Skip to main content

Buih-Buih Masa Hadapan : Menjawab Persoalan Benarkah UMNO Akan Pupus?


BUIH-BUIH MASA HADAPAN (NEW)
Menjawab Persoalan Benarkah UMNO akan Pupus?

Oleh Muhammad Azli Shukri


Setelah jurnal Foreign Affairs menerbitkan rencana “Pertembungan Tamadun” tulisan tokoh sains politik masyhur dunia, Samuel P.Huntington pada musim panas 1993, rencana tersebut telah menimbulkan keresahan dan kegelisahan terhadap masyarakat dunia. The Clash of Civilizations and The Remaking of World Order buku kontroversi Huntington adalah lahir daripada respons mereka terhadap rencana beliau yang tersiar di dalam jurnal tersebut.



Huntington berpendapat, pola politik global selepas tamat perang dingin akan lebih berpaksi pada jati diri dan disusun kembali mengikut garis budaya, tamadun dan keetnikan sesuatu kaum. Masing-masing kaum ingin mengekalkan jati diri budaya dan jati diri tamadun mereka sendiri. Dan sebuah tamadun sejagat yang digembar-gemburkan oleh Barat sama sekali tidak akan berlaku. Tamadun utama dunia seperti China, India dan Islam semakin mengukuhkan jati diri dan budaya mereka. Tiada kompromi dalam soal ini. Ramalan Huntington dalam beberapa tahun belakangan ini semakin menjadi kepastian.



Kebangkitan Iran telah menghantar mesej penting kepada Barat – mereka adalah penyambung keunggulan Tamadun Islam. Manakala penonjolan China dan India dalam ekonomi dan ketenteraan mengesahkan hakikat bahawa mereka ingin kembali menjadi tamadun yang dihormati tanpa mengikut telunjuk Barat lagi.


Hepotisis Huntington dalam soal ini adalah jelas. Segala bentuk ideologi yang cuba membentuk sebuah Tamadun Sejagat semakin runtuh dan tidak diterima. Pada lewat tahun 1980-an rejim Komunis tumbang dan Tembok Berlin sudah runtuh. Tatkala Barat sedang rancak menyebarkan bendera liberalisme dan demokrasi di seluruh dunia. Suara-suara tentangan semakin jelas kedengaran di setiap pelosok dunia, bahawa mereka tidak mahu lagi melihat susuk tubuh pemimpin kacukan ala- Hitler, Lenin mahupun Stalin bagi menerajui dunia moden. Pada ketika ini, cita rasa setiap bangsa dan kaum adalah ingin bangkit untuk mengikut kepercayaan dan jati diri mereka sendiri, tanpa dipengaruhi oleh bangsa atau kaum lain.



Akhirnya, kenyataan Huntington diterjemahkan melalui PRU ke-12 setahun yang lalu. Malah, ia merupakan medan bagi setiap kaum meluahkan rasa hati mereka. PRU ke-12 bukanlah kisah tentang harga minyak yang naik 30 sen, atau kisah kebangkitan Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah mengalahkan tokoh wanita UMNO di Lembah Pantai. Tetapi PRU ke-12 adalah kisah tentang kesedaran setiap kaum bagi mempertahankan bangsa dan kaum mereka. Dengan kata lain, keputusan PRU ke-12 adalah manifestasi tentang rasa setiap kaum terhadap masa hadapan mereka. Bukan lagi ideologi politik yang diutamakan. Orang Melayu terasa kehilangan identiti pada saat tuntutan mereka untuk melihat pengajaran Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Melayu telah diketepikan. Soal bahasa, merupakan perkara penting bagi orang Melayu.



Dan yang lebih mendukacitakan, masalah sosial yang menular dalam kalangan muda-mudi Melayu tidak dibanteras secara menyeluruh oleh kerajaan yang selama ini mencanagkan pendekatan Islam Hadhari menambahkan lagi kekecewaan mereka. Akhirnya orang Melayu menggunakan peti undi untuk meluahkan rasa. Pada masa yang sama, orang Cina yang terkenal dengan budaya perniagaan, semakin tertekan sejak akhir-akhir ini, tatkala perniagaan mereka bertambah merosot dan mendakwa ekonomi negara tidak ditadbir dengan baik. Lantaran itu, mereka beralih sokongan kepada DAP. Kaum India bangkit menyokong pembangkang, khususnya PKR bukan kerana isu Hindraf . Sebaliknya, perasaan yang menyelubungi mereka selama ini – adalah bertitik tolak daripada rasa tersisih, tidak diberi perhatian dan tiada pembelaan, malah kaum India merasakan bahawa rintihan mereka selama ini telah dipandang sepi oleh kerajaan.



