.
namun, terlebih dulu saya mohon ampun & maaf kepada azli, buat masa ini, saya perlu menyiapkan mereka bagi beberapa pertandingan ‘persembahan pentas’ ‘fine arts’, dan sebagainya. (maaf, perhatian intensif, ‘gap analysis’)
(untuk makluman: mereka adalah remaja-remaja yang ‘kononnya’ dikatakan gagal didalam pelajaran dan tidak berdisiplin (itulah persepsi oleh manusia yang jahat, yang tidak bertamadun, yang saya tentang habis-habisan dan membatalkan hujah-hujah mereka yang tidak memahami tentang duduknya perkara yang sebenar)

kita ada menyatakan bahawa 'kita sayang belia', tetapi, kita perlu bertanya kepada kita sendiri adakah kita benar-benar 'sayang' kepada mereka?

untuk mendekati mereka, maka kita perlulah ‘bercakap dengan bahasa mereka’ dan dengan sebab itu, barulah mereka boleh membuka pintu hati mereka dan akan mula mendekati kita.

sebelum saya akhiri,
saya tahu saudara azli dan sahabat-sahabat tentu suka akan hal ini:
setelah mereka penat berlatih, (didalam berbagai-bagai acara persembahan; NGO) pada suatu ketika itu, mereka (remaja yang 'kononnya' dikatakan malas, degil, dan tidak berdisiplin tadi) duduk dan berehat dengan saya dan tidak semena-mena mereka bertanya? :
".....kami remaja ini suka bercinta, tapi, kami nak tanya, apa ertinya cinta dan kasih sayang kepada Tuhan?"

ALLAH!
bergenanglah airmata saya dan terus amat tersentuh di sudut hati yang paling dalam.
azlishukri said…
Baijat - saya pun berharap sangat agar perwakilan memilih yang benar-benar bersih.

apple pie - betul, pilih jangan tak pilih, tapi saya tak jadi perwakilan.


Faisal - betul itulah yg menyebabkan orang muda menyampah dengan politik sekarang.


Rahisam - saya setuju sangat dengan kenyataan saudara.


Alamanda - terima kasih


Zul - sahabatku yang dikasihi, sengaja saya letakkan tajuk yang sebegitu - sebagai satu daya tarik untuk orang membacanya - kaedah ini selalu digunakan dalam pengamal media, seperti surat khabar atau majalah untuk melariskan produk mereka. wallahualam.
Unknown said…
This comment has been removed by the author.
Unknown said…
tuan,
saya sokong kenyataan tuan. ttpi siapalah kita dibawah ni yg hendak nasihatkan org di atas. kita hanya boleh bg pandangan ttp yg buat keputusan ttp di atas.

selagi kita tidak bersatu untuk memberi pengajaran kpd org ttgi UMNO, selagi tu mereka lalai.

bukan sekali rakyat tunjuk protes, ttpi da berkali2. masih xnak amik pengajaran lg.

terbaru pilihanraya.

jgn smpi UMNO hilang di dunia!
azlishukri said…
anuar - betul dan tepat, saya semakin bimbang dengan keadaan politik kebelakangan ini.
gagasan_warisan said…
Salam azli...saya setuju dengan pandangan anda, satu coretan yang mantap dan sepatutnya .. itu lah nafas baru yang diperlukan oleh UMNO.
jiji najiy said…
salam en. azli

saya sokong n setuju dgn en. azli
saya sebagai belia remaja, sebenarnya sudah muak dgn politik wang dan omong2 kosong ahli politik kita

alhamdulillah saya masih menyokong UMNO atas dasar melayu utk melayu..
tetapi ada dikalangan pemimpinnya yg kurang disenangi maksudnya dari segi cerita peribadi mereka.. itu yg membuatkan kami mahukan sesuatu yg baru,bersih

maaf jika saya terlanjur kata
azlishukri said…
gagasan warisan - itulah hakikat yang sebenarnya..

jiji - anda adalah sebahagian generasi muda yang ikhlas berterus terang.
Mohd Faizal said…
Salam Tuan Azli..
Lama tak menjenguk ke blog informatif ini..
Saya buta politik, tapi masih boleh mendengar cerita-cerita politik sedikit sebanyak..

Saya nampak bala besar yang menimpa UMNO dan parti-parti lain yang akhirnya akan bermasalah adalah disebabkan barah RASUAH.
Mendidik manusia membenci rasuah amat sukar, namun masih boleh dibanteras oleh orang-orang yg insaf akan bahaya besar ini.

