Skip to main content

Kita sering mendengar dan terbaca di dinding-dinding masjid berkenaan khutbah terakhir nabi Muhammad SAW sewaktu baginda mengerjakan Haji Wida' (Haji Perpisahan) Namun demikian, kita tidak pernah tahu apakah pesan Nabi ketika mula-mula solat Jumaat didirikan. Jarang sekali kita ambil tahu akan pengajaran yang terkandung di dalamnya. Lantaran itu, marilah kita menyambut Ramadhan kali ini dengan menghayati khutbah pertama yang pernah disampaikan oleh nabi junjungan kita ini. Salam Kemerdekaan, Salam Ramadhan dan Salam Persahabatan kepada semua blogger yang saya kenal atau pun tidak saya kenal.


Khutbah Pertama Nabi
Sarat dengan Pengajaran

Oleh Muhammad Azli Shukri

(Artikel saya ini sudah diterbitkan di dalam Utusan Malaysia pada 10/10/2003)



Para ulama dan ahli tarikh (sejarah) telah bersepakat bahawa solat Jumaat telah diwajibkan sejak Nabi s.a.w. masih berada di Mekah lagi, iaitu sebelum baginda berhijrah ke Madinah. Namun demikian, kerana keadaan di Mekah yang masih belum selamat untuk orang-orang Islam, maka solat Jumaat tersebut tidak dapat dilaksanakan oleh Rasulullah pada saat itu.



Walau bagaimanapun solat Jumaat ini tetap dilaksanakan oleh orang-orang Islam di Madinah. Atas perintah Rasulullah melalui surat baginda kepada Mush`ab bin Amir, dan bertempat di Hazmin Nabiit di kampung Bani Bayadlah dalam kawasan Naqi`ul Khadlamat, dijalankanlah perintah Rasulullah itu dengan Mush`ab sendiri sebagai khatib dan imamnya. Inilah solat Jumaat pertama di dalam Islam.



Adapun solat Jumaat pertama yang dilakukan oleh Rasulullah bersama para sahabatnya dari Mekah ialah bertempat di lembah Ranuna, di kampung Bani Salim bin `Auf, yakni suatu tempat antara Quba dengan Madinah. Peristiwa itu terjadi ketika baginda melakukan hijrahnya pada 23 September 622 Masihi. Jumlah jemaah Jumaat pada saat itu tidak dicatatkan, tetapi menurut sejarah ketika Rasulullah meninggalkan Quba setelah empat hari berehat, baginda diikuti oleh 100 orang kaum Muslimin.



Oleh kerana solat Jumaat yang dipimpin oleh Rasulullah dalam perjalanan hijrah itu merupakan yang pertama bagi baginda, maka sudah pastilah khutbahnya juga merupakan khutbah Jumaat yang pertama daripadanya. Justeru itu, pastilah banyak pengajaran yang dapat diambil dan dikutip oleh kaum Muslimin daripada khutbah Jumaat tersebut.



Di dalam khutbah pertama Rasulullah tersebut, diceritakan bahawa pada mulanya baginda mengucapkan Alhamdulillah (kesyukuran) dan puji-pujian bagi Allah. Kemudian selanjutnya baginda memulakan khutbah pertamanya (awal) seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn Katsir dan At-Thobari yang berbunyi, “Wahai sekalian manusia ! Dahulukanlah kepentingan dirimu dengan beramal untuk bekalan di akhirat nanti. Hendaklah kamu sekalian mengetahui demi Allah, akan dibinasakan salah seorang di antara kamu, lalu ia meninggalkan kambing ternak tanpa penggembala. Kemudian Tuhan akan mengatakan langsung kepadanya tanpa penterjemah dan tanpa pengawal yang menghalangi seseorang menghadap Allah.



Allah berfirman : “Bukankah telah datang utusan-Ku yang menyampaikan berita kepadamu, dan Aku telah memberikan harta untukmu dan Aku telah memberikan keutamaan bagimu, maka apakah yang telah engkau amalkan buat dirimu?'' Orang itu melihat ke kanan dan ke kiri, lalu ia tidak melihat sesuatu apa pun (yang boleh menolongnya). Kemudian ia melihat ke hadapan, dan tidak melihat sesuatu pun melainkan Neraka Jahanam. Maka sesiapa yang sanggup menyelamatkan dirinya daripada jilatan api neraka walaupun hanya dengan sedekah sebiji kurma, lakukanlah. Dan sesiapa yang tidak mendapatkannya, hendaklah dengan berkata-kata yang baik, kerana sesungguhnya ia akan dibalas 10 kali kebaikan bahkan sampai 700 kali ganda. Wassalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.”