Saya dilahirkan 10 tahun selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969. Generasi yang seusia dengan saya pada hari ini, sesungguhnya sama sekali tidak memahami secara menyeluruh mengapa peristiwa itu terjadi. Walaupun kami membaca buku sejarah yang sama. Tetapi kami tidak berada dalam sejarah itu sendiri. Kami sering mengandaikan, Malaysia yang kini dilihat berjaya adalah natijah daripada dasar bebas dan kesamarataan. Namun demikian, itu merupakan pandangan yang salah. Generasi muda yang berjaya pada ketika ini harus memahami, kejayaan mereka itu adalah hasil daripada perjuangan orang Melayu yang ingin melihat bangsanya mampu bersaingan dengan kaum lain secara adil di pentas yang sama rata. Dan bukan dicuram atau di lembah gunung yang penuh jalan berliku.



Malangnya, generasi inilah yang sedang bersorak di luar sana mahukan perubahan dan menjatuhkan sistem yang selama ini memayungi mereka, kononnya untuk membentuk sebuah kerajaan Malaysia yang lebih adil dan saksama. Adil hanya akan terjadi apabila pentas persaingan itu benar-benar sudah seimbang dan meletakkan sesuatu di tempat yang sesuai. Seorang ayah yang mempunyai anak lelaki berusia 10 tahun, 13 tahun dan 15 tahun sama sekali tidak akan menunjukkan keadilannya dengan membeli baju yang bersaiz S untuk ketiga-tiga orang anaknya itu. Keadilan tidak akan tercapai dengan cara membeli baju yang bersaiz sama, sebaliknya si ayah hanya berupaya memberikan keadilan dengan membeli saiz baju yang sesuai dengan peringkat umur anak-anaknya. Maka itulah yang dikatakan keadilan, yakni meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Generasi saya yang rata-ratanya mempunyai anak berusia sekitar tiga hingga lima tahun, sesungguhnya tidak pernah terfikir apakah jenis “payung” yang masih ada untuk anak-anak mereka bersaing dalam tempoh 10 atau 20 tahun yang akan datang. Darah muda sering menjadikan “emosi” sebagai kompas yang menunjuk arah. Jarang kami menggunakan ilmu, sejarah dan nasihat orang tua untuk mengandaikan masa hadapan. Mengikut hati lebih mudah daripada mengikut fikiran yang waras.



Kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU ke-12 dan di beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini, seharusnya menjadi pengajaran kepada generasi muda, agar tidak memperjudikan nasib anak-anak mereka yang baru berusia beberapa tahun itu. Kerapuhan pakatan pembangkang dalam mentadbir beberapa buah negeri sudah mula dilihat apabila mereka menunjukkan ideologi yang berlainan dalam pentadbiran negeri masing-masing. DAP di Pulau Pinang sudah mula mengetepikan “kontrak sosial” yang sudah disepakati sekian lama oleh semua kaum di Malaysia melalui kenyataannya bahawa tiada lagi amalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang selepas ini. PAS di Perak dan PKR di Selangor disyaki akan lebih banyak terpengaruh dengan ideologi DAP yang menuntut pelbagai kesamarataan di pentas yang masih tidak rata untuk orang Melayu. Apakah generasi Melayu di Pulau Pinang, Perak dan Selangor sudah bersedia dengan realiti baru ini?


Dan sesungguhnya, orang Melayu, khususnya generasi muda sudah ditipu dengan slogan pembangkang yang menuntut kesamarataan dan persamaan hak – hakikatnya Melayu, Cina, India di Malaysia mempunyai saiz baju yang berbeza. Hampir 60% penghuni di negara ini terdiri daripada bangsa Melayu, bangsa Cina pula hampir 40% dan India pula hampir mencecah 30% - jadi adalah jelas bahawa umur bagi setiap kaum di Malaysia adalah berbeza, maka sudah tentulah saiz bajunya harus juga berbeza. Memberi perhatian yang lebih dan serius kepada orang-orang Melayu merupakan satu bentuk keadilan, manakala memberi kesamarataan kepada semua kaum adalah umpama memberi saiz baju yang sama untuk anak-anak kita yang berumur 10 tahun, 13 tahun dan 15 tahun – dan sesungguh, hal tersebut hanya menuju ke arah ketidakadilan dan ketidakseimbangan sosiopolitik, malah hanya mengundang rasa tidak puas hati, dan tidak mustahil tragedi 13 Mei akan kembali semula dalam lipat sejarah negara.



Hakikatnya, generasi muda sudah tersalah langkah dalam melihat pola politik Malaysia yang sudah kukuh dibina dan tersimpul kemas dengan strategi terbaik dalam pentadbiran sesebuah masyarakat yang majmuk sifatnya. Politik dunia selepas perang dingin sudah berubah corak, seperti mana dakwaan Huntington di atas tadi, yakni daripada perjuangan mempertahankan sesebuah ideologi kepada perjuangan mempertahankan nilai dan jati diri sesuatu bangsa.



Landasan politik Malaysia sudah berada di garis yang lurus selama 50 tahun dengan menjadikan pluralisme sebagai nadi mewujudkan kestabilan dalam politik, ekonomi dan sosial. Dengan konsep ini, setiap kaum yang terlibat mengekalkan budaya dan jati diri masing-masing, di samping sama-sama membina perpaduan. Setiap kaum mempunyai partinya sendiri yang menjaga dan mempertahankan nilai, budaya dan kepentingan mereka. Ini merupakan sesuatu yang lumrah.



Apabila Tun Abdul Razak memperkenalkan DEB, beliau sudah menghidu bahawa pola politik Malaysia akan berubah pada masa hadapan, berasaskan kepada perjuangan jati diri dan semangat perkauman, dan tidak lagi berteraskan kepada masalah ketidakseimbangan ekonomi antara kaum atau ideologi perpaduan. Hal ini terjadi pada saat semua kaum khususnya golongan muda elit dan para peniaga merasa selesa terhadap tahap ekonomi yang hampir boleh dikatakan sama rata (pada pandangan mata kasar) antara setiap kaum (walaupun hakikatnya tidak). Lantaran itu, mereka mula beralih memperjuangkan nilai budaya dan jati diri mereka pula dalam pilihan raya yang lalu. Dalam PRU ke-12 ramai yang gagal menyelami hakikat tersebut.



DAP berjaya menarik sokongan orang Cina bukanlah kerana tawarannya untuk menurunkan harga minyak, tetapi mesej di sebalik kempen mereka yang menawarkan sebuah kebebasan untuk menjadi diri mereka sendiri, tanpa mempedulikan ideologi kesepakatan yang menjadi teras perpaduan kaum di Malaysia. Dengan kata lain, mereka mahu menjadi bangsa Cina yang unggul seperti mana yang tercatat dalam sejarah bangsa itu. Di sisi lain pula, PAS menarik sokongan orang Melayu Islam atas tawaran yang hampir sama, membangunkan semula sejarah dan tamadun agung Islam melalui saluran di peti undi. Manakala PKR, menawarkan sebuah negara Utopia yang berbilang kaum sifatnya tetapi bergabung dengan harapan mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang mempunyai ciri tersendiri mengikut tafsiran mereka.



Semua mesej parti pembangkang ini tanpa disedari telah sampai kepada masyarakat. Dan akhirnya, PRU ke-12 membuktikan perjuangan parti politik yang berasaskan ideologi perpaduan semakin di persimpangan. Sebaliknya, rakyat telah memilih perjuangan yang bersandarkan perkauman dan jati diri bangsa masing-masing. Tanpa menafikan, faktor keselesaan telah menyebabkan sebilangan rakyat negara ini mudah alpa dan lupa terhadap nilai perpaduan dan kontrak sosial yang sekian lama terbina. Mereka berfikir seolah-olah semua kaum di negara ini sudah mencapai kemakmuran ekonomi yang seimbang setelah kita mencapai kemerdekaan 50 tahun dahulu. Benarkah begitu? Jika benar, sudah pasti kita tidak lagi tercari-cari jawapan mengapa DEB telah gagal!



Sebagai generasi muda yang mengharap agar pembangunan negara berterusan dan hak orang Melayu-Islam terus terpelihara, akhirnya harapan saya ini hampir berkecai, lantaran sikap generasi muda kini yang lebih banyak mengikut emosi. Jika benar mereka mahu membetulkan kerajaan, mengapa tidak sahaja menyertai parti pemerintah? Perjuangkan apa-apa yang dirasakan benar oleh golongan ini dari dalam parti dan bukannya bersekongkol dengan pembangkang yang lebih suka melihat negara ini menjadi lemah. Kita yakini, rusuhan kaum seperti tahun 1969 tidak akan berulang, kerana faktor kematangan dan setiap kaum mempunyai kepentingan yang banyak di bumi Malaysia tercinta ini. Namun demikian, itu bukanlah alasan yang konkrit bahawa tragedi malang tahun 1969 itu tidak kembali menghantui kita semua. Ia akan hadir dalam bentuk yang berlainan.



Hujah PAS, PKR dan DAP bahawa zaman perjuangan sesuatu kaum sudah berakhir, merupakan hujah orang yang terpesong jauh daripada realiti. Hakikatnya, Allah menjadikan pelbagai kaum dan bangsa adalah bertujuan untuk saling mengenali serta memahami antara satu sama lain dan bukan untuk melenyapkan identiti mereka menjadi satu. Perjuangan sesuatu bangsa adalah untuk mengekalkan identiti mereka, tetapi haruslah berteraskan kepada ajaran Islam. Oleh sebab itu, PKR akan hancur dan tidak akan kekal lama, kerana mereka memperjuangkan ideologi yang hanya berteraskan kepada emosi dan rasa hati – yakni kebenaran dan keadilan dari kaca mata mereka dan bukan daripada kaca mata Islam. Tetapi pelik, parti inilah yang sangat dipercayai oleh PAS.



Untuk 10 tahun akan datang, parti yang berteraskan kepada ideologi seperti keadilan, komunisme, liberalisme dan sebagainya akan hancur, kerana manusia menuju ke arah perjuangan mempertahankan jati diri tamadun asal mereka. Fahaman politik berideologi sudah tidak ada tempat lagi dalam mana-mana parti politik pada masa akan datang. PKR akan musnah kerana mereka merupakan parti yang tiada identiti tamadunnya sendiri. Lantaran itu, saya katakan bahawa PKR merupakan alat dan boneka kuasa asing dan diambil kesempatan oleh parti pembangkang lain di Malaysia, demi mencapai matlamat politik sempit mereka. PAS, walaupun mempunyai ciri perjuangan yang berteraskan Tamadun Islam, namun demikian sangat lemah dalam melihat waqi’ atau realiti politik Malaysia yang berasaskan perkauman, setelah British mempora- perandakan ekonomi Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu.


DAP tidak memperjuangkan agenda keadilan dan kebebasan demokrasi, sebaliknya mereka memperjuangkan agenda ketamadunan China – untuk menjadi diri mereka yang sebenar di bumi Malaysia. Semua topeng ini telah terbuka dalam PRU ke-12. Namun begitu, rata-rata orang Melayu telah ditipu atas slogan demokrasi dan keadilan. Dan yang paling malang ialah PAS, percaya akan semua retorik ini. Jika benar demokrasi dan keadilan yang dituntut, PAS seharusnya segan silu untuk mengkritik dan menegur para pemimpi pembangkang yang lain, termasuk Anwar Ibrahim, jika jelas mereka melakukan kesalahan atau melanggar lunas-lunas syariat Islam. Tetapi, hal tersebut tidak berlaku dalam PAS. Tatkala Karpal Singh menolak hokum Hudud dan pembentuk Negara Islam, pemimpin-pemimpin PAS hanya membisu seribu bahasa, demi menjaga hati si Karpal Singh. Dan kini, apabila Haji Hadi melontarkan gagasan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO, maka kedengaranlah suara-suara sumbang yang memperlekehkan usaha tersebut, malah kepada sesiapa yang menyokong idea tersebut mereka akan segera dicop sebagai boneka UMNO, padahalnya Al-Quran dan As-Sunnah secara terang-terang mewajibkan umat Islam bersatu-padu dan mengelakkan sengketa. Jadi, apakah matlamat perjuangan PAS yang sebenarnya selama ini?



Bertitik tolak daripada hal ini, mana-mana andaian termasuk Tun Mahathir sendiri yang bimbang bahawa UMNO akan hancur dalam PRU ke-13, sesungguhnya, hal tersebut InsyaAllah tidak akan berlaku. Hal ini adalah kerana, dasar UMNO itu sudah berada di landasan yang betul, hakikatnya masalah hanyalah berpunca daripada kepimpinan yang lemah dan bukan masalah parti atau asas perjuangan. Ia merupakan masalah manusia. UMNO adalah parti yang setakat ini hampir lengkap perjuangannya iaitu agama, bangsa dan negara.



Saya bukanlah peminat Samuel P.Huntington, kerana beliau merupakan sebahagian daripada propaganda Yahudi Amerika untuk menakluki dunia, namun begitu, kajiannya tetap mempunyai nilai akademik yang kuat dan kukuh. Selagi ianya tidak bercanggah dengan Islam, maka sesuatu ilmu itu tetap memberi manfaat kepada manusia. Saya percaya UMNO tetap akan wujud, Cuma ketika ini ia lemah, lantaran sesetengah pemimpinnya yang lebih mementingkan politik peribadi daripada sebuah perjuangan yang suci. PKR tidak akan bertahan lama, mereka hidup atas dasar ihsan Amerika Syarikat dan bukan atas perjuangan mendaulatkan suatu tamadun atau bangsa. Percayalah bahawa UMNO akan terus hidup dan sedang membina kekuatannya semula. Wallahualam.

Comments

PAS Segambut said…
Sial engko ni...blog AMNO lain aku tak peduli, blog mu ni aku benci. boleh kasi orag fikir
detguaq said…
hakikatnya Melayu, Cina, India di Malaysia mempunyai saiz baju yang berbeza. Hampir 60% penghuni di negara ini terdiri daripada bangsa Melayu, bangsa Cina pula hampir 40% dan India pula hampir mencecah 30% - jadi adalah jelas bahawa umur bagi setiap kaum di Malaysia adalah berbeza, maka sudah tentulah saiz bajunya harus juga berbeza.

Salam,

Artikel yang ilmiah secara amnya. Bagus untuk diambil iktibar, tetapi perlu berhati-hati dgn matematik. 60% + 40% + 30% menjadikan kek populasi tidak bulat. Dan 60% bukannya Melayu, tetapi Bumiputera yg merangkumi orang asli dan etnik-etnik Sabah dan Serawak yang selesa untuk asimilasi dgn etnik dominan, bukannya seperti kaum pendatang yg sudah meratah betis dan sekarang mahukan paha pula!!!
Anonymous said…
tunggu dan lihat je pru 13 nanti ..
'detguaq' memang betul - bumiputra sebenar org asli disini, semua yg lain cuma pendatang juga. melayu tu sebenarnya dr mana? kepulauan indonesia juga.
Sharps Shooters said…
FUCKATAN RAKYAT JUGA AKAN TERHAPUS SAMA
Unknown said…
salam
PAS Segambut saya mohon tak perlulah guna kata2 kasar terhadap sesama Islam.Dengan UMNO benci tapi dengan DAP bukan main baik.
Saya telah bertanya pendapat kepada penyokong2 Pas dan mereka sebenarnya menyokong pas sahaja bukan pkr atau DAP. Tapi yang jadi masalahnya ialah bila sokong Pas maka akan memberi kemenangan kepada PR. Jadi siapa yang untung?Adakah pas yang akan jadi PM?
Lambo said…
Salam tuan;

Saya sependapat tapi blm dikurniakan untuk memberi ulasan sebaik tuan. Namun tetap meluahkan sedikit pendapat berkait isu kebimbangan yang akan lahir dari sikap rakus dan haloba dengan mentakwilkan kenyataan suatu mengikut selera sendiri.

Sangat menarik ulasan tuan berkenaan adil seorang bapa kepada saiz pakaian anak-anak. Kurang memahami apakah keadilan sebenarnya diperlukan. samada kuantitinya ataupun kualitinya… walaupun tuan menyatakan peratusan (M=60%, C=40%, I=30%) yang masih menggambarkan melayu masih mejoriti, saya amat yakin peratusan sebenarnya M=<50%.

Jika kiasan antara ayah dan anak-anak yang dipaparkan, boleh diandaikan lagi siapa yang lebih dekat dengan kubur , namun kematian tidak mengenal usia. Untuk itu, mewariskan anak-anak yang memahami akan menyambung kesejahtraan umat.

Mohon maaf dan tegoran andai terlanjur.
Anonymous said…
Salam.

Manakan ada suatu kerajaan di muka bumi yang tak pupus?

Dinasti-dinasti China, Kerajaan Firaun, Kerajaan Sulaiman, Kerajaan Abassiyah, Kerajaan Ottoman, Kerajaan Majapahit, Langkasuka, Ayuthia, Roman Empire...semua pun pupus! Kerajaan UMNO pun tunggu masa je.
PAS Segambut said…
hoi zharif badrul.. kau tu masih hingusan ngundi pun tak layak, yang kau sibuk apa pasal.. kau ni penjilat..
najamarine said…
PAS segambut???
PAS ke?hehehhehe...org PKR yg kunun2 sokong PAS..

memang benar orang PAS hanya menyokong PAS bukan DAP,bukan PKR..dua parti ini lah yg telah merosakkan perpaduan di MALAYsia ni.sebelum ni,hangat antara PAS dan BN/UMNO hanyalah semasa berkempen pilihanraya,kemudian sama2 bersaudara seperti biasa..

tapi ape yg ANwarIbrahim dah lakukan??pilihanraya dah habis,keputusan dah di ketahui..tetapi pahat masih riuh berbunyi..rumah dah boleh duduk pun.tak habis2 mencari idea bg meruntuhkan perpaduan rakyat..khususnya sesama perpaduan sesama kaum..
Salam Bro Azli..

saya petik sedikit petikan dari Bro..

Sebagai generasi muda yang mengharap agar pembangunan negara berterusan dan hak orang Melayu-Islam terus terpelihara, akhirnya harapan saya ini hampir berkecai, lantaran sikap generasi muda kini yang lebih banyak mengikut emosi. Jika benar mereka mahu membetulkan kerajaan, mengapa tidak sahaja menyertai parti pemerintah?

Berdasar kn sumber yg tlh saya baca, generasi muda sememang nya ingin menyertai parti pemerintah dan melontarkn idea mereka..
Tetapi amat malang sekali apabila proses keahlian untuk menyertai UMNO berlaku sedikit ketidakpuasan kepada generasi muda itu sendiri...
Segelintir ketua2 cawangan berusaha menghalang generasi muda untuk menjadi ahli di cawangan meraka atas dasar tamak kerana generasi muda tersebut mampu menggoyah kn pangkat meraka..

Untuk dapat kn sumber ini, sila layari blog Tun Mahathir..
http://chedet.co.cc/chedetblog/
SUARA RAKYAT said…
Analisis yang baik dan menghiburkan. Namun tulisan tersirat yang menyalahkan kaum muda melayu, kenapa menyokong parti lain dan bukan UMNO, perlu dilihat dan ditelaah melalui mekanisme parti itu, baik di peringkat cawangan dan bahagian. Pengalaman mengatakan sifat tertutup jalinan UMNO ini mengakibatkan kaum muda UMNO mencari tempat di mana idea dan cetusan rasa mereka boleh diluahkan dan kelihatannya mendapat tempat. Parti lawan UMNO telah membuka ruang yang seluas-luasnya kepada mereka, kerana itu adalah wajar bagi mereka memilih parti yang mahu sumbangan mereka. Jika UMNO mahu disokong semula, ruang dan peluang hendaklah dibuka seluas-luasnya kepada mereka, dan pastikan aspirasi mereka di kedepankan, bukannya ditong sampahkan.
wanbaki said…
aku setuju yang UMNO sebenarnya perlu merevolusikan keahliannya...

cakap sampai kiamat pun tak akan jadi apa kalau nak masuk UMNO dah daftar tahun 2006 sampai hari ni pun tak boleh jadi ahli lagi.

azli macam kecewa dengan dengan generasi muda tp sebenarnya generasi muda lagi kecewa degan UMNO... yakin dan percaya SETIAKAWAN tak kemana bila AJK bahagian yang dilantik hanya dok kira 3 biji RMR.

UMNO perlu rebranding dan membuat pemutihan keahlian.
"""""""UMNO perlu berdiri tegak untuk rakyat bergantung..""""""" - kalau tak paham bahalol la namanya
Oh Me said…
Ada baiknya juga kalau UMNO takde kuasa lagi di Tanah Melayu ni..kita nak tengok macamana Melayu dibawah PKR nanti hahaha....boleh survive ke tak boleh?
Anonymous said…
Satu analisa yang hambar, tidak berpandu kepada realiti dan fakta. Emosi semata-mata. Eloklah dibaca oleh orang UMNO, inilah standard pemikiran mereka!
Anonymous said…
pas segambut awk pun kna sedar...yang awak 2 dah bau2 tanah.jgn keja maki orang jer;????
rakyat biasa said…
salam. saya hadir sekadar memberikan komen. terlebih dahulu mohon maaf sekiranya ada yg bakal berkecil hati.

pepun, buat mereka yang geram baca apa yang encik azli sampaikan, apa kata seeloknya tuan dan puan sekalian takyah singgah lagi???

bukannya apa. ini hak encik azli nak sampaikan apa yang dia fikirkan. bukankah ini negara demokrasi.

emosi tak emosi, itu SEKADAR pendapat dan pandangan beliau daripada apa yang beliau kaji dan baca dan teliti.

oh ya, kenapa ada tuan dan puan takut orang berfikir dengan sedalam - dalamnya bila baca karya encik azli ini?? bukankah ALLAH telah pun mengurniakan kita akal dan minda yang membolehkan kita untuk berfikir. tak salah guna kelebihan yang kita ada~

sesungguhnya, apa yang benar itu kekal benar. apa yang salah tetap salah.

oh ya, berani kerana benar. rasanya ibu bapa kita sentiasa ajar macam tuh:)
sangat ilmiah. contoh keadilan klasik ala dap adalah pembahagian tanah 70% kepada cina, 20% kepada melayu dan 10% kepada india.

dap juga sangat adil dengan pembahagian tanah untuk sekolah jenis cina sebanyak 100 hektar dan sekolah agama sebanyak 10 ekar.

mungkin pas segambut benci blog anda kerana ilmiah dan mengajak orang berfikir. syabas!

Pilihan Pembaca

10 Buku Paling Kontroversi Di Malaysia

Di bawah ini saya senaraikan 10 buah buku yang pada perkiraan dan pendapat saya, merupakan buku-buku yang penuh dengan kontroversi serta memberi impak besar ke atas masyarakat Malaysia, baik dari aspek politik, agama mahu pun perkauman. Saya mengalu-alukan sebarang komen daripada tuan-tuan sekiranya terdapat penambahbaikan dalam senarai ini. Harap maklum. 10 Buku Paling Kontroversi Di Malaysia 1. Falsafah Takdir (1932) : Pendita Za'ba 2. Dilema Melayu (1970) : Mahathir Mohamad 3. Aurat Muhammadiyah Pegangan Darul Arqam (1985) : Ashaari Muhammad 4. Hadis : Satu Penilaian Semula (1986) : Kassim Ahmad 5. 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM (1998) : Khalid Jeffry 6. Shit (1999) : Shahnon Ahmad 7. Khairy Jamaluddin Bakal Perdana Menteri? (2004) : Yahaya Ismail 8. The March To Putrajaya (2010) : Kim Quek 9. Menuju PAS Baru (2010) : Mujahid Yusuf Rawa 10. Interlok (Versi 2010) : Abdullah Hussien .

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca ...

Hafal Al-Quran Kerajaan Diminta Serius

Hafal Al-Quran Kerajaan Diminta Serius KUALA TERENGGANU 12 Julai — Sebanyak 1,286 pelajar di empat buah Sekolah Menengah Imtiaz di Terengganu berjaya menghafaz di antara satu hingga 30 juzuk al-Quran sehingga Mei tahun ini. Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Mohd Kamaru Al-Amin Ismail berkata daripada jumlah itu, 636 pelajar menghafaz antara satu hingga sembilan juzuk, 299 pelajar (10-14 juzuk), 193 pelajar (15-19 juzuk), 115 pelajar (20-29 juzuk) dan 43 pelajar (30 juzuk). “Ini satu kelebihan dan keistimewaan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Imtiaz kerana boleh menghafaz al-Quran di samping cemerlang dalam akademik,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. - Bernama Ulasan Saya : 1. Suka saya jika kerajaan meluaskan konsep hafazan al-Quran ini di sekolah-sekolah harian di seluruh Malaysia. 2. Terbukti jika pelajar boleh menghafal al-Quran dengan baik, mereka juga berupaya menghafal fomula-fomula sains dan matematik dengan sangat mudah. 3. Pengalaman saya mengajar di sekol...