Skip to main content

Pendemonstrasi Mansuhkan ISA : Mereka Harus Bertaubat


Gerakan Mansuh ISA 2009
Mereka Harus Bertaubat

Oleh Muhammad Azli Shukri


Antara kejahilan ketara yang sering kita lakukan dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu isu yang diperdebatkan, adalah ketidakemampuan kita melihat isu tersebut dari disiplin ilmu lain, kegagalan itu – akhirnya membawa kita ke jurang kesesatan yang paling bahaya, bahkan menyebabkan kita terlalu mudah menjatuhkan sesuatu penilaian hanya berasaskan kepada latar belakang pendidikan yang kita terima. Umpamanya, isu kebebasan bersuara dan kebebasan untuk melakukan rapat umum dan berdemonstrasi, sering kali dilihat dari kaca mata perundangan semata-mata. Apatah lagi jika orang yang berbicara berkenaan isu tersebut merupakan lulusan undang-undang. Begitu juga apabila kita menyentuh soal ekonomi, kita sering melihat isu tersebut berasaskan kepada latar belakang pendidikan tinggi kita, dan jika kelulusan kita dalam bidang agama, maka isu tersebut hanya akan dilihat dari sudut agama semata-mata. Jarang kita memikirkannya di luar kepompong disiplin ilmu yang kita miliki untuk lebih memahami topik dan mencari kebenaran yang sejati terhadap sesuatu isu itu.


Hal ini terjadi adalah kerana, kemalasan kita untuk memahami disiplin ilmu lain, atau dengan kata lain, kadang kala kita terlalu ego dengan diri sendiri kerana merasakan bahawa disiplin ilmu yang kita kuasai selama ini sudah cukup untuk membuat analisis yang tepat terhadap isu yang sedang diperbincangkan. Jalan terbaik untuk kita berlaku adil terhadap perbincangan yang melibatkan pelbagai isu, ialah kita, seharusnya mengetahui disiplin sesuatu ilmu yang berkaitan dengan isu yang sedang diperdebatkan, dan bagaimanakah ahli dalam bidang tersebut melihatnya. Lantaran itu, dalam membicarakan sesuatu isu, sama sekali kita tidak boleh melihat dari satu aspek semata-mata, tetapi dari pelbagai aspek, mengikut disiplin ilmu tersebut. Mahu atau tidak mahu, kita harus mengetahui pelbagai disiplin ilmu, barulah sesuatu isu itu dilihat dengan matang dan bertujuan untuk mencari kebenaran.


Jika isu tersebut berkenaan agama, maka seharusnya kita mengetahui disiplin ilmu agama untuk mengupas isu tersebut, agar lebih adil dan bertujuan mencari kebenaran. Jika isu melibatkan ekonomi, maka disiplin ilmu ekonomilah yang harus kita ketahui, agar rumusan kita kelak tidak terkeluar daripada kebenaran. Dan adalah baik, jika kita berupaya menguasai pelbagai disiplin ilmu agar kita bisa membuat kesimpulan yang lebih menghampiri kebenaran dan keadilan.


Dalam hal ini, isu berkenaan demonstrasi, sering dilihat dari kaca mata perundangan dan ekonomi, jarang kita melihatnya dari aspek agama. Maksud saya, isu ini acapkali disisihkan daripada kaca mata Islam, bahkan tidak kedengaran langsung dalam kalangan ulama tempatan membicarakannya, seolah-olah mereka turut redho atas segala tindak tanduk penyokong-penyokong PKR yang menganjurkan demonstrasi besar-besaran selama ini bagi menjatuhkan kerajaan. Mengapa para ulama membisu? mengapa mereka tidak bercakap perkara yang hak? Dan mengapa mereka menyembunyikan ilmu dan hukum?. Jika berkenaan Karnival Sure Heboh atau konsert artis, para ulama pantas memberikan hukum, tetapi dalam isu demonstrasi dan tunjuk perasaan yang sering dianjurkan oleh parti pembangkang, tiada ulama pun yang menegur. Apakah mereka takut dituduh sebagai penyokong kerajaan? Atau mereka tidak mahu bercakap benar?


Aneh, dan kadang kala menjadi misteri dalam kalangan ulama tempatan, baik yang berfahaman salaf mahupun tidak. Mereka seolah-oleh bersetuju bahawa cara berdemonstrasi itu merupakan cara terbaik menegakkan kebenaran dan keadilan di negara ini. Tidak kurang juga terdapat ulama-ulama kerajaan yang termakan dengan pelbagai alasan yang dikemukakan oleh para ulama parti pembangkang, kononnya demonstrasi yang sering diadakan itu adalah bertujuan menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.


Maka, mereka pun menghimpunkan ribuan manusia membanjiri jalan-jalan raya sambil berarak memprotes kerajaan yang mereka dakwa terlalu zalim itu. Manakala, para peguam dan pengamal undang-undang yang jahil pula – mengangkat bendera sokongan, kononnya semua itu adalah sah di sisi undang-undang dan kerajaan tidak sepatutnya menghalang mereka untuk berdemonstrasi. Begitulah syaitan menyesatkan kita semua. Dan kini, saya tidak bisa lagi menyembunyikan ilmu yang telah saya ketahui, setelah mengkaji dan melakukan penyelidikan. Kebenaran tetap kebenaran, kerana sifat kebenaran itu sememangnya pahit untuk ditelan.


Mengapa ini semua terjadi? tak lain dan tak bukan ia disebabkan kegagalan kita menguasai disiplin ilmu lain yang tidak kita pelajari di universiti. Lantaran itu, saya mencari jawapan berkenaan persoalan yang sering berlegar dalam kotak minda saya,selama ini, iaitu bagaimanakah Islam memandang demonstrasi? Dan apakah pula hukumnya jika kita sama-sama menyertai dan menghalalkannya? Hal ini terfikir oleh saya setelah melihat para ulama berdiam diri seribu bahasa dalam soal tersebut. Rakyat jadi keliru, apakah ini budaya yang disarankan oleh Islam dalam mengamalkan amar makruf nahi mungkar? Apakah berdemonstrasi itu juga merupakan sebahagian daripada menegakkan kebenaran dan keadilan dalam Islam? Akhirnya saya mendapat jawapan. Dan kebenaran ini, akan saya gigit dengan kemas-kemas sebagai hujah dan dalil yang terang dan jelas. Moga-moga hati kita tidak lagi buta dalam melihat kebenaran.


Demonstrasi pada amnya merujuk kepada konsep tunjuk perasaan, baik ia bersifat aman, mahupun ekstrim. Yang penting, konsep demonstrasi difahami sebagai cara untuk meluahkan rasa ketidakpuashatian di khalayak ramai dengan mengadakan perarakan serta rapat umum yang melibatkan orang ramai.


Pada dasarnya, demonstrasi bukanlah kaedah yang dianjurkan oleh Islam untuk menyampaikan dakwah serta menganjurkan amar ma’ruf nahi mungkar dalam kalangan masyarakat. Hal ini adalah kerana, demonstrasi mempunyai unsur-unsur yang boleh membawa pelakunya bermaksiat kepada Allah. Apatah lagi jika demonstrasi itu dilakukan dengan tujuan membuka aib golongan tertentu, serta menjatuhkan kepimpinan masyarakat Islam. Maka, hal ini amat jelas dosanya. Antara kemungkaran yang dibawa oleh demonstrasi adalah :


1. Demonstrasi amat jelas berbentuk tasyabbuh, yakni perbuatan yang menyerupai perbuatan orang-orang kafir. Sedangkan tasyabbuh amat dilarang oleh Islam. Sabda Rasulullah, “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum itu, maka dia termasuk kaum mereka.” (Riwayat Abu Dawud). Menurut Ibn Taimiyyah, tasysbbuh kepada orang kafir, mempunyai beberapa tingkat hukum. Yang tertinggi adalah haram, dan yang terendah adalah makruh. Sebagai contoh, tasyabbuh kepada pakaian orang-orang kafir yang mendedahkan aurat di khalayak ramai adalah haram. Dalam hal ini, berdemonstrasi adalah mirip golongan kafir. Hanya golongan yang lemah iman dan yang tidak beriman sahaja suka melakukan demonstrasi.


2. Demonstrasi termasuk khuruj, yakni keluar menentang pemerintah, yang jelas ditegah oleh Rasulullah dalam banyak hadis shahih baginda. Seperti, “Barangsiapa yang melihat sesuatu yang tidak disukainya daripada penguasanya, maka hendaklah ia bersabar, kerana barangsiapa yang memisahkan diri daripada jamaah sekadar sejengkal, maka kematiaannya adalah kematiaan jahiliah.” (Riwayat Bukhari). “Akan ada sesudahku para imam atau kepala negara yang tidak mengikut petunjuk dan tidak menjalankan sunnahku. Dan akan bangun pada mereka (dalam kalangan mereka) laki-laki yang hati mereka adalah hati syaitan dalam tubuh manusia. Bertanya Huzaifah, bagaimanakah saya hendak lakukan jika saya menemuinya, Ya Rasulullah? Baginda bersabda, hendaklah engkau mendengar dan taat, walaupun ia memukul belakangmu dan mengambil hartamu. Dengar dan taatlah.” (Riwayat Muslim). “Akan ada pemerintah yang kamu mengenali mereka dan kamu mengingkarinya. Maka, barangsiapa yang mengenali, sesungguhnya ia telah bebas dan barangsiapa yang membenci maka ia selamat. Akan tetapi orang yang redho dan mengikutnya? Mereka bertanya, bolehkah kami memerangi mereka? Rasulullah bersabda, Tidak! Selama mereka bersolat.” (Riwayat Muslim).


Hadis-hadis sahih di atas merupakan peringatan Rasulullah agar umat Islam mengelakkan sebarang perkara yang boleh memecahbelahkan kesatuan umat Islam. Demonstrasi sama sekali tidak mendatangkan manfaat kepada masyarakat dan negara, bahkan lebih banyak menimbulkan kerosakan. Demonstrasi di jalan-jalan raya serta di tempat awam, merupakan tatacara meluahkan perasaan yang terpesong jauh daripada roh Islam yang lebih menggalakkan musyawarah serta menanamkan perasaan sabar.


3. Unsur ketiga pula, demonstrasi sering disertai dengan ucapan-ucapan dan ceramah yang menaikkan semangat dalam kalangan para petunjuk perasaan. Di samping itu, para penceramah dan pemidato juga akan membuka aib serta keburukan individu serta pemimpin tertentu yang tidak mereka senangi. Perbuatan sebegini cukup jelas dilarang oleh Islam. “Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang.” (Al-Hujrat 12). “Sesungguhnya orang-orang yang menyukai agar tersebar keburukan dalam kalangan orang-orang beriman, bagi mereka adalah azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”. (An-Nur 19).


4. Selain daripada itu, demonstrasi juga memiliki unsur ikhtilath, yakni bercampur-baur antara lelaki dengan perempuan. Bahkan kadang-kala berhimpit-himpit dan bergesel-geselan. Perbuatan ini sama sekali bercanggah dengan etika sosial Islam. Walaupun kadang-kala terdapat demonstrasi yang memisahkan antara lelaki dengan perempuan, tetap perbuatan menggalakkan wanita keluar dari rumah untuk menyertai demonstrasi tersebut merupakan perbuatan yang membelakangi sunnah. Malah, ia juga boleh menimbulkan fitnah.


5. Unsur kelima, ialah demonstrasi itu sendiri mampu mencetuskan huru-hara, di samping mencetuskan bermacam-macam fitnah yang akhirnya kembali kepada masyarakat Islam itu sendiri. Dan sesungguhnya, inilah unsur yang amat berbahaya kepada agama, masyarakat dan negara. Hal ini bermakna, demonstrasi lebih banyak membawa mafsadat (kerosakan) berbandingan dengan maslahat (kebaikan) terhadap harta benda, perasaan dan jiwa yang sememangnya ditegah oleh Allah di dalam Al-Quran.


6. Unsur keenam, ialah demonstrasi bukanlah cara menyampaikan amar ma’ruf nahi mungkar yang dituntut Islam, kerana demonstrasi lebih menjurus ke arah kekerasan dan lebih condong untuk menunjukkan pengaruh dan kuasa. Sedangkan dalam menyampaikan amar ma’ruf nahi mungkar, sifat halus dan penyabar adalah dituntut. Firman Allah dalam surah Ali Imran, “Maka disebabkan rahmat daripada Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap kasar lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan dari sekelilingmu.”


Dalam hal ini, Ibn Taimiyyah dalam kitabnya, Al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyi ‘Anil Mungkar, mengemukakan dua buah hadis shahih berkenaan keperluan sifat lemah lembut dan halus dalam berdakwah. Sabda Rasulullah, “Tiadalah sikap halus dalam sesuatu hal, melainkan memperindahkan sesuatu itu dan tiadalah sikap kasar dalam hal melainkan memperburukkannya.” (Riwayat Muslim). “Allah bersifat sangat halus, menyukai sifat halus dalam semua urusan dan Dia memberi kerana sikap halus itu, sesuatu yang tidak akan Dia berikan kerana sikap kasar.” (Riwayat Bukhari). Kemudian, Ibn Taimiyyah menyambung, “Para penyeru dakwah (yang melakukan amar ma’ruf nahi mungkar) harus bersifat sabar dan tabah terhadap setiap gangguan, sebab ia pasti menemui gangguan. Jika tidak tabah dan sabar, maka ia lebih banyak membawa kerosakan daripada maslahat. Demonstrasi merupakan kaedah menyampaikan amar ma’ruf nahi mungkar yang terpesong daripada cara berlemah lembut dan bijaksana dalam menyampaikan risalah tauhid, yang dituntut oleh Islam.


Berasaskan hujah-hujah di atas ini, agak malang kerana masih terdapat dalam kalangan umat Islam di negara ini yang cuba menghalalkan demonstrasi dengan beralaskan kepada riwayat-riwayat mungkar, serta tidak boleh dijadikan dalil dan hujah. Seharusnya, umat Islam khususnya di Malaysia, menjadikan peristiwa pembunuhan Khalifah Uthman sebagai ikhtibar, kerana peristiwa berdarah tersebut adalah berpunca daripada tercetusnya fitnah yang dijaja melalui demonstrasi oleh Abdullah bin Saba’ dalam kalangan kaum muslimin. Dan akhirnya, demonstrasi menjadi amalan umat Islam sehingga Saidina Ali turut menjadi mangsa.


Inilah kesan serta impak daripada perbuatan golongan yang gemar menganjurkan demonstrasi. Manakala, masyarakat yang jahil pula begitu mudah terpengaruh dengannya, tanpa berfikir panjang. Sedangkan Allah mengingatkan kita dengan firmannya, “Dan janganlah kamu mengikuti apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya, pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan diminta pertanggungjawapannya.” (Al-Isra 36).


Nah, sekarang saya bisa terasa beban sudah terlepas dengan menyatakan yang hak dan kebenaran. Segala ilmu yang saya ketahui dalam persoalan ini telah saya sampaikan kepada para pembaca sekalian. Terpulang sama ada Allah membuka hati kita untuk menerima kebenaran tersebut. Tanggungjawab saya telah terlepas dengan menyampaikan apa-apa yang telah saya kaji dan ketahui, maka mari sama-sama kita mengambil manfaat daripada firman Allah dalam surah Fusshilat ayat 33-34, “Siapakah yang lebih baik perkataanya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang salih dan berkata, ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri. Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antara mu dengan antara dia ada permusuhan seolah-olah menjadi teman yang sangat setia.”


Sesungguhnya kebenaran sudah jelas, tetapi kita degil dengan mengikut hawa nafsu sebagai petunjuk. Dan benarlah dengan firman Allah ini, “Dan siapa yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya, dengan tidak mendapat petunjuk daripada Allah sedikit pun.” (Al-Qashash 50).


Apabila kita sudah dihadapkan dengan kebenaran, janganlah berpaling lagi. Peganglah ia kuat-kuat, agar iman kita bertambah.Firman Allah, “Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu, tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu, apabila kamu telah mendapat petunjuk.” (Al-Maidah 105).


Dan sekarang, bagaimanakah prinsip kita terhadap demonstrasi yang sering dilakukan dan dianjurkan oleh pihak pembangkang, khususnya PKR? Masihkah kita menerimanya sebagai perkara yang halal? Bukankah sebelum ini kita disajikan dengan macam-macam demonstrasi yang dianjurkan oleh pembangkang, seperti demonstrasi BERSIH, demonstrasi turun harga minyak dan pelbagai lagi. Jadi pada hari ini, sebagai manusia yang mengaku beriman kepada Allah. Tepuklah dada dan tanyakanlah iman kita.


Manakala, bagi sesetengah ulama yang masih tidak berani berkata benar dalam hal ini, fikirkanlah tentang kepentingan agama, bangsa dan negara . Janganlah kita begitu mudah terpengaruh dengan dakyah dan retorik kosong pihak yang menghalalkan demonstrasi jalanan yang jelas terpesong jauh daripada tatacara berdakwah generasi salaf. Sesungguhnya, pada hari ini, kebenaran seakan-akan tidak diendahkan lagi, malah, bagi mereka yang mengkritik parti pembangkang kerana menganjurkan demonstrasi jalanan pula yang dipersalahkan, kononnya mereka tidak demokratik dan tidak memahami perundangan. Dan kini, saya rasakan kebenaran sudah berada di sisi gelapnya. Manakala ulama pula, membisu seribu bahasa. Semoga Allah selamatkan negara ini.Wallahualam.

Comments

Unknown said…
satu pandangan yang baik dari segi agama.
Qorie Afifi said…
Sdr azli tak pernah ISA tak pa lah sdr cakap macam tu. Bagi kami yang pernah rasa hanya ALLAH saja yang tahu.....nak jumpa peguam pun tak boleh ...nak tahu tarikh bebas pun tak tahu bila....apakah patut kesalahan autisias dalam beragama di sabitkan kepada kami sedangkan ramai tok guru ajaran sesat pun tak tersiksa seperti kami.....
Frodo Baggins said…
FRODO MENOLAK & MEMBANTAH SEKERAS-KERASNYA DEMONSTRASI JALANAN!!!

NAK HANTAR MEMORANDUM BANTAHAN, SILAKAN.
EraNaZeErA.. said…
salam...

saya tidak menyokong mana2 pihak... tp tentang demonstrasi mmg saya tidak setuju kerana jika kita lihat... orang melayu dan islam yg lebih byk dlm demontrasi2 yg diadakan.. sedangkan bangsa lain pandai berfikir... dan tidak menyertai demonstrasi2... kadang2 rasa malu bila melihat org melayu yg beragama islam berperangai sebegitu.... dan yang paling memalukan kaum wanita juga turut memekik2 dlm demonstrasi... dan pada pandangan saya... kerajaan mahupun pembangkang sama2 ada kebaikan dan keburukan.... tp apa yg pasti.. jikalau kerajaan dianggap zalim... kenapa negara kita masih aman dan org melayu masih tidak diketepikan seperti di Singapore...

mgkn pemikiran setiap org tidak sama.. tp jikalau setiap hal yang tidak setuju diluahkan dengan adakan demontrasi... maka hancurlah negara kita suatu hari nanti.. dan yang paling saya takut.. ialah nasib anak2 cucu kita kelak....

saya rasa puas baca entry saudara yang penuh dengan bukti2 yang kuat...
azlishukri said…
zharif - abang akan kemukakan hujah yang benar

Qorie - saya faham perasaan mereka yang diISAkan, tetapi jika kita tidak melakukan kesalahan kita tidak harus takut kepada ISA. Sebenarnya ada guru-guru agama yang dikenakan ISA seperti Ashaari Muhammad.

Era Nazera - terima kasih sudih singgah, saya akan sedaya upaya mengemukan dalil yang tepat untuk memperjuangkan kebenaran.
BUDAYA BARBARIAN YANG PERLU DISEKAT

Apa saja alasan Anwar dan sahabat-sahabatnya, tindakan membawa penyokong ke jalanan, dan membakar semangat pengikut supaya berperangai seperti orang tidak bertamadun, berarak, memekik, memaki hamun, merosakkan harta benda awam, adalah satu perlakuan barbarian, terkeluar dari ciri norma Melayu, malah manusia yang waras dan berpendidikan.

Ia suatu cermin kepada tingkah laku manusia yang gelap hatinya, dan buntu akal fikirnya, tiada kredibiliti dan kreativiti untuk merungkai persoalan. Lalu kerana kedangkalannya itu, dia memilih jalan pemberontakan fizikal.

Bahawasanya berasa puas, bangga dan rasa berjaya setelah melakukan keganasan dan berperangai rebel dan barbaric; adalah salah satu ciri manusia psiko yang sedang cuba disebarluaskan. Dan ini sangat merbahaya bagi masa depan bangsa dan negara.

Lihat saja pengalaman di India, Pakistan, Filipina, Indonesia, atau Thailand. Mungkin ada kes di mana sama ada secara kebetulan atau benar, matlamat yang diperjuangkan tercapai dengan pendekatan barbarian itu. Namun kebanyakannya menemui kegagalan.

Pengikut yang dibakar semangatnya tidak sedar yang bagi pemimpin mereka, gagal atau jaya tujuan yang dilaungkan itu langsung tidak penting. Yang penting ialah ia berjaya menyusahkan barisan yang ditentang, dan berjaya meyakinkan lebih ramai calon pengikut, bahawa ia berada di pihak yang benar dan kuat.

Yang sangat merbahaya ialah, bila segolongan rakyat, walaupun kecil, berjaya ditanam dengan pemikiran barbaric ini, seluruh negara akan terperangkap dalam krisis berpanjangan, yang bakal menghancurkan kita semua. Mereka akan menukar tingkahlaku sesat dan buruk itu sebagai naluri, sehingga satu ketika nanti, mereka sanggup turun MEMBERONTAK DI JALANAN HANYA KERANA HARGA BELACAN NAIK 10 SEN.

Kita akan menjadi seperti beberapa negara lain yang sentiasa bertukar pemimpim, bertukar pemerintah, tidak stabil, menakutkan pelabur dalam atau luar. Kita akan terus terperangkap dalam SENGKETA DAN PUSINGAN POLITIK PARIAH YANG BERPANJANGAN.
C.H.E Dayat said…
bagus betul hujuah abang pada kali ini. tetapi pada pandangan saya, yang buta tetap buta, letakah apa saja nas dan hadis, mereka tetap akan mempertahankan tindakan mereka..

Demonstrasi merugikan!...

CHE Dayat

www.kisahsebuahbangsa.blogspot.com
Xenan said…
tak paham jugak lah ngn bro azli ni,

Kiranya dulu demostrasi membantah Malaysian Union pon haram jugak lah?Pemerintah dahulupon ISLAM yakni sultan2.British hanya penasihat.Kiranya ini juga menderhaka pada ulul amri?

Kalau nak dikata utk menjaga keamanan dan kemajuaan sahih zaman british lebih maju dan aman dr zaman pemerintahan sultan2.Menagapa kita menentang juga?

Suara azli sama mcm suara2 zaman dahulu yg mengatakan tok janggut wajib dibunuh kerana menderhaka pada sultan.

Rujuk pada ISA, teringat saya pada "Final Solution" dari hitler.Alasan "Final Solution" juga ialah untuk menjaga ketuanan bangsa german dan memelihara keamanan negara.Kesemua bangsa german bersetuju dan akhirnya terjadi lah holocaust.

Back to ISA, kalau ikut utusan mencabar ISA sama mcm mencabar ketuanan melayu dan keamanan negara.Adekah kita juga akan bersetuju jika Holocaust dijalankan di malaysia?

Terang dan jelas matlamat tidak menghalalkan cara.Tahanan tanpa bicara adalah kejam.Keadilan dan mahkamah tetap perlu hatta untuk penjahat sekalipon.

Sanggupkah saudara azli kata islam menghalalkan penahanan tanpa bicara?
zulazahari said…
Pada saya, lebih elok sekiranya demonstrasi jalanan yg berlansung hari Sabtu lalu digantikan dgn solat hajat beramai2 menolak penularan virus H1N1 yg semakin menjadi2 skrg. Difahamkan 95% org Melayu dan Islam yg terlibat dlm perhimpunan tersebut.
azlishukri said…
xenan - nampaknya saudara tidak membaca artikel saya yang terdahulu bahawa dalam Islam ada penahanan tanpa bicara, hal tersebut pernah dilakukan oleh syaidina umar, harap maklum.

dahulu, kita menentang kaum kuffar yakni penjajah tak sama dengan hari ini, pemimpin negara kita adalah Islam dan tidak menentang islam, saudara harus tahu membezakannya.
Abdullah Magnus said…
Salam.
Sdr. Azli dan semua.

Pemimpin atasan MENYERU bila mahu, bila musibah pemimpin bawahan yang MERAYU!

Kepada sesiapa yang ingin memberikan sumbangan boleh terus kepada akaun Bank Islam Dewan Pemuda PAS Negeri 07016010059732 atau menghubunginya Ustaz Yusni Mat Piah, Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang untuk mendapatkan keterangan lanjut di talian 0194500660.

Sumbangan mereka perlukan segera, bukannya menjelang pilihan raya kecil Permatang Pasir!

Mohon sebarkan.
Pujangga Sinis said…
Emmm...sangat2 lega membaca entri abang Azli nh. Saya memang duk pening fikir pasal demonstrasi ngan ISA nh memandangkan ramai gak kenalan2 yang islamik menyokong demonstrasi n GMI dan mostly mempunyai hujah yang agak solid tentang perlunya ISA dimansuhkan...

Sekarang, hal demonstrasi dah settle ngan penerangan Abang Azli yang mempunyai hujah yang fakta nh..dan mohon entri nh saya publishkan di laman saya...

Masalah seterusnya...boleh abang Azli menerangkan tentang bolehnya pelaksanaan ISA dari kaca mata Islam dengan hujah yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah rasulullah? Saya sangat buntu memandangkan saya bukan dalam aliran agama dan politik, dan sangat kosong tentang ilmu-ilmu nh...mohon bantuan
azlishukri said…
marmus - dalam blog abang ni ada berkenaan konsep ISA dalam kaca mata Islam, boleh layarinya.

silakan ambil posting ini.
Anonymous said…
Zionis...
bagi beratus resolusi PBB, dia buat pekak badak. bagi demonstrasi seluruh dunia, dia buat lembu kenyang.

DR NO
Xenan said…
masih tidak faham ya?

Ketika dahulu pada negeri2 melayu, pemerintahnya ialah sultan(islam) dan penasihat nya british.

Kerana itu tok janggut digelar penderhaka pd sultan kelantan bkn pd british.

Kaji lah sejarah sebaik mungkin.

Untuk persoalan ISA, mmg betul dikatakan sama dgn dalil dr Khlaifah umar.

Namun persoalanannya adakah kerajaan Malaysia sama dgn Khalifah Umar?

Katakanlah malaysia pon menjalankan sistem khalifah dan pemerintahan islam maka boleh la kita samakan ISA Kerajaan malaysia dan Dalil Khalifah umar al khatab itu.

Boleh ke ambik setengah buang setengah pastuh claim kita ikut islam?

sila bro azli terangkan..
parjo_7 said…
salam..
ermm...agak menarik hujah anda..tapi ianya tiada apa2 erti kerana anda bukanlah orang yg berautoriti dlm memberi fatwa..malahan semua hujah anda boleh ditolak dgn hujah yg lebih ilmiah...
berkaitan hujah anda bahwa saidina umar melakukan penahanan tanpa bicara...sy harap anda tidak tersalah tafsir..tahukah anda bidang kuasa saidina umar sbg amirul mukminin di zaman khilafiah islam...dan apakah anda tahu bidang kuasa menteri keselamatan dalam negeri di negara malaysia ini yg mengamalkan demokrasi berparlimen dibawah pentadbiran raja berpelembagaan?...sbb itulah demontrasi besar yg diadakan adalah bertujuan utk menyerahkan memorandum kpd YDP Agung...dan agung menyatakan kesudian baginda utk menerimanya...
Jika anda masih kabur dgn sistem perundangan dan pembahagian kuasa yg dilaksnakan meliputi badan eksekutif,legaslatif dan kehakiman dinegara malaysia ini...tolonglah rujuk dgn orang yg lbh arif dahulu sebelum anda mengeluarkan artikel yg membincangkan hukum didlm islam...seolah-olah anda seorg mujtahid di abad ini..tambahan pula anda bukan seorg yg berautoriti di negara ini...jgn kita mudah mengharamkan yg halal dan menghalalkan yg haram tanpa kita ada ilmu yg kukuh dan rujukan yg sahih mengenainya...
maap le sy x dpt nak menghuraikan secara panjang lebar bg setiap point hujah anda di ruangan komen ini...ini kerana sy juga bukan org yg berautoriti dlm memberi fatwa dinegara ini...
tapi jika masih nak berdiskus mengenai ini...sila email kpd sy...parjo_7@hotmail.com
azlishukri said…
parjo 7 - sayang sekali, kerana saudara melihat Islam berasaskan autoriti, apakah kata-kata Harussani yang ada autoriti juga saudara tolak? maaf jika saya katakan, bahawa nabi sendiri meminta kita menyampaikan apa-apa yang baik walaupun hanya satu ayat.
azlishukri said…
Xenan berkata - Untuk persoalan ISA, mmg betul dikatakan sama dgn dalil dr Khlaifah umar.

Namun persoalanannya adakah kerajaan Malaysia sama dgn Khalifah Umar?

jawapan saya - berkenaan kerjasama antara PAS dengan DAP, para ulama PAS mendakwa bahawa ia adalah sama dengan perjanjian nabi dalam dutsur al madinah, soalan saya, apakah PAS sama taraf dengan nabi? jadi mengapa pas mengambil hujah ini? sudah pasti ia adalah kiasan.
azlishukri said…
parjo 7 - berkata : jgn kita mudah mengharamkan yg halal dan menghalalkan yg haram tanpa kita ada ilmu yg kukuh dan rujukan yg sahih mengenainya...

jawapan : apakah rujukan dan huraian saya salah? tunjukkannya jika saudara benar2 tahu. saya percaya jika hal ini dikatakan oleh Harussani yang berpengalaman itu pun, pasti pas akan menolaknya, betul tak?
azlishukri said…
xenan - nampaknya saudara masih buta sejarah, malayan union ditentang adalah kerana cuba merampas kuasa sultan sebagai pemegang amanah agama. pada awal malayan union dibentangkan, 9 sultan melayu bersetuju, tetapi akhirnya menarik balik apabila orang-orang melayu bangkit menentang sultan agar jangan bersetuju dengan penubuhan malayan union, jadi tidak timbul demo ketika itu bertujuan menentang sultan yang jelas berperanan sebagai ketua agama islam. akhirnya sultan bersama rakyat menentang malayan union. tak kan saudara tidak tahu pula.
Xenan said…
"orang-orang melayu bangkit menentang sultan agar jangan bersetuju dengan penubuhan malayan union"

Menentang sultan?
Ya! menentang sultan(ulul amri)

"jadi tidak timbul demo ketika itu bertujuan menentang sultan yang jelas berperanan sebagai ketua agama islam"

Tak timbul pulak menentang sultan?

hahahaha.funny la bro.
Yg penting kalau demo menentang sultan tuh tader..tak merdeka kot Mys ni.Fakta tu.Makna nya tak salah berdemo pon.Asal usul negara kita nih.

Bro,
perjanjian dutsur al madinah bab ape?

Pemerentahan islam/hudud bab ape?

Takleh beza kah?

Ape2 hal saya mintak mufti keluar fatwa la.Sng citer.Masalah ummah dah ni.Dok senyap jek apa hal??
Frodo Baggins said…
hmmmm ~ yer lah.

Ape2 hal saya mintak Tuan Guru / Saper2 lah yang dah kene label as ulama keluar fatwa la. Sng citer.Masalah ummah dah ni.Dok senyap jek apa hal?? .... :)


Tapi, fatwa2 jugak ... jangan kuar fatwa yg wat "kami" pening.


oopsss, siapa "kami" tu ...


"Kami" ... gol. muda yg perlu bimbingan, teguran & nasihat.


Bukan Fatwa yang ANGKUH, tapi satu fatwa yang tulen & berhemah.


Hand down to Harussani ...


mmmm ... ulama yg tidak pernah "mencarut" tp kini di injak dan dipandang serendah2nya bila mmberi pendapat yg tidak selairan ...


Apakah kamu saja yang benar


I DONT KNOW ~


Tak hormat NAJIB / UMNO / BN / PAS / PKR ... x apa ...


but please ... hormatilah HARUSSANI.


(Atau kita sudah menjadi masyarakat bodoh yg tidak tahu untuk menghaormati seorang ULAMA. dan tambah lagi sekarang, dr. ridhuan jugak di kritik .... x pahammm. apa dah jadi ...)


wallahulam
Frodo Baggins said…
jap nak ingat sejarah tingkatan 4 jap.


mmmmmmm


dulu menentang gagasan malayan union & kalau x silap masyarakat waktu tu nak sedarkan sultan2 melayu yang MU akan ambil kuasa yang ada pada mereka, dan mereka hanya bertanggungjawab dalam agama islam jer.


Bukan kah lepas itu sultan jugak ikut sama membantah Malayan Union? Bantahan masyarakat masa tu xder lah sama dengan org sekarang yg membantah cara MOROON! Menghina x ingat. Ulul Amri x der pulak nak ingat. At least, org2 tua zaman dulu, membantah cara berhemah dan masih tahu ada garis yg perlu mereka patuhi.

apa garis itu? HORMAT


Org melayu bangkit menentang, bukan sebab ini dah jd budaya kita .. tp disebabkan semangat untuk menyelamatkan ISLAM, SULTAN & TANAH MELAYU ...

kalau nak samakan perjuangan org2 tua kita dulu dengan sekarang ... banyaklah bezanya ...


chooopppp, ko gelak dengan sinisnyer perhal? per yg klaka sangat? nampak bijak ... tapi ...


Buku bab berapa? tajuk bab berapa? aku x abis mengkaji, atau mungkin lupa, atau mungkin aku x blaja pun ...


to you xenan ... dan sahabat2 lain. Aku x kisah korank nak menentang ISA atau tidak. Tapi biarlah dengan cara yang betul. Anda yakin kiranya PR memerintah ISA akan dimansuhkan? mungkin ya & mungkin tidak ...


Bagi aku, lepas tengok demonstrasi lepas, aku lebih yakin yg ISA wajar dikekalkan. Ada ISA dah macam ni, apatah lagi kalau xder. Hmmmmm ~ AKU MEMBANTAH DEMONSTRASI JALANAN!


Bagi aku yg kurang bijak dalam hal2 politik ni, nasionalis yang tulen x dikuasai emosi tapi bijak, planning & stratgy harus mantap bro. Korank ingat atuk nenek kita dulu g halau jepun n british kuar rumah bawak parang tanpa fikir haper2 strategy yg bijak ke?? meka x belaja tinggi, tp nasionalisme dalam darah meka TULEN!! korank rasa nasionalisme korang ni TULEN ker? atau satu nasionalisme yang ANGKUH? Tell me ~


wallahualam

wassalam
parjo_7 said…
salam...
ermm...nampak anda lbh suka berdiskus diruangan terbuka begini...harap2 apa yg kita bincangkan dijauhi dari sifat2 mazmumah dlm diri kita..
jangan tersalah tafsir mengenai keutamaan dalam islam...dan jgn tersalah tafsir apa yg tlh sy tulis sblm ini...sy x pernah mengatakan atau melihat islam berasaskan autoriti...anda jgn terlalu mudah membuat kesimpulan dan menilai seseorg itu...
nasihat sy anda jgn bertindak semborono dlm hal2 berkaitan disiplin ilmu-ilmu islam teruatamanya ilmu fiqh...kalo kita x pandai...kita tanya orang yg mahir...dlm al Quran sendiri menekankan perkara ini...
dlam bab hukum hakam dlm islam...autoriti itu diberi kpd ulama mengikut disiplinnya...ini bukan beerti islam berasaskan autoriti...tapi orang yg mahir dan diyakini ilmunya diberi tempat dlm masyarakat berdasarkan hujah2nya...ianya berbeza dlm bab amar maaruf nahyu munkar...dlm hal amar maaruf ini...semua yg mengaku islam wajib mengamalkannya berdasarkan kemampuan...ianya sptmana hujah yg anda tlh berikan iaitu nabi menyuruh kita menyampaikan walaupun satu ayat...
spt yg sy bgtau sblm ini...dlm bab menetapkan hukum bg sesuatu perkara yg baru...ianya diberi autoriti pd yg mahir...dan bg sesebuah negara...mufti adalah yg paling berautoriti...itupun mengikut disiplin ilmu dan kaedah menetapkan sesuatu fatwa...bukannya blh semborono utk seseorg mufti itu mengeluarkan hukum...dan suka utk sy nyatakan...kita kena tahu membezakan samada ianya pendapat peribadi mufti itu sendiri atau ianya adalah fatwa berdasarkan disipilinnya samada fatwa itu digazetkan ataupun tidak digazetkan...sy harap penerangan ringkas ini dpt menjernihkan anda..insyaAllah..

anda blh rujuk e fatwa utk mengetahui bagaimanakah kaedah dan disiplin2 yg harus diikuti dlm proses menetapkan sesuatu hukum itu sehingga ianya menjadi fatwa yg digazetkan...ianya penting agar kita sbg org awam ini tidak mudah tergolong dlm golongan menghalalkan yg haram dan mengharamkan yg halal...besar dosanya walaupun hanya dgn menerbitkan atau menyebarkan satu artikel tanpa ada rujukan dan ilmu yg sahih...
parjo_7 said…
salam...
mengenai jawapan : apakah rujukan dan huraian saya salah? tunjukkannya jika saudara benar2 tahu. saya percaya jika hal ini dikatakan oleh Harussani yang berpengalaman itu pun, pasti pas akan menolaknya, betul tak?

dlm hal memberi jawapan samada rujukan dan huraian anda betul atau salah... ianya spt yg sy bgtau sblm ini..sy bukan org yg berautoriti utk menetapkan hukum...sy blh mengambil ijtihad ulama lain sbg pegangan...tapi sy x blh memaksa org lain utk menerima pendapat dan ijtihad yg sy pegang...spt isu ISA ini..sy blh mengambil pendpt ulama yg cenderong mengharamkannya...begitu juga anda blh mengambil pendpt yg mengharuskan ISA...yg pentingnya mempunyai dalil dari sumber yg sahih...ini kerana setiap muslim berhak mencari kebenaran dan mengamalkannya berdasarkan hujah dari sumber yg sahih...sbb itulah apabila sesuatu isu itu menjadi pertikaian org awam... mufti haruslah bertindak segera utk mengeluarkan fatwa sehingga ianya digazetkan...
dlm bab menetapkan sesuatu hukum itu..seseorg ulama atau ustaz atau mufti perlu berlaku adil...perlu bg mereka menimbang pendapat yg mengatakan ianya haram dan perlu juga menimbang pendpt yg mengatakan ianya halal...tetapi hal ini tidak berlaku dlm artikel yg telah anda publish kan ini...sy x tahu samada anda yg tulis atau hanya copy paste sahaja...sbb itulah sy ingatkan anda dan diri sy sendiri agar jgn termasuk didlm golongan yg mengharamkan yg halal dan menghalalkan yg haram...berdosa besar...sedangkan para imam2 mazhab yg 4 itu sgt takut utk berfatwa...dan adakalanya tanpa segan silu mengatakan tidak tahu...apakah kita disini begitu mahir dgn segala ilmu islam...tepuk dada...tanya hati...alimkah kita...
biarpun harussani yg berkata-kata..pastikan adakah ianya "fatwa" setelah mengikut kaedah menetapkan sesuatu "fatwa"...ataupun ianya adalah fatwa atau pendapat peribadi beliau sahaja...ada beza tu...jgn main sondol jer...
Xenan said…
brader hobbit frodo,

Cuba baca buku selebihnya.Jgn ingat buku teks sahaja.Cuba cari peranan sultan ketika MU.Cuba cari sapa penganjur demo menentang MU yg sebenar.Dan cuba cari sapa yg tertangkap setelah demo itu.

Kalau saya cerita tak guna jugak.kemungkinan besar saudara tak percaya.

Tak cukup kot buku teks.General sgt.

Actually sgt suka berkomen di sini.Org kat sini tak mencarut banyak sgt tk mcm di parpukari n perakbangkit.

Sorry kalau terlebih kurang.
azlishukri said…
xenan - seperti yg saya jelaskan saudara harus membaca komen saya keseluruhannya. demo menentang sultan yang sanggup bersengkongkol dengan british bagi menghapuskan kuasa islam yang ada pada sultan itu sendiri, dan apabila sultan sudah sedar, tidak timbul demo itu diadakan untuk menjatuhkan kesultanan.

Pilihan Pembaca

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca

Lagi Kisah Siti Nurhaliza : Mana Perginya Produk CTea?

Lagi Kisah Siti Nurhaliza Mana Perginya Produk CTea? Oleh Satu Hala (Malaysia Instinct) Inilah antara benda-benda yang buat sakit hati dengan orang kaya Melayu ni. Datuk K sanggup perabis RM66,550 untuk beli nombor plate KCT 1 untuk isteri tercinta, Datuk Siti Nurhaliza. Kononnya cintan maut habislah tu kan. Tak tahulah kot-kot Rozita Che Wan yang dulu orang kata dapat Mercedes dari Datuk K (lepas dah kahwin dengan Siti) pun akan dapat nombor plate yang sama. Gasaklah hal Rozita Che Wan tu. Yang penulis tertarik nak tulis ialah sikap orang macam Datuk K dan Siti Nurhaliza. Parasit adalah perkataan paling tepat. Tahu tak Siti Nurhaliza adalah pemohon pinjaman Tekun untuk bisnes barang solek Simply Siti. Kalau tak percaya, pergilah cek dengan Tekun. Pasti nama Siti akan terpacul. Sakit hati betul penulis dengan orang-orang macam ini. Dah tahu duit banyak, gunalah duit sendiri untuk berniaga, tak pun pinjamlah bank. Gi pinjam dengan Tekun tu buat apa? Mentanglah bayar

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil