Skip to main content
Nasionalisme dan Assabiyyah
Dua Konsep Berbeza

Oleh Muhammad Azli Shukri

(Artikel ini telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 25/08/2003)

Tahun ini merupakan tahun ke-51 tanah air kita mencapai kemerdekaan. Semua lapisan rakyat, tidak kira agama dan bangsa, telah menikmati kemakmuran dan keamanan, hasil daripada usaha dan perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan terdahulu. Tidak ternilai segala jasa dan pengorbanan mereka itu. Dan bersyukur merupakan sebahagian daripada tanda kenangan kita terhadap perjuangan mereka itu.


Kemerdekaan sama sekali tidak dapat dipisahkan daripada konsep nasionalisme. Iaitu semangat cinta akan tanah air dan bangsa sendiri. Namun begitu, terdapat segelintir umat Islam di negara ini, yang menyalah tafsirkan konsep nasionalisme sehingga ada yang sanggup mendakwa bahawa konsep tersebut merupakan konsep yang bercanggah dengan ajaran Islam. Dakwaan golongan ini adalah mudah. Iaitu nasionalisme adalah sama ertinya dengan assabiyah. Mereka berhujah berdasarkan sabda Rasulullah, “bukan daripada golongan kami orang yang menyeru kepada assabiyah, dan bukan daripada kami orang yang berperang atas dasar assabiyah dan bukan daripada kami orang yang mati atas dasar assabiyah.” (Riwayat Abu Daud).


Apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Rasulullah dengan perkataan assabiyah itu? Apakah assabiyah semakna dengan konsep nasionalisme itu sendiri? Soalan-soalan sebegini harus segera dijawab agar tidak lagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Nasionalisme berasal daripada perkataan Latin natio yang mendukung erti “kelahiran”. Pada zaman ini, nasionalisme sudah diterima sebagai istilah bagi suatu keyakinan politik. Malah daripada kalimah natio itu juga terbentuknya istilah-istilah lain seperti nation (bangsa), nationality (perasaan kebangsaan), nationalization (menjadikan sesuatu harta kekayaan sebagai hak milik negara) dan nation-state (negara bangsa).


Tokoh-tokoh sejarah barat seperti Hans Kohn mentakrifkan nasionalisme dengan agak sempit iaitu, “satu keadaan fikiran yang menyerap ke dalam jiwa segenap masyarakat dan mereka mengiktiraf negara bangsa sebagai bentuk organisasi politik yang unggul, dan bangsa sebagai punca bagi segala kehidupan budaya yang membina dan mengguna kebajikan ekonomi. Oleh itu kesetiaan ulung manusia adalah tertumpu kepada bangsanya, kerana kehidupannya sendiri adalah dipercayai berdasarkan kepada dan dimungkinkan oleh kebajikan bangsanya.”


Ini merupakan takrif golongan yang tidak beriman kepada Allah. Golongan seperti ini menjadikan perjuangan atas nama bangsa sebagai perjuangan untuk mencapai segala-galanya. Sedangkan dalam Islam, konsep nasionalisme diletakkan pada kedudukannya yang sesuai dan wajar, serta tidak terkeluar daripada garis syariat itu sendiri. Oleh kerana itu, Islam sama sekali tidak menolak kesemua ciri yang terdapat di dalam konsep nasionalisme tersebut. Menurut Islam mana-mana ciri nasionalisme yang sesuai dengan roh dan syariat Islam, maka ia harus diterima, manakala ciri yang terpesong daripada ajaran Islam, maka ia harus segera ditolak. Ada benarnya juga apa yang telah di dakwa oleh bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Muhammad Abdul Rauf, “konsep Barat yang sempit mengenai nasionalisme tidak ada tempat di dalam negara Islam.”


Di Malaysia, terjadinya salah faham terhadap konsep nasionalisme dalam kalangan masyarakat di sebabkan kesilapan mereka sendiri, yang memahami nasionalisme di Malaysia merupakan nasionalisme yang ditakrifkan oleh orang-orang barat seperti di atas. Sedangkan nasionalisme yang dibentuk di Malaysia sejak dahulu lagi adalah berasaskan kepada nasionalisme yang dilihat dari perspektif Islam itu sendiri.


Lantaran itu, tidak hairanlah mengapa Dr. Burhanuddin al-Hilmy pernah berkata dalam kongres Parti Islam Se-Malaya dalam tahun 1964, “Biarlah saya mengambil peluang mengingatkan lagi kepada bangsa-bangsa di dunia ini bahawa Melayu itu adalah nama satu bangsa yang mempunyai kebudayaan dan tanah airnya sendiri. Menghapuskan nama rupa bangsa Melayu adalah satu pengkhianatan politik kepada bangsa Melayu.”


Oleh kerana itu, di Malaysia nasionalisme diertikan dan difahami oleh tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan dahulu merujuk kepada konsep cintakan tanah air dan bangsa sendiri, di samping perasaan benci kepada sebarang bentuk penjajahan kuasa luar, seperti mana takrif yang terdapat di dalam Kamus Dewan. Mencintai tanah air dan bangsa sendiri merupakan perkara yang sama sekali tidak bercanggah dengan roh Islam itu sendiri.


Golongan yang cuba mengelirukan masyarakat dengan mentakrif bahawa assabiyah adalah sama dengan semangat nasionalisme, merupakan golongan yang cuba merosakkan fikiran masyarakat yang kurang berpengetahuan. Hal ini kerana, Rasulullah telah bersabda ketika seorang sahabat bertanya “Ya Rasulullah, adakah terbilang daripada assabiyah seseorang itu yang kasih akan kaumnya?'' baginda menjawab “Tidak! Tetapi, terbilang daripada assabiyah menolong kaumnya melakukan kezaliman (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah). Perkara ini diperkuatkan dengan satu lagi sabda Rasulullah apabila baginda ditanya oleh Wailah bin Asqah “Ya Rasulullah, Apakah yang dikatakan assabiyah itu?'' Jawab baginda “Bahawa engkau menolong kaummu dalam kezaliman.” (Riwayat Abu Daud).


Cukup jelas sabda-sabda Rasulullah tersebut. Assabiyah adalah merujuk kepada “menolong kaum sendiri dalam melakukan kezaliman”, seperti mana yang firman Allah “hendaklah kamu tolong-menolong dalam mengerjakan pekerjaan yang baik dan janganlah bantu membantu dalam mengerjakan dosa.” (Al-Maidah:2) Malah, assabiyah ini lebih menghampiri makna dengan ta`assub atau fanatik. Hal ini adalah kerana, kebiasaannya orang-orang yang ta`ssub sahaja yang gemar mengikuti kumpulan, kaum atau bangsanya secara membuta-tuli, walaupun kadang kala sudah jelas kesalahan atau dosa yang mereka lakukan.


Dan ini sudah pasti berbeza dengan takrif nasionalisme yang menjurus kepada makna “rasa cinta serta kasih kepada bangsa dan tanah air sendiri” serta menolak sebarang bentuk penjajahan kuasa luar. Ini kerana, Rasulullah sendiri mempunyai perasaan kasih dan sayang kepada bangsa dan tanah airnya sendiri. Kerana itulah, setelah beberapa tahun Rasulullah dan para pengikutnya berhijrah ke Madinah, mereka mula merasa rindu kepada tempat kelahiran mereka sendiri iaitu Mekah. Rasa rindu mereka bertambah-tambah sehinggalah hajat mereka ditunaikan oleh Allah.


Justeru itu, nasionalisme di Malaysia merupakan nasionalisme yang berada pada garis yang benar dan secocok dengan roh Islam itu sendiri. Seperti mana yang pernah dikatakan oleh Dr Muhammad Abdul Rauf, “walau bagaimanapun, nasionalisme sebagai sentimen yang semula jadi, cinta dan kesetiaan kepada tanah air sendiri adalah konsisten (secocok) dengan semangat Islam dan menggerakkan semangat untuk menghalang penjajah kuasa luar dengan apa cara sekalipun adalah selaras dengan konsep izzah (kehormatan diri sendiri) yang ditujukan Allah dengan firmannya “al-izzah ialah untuk Allah dan pesuruh-Nya dan yang beriman kepada Allah, tetapi orang munafik itu tiada mengetahui.” (al-Munafiqun: 8).


Ibnu Khaldun di dalam kitabnya Muqaddimah memetik sebuah hadis yang bermaksud “Allah tidak mengutus seseorang nabi melainkan dengan kekuatan kaumnya sendiri.” Dalam membincangkan hadis ini, Ibn Khaldun berpendapat bahawa kekuatan kaum adalah penting bagi setiap perjuangan, termasuk gerakan dakwah agama. Menurutnya, jika nabi pun memerlukan kekuatan kaumnya terlebih dahulu dalam menyampaikan risalah Allah, maka sudah tentu, kita sebagai insan biasa amat memerlukannya lagi.


Nabi Muhammad juga pada permulaan dakwahnya dibantu oleh kekuatan keturunan dan salasilah keluarganya yang berasal daripada bani Hasyim. Selain itu, baginda turut dibantu oleh isterinya, Siti Khadijah yang tidak hanya disegani kerana kekuatan perniagaannya, tetapi kerana keturunannya yang dimuliakan oleh penduduk Mekah.


Maka, sekali lagi Nabi Muhammad dibantu oleh “kekuatan kaum” dalam saat baginda menyampaikan risalah Allah SWT Jadi kaum atau bangsa yang kuat amat diperlukan sebagai medium menyampaikan risalah Allah di muka bumi ini. Kekuatan kaum atau bangsa ini tidak mungkin diperoleh tanpa rasa kasih sayang yang ditanam di dalam diri kita sendiri.


Oleh itu dapat kita perhatikan bahawa, nasionalisme yang mempunyai kaitan dengan semangat kasih sayang dalam mempertahankan bangsa dan negara, haruslah digunakan berpandukan kaca mata al-Quran dan sunah. Menolak seratus peratus konsep nasionalisme, merupakan sesuatu yang cukup malang dan berbahaya. Namun demikian, membiarkan konsep nasionalisme tanpa bimbingan al-Quran dan sunah juga bakal mendatangkan keburukan. Dalam Islam mempertahankan agama dan memperjuangkannya adalah perkara yang utama, namun mencintai tanah air dan bangsa sendiri juga merupakan perkara yang harus di sisi Islam.


Oleh itu, tanggungjawab setiap individu ialah memperkemaskan diri mereka dengan pelbagai ilmu pengetahuan, agar sesuatu penilaian kita itu berasaskan kepada ilmu dan bukannya nafsu.

Comments

Cheguman said…
Assalamualaikum,
Jika nasionalisme ditakrif sebagaimana assobiyah yg disebut oleh nabi maka kita terpaksa menolak banyak ayat al Quran yang menyuruh berbuat baik dan saling bantu membantu sesama kita.

Jika dilihat pada faktor sejarah pun, nasionalisme di Malaysia tidak boleh dihubungkan dengan assobiyah yg diperingatkan oleh Rasulullah.

Wallahu'alam.
NieZearm said…
Terlampau banyak kelemahan sampai tak tau nak perbaiki yg mane dulu.. :-)
azlishukri said…
betul tu cheguman...

niezearm..kita perbaiki mana-mana yang utma dahulu..
Saya ragu2 dengan bendera malaysia!
sparkystar said…
salam semua kpd anak2 malaysia

Pilihan Pembaca

Air Pasang Surut

Air Pasang Surut Oleh Muhammad Azli Shukri Tiada kata-kata manis lagi untuk dihemburkan kepada akhbar Herald Catholic yang jelas menghina agama Islam – apabila dengan sengaja menyamakan perkataan “Tuhan” dengan “Allah” dalam artikel terbitan mereka. Hal ini bukan sahaja biadab dan kurang ajar. Tetapi sesungguhnya seluruh umat Islam Malaysia – yang cintakan agama Islam harus berganding bahu melakukan segala yang termampu, agar penghinaan sebegini dihentikan segera. Malah, tindakkan yang berat harus segera diambil terhadap pihak yang begitu berani mencemar kesucian agama Islam. Ini adalah jihad kita – mempertahankan nama Allah yang cuba digambarkan dengan cara yang sangat tidak baik dan merendah-rendahkan namaNYA . Semua bloggers disaran agar bersama-sama mengeluarkan pandangan serta mendesak agar pihak terbabit diambil tindakkan dengan segera. Begitu juga seluruh umat Islam tidak kira latar belakang dan ideologi parti politik – harus bertegas dan serius mempertahan agama Alla...

"Kajian Membuktikan Masyarakat Mahukan Mukhriz Memimpin Pemuda."

INI KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA YANG DIKEHENDAKI AKAR UMBI DAN MASYARAKAT LUAR Oleh Muhammad Azli Shukri Laporan Khas Azli Shukri yang saya paparkan semalam mendapat begitu banyak respon yang pro dan yang kontra. Hari ini saya menyambungnya kembali - namun demikian, laporan kali ini lebih menjurus kepada menjawab persoalan-persoalan asas mengapa terdapat sebahagian perwakilan yang tidak mahu memilih Datuk Mukhriz sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Di sini saya kemukakan satu pandangan dahulu - pertama, mereka berhujah bahawa Datuk Mukhriz begitu lembik, manakala Khairy Jamaluddin begitu lantang dan tegas dalam mengemukakan beberapa isu. Agak malang jika inilah yang menjadi hujah utama mereka dalam usaha menyokong Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Saya tanyakan terlebih dahulu kepada mereka apakah yang mereka faham berkenaan makna "lembik" dalam kepimpinan? Apakah hanya dengan sikap lantang yang tidak bertempat sudah memadai menarik sokongan daripada orang Melayu di ...

Khairy Timbalan Menteri?

Saya tidak mahu komen banyak berkenaan berita di bawah. Sehingga hari ini DS Najib masih belum membuat apa-apa kenyataan berhubung rombakan kabinet yang dijangka berlaku hujung atau awal bulan depan. Sumber yang saya terima memaklumkan hampir 80% berita di bawah adalah benar, cuma ada sedikit penambahan, iaitu Datuk Mukhriz Mahathir akan dilantik menjadi menteri penuh. Namun demikian, kementerian mana yang bakal diterajuinya, masih menjadi tanda-tanya. Walauapa pun alasannya, keputusan muktamad masih berada di tangan DS Najib, semoga rombakan kali ini akan memuaskan hati semua pihak, sekali gus mengembalikan kekuatan BN/UMNO semula. Wallahualam. KUALA LUMPUR, 18 Nov: Desas-desus rombakan kabinet didakwa bakal menyaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan akan menjadi menteri penuh manakala Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sebagai timbalan menteri.Sumber-sumber memaklumkan rombakan tersebut dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak min...