Skip to main content

Ridhuan Tee Pertahankan Ali Hashim

1. Cuba kita renungkan seketika sindiran tajam Dr. Ridhuan Tee Abdullah terhadap orang Melayu dalam rencana terbaru beliau ini. SAYA AMAT PELIK dengan politik orang Melayu, hanya kerana kita tidak sukakan seseorang, kita rela bakar jambatan. Marahkan seekor nyamuk kelambu dibakar. Contoh, hanya kerana tidak sukakan batang tubuh Muhammad Ali Hashim, bekas ketua eksekutif JCorp (kini masih memegang jawatan di QSR dan KFC), atau Mohd Khusrin, bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (kini dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor), kepentingan umat Islam tergadai.

2. Masa banyak terbuang memikirkan dan membincangkan cara-cara untuk menyingkirkan mereka. Kenapa tidak menjadikan orang yang kita tidak suka kepada orang yang kita suka? Sedang mereka ini seagama dan sebangsa. Cuma latar belakang dan pendirian sahaja berbeza, yang semestinya tidak dapat dielakkan, selagi bergelar manusia.

3. Saya masih teringat kata-kata semangar Zig Ziglar (2000), kita mungkin berkawan (berkahwin) dengan orang yang kita tidak suka, tetapi jika kita layan dia seperti orang yang kita suka, maka akan berakhir dengan kesukaan atau perdamaian. Sebaliknya, kita mungkin berkawan dengan orang yang kita suka, tetapi jika kita layan dia seperti orang yang kita tidak suka, maka ia akan berakhir dengan berantakan. Kata kuncinya adalah, bagaimana dan cara layanan kita kepada seseorang itu, bukan batang tubuhnya.

4. Hari ini, kita masih mempraktikkan politik rimba. Batang tubuh seseorang itu menjadi sasaran, bukannya idea, bakat dan kemahirannya. Mungkin akan ada yang bertanya, kenapa saya tidak suka kepada parti ultra kiasu? Jawapannya, kerana perjuangannya membahayakan politik negara.

5. Pada saya personaliti ini tidaklah terlalu penting berbanding dengan kepentingan yang lebih besar. JCorp dan kerajaan Selangor jauh lebih besar dan lebih penting dari Ali dan Khusrin. Logiknya, dalam demokrasi, rakyat yang memerhatikan mereka. Mereka tidak boleh berlagak dengan jawatan. Jawatan itu adalah amanah.

6. Justeru, apa yang menjadi masalah mereka berdua? Keputusannya tetap di tangan majoriti, walaupun mereka yang mungkin memimpin, namun mereka tetap dipimpin, dan perlu patuh the dos dan the don’t sebagai hamba Allah. Raja juga adalah hamba Allah. Apa yang kita buat, tetap akan dihisab akhirat nanti. Saya tidak yakin, mereka ingin menempat tiket ke neraka dengan melakukan perbuatan matlamat menghalalkan cara.

7. Kita tidak mahu wujud keadaan, gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah. Apa yang hendak ditakutkan, kuasa mereka tidak mutlak. Mereka adalah kalangan segelintir yang bernasib baik. Mungkin mereka mempunyai idea yang baik yang boleh dipergunakan, daripada walaupun ada, tetapi langsung tidak berguna atau tidak boleh digunakan.

8. Kenapa kita tidak mengambil iktibar atau belajar dari orang lain. Lihatlah bagaimana syarikat dan NGO bukan Islam bekerja. Dalam institusi mereka, ada macam-macam kepala dan pemikiran politik. Mereka tidaklah bergaduh seperti kita. Tetapi bakat dan kebolehan mereka dipergunakan. Yang paling penting adalah gabungan kekuatan, kelebihan dan kepakaran yang ada. Mereka yang paling lantang memperjuangkan nasib bangsa, maka merekalah yang akan dilantik dan dipilih menduduki hiraki yang paling tinggi.

9. Lihatlah politik di Pulau Mutiara, parti ultra kiasu tetap menyanjungi bekas ketua pemimpin negeri itu, walaupun mereka tidak sekapal. Di luar seolah-olah nampak dua parti yang berbeza yang dikatakan ‘saling bermusuhan atau berantakan’ tetapi sebenarnya di dalam mereka ‘saling berkawan dan berpeluk-pelukan’. Saya tidak tahu berapakah lagi nama-nama yang akan diletakkan di sana sini atas alasan mahu mengenang jasa.

10. Cuma saya pinta satu sahaja, tanya juga pendapat orang Melayu Islam pulau tersebut tentang ‘jasa-jasa’ pemimpin mereka sebelum ini. Apakah orang Melayu Islam begitu berjaya dan diangkat ketika di zamannya. Bukan apa, kadangkala kita terlebih memuji seseorang, semata-mata untuk menenggelamkan ‘kelemahan’ atau mahu mengambil hati, takut hilang undi.

11. Jasa-jasa Allahyarham Syed Hussein Alatas, selaku pengasas parti yang memerintah pulau tersebut sebelum ini, langsung tidak dikenang walaupun beliau telah meninggal dunia dan jasa Allahyarham juga tidak kurang hebatnya. Saya tidak nampak nama beliau diabadikan sebagai tanda mengenang jasa berbanding orang lain. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu. Malah, hasrat Syed Hussein yang ingin menjadikan parti tersebut untuk semua kaum terkubur begitu sahaja, apabila parti ini terus didominasi oleh satu kaum sahaja melalui perancangan halus.

12. Apa yang saya dengar, ketika menyampaikan syarahan di Universiti Sains Malaysia, ketua yang memimpin parti ultra kiasu pulau mutiara ini sekarang lebih sedikit terbuka berbanding dahulu. Mungkinkah ini disebabkan oleh semangat untuk mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz bagi mengambil hati atau mencairkan hati orang Melayu?

13. Lihat juga cara pemberitaan akhbar-akhbar mereka. Macam-macam kepala dan berita ada, tetapi gaya pemberitaannya tetap sama. Kepentingan bangsa lebih diutamakan, berbanding kepentingan negara. Contoh terbaharu, isu guru Melayu yang mengajar Bahasa Melayu di sekolah vernakular. Kementerian Pelajaran ditekan kiri kanan depan belakang, agar guru bahasa Melayu yang dihantar di sekolah ini mesti menguasai bahasa Mandarin pada masa yang sama. Jika tidak, guru bahasa Melayu ini akan ditolak atau tidak layak mengajar di sekolah vernakular. Ini bukanlah suara satu dua orang, tetapi adalah suara majoriti dan bukan hanya parti ultra kiasu sahaja.

14. Persoalannya, kenapa tidak diwajibkan pula guru yang mengajar bahasa Mandarin mesti menguasai bahasa Melayu? Di universiti tempat saya mengajar, guru yang mengajar subjek bahasa Mandarin adalah guru daripada Republik Rakyat China. Tidak diwajibkan pula mereka menguasai bahasa Melayu. Malah, mereka langsung tidak boleh berbahasa Melayu. Tetapi pelajar-pelajar Melayu yang mengambil kursus ini masih boleh menguasai bahasa Mandarin, walaupun tidak sehebat pelajar sekolah vernakular. Apa yang menjadi isu di sebalik sebenarnya? Fikirlah sendiri. Saya sudah letih mengutarakan persoalan-persoalan sebegini untuk direnungkan.

15. Saya mencadangkan guru bukan Melayu mengambil option bahasa Melayu supaya mudah untuk mengajar anak bangsanya. Malangnya, tidak ramai bukan Melayu mengambil bidang ini kerana bahasa Melayu tidak ada nilai komersial. Yang berminat dengan bahasa Melayu, hanyalah orang Melayu yang menjadi guru bahasa Melayu. Apakah mungkin satu hari ini, guru-guru bahasa Melayu akan diwajibkan belajar bahasa Mandarin atau Tamil untuk memenuhi desakan adan tuntutan sekolah vernakular. Oh! malang sungguh tinggal dalam sebuah negara berakarkan Melayu, yang mana bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Kewujudannya, ibarat hidup segan, mati tak mahu. Justeru, apabila timbul keadaan sebegini, kerajaan atau kementerian juga yang dipersalahkan. Bahasa lain tidak penting, yang penting bahasa ibunda sendiri.

16. Sebenarnya, kita jarang mahu belajar atau mengambil iktibar. Sekurang-kurangnya lihatlah dan bandingkan dengan orang yang telah berjaya, jika sudah tidak yakin bahawa bangsa sendiri boleh juga berjaya. Ini tidak, kita asyik berpolitik dan berpecah. Permusuhan di luar dibawa sampai ke dalam. Tidak cukup dengan itu, di dalam pun bukan main hebat berantakan sehinggakan bermain sihir. Kalau boleh, kita mahukan musuh kita mati cepat. Kita sanggup melihat saudara kita sendiri merempat di tengah jalan, dek kerana tidak sekapal. Puas hati. Tak perlu bersusah payah lagi menghadapi mereka. Kenapa kita sebegitu bodoh? Maafkan saya menggunakan perkataan yang agak kasar.

17. Justeru, saya rasa amat bersyukur dengan pertemuan Menteri Besar Kelantan dengan Perdana Menteri dan Timbalannya, dengan disaksikan oleh Yang DiPertuan Agong di istana Terengganu sebagaimana diberitakan. Saya tidak tahu apa agendanya. Hanya mereka yang bertemu sahaja yang tahu. Kelihatan cukup berahsia. Baiknya pun ada. Supaya ada pihak-pihak tertentu yang tidak dapat tidur malam. Mengingatkan kita supaya jangan terlalu bongkak bila baru mendapat kuasa .

18. Tetapi saya yakin, pertemuan tersebut tidak dapat lari daripada agenda perpaduan dan masa depan umat Islam. Inilah yang paling ditakuti oleh mereka yang dikejar bayang-bayang sekiranya Umno dan Pas mengorak langkah memulakan rundingan awal untuk bersatu. Sudah tentu rancangan dan nafsu serakah rakus untuk ‘menakluki’ Putrajaya akan tergendala. Maka tidak hairanlah saban hari laman web ultra ini sentiasa memainkan isu-isu agar agenda perpaduan umat Islam tidak berjaya.

19. Saya akui, Pas mempunyai pengalaman yang pahit ketika menyertai Barisan Nasional semasa Perdana Menteri Malaysia,Tun Abdul Razak pada 1972 dan ditendang keluar pada 1978 oleh Tun Hussein Onn. Umno menyalahkan Pas kerana dikatakan pemimpin Pas bermain kayu tiga memperluaskan pengaruh di kalangan orang Melayu dan peneroka tanah rancangan FELDA melalui Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah, Mohd Asri Haji Muda. Perkara sebegini biasa berlaku dalam mencari pengaruh. Setiap parti mempunyai agenda masing-masing. Jangan salahkan sebelah pihak sahaja. Betulkan. Tetapi jangan ditendang keluar apabila tidak diperlukan atau habis manis sepah dibuang.

20. Barang yang lepas jangan dikenang, sudah menjadi hak orang lain. Yang penting, jadikanlah ia sebagai satu pengajaran. Apakah keadaan masih sama akan berlaku seperti dahulu, jika ditakdirkan berlaku perkongsian kuasa? Mungkin ya, mungkin tidak. Hanya Allah sahaja yang akan membenarkannya. Yang penting umat Islam, tidak kira Umno atau Pas mesti memandang jauh ke hadapan. Diri dan parti tidak penting, yang penting adalah masa depan umat Islam dan Malaysia secara keseluruhannya. Hakikat yang mesti diterima adalah, umat Islam tidak boleh kehilangan kuasa dalam negaranya sendiri. Ini bukan bermakna, kita mengenepikan kepentingan bukan Islam.

21. Jikalau Nabi Muhammad SAW boleh mengikat janji dan berkongsi kuasa dengan musuh tradisi Islam iaitu bukan Islam Madinah, demi kepentingan Islam. Kenapa tidak kita? Kita tidak boleh bersendirian hidup dalam sebuah negara bermasyarakat majmuk, berbilang agama dan budaya. Kita memerlukan mereka seperti mereka memerlukan kita. Tetapi janganlah kerana keperluan tersebut, maka maruah agama dan bangsa tergadai?

22. Jika Rasulullah SAW memberikan keutamaan kepimpinan kepada Quraisy di Madinah kerana Quraisy mempelopori perjuangan Islam, maka tentulah wajar bagi Pas dan Umno memperjuangkan keutamaan kepimpinan Islam di negara ini. Lebih-lebih lagi sebagai penduduk asal yang menjadi peneroka bumi ini. Logiknya, umat Islam berhak mendapat sedikit habuan dan keistimewaan. Janganlah yang sedikit inipun hendak diambil. Perbezaan politik tidak seharusnya merugikan kita. Fenomena ini biasa berlaku di negara lain. Seperti Maori di New Zealand dan Fijian di Fiji. Walaupun yang memerintah dua negara ini adalah orang luar, tetapi hak ‘peneroka’ tetap dijaga.

23. Sedikit keistimewaan ini juga disebut dalam kitab feqah dalam bahagian ‘Ihya ul Mawaat’ yang berbunyi: “Sesiapa menghidupkan bumi yang mati (peneroka) maka dia lebih berhak dengannya”. Islam begitu memberi galakan agar umatnya menghidupkan tanah yang mati. Sayyidina Ali sendiri pernah memarahi seorang sahabat yang tidak menghidupkan tanah yang diberi hasil rampasan perang.

24. Melalui dia senario ini, saya dapat simpulkan bahawa, janganlah kerana nyamuk kelambu dibakar. Belajar-belajarlah melayan musuh seagama, kerana matlamat kita semuanya sama. Umat Islam menarik nafas lega apabila Menteri Besar Johor dan Ketua Eksekutif JCorp mengatakan bahawa kepentingan strategic JCorp iaitu QSR dan KFCH tidak akan dijual bagi melangsaikan hutang JCorp selama ini.

25. Selaku Setiausaha Agong Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), saya merasakan jaminan tersebut masih belum cukup, kerana mungkin ia tidak dijual, tetapi tidak mustahil untuk diswastakan. Rasa berdosa jika kita terus biarkan kemungkaran terus berlaku kerana kepentingan Islam mengatasi segala-galanya.

Comments

Anonymous said…
Tidakkah kerajaan dan termasuk media perdana selama ini melayan pembangkang macam musuh negara, tidakkah mereka ini mengisi ruang pelengkap dalam sistem check-n-balance. Media perdana seperti TV menghala ke negeri PR secara mikroscope, tapi negeri BN kalau dikorek banyak juga isu yg besar. Contohnya, isu pembalakan, apa beza Kelantan dengan Sabah, sampai orang utan tak duk di hutan lagi,tapi duk di santuari.

DR NO
Klik Di Sini said…
salam tuan.. terima kasih sudi link..
Anonymous said…
Cina macam Redzuan ni tak da hak nak mempersoal orang melayu. Pegi soal kaum kamu sendiri
Wandering Rover said…
Dear Azli,

This comment has nothing to do with your current article. Just FYI, I picked up the following from one of the blogspots (Niamah!!!). Interesting indeed, have a read, and do share them with the PM.

Excerpt:
"... dear Prime Minister ... I am thinking that the Opposition announced what they would do only because they already knew that if ......

a) we stopped the wastage of resources

b) curtail corruption and

c) maybe reduce the size of the staff of the Prime Minister's department (last reputed to be in access of 42,000 with an annual operating budget of RM4billion ......

We would have more than enough money to achieve what the Opposition planned.

Yes? I think so. Don't you? "
Anonymous said…
PM kara program 100 hari PR adalah tindakan populis. Populis atau tidak biar rakyat nilai dengan adakan debat melalui media perdana. Kita tengok rakyat boleh buy or not?

DR NO
azlishukri said…
terima kasih komen tuan2

Pilihan Pembaca

Yang Mana Satu?

Fikir-fikirkan...yang mana satu Allahyarham Baharuddin Ahmad, Baharuddin meninggal di KLCC, tetapi gambar yang dikatakan sebagai arwah itu diambil di Hentian Puduraya, cuba lihat gambar kedua tersebut, tertera di belakangnya tertulis Puduraya. Baca juga penjelasan menarik daripada sahabat saya di sini... Double Y

Tulisan Terbaik Mufti Perak

1. Minggu yang lepas telah memaparkan semula perbahasan tentang ancak serta beberapa isu yang berkesinambungan dari perkara-perkara yang sepatutnya sudah selesai dan tidak diperbincangkan lagi di media cetak dan elektronik mahupun laman sesawang. Tidak kurang juga beberapa ulasan dari blogger tentang isu ancak yang masih tidak berkesudahan nampaknya. Tambah menyemarakkan keadaan, terdapat komen-komen yang agak pedas di samping cacian, pendustaan dan kalam-kalam yang terbit dari hati sekiranya dibaca berulang kali boleh membawa kepada kesedihan yang amat mendalam 2. Itulah realiti yang perlu ditempuh oleh semua orang terutamanya para pemimpin, pendakwah atau pun sesiapa sahaja. Itulah juga mentaliti sebahagian dari kita yang banyak menghabiskan masa dan memerah fikiran semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu mereka yang selama-lamanya tidak akan puas. 3. Masih ramai di kalangan umat Melayu-Islam ini tertarik dan terpesona untuk membuat ungkapan, percakapan ma

10 Buku Paling Kontroversi Di Malaysia

Di bawah ini saya senaraikan 10 buah buku yang pada perkiraan dan pendapat saya, merupakan buku-buku yang penuh dengan kontroversi serta memberi impak besar ke atas masyarakat Malaysia, baik dari aspek politik, agama mahu pun perkauman. Saya mengalu-alukan sebarang komen daripada tuan-tuan sekiranya terdapat penambahbaikan dalam senarai ini. Harap maklum. 10 Buku Paling Kontroversi Di Malaysia 1. Falsafah Takdir (1932) : Pendita Za'ba 2. Dilema Melayu (1970) : Mahathir Mohamad 3. Aurat Muhammadiyah Pegangan Darul Arqam (1985) : Ashaari Muhammad 4. Hadis : Satu Penilaian Semula (1986) : Kassim Ahmad 5. 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM (1998) : Khalid Jeffry 6. Shit (1999) : Shahnon Ahmad 7. Khairy Jamaluddin Bakal Perdana Menteri? (2004) : Yahaya Ismail 8. The March To Putrajaya (2010) : Kim Quek 9. Menuju PAS Baru (2010) : Mujahid Yusuf Rawa 10. Interlok (Versi 2010) : Abdullah Hussien .