Skip to main content

6 Asas Penting Mengapa Perhimpunan Bersih Haram Di Sisi Islam

Demonstrasi, sering dilihat dari kaca mata perundangan dan ekonomi, jarang kita melihatnya dari aspek agama. Maksud saya, isu ini acapkali disisihkan daripada kaca mata Islam, bahkan tidak kedengaran langsung dalam kalangan ulama tempatan membicarakannya, seolah-olah mereka turut redho atas segala tindak tanduk penyokong-penyokong PKR yang menganjurkan demonstrasi besar-besaran selama ini bagi menjatuhkan kerajaan.

Mengapa para ulama membisu? Mengapa mereka tidak bercakap perkara yang hak? Dan mengapa mereka menyembunyikan ilmu dan hukum? Jika berkenaan Karnival Sure Heboh atau konsert artis, para ulama pantas memberikan hukum, tetapi dalam isu demonstrasi dan tunjuk perasaan yang sering dianjurkan oleh parti pembangkang, tiada ulama pun yang menegur. Apakah mereka takut dituduh sebagai penyokong kerajaan? Atau mereka tidak mahu bercakap benar?

Aneh, dan kadangkala menjadi misteri dalam kalangan ulama tempatan, baik yang berfahaman salaf mahupun tidak. Mereka seolah-oleh bersetuju bahawa cara berdemonstrasi itu merupakan cara terbaik menegakkan kebenaran dan keadilan di negara ini. Tidak kurang juga terdapat ulama-ulama kerajaan yang termakan dengan pelbagai alasan yang dikemukakan oleh para ulama parti pembangkang, kononnya demonstrasi yang sering diadakan itu adalah bertujuan menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.

Maka, mereka pun menghimpunkan ribuan manusia membanjiri jalan-jalan raya sambil berarak memprotes kerajaan yang mereka dakwa terlalu zalim itu. Manakala, para peguam dan pengamal undang-undang yang jahil pula – mengangkat bendera sokongan, kononnya semua itu adalah sah di sisi undang-undang dan kerajaan tidak sepatutnya menghalang mereka untuk berdemonstrasi.

Begitulah syaitan menyesatkan kita semua. Dan kini, saya tidak bisa lagi menyembunyikan ilmu yang telah saya ketahui, setelah mengkaji dan melakukan penyelidikan. Kebenaran tetap kebenaran, kerana sifat kebenaran itu sememangnya pahit untuk ditelan.
Mengapa ini semua terjadi? tak lain dan tak bukan ia disebabkan kegagalan kita menguasai disiplin ilmu lain yang tidak kita pelajari di universiti.

Lantaran itu, saya mencari jawapan berkenaan persoalan yang sering berlegar dalam kotak minda saya,selama ini, iaitu bagaimanakah Islam memandang demonstrasi? Dan apakah pula hukumnya jika kita sama-sama menyertai dan menghalalkannya? Hal ini terfikir oleh saya setelah melihat para ulama berdiam diri seribu bahasa dalam soal tersebut.

Rakyat jadi keliru, apakah ini budaya yang disarankan oleh Islam dalam mengamalkan amar makruf nahi mungkar? Apakah berdemonstrasi itu juga merupakan sebahagian daripada menegakkan kebenaran dan keadilan dalam Islam? Akhirnya saya mendapat jawapan. Dan kebenaran ini, akan saya gigit dengan kemas-kemas sebagai hujah dan dalil yang terang dan jelas. Moga-moga hati kita tidak lagi buta dalam melihat kebenaran.

Demonstrasi pada amnya merujuk kepada konsep tunjuk perasaan, baik ia bersifat aman, mahupun ekstrim. Yang penting, konsep demonstrasi difahami sebagai cara untuk meluahkan rasa ketidakpuashatian di khalayak ramai dengan mengadakan perarakan serta rapat umum yang melibatkan orang ramai.

Pada dasarnya, demonstrasi bukanlah kaedah yang dianjurkan oleh Islam untuk menyampaikan dakwah serta menganjurkan amar ma’ruf nahi mungkar dalam kalangan masyarakat. Hal ini adalah kerana, demonstrasi mempunyai unsur-unsur yang boleh membawa pelakunya bermaksiat kepada Allah. Apatah lagi jika demonstrasi itu dilakukan dengan tujuan membuka aib golongan tertentu, serta menjatuhkan kepimpinan masyarakat Islam. Maka, hal ini amat jelas dosanya. Antara kemungkaran yang dibawa oleh demonstrasi adalah :

1. Demonstrasi amat jelas berbentuk tasyabbuh, yakni perbuatan yang menyerupai perbuatan orang-orang kafir. Sedangkan tasyabbuh amat dilarang oleh Islam. Sabda Rasulullah, “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum itu, maka dia termasuk kaum mereka.” (Riwayat Abu Dawud). Menurut Ibn Taimiyyah, tasysbbuh kepada orang kafir, mempunyai beberapa tingkat hukum. Yang tertinggi adalah haram, dan yang terendah adalah makruh. Sebagai contoh, tasyabbuh kepada pakaian orang-orang kafir yang mendedahkan aurat di khalayak ramai adalah haram. Dalam hal ini, berdemonstrasi adalah mirip golongan kafir. Hanya golongan yang lemah iman dan yang tidak beriman sahaja suka melakukan demonstrasi.

2. Demonstrasi termasuk khuruj, yakni keluar menentang pemerintah, yang jelas ditegah oleh Rasulullah dalam banyak hadis shahih baginda. Seperti, “Barangsiapa yang melihat sesuatu yang tidak disukainya daripada penguasanya, maka hendaklah ia bersabar, kerana barangsiapa yang memisahkan diri daripada jamaah sekadar sejengkal, maka kematiaannya adalah kematiaan jahiliah.” (Riwayat Bukhari).

“Akan ada sesudahku para imam atau kepala negara yang tidak mengikut petunjuk dan tidak menjalankan sunnahku. Dan akan bangun pada mereka (dalam kalangan mereka) laki-laki yang hati mereka adalah hati syaitan dalam tubuh manusia. Bertanya Huzaifah, bagaimanakah saya hendak lakukan jika saya menemuinya, Ya Rasulullah? Baginda bersabda, hendaklah engkau mendengar dan taat, walaupun ia memukul belakangmu dan mengambil hartamu. Dengar dan taatlah.” (Riwayat Muslim).

“Akan ada pemerintah yang kamu mengenali mereka dan kamu mengingkarinya. Maka, barangsiapa yang mengenali, sesungguhnya ia telah bebas dan barangsiapa yang membenci maka ia selamat. Akan tetapi orang yang redho dan mengikutnya? Mereka bertanya, bolehkah kami memerangi mereka? Rasulullah bersabda, Tidak! Selama mereka bersolat.” (Riwayat Muslim).

Hadis-hadis sahih di atas merupakan peringatan Rasulullah agar umat Islam mengelakkan sebarang perkara yang boleh memecahbelahkan kesatuan umat Islam. Demonstrasi sama sekali tidak mendatangkan manfaat kepada masyarakat dan negara, bahkan lebih banyak menimbulkan kerosakan. Demonstrasi di jalan-jalan raya serta di tempat awam, merupakan tatacara meluahkan perasaan yang terpesong jauh daripada roh Islam yang lebih menggalakkan musyawarah serta menanamkan perasaan sabar.

3. Unsur ketiga pula, demonstrasi sering disertai dengan ucapan-ucapan dan ceramah yang menaikkan semangat dalam kalangan para petunjuk perasaan. Di samping itu, para penceramah dan pemidato juga akan membuka aib serta keburukan individu serta pemimpin tertentu yang tidak mereka senangi. Perbuatan sebegini cukup jelas dilarang oleh Islam. “Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang.” (Al-Hujrat 12). “Sesungguhnya orang-orang yang menyukai agar tersebar keburukan dalam kalangan orang-orang beriman, bagi mereka adalah azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”. (An-Nur 19).

