Skip to main content

Cerita yang Tidak Perlu Diceritakan

Penulis bersama Tan Sri Rafidah Aziz, ketika penamaan calon di Dewan Merdeka Kuala Kangsar, Perak

Setelah Tan Sri Rafidah Aziz tidak dilantik semula oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kabinetnya, ramai pemerhati politik yang mendakwa bahawa hayat politik “Wanita Waja” itu sudah berada di penghujung. Namun demikian, tidak ramai yang mengetahui bahawa tanda-tanda atau “alamat” politik Rafidah Aziz semakin sepi sudah pun dapat dihidu semasa hari penamaan calon tokoh tersebut di Kuala Kangsar. Catatan ini akan menjadi sejarah bagaimana melihat tanda-tanda karier seseorang ahli politik itu boleh sama ada menuju ke puncak ataupun menghampiri zaman muramnya. Saya dedahkan segala-galanya di sini.


Cerita yang Tidak Perlu

Diceritakan

Oleh Muhammad Azli Shukri

(Yang menjadi wartawan untuk kawasan Parlimen Kuala Kangsar, pada hari penamaan calon, 24 Februari 2008).

Ikuti peristiwa klasik dan detik-detik cemas bagaimana Tan Sri Rafidah Abdul Aziz ahli Parlimen Kuala Kangsar yang sudah lebih daripada 30 tahun menjadi ahli Parlimen, hampir-hampir tersungkur kalah walaupun pun pertarungan masih belum dimulakan. Cerita yang langsung tidak dibesar-besarkan oleh media ini, sesungguhnya mempunyai signifikan tersendiri terhadap ketelusan dan integriti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), bahkan akan menjadi sejarah hitam yang terpendam dan terpadam, betapa seorang tokoh unggul Barisan Nasional yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO Malaysia, hampir menjadi mangsa atas kesilapan yang tidak akan dimaafkan oleh sesiapa pun yang mendengarnya. Namun, kebijaksanaan SPR dalam menangani saat genting itu akan tetap terpahat dalam minda saksi-saksi yang berada pada ketika itu. Sama ada mereka berdosa atau tidak hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.


Peristiwa di Taman Bunga Raya
(22 Februari 2008).


Seawal pagi, selepas subuh pada hari Jumaat 22 Februari saya sudah berada di Plaza Tol Jalan Duta, kepanasan cuaca sejak akhir-akhir ini mendorong saya keluar awal agar tidak kepanasan di tengah jalan. Walaupun perjalanan hanya mengambil masa tiga jam untuk sampai ke Kuala Kangsar, tetapi sampai di awal pagi lebih menggembirakan. Apatah lagi persediaan awal untuk program UMNO pada malam tersebut bolehlah dibuat awal sedikit. Di samping membuat liputan untuk hari penamaan calon bagi Parlimen Kuala Kangsar pada 24 Februari, saya juga terlibat dalam jentera pilihanraya Barisan Nasional kawasan Parlimen Kuala Kangsar sebagai Ketua Penerangan. Dan malam tersebut, saya diminta menyampaikan ceramah bertajuk “Mengapa Kita Perlu Mengundi Barisan Nasional”, bersama-sama dengan Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala kangsar, saudara Mohamed Kamil Dato’ Shafie di bilik gerakan BN Taman Bunga Raya. Taman Bungan Raya merupakan kawasan baharu selepas persempadanan semula oleh SPR pada tahun 2004. Oleh kerana itu, Taman Bunga Raya merupakan peti undi yang baharu dan merupakan salah satu daripada 22 buah peti undi yang berada di bawah Parlimen Kuala Kangsar. Dan terletak di bawah Dewan Undangan Negeri Manong yang mana ADUNnya ialah Dato’ Ramly Zahari yang juga merupakan Exco Kanan Perak merangkap Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar. Asalnya, Taman Bunga Raya hendak diletakkan di bawah Parlimen Padang Rengas yang mana ahli Parlimennya ialah Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Tetapi, setelah dibuat semakkan semula oleh SPR, maka Taman Bunga Raya telah diletakkan di bawah kekuasaan Datuk Seri Rafidah Aziz.


Jumlah pengundi di Peti Undi Taman Bunga Raya adalah sekitar 617 orang, dengan pecahan Melayu 325 orang, Cina 192 orang dan India 100 orang. Pada dasarnya, Melayu di kawasan ini berpecah kepada dua parti iaitu PAS dan UMNO, namun yang menjadi kebimbangannya di sini ialah masyarakat Cina dan India yang sudah kelihatan condong menyokong pembangkang, apatah lagi sejak isu Hindraf meletus, kaum India semakin jauh daripada BN.


Saya sampai di Kuala Kangsar pada jam 10.30 pagi. Berehat dan menyediakan sedikit teks ucapan ceramah. Selepas solat Jumaat di Masjid Kuala Dal, sekitar jam 4.30 petang, Saudara Shahril Rizal Md Madar Sahib (Jai) rakan setugas dan rakan sepejabat sampai ke Kuala Kangsar, Jai berangkat agak lewat sedikit dari Kuala Lumpur kerana menyelesaikan beberapa masalahnya dahulu. Walaupun beliau ditugaskan untuk membuat laporan bagi kawasan Parlimen Sungai Siput, namun, lebih baik baginya bermalam dan membuat laporannya di rumah saya sahaja, kerana Kuala Kangsar ke Sungai Siput tidak sampai 30 minit perjalanan dan mudah berulang alik sahaja dari Kuala Kangsar.


Selepas melepaskan dahaga dengan Cendol Kuala Kangsar dan mengisi perut dengan laksa dan mee goreng mamak sedap di Lembah Sungai Perak, kami pulang ke rumah saya di Kampong Simpang Lawin. Kampong Simpang lawin agak unik, pertama kerana kawasannya teletak di tengah-tengah sempadan antara kawasan Parlimen Kuala Kangsar dengan Parlimen Padang Rengas, lantaran itu, kampong ini mendapat dua bantuan serentak melalui Datuk Seri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Nazri Aziz dan kedua, Kampung ini satu-satunya yang tiada cawangan UMNO, tetapi penduduknya bersatu di bawah Jawatankuasa Surau Simpang Lawin (SUSILA) yang penduduknya seratus peratus menyokong UMNO.


Selepas menemani Jai untuk meninjau-ninjau Bandar Diraja Kuala Kangsar dan membuat tempahan awal untuk penginapan di Safari Resorts bagi menghadapi pilihanraya pada 8 Mac nanti, kami terus berangkat menuju ke Bilik Gerakan BN di Taman Bunga Raya, sampai di sana orang ramai sudah berada di pekarangan Bilik Gerakan, malah, penceramah pertamanya, saudara Mohamed Kamil Dato’ Shafie pun sudah hadir, malu juga rasanya kerana mereka yang terpaksa menunggu kami. Selepas bersalam salaman dan mengambil kedudukan masing-masing, Ketua Peti Undi Taman Bunga Raya, saudara Ahmad Nazri Abd Shukur, yang menjadi pengerusi majlis mengalu-alukan kehadiran para penceramah pada malam tersebut. Selepas diminta membacakan doa, saya terus menyampaikan ceramah saya yang bertajuk “Mengapa Kita Perlu Mengundi Barisan Nasional”, kira-kira 100 orang penyokong BN hadir pada malam tersebut. Majlis berakhir kira-kira jam 11.30 malam. Pada malam tersebut juga saya difahamkan oleh akar umbi UMNO Kuala Kangsar betapa mereka tidak berapa menyukai Rafidah terus bertanding di Parlimen Kuala Kangsar kerana faktor beliau ialah orang luar dan jarang turun padang. Usaha untuk menyingkirkan Rafidah memang ada, tetapi melalui saluran yang betul, tanpa mengecilkan hati sesiapa pun.


Selepas menjamu selera, saya dan Jai terus bergerak ke Sungai Siput, membuat tinjauan dan melihat persiapan jentera pilihanraya BN di sana. Malangnya, bilik gerakannya telah ditutup. Namun demikian, kami sempat mengambil beberapa maklumat yang diperlukan daripada para petugas jentera pilihanraya BN yang sedang bertugas memasang bendera BN di sekitar pekan Sungai Siput. Kami sampai ke Kampung Simpang Lawin kira-kira jam 2.30 pagi.


Makan Bihun Goreng Bersama Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz
(23 Februari 2008).


Datuk Seri Nazri Aziz memang suka makan Bihun Goreng . Bihun Goreng Basah masakan kampung adalah kegemarannya. Sudah beberapa kali beliau datang ke Kampung Simpang Lawin dan menu kegemarannya sudah diketahui umum oleh masyarakat kampung di situ. Tapi kali ini beliau hadir ke salah sebuah kampung di bawah Kampung Simpang Lawin, bagi merasmikan Majlis Bantuan Membina Rumah untuk Orang Miskin. Walaupun saya bukan membuat liputan untuk Parlimen Padang Rengas, tetapi oleh kerana ayah saya merupakan orang kuat Datuk Seri Nazri, beliau telah meminta saya, Jai dan jurufoto Dawama, saudara Zairol untuk sama-sama hadir pada majlis tersebut untuk mengambil gambar dan maklumat daripada Datuk Seri Nazri. Peluang ini tidak kami sia-siakan, Pada pagi 23 Februari itu, Datuk Seri Nazri hadir kira-kira jam 10.30 pagi dan di sambut lebih daripada 70 orang penduduk kampung.


Program bantuan ini telah ditaja oleh Amanah Raya Berhad bagi membina sebuah unit rumah teres kos rendah untuk seorang penduduknya yang begitu miskin bernama Pak Nik. Dalam ucapan beliau, beliau tidak dapat lari untuk berkempen, malah Datuk Seri Nazri sama sekali tidak berselindung dalam menghentam puak Hindraf yang baginya telah merosakkan pepaduan kaum di Malaysia. Beliau juga meminta agar penduduk kampung memberi undi kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya kali ini. Turut hadir dalam majlis itu ialah dua calon BN untuk kawasan DUN di bawah Parlimen Padang Rengas iaitu, Datuk Jamal Nasir Rasdi, calon BN untuk DUN Lubok Merbau dan Datuk Siti Salmah Mat Jusah untuk DUN Chenderoh.


Selepas perasmian dan meletakkan batu asas rumah, kami semua menjamu selera dengan makan tengahari di Surau Simpang Lawin bersama-sama Datuk Seri Nazri Aziz. Beliau sempat berseloroh dengan saya katanya, “Ko ni, bapaknya orang kuat UMNO Padang Rengas, tapi ko ni UMNO Kuale, nasib baik mengundi di Padang Rengas.” Memang benar, saya ahli UMNO Kuala Kangsar, namun saya membuang undi di kawasan Parlimen Padang Rengas. Beliau merupakan salah seorang wakil rakyat yang berjiwa rakyat, tidak kekok duduk bersila dan bergurau senda dengan rakyat yang berada di bawahnya. Satu contoh yang cukup baik sebagai seorang Ahli Parlimen.

Selamat Datang Rafidah! (23 Februari 2008).

Petang itu, selepas selesai makan tengahari bersama Datuk Seri Nazri Aziz, kami berangkat semula ke Sungai Siput, untuk mendapatkan maklumat dan berita pembangkang di sana yang dikatakan mahu merampas kerusi Parlimen Samy Vellu. Kami berada di Sungai Siput hampir 2 jam dan sekitar jam 4 petang, dimaklumkan Datuk Seri Rafidah telah sampai di Rumah Rehat Kuala Kangsar dan akan mengadakan perjumpaan tertutup dengan pimpinan tertinggi UMNO Bahagian. Saya berusaha menelefon Setiausaha Politiknya, untuk mengadakan temujanji dengan Rafidah, tetapi gagal. Usaha tidak terhenti di situ, saya hubungi pegawai-pegawai kanannya yang lain. Tetapi menghampakan. Rafidah mempunyai jadual yang sangat ketat sehingga larut malam. Lantaran itu beliau tidak tidak ada kesempatan untuk diwawancara oleh kami pada malam tersebut.


Program untuk mewawancara Rafidah pada malam tersebut telah saya gantikan dengan program ikut pemuda UMNO pasang bendera di sekitar Kuala Kangsar. Program yang bermula jam 10 malam itu diketuai oleh saudara Azizul Abdul Rahim, Ketua Pemuda UMNO Kuala Kangsar. Lokasi gerak kerjanya bermula di Peti Undi Taman Bunga Raya. Pada malam tersebut kira-kira 100 batang bendera BN telah dipacak di sepanjang jalan dari Plaza Tol Kuala Kangsar hingga ke Sekolah Rendah Kebangsaan Talang. Program ini akan berjalan sehingga saat-saat akhir sebelum membuang undi pada 8 Mac nanti. Kami juga tidak terkecuali dalam memacak bendera BN tersebut. Walaubagaimana pun. PAS sudah mula rancak memasang benderanya awal sehari daripada pemuda BN. Malam itu, saya, Jai dan Zairol banyak menyaksikan bagaimana usaha-usaha untuk memasang bendera BN di sekitar Kuala Kangsar. Kami pulang ke rumah sekitar jam 2.30 pagi.


Permulaan yang Ceria
(24 Februari 2008).


Jai dan Zairol sudah berangkat ke Sungai Siput, seawal jam 6.45 pagi untuk membuat liputan tentang penamaan calon yang dikatakan akan kecoh dan tegang di kawasan milik Presiden MIC itu. Saya pula keluar rumah sekitar jam 8 pagi dan menunggu di Masjid Riduwaniah Kuala Kangsar, kerana calon BN akan berarak dari dataran Arena Square menuju ke pusat penamaan calon di Dewan Merdeka bersebelahan dengan Maktab Melayu Kuala kangsar (MCKK). Manakala, calon PAS pula akan berarak dari arah Hospital Besar Kuala Kangsar menuju ke pusat yang sama. BN berarak dengan diiringi lagu-lagu nasionalisme, PAS pula dengan “nasyid-nasyidnya”. Para penyokong kedua-dua parti agak seimbang dari segi jumlahnya kira-kira seribu hingga dua ribu orang. Pagi yang ceria itu, tiada sesiapa yang menduga akan ada detik-detik cemas selepas itu. Jarak antara para penyokong PAS ddengan BN adalah kira-kira 150 meter, dikawal ketat oleh pihak polis dan FRU. Tidak kurang 50 anggota polis bertugas ketika itu.

Kesalahan yang Sukar Diterima!
(24 Februari 2008).

Tepat jam 9 pagi, SPR membenarkan calon daripada BN dahulu yang masuk ke dalam Pusat Penamaan Calon. Keadaan berjalan dengan lancar, setelah duduk seketika di dalam Dewan Merdeka, calon-calon BN dipanggil untuk menyerahkan borang penamaan diikuti oleh pencadang dan penyokong masing-masing. BN menamakan Rafidah Aziz sebagai calon Parlimen, manakala PAS pula ialah Dr. Khairudin Abdul Malik. Untuk DUN pula BN menamakan Dato’ Ramly Zahari bagi DUN Manong, PAS pula ialah Mohamad Yazid Yoep Baharuddin, manakala DUN Chandan, BN menamakan Dato’ Wan Khairil Anuar Wan Ahmad dan pembangkang pula meletakkan calon daripada parti Keadilan iaitu Zulkifly Ibrahim. Pertembungan satu lawan satu ini sememangnya telah dijangkakan.


Pada awal penyerahan borang penamaan calon tidak nampak apa-apa cacat celanya, malah calon-calon BN mampu bergurau dan berjenaka dengan para pegawai SPR yang diketuai oleh Dato’ Mohd Ghazali Jalal. Namun, yang jelas diperhatikan, Rafidah sama sekali tidak melihat borang pencalonannya sekali lagi sebelum penyerahan dibuat, beliau hanya terus menyerah dengan penuh yakin. Borang pencalonan Rafidah telah disemak oleh Dato’ Mohd Ghazali Jalal sendiri, dan beliau pun tidak menegur apa-apa pun terhadap borang penamaan yang dikemukakan oleh Rafidah itu. Lantaran itu, dirasakan tiada masalah yang akan timbul. Selepas selesai calon-calon BN menyerahkan borang penamaan calon. Maka giliran calon pembangkang pula menyerahkannya. Mereka juga tidak menghadapi apa-apa masalah. Segala-galanya selesai sekitar jam 9.45 pagi. Namun demikian, SPR masih menunggu kalau-kalau ada calon bebas yang ingin bertanding, tetapi akhirnya penamaan calon telah ditutup tepat jam 10 pagi.


Dan seperti biasa, prosedur SPR akan mempamerkan semua borang penamaan calon yang bertanding di dua lokasi yang berasingan, satu salinan di luar pusat penamaan (di pintu masuk dewan) dan satu salinan lagi di dalam dewan. Salinan-salinan borang penamaan itu boleh dilihat oleh wakil parti masing-masing dan wartawan sendiri. SPR melekatkannya di dinding. Wartawan tidak ramai di situ. Cuma yang ada ialah wakil RTM, Bernama, Berita Harian dan DBP. Itu pun yang dibenarkan masuk cuma wakil DBP (saya) dan RTM sahaja.

Kenapa dengan Borang Pencalonan Rafidah?

Setelah SPR menempek kesemua borang penamaan calon, dan semua wakil parti sedang jenguk menjeguk melihat kalau ada mana-mana calon yang silap dalam mengisi borang penamaan calon, maka bantahan boleh dibuat dalam tempoh satu jam. Sedang kami berpusu-pusu melihat borang penamaan calon yang diletakkan di lobi dewan. Tiba-tiba wartawan daripada RTM yang berbangsa Cina menyindir dengan suara yang agak kuat sehingga menarik tumpuan kami yang berada di situ, katanya “Kenapa la Rafidah ni lupa nak tanda tangan kat sini.” Kata-kata itu, menyebabkan semua mata tertumpu pada borang penamaan calon Rafidah, wakil-wakil pembangkang tersenyum sinis dan mula bermain dengan “sms” masing-masing. Manakala wakil daripada BN pula mula gelabah, khususnya Ketua Pemuda UMNO Bahagian, saudara Azizul Rahim. Berita ini segera disampaikan kepada Rafidah. Dan Rafidah meluru ke luar dewan dengan melihat sendiri borangnya yang tidak diturunkan tandan tangannya sendiri.


Wajah Rafidah menjadi pucat dan merah padam. Kemudian beliau berlari ke dalam dewan semula mendapatkan pengurus SPR Dato’ Mohd Ghazali Jalal bersama saya dan Azizul Rahim. Wakil-wakil BN yang lain masih belum sedar, manakala wakil daripada PAS dan PKR sudah mula mengisi borang bantahan di belakang dewan. Rafidah telah melakukan kesalahan yang sebenarnya tidak boleh dikompromi lagi kerana kesalahan tidak menurunkan tanda tangan di atas kertas penamaan calon oleh calon tersebut merupakan kesalahan yang paling besar. Dan beliau boleh hilang kelayakan untuk bertanding. Rafidah bukan sahaja tidak menurunkan tanda tangan pada satu salinan borang sahaja, tetapi dua salinan borangnya tiada tanda tangannya sama sekali.

Pagi yang Gelora

Rafidah mula meninggikan suaranya dengan berkata “Macam mana boleh jadi macam ni, saya dah tanda tangan, saya dah tanda tangan borang ni, tapi salinan borang saya di luar tak ada tanda tangan saya, Dato’ sendiri ada tengok saya ada tanda tangan borang asalnya.” Saya yang berada di belakang Rafidah dan Azizul Rahim ketika itu dapat melihat dengan cukup jelas wajah Dato’ Mohd Ghazali Jalal yang berubah menjadi pucat dan tidak tentu arah. Dia panik! Menyerap darah saya apabila melihat keadaan Dato’ Ghazali yang semakin panik dan serba tidak kena itu.


Malah, habis semua pegawai SPR yang lain turut terduduk terperanjat. Maha Besar Allah. Kata saya dalam hati. Bahkan hati saya sempat berbisik, habislah Rafidah kali ini. Borangnya tidak ditandatanganinya. Saya lihat calon PAS dan PKR sudah mula berbisik-bisik dan ada yang keluar bertemu dengan para penyokongnya untuk mengkhabarkan berita gembira yang mana, calon mereka bakal menang percuma untuk kerusi Parlimen.


Suasana terus tegang apabila Rafidah terus menerus mahu melihat borang originalnya. Manakala sudah semakin ramai yang mula tahu, kesalahan besar telah dilakukan oleh Rafidah. Calon-calon BN dan wakilnya yang lain mula berkumpul di belakang dewan dan berbisik-bisik antara satu sama lain. Dalam keadaan kecoh itu, Rafidah dan Dato’ Mohd Ghazali Jalal hilang daripada pandangan kami semua. Entah ke mana perginya mereka berdua. Mungkin di sebuah bilik di belakang dewan. Bilik untuk barang-barang penting SPR di simpan. Beberapa minit kemudian barulah nampak kelibat Rafidah dan Dato’ Ghazali di meja panjang SPR.

Rafidah dan Teori Konspirasi

Rafidah mengambil tempat duduknya kembali di dalam dewan diikuti penyokong dan pencadangnya. Saya segera menemui Rafidah dan bertanya macam mana perkara ini boleh berlaku? Air muka Rafidah masih belum tenang, tetapi segera menjawab pertanyaan saya, katanya “Saya tak tahu, macam mana boleh jadi macam ini, semalam 10 orang termasuk saya sendiri telah semak borang tu berkali-kali dan tiada apa-apa masalah, tetapi pagi ini, tiba-tiba sahaja jadi macam ini”. Saya bertanya lagi, “Datuk Seri rasa ini sabotaj ke?” Rafidah terdiam sekejap. Lalu menjawab, “Saya tak tahu, tak pasti ia sabotaj atau tidak, susah nak cakap, tapi saya tak percaya boleh jadi macam ni.” “Abis, macam mana nak selesai masalah ini?” Tanya saya lagi. Rafidah menjawab, “Tapi borang originalnya saya dah tanda tangan, SPR kira yang itu dan bukan salinan-salinan ini.”


Jam menunjukkan pukul 10.30 pagi dan masih ada setengah jam lagi untuk mencari dan mengemukan sebarang bantahan terhadap borang-borang penamaan calon yang lain. Namun demikian, saya lihat Dato’ Wan dan Dato’ Ramly tidak senang duduk melihat masalah ini bagaikan sukar diselesaikan dan sudah pasti Rafidah akan hilang kerusi Parlimennya sebelum sempat beliau bertarung di medan yang sebenarnya.


Saya pula segera bertemu dengan Dato’ Mohd Ghazali Jalal untuk bertanya kepadanya, wajahnya masih dalam keadaan risau dan cemas. “Dato’ saya nak bertanya, berapa banyak borang penamaan calon yang perlu di tanda tangan oleh seseorang calon tersebut?”. “Semua ada tiga borang, tetapi dua lagi tu merupakan salinan, yang paling utama borang asalnya tu mesti di tanda tangani.” Jawab Dato’ Ghazali. Seluruh warga kerja SPR di dalam Dewan Merdeka semakin kalut dan panik. Saya dipanggil oleh beberapa wartawan dari Berita Harian dan Bernama yang tidak memiliki Pas Media yang dikeluarkan oleh SPR untuk mengetahui kisahnya yang sebenar, saya keluar dewan dan bertemu dengan mereka dan menceritakan kisah yang telah berlaku di dalam dewan. Mereka mencatat dan menulis segala-galanya.


Selepas itu, saya segera menemui calon parti pembangkang. Mereka kelihat optimis akan menang percuma dan SPR pasti menolak pencalonan Rafidah tersebut. Mereka sudah pun menghantar bantahan melalui wakilnya Jamaluddin Abdul Majid. Menurut beliau ada dua kesalahan dalam borang Rafidah yang perlu ditolak, pertama borangnya tidak ditandatangani dan yang kedua nama Rafidah telah di tulis tanpa meletakkan perkataan “binti” itu juga merupakan satu kesalahan. Jadi, dua kesalahan ini sudah cukup untuk SPR membatalkan pencalonan Rafidah. Saya sempat melihat keadaan penyokong BN yang masih terus mendendangkan lagu-lagu mereka di luar sana. Saya keluar dewan dan menuju ke arah mereka. Didapati keluarga dan saudara mara Rafidah sudah mula bersedih dan menjangkakan bahawa Rafidah sudah pasti tersungkur pada kali ini.


Manakala bantahan daripada wakil BN Dato’ Kamalia Ibrahim pula mengemukan dua juga bantahan terhadap calon parlimen pembangkang, yang pertama, alamat dalam borang penamaan calon untuk kerusi parlimen mereka tidak lengkap, kerana poskodnya ditulis dengan salah. Mereka menulis poskod untuk daerah Kuala Kangsar ialah “3300”, tetapi yang sebenarnya “33000” hilang satu “0”. Bantahan kedua pula ialah dari segi tarikh yang ditulis dalam borang penamaan calon yang tidak tertera tarikh pada hari penamaan calon tersebut, sebaliknya tarikh telah ditulis awal daripada tarikh hari penamaan calon tersebut.


Setelah tamat tempoh bantahan, Dato’ Ghazali telah memanggil kedua-dua calon kerusi parlimen dan mengemukan bantahan yang telah dikemukan oleh kedua-dua pihak. Rafidah telah diberi tahu bahawa wakil daripada calon PAS telah mengemukan bantahan tentang borangnya yang tiada tanda tangan dan namanya yang tidak disertakan dengan perkataan “binti”. Namun demikian, menurut Dato’ Ghazali borang penamaan Rafidah tetap diterima kerana borang originalnya telah ditanda tangani. Hal ini serta merta sahaja menaikan kemarahan Dr .Khairuddin, beliau dengan tegas mendakwa bahawa borang Rafidah itu tidak sah, kerana borang itu mempunyai tiga salinan yang perlu dilengkapkan, dan jika salah satu daripadanya tidak lengkap, maka pencalonannya adalah terbatal. Apatah lagi dalam hal ini, amat jelas Rafidah telah lupa untuk menandatangani dua borang salinannya. Suasana mula tegang dan terdapat sedikit pertikaman lidah antara Dato’ Ghazali dengan Dr Khairuddin berkenaan undang-undang SPR melalui fasal 6nya.


Namun begitu, Dato’ Ghazali tetap dengan pendiriannya, bahawa borang penamaan calon Rafidah lengkap berasaskan kepada borang asalnya. Dr Khairuddin makin bengang. Beliau mendakwa lagi, bahawa beliau sangsi Rafidah telah menandatangani borang asalnya dalam tempoh satu jam penamaan calon yang telah berlalu tadi. Sebaliknya, beliau mengesyaki bahawa Rafidah telah menandatangai borang originalnya itu setelah tamat tempoh penamaan calon, apabila keadaan kecoh mendapati bahawa beliau lupa menurunkan tanda tangannya dalam borang tersebut. Sebab itulah Rafidah dan Dato’ Ghazali hilang dengan tiba-tiba. Saya lihat wajah Dato’ Ghazali makin bergelora dan serba salah. Cara beliau bertutur pun sudah mula kelam kabut. Beliau masih mempertahankan keputusannya dengan mendakwa bahawa beliau sudah menelefon SPR pusat dan memaklumkan hal ini, dan SPR pusat berkata tiada masalah dengan syarat borang original telah ditandatangani. Malah, menurut Dato’ Ghazali lagi, ia bergantung juga pada budi bicaranya juga.

Terima Kasih Tuhan

Akhirnya, Dr Khairuddin meninggikan suaranya dengan amaran yang menyebabkan semua orang kecut perut. “Saya nak ingatkan Dato’, Dato’ wajib amanah dan jujur menjalankan tanggungjawab, kalau benar ia telah ditandatangani selepas tempoh tamat penamaan calon jam 10 pagi tadi, maka Dato’ tanggung dosanya. Dalam al-Quran ada menyebut orang yang tidak amanah ni akan masuk ke neraka, terpulang!”. Wajah Dato’ Ghazali berubah dan mula membincangkan bantahan daripada pihak BN pula. Tentang kesalahan alamat dan tarikh yang telah dilakukan oleh calon pembangkang tersebut. Walaubagaimana pun, bantahan BN itu juga telah ditolak menurut Dato’ Ghazali kesalahan teknikal itu terlalu kecil dan boleh diketepikan.


Saya lihat Dato’ Ghazali cuba menunjukkan bahawa kedua-dua calon telah membuat kesalahan dan kedua-dua pencalonan mereka boleh dibatalkan, tetapi dengan menggunakan budi bicara yang dimilikinya, maka kedua-dua calon boleh bertanding dan kesalahan mereka boleh dimaafkan. Oleh kerana Dr Khairuddin merupakan muka baru yang ditonjolkan oleh PAS pada pilihanraya kali ini, beliau tidak berpengalaman dalam urusan tawar menawar atau bersikap tegas dengan SPR, oleh itu dengan mudah beliau termakan dengan budi bicara yang telah ditonjolkan oleh Dato’ Ghazali. Akhirnya Dr Khairuddin menerima budi bicara Dato’ Ghazali, walaupun beliau agak keberatan menerima keputusan itu, tetapi terpaksa akur kalau-kalau pencalonnya juga boleh terbatal. Rafidah menarik nafas lega. Begitu juga dengan saya dan calon-calon BN yang lain.


Para penyokong PAS kecewa dengan keputusan ini dan menuduh pelbagai pembohongan telah dilakukan oleh SPR. Sewaktu Rafidah keluar daripada Dewan Merdeka, penyokong-penyokong PAS menjerit dengan kata-kata kesat kepada Rafidah, “Woi bila nak turunnya lagi, dah lama duduk kat situ.” Dan satu lagi yang sempat saya dengar ialah “Kak Pidah, bila nak bertudung, tak tahu dosa ke”.


Walaubagaimana, pun akhirnya, Dato’ Mohd Ghazali Jalal mengumumkan calon yang layak bertanding di pekarangan Dewan Merdeka dan menamatkan spekulasi bahawa Rafidah tewas sebelum bertanding. Penyokong-penyokong BN bersorak gembira mendengar pengumuman tersebut, manakala penyokong PAS memaki hamun kami dan SPR.


Rafidah dan calon BN yang lain berjalan pulang menuju ke arah penyokong mereka dan berpelukan di sana, bersyukur dan terima kasih kepada tuhan, kerana keadaan kembali selamat. Saya sudah mahu bernagkat pulang ke Kuala Lumpur pada petang itu, tetapi menerima panggilan telefon daripada beberapa orang pimpinan UMNO bahagian dan diminta untuk memberi gambaran yang sebenar kejadian di dalam Dewan Merdeka yang berlaku pada hari tersebut. Malam tersebut saya ke Bilik Gerak Peti Undi Taman Bunga Raya dan bercerita panjang kepada mereka sehingga jam 11 malam.


Keesokannya, Utusan melaporkan cerita Rafidah ini dalam tulisan yang cukup ringkas, tetapi tidak dibesar-besarkan, sedangkan kes Rafidah ini cukup besar dalam sejarah kesalahan yang dilakukan oleh seseorang calon pilihan raya. Saya kembali ke rumah, berfikir panjang dan menarik nafas lega berkali-kali, jika penamaan calon Rafidah ditolak. Saya percaya PAS dan PKR akan menang besar dalam pilihan raya kali ini. Bayangkan seorang tokoh dan calon paling lama dalam pilihan raya, tumpas kerana kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang seperti Rafidah! Maha Suci Allah dan Maha Besar Allah. Dia menunjukkan kuasanya pada hari ini dengan sejelas-jelasnya!

Comments

Salam, Encik Azli, coretan pengalaman yang sangat berharga dan sukar diperolehi. Semarakkan lagi dunia blog dengan pendedahan dan temuramah yang mengagumkan...
Zaid@Zaidel said…
Sebaiknya hang masuk Dewan Masyarakat boleh buat isu gempak mcm ni...
azlishukri said…
Terima kasih en sofee, akan ada pendedahan yang lebih menarik pada masa akan datang, InsyaAllah.

Pilihan Pembaca

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca ...

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil...

Isu Tan Sri Ali Hashim : Di Sini Putih Bukanlah Warna

1. Saya mengenali bekas Pengerusi dan CEO Johor Corporation, Tan Sri Ali Hashim hampir dua tahun. Selalu berurusan dengan para pegawai kanannya dan sering pula menulis tentang perkembangan anak-anak syarikat JCorp. Sepanjang saya menjadi wartawan, saya sangat selesa bekerjasama dan begitu mudah mendapatkan pandangan dan idea daripada Tan Sri Ali Hashim. Secara jujur saya katakan, beliau merupakan salah seorang CEO yang sangat saya kagumi dan hormati. Cara dan strategi Tan Sri Ali Hashim mengIslamisasikan organisasi di bawah pentadbirannya, patut dipuji dan diberi penghargaan. 2. Walaupun apa pun yang dikatakan oleh musuh-musuhnya - ia masih belum mampu menafikan segala kebaikan dan jasa beliau dalam membina dan membangunkan JCorp, sehingga dihormati dan dikagumi oleh banyak pihak. Saya tidak tahu apakah sebenarnya yang telah berlaku dalam pentadbiran JCorp sejak akhir-akhir ini. Namun demikian, saya yakin ada sesuatu yang tidak kena, sehingga Tan Sri ali Hashim bertindak meletakkan jaw...