Skip to main content

Akhlak Mulia ialah Jenama Nabi Muhammad dalam Berniaga

TIADA ALASAN LAIN, MENGAPA MICHAEL HART sanggup meletakkan Nabi Muhammad sebagai manusia paling berpengaruh dalam sejarah manusia melalui buku terkenal beliau berjudul  “Seratus Tokoh Paling Berpengaruh dalam Sejarah”, melainkan Nabi Muhammad seorang yang benar-benar berpengaruh dalam dunia perniagaan. 
 

Para orientalis sering berbohong dengan mendakwa Nabi Muhammad ialah seorang penganggur, sebelum Baginda diutus menjadi rasul dan nabi. Fakta berkenaan Nabi Muhammad sebagai pengurus, usahawan dan peniaga sering diputar-belitkan demi menidakkan kredibiliti Nabi Muhammad sebagai seorang rasul agung pilihan Tuhan. Nabi Muhammad didedahkan dengan dunia perniagaan seawal usia 12 tahun, sewaktu mengikuti  bapa saudaranya Abu Thalib dan kumpulan peniaganya dalam ekspedisi dagang ke Syria – sebuah ekspedisi agung yang menyerlahkan kenabian Muhammad melalui kaca mata Pendeta Bahira. Hakikat sejarah yang tidak mampu dinafikan oleh sesiapa pun. 

Nabi Muhammad ketika berumur  17 tahun, sudah mula berniaga sendirian secara kecil-kecilan di Kota Makkah. Membeli barangan dari pasar dan kemudian menjualnya kepada orang lain. Rutin ini telah menyerlahkan kredibiliti Baginda sebagai usahawan yang rajin dan amanah, malah membawa Baginda ke transaksi perniagaan yang jauh lebih luas daripada sebelumnya. Nabi Muhammad merintis pekerjaannya sebagai peniaga dan usahawan dengan modal yang kecil dan kadangkala bekerja sebagai ejen untuk mendapatkan upah. 

Melalui perniagaan berbentuk Shirkat (kerjasama) yang menjadi tradisi perniagaan masyarakat di kota Makkah ketika itu, telah menemukan Baginda dengan para pemberi modal yang terdiri daripada para janda, anak-anak yatim dan kaum wanita yang tidak berdaya. Golongan ini walaupun bertaraf jutawan, namun tidak mampu berniaga secara langsung. Lantaran itu, mereka memberikan pinjaman modal atau mengupah mana-mana peniaga yang mampu menguruskan perniagaan serta mampu membawa keuntungan kepada mereka. 

Nabi Muhammad amat beruntung, keperibadian unggul yang dimilikinya berjaya menarik ramai peminjam dana untuk mengamanahkan tanggungjawab perniagaan kepadanya. Termasuklah Siti Khadijah. Sebelum bekerja dengan Khadijah lagi, Baginda sememangnya berpengalaman dalam melakukan banyak ekspedisi dagangan di luar Makkah atas nama sendiri. Apatah lagi setelah Khadijah melantik Nabi Muhammad sebagai pengurus perniagaannya. 

Ketika umur Nabi Muhammad mencecah 25 tahun, Baginda sudah diiktiraf sebagai pengurus muda yang cukup berjaya menempa nama, tidak hanya di tempat kelahirannya sahaja, malah di persada antarabangsa sebagai tokoh peniaga, pengurus dan usahawan yang terkenal. 

Hakikat ini diakui oleh pemimpin Bahrain bernama Al-Ashajj apabila beliau mendapati Nabi Muhammad begitu mahir dalam soal perniagaan, budaya keusahawanan dan perekonomian negaranya, terutama di kota-kota besar seperti di Safar, Mushaqqar dan Hijar. Akhirnya, Al-Ashajj berkata kepada Baginda, “Anda nampaknya lebih mengetahui negara saya daripada diri saya sendiri.” Kisah ini dicatat di dalam kitab Musnad Imam Ahmad.

Aktiviti perniagaan Nabi Muhammad tidak terhenti walaupun sudah berumah tangga dengan Siti Khadijah. Malah, selepas bernikah Baginda dilihat lebih aktif dalam menguruskan syarikat dan perniagaan isterinya dengan lebih berjaya.

Baginda juga berjaya memperkasakan ekonomi dan perniagaan Siti Khadijah dengan etika perniagaannya yang cukup tersusun dan menyenangkan hati para pedagang dari daerah-daerah lain. Oleh sebab itu, ketika Baginda menjadi pengurus kepada perniagaan Siti Khadijah, perniagaannya begitu pesat berkembang dan nama Baginda sentiasa meniti di setiap bibir para pedagang yang membanjiri kota-kota perdagangan semenanjung Arab, Syam, Yaman, Syria, Busra, Iraq, Yordania dan Jorash.

Baginda tidak hanya dikenali kerana perniagaannya yang maju, tetapi lebih daripada itu Baginda dikenali sebagai pedagang dan usahawan yang serba cukup dengan ilmu perniagaan dan perekonomian, di samping etika perniagaannya yang penuh dengan kejujuran, kesetiaan, menepati janji, menjaga kualiti barangan, amanah dalam tadbir urus korporatnya, profesional dan memudahkan urusan jual beli. 

Pada saat Rasulullah menguruskan perniagaan Siti Khadijah, Baginda mampu memperkasakan perniagaan dan ekonomi majikannya itu dengan mengadakan perniagaan secara shirkat (kerjasama) melalui beberapa tokoh perdagangan lain seperti Saib ibn Ali Saib, Qais ibn Saib dan Rabi ibn Badr. Dan kerjasama ini benar-benar menguntungkan kedua-dua pihak, sehingga Saib berkata, “Muhammad ialah rakan kerjasamanya dalam perniagaan dan selalu lurus dalam perkiraan-perkiraan perdagangan.”

Kekuatan dan kejayaan Rasulullah dalam memperkasakan ekonomi dan perdagangannya banyak bergantung kepada ilmu, akhlak dan etika dalam mengurus perniagaannya. Sehingga dicatatkan bahawa baginda berjaya meluaskan empayar perniagaannya hingga ke luar Semenanjung Arab dan lebih daripada 10 pasar besar perniagaan yang terkenal telah disertainya, seperti pasar Fumatul Jandal di utara Hijaz, Mushaqqar di Hijar, Suhar di Oman, Shir (Maharah) di sebelah pantai laut Arab antara Aden dan Oman, San'a Ibu kota Yaman, Rabiyah di Hadramaut, Ukaz di Najd, Nazat di Wilayah Kahibar, Hijr di Yamamah dan banyak lagi. 

Kejayaan baginda menguruskan perniagaannya benar-benar menggambarkan manifestasi daripada sebuah hadis Baginda yang amat masyhur, “Allah memberikan rahmat-Nya pada setiap orang yang bersikap baik ketika menjual, membeli dan membuat suatu kenyataan.” (Riwayat Bukhari).

Hakcipta Terpelihara ©Muhammad Azli Shukri, 2020 NS 2021/6/2020 e-NS : ASRJ 06. Ikuti saya di saluran-saluran berikut :
 
Telegram   : t.me/azlishukri 
FB Profile : Azli Shukri
FB Page    : Muhammad Azli Shukri
Instagram  : azli.shukri
Twitter       : AzliShukri
LinkedIn    : Muhammad Azli Shukri
YouTube    : Azli Shukri Channel
Blogspot    : Azli Shukri Jurnal
TikTok      : Azli Shukri

Comments

Pilihan Pembaca

Penulis dua dari kanan bersama dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Pada 10 September yang lalu, Sidang Editor Bahagian Majalah berkesempatan berbuka puasa bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Sime Darby Convention Center. Terima kasih atas Jemputan tersebut. Jazakumullahu Khairan Kasiran. * Dari kiri Ros, Suria Janib (Penolong Editor Dewan Masyarakat ), A. Zaidel (Penolong Editor Dewan Masyarakat ), Datuk Seri Khaled Nordin, Muhammad Azli Shukri (Editor Dewan Ekonomi) , dan Armin Azhari (Editor Pelita Bahasa ).
Nasihat Pemimpin Patuhi Etika Islam Oleh Muhammad Azli Shukri (Artikel saya ini telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 18/09/2003) Dalam Islam, pemimpin atau pemerintah yang telah dilantik haruslah diikuti perintahnya, selagi perintah tersebut tidak bercanggah dengan suruhan wahyu dan perintah Rasul, seperti mana firman Allah di dalam surah an-Nisa ayat 59, "Wahai orang-orang yang beriman! patuhilah olehmu perintah Allah dan patuhilah olehmu perintah Rasul dan ulil amri di antara kamu." Oleh kerana para pemimpin atau pemerintah merupakan manusia biasa dan tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat, maka mereka juga wajib diberi nasihat oleh rakyat yang sedang di pimpinnya, bersesuaian dengan roh Islam itu sendiri yang berteraskan kepada amar makruf nahi mungkar, sebagaimana firman Allah, "Kamu adalah umat yang terbaik yang telah dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.'' (
MONOLOG AZLI SHUKRI Bab 10 : Muhammad Azli Shukri Lagi! Saya agak sukar untuk menulis Monolog ke-10 saya pada kali ini. Saya merasakan inilah monolog yang sangat susah untuk saya meluahkannya. Saya tidak tahu, bagaimanakah harus saya sampaikan monolog saya pada kali ini? Apakah saya harus menulis atas prinsip saya sebagai seorang wartawan? Atau sebagai seorang ahli politik? Atau sebagai seorang penulis bebas? Atau sebagai seorang editor? Semua ini menyukarkan saya untuk menulis monolog saya yang terakhir pada bulan ini. Saya merasakan bahawa saya harus berterus terang dengan jujur dan amanah, tanpa rasa takut dan kesal, kerana kebenaran dan jihad harus ditegakkan dengan segala kekuatan yang ada. Yang pasti, kebenaran tidak boleh disembunyikan lagi. Dan Sesungguh, untuk menjadikan kejahatan bermaharajalela, cukuplah sekadar kebenaran mendiamkan diri! Saya tidak berupaya membiarkan itu semua berlaku. Dan untuk kali ini saya harus bercakap benar dengan nada yang berterus terang. A