Skip to main content

Kita sering mendengar dan terbaca di dinding-dinding masjid berkenaan khutbah terakhir nabi Muhammad SAW sewaktu baginda mengerjakan Haji Wida' (Haji Perpisahan) Namun demikian, kita tidak pernah tahu apakah pesan Nabi ketika mula-mula solat Jumaat didirikan. Jarang sekali kita ambil tahu akan pengajaran yang terkandung di dalamnya. Lantaran itu, marilah kita menyambut Ramadhan kali ini dengan menghayati khutbah pertama yang pernah disampaikan oleh nabi junjungan kita ini. Salam Kemerdekaan, Salam Ramadhan dan Salam Persahabatan kepada semua blogger yang saya kenal atau pun tidak saya kenal.


Khutbah Pertama Nabi
Sarat dengan Pengajaran

Oleh Muhammad Azli Shukri

(Artikel saya ini sudah diterbitkan di dalam Utusan Malaysia pada 10/10/2003)



Para ulama dan ahli tarikh (sejarah) telah bersepakat bahawa solat Jumaat telah diwajibkan sejak Nabi s.a.w. masih berada di Mekah lagi, iaitu sebelum baginda berhijrah ke Madinah. Namun demikian, kerana keadaan di Mekah yang masih belum selamat untuk orang-orang Islam, maka solat Jumaat tersebut tidak dapat dilaksanakan oleh Rasulullah pada saat itu.



Walau bagaimanapun solat Jumaat ini tetap dilaksanakan oleh orang-orang Islam di Madinah. Atas perintah Rasulullah melalui surat baginda kepada Mush`ab bin Amir, dan bertempat di Hazmin Nabiit di kampung Bani Bayadlah dalam kawasan Naqi`ul Khadlamat, dijalankanlah perintah Rasulullah itu dengan Mush`ab sendiri sebagai khatib dan imamnya. Inilah solat Jumaat pertama di dalam Islam.



Adapun solat Jumaat pertama yang dilakukan oleh Rasulullah bersama para sahabatnya dari Mekah ialah bertempat di lembah Ranuna, di kampung Bani Salim bin `Auf, yakni suatu tempat antara Quba dengan Madinah. Peristiwa itu terjadi ketika baginda melakukan hijrahnya pada 23 September 622 Masihi. Jumlah jemaah Jumaat pada saat itu tidak dicatatkan, tetapi menurut sejarah ketika Rasulullah meninggalkan Quba setelah empat hari berehat, baginda diikuti oleh 100 orang kaum Muslimin.



Oleh kerana solat Jumaat yang dipimpin oleh Rasulullah dalam perjalanan hijrah itu merupakan yang pertama bagi baginda, maka sudah pastilah khutbahnya juga merupakan khutbah Jumaat yang pertama daripadanya. Justeru itu, pastilah banyak pengajaran yang dapat diambil dan dikutip oleh kaum Muslimin daripada khutbah Jumaat tersebut.



Di dalam khutbah pertama Rasulullah tersebut, diceritakan bahawa pada mulanya baginda mengucapkan Alhamdulillah (kesyukuran) dan puji-pujian bagi Allah. Kemudian selanjutnya baginda memulakan khutbah pertamanya (awal) seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn Katsir dan At-Thobari yang berbunyi, “Wahai sekalian manusia ! Dahulukanlah kepentingan dirimu dengan beramal untuk bekalan di akhirat nanti. Hendaklah kamu sekalian mengetahui demi Allah, akan dibinasakan salah seorang di antara kamu, lalu ia meninggalkan kambing ternak tanpa penggembala. Kemudian Tuhan akan mengatakan langsung kepadanya tanpa penterjemah dan tanpa pengawal yang menghalangi seseorang menghadap Allah.



Allah berfirman : “Bukankah telah datang utusan-Ku yang menyampaikan berita kepadamu, dan Aku telah memberikan harta untukmu dan Aku telah memberikan keutamaan bagimu, maka apakah yang telah engkau amalkan buat dirimu?'' Orang itu melihat ke kanan dan ke kiri, lalu ia tidak melihat sesuatu apa pun (yang boleh menolongnya). Kemudian ia melihat ke hadapan, dan tidak melihat sesuatu pun melainkan Neraka Jahanam. Maka sesiapa yang sanggup menyelamatkan dirinya daripada jilatan api neraka walaupun hanya dengan sedekah sebiji kurma, lakukanlah. Dan sesiapa yang tidak mendapatkannya, hendaklah dengan berkata-kata yang baik, kerana sesungguhnya ia akan dibalas 10 kali kebaikan bahkan sampai 700 kali ganda. Wassalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.”



Setelah itu, Rasulullah meneruskan khutbahnya lagi (maksud di sini ialah khutbah Tsani iaitu khutbah yang kedua setelah duduk seketika). Seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn Ishaq (seorang ulama ahli sejarah) yang berbunyi, “Sesungguhnya segala puji bagi Allah. Saya memuji-Nya dan mohon pertolongan-Nya. Kami memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan diri kami dan daripada keburukan perbuatan kami. Maka sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah nescaya tidak akan menjadi sesat dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada sesiapapun yang dapat memberi petunjuk kepadanya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Sesungguhnya ucapan yang paling baik adalah kitab Allah (al-Quran), sungguh pasti berbahagialah orang yang menjadikan al-Quran sebagai hiasan di hatinya, juga yang telah memasuki agama Islam setelah dahulunya kafir, yang telah memilihnya atas selainnya iaitu daripada kata-kata manusia. Dan sesungguhnya al-Quran itu adalah sebaik-baik perkataan, yang paling tinggi nilai sasteranya. Cintailah orang-orang yang mencintai Allah dan cintailah Allah dengan segenap perasaan di hatimu, dan janganlah kamu bosan terhadap firman Allah serta berzikir dengannya, agar hatimu tidak menjadi keras. Maka sesungguhnya setiap makhluk yang diciptakan Allah merupakan pilihan-Nya dan yang demikian dinamakan pekerjaan yang baik atau hamba-hamba yang baik dan kata-kata yang baik, termasuk dalam hal ini apa yang ditetapkan pada manusia daripada hukum yang halal atau haram. Maka sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan-Nya dengan sesuatu, bertakwalah (taatlah) kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Bersikap jujurlah kepada Allah dengan melakukan kebaikan terhadap apa-apa yang kamu ucapkan dengan mulutmu. Dan berkasih sayanglah kamu dengan sesamamu kerana Allah. Sesungguhnya Allah murka terhadap seseorang yang mengingkari janjinya. Wassalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.''



Setelah diteliti teks khutbah Jumaat pertama Rasulullah ini, maka penulis ingin menyimpulkan beberapa peringatan berharga yang terdapat di dalam khutbah tersebut untuk kita kaum Muslimin mengambil iktibar serta pedoman daripadanya. Di antaranya ialah :



1. Melakukan banyak amal soleh seperti mana yang dituntut oleh syarak, contohnya banyak melakukan zikir (bersolat, membaca al-Quran dan berwirid), bersedekah, berpuasa, menyambung hubungan silaturahim dan sebagainya. Janji Allah dalam surah al-Maidah ayat 5 yang bermaksud, “Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.”



2. Muhasabah diri sendiri dengan memikirkan berapa banyak amal yang dilaksanakan dan berapa banyak dosa yang telah dilakukan, seperti mana firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 49 yang berbunyi, “Dan diletakkan kitab (buku amalan), lalu kamu melihat orang-orang yang berdosa itu merasa ketakutan kepada apa-apa yang ada di dalamnya dan mereka mengeluh mengucapkan, `aduhai,malangnya kami! Kitab apakah ini tidak ditinggalkannya perkara yang kecil dan besar, melainkan dihitungkannya semua? Mereka mendapati apa yang telah dikerjakannya semua bertemu. Tuhan engkau tidak merugikan sesiapa pun.”



3. Mengucap dan berkata-kata dengan perkataan yang baik-baik, seperti mana peringatan daripada sabda Rasulullah yang bermaksud, “Sesungguhnya seseorang apabila mengucap suatu kalimat (perkataan) yang diperkirakan (diangkakan) tidak berakibat sesuatu, tetapi sesungguhnya (perkataan itulah) akan mengakibatkan dia terjerumus ke dalam api neraka sampai 70 tahun.” (Riwayat at-Tirmizi). Dan firman Allah bermaksud, “Allah tidak mencintai berterus terang dengan perkataan yang buruk, kecuali daripada orang-orang yang teraniaya. Allah itu Mendengar dan Mengetahui.”(An-Nisa : 148).



4. Mengharapkan pertolongan, keampunan, perlindungan dan petunjuk daripada Allah SWT seperti mana doa yang sering kita ucapkan, “Wahai Tuhan kami, ampunilah aku dan ibu bapaku dan orang-orang yang beriman pada hari terjadi perhitungan.” (Al-Baqarah : 221).



5. Mencintai Allah serta orang-orang yang mencintai Allah, contohnya mencintai Rasulullah, para sahabat baginda serta wali-wali-Nya, seperti mana sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud, “Rasulullah bersabda daripada firman Allah yang Maha Mulia, “Orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku, akan berada di bawah naungan Arasy-Ku pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan Allah.” Dan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 165 yang bermaksud, “Orang-orang yang beriman itu sangat cinta kepada Allah.”



6. Jangan menyekutukan Allah, seperti mana firman Allah dalam surah al-Isra ayat 111 yang bermaksud, “Dan katakanlah, segala puji untuk Allah yang tidak mempunyai anak dan Dia tidak mempunyai sekutu dalam kekuasaan dan tidak mempunyai pelindung (untuk menjaga-Nya) daripada kehinaan dan besarkanlah Dia dengan sepenuhnya.”