Setelah itu, Rasulullah meneruskan khutbahnya lagi (maksud di sini ialah khutbah Tsani iaitu khutbah yang kedua setelah duduk seketika). Seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn Ishaq (seorang ulama ahli sejarah) yang berbunyi, “Sesungguhnya segala puji bagi Allah. Saya memuji-Nya dan mohon pertolongan-Nya. Kami memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan diri kami dan daripada keburukan perbuatan kami. Maka sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah nescaya tidak akan menjadi sesat dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada sesiapapun yang dapat memberi petunjuk kepadanya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Sesungguhnya ucapan yang paling baik adalah kitab Allah (al-Quran), sungguh pasti berbahagialah orang yang menjadikan al-Quran sebagai hiasan di hatinya, juga yang telah memasuki agama Islam setelah dahulunya kafir, yang telah memilihnya atas selainnya iaitu daripada kata-kata manusia. Dan sesungguhnya al-Quran itu adalah sebaik-baik perkataan, yang paling tinggi nilai sasteranya. Cintailah orang-orang yang mencintai Allah dan cintailah Allah dengan segenap perasaan di hatimu, dan janganlah kamu bosan terhadap firman Allah serta berzikir dengannya, agar hatimu tidak menjadi keras. Maka sesungguhnya setiap makhluk yang diciptakan Allah merupakan pilihan-Nya dan yang demikian dinamakan pekerjaan yang baik atau hamba-hamba yang baik dan kata-kata yang baik, termasuk dalam hal ini apa yang ditetapkan pada manusia daripada hukum yang halal atau haram. Maka sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan-Nya dengan sesuatu, bertakwalah (taatlah) kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Bersikap jujurlah kepada Allah dengan melakukan kebaikan terhadap apa-apa yang kamu ucapkan dengan mulutmu. Dan berkasih sayanglah kamu dengan sesamamu kerana Allah. Sesungguhnya Allah murka terhadap seseorang yang mengingkari janjinya. Wassalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.''



Setelah diteliti teks khutbah Jumaat pertama Rasulullah ini, maka penulis ingin menyimpulkan beberapa peringatan berharga yang terdapat di dalam khutbah tersebut untuk kita kaum Muslimin mengambil iktibar serta pedoman daripadanya. Di antaranya ialah :



1. Melakukan banyak amal soleh seperti mana yang dituntut oleh syarak, contohnya banyak melakukan zikir (bersolat, membaca al-Quran dan berwirid), bersedekah, berpuasa, menyambung hubungan silaturahim dan sebagainya. Janji Allah dalam surah al-Maidah ayat 5 yang bermaksud, “Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.”



2. Muhasabah diri sendiri dengan memikirkan berapa banyak amal yang dilaksanakan dan berapa banyak dosa yang telah dilakukan, seperti mana firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 49 yang berbunyi, “Dan diletakkan kitab (buku amalan), lalu kamu melihat orang-orang yang berdosa itu merasa ketakutan kepada apa-apa yang ada di dalamnya dan mereka mengeluh mengucapkan, `aduhai,malangnya kami! Kitab apakah ini tidak ditinggalkannya perkara yang kecil dan besar, melainkan dihitungkannya semua? Mereka mendapati apa yang telah dikerjakannya semua bertemu. Tuhan engkau tidak merugikan sesiapa pun.”



3. Mengucap dan berkata-kata dengan perkataan yang baik-baik, seperti mana peringatan daripada sabda Rasulullah yang bermaksud, “Sesungguhnya seseorang apabila mengucap suatu kalimat (perkataan) yang diperkirakan (diangkakan) tidak berakibat sesuatu, tetapi sesungguhnya (perkataan itulah) akan mengakibatkan dia terjerumus ke dalam api neraka sampai 70 tahun.” (Riwayat at-Tirmizi). Dan firman Allah bermaksud, “Allah tidak mencintai berterus terang dengan perkataan yang buruk, kecuali daripada orang-orang yang teraniaya. Allah itu Mendengar dan Mengetahui.”(An-Nisa : 148).



4. Mengharapkan pertolongan, keampunan, perlindungan dan petunjuk daripada Allah SWT seperti mana doa yang sering kita ucapkan, “Wahai Tuhan kami, ampunilah aku dan ibu bapaku dan orang-orang yang beriman pada hari terjadi perhitungan.” (Al-Baqarah : 221).



5. Mencintai Allah serta orang-orang yang mencintai Allah, contohnya mencintai Rasulullah, para sahabat baginda serta wali-wali-Nya, seperti mana sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud, “Rasulullah bersabda daripada firman Allah yang Maha Mulia, “Orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku, akan berada di bawah naungan Arasy-Ku pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan Allah.” Dan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 165 yang bermaksud, “Orang-orang yang beriman itu sangat cinta kepada Allah.”



6. Jangan menyekutukan Allah, seperti mana firman Allah dalam surah al-Isra ayat 111 yang bermaksud, “Dan katakanlah, segala puji untuk Allah yang tidak mempunyai anak dan Dia tidak mempunyai sekutu dalam kekuasaan dan tidak mempunyai pelindung (untuk menjaga-Nya) daripada kehinaan dan besarkanlah Dia dengan sepenuhnya.”



7. Berkasih sayang sesama orang-orang yang beriman, seperti mana firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara.” Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Salah seorang di antara kamu tidak dikatakan beriman sempurna sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Muslim). Dan sabda baginda lagi dalam sebuah hadis lain yang bermaksud, “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam membina kasih sayang dan cinta kasih serta saling menaruh rasa simpati adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggotanya ada yang sakit, maka seluruh anggota tubuh akan merasakannya, seperti demam atau tidak dapat tidur.”(Riwayat Muslim).



Inilah beberapa pengajaran serta peringatan yang dapat diambil daripada khutbah Jumaat pertama Rasulullah tersebut. Semoga kita semua mengambil iktibar daripadanya. Insya-Allah.

Comments

hanis said…
salam ramadhan & salam kemerdekaan
azlishukri said…
hanis-salam ramadhan dan kemerdekaan.

dabielle-salam ramadahan dan kemerdekaan.
S.YanaZ said…
AZLI,
Kita benar2 belum 'merdeka' selagi belum diperhitung segala amalan di hadapan Allah SWT.

PUASA itu pengorbanan mencari keredaan Allah SWT. Selamat menghayati Ramadan yg mulia.

*Teruskan menulis...:]*
azlishukri said…
shariah- betul tu..aku makin insaf...
zeme said…
Salam saudara Azli,

Salam Kemerdekaan, memperjuangkan idealisasi minda kita hapuskan kelekaan..

Salam Ramadhan, menunaikan ibadah puasa kita leburkan kekhilafan..

Wasalam.
azlishukri said…
zeme - sama2 moga persaudaraan kita semakin kukuh.

Pilihan Pembaca

Hayat Ronnie Liu Semakin Berakhir...

Hayat Politik Ronnie Liu Semakin Berakhir Nama Ronnie Liu tidak asing lagi di negara ini. Salah seorang pemimpin DAP yang sangat kontroversi - namanya dikaitkan dengan kumpulan gengster, menghalang penguatkuasaan daripada merampas penjualan arak di kawasan penduduk Islam, dan terbaru terlibat dengan skandal penyalahgunaan "kepala surat" yang dikatakan bertujuan untuk mendapatkan tender tertentu. Rupa-rupanya Ronnie tidak hanya mempunyai ramai musuh di luar sana, sebaliknya kedudukan beliau sendiri di dalam DAP masih tidak terjamin. Isu penyelewengan "kepala surat" telah digunakan oleh musuh-musuhnya untuk menjatuhkan Ronnie daripada tampuk pentadbiran kerajaan Selangor. Selain didesak untuk meletakkan jawatan sebagai exco, saya percaya kedudukan beliau sebagai ADUN Pandamaran juga akan terjejas. Mungkin, silap haribulan beliau tidak akan dicalonkan semula di kawasan tersebut dalam PRU yang akan datang. Sama-sama kita tunggu plot kejatuhan si Ronnie i

6 Asas Penting Mengapa Perhimpunan Bersih Haram Di Sisi Islam

Demonstrasi, sering dilihat dari kaca mata perundangan dan ekonomi, jarang kita melihatnya dari aspek agama. Maksud saya, isu ini acapkali disisihkan daripada kaca mata Islam, bahkan tidak kedengaran langsung dalam kalangan ulama tempatan membicarakannya, seolah-olah mereka turut redho atas segala tindak tanduk penyokong-penyokong PKR yang menganjurkan demonstrasi besar-besaran selama ini bagi menjatuhkan kerajaan. Mengapa para ulama membisu? Mengapa mereka tidak bercakap perkara yang hak? Dan mengapa mereka menyembunyikan ilmu dan hukum? Jika berkenaan Karnival Sure Heboh atau konsert artis, para ulama pantas memberikan hukum, tetapi dalam isu demonstrasi dan tunjuk perasaan yang sering dianjurkan oleh parti pembangkang, tiada ulama pun yang menegur. Apakah mereka takut dituduh sebagai penyokong kerajaan? Atau mereka tidak mahu bercakap benar? Aneh, dan kadangkala menjadi misteri dalam kalangan ulama tempatan, baik yang berfahaman salaf mahup

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil