Skip to main content

Isu Pelantikan Khusrin : Bukti Amalan Doktrin Pengasingan Kuasa

Pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu diragui oleh kerajaan negeri itu kerana penjawat awam sentiasa dituntut supaya berintegriti dan profesional dalam melaksanakan tugas mereka, menurut seorang penganalisis politik tempatan. Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Nizamuddin berkata dakwaan kerajaan Selangor kononnya pelantikan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu dibuat atas kepentingan politik Barisan Nasional (BN) hanyalah intepretasi yang tidak boleh dijadikan asas.

"Dakwaan tersebut kurang berasas kerana Mohd Khusrin belum memulakan tugas, malah lantikan tersebut juga hanya akan berkuat kuasa mulai 1 Jan ini. Tentunya andaian seperti itu tidak boleh digunakan," katanya ketika dihubungi. Oleh itu, beliau berkata rasa tidak puas hati kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berhubung perkara itu tidak berasas. Katanya, kerajaan PKR Selangor sebenarnya berasa tercabar kerana lantikan itu dibuat di luar pengetahuan mereka. Kerajaan PKR Selangor pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini mendakwa pelantikan Mohd Khusrin, yang mendapat perkenan Sultan Selangor, tidak muktamad kerana tidak dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Ahmad Nizamuddin berkata Abdul Khalid perlu sedar keadaan sebegini biasa berlaku apabila negeri dikuasai parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan. Katanya, pelantikan itu tidak akan membawa masalah kerana kerajaan Persekutuan semestinya telah terlebih dahulu memikirkan kesan baik dan buruk tindakan tersebut. Beliau percaya sebagai penjawat awam yang berintegriti, Mohd Khusrin akan mengutamakan amalan profesional ketika menjalankan tugas. "Jika berpegang kepada elemen profesional, bebas dan amalan pengasingan kuasa, sepatutnya pelantikan ini tidak menimbulkan masalah," katanya.

Fasal 52 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 menyebut jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri perlu diwujudkan, dan perlantikan ke jawatan ini hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan, dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan. Pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pula berkata lantikan tersebut tidak boleh dihalang oleh kerajaan negeri, sekiranya ia dibenarkan Perlembagaan Persekutuan. Beliau berkata sekiranya kerajaan PKR Selangor tidak berpuas hati dengan calon lantikan kerajaan pusat, mereka harus sedar perkara itu hanya boleh diselesaikan di mahkamah.

Sementara itu, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia berkata selepas 53 tahun kemerdekaan, penjawat awam begitu berkemampuan dalam soal pentadbiran sehingga menjadi contoh kepada negara membangun lain. Presidennya, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata walau apapun keputusan Pilihan Raya Umum 8 Mac, 2008, penjawat awam terus memastikan jentera kerajaan berjalan lancar, sedangkan pada masa sama, kebanyakan ahli politik resah dengan apa yang bakal berlaku apabila pentadbiran empat daripada 13 negeri bertukar tangan. "Ketika pergolakan dan perebutan kuasa politik di Perak, penjawat awam tidak kisah dan meneruskan tugas mereka seperti biasa.

"Tidak dapat dibayangkan apa akan berlaku sekiranya penjawat awam menyokong permainan politik mana-mana parti dan menyertai usaha merebut kuasa," katanya. Beliau berkata ahli politik silih berganti, sebaliknya penjawat awam mengekalkan taat setia mereka terhadap Yang di-Pertuan Agong dan negara. Sehubungan itu, Wan Mahmood berharap penjawat awam tidak akan terpengaruh dengan 'umpan politik' mana-mana parti dan ahli politik juga perlu sedar bahawa adalah penting budaya perkhidmatan awam sedia ada tidak diganggu. Sumber Bernama.

Comments

Pilihan Pembaca

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca ...
MONOLOG AZLI SHUKRI BAB 9 : PEMIMPIN UMNO AL-MUNTAZAR “UMNO telah mengguna pakai sistem demokrasi untuk pastikan pengkhianat parti dapat ditolak dan digantikan dengan mereka yang lebih berupaya. Tetapi jelas demokrasi UMNO tidak selalunya berjaya. Ramai yang berjaya merebut jawatan walaupun mereka sebenarnya tidak berkebolehan dan tidak jujur. Apabila sampai ke puncak mereka gunakan jawatan dan kuasa yang ada untuk menghalang demokrasi daripada menyelamatkan parti. Dengan memberi jawatan dan wang serta pangkat, dengan menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada mereka, dengan menggunakan pelbagai bentuk ancaman, mereka ini telah berjaya menyekat apa-apa usaha untuk mengusir mereka, setidak-tidaknya untuk sekian masa.” – Tun Mahathir Mohamad Saya mulakan Monolog Azli Shukri Bab 9 kali ini dengan kenyataan Tun Mahathir yang didakwa oleh ramai pihak bahawa beliau cuba campur tangan dalam mempengaruhi pemilihan dan pencalonan pemimpin-pemimpin UMNO Mac depan. Namun demikian, saya t...

Matahari Di Tengah Malam

MATAHARI DI TENGAH MALAM MACHANG 13 April — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan hanya mereka yang layak sahaja menawarkan diri untuk bertanding jawatan dalam pemilihan pada Muktamar PAS yang dijadualkan Jun ini. Nik Aziz ketika mengingatkan perkara itu berkata beliau tidak mahu anggota parti itu yang tidak mampu menjadi pemimpin yang baik, membuang masa menonjolkan diri menarik sokongan. “Kalau yang ada kemampuan, tak ada masalah untuk mereka tawar diri untuk bertanding. Kalau yang ada kemampuan menonjol tak apalah, (tapi) kalau yang tidak ada kemampuan tapi menonjolkan diri, tak payahlah undi dia,” katanya. Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Loji Rawatan Air Merbau Chondong, sempena sambutan Hari Air Sedunia 2009 peringkat negeri di sini, hari ini. Katanya, PAS turut memberi kebebasan kepada anggota akar umbi untuk memilih barisan pimpinan yang mereka mahukan dan menolak mana-mana...