7. Berkasih sayang sesama orang-orang yang beriman, seperti mana firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara.” Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Salah seorang di antara kamu tidak dikatakan beriman sempurna sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Muslim). Dan sabda baginda lagi dalam sebuah hadis lain yang bermaksud, “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam membina kasih sayang dan cinta kasih serta saling menaruh rasa simpati adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggotanya ada yang sakit, maka seluruh anggota tubuh akan merasakannya, seperti demam atau tidak dapat tidur.”(Riwayat Muslim).



Inilah beberapa pengajaran serta peringatan yang dapat diambil daripada khutbah Jumaat pertama Rasulullah tersebut. Semoga kita semua mengambil iktibar daripadanya. Insya-Allah.

Comments

Anonymous said…
salam ramadhan & salam kemerdekaan
azlishukri said…
hanis-salam ramadhan dan kemerdekaan.

dabielle-salam ramadahan dan kemerdekaan.
S.YanaZ said…
AZLI,
Kita benar2 belum 'merdeka' selagi belum diperhitung segala amalan di hadapan Allah SWT.

PUASA itu pengorbanan mencari keredaan Allah SWT. Selamat menghayati Ramadan yg mulia.

*Teruskan menulis...:]*
azlishukri said…
shariah- betul tu..aku makin insaf...
zeme said…
Salam saudara Azli,

Salam Kemerdekaan, memperjuangkan idealisasi minda kita hapuskan kelekaan..

Salam Ramadhan, menunaikan ibadah puasa kita leburkan kekhilafan..

Wasalam.
azlishukri said…
zeme - sama2 moga persaudaraan kita semakin kukuh.

Pilihan Pembaca

Di Sini Tiada Kubur UMNO

DI SINI TIADA KUBUR UMNO Oleh Muhammad Azli Shukri Maafkan saya jika saya terpaksa berkata daripada hati nurani saya sendiri, tiada lagi kata berlapik dan tiada lagi kata-kata manis untuk dihidangkan tatkala melihat kekalahan UMNO/BN di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau. Walaupun, saya sudah mendapat maklumat dua minggu lebih awal bahawa UMNO/BN akan tewas dan kecundang di dua buah kerusi tersebut, namun demikian saya cuba menyakinkan diri saya sendiri bahawa, harapan untuk menang masih ada di kedua-dua buah kerusi itu sebagai hadiah atas pelantikan DS Najib sebagai PM yang baru. Analisis ringkas saya pada masa ini berkenaan kekalahan UMNO/BN di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau - menjelaskan bahawa aliran pengundi muda masih tetap memihak kepada pembangkang. Maka, di sini timbul persoalan apakah benar Khairy, selaku Ketua Pemuda UMNO yang baru telah gagal menarik minat pengundi muda untuk menyebelahi UMNO dalam pilihan raya kecil tersebut? Dan apakah faktor Tun Mahathir turut ...

Sultan Azlan : Tanda Harga Tanggungjawab

Sultan Azlan Tanda Harga Tanggungjawab Nampaknya, hampir semua orang keliru dan dikelirukan berhubung dengan mengapa kerajaan dan Sultan Perak tidak mahu mengadakan pilihanraya semula di negeri tersebut. Banyak hujah dan penerangan di alam maya gagal disampaikan kepada rakyat berkenaan hal tersebut secara tepat dan jujur. Sebaliknya, banyak pihak yang terus termakan dengan omong kosong Anwar Ibrahim melalui slogan "Mahkamah Rakyat", "Kuasa Rakyat" dan sebagainya. Semua lapisan rakyat ditipu oleh Anwar Ibrahim. Malah, semua orang tidak tahu hakikat sebenar mengapa Sultan Perak tidak mahu menerima usul bagi membubarkan DUN Perak sebelum ini. Mari kita sama-sama bertanya kepada diri kita terlebih dahulu, sebelum kita pergi lebih jauh dalam isu ini. Andaikan jika pilihanraya diadakan semula di negeri Perak, parti manakah yang akan menang? Saya fikir semua orang akan tahu jawapannya, baik orang UMNO mahupun orang PAS. Jawapannya mudah, yang menang nanti ialah - PAS, PKR ...
Penulis bersama Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di Pejabatnya. Tahniah Tun! KUALA LUMPUR 11 Mei 2008- Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid yang dipilih sebagai Tokoh Melayu Terbilang mahu orang Melayu memiliki lima bentuk minda bagi menjamin kejayaan serta daya tahan mereka pada masa depan. Beliau berkata, minda tersebut ialah minda berdisiplin, minda sintesis, minda kreatif, minda menghormati dan minda beretika. Sehubungan itu, beliau berharap UMNO menjalankan penyelidikan tentang cara-cara memperkasakan akal fikiran atau minda orang Melayu demi kepentingan bangsa dalam jangka panjang. ''Saya juga berikrar akan terus berkhidmat dengan kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO selagi hayat di kandung badan," katanya. Beliau menyatakan demikian dalam ucapan selepas menerima anugerah tersebut daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-62 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini...