Skip to main content

MONOLOG AZLI SHUKRI
Bab 2 : Buih-Buih Masa Hadapan



Setelah jurnal Foreign Affairs menerbitkan rencana “Pertembungan Tamadun?” tulisan tokoh sains politik masyhur dunia, Samuel P.Huntington pada musim panas 1993, rencana tersebut telah menimbulkan keresahan dan kegelisahan baru terhadap masyarakat dunia. The Clash of Civilizations and The Remaking of World Order buku kontroversi Huntington adalah lahir daripada respons mereka terhadap rencana beliau tersebut.


Huntington berpendapat, pola politik global selepas tamat perang dingin akan lebih berpaksi pada jati diri dan disusun kembali mengikut garis budaya, tamadun dan keetnikan sesuatu kaum. Masing-masing kaum ingin tetap mengekalkan jati diri budaya dan jati diri tamadun mereka sendiri. Dan sebuah tamadun sejagat yang digembar-gemburkan oleh Barat sama sekali tidak akan berlaku. Tamadun utama dunia seperti China, India dan Islam semakin mengukuhkan jati diri dan budaya mereka. Tiada kompromi dalam soal ini. Ramalan Huntington dalam beberapa tahun belakangan ini semakin menjadi kepastian.


Kebangkitan Iran telah menghantar mesej penting kepada Barat – mereka adalah penyambung keunggulan Tamadun Islam. Manakala penonjolan China dan India dalam ekonomi dan ketenteraan mengesahkan hakikat bahawa mereka ingin kembali menjadi tamadun yang dihormati tanpa mengikut telunjuk Barat lagi.


Hepotisis Huntington dalam soal ini adalah jelas. Segala bentuk ideologi yang cuba membentuk sebuah Tamadun Sejagat semakin runtuh dan tidak diterima. Pada lewat tahun 1980-an rejim Komunis tumbang dan Tembok Berlin sudah runtuh. Tatkala Barat sedang rancak menyebarkan bendera liberalisme dan demokrasi di seluruh dunia. Suara-suara tentangan semakin jelas kedengaran di setiap pelosok dunia bahawa mereka tidak mahu lagi pemimpin kacukan seperti Hitler, Lenin mahupun Stalin menerajui dunia moden. Kerana, pada zaman ini setiap bangsa dan kaum ingin bangkit mengikut kepercayaan dan jati diri mereka sendiri.


Akhirnya, kenyataan Huntington diterjemahkan melalui PRU ke-12 baru-baru ini. Malah, ia merupakan medan setiap kaum meluahkan rasa hati mereka. PRU ke-12 bukanlah kisah tentang harga minyak yang naik 30 sen, atau kisah kebangkitan Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah mengalahkan tokoh wanita UMNO di Lembah Pantai. Tetapi PRU ke-12 ialah kisah tentang kesedaran setiap kaum dalam mempertahankan bangsa mereka. Dengan kata lain, keputusan PRU ke-12 adalah manifestasi tentang rasa setiap kaum terhadap masa hadapan mereka. Bukan lagi ideologi politik yang diutamakan. Orang Melayu terasa kehilangan identiti pada saat tuntutan mereka untuk melihat pengajaran Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Melayu telah diketepikan. Soal bahasa, merupakan perkara penting bagi orang Melayu.


Dan yang lebih mendukacitakan, masalah sosial yang menular dalam kalangan muda-mudi Melayu tidak dibanteras secara menyeluruh oleh kerajaan yang selama ini mewar-warkan pendekatan Islam Hadhari menambahkan lagi kekecewaan mereka. Akhirnya orang Melayu menggunakan peti undi untuk meluahkan rasa. Pada masa yang sama, orang Cina yang terkenal dengan budaya perniagaan semakin tertekan sejak akhir-akhir ini, apabila perniagaan mereka bertambah merosot dan mendakwa ekonomi negara tidak ditadbir secara baik. Lantaran itu mereka beralih sokongan kepada DAP. Kaum India bangkit menyokong pembangkang, khususnya PKR bukan kerana isu Hindraf semata-mata. Sebaliknya perasaan yang menyelubungi mereka selama ini – iaitu kaum India seolah-olah berasa tersisih, tiada pembelaan malah rintihan mereka seperti dipandang sepi oleh kerajaan dan parti yang mereka sokong selama ini.


Saya dilahirkan 10 tahun selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969. Generasi yang seusia saya yang hidup pada hari ini, sama sekali tidak memahami secara menyeluruh mengapa peristiwa itu terjadi. Walaupun kami membaca buku sejarah yang sama. Tetapi kami tidak duduk dalam sejarah itu sendiri. Kami sering mengandaikan, Malaysia yang kini dilihat berjaya adalah natijah daripada dasar bebas dan kesamarataan. Namun demikian, itu pandangan yang salah. Generasi muda yang berjaya ketika ini harus memahami, kejayaan mereka itu adalah hasil daripada perjuangan orang Melayu yang ingin melihat bangsanya mampu bersaingan secara adil di pentas yang sama rata.


Malangnya, generasi inilah yang sedang bersorak di luar sana mahukan perubahan dan menjatuhkan sistem yang selama ini memayungi mereka, kononnya untuk membentuk sebuah kerajaan Malaysia yang lebih adil dan saksama. Adil hanya akan terjadi apabila pentas persaingan itu benar-benar sudah seimbang. Generasi saya yang rata-ratanya mempunyai anak berusia sekitar tiga hingga lima tahun (walaupun saya belum berkahwin), sesungguhnya tidak pernah terfikir apakah jenis “payung” yang masih ada untuk anak-anak mereka bersaing untuk 10 atau 20 tahun yang akan datang. Darah muda sering menjadikan “emosi” sebagai kompas yang menunjuk arah. Jarang kami menggunakan ilmu, sejarah dan nasihat orang tua untuk mengandaikan masa hadapan.


Kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU ke-12 dan di Permatang Pauh baru-baru ini, seharusnya menjadi pengajaran kepada generasi muda, agar tidak memperjudikan nasib anak-anak mereka yang baru berusia beberapa tahun itu. Kerapuhan pakatan pembangkang dalam mentadbir beberapa buah negeri sudah mula dilihat apabila mereka menunjukkan ideologi yang berlainan dalam pentadbiran negeri masing-masing. DAP di Pulau Pinang sudah mula mengetepikan “kontrak sosial” yang sudah disepakati sekian lama oleh semua kaum di Malaysia melalui kenyataannya bahawa tiada lagi amalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang selepas ini. PAS di Perak dan PKR di Selangor disyaki akan lebih banyak terpengaruh dengan ideologi DAP yang menuntut pelbagai kesamarataan di pentas yang masih tidak rata untuk orang Melayu. Apakah generasi Melayu di Pulau Pinang, Perak dan Selangor sudah bersedia dengan realiti baru ini?


Sesungguhnya, generasi muda sudah tersalah langkah dalam melihat pola politik Malaysia yang sudah kukuh dibina dan tersimpul kemas dengan strategi terbaik dalam pentadbiran sesebuah masyarakat yang majmuk sifatnya. Politik dunia selepas perang dingin sudah berubah corak, seperti mana dakwaan Huntington di atas tadi. Daripada perjuangan mempertahankan sesebuah ideologi kepada perjuangan mempertahankan nilai dan jati diri sesuatu bangsa.


Landasan politik Malaysia sudah berada di garis yang lurus selama 50 tahun dengan menjadikan pluralisme sebagai nadi mewujudkan kestabilan dalam politik, ekonomi dan sosial. Dengan konsep ini, setiap kaum yang terlibat mengekalkan budaya dan jati diri masing-masing di samping sama-sama membentuk perpaduan. Setiap kaum mempunyai partinya sendiri yang menjaga dan mempertahankan nilai, budaya dan kepentingan mereka.


Apabila Tun Abdul Razak memperkenalkan DEB, beliau sudah menghidu pola politik Malaysia akan berubah pada masa hadapan berasaskan perjuangan jati diri dan semangat perkauman, dan tidak lagi berteraskan pada masalah ketidakseimbangan ekonomi antara kaum atau ideologi perpaduan. Hal ini terjadi pada saat semua kaum khususnya golongan muda elit dan para peniaga merasai selesa terhadap tahap ekonomi yang hampir boleh dikatakan sudah sama rata antara setiap kaum (walaupun hakikatnya tidak). Lantaran itu, mereka beralih memperjuangkan nilai budaya dan jati diri mereka pula dalam pilihan raya kali ini. Dalam PRU ke-12 ramai yang gagal menyelami hakikat tersebut.


DAP berjaya menarik sokongan orang Cina bukanlah kerana tawarannya untuk menurunkan harga minyak, tetapi mesej di sebalik kempen mereka yang menawarkan sebuah kebebasan untuk menjadi diri mereka sendiri, tanpa mempedulikan ideologi kesepakatan yang menjadi teras perpaduan kaum di Malaysia. Dengan kata lain, mereka mahu menjadi bangsa Cina yang unggul seperti mana yang tercatat dalam sejarah bangsa itu. Di sisi lain pula, PAS menarik sokongan orang Melayu Islam atas tawaran yang hampir sama, membangunkan semula sejarah dan tamadun agung Islam melalui saluran di peti undi. Manakala PKR, menawarkan sebuah negara Utopia yang berbilang kaum sifatnya tetapi bergabung dengan harapan mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang mempunyai ciri tersendiri mengikut tafsiran mereka.


Semua mesej parti pembangkang ini tanpa disedari telah sampai kepada masyarakat. Dan akhirnya, PRU ke-12 pada kali ini membuktikan perjuangan parti politik yang berasaskan ideologi perpaduan semakin di persimpangan. Sebaliknya, rakyat telah memilih perjuangan yang bersandarkan perkauman dan jati diri bangsa masing-masing. Tanpa menafikan, faktor keselesaan telah menyebabkan sebilangan rakyat negara ini mudah alpa dan lupa terhadap nilai perpaduan dan kontrak sosial yang sekian lama terbina. Mereka berfikir seolah-olah semua kaum di negara ini sudah mencapai kemakmuran ekonomi yang seimbang setelah kita mencapai kemerdekaan 50 tahun dahulu. Benarkah begitu? Jika benar, sudah pasti kita tidak lagi tercari-cari jawapan mengapa DEB telah gagal!


Sebagai generasi yang mahu melihat pembangunan negara berterus dan hak orang Melayu terus terpelihara akhirnya harapan ini hampir berkecai, lantaran sikap generasi muda kini yang lebih banyak mengikut emosi. Jika benar mereka mahu membetulkan kerajaan, mengapa tidak sahaja menyertai parti pemerintah? Perjuangkan apa-apa yang dirasakan benar oleh golongan ini dari dalam parti dan bukannya bersekongkol dengan pembangkang yang lebih suka melihat negara ini menjadi lemah. Kita yakini, rusuhan kaum seperti tahun 1969 tidak akan berulang, kerana faktor kematangan dan setiap kaum mempunyai kepentingan yang banyak di bumi Malaysia tercinta ini. Namun demikian itu bukanlah alasan yang konkrit bahawa tragedi malang 69 itu tidak kembali menghantui kita semua. Ia akan hadir dalam bentuk yang berlainan.


Hujahan PAS, PKR dan DAP bahawa zaman perjuangan sesuatu kaum sudah berakhir, merupakan hujah orang yang terpesong jauh daripada realiti. Hakikatnya, Allah menjadikan pelbagai kaum dan bangsa adalah untuk saling kenal mengenali serta memahami antara satu sama lain dan bukan untuk melenyapkan identiti mereka menjadi satu. Perjuangan sesuatu bangsa adalah untuk mengekalkan identiti mereka, tetapi haruslah berteraskan kepada ajaran Islam. Oleh sebab itu, PKR akan hancur dan tidak akan kekal lama, kerana mereka memperjuangkan ideologi yang hanya berteraskan kepada emosi dan rasa hati – yakni kebenaran dan keadilan dari kaca mata mereka dan bukan daripada kaca mata Islam. Tetapi pelik, parti inilah yang sangat dipercayai oleh PAS.


Untuk 10 tahun akan datang parti yang berteraskan kepada ideologi seperti keadilan, komunisme, liberalisme dan sebagainya akan hancur, kerana manusia menuju ke arah perjuangan jati diri tamadun asal mereka. Ideologi sudah tiada tempat lagi dalam mana-mana parti politik pada masa hadapan. PKR akan musnah kerana mereka merupakan parti yang tiada identiti tamadunnya sendiri. Lantaran itu, saya katakan bahawa PKR merupakan alat dan boneka kuasa asing dan diambil kesempatan oleh parti pembangkang lain di Malaysia demi mencapai matlamat politik sempit mereka. PAS, walaupun mempunyai ciri perjuangan yang berteraskan Tamadun Islam, namun demikian sangat lemah dalam melihat waqi’ atau realiti politik Malaysia yang berasaskan perkauman setelah British memporak perandakan ekonomi Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu. DAP bukan memperjuangkan agenda keadilan dan demokrasi, sebaliknya mereka memperjuangkan agenda ketamadunan China – untuk menjadi diri mereka yang sebenar di bumi Malaysia. Semua topeng-topeng ini telah terbuka dalam PRU ke-12. Namun begitu, orang Melayu telah kena tipu atas slogan demokrasi dan keadilan. Dan yang paling malang ialah PAS, percaya akan semua retorik ini. Jika benar demokrasi dan keadilan yang dituntut, PAS tidak akan segan silu untuk mengkritik dan menegur pemimpin-pemimpin pembangkang lain, termasuk Anwar Ibrahim sendiri jika mereka melakukan kesalahan dan melanggar lunas-lunas Islam. Tetapi itu tidak berlaku di dalam PAS. Jadi apakah matlamat perjuangan PAS? Matlamatnya hanyalah inginkan kuasa, dan bukan kebenaran. PAS mempunyai ahli-ahli yang ikhlas, tetapi pemimpinnya tidak bijaksana, mudah ditipu dan dipermainkan.


Bertitik tolak daripada hal ini, mana-mana andaian termasuk Tun Mahathir sendiri yang bimbang bahawa UMNO akan hancur dalam PRU ke-13, sesungguhnya InsyaAllah ia tidak akan berlaku. Kerana dasar UMNO itu sudah berada di landasan yang betul, masalahnya hanya berpunca daripada kepimpinan yang tidak bijak dan tidak berilmu. Bukan masalah parti atau asas perjuangan. Ia merupakan masalah manusia. UMNO adalah parti yang setakat ini hampir lengkap perjuangannya iaitu agama, bangsa dan negara.


Saya bukanlah peminat Samuel P.Huntington, kerana beliau merupakan sebahagian daripada propaganda Yahudi Amerika untuk menakluki dunia, namun begitu, kajiannya tetap mempunyai nilai akademik yang kuat dan kukuh. Selagi ianya tidak bercanggah dengan Islam, maka sesuatu ilmu itu tetap memberi manfaat kepada manusia. Saya percaya UMNO tetap akan wujud, Cuma ketika ini ia lemah, lantaran pemimpinnya yang lebih mementingkan politik peribadi daripada sebuah perjuangan yang suci. PKR tidak akan bertahan lama, mereka hidup atas dasar ihsan Amerika Syarikat dan bukan atas perjuangan mendaulatkan suatu tamadun atau bangsa. Salam Kemerdekaan!

Comments

joharihamzah said…
Saudara Azli,

Adalah amat menyedihkan apabila kepimpinan UMNO yang lemah terus diberi kepercayaan bagi menerajui parti Melayu terbesar ini. Ia adalah satu tragedi sebenarnya, apabila melihatkan betapa besar jasa UMNO kepada rakyat Malaysia tapi sekarang ia digelar ‘Penyamun’ dan ‘Perompak Negara’ dan hanya mementingkan sanak sedara semata..

Saya bukan ahli UMNO, dan sama sekali BUKAN ahli Pas atau PKR. Namun pergelutan dalaman UMNO sebenarnya telah melemaskan serta memualkan hati dan pemikiran saya dan keluarga. Ia juga menjadi titik awal penolakan saya, pada parti yang telah berjasa ini.

Pergelutan mengenai kuasa, dan pengaruh telah mengaburi mata pemimpin UMNO daripada memberi khidmat terbaik kepada masyarakat. Lihat sahaja di tempat saya- Kota Tinggi. Syed Hamid Albar memang PATUT ditolak dan dihumban ke sungai Kota Tinggi!! Ini kerana sewaktu rumah kami tenggelam 2 kali dahulu (2006-2007) beliau tidak pun melawat kami yg sedang ‘enak’ menjamah nasi bubur di dewan besar Kota Tinggi pada pagi hari raya Haji. Bahkan yg lebih memilukan beliau tidak bersegera pulang ke Malaysia setelah mengetahui nasib kami, walaupun urusan telah tamat diluar negara.

