Skip to main content

Kita sering mendengar dan terbaca di dinding-dinding masjid berkenaan khutbah terakhir nabi Muhammad SAW sewaktu baginda mengerjakan Haji Wida' (Haji Perpisahan) Namun demikian, kita tidak pernah tahu apakah pesan Nabi ketika mula-mula solat Jumaat didirikan. Jarang sekali kita ambil tahu akan pengajaran yang terkandung di dalamnya. Lantaran itu, marilah kita menyambut Ramadhan kali ini dengan menghayati khutbah pertama yang pernah disampaikan oleh nabi junjungan kita ini. Salam Kemerdekaan, Salam Ramadhan dan Salam Persahabatan kepada semua blogger yang saya kenal atau pun tidak saya kenal.


Khutbah Pertama Nabi
Sarat dengan Pengajaran

Oleh Muhammad Azli Shukri

(Artikel saya ini sudah diterbitkan di dalam Utusan Malaysia pada 10/10/2003)



Para ulama dan ahli tarikh (sejarah) telah bersepakat bahawa solat Jumaat telah diwajibkan sejak Nabi s.a.w. masih berada di Mekah lagi, iaitu sebelum baginda berhijrah ke Madinah. Namun demikian, kerana keadaan di Mekah yang masih belum selamat untuk orang-orang Islam, maka solat Jumaat tersebut tidak dapat dilaksanakan oleh Rasulullah pada saat itu.



Walau bagaimanapun solat Jumaat ini tetap dilaksanakan oleh orang-orang Islam di Madinah. Atas perintah Rasulullah melalui surat baginda kepada Mush`ab bin Amir, dan bertempat di Hazmin Nabiit di kampung Bani Bayadlah dalam kawasan Naqi`ul Khadlamat, dijalankanlah perintah Rasulullah itu dengan Mush`ab sendiri sebagai khatib dan imamnya. Inilah solat Jumaat pertama di dalam Islam.



Adapun solat Jumaat pertama yang dilakukan oleh Rasulullah bersama para sahabatnya dari Mekah ialah bertempat di lembah Ranuna, di kampung Bani Salim bin `Auf, yakni suatu tempat antara Quba dengan Madinah. Peristiwa itu terjadi ketika baginda melakukan hijrahnya pada 23 September 622 Masihi. Jumlah jemaah Jumaat pada saat itu tidak dicatatkan, tetapi menurut sejarah ketika Rasulullah meninggalkan Quba setelah empat hari berehat, baginda diikuti oleh 100 orang kaum Muslimin.



Oleh kerana solat Jumaat yang dipimpin oleh Rasulullah dalam perjalanan hijrah itu merupakan yang pertama bagi baginda, maka sudah pastilah khutbahnya juga merupakan khutbah Jumaat yang pertama daripadanya. Justeru itu, pastilah banyak pengajaran yang dapat diambil dan dikutip oleh kaum Muslimin daripada khutbah Jumaat tersebut.



Di dalam khutbah pertama Rasulullah tersebut, diceritakan bahawa pada mulanya baginda mengucapkan Alhamdulillah (kesyukuran) dan puji-pujian bagi Allah. Kemudian selanjutnya baginda memulakan khutbah pertamanya (awal) seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn Katsir dan At-Thobari yang berbunyi, “Wahai sekalian manusia ! Dahulukanlah kepentingan dirimu dengan beramal untuk bekalan di akhirat nanti. Hendaklah kamu sekalian mengetahui demi Allah, akan dibinasakan salah seorang di antara kamu, lalu ia meninggalkan kambing ternak tanpa penggembala. Kemudian Tuhan akan mengatakan langsung kepadanya tanpa penterjemah dan tanpa pengawal yang menghalangi seseorang menghadap Allah.



Allah berfirman : “Bukankah telah datang utusan-Ku yang menyampaikan berita kepadamu, dan Aku telah memberikan harta untukmu dan Aku telah memberikan keutamaan bagimu, maka apakah yang telah engkau amalkan buat dirimu?'' Orang itu melihat ke kanan dan ke kiri, lalu ia tidak melihat sesuatu apa pun (yang boleh menolongnya). Kemudian ia melihat ke hadapan, dan tidak melihat sesuatu pun melainkan Neraka Jahanam. Maka sesiapa yang sanggup menyelamatkan dirinya daripada jilatan api neraka walaupun hanya dengan sedekah sebiji kurma, lakukanlah. Dan sesiapa yang tidak mendapatkannya, hendaklah dengan berkata-kata yang baik, kerana sesungguhnya ia akan dibalas 10 kali kebaikan bahkan sampai 700 kali ganda. Wassalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.”



Setelah itu, Rasulullah meneruskan khutbahnya lagi (maksud di sini ialah khutbah Tsani iaitu khutbah yang kedua setelah duduk seketika). Seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn Ishaq (seorang ulama ahli sejarah) yang berbunyi, “Sesungguhnya segala puji bagi Allah. Saya memuji-Nya dan mohon pertolongan-Nya. Kami memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan diri kami dan daripada keburukan perbuatan kami. Maka sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah nescaya tidak akan menjadi sesat dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada sesiapapun yang dapat memberi petunjuk kepadanya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Sesungguhnya ucapan yang paling baik adalah kitab Allah (al-Quran), sungguh pasti berbahagialah orang yang menjadikan al-Quran sebagai hiasan di hatinya, juga yang telah memasuki agama Islam setelah dahulunya kafir, yang telah memilihnya atas selainnya iaitu daripada kata-kata manusia. Dan sesungguhnya al-Quran itu adalah sebaik-baik perkataan, yang paling tinggi nilai sasteranya. Cintailah orang-orang yang mencintai Allah dan cintailah Allah dengan segenap perasaan di hatimu, dan janganlah kamu bosan terhadap firman Allah serta berzikir dengannya, agar hatimu tidak menjadi keras. Maka sesungguhnya setiap makhluk yang diciptakan Allah merupakan pilihan-Nya dan yang demikian dinamakan pekerjaan yang baik atau hamba-hamba yang baik dan kata-kata yang baik, termasuk dalam hal ini apa yang ditetapkan pada manusia daripada hukum yang halal atau haram. Maka sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan-Nya dengan sesuatu, bertakwalah (taatlah) kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Bersikap jujurlah kepada Allah dengan melakukan kebaikan terhadap apa-apa yang kamu ucapkan dengan mulutmu. Dan berkasih sayanglah kamu dengan sesamamu kerana Allah. Sesungguhnya Allah murka terhadap seseorang yang mengingkari janjinya. Wassalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.''



Setelah diteliti teks khutbah Jumaat pertama Rasulullah ini, maka penulis ingin menyimpulkan beberapa peringatan berharga yang terdapat di dalam khutbah tersebut untuk kita kaum Muslimin mengambil iktibar serta pedoman daripadanya. Di antaranya ialah :



1. Melakukan banyak amal soleh seperti mana yang dituntut oleh syarak, contohnya banyak melakukan zikir (bersolat, membaca al-Quran dan berwirid), bersedekah, berpuasa, menyambung hubungan silaturahim dan sebagainya. Janji Allah dalam surah al-Maidah ayat 5 yang bermaksud, “Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.”



2. Muhasabah diri sendiri dengan memikirkan berapa banyak amal yang dilaksanakan dan berapa banyak dosa yang telah dilakukan, seperti mana firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 49 yang berbunyi, “Dan diletakkan kitab (buku amalan), lalu kamu melihat orang-orang yang berdosa itu merasa ketakutan kepada apa-apa yang ada di dalamnya dan mereka mengeluh mengucapkan, `aduhai,malangnya kami! Kitab apakah ini tidak ditinggalkannya perkara yang kecil dan besar, melainkan dihitungkannya semua? Mereka mendapati apa yang telah dikerjakannya semua bertemu. Tuhan engkau tidak merugikan sesiapa pun.”



3. Mengucap dan berkata-kata dengan perkataan yang baik-baik, seperti mana peringatan daripada sabda Rasulullah yang bermaksud, “Sesungguhnya seseorang apabila mengucap suatu kalimat (perkataan) yang diperkirakan (diangkakan) tidak berakibat sesuatu, tetapi sesungguhnya (perkataan itulah) akan mengakibatkan dia terjerumus ke dalam api neraka sampai 70 tahun.” (Riwayat at-Tirmizi). Dan firman Allah bermaksud, “Allah tidak mencintai berterus terang dengan perkataan yang buruk, kecuali daripada orang-orang yang teraniaya. Allah itu Mendengar dan Mengetahui.”(An-Nisa : 148).



4. Mengharapkan pertolongan, keampunan, perlindungan dan petunjuk daripada Allah SWT seperti mana doa yang sering kita ucapkan, “Wahai Tuhan kami, ampunilah aku dan ibu bapaku dan orang-orang yang beriman pada hari terjadi perhitungan.” (Al-Baqarah : 221).



5. Mencintai Allah serta orang-orang yang mencintai Allah, contohnya mencintai Rasulullah, para sahabat baginda serta wali-wali-Nya, seperti mana sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud, “Rasulullah bersabda daripada firman Allah yang Maha Mulia, “Orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku, akan berada di bawah naungan Arasy-Ku pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan Allah.” Dan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 165 yang bermaksud, “Orang-orang yang beriman itu sangat cinta kepada Allah.”



6. Jangan menyekutukan Allah, seperti mana firman Allah dalam surah al-Isra ayat 111 yang bermaksud, “Dan katakanlah, segala puji untuk Allah yang tidak mempunyai anak dan Dia tidak mempunyai sekutu dalam kekuasaan dan tidak mempunyai pelindung (untuk menjaga-Nya) daripada kehinaan dan besarkanlah Dia dengan sepenuhnya.”



7. Berkasih sayang sesama orang-orang yang beriman, seperti mana firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara.” Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Salah seorang di antara kamu tidak dikatakan beriman sempurna sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Muslim). Dan sabda baginda lagi dalam sebuah hadis lain yang bermaksud, “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam membina kasih sayang dan cinta kasih serta saling menaruh rasa simpati adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggotanya ada yang sakit, maka seluruh anggota tubuh akan merasakannya, seperti demam atau tidak dapat tidur.”(Riwayat Muslim).



Inilah beberapa pengajaran serta peringatan yang dapat diambil daripada khutbah Jumaat pertama Rasulullah tersebut. Semoga kita semua mengambil iktibar daripadanya. Insya-Allah.

Comments

Anonymous said…
salam ramadhan & salam kemerdekaan
azlishukri said…
hanis-salam ramadhan dan kemerdekaan.

dabielle-salam ramadahan dan kemerdekaan.
S.YanaZ said…
AZLI,
Kita benar2 belum 'merdeka' selagi belum diperhitung segala amalan di hadapan Allah SWT.

PUASA itu pengorbanan mencari keredaan Allah SWT. Selamat menghayati Ramadan yg mulia.

*Teruskan menulis...:]*
azlishukri said…
shariah- betul tu..aku makin insaf...
zeme said…
Salam saudara Azli,

Salam Kemerdekaan, memperjuangkan idealisasi minda kita hapuskan kelekaan..

Salam Ramadhan, menunaikan ibadah puasa kita leburkan kekhilafan..

Wasalam.
azlishukri said…
zeme - sama2 moga persaudaraan kita semakin kukuh.

Pilihan Pembaca

Mukhriz Telah Menang! Oleh Muhammad Azli Shukri Saya bertemu dengan Datuk Mukhriz Mahathir di Parlimen baru-baru ini, ada sesuatu yang telah lama terbuku dalam benak dan fikiran saya, agar isu ini dapat diselesaikan dengan segera antara saya dengan Mukhriz. Sebagai seorang sahabat baik dan penyokong setia beliau, saya rasa bertanggungjawab untuk menyelesaikan apa-apa yang sekian lama bermain dalam kotak minda saya. Petang itu, setelah Mukhriz bersetuju meluang masa untuk berjumpa, maka saya bergegas ke Parlimen. Tidak sabar untuk saya mendapatkan kepastian daripada mulut beliau sendiri, setelah tersebar fitnah paling ganas terhadap dirinya di Internet sejak belakangan ini. Kepastian dan kebenaran harus segera saya cara dan temui, jika tidak – saya tidak bisa tidur malam. Hampir dua jam saya berbual tentang pelbagai isu, bermula daripada isu bahasa, hinggalah ke isu politik dan ekonomi, semuanya beliau jawab dengan penuh meyakinkan – tiada ragu-ragu – tiada rasa haru biru – semua dijawa...

Nik Aziz 2009 : Terbaliknya Bola Hitam Mataku

Tuan Guru Nik Aziz 2009 Terbaliknya Bola Hitam Mataku MUAR 24 Okt. — Cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat agar Pas mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) untuk membersihkannya daripada kumpulan prokerajaan perpaduan menunjukkan bahawa parti itu sedang berhadapan dengan masalah kepimpinan yang serius, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Walaupun Muhyiddin mengakui cadangan Nik Aziz itu sebagai satu “masalah dalaman” Pas tetapi ia tetap menunjukkan pertembungan pendapat yang agak ketara di dalam parti pembangkang. "Ia adalah serius (masalah kepimpinan dalam Pas). Pertembungan pendapat yang agak ketara di dalam Pas. Nik Aziz vs (Datuk Abdul) Hadi Awang vs (Datuk) Nasharuddin Mohd Isa vs Datuk Husam Musa,” katanya pada kepada pemberita hari ini. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan Timbalan Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan karnival Edufest@Pagoh di Dewan Jubli Intan, di sini. Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas tuli...

Tan Sri Isa Samad 2009 : Gendang Perang Yang Tidak Berbunyi

Tan Sri Isa Samad 2009 Gendang Perang Yang Tidak Berbunyi MUAR 21 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Barisan Nasional (BN) akan memilih calon yang berwibawa, dihormati dan mampu menjalankan tugas dengan baik untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Timbalan Perdana Menteri menegaskan, nama calon berkenaan yang memenuhi kriteria dan mengambil kira pandangan semua pihak akan diumumkan pada 29 September ini selepas perbincangan mengenainya selesai."Itu kriteria biasa kita gunakan. Penerimaan masyarakat setempat juga penting kerana mereka yang akan menjadi pengundi, itu juga akan diambil kira, kita mengambil kira semua perkara," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Timbalan Perdana Menteri di Kompleks Seri Pekembar di Pagoh di sini hari ini. Beliau mengulas persiapan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang yang dijadual pada 11 Oktober ekoran kematian wakil ra...