Skip to main content
Penindasan Islam
Harus Jadi Iktibar
Oleh Muhammad Azli Shukri
(Artikel saya ini telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 09/12/2003)

Sekadar meminjam kata-kata Ben Gurion, bekas Perdana Menteri Israel, yang menyatakan bahawa, “sesungguhnya yang paling menakutkan kami ialah kalau di dalam dunia Islam akan lahir seorang Muhammad yang baru.'' Jelas, bait-bait kata tersebut merupakan manifestasi kebimbangan musuh-musuh Islam, yang sentiasa gelisah menanti hari kebangkitan dan kemenangan bagi umat Islam. Seperti mana yang telah dijanjikan oleh Allah dalam surah an-Nur ayat 55 yang bermaksud, “Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman di antara kamu (Muslimin) dan mengerjakan perbuatan baik, bahawa mereka akan diberi kekuasaan di muka bumi, sebagaimana telah diberikan Allah kepada orang-orang yang sebelum mereka dan akan diteguhkan kedudukan agama mereka yang telah disukai Allah dan akan menukarkan perasaan cemas menjadi aman sentosa. Mereka menyembah Aku dan tidak mempersekutukan-Ku dengan sesuatu apa pun. Barang siapa yang ingkar sesudah itu, mereka adalah orang-orang yang jahat.”


Perkembangan terkini di dunia Islam khususnya Asia Barat, sudah jelas memperlihatkan cengkaman Zionis yang semakin rakus. Masyarakat dunia sudah tidak berupaya lagi. Kedudukan negara Israel yang disokong kuat oleh Amerika Syarikat sebagai sebuah negara unipolar tidak mungkin dapat disentuh oleh mana-mana negara di dunia ini. Malah kekuatan nuklear kedua-dua buah negara tersebut juga, tidak mungkin mampu ditandingi oleh mana-mana jua negara kuasa besar yang berada di atas muka bumi ini sekarang. Seperti kata Ariel Sharon dalam tahun 1973 ketika masih menjawat Menteri Pertahanan, “kini Israel merupakan negara kuasa besar dalam bidang ketenteraan. Semua pasukan negara-negara Eropah lebih lemah daripada pasukan kita. Israel boleh menakluki seluruh wilayah dari Khartoum ke Baghdad dan Algeria dalam masa satu minggu.”



Soalnya sekarang, apakah kita mampu membayangkan lagi kekuatan mereka setelah 30 tahun kenyataan di atas berlalu? Jawapannya sudah pasti tidak. Dan bagaimanakah pula cara umat Islam menghadapi kekuatan musuh-musuhnya yang berlipat kali ganda daripada mereka?



Jawapan untuk kesemua soalan di atas hanya didapati setelah kita selesai menyingkap dan menyelami hakikat sejarah awal umat Islam yang telah terbentuk di kota Mekah 1400 tahun yang lalu. Dan Jangan sama sekali kita menyangka umat Islam tidak pernah menerima penyeksaan dan kesusahan seperti mana yang sedang berlaku pada hari ini. Sejarah membuktikan Umat Islam sudah mempunyai pengalamannya semacam ini pada fasa pertama perkembangannya. Penindasan dan penyeksaan ke atas masyarakat awal Islam di kota Mekah tidak mungkin mampu disebut kesemuanya. Namun, keimanan, kesabaran dan keutuhan hati baginda Rasulullah serta para sahabatnya, mampu menahan segala bentuk penyeksaan fizikal yang sedang mereka alami. Di sinilah letaknya kekuatan Islam pada awal perkembangannya di kala masyarakat Islam Mekah masih lemah. Sehubungan itu, tiada cara lain untuk umat Islam bangkit dan bangun semula melainkan seluruh umat Islam harus memikirkan kembali di manakah kedudukan serta posisi mereka pada hari ini.



Mahu atau tidak, umat Islam harus segera kembali melihat sejarah mereka dan menggunakan uslub dan manhaj yang bersesuaian dengan waqi' nya (realiti) yang pernah dicatat dalam lipatan sejarah. Agar roh kejayaan dan kegemilangannya dahulu dapat dikembalikan semula seperti kaedah usul fikah, qias. Apabila terjadinya illat (sebab atau kesan) yang sama pada dua perkara yang berbeza, maka qias akan digunakan untuk menentukan hukumnya yang sudah tentu sama, kerana berasaskan kepada illatnya yang juga sama.



Begitu jugalah dengan sejarah umat Islam, kaedah usul fikah seperti ini boleh diaplikasikan terhadap disiplin ilmu sirah, dengan cara menyelami dan menganalisis akan suasana, keadaan serta situasi umat Islam yang sedang berlaku pada hari ini dan kemudian dikiaskan kepada peringkat-peringkat tertentu di dalam sejarah umat Islam yang memiliki ciri serta kriteria yang sama dengannya, agar umat Islam benar-benar dapat meletakkan diri mereka pada kedudukan yang sewajarnya serta berpijak pada bumi yang nyata. Dan bukannya berimaginasi serta berkhayal dengan suasana umat Islam yang sedang memegang tampuk kekuasaan seperti mana suatu ketika dahulu.



Kegagalan pemimpin dan umat Islam dalam melihat realiti ini, akan menjerumuskan mereka ke dalam situasi yang cukup mudah menghukum orang lain, merosakkan ketenteraman orang lain serta mengamalkan pendekatan dakwah yang tidak tepat dan tidak kena pada masanya.



Oleh kerana itulah, umat Islam harus segera merenung kembali sejarah mereka. Malah al-Quran sendiri dipenuhi dengan pelbagai lipatan sejarah, yang merangkumi pelbagai bangsa dan zaman untuk umat Islam mengambil iktibar serta melihat perjalanan sejarah yang silih berganti di antara kemenangan dan kekalahan.



Umat Islam harus sedar, bahawa musuh-musuhnya sentiasa bimbang menunggu saat kebangkitan Islam yang telah dijanjikan oleh Allah. Perkara ini jelas tergambar daripada kata-kata Montgomery Watt, seorang orientalis Inggeris, "kalau sudah ditemukan seorang pemimpin Islam yang berkelayakan dan berbicara dengan suara Islam yang tepat pula, mungkin sekali agama ini akan menjadi kekuatan politik yang besar di dunia ini sekali lagi.”



Nada yang sama turut diutarakan oleh seorang ahli falsafah Inggeris, George Bernard Shaw yang mendakwa, “saya selalu menghargai agama Muhammad setinggi-tingginya kerana kemampuannya yang sangat mengagumkan. Inilah satu-satunya agama menurut pendapat saya yang mempunyai kemampuan menangani segala perubahan alam yang menjadikan agama ini dapat dilaksanakan pada setiap zaman.” Kenyataan-kenyataan sebegini disuarakan oleh tokoh-tokoh barat disebabkan pengamatan mereka yang sangat tajam terhadap sejarah umat Islam itu sendiri. Sehingga mereka dapat merasakan bahawa umat Islam mampu bangkit, seandainya mereka bijak mengambil iktibar serta tahu meletakkan kedudukan mereka sekarang pada garis masa yang sama dengan sejarah mereka dahulu, agar kita, umat Islam dapat menggali serta mengambil kaedah dan metodologi yang tepat dalam menghadapi musuh-musuhnya. Sekali gus mengembalikan kecemerlangan Islam dalam pelbagai aspek dan lapangan.



Ekoran daripada itu, tidak hairanlah Alvin Toffler, seorang ahli kritikal sosial Barat, telah mengandaikan umat Islam akan bangkit dari sebelah Asia Tenggara. Pengamatan ini berasaskan kepada kecemerlangan negara-negara membangun di rantau ini, seperti Malaysia yang telah berjaya membuktikan bahawa umat Islam mampu menguruskan negara serta ekonominya secara berkesan. Malah secara tidak langsung ia telah menjadi contoh dan ikutan kepada negara-negara Islam lain di seluruh dunia. Justeru itulah beliau sanggup menyatakan, “kamu di sini merupakan ujian kepada Islam. Jika kamu berjaya memajukan negara dan rantau ini, kamu akan membuktikan kepada dunia bahawa Islam adalah agama yang progresif, berbeza daripada tanggapan biasa Barat. Pusat perkembangan Islam akan berubah dari Timur Tengah, tempat asal tradisinya ke rantau ini, (Asia Tenggara).”



Dan kenyataan Alvin tersebut benar-benar bertepatan dengan hasrat Tun Dr. Mahathir yang mahu melihat umat Islam mengembalikan semula imej mereka yang telah tercemar dengan cara memajukan ekonomi serta mengelakkan sebarang peperangan yang merugikan diri mereka sendiri, apatah lagi dalam saat-saat umat Islam masih lemah dan saling berpecah belah. Seperti mana kata-kata beliau, “satu keputusan telah diambil untuk menukarkan rantau ini daripada pergolakan kepada keharmonian, aman dan selamat, menukarkan rantau ini daripada prasangka kepada persahabatan, rantau yang miskin dan mundur kepada zon dinamik yang sejahtera dan bekerjasama dan dari rantau keamanan dingin dan perang dingin ke masyarakat yang akrab, serta keterlibatan menyeluruh dan bekerjasama' (ucapan beliau ketika keputusan mewujudkan badan kerjasama serantau ASEAN ).



Kejayaan Malaysia menggunakan uslub dan manhaj yang tepat selama ini telah membuahkan hasilnya. Kini Malaysia tidak hanya berjaya menjadi sebuah negara Islam yang disegani, tetapi lebih daripada itu, Malaysia juga berupaya membantu negara-negara Islam lain dalam pelbagai aspek, seperti pengurusan, ekonomi berteraskan syariah, pendidikan dan teknologi. Oleh itu, nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada negara Malaysia, tidak hanya dirasai oleh umat Islam di negara ini sahaja, bahkan seluruh dunia Islam turut mendapat bantuan dalam pelbagai aspek.



Justeru itu, umat Islam kini sudah mula mempunyai tempat untuk bergantung dan menaruh harapan. Kejayaan yang telah diperoleh Malaysia, banyak bergantung kepada pendekatan uslub dan manhaj yang tepat serta mengikut realiti masyarakatnya. Kita tahu kita masih lemah, maka kita mesti banyak bersabar dan berusaha. Dan bukanya tergopoh gapah untuk mencapai segenap kejayaan dalam sekelip mata. Sebaliknya kita mesti mengetahui mana perkara yang harus didahulukan dan mana yang di kemudiankan, bersesuaian dengan kaedah fiqh al-awwaliyyat (keutamaan).



Perkara sebegini juga dapat dilihat ketika masyarakat Islam Mekah ditindas oleh orang-orang kafir Quraisy. Mereka banyak bersabar dan mengatur gerak kerja secara cermat. Dan mereka sama sekali tidak tergopoh gapah menentang orang-orang kafir Quraisy dalam saat mereka masih lemah dan memerlukan bantuan.



Justeru itu, sama ada suka atau tidak, umat Islam harus segera bertindak dan mengikut tatacara Rasulullah dan para sahabatnya ketika menghadapi zaman penindasan dan tekanan daripada orang-orang kafir Quraisy di kota Mekah. Dan akhirnya marilah sama-sama kita mengambil iktibar daripada ucapan bahaya Paderi Simon, “Persatuan umat Islam memang menjadi impian di kalangan ramai umatnya dan dengan itu akan dapat menolong mereka membebaskan diri daripada kuasa Barat. Di sinilah pentingnya peranan Missionaris untuk mematahkan kekuatan Muslimin. oleh kerana itu kita harus dapat merubah arah kaum Muslimin dan menjauhkan mereka daripada cita-cita persatuan.”

Comments

Kikuri-hime said…
This is such an eye-opener! I like this entry the most.

"Kegagalan pemimpin dan umat Islam dalam melihat realiti ini, akan menjerumuskan mereka ke dalam situasi yang cukup mudah menghukum orang lain, merosakkan ketenteraman orang lain serta mengamalkan pendekatan dakwah yang tidak tepat dan tidak kena pada masanya."

This is, sadly, true in regards to the current situation nowadays.... *sigh*...
S.YanaZ said…
Azli,
kenapa tiada rencana pilihan 2008?
:]
azlishukri said…
ha..ha..soalan bagus tu..tengah tunggu Q
Cheguman said…
"Kegagalan pemimpin dan umat Islam dalam melihat realiti ini, akan menjerumuskan mereka ke dalam situasi yang cukup mudah menghukum orang lain, merosakkan ketenteraman orang lain serta mengamalkan pendekatan dakwah yang tidak tepat dan tidak kena pada masanya."

Pembacaan saya juga terhenti pada perenggan ini. Saya melihat di situ lah berakhirnya sebuah kesilapan dan di situ juga boleh kita mulakan suatu perjuangan.

Teruskan menulis Azli meski saya kekadang terleka dgn blog2 politik yg memualkan.
azlishukri said…
sungguh mengasyikkan cheguman..
Anonymous said…
incik azli...

nak jadi kuat hendak lah umat islam bersatu.... tetapi dapat ke kita berbuat demikian sedangkan dalam negara kita sndri kacau bilau sesama islam... pikir2kan...
azlishukri said…
betul tu anis..walau apapun kita harus berusaha untuk menyatupadukan umat Islam di malaysia.
Artozy said…
aku suka buku Alvin Toffler The Third Wave. -iklan-
Yana Ismail said…
Entry yg sgt bgus:)

Btol tu...musuh2 Islam takot...sebab tu mereka buat mcm3 nak burukkan orang Islam..
S.YanaZ said…
Azli,

Pak Nwar menanggg d Permatang Mango...
azlishukri said…
shariah..nak buat mcm mano..kubu kuat dia..
hans said…
yups...
pemimpin Islam sekarang lebih mementingkan kuasa dan periuk nasi masing2...
umat islam dkt malaysia pun masih tidak sedar...
tidak bersatu padu...
asyik bergaduh...
yang mundur bangsa islam..
sedangkan bangsa lain semakin tinggi dari segala sudut tarak kehidupannya..
sama2 lah renung2 dan fikir2kan
When someone says you can't do something, it shows that anything
is possible. When you put your mind to a certain thing, it can
happen. The biggest thing is nothing is impossible. All it takes is
an imagination.......
azlishukri said…
hans- betul, saya setuju

Zam-terima kasih, ayat yang mengasyikkan
Kekeuatan ketenteraan Israel memang sudah jauh ke hadapan. Senjata nuklearnya dibiarkan tanpa diperiksa tetapi Iran diberikan tekanan tidak habis-habis.

Saudara Azli,
Apa status artikel yang sudah saya hantar?
azlishukri said…
nadzri- artikel saudara akan disiar dalam Dewan Ekonomi bulan 10
Quote:
"Justeru itu, sama ada suka atau tidak, umat Islam harus segera bertindak dan mengikut tatacara Rasulullah dan para sahabatnya ketika menghadapi zaman penindasan dan tekanan daripada orang-orang kafir Quraisy di kota Mekah. Dan akhirnya marilah sama-sama kita mengambil iktibar daripada ucapan bahaya Paderi Simon, “Persatuan umat Islam memang menjadi impian di kalangan ramai umatnya dan dengan itu akan dapat menolong mereka membebaskan diri daripada kuasa Barat. Di sinilah pentingnya peranan Missionaris untuk mematahkan kekuatan Muslimin. oleh kerana itu kita harus dapat merubah arah kaum Muslimin dan menjauhkan mereka daripada cita-cita persatuan.”
-posted by Muhammad Azli Shukri at 3:43 PM on Aug 25, 2008


benar, missionaris telah dan sedang hebat diperkatakannya sekarang, bermula daripada
suatu waktu yang lama dulu, telah mereka coba untuk mendapatkan tanah dan sedikit tempat bagi bani israel di muka bumi Palestin dengan apa jua kemahuan raja abdullah, tetapi sama sekali ditolak.

kini dengan cara menggunakan tentera israel yahudi zionis (lakhnatullah) sebagai pemudah cara, mereka rasa mereka telah berjaya,

tidak! sama sekali mereka tidak berjaya.

salam hormat,
zr

Pilihan Pembaca

10 Buku Paling Kontroversi Di Malaysia

Di bawah ini saya senaraikan 10 buah buku yang pada perkiraan dan pendapat saya, merupakan buku-buku yang penuh dengan kontroversi serta memberi impak besar ke atas masyarakat Malaysia, baik dari aspek politik, agama mahu pun perkauman. Saya mengalu-alukan sebarang komen daripada tuan-tuan sekiranya terdapat penambahbaikan dalam senarai ini. Harap maklum. 10 Buku Paling Kontroversi Di Malaysia 1. Falsafah Takdir (1932) : Pendita Za'ba 2. Dilema Melayu (1970) : Mahathir Mohamad 3. Aurat Muhammadiyah Pegangan Darul Arqam (1985) : Ashaari Muhammad 4. Hadis : Satu Penilaian Semula (1986) : Kassim Ahmad 5. 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM (1998) : Khalid Jeffry 6. Shit (1999) : Shahnon Ahmad 7. Khairy Jamaluddin Bakal Perdana Menteri? (2004) : Yahaya Ismail 8. The March To Putrajaya (2010) : Kim Quek 9. Menuju PAS Baru (2010) : Mujahid Yusuf Rawa 10. Interlok (Versi 2010) : Abdullah Hussien .

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca ...

Hafal Al-Quran Kerajaan Diminta Serius

Hafal Al-Quran Kerajaan Diminta Serius KUALA TERENGGANU 12 Julai — Sebanyak 1,286 pelajar di empat buah Sekolah Menengah Imtiaz di Terengganu berjaya menghafaz di antara satu hingga 30 juzuk al-Quran sehingga Mei tahun ini. Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Mohd Kamaru Al-Amin Ismail berkata daripada jumlah itu, 636 pelajar menghafaz antara satu hingga sembilan juzuk, 299 pelajar (10-14 juzuk), 193 pelajar (15-19 juzuk), 115 pelajar (20-29 juzuk) dan 43 pelajar (30 juzuk). “Ini satu kelebihan dan keistimewaan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Imtiaz kerana boleh menghafaz al-Quran di samping cemerlang dalam akademik,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. - Bernama Ulasan Saya : 1. Suka saya jika kerajaan meluaskan konsep hafazan al-Quran ini di sekolah-sekolah harian di seluruh Malaysia. 2. Terbukti jika pelajar boleh menghafal al-Quran dengan baik, mereka juga berupaya menghafal fomula-fomula sains dan matematik dengan sangat mudah. 3. Pengalaman saya mengajar di sekol...