Skip to main content
(Tazkirah ini telah saya sampaikan di Dewan Bahasa dan Pustaka
Pada 4/8/2008 jam 8.45 pagi)

Oleh Muhammad Azli Shukri

Assalammualaikum warahmatullahiwarakatuh...


Firman Allah dalam surah al-Mulk yang bermaksud, Maha Suci Allah yang di tangan-Nya kerajaan (pemerintah) dan Dia Maha berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun (ayat 1-2).


Pengajaran dalam Ayat tersebut sangat jelas, yakni Allah SWT menjadikan kematian dan kehidupan sebagai satu ujian kepada hamba-hambanya. Sejak belakangan ini, organisasi tercinta kita ini sering didatangi berita kematian yang sangat mendayukan hati dan perasaan kita. Kesedihan yang kita alami tidak mungkin menghidupkan semula rakan-rakan kita yang telah pergi. Hanya doa yang mampu kita berikan, agar roh mereka dicucuri rahmat.


Menyentuh soal kematian, kita tidak dapat lari daripada mempersoalkan bekalan amalan yang sedang kita kumpul. Adakah mencukupi? Atau pun sebaliknya? Selain himpunan amalan fardu ain dan ibadat khusus yang wajib bagi setiap Muslim dan Muslimat lakukan seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya, kita juga sebenarnya tidak boleh alpa dan lupa bahawa kita sama sekali tidak akan terlepas daripada segala tanggungjawab yang telah Allah amanahkan kepada kita. Tanggungjawab sebagai suami, sebagai isteri, sebagai anak dan sebagai pekerja, semua itu akan dihitung di akhirat kelak. Perhitungan Allah terhadap kita di akhirat nanti bukanlah sekitar ibadat khusus semata-mata, bahkan lebih jauh daripada itu.


Saya mengambil contoh diri kita sendiri yang sekarang bergelar sebagai pekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Apakah kita sudah melaksanakan tanggungjawab dan amanah kita dengan sebaik-baiknya sebagai seorang pekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka? Pernahkah kita bertanyakan soalan ini kepada diri kita? Dan pernahkah kita menyoal bahawa sesungguhnya, tugas dan tanggungjawab aku di Dewan Bahasa dan Pustaka ini turut akan diperhitungkan oleh Allah di akhirat kelak? Apakah sudah cukup bagi kita hanya dengan menjaga segenap ibadah khusus harian kita semata-mata? Lupakah kita dengan firman Allah dalam surah al-mukminun ayat 8-11 yang bermaksud, “Dan orang-orang yang memelihara amanah dan memenuhi janjinya. Dan yang menjaga sembahyang. Itulah orang-orang yang mempusakai. Mereka yang mempusakai syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.”


Subhanallah, alangkah beratnya untuk memasuki syurga Firdaus dengan tiga syarat yang Allah berikan tersebut, yakni memelihara amanah, memenuhi janji dan menjaga solat. Apakah kita sudah mengira bahawa bekalan kita sudah mencukupi dalam ketiga-tiga syarat yang Allah tetapkan tersebut sebelum kita meninggalkan dunia yang fana ini? Lantas seharusnya, jika kita memahami dan menyedari, sesungguhnya kita sudah tidak ada masa lagi untuk mencari, membuka aib dan menjaga tepi kain orang lain. Lantaran rasa bimbangnya kita terhadap bekalan amal kita dalam aspek-aspek yang telah Allah sebutkan dalam ayat tersebut, yang pada perkiraan kita, kita masih jauh daripada mencukupi. Ada benarnya kata-kata Imam al-Ghazali ini, “Yang jauh itu masa, yang dekat itu mati, yang besar itu nafsu, yang berat itu amanah dan yang indah itu adalah solat.”

Tuan-tuan dan puan-puan Rahimukumullah,


Berbalik kepada persoalan tanggungjawab. Apakah tanggung jawab asas kita sebagai seorang pekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka pada hari ini? Tidak kira kita bekerja di bahagian mana sekali pun, di bahagian kewangan, di bahagian majalah, di bahagian sumber manusia, semuanya mempunyai satu tanggungjawab asas yang sama. Yakni tanggungjawab mempertahankan maruah dan nama baik organisasi kita. Isu yang tersebar luas pada ketika ini ialah tohmahan yang mendakwa bahawa, Apakah Dewan Bahasa dan Pustaka pada ketika ini masih relevan atau sebaliknya?


Ketika maruah DBP dipijak-pijak dan persenda-sendakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, di manakah kita? Sebagai seorang pekerja DBP? Apakah peranan dan tanggungjawab kita ketika ini? Amanah yang kita pikul adalah mempertahankan harga diri dan organisasi kita ini. Tempat kita mencari rezeki.


Apabila ada pihak yang mempersoalkan kerelevanan DBP, tanyakan semula kepadanya, mari kita sama-sama pejamkan mata dan cuba bayangkan Malaysia tanpa DBP? Tanpa bangunan DBP, tanpa buku-buku teks terbitan DBP, tanpa karya-karya sastera dan bahasa terbitan DBP, tanpa tokoh-tokoh bahasa dan sastera yang dilahirkan oleh DBP, tanpa segala aktiviti kebudayaan, kesenian dan sastera anjuran DBP, tanpa dokumen-dokumen sejarah yang tersimpan rapi di DBP, semuanya tiada, cubalah kita bayangkan bersama dalam kota minda kita untuk beberapa saat bahawa Malaysia tanpa DBP dan tanpa semua yang saya sebutkan di atas itu.


Sudah pasti kita semua akan terharu dan berasa bahawa DBP sangat banyak jasa dan pengorbanannya selama ini. Kita akan berasa sedih dan kehilangan khazanah negara yang tidak ternilai harganya. Semua ini akan menjawab persoalan sama ada DBP masih relevan atau pun tidak. Namun demikian, yang memungkinkan DBP menjadi tidak relevan ialah apabila kita sendiri sebagai pekerjanya melakukan tindakan-tindakan yang tidak relevan dengan fungsi dan matlamat penubuhan DBP itu sendiri, yakni kita tidak memelihara amanah dan janji yang telah kita ikrarkan selama ini untuk DBP, dan apabila kita tidak memenuhi tanggungjawab dalam memelihara amanah dan janji kita untuk DBP, maka, sudah tentu masyarakat akan berkata “Sesungguhnya DBP tidak lagi relevan pada masa kini”.


Justeru itu, saya menyeru kepada diri saya, tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita bersama-sama bermuhasabah, melihat dan merenung di manakah kedudukan kita ketika ini, apakah kita sudah menjalankan amanah dan tanggungjawab di DBP sebagai pekerjanya untuk kita jadikan bekalan bertemu Tuhan Rabbul a’lamin di padang mahsyar nanti. Saya ucapkan terima kasih kerana tuan-tuan dan puan-puan sudi mendengar tazkirah pendek ini, saya akhiri dengan ucapan Jazakumullah hukhairan kathasiran wa syukran jazilan.

Comments

Cheguman said…
Jika pasukan bomba berjaya mendidik rakyat mengelakkan kebakaran sehingga tidak berlaku sebarang kebakaran di negara kita selama 99 tahun, maka orang ramai akan beranggapan bahawa penubuhan pasukan bomba hanyalah satu pembaziran wang rakyat.
azlishukri said…
betul tu cikgu man..

Pilihan Pembaca

Terima Kasih Para Perwakilan

Terima Kasih Para Perwakilan Akhirnya, kebenaran sudah mati - dan kehancuran UMNO berada di hadapan kita semua. Tahniah Khairy, dan Tahniah semua perwakilan. Semoga kesilapan ini akan menyedarkan kita semua. Sesungguhnya memang benar - kita masih belum mahu insaf dan bertaubat, kita masih mahu berkiblatkan wang dan kepentingan diri. Selamat maju jaya kepada Pemuda UMNO Malaysia. Akhirnya, kita dapat jua seorang Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang sudah pun didapati bersalah terlibat dalam politik wang. Apa-apa pun sebagai ahli Pemuda saya akur dengan keputusan tersebut, namun demikian saya tetap berasa malu mendapat seorang Ketua Pemuda yang jelas terlibat dengan politik wang, setelah Lembaga Disiplin UMNO membuktikannya sebelum ini. Malu melihat cara dan gaya para penyokong Khairy yang seolah-olah begitu bongkak dan bangga dengan kemenangan yang penuh diselubungi dengan rasa curiga dan sangsi. Semoga kebenaran akan terselah jua akhirnya. Wallahualam.

Sultan Azlan : Tanda Harga Tanggungjawab

Sultan Azlan Tanda Harga Tanggungjawab Nampaknya, hampir semua orang keliru dan dikelirukan berhubung dengan mengapa kerajaan dan Sultan Perak tidak mahu mengadakan pilihanraya semula di negeri tersebut. Banyak hujah dan penerangan di alam maya gagal disampaikan kepada rakyat berkenaan hal tersebut secara tepat dan jujur. Sebaliknya, banyak pihak yang terus termakan dengan omong kosong Anwar Ibrahim melalui slogan "Mahkamah Rakyat", "Kuasa Rakyat" dan sebagainya. Semua lapisan rakyat ditipu oleh Anwar Ibrahim. Malah, semua orang tidak tahu hakikat sebenar mengapa Sultan Perak tidak mahu menerima usul bagi membubarkan DUN Perak sebelum ini. Mari kita sama-sama bertanya kepada diri kita terlebih dahulu, sebelum kita pergi lebih jauh dalam isu ini. Andaikan jika pilihanraya diadakan semula di negeri Perak, parti manakah yang akan menang? Saya fikir semua orang akan tahu jawapannya, baik orang UMNO mahupun orang PAS. Jawapannya mudah, yang menang nanti ialah - PAS, PKR ...

Azli Shukri Bukan Milik Kita Lagi...

Azli Shukri Bukan Milik Kita Lagi Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakan blogger dan pembaca setia blog ini yang sudi meluangkan masa dan tenaga bagi memeriahkan lagi majlis perkahwinan saya pada 31 Oktober yang lalu. Semoga Allah membalas jasa baik tuan semua. Doakan juga, agar saya dan isteri akan terus bahagia sehingga ke anak cucu. Dikesempatan ini juga, saya menyusun sepuluh jari, mewakili keluarga saya, memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat sebarang kecacatan sewaktu tuan-tuan menghadiri majlis tersebut, khususnya kepada mereka yang terpaksa berbaris panjang untuk mengambil makanan. Sesungguhnya hal tersebut bukanlah disengaja - ia berlaku diluar jangkaan, kerana para jemputan hadir terlalu ramai pada masa yang sama. Saya berharap agar tuan-tuan berpuas hati dengan layanan dan masakan yang telah kami sediakan. InsyaAllah blog ini akan kembali aktif dalam masa dua atau tiga hari lagi. Sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih kerana sudi hadir ke majlis say...