Tidak berniat saya menghina atau mencela beliau, tetapi sebagai ketua kami* semua orang kampong saya UMNO belaka!* beliau tak melawat kami bahkan setelah banjir reda sekalipun! Beliau terlupa barangkali, pemimpin2 UMNO dahulu (termasuk arwah bapa beliau)semua bercita2 besar untuk memberi KHIDMAT pada masyarakat, dan bukan menjadi pemimpin demi kesenangan wang ringgit dan harta benda!

Mudah-mudahan pemimpin2 UMNO akan sedar tentang perkara ini, demi maruah UMNO yang mereka sendiri telah calarkan..TQ
Bro Azli,

Thnx for dropping by and d wish..heheh..neway selamat menyambutHari Kemerdekaan Yg ke 51 dan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarok..wat can I say,..heheh..(,")

SAY NO TO NWO!! SAY BYE TO AnWar & PLah!!
taipingmali said…
Salam kemerdekaan dan salam ramadhan al mubarak. Blog saudara telah di sambung dgn blog saya.
Home User said…
azli, sila lawat http://kerajaanrakyat.com/?p=929#more-929

ko kan minat sejarah... buang tepi dulu pemikiran umno ko tu. cuba baca dan hadham dulu siapa dan di mana UMNO pada masa tu barula ko cakap pasal perjuangan UMNO tu.
azlishukri said…
johari hamzah - realiti yang dialami oleh saudara turut dialami oleh saya, khusus di kampung saya yang banjir berkali2 tetapi selepas sepuluh tahun baru dapat bantuan pindah rumah itu pun waktu pilihanraya baru-baru ini. malangnya, ahli biasa takut nak buat perubahan, dah tahu pemimpin itu tidak menjalankan amanah buang sahaja. ahli UMNO berperanan besar menolak kepimpinan yang jauh daripada kebenaran!

konspirasi- sama-sama kita beramal ibadah.

taipingmali- saya akan link juga

home user - malangnya, kita merupakan sahabat di UM, tetapi saya tidak tahu pun nama saudara. Fikrah berbeza tidak mengapa. saya bukan ahli UMNO yang fanatik, saya ahli UMNO generasi ke2, yang tidak akan membiarkan UMNO terus diburu dengan politik wang dan rasuah, ini bukan masalah parti, tetapi masalah Manusia, jika yang memimpin PKR itu adalah orang yang tidak baik, maka imej partinya juga akan rosak, sama juga dengan UMNO, Pak Lah lemah maka, UMNO akan lemah, ini bukan soal nama parti. Tetapi PKR tidak akan kekal lama, kerana asas perjuangannya adalah lemah dan penuh dengan retorik. Saol sejarah UMNO,ia sudah tinggal sejarah, kita harus lihat sekarang, masa depan negara hendak diberikan kepada siapa? kepada Anwar? bukankah saudara malah seluruh rakyat dan warga permatang pauh tahu bagaimanakah hubungan akhrab beliau dengan yayasan masa hadapan yang diketuai Ziones Yahudi, malah belanja pilihan rayanya juga datangnya daripada sana, tak kan kita masih buta mata hati untuk memilih pemimpin yang sebegini. susah kalau hati kita tidak cinta kepada kebenaran!
POLITIK MANA ADA KEKAL.

dan apa yang ada di dunia ini adalah sementara.

Semasa kita berada di atas, kita kadang-kadang terlupa asal usul kita dan begitulah zaman berganti perlu kita fahami apatah lagi politik supaya kita tidak ketinggalan.
Home User said…
ye azli UMNO generasi kedua patut tolak terus UMNO tuh masuk parti lain. yelah sapa aku untuk paksa ko masuk parti lain. aku setuju PKR bukan parti yang kuat akar umbinya. berkenaan anuar ada hubungan dgn yayasan masa depan sejauh mana hubungan mereka aku tak ambil port. ko tengok osama laden, dulu dilatih oleh US. Siapa sangka osama lawan balik US? Begitu juga kes yang ko dakwa anuar ada hubungan dengan yayasan masa depan. Apakah mustahil ia akan terbalik? Ko kena fikirkan itu juga.

berbalik kepada UMNO. Ko kata umno rosak kerana rasuah. Kesimpulannya ko tak perlu sokong parti keramat yang tak keramat. Ko kata kena tukar PM paklah tapi ko nampak tak siapa yang layak pegang jawatan PM. Aku tak nampak seorangpun yang boleh di harap pegang jawatan PM tu dlam UMNO. Orang yang baik dlam UMNO jangan haraplah kekal lama. Banyak sangat yang penting diri sendiri. di kampong2 apabila umno menang dan ada pangkat di kampong, soal parti tolak tepi kerana ko dah menang! sekarang ko sudah jadi wakil rakyat sbagai mata,telinga,hati kerajaan. Kalaupun seseorang tu fanatik parti lawan UMNO tapi dia layak dapat bantuan, kenapa tolak tepi dan tak bagi bantuan? Aku tak kisah kalau itu duit UMNO. itu duit kerajaan! Tapi sayang.... ketua bahagian yang baik tak pilih kasih, tak lama azli.. tak lama. Tak sampai satu penggal kena tendang. ini realiti azli. bukan rekaan.
Cheguman said…
Azli,
Kata 'home user':
1) aku setuju PKR bukan parti yang kuat akar umbinya.
2) berkenaan anuar ada hubungan dgn yayasan masa depan sejauh mana hubungan mereka aku tak ambil port.
3) ko tengok osama laden, dulu dilatih oleh US. Siapa sangka osama lawan balik US? Begitu juga kes yang ko dakwa anuar ada hubungan dengan yayasan masa depan. Apakah mustahil ia akan terbalik?

Tiga perkara tersebut saya kutip dari satu perenggan sahaja komen 'home user'.

Pada pandangan saya, golongan begini lah yg patut dibimbangi oleh negara kita. Mereka sudah tidak peduli apa-apa lagi asalkan hati puas.

Seperkara lagi, apabila golongan ini bercakap soal sejarah, mereka hanya melihat yg tersurat. Contohnya, 'salah satu punca kejatuhan Melaka ialah kerana leluasanya rasuah'. Oleh itu UMNO yg telah mengamalkan rasuah wajib dihukum.

Benar. Pemimpin UMNO yg bersalah perlu dihukum. Apa hukumannya? Bila kita nak dakwa dan hukum mereka?

Bagi saya, ada dua mahkamah yg layak menghukum mereka iaitu:
1) Mahkamah di dunia
2) Mahkamah di akhirat

Perlu diingat bahawa kita tak perlu menyibuk dalam kedua-dua mahkamah tersebut.

Sebenarnya 'faktor rasuah' dalam menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Melaka berlaku dalam 3 peringkat:

Peringkat pertama: iri hati
Peringkat kedua: fitnah
Peringkat ketiga: perpecahan

Portugis tidak menyerang Melaka 'ketika rasuah'.

Portugis juga tidak menyerang Melaka 'ketika fitnah'.

Portugis menyerang Melaka 'ketika perpecahan' sedang berlaku.

Perkara inilah yg tidak dilihat oleh kebanyakan penyokong PKR.

Rasuah dalam UMNO sudah berlaku. Ada yg dah mati pun.

Zaman irihati juga sudah berlaku. Akhirnya PRU12 menghukum UMNO.

Kini zaman fitnah melanda.

Adakah kita nak ucapkan selamat datang pada zaman perpecahan?

Azli,
Maaf le menulis panjang di 'rumah' sdra.
azlishukri said…
home user - suka saya katakan, UMNO memang rosak kerana masalah Manusia di dalamnya yang lebih memantingkan wang dan kuasa bukan kebenaran dan perjuangan, tetapi PKR juga merupakan lahir daripada UMNO inilah golongan yang awal atau generasi UMNO yang awal2 menggunakan wang sebagai cara mendapatakan kuasa - lupakah saudara bagaimana Tun Ghafar dikalahkan oleh Anwar? berapa banyak wang dilaburkan? UMNO hancur kerana adanya orang seperti beliau, dan sekarang beliau bercakap soal keadilan dan kebenaran? PKR dan penyokong-penyokongnya hanyalah alat untuk beliau mencapai cita-cita politiknya menjadi PM dan selepas itu apa? Masalah UMNO ialah soal kepimpinan dan manusia rakus di dalamnya, jika manusia yang begitu mulia, yakni penyokong-penyokong PKR yang kononnya berjiwa suci masuk UMNO dan bina UMNO baru yang lebih baik dan tolak pemimpin-pemimpin yang rasuah maka UMNO akan jadi baik semula. Tetapi mengapa kita hendak robohkan UMNO semata-mata kerana pemimpinnya yang lemah? bukan UMNO yang rasuah tetapi ahlinya. Tolak ahli-ahlinya yang rasuah, sama-sama bersatu UMNO akan bersih semula. Islam itu mulia, tetapi yang menjadikan imej Islam itu kotor adalah penganutnya yang tidak mengikut ajaran Islam yang betul. Tak akan kita nak kata Islam itu sudah tidak relevan, lantaran kerana penganut-penganutnya yang jahat dan berbuat dosa. UMNO tidak kotor, yang kotor pemimpin-pemimpinnya yang tidak ikhlas, PAS tidak kotor, tetapi pemimpin-pemimpinnya yang mudah dipermain-mainkan. PKR juga tidak kotor, yang kotor adalah Anwar Ibrahim. Dan lebih malang, PKR tiada asas perjuangan yang jelas dan tidak akan mampu bertahan lama. tak kanlah kita mahu berjuang dalam parti yang hanya wujud sementara sahaja. Soal yang penting sekarang ialah, ramai pemimpin yang ada sekarang tidak ikhlas, termasuk PAS.
azlishukri said…
demang lebar daun - silakan, tidak mengapa kita menulis panjang, yang penting kita ikhlas memperjuangkan kebenaran.
AL-BIMA SAKTI said…
salam;

selamat berpuasa...
azlishukri said…
al-bima sakti, selamat berpuasa.

Pilihan Pembaca

Yang Mana Satu?

Fikir-fikirkan...yang mana satu Allahyarham Baharuddin Ahmad, Baharuddin meninggal di KLCC, tetapi gambar yang dikatakan sebagai arwah itu diambil di Hentian Puduraya, cuba lihat gambar kedua tersebut, tertera di belakangnya tertulis Puduraya. Baca juga penjelasan menarik daripada sahabat saya di sini... Double Y

Tulisan Terbaik Mufti Perak

1. Minggu yang lepas telah memaparkan semula perbahasan tentang ancak serta beberapa isu yang berkesinambungan dari perkara-perkara yang sepatutnya sudah selesai dan tidak diperbincangkan lagi di media cetak dan elektronik mahupun laman sesawang. Tidak kurang juga beberapa ulasan dari blogger tentang isu ancak yang masih tidak berkesudahan nampaknya. Tambah menyemarakkan keadaan, terdapat komen-komen yang agak pedas di samping cacian, pendustaan dan kalam-kalam yang terbit dari hati sekiranya dibaca berulang kali boleh membawa kepada kesedihan yang amat mendalam 2. Itulah realiti yang perlu ditempuh oleh semua orang terutamanya para pemimpin, pendakwah atau pun sesiapa sahaja. Itulah juga mentaliti sebahagian dari kita yang banyak menghabiskan masa dan memerah fikiran semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu mereka yang selama-lamanya tidak akan puas. 3. Masih ramai di kalangan umat Melayu-Islam ini tertarik dan terpesona untuk membuat ungkapan, percakapan ma

Yang Cuit Dan Mencuit : Terima Kasih Zaini Hassan

Yang Cuit Dan Mencuit Terima Kasih Zaini Hassan Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua bloggers pro-kerajaan yang semakin mula dihargai - sekurang-kurangnya diberi pernghargaan dengan pujian. Pada perkiraan saya, ini merupakan satu permulaan untuk semua bloggers kerajaan diberi pengiktirafan yang sewajarnya atas pengorbanan dan penat lelah mereka selama ini. Sebagai bloggers picisan, sekali lagi saya merakamkan kegembiraan dan sekalung tahniah kepada semua bloggers pro-kerajaan yang terbukti menjadi barisan utama bagi menggempur barisan Pakatan Rakyat yang semakin kucar-kacir sejak akhir-akhir ini. Walaupun saya tidak dapat hadir pada majlis tersebut, sekurang-kurangnya, semua bloggers pro-kerajaan sudah meluahkan rasa hati mereka. Semoga Allah juga yang membalas jasa baik tuan-tuan semua, Wallahualam. Baca tulisan Zaini Hassan di sini...