Skip to main content
(Tazkirah ini telah saya sampaikan di Dewan Bahasa dan Pustaka
Pada 4/8/2008 jam 8.45 pagi)

Oleh Muhammad Azli Shukri

Assalammualaikum warahmatullahiwarakatuh...


Firman Allah dalam surah al-Mulk yang bermaksud, Maha Suci Allah yang di tangan-Nya kerajaan (pemerintah) dan Dia Maha berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun (ayat 1-2).


Pengajaran dalam Ayat tersebut sangat jelas, yakni Allah SWT menjadikan kematian dan kehidupan sebagai satu ujian kepada hamba-hambanya. Sejak belakangan ini, organisasi tercinta kita ini sering didatangi berita kematian yang sangat mendayukan hati dan perasaan kita. Kesedihan yang kita alami tidak mungkin menghidupkan semula rakan-rakan kita yang telah pergi. Hanya doa yang mampu kita berikan, agar roh mereka dicucuri rahmat.


Menyentuh soal kematian, kita tidak dapat lari daripada mempersoalkan bekalan amalan yang sedang kita kumpul. Adakah mencukupi? Atau pun sebaliknya? Selain himpunan amalan fardu ain dan ibadat khusus yang wajib bagi setiap Muslim dan Muslimat lakukan seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya, kita juga sebenarnya tidak boleh alpa dan lupa bahawa kita sama sekali tidak akan terlepas daripada segala tanggungjawab yang telah Allah amanahkan kepada kita. Tanggungjawab sebagai suami, sebagai isteri, sebagai anak dan sebagai pekerja, semua itu akan dihitung di akhirat kelak. Perhitungan Allah terhadap kita di akhirat nanti bukanlah sekitar ibadat khusus semata-mata, bahkan lebih jauh daripada itu.


Saya mengambil contoh diri kita sendiri yang sekarang bergelar sebagai pekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Apakah kita sudah melaksanakan tanggungjawab dan amanah kita dengan sebaik-baiknya sebagai seorang pekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka? Pernahkah kita bertanyakan soalan ini kepada diri kita? Dan pernahkah kita menyoal bahawa sesungguhnya, tugas dan tanggungjawab aku di Dewan Bahasa dan Pustaka ini turut akan diperhitungkan oleh Allah di akhirat kelak? Apakah sudah cukup bagi kita hanya dengan menjaga segenap ibadah khusus harian kita semata-mata? Lupakah kita dengan firman Allah dalam surah al-mukminun ayat 8-11 yang bermaksud, “Dan orang-orang yang memelihara amanah dan memenuhi janjinya. Dan yang menjaga sembahyang. Itulah orang-orang yang mempusakai. Mereka yang mempusakai syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.”


Subhanallah, alangkah beratnya untuk memasuki syurga Firdaus dengan tiga syarat yang Allah berikan tersebut, yakni memelihara amanah, memenuhi janji dan menjaga solat. Apakah kita sudah mengira bahawa bekalan kita sudah mencukupi dalam ketiga-tiga syarat yang Allah tetapkan tersebut sebelum kita meninggalkan dunia yang fana ini? Lantas seharusnya, jika kita memahami dan menyedari, sesungguhnya kita sudah tidak ada masa lagi untuk mencari, membuka aib dan menjaga tepi kain orang lain. Lantaran rasa bimbangnya kita terhadap bekalan amal kita dalam aspek-aspek yang telah Allah sebutkan dalam ayat tersebut, yang pada perkiraan kita, kita masih jauh daripada mencukupi. Ada benarnya kata-kata Imam al-Ghazali ini, “Yang jauh itu masa, yang dekat itu mati, yang besar itu nafsu, yang berat itu amanah dan yang indah itu adalah solat.”

Tuan-tuan dan puan-puan Rahimukumullah,


Berbalik kepada persoalan tanggungjawab. Apakah tanggung jawab asas kita sebagai seorang pekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka pada hari ini? Tidak kira kita bekerja di bahagian mana sekali pun, di bahagian kewangan, di bahagian majalah, di bahagian sumber manusia, semuanya mempunyai satu tanggungjawab asas yang sama. Yakni tanggungjawab mempertahankan maruah dan nama baik organisasi kita. Isu yang tersebar luas pada ketika ini ialah tohmahan yang mendakwa bahawa, Apakah Dewan Bahasa dan Pustaka pada ketika ini masih relevan atau sebaliknya?


Ketika maruah DBP dipijak-pijak dan persenda-sendakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, di manakah kita? Sebagai seorang pekerja DBP? Apakah peranan dan tanggungjawab kita ketika ini? Amanah yang kita pikul adalah mempertahankan harga diri dan organisasi kita ini. Tempat kita mencari rezeki.


Apabila ada pihak yang mempersoalkan kerelevanan DBP, tanyakan semula kepadanya, mari kita sama-sama pejamkan mata dan cuba bayangkan Malaysia tanpa DBP? Tanpa bangunan DBP, tanpa buku-buku teks terbitan DBP, tanpa karya-karya sastera dan bahasa terbitan DBP, tanpa tokoh-tokoh bahasa dan sastera yang dilahirkan oleh DBP, tanpa segala aktiviti kebudayaan, kesenian dan sastera anjuran DBP, tanpa dokumen-dokumen sejarah yang tersimpan rapi di DBP, semuanya tiada, cubalah kita bayangkan bersama dalam kota minda kita untuk beberapa saat bahawa Malaysia tanpa DBP dan tanpa semua yang saya sebutkan di atas itu.


Sudah pasti kita semua akan terharu dan berasa bahawa DBP sangat banyak jasa dan pengorbanannya selama ini. Kita akan berasa sedih dan kehilangan khazanah negara yang tidak ternilai harganya. Semua ini akan menjawab persoalan sama ada DBP masih relevan atau pun tidak. Namun demikian, yang memungkinkan DBP menjadi tidak relevan ialah apabila kita sendiri sebagai pekerjanya melakukan tindakan-tindakan yang tidak relevan dengan fungsi dan matlamat penubuhan DBP itu sendiri, yakni kita tidak memelihara amanah dan janji yang telah kita ikrarkan selama ini untuk DBP, dan apabila kita tidak memenuhi tanggungjawab dalam memelihara amanah dan janji kita untuk DBP, maka, sudah tentu masyarakat akan berkata “Sesungguhnya DBP tidak lagi relevan pada masa kini”.


Justeru itu, saya menyeru kepada diri saya, tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita bersama-sama bermuhasabah, melihat dan merenung di manakah kedudukan kita ketika ini, apakah kita sudah menjalankan amanah dan tanggungjawab di DBP sebagai pekerjanya untuk kita jadikan bekalan bertemu Tuhan Rabbul a’lamin di padang mahsyar nanti. Saya ucapkan terima kasih kerana tuan-tuan dan puan-puan sudi mendengar tazkirah pendek ini, saya akhiri dengan ucapan Jazakumullah hukhairan kathasiran wa syukran jazilan.

Comments

Cheguman said…
Jika pasukan bomba berjaya mendidik rakyat mengelakkan kebakaran sehingga tidak berlaku sebarang kebakaran di negara kita selama 99 tahun, maka orang ramai akan beranggapan bahawa penubuhan pasukan bomba hanyalah satu pembaziran wang rakyat.
azlishukri said…
betul tu cikgu man..

Pilihan Pembaca

Daripada Rakyat Kepada Rakyat : Ke mana Mukhriz Selepas Ini?

Daripada Rakyat Kepada Rakyat Kita harus bersyukur - sesungguhnya "Kem Kebenaran" sudah menang. Setidak-tidaknya gandingan Datuk Seri Najib bersama Tan Sri Muhyiddin sangat sesuai dan mampu meneruskan perjuangan UMNO. Setakat ini, nampaknya kumpulan bersih telah berjaya mewarnai dan menerajui kepimpinan tertinggi UMNO - walaupun saya agak kecewa sedikit dengan kekalahan Datuk Seri Rais Yatim dan Datuk Mukhriz Mahathir. Namun demikian, suara lantang masih wujud di dalam UMNO. Datuk Seri Shahrizat dalam ucapannya setelah bergelar Ketua Wanita UMNO, turut mengucapkan terima kasih beberapa kali kepada Tun Mahathir - kerana banyak menyokongnya dalam dunia politik. Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Najib juga dikatakan sangat rapat dengan Tun Mahathir - ini menandakan, InsyaAllah mungkin banyak idea dan pandangan Tun Mahathir akan didengari selepas ini. Saya ucapkan tahniah juga kepada Datuk Seri Hishamuddin, Datuk Syafie Apdal dan Datuk Seri Zahid Hamidi kerana berjaya seperti mana...
Kebenaran Tanpa Penghujung Oleh Muhammad Azli Shukri "Manusia menjadi musuh dengan apa-apa yang tidak diketahuinya." - ini adalah pepatah orang-orang Arab. Bukan hadis nabi. Namun demikian, kata-kata ini banyak kebenarannya. Saya sedikit agak kecewa, bahkan mungkin merungut sedikit. Saya memohon maaf jika tulisan saya kali ini agak pedas dan keras (syadid) sikit daripada biasa. Hal ini adalah kerana saya sememangnya tidak gemar apabila seseorang begitu mudah memberi hukum tanpa usul periksa. Isu memboikot barang-barang tertentu yang jelas bersekongkol dengan Israel, saya tegaskan bahawa saya sangat bersetuju dilaksanakan, tetapi lakukan boikot tersebut dengan bijaksana dan berhikmah. Bukan dengan membuta-tuli atau berlandaskan kejahilan serta kebodohan yang kita miliki. Umat Islam menjadi lemah adalah disebabkan sifat ingin tahu mereka terlalu rendah. Malah, untuk mencari ilmu pengetahuan pun kita begitu malas. Umat Islam, khususnya di Malaysia- lebih gemar mendengar khabar a...
KENALI DATUK MUKHRIZ MAHATHIR Siri Pertama "Saya membesar seperti kanak-kanak lain." Oleh Muhammad Azli Shukri Menelusuri kehidupan zaman remaja Datuk Mukhriz Mahathir, sangat teruja. Anak ketiga kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad ini begitu ceria sewaktu membicarakan zaman remajanya kepada penulis. “Zaman remaja saya penuh dengan keriangan, saya seperti kanak-kanak lain, hidup dalam budaya Melayu yang sangat menekankan soal adat dan agama Islam.” Ujar Mukhriz ketika memulakan perbualan. “Saya dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan dan agama, ayah saya Tun Mahathir sangat tegas dalam pendidikan kami. Walaupun beliau sibuk sebagai ahli politik, namun pendidikan anak-anaknya sangat diambil berat.” Sambung Mukhriz lagi. Menurut beliau, zaman remajanya sangat menarik untuk dikongsi bersama. Walaupun keluarga Mukhriz sangat dihormati oleh masyarakat pada ketika itu, kerana Tun Mahathir merupakan seorang doktor perubatan, namun hubungan...