Skip to main content

Rahsia Perang Jamal Yang Wajib Kita Tahu


Pendirian Aisyah Dan Para Sahabat
Di Sebalik Perang Jamal


Oleh Hafiz Firdaus Abdullah

Sekalipun aliran Syi‘ah telah diharamkan di Malaysia, sebahagian daripada ajaran mereka masih tersebar luas. Di antaranya ialah berkenaan sejarah para sahabat, dimana banyak buku-buku tempatan yang memuatkan kisah tersebut berdasarkan versi Syi‘ah. Sejarah versi Syi‘ah mudah dikenali, ia bersifat pro kepada Ali bin Abi Thalib serta ahli keluarganya dan bersifat kontra kepada para sahabat yang lain.


Kisah-kisah sejarah versi Syi‘ah telah mendapat tempat yang kukuh dalam pemikiran umat Islam tanah air sejak di bangku sekolah sehingga dianggap ia adalah fakta yang benar. Hal ini menyebabkan beberapa kisah sejarah versi Syi‘ah telah turut menyelinap masuk ke dalam Majalah i edisi Jun 2005, dalam ruangan Srikandi (mukasurat 56-58) di atas judul Zainab bin Ali Saksi Peristiwa Karbala.


Kisah-kisah sejarah ini perlu diteliti semula agar para pembaca sekalian tidak terkesan dengan fitnah Syi‘ah ke atas para sahabat radhiallahu 'anhum. Oleh itu saya, dengan segala kekurangan dan rendah diri, menyusun artikel ini sebagai satu penelitian ke atas beberapa kenyataan yang terkandungan dalam artikel Zainab bin Ali Saksi Peristiwa Karbala. Sebagai permulaan, penelitian ditujukan kepada peristiwa Perang Jamal sahaja.


Sebelum memulakan penelitian ini, saya terlebih dahulu ingin mengucapkan syabas kepada pihak editorial Majalah i yang dengan segala keterbukaan telah sudi menerima dan menyiarkan artikel ini. Ia tidak lain menunjukkan kesungguhan mereka dalam menyampaikan ilmu yang terbaik kepada para pembaca sekalian. Selain itu, saya juga ingin mengajak para pembaca sekalian untuk berusaha mengenali para sahabat dan mengkaji sejarah mereka berdasarkan versi al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, bukan berdasarkan versi buku-buku teks sejarah dan sebagainya.


Saya sendiri, alhamdulillah, telah mengusahakan buku yang khas dalam bab ini, berjudul Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Berkenaan Keutamaan Dan Sejarah Para Sahabat terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2005. Aisyah memberontak kepada Ali?


Dalam artikel Zainab bin Ali Saksi Peristiwa Karbala, dinyatakan bahawa:

“……Dia (Zainab) telah menyaksikan peristiwa pemberontakan Jamal yang diketuai oleh Siti Aisyah binti Abu Bakar menentang ayahnya (Ali bin Abi Thalib), yang mengorbankan sehingga sepuluh ribu orang Islam, termasuk para sahabat……”

Kenyataan di atas adalah versi Syi‘ah yang masyhur tentang Perang Jamal. Kenyataan ini memerlukan penelitian semula: Benarkah Perang Jamal adalah satu gerakan pemberontakan ke atas Ali yang diketuai oleh Aisyah? Perang Jamal bermula apabila Aisyah, Thalhah dan al-Zubair radhiallahu 'anhum serta orang-orang yang bersama mereka pergi ke Basrah selepas pengangkatan Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh menjadi khalifah umat Islam.


Semua ini berlaku selepas pembunuhan Amirul Mukminin Usman bin Affan radhiallahu 'anh. Melihatkan pemergian Aisyah dan pasukannya, Amirul Mukminin Ali turut pergi ke Basrah bersama pasukannya. Apabila menghampiri Basrah, kedua-dua pasukan ini telah bertembung dan dengan itu berlakulah satu peperangan yang dinamakan Perang Jamal. Ia dinamakan sedemikian kerana Aisyah berada di atas unta (Jamal) ketika peperangan tersebut. Dalam peristiwa ini, timbul dua persoalan.


Yang pertama, kenapakah Aisyah dan pasukannya bergerak ke Basrah? Al-Qadhi Ibn al-Arabi rahimahullah (543H) menerangkan bahawa orang ramai mengemukakan beberapa pendapat. Ada yang berkata mereka keluar kerana ingin melucutkan Ali daripada jawatan khalifah. Ada yang berkata mereka benci kepada Ali. Ada yang berkata mereka ingin mencari para pembunuh Usman. Ada yang berkata mereka keluar untuk menyatu-padukan semula umat Islam. Di antara semua pendapat ini, yang benar adalah yang terakhir.


Al-Qadhi Ibn al-Arabi menegaskan: “Mungkin mereka keluar demi keseluruhan umat Islam, mengumpulkan dan menyatu-padukan mereka kepada undang-undang yang satu (Islam) agar tidak berlaku kebingungan yang akan mengakibatkan peperangan. Dan inilah pendapat yang benar, tidak yang lainnya.” [al-‘Awashim min al-Qawashim fi Tahqiq Mawaqif al-Shahabah ba’da Wafati al-Nabi (diteliti oleh Muhib al-Din al-Khatib; Dar al-Jil, Beirut, 1994), ms. 155]


Sebelum itu hal yang sama ditegaskan oleh al-Imam Ibn Hazm rahimahullah (456H): “Dan adapun (pemergian) Ummul Mukminin (Aisyah), al-Zubair dan Thalhah radhiallahu 'anhum berserta orang-orang yang bersama mereka (ke Basrah), tidaklah mereka sedikit jua bertujuan membatalkan kekhalifahan Ali, mereka tidak mencabar jawatan tersebut, mereka tidak menyebut apa-apa kecacatan yang merendahkan beliau daripada jawatan tersebut, mereka tidak bertujuan mengangkat khalifah baru yang lain dan mereka tidak memperbaharui bai‘ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat diingkari oleh sesiapa jua dengan apa cara jua.


Kebenaran yang sebenar yang tidak memiliki apa-apa permasalahan padanya adalah mereka tidak pergi ke Basrah untuk memerangi Ali atau menentangnya atau mencabut bai‘ah daripadanya ……yang benar mereka berangkat ke Basrah tidak lain untuk menutup (daripada berlakunya) perpecahan yang baru dalam Islam disebabkan peristiwa pembunuhan yang zalim ke atas Amirul Mukminin Usman radhiallahu 'anh.” [al-Fishal fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal (diteliti oleh Ahmad Syams al-Din; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 3, ms. 83]


Berdasarkan penerangan di atas, jelas kepada kita bahawa dalam pemergiannya ke Basrah, Aisyah radhiallahu 'anha tidak memiliki tujuan berperang atau memberontak terhadap Ali radhiallahu 'anh. Ini membawa kita ke persoalan kedua, jika demikian kenapakah kedua-dua pasukan ini bertembung dan berperang?


Kenapakah berlakunya Perang Jamal? Al-Imam Ibn Hazm melanjutkan, pasukan Ali turut ke Basrah bukan untuk memerangi pasukan Aisyah tetapi untuk bersatu dengan mereka, menguatkan mereka dan menyatukan umat Islam dalam menghadapi peristiwa pembunuhan Usman. [al-Fishal, jld. 3, ms. 83] Akan tetapi pada waktu yang sama wujud juga orang-orang yang sebelum itu terlibat dalam pembunuhan Usman. Mereka menyamar diri dengan berselindung di kalangan umat Islam.


Apabila melihat Aisyah dan pasukannya pergi ke Basrah, mereka menyalakan api fitnah kononnya pemergian tersebut adalah kerana perpecahan daripada kekhalifahan Ali. Namun apabila para pembunuh Usman mendapat tahu bahawa pasukan Aisyah dan Ali telah bersatu, mereka menjadi bimbang lagi cemas. Ini kerana selagi mana umat Islam berpecah, selagi itulah para pembunuh Usman terselamat daripada apa-apa tindakan. Sebaliknya jika umat Islam bersatu, pasti kesatuan tersebut akan memudahkan tindakan diambil ke atas para pembunuh Usman. Maka para pembunuh Usman merancang untuk melagakan kedua-dua pasukan tersebut.


Pada awal pagi ketika hari masih gelap, mereka menyerang pasukan Aisyah. Dalam suasana terperanjat daripada tidur yang lena, pasukan Aisyah menyangka bahawa pasukan Ali telah berlaku khianat dan menyerang mereka. Sebagai tindakan mempertahankan diri sendiri (self defense), mereka menyerang balas ke atas pasukan Ali. Pasukan Ali pula menyangka pasukan Aisyah telah berlaku khianat dan menyerang mereka. Dengan itu mereka menyerang balas, juga sebagai tindakan mempertahankan diri sendiri.


Tanpa disangka-sangka, bermulalah Perang Jamal sekali pun kedua-dua pihak pada asalnya tidak memiliki apa-apa tujuan berperang. Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (774H) memperincikan detik-detik yang mengakibatkan bermulanya Perang Jamal:


“Orang-orangpun merasa tenang lagi lega …… pada waktu malamnya kedua-dua pihak bermalam dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Akan tetapi para pembunuh Usman melalui malam tersebut dalam keadaan yang seburuk-buruknya. Mereka berbincang dan bersepakat untuk mengobarkan peperangan pada awal pagi esoknya. Mereka bangun sebelum terbit fajar, jumlah mereka menghampiri seribu orang. Masing-masing kelompok bergabung dengan pasukannya lalu menyerang mereka (pasukan Aisyah) dengan pedang.


Setiap golongan bergegas menuju kaumnya untuk melindungi mereka. Orang-orang (pasukan Aisyah) bangun dari tidur dan terus mengangkat senjata. Mereka berkata: “Penduduk Kufah (pasukan Ali) menyerbu kita pada malam hari, mereka mengkhianati kita!” Mereka (pasukan Aisyah) mengira bahawa para penyerang itu berasal dari pasukan Ali. Suasana hura hara tersebut sampai ke pengetahuan Ali, lalu beliau bertanya: “Apa yang terjadi kepada orang ramai?” Mereka menjawab: “Penduduk Basrah (pasukan Aisyah) menyerang kita!” Maka kedua-dua pihak mengangkat senjata masing-masing, mengenakan baju perang dan menaiki kuda masing-masing. Tidak ada seorang jua yang menyedari apa yang sebenarnya terjadi.” [al-Bidayah wa al-Nihayah (diteliti oleh Ahmad ‘Abd al-Wahhab; Dar al-Hadith, Kaherah, 1997), jld. 7, ms. 227]


Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) meringkaskan detik-detik ini dalam satu perenggan: “Mereka (para pembunuh Usman) menyerang khemah Thalhah dan al-Zubair. Lalu Thalhah dan al-Zubair menyangka bahawa Ali telah menyerang mereka, maka mereka menyerang kembali untuk mempertahankan diri (self defense). Seterusnya Ali pula menyangka bahawa mereka (Thalhah dan al-Zubair) menyerangnya, maka Ali menyerang kembali untuk mempertahankan diri. Maka berlakulah fitnah (peperangan) tanpa ia menjadi pilihan mereka (kedua-dua pihak). Manakala Aisyah radhiallahu 'anha hanya berada di atas pelana untanya, beliau tidak menyerang dan tidak memerintahkan serangan. Demikianlah yang diterangkan oleh tidak seorang daripada para ilmuan dalam bidang sejarah (Ahl al-Ma’rifat bi al-Akhbar).” [Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi‘ah wa al-Qadariyyah (diteliti oleh M. Rasyad Salim; Muassasah Qurtubiyyah, 1986), jld. 4, ms. 317]


Demikianlah penjelasan para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berkenaan Perang Jamal. Kembali kepada persoalan asal pada permulaan artikel ini: Benarkah Perang Jamal adalah satu gerakan pemberontakan ke atas Ali yang diketuai oleh Aisyah?


Penjelasan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menjadi jawapan kepada persoalan asas ini, sekali gus sebagai penutup kepada artikel ini: “Sesungguhnya Aisyah tidak diperangi dan tidak pergi untuk berperang. Sesungguhnya beliau pergi hanya untuk kebaikan umat Islam. Beliau menjangkakan pada pemergiannya terdapat kemaslahatan kepada umat Islam. Kemudian sesudah itu jelas baginya bahawa meninggalkan pemergian tersebut adalah lebih tepat. Maka setelah itu apabila sahaja beliau mengingat kembali pemergiannya itu, beliau menangis sehingga membasahi kain tudungnya.” [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 316]

Comments

Anonymous said…
org pas takkan faham cerita ni bro. mereka tak akan ambil sebagai pengajaran. yg mereka tau cuma undi undi undi ....
Anonymous said…
bro bro bro... org umno memang bangang bab ni... depa sama je dgn golongan munafik yg melaga2 Aisyah r.anha dgn Ali r.anhu... jgn keris x brsarung trtikam sesama sndiri dh le...
Anonymous said…
salam, aku perhatikan orang politik sama ada pas atau umno ni lebih kurang sama aje, saling maki memaki, saling tuduh menuduh tidak mahu bersatu sesama islam dibawah kalimah tauhid. Kalau umat ini tidak bersatu sampai bila pun bantuan Allah tidak akan turun untuk umat islam. percayalah...
Anonymous said…
aku lagi tak paham pasal org umno ngan pas ni... hang pa dua dok bertinju bagai nak rak... tapi yg sentiasa dapat untung mca,mic dan dap... nak tau knp? kau orang tgk le belanjawan negara tiap2 tahun tahun bertambah utk puak2 ni... org melayu apa dapat??? dapat kuah je... isi ngan tulang semua puak ni dah sebat... lagi kuat kau org bertinju, lagi byk puak2 ni dapat untung... aku org luar, malas nak campur urusan korang... korang nak buat apa, nak jadi apa, aku peduli apa... korang ni baca je ttg orang org kafir tapi tetap jugak tak paham2 ttg sifat diorang yg tak leh dibuat kawan tu dan suka khianat ngan kawan... tak caya... tengok keliling beb...
Nizar_Ryza said…
pas dgn umno sama2 mangkuk hayun, dengan cara yang tersendiri masing2nya. tu je kesimpulan aku buat masa ni

Pilihan Pembaca

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil

Lagi Kisah Siti Nurhaliza : Mana Perginya Produk CTea?

Lagi Kisah Siti Nurhaliza Mana Perginya Produk CTea? Oleh Satu Hala (Malaysia Instinct) Inilah antara benda-benda yang buat sakit hati dengan orang kaya Melayu ni. Datuk K sanggup perabis RM66,550 untuk beli nombor plate KCT 1 untuk isteri tercinta, Datuk Siti Nurhaliza. Kononnya cintan maut habislah tu kan. Tak tahulah kot-kot Rozita Che Wan yang dulu orang kata dapat Mercedes dari Datuk K (lepas dah kahwin dengan Siti) pun akan dapat nombor plate yang sama. Gasaklah hal Rozita Che Wan tu. Yang penulis tertarik nak tulis ialah sikap orang macam Datuk K dan Siti Nurhaliza. Parasit adalah perkataan paling tepat. Tahu tak Siti Nurhaliza adalah pemohon pinjaman Tekun untuk bisnes barang solek Simply Siti. Kalau tak percaya, pergilah cek dengan Tekun. Pasti nama Siti akan terpacul. Sakit hati betul penulis dengan orang-orang macam ini. Dah tahu duit banyak, gunalah duit sendiri untuk berniaga, tak pun pinjamlah bank. Gi pinjam dengan Tekun tu buat apa? Mentanglah bayar

Isu Istana Kelantan : 5 Sebab Mengapa Kita Harus Bersyukur

5 Sebab Mengapa Kita Harus Bersyukur Pertamanya, saya mengucapkan kesyukuran kepada Allah, kerana akhirnya kebenaran tertegak juga di Istana Kelantan pada hari ini (baca di sini) . Berkat doa rakyat Kelantan yang mahu melihat institusi raja negeri tersebut berada di landasan yang sebenar, semakin jelas kelihatan. Saya, menyokong sepenuhnya pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baharu. Daulat Tuanku! Sudah terlalu lama polemik dan konflik mewarnai istana Kelantan - sehingga kebenaran hampir sahaja tertutup dan terkunci rapat, tetapi kini. Cahaya kebenaran sudah semakin menyinar, tatkala seorang raja berjiwa rakyat dimasyhurkan secara rasmi, mengikut lunas undang-undang tubuh kerajaan negeri Kelantan, sekali gus membuatkan para penentang Tengku Faris semakin panas punggung. Terdapat lima kebaikan atas pemasyuran Tengku Faris sebagai sultan Kelantan yang baharu, iaitu : 1. Kebenaran pasti akan terselah berhubung hakikat sebenar punca "penyakit" yan