4. Selain daripada itu, demonstrasi juga memiliki unsur ikhtilath, yakni bercampur-baur antara lelaki dengan perempuan. Bahkan kadang-kala berhimpit-himpit dan bergesel-geselan. Perbuatan ini sama sekali bercanggah dengan etika sosial Islam. Walaupun kadang-kala terdapat demonstrasi yang memisahkan antara lelaki dengan perempuan, tetap perbuatan menggalakkan wanita keluar dari rumah untuk menyertai demonstrasi tersebut merupakan perbuatan yang membelakangi sunnah. Malah, ia juga boleh menimbulkan fitnah.

5. Unsur kelima, ialah demonstrasi itu sendiri mampu mencetuskan huru-hara, di samping mencetuskan bermacam-macam fitnah yang akhirnya kembali kepada masyarakat Islam itu sendiri. Dan sesungguhnya, inilah unsur yang amat berbahaya kepada agama, masyarakat dan negara. Hal ini bermakna, demonstrasi lebih banyak membawa mafsadat (kerosakan) berbandingan dengan maslahat (kebaikan) terhadap harta benda, perasaan dan jiwa yang sememangnya ditegah oleh Allah di dalam Al-Quran.

6. Unsur keenam, ialah demonstrasi bukanlah cara menyampaikan amar ma’ruf nahi mungkar yang dituntut Islam, kerana demonstrasi lebih menjurus ke arah kekerasan dan lebih condong untuk menunjukkan pengaruh dan kuasa. Sedangkan dalam menyampaikan amar ma’ruf nahi mungkar, sifat halus dan penyabar adalah dituntut.

Firman Allah dalam surah Ali Imran, “Maka disebabkan rahmat daripada Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap kasar lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan dari sekelilingmu.” Dalam hal ini, Ibn Taimiyyah dalam kitabnya, Al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyi ‘Anil Mungkar, mengemukakan dua buah hadis shahih berkenaan keperluan sifat lemah lembut dan halus dalam berdakwah.

Sabda Rasulullah, “Tiadalah sikap halus dalam sesuatu hal, melainkan memperindahkan sesuatu itu dan tiadalah sikap kasar dalam hal melainkan memperburukkannya.” (Riwayat Muslim). “Allah bersifat sangat halus, menyukai sifat halus dalam semua urusan dan Dia memberi kerana sikap halus itu, sesuatu yang tidak akan Dia berikan kerana sikap kasar.” (Riwayat Bukhari).

Kemudian, Ibn Taimiyyah menyambung, “Para penyeru dakwah (yang melakukan amar ma’ruf nahi mungkar) harus bersifat sabar dan tabah terhadap setiap gangguan, sebab ia pasti menemui gangguan. Jika tidak tabah dan sabar, maka ia lebih banyak membawa kerosakan daripada maslahat. Demonstrasi merupakan kaedah menyampaikan amar ma’ruf nahi mungkar yang terpesong daripada cara berlemah lembut dan bijaksana dalam menyampaikan risalah tauhid, yang dituntut oleh Islam.

Berasaskan hujah-hujah di atas ini, agak malang kerana masih terdapat dalam kalangan umat Islam di negara ini yang cuba menghalalkan demonstrasi dengan beralaskan kepada riwayat-riwayat mungkar, serta tidak boleh dijadikan dalil dan hujah. Seharusnya, umat Islam khususnya di Malaysia, menjadikan peristiwa pembunuhan Khalifah Uthman sebagai ikhtibar, kerana peristiwa berdarah tersebut adalah berpunca daripada tercetusnya fitnah yang dijaja melalui demonstrasi oleh Abdullah bin Saba’ dalam kalangan kaum muslimin. Dan akhirnya, demonstrasi menjadi amalan umat Islam sehingga Saidina Ali turut menjadi mangsa.

Inilah kesan serta impak daripada perbuatan golongan yang gemar menganjurkan demonstrasi. Manakala, masyarakat yang jahil pula begitu mudah terpengaruh dengannya, tanpa berfikir panjang. Sedangkan Allah mengingatkan kita dengan firmannya, “Dan janganlah kamu mengikuti apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya, pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan diminta pertanggungjawapannya.” (Al-Isra 36).

Nah, sekarang saya bisa terasa beban sudah terlepas dengan menyatakan yang hak dan kebenaran. Segala ilmu yang saya ketahui dalam persoalan ini telah saya sampaikan kepada para pembaca sekalian. Terpulang sama ada Allah membuka hati kita untuk menerima kebenaran tersebut.

Tanggungjawab saya telah terlepas dengan menyampaikan apa-apa yang telah saya kaji dan ketahui, maka mari sama-sama kita mengambil manfaat daripada firman Allah dalam surah Fusshilat ayat 33-34, “Siapakah yang lebih baik perkataanya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang salih dan berkata, ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri. Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antara mu dengan antara dia ada permusuhan seolah-olah menjadi teman yang sangat setia.”

Sesungguhnya kebenaran sudah jelas, tetapi kita degil dengan mengikut hawa nafsu sebagai petunjuk. Dan benarlah dengan firman Allah ini, “Dan siapa yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya, dengan tidak mendapat petunjuk daripada Allah sedikit pun.” (Al-Qashash 50).

Apabila kita sudah dihadapkan dengan kebenaran, janganlah berpaling lagi. Peganglah ia kuat-kuat, agar iman kita bertambah.Firman Allah, “Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu, tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu, apabila kamu telah mendapat petunjuk.” (Al-Maidah 105).

Dan sekarang, bagaimanakah prinsip kita terhadap demonstrasi yang sering dilakukan dan dianjurkan oleh pihak pembangkang, khususnya PKR? Masihkah kita menerimanya sebagai perkara yang halal? Bukankah sebelum ini kita disajikan dengan macam-macam demonstrasi yang dianjurkan oleh pembangkang, seperti demonstrasi BERSIH, demonstrasi turun harga minyak dan pelbagai lagi. Jadi pada hari ini, sebagai manusia yang mengaku beriman kepada Allah. Tepuklah dada dan tanyakanlah iman kita.

Manakala, bagi sesetengah ulama yang masih tidak berani berkata benar dalam hal ini, fikirkanlah tentang kepentingan agama, bangsa dan negara . Janganlah kita begitu mudah terpengaruh dengan dakyah dan retorik kosong pihak yang menghalalkan demonstrasi jalanan yang jelas terpesong jauh daripada tatacara berdakwah generasi salaf.

Sesungguhnya, pada hari ini, kebenaran seakan-akan tidak diendahkan lagi, malah, bagi mereka yang mengkritik parti pembangkang kerana menganjurkan demonstrasi jalanan pula yang dipersalahkan, kononnya mereka tidak demokratik dan tidak memahami perundangan. Dan kini, saya rasakan kebenaran sudah berada di sisi gelapnya. Manakala ulama pula, membisu seribu bahasa. Semoga Allah selamatkan negara ini.Wallahualam.

Comments

balikla kepada al quran dan sunnah nabi said…
Tugas & Sikap Rakyat terhadap pemerintah muslim menurut manhaj Salafi
Ada dua tanggungjawab terhadap pemimpin yang perlu ditunaikan oleh rakyat.

Pertama : Taat.

Perintah mentaati pemerintah amat jelas dalam Al Quran dan Hadis-Hadis yang sahih.

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (An Nisaa : 59)

Sabda Nabi s.a.w :

Maksudnya : "Wajib atas kamu dengar dan taat dalam keadaan susah dan senang, rela dan terpaksa dan dalam keadaan yang merugikan kamu" (Muslim)

Kata Imam al Nawawi:

Maksudnya: Berkata para Ulama: Maknanya adalah WAJIB mentaati pemerintah dalam perkara yang sukar dan dibenci jiwa dan selainnya selama mana ianya bukan maksiat jika ianya maksiat maka tidak ada taat seperti mana yang dinyatakan dalam hadis-hadis yang lain (Sharah Sahih Muslim, 12/224)

Perintah seorang pemerintah itu dapat dibahagikan kepada 3 jenis:

1. Apa yang Allah dan RasulNya perintahkan seperti solat berjemaah, menutup aurat. Hukumnya Wajib ikut.

2. Apa yang Allah dan RasulNya larang seperti dedahkan aurat, isbal pakaian. Hukumnya Haram taat.

3. Apa yang tiada nas syarak sama ada suruhan atau tegahan bahkan ianya adalah atas maslahah dan mafsadah seperti peraturan-peraturan jalan raya. Hukumnya Wajib taat.

(Risalah Taat Wulatil Umur(himpunan fatwa Ibn Baz & Ibn Usaimin berkenaan Taat pemerintah) edaran kerajaan Arab Saudi)


Walaupun haram mentaati perintah maksiat itu namun Haram juga memberontak kepada pemerintah dan memeranginya selama mana dia tidak menjadi kafir.


Daripada Ummu Salamah rh bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya akan memerintah kamu nanti pemerintah-pemerintah, maka (ada perbuatan mereka) yang kamu setujui dan ada yang kamu ingkar, maka sesiapa yang membenci (maksiat yang mereka lakukan) dia telah terlepas (daripada azab), sesiapa yang mengingkarinya dia selamat, tetapi sesiapa yang reda dan mengikut (maka dia termasuk orang yang bersubahat)". Mereka (sahabat) berkata: Apa tidak patutkah kami memerangi mereka (pemerintah) ? Jawab baginda : Tidak boleh selagi mereka bersolat. (Hadis Muslim, Abu Daud, Al Tarmizi dan lafaz pada Muslim)

Kedua : Al-Nusrah (Pertolongan)

Wajib membantu pemerintah dalam perkara makruf dan mencegah mungkar. Jika pemerintah menyeru kepada jihad, maka Wajib menyahut seruan beliau.

Sabda Nabi s.a.w :

Sesungguhnya imam itu adalah perisai diperangi dibelakangnya dan dijadikan perlindungan, maka jika dia (Imam) menyuruh dengan Taqwa kepada Allah azza wa jalla dan berlaku adil maka ianya merupakan pahala baginya dan jika dia menyuruh dengan sebaliknya maka ia menjadi dosa atasnya ( Bukhari dan Muslim )
Anonymous said…
amekaw pencacai pas n pkr..hujah macam ni la yg buat depa tak tentu arah...aku menunggu komen depa dalam ni...kalo dapat jawab la hujah2 incik azli ni...

paklongkarim ssu
Anonymous said…
Dari hujah-hujah ini, maka kesimpulannya tidak perlu lagi diadakan pilihanraya kerana jika mengundi pembangkang bermakna menentang kerajaan dan hukumnya haram.
Anonymous said…
1. ade dah yg tegur...

http://www.facebook.com/pages/DrMAZAcom/279290772989?sk=wall&filter=2
abang entot amah said…
HARAM NENEK KAU!
haram nenek kau?
hanya itu yg dpt dibalas? dengan tiada budi bahasa menegur.. saya melihat bersih melahirkan begitu ramai generasi yang tidak syg mulut dan tidak menerima fakta kerana bgitu taksub. hakikatnya, org awam terlalu memandang pendpt ulama setaraf nabi walhal hanya nabi shj yang maksum -DR.MAZA

my blog is a beginner. i want to build up our cyber war.. Lillahi taala..
anak bangsa yang sedih said…
kenapa Melayu je yang berhimpun?
mana kaum lain?
klu negara tak aman nanti melayu nak lari negara mana??
cina?? negara China.
india? negara india.
Melayu?? Kasihanilah anak bangsa..
untuk berapa lama lagi kemanan negara Malaysia?
Anonymous said…
islam konon abis tu nape wife perdana menteri tak pakai tudung??- basic tuh...
nizamyusof said…
ilmu macam ni bukannya diorang pakai sangat tuan. kalau hati dah taksub dan asyik nak mencari kesalahan orang lain je, bacakan dalil2 kat telinga pun belum tentu depa nak percaya lagi. dah tak boleh nak terima. bodoh sombong. dan pasal bodoh tu jugaklah yang pergi beramai2 mengikut orang berarak tu. yang memimpin bodoh yang mengikut lagi bodoh.

bila ditangkap, dimarah, kata pulak kerajaan kejam. selama duduk kat tanahair ni tanah rumah abis kena rampas agaknya. kerja tak dibayar gaji agaknya. anak2 tak dapat sekolah, tak dapat masuk U, tak boleh pinjam bank, tak mampu pakai kereta agaknya. susah terhimpit benar hidup depa ni, tu yang pegi berarak ramai2 tu.

bila polis marah kata polis kejam, zalim, anjing. bila rumah kena rompak, kena samun, kena ragut, pandai pulak mintak tolong polis. tak sedar diri. dah polis tu kerjanya menguatkuasakan peraturan. peraturan kata jangan berhimpun, tak usah lah pergi. yang gatal nak pergi jugak, melawan lah nama dia tu, memang la kena tangkap, kena sembur. cuba bayangkan kalau polis tak buat kerja, rumah kena rompak, diorang taknak tolong, amacam?

isteri PM tak pakai tudung, kurang islamic, ok. itu antara dia dgn Allah Ta'ala. tapi ada ke dia mengacau hidup keluarga, sanak saudara lu selama ni? ada ke dia rampas tanah, kidnap anak lu? yang nak marah sangat ni kenapa? tak paham aku...

Pilihan Pembaca

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca

Lagi Kisah Siti Nurhaliza : Mana Perginya Produk CTea?

Lagi Kisah Siti Nurhaliza Mana Perginya Produk CTea? Oleh Satu Hala (Malaysia Instinct) Inilah antara benda-benda yang buat sakit hati dengan orang kaya Melayu ni. Datuk K sanggup perabis RM66,550 untuk beli nombor plate KCT 1 untuk isteri tercinta, Datuk Siti Nurhaliza. Kononnya cintan maut habislah tu kan. Tak tahulah kot-kot Rozita Che Wan yang dulu orang kata dapat Mercedes dari Datuk K (lepas dah kahwin dengan Siti) pun akan dapat nombor plate yang sama. Gasaklah hal Rozita Che Wan tu. Yang penulis tertarik nak tulis ialah sikap orang macam Datuk K dan Siti Nurhaliza. Parasit adalah perkataan paling tepat. Tahu tak Siti Nurhaliza adalah pemohon pinjaman Tekun untuk bisnes barang solek Simply Siti. Kalau tak percaya, pergilah cek dengan Tekun. Pasti nama Siti akan terpacul. Sakit hati betul penulis dengan orang-orang macam ini. Dah tahu duit banyak, gunalah duit sendiri untuk berniaga, tak pun pinjamlah bank. Gi pinjam dengan Tekun tu buat apa? Mentanglah bayar

Jadi Super Jutawan dalam Masa Enam Tahun!

ENAM KALI GAGAL BERNIAGA, SATU KETIKA DUIT  HANYA TINGGAL RM2.50   di dalam akuan bank. Diminta keluar dari rumah sewa. Tiada ijazah, tiada mewarisi kekayaan keluarga. Lahir daripada keluarga sederhana, berhenti belajar kerana mahu mengejar impian. Dia ialah Rites Agrawal pemuda India berusia 26 tahun, menjadi super jutawan (billionaire) hanya dalam masa enam tahun. Pemilik jenama OYO Rooms, perniagaan hotel bajet terkenal di dunia.     Tidak ramai usahawan muda yang ada jiwa macam Rites Agrawal, dia tahu apakah yang dia mahu dan impikan. Misinya jelas matlamatnya tidak pernah berubah. Dia berhenti belajar bukan bererti membenci pendidikan, tetapi berpindah pembelajaran daripada universiti formal kepada universiti realiti. Dia memilih jalan yang berbeza daripada rakan-rakan sebayanya untuk memperoleh hasil yang berbeza. Realiti menjadi gurunya.   Perniagaan ialah dunia yang macam-macam boleh terjadi. Orang biasa boleh jadi luar biasa. Banyak perkara yang kita tidak disangka boleh terja