Saya sangat hairan mengapa orang yang mengaku beragama tidak segan silu lagi menerima dan memberi rasuah berbanding mereka yang tidak mempunyai pegangan agama. ( baca islam vs barat).

Di barat sukar sekali untuk mencari berita-berita pemimpin, penguatkuasa, pegawai dll yang rasuah (baca:ada, tapi jarang atau mungkin tidak diterbitkan) dan mereka begitu takut dengan undang-undang. Di negeri kita Malaysia, berita rasuah setiap hari keluar akhbar dan si perasuah masih lagi tersenyum riang-ria di depan kamera walaupun tangan bergari. Entah dimana maruah orang islam saya pun kurang pasti.

Jadi mana-mana pemimpin politik (baik pemerintah atau pembangkang) yang ingin kekal bertahan, disanjung dan mendapat sokongan gelombang anak muda yang semakin insaf & cerdik masa kini, RASUAH, Integriti & darjah keintelektualan lah yang perlu mereka beri perhatian.

Sekadar berkongsi
Cheguman said…
Saya setuju bahawa PAS dan UMNO sekarang sedang bertukar wajah.
fital said…
Saudara seorang yang berani tapi adakalanya keberanian itu memakan diri. Luahan hati saudara sangat menyentuh jiwa saya tapi adakah pemimpin yang telah diberi amanah dan memegang kuasa masih beretorik dengan slogan membela bangsa, agama dan tanahair sedangkan dalam masa yang sama nasib bangsa dan agama dikesampingkan.Rasuah hanya kepada penjawat awam sahaja? sedangkan rasuah politik tindakan yang diambil hanya sekadar pengabor mata sahaja.Memang benarlah seperti yang saudara katakan pemimpin Umno lebih senang memomokkan pembangkang sebagai senjata untuk menumbangkan musuh tetapi tindkan tersebut membuatkan rakyat lebih meloya dan mual dan semakin membenci umno.Saya menyokong luahan hati saudara bahawa Umno sepatutnya menoleh diri sendiri dan jangan asyik mencari kesalahan pembangkang. Umno sepatutnya berdiri dengan kekuatan sendiri bukannya kekuatan yang hanya bergantung kepada isu-isu mual dan tindakan murahan politik pembangkang.saya seperti saudara juga sayangkan umno tetapi semakin hari saya semakin mual.
azlishukri said…
Faizal - Inilah yang sangat membimbangkan saya. Bala besar sedang melanda UMNO

Wadaat - Betul saya perhatikan mereka sudah bertukar wajah.


Fital - saya berkongsi pandangan yang sama dengan saudara, malah saya memikirkan UMNO perlu segera berubah, kita masih sayangkan UMNO tetapi kita mahu UMNO yang baru.
MHK said…
Saya melihat pembangkang bukanlah kuat sangat dan kredibiliti mereka pun belum terserlah. Tapi sy juga nampak byk kebebalan dlm UMNO.....hari ini tidak salah kalau sy katakan UMNO hanya bijak utk mengekalkan kuasanya sbg kerajaan sj dan berhenti setakat itu. Nak bina bangsa yg maju sy tak nampak sebab mereka hanya bijak mempertahankan kuasa sj.....pahit tapi itu adalah realiti.
azlishukri said…
hafiz - saya setuju kenyataan saudara itu.
JAI said…
Saya amat bersetuju dengan tulisan saudara, menegur bukan bererti kita membangkang kita menegur demi kebaikan semua, UMNO jadi lemah kerana kurangnya teguran dalam erti kata takut untuk menegur. Sikap ampu mengampu membuatkan pemimpin UMNO naik lemak.jangan tolak UMNO kerana pemimpin biarlah tolak Pemimpin kerana sayangkan UMNO. UMNO tetap reliven sebagai parti pembela nasib orang melayu.
azlishukri said…
Jai - inilah hakikat yang sebenarnya dalam kalangan generasi muda.
gotahlantun said…
Senario politik masa kini turut menjangkiti gejala sikap 'orang yang ada kepentingan diri nak bunuh karier politik orang yang berkredibal dan berwibawa’.



Beginilah hakikatnya dari pandangan mata kasar khalayak yang rasa terkilan dengan sikap rakus segelintir ahli-ahli UMNO yang sanggup berhempas pulas sehingga hilang maruah diri semata-mata untuk mempertahankan kedudukan yang dianggapnya `hak untuk sepanjang hayat’.



Kalau ini terus dibiarkan, sudahnya, orang yang jujur dan ikhlas dalam perjuangannya tidak boleh berbuat apa-apa kerana disebabkan orang yang ada kepentingan diri cuba untuk menyekat perjuangan mereka, kerana dianggapnya boleh mengancam kedudukan dan menjejaskan hasil pendapatannya yang selama ini boleh dipulun semahunya dengan mudah.



Apakah makna perjuangan itu sebenarnya?
Untuk bangsakah, untuk agamakah, untuk negarakah atau untuk diri sendiri?



Kalau politik dijadikan sebagai medan yang rakus untuk melombong emas tanpa mempedulikan kepentingan rakyat keseluruhan, makanya, ditakuti barisan kepimpinan yang dipilih berlandaskan emosi mengatasi kebijaksanaan akal, adalah dikalangan yang `gila kuasa’. Akan terbarislah nanti kepimpinan yang sebenarnya adalah mengkhianat bangsa, agama dan negara sendiri.



Di akui, perjuangan yang jujur dan ikhlas itu, sering dihalangi dengan tangan-tangan khianat dan mulut-mulut cepular yang cuba untuk memendekkan langkah orang-orang yang ikhlas untuk berjuang. Janji hatinya puas, asalkan kedudukannya tidak terjejas dan kehendak hati untuk mendapatkan sesuatu tidak tersekat.



Pemimpin seperti inikah sebenarnya yang perlu kita pertahankan untuk kesinambungan perjuangan kepada anak bangsa?. Sanggupkah kita mencalarkan amanah yang ditinggalkan oleh pejuang-pejuang terdahulu semata-mata kerana sudah dibutakan hati dengan lambakan wang ringgit dan kuasa?



Oleh itu, masih belum terlambat untuk ahli-ahli UMNO kembali sedar dalam kelekaan dan terpengaruh dengan simbolik perjuangan mereka yang ada kepentingan diri sendiri.Jangan nanti kita hanya nampak kuman di seberang laut, sedangkan gajah di depan mata kita tak nampak.



Ditakuti nanti kuman yang dipanggil itu tanpa kita sedar, akan sedikit demi sedikit memamah diri sendiri.Jika di antara kita sudah dapat melihat ada di kalangan pemimpin yang elok budi pekertinya, mulia akhlaknya dan bijak akalnya, pertahankanlah dengan semangat yang kental tanpa mudah dipengaruhi oleh mereka-mereka yang suka menghasut, memecahbelahkan dan memburuk-burukkan sesama manusia.



Jangan nanti kita jadi `yang dikejar tak dapat dan yang dikendong pula berciciran’. Yang berciciran belum pasti kita dapat menghimpunkannya semula menjadi seperti asal.
azlishukri said…
gotahlantun - satu kenyataan yang jujur dan ikhlas.

Pilihan Pembaca

Lagi Kisah Siti Nurhaliza : Mana Perginya Produk CTea?

Lagi Kisah Siti Nurhaliza Mana Perginya Produk CTea? Oleh Satu Hala (Malaysia Instinct) Inilah antara benda-benda yang buat sakit hati dengan orang kaya Melayu ni. Datuk K sanggup perabis RM66,550 untuk beli nombor plate KCT 1 untuk isteri tercinta, Datuk Siti Nurhaliza. Kononnya cintan maut habislah tu kan. Tak tahulah kot-kot Rozita Che Wan yang dulu orang kata dapat Mercedes dari Datuk K (lepas dah kahwin dengan Siti) pun akan dapat nombor plate yang sama. Gasaklah hal Rozita Che Wan tu. Yang penulis tertarik nak tulis ialah sikap orang macam Datuk K dan Siti Nurhaliza. Parasit adalah perkataan paling tepat. Tahu tak Siti Nurhaliza adalah pemohon pinjaman Tekun untuk bisnes barang solek Simply Siti. Kalau tak percaya, pergilah cek dengan Tekun. Pasti nama Siti akan terpacul. Sakit hati betul penulis dengan orang-orang macam ini. Dah tahu duit banyak, gunalah duit sendiri untuk berniaga, tak pun pinjamlah bank. Gi pinjam dengan Tekun tu buat apa? Mentanglah bayar

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil