Skip to main content
Penulis bersama Datuk Mukhriz Mahathir

"Keris Itu Tersemat Dalam Jiwa Kita."

-Datuk Mukhriz Mahathir


Ikuti wawancara khas bersama YB Datuk Mukhriz Mahathir bersama saya di Hotel Singgahsana pada hari Rabu 7 Mei 2008 jam 12.00 malam, selepas program Wacana Generasi Muda, anjuran Biro Pengurusan & Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Petaling Jaya Utara.


Apakah pengalaman Datuk sewaktu pertama kali memasuki Dewan Rakyat sebagai seorang ahli parlimen?


Saya tidak tahu bagaimana sidang Parlimen dalam penggal yang lalu. Saya merupakan muka baru dalam parlimen pada kali ini. Tetapi, apa yang saya dapat rasai sepanjang saya menghadiri persidangan parlimen kali ini ialah, saya lihat sikap ahli-ahli parlimen daripada BN sudah kelihatan berubah. Jika dahulu mereka berasa selesa, kini mereka lebih banyak membawa masalah rakyat yang mereka wakili. Ini satu perkara yang positif. Umpamanya, wakil dari Sabah, sudah ada keberanian untuk meluahkan rasa hati bahawa masyarakat Sabah begitu ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Malah mereka pun merayu kepada kerajaan agar tidak meminggirkan sabah dan Sarawak dalam soal pembangunan dan pembelaan. Apabila wakil rakyat-wakil rakyat BN pada masa sekarang memahami tanggungjawab mereka. Hal ini menyebabkan wakil rakyat daripada pembangkang sudah tiada isu untuk diperkatakan. Dan ini menyebabkan mereka lebih banyak menimbulkan soal-soal teknikal dan provokasi di parlimen semata-mata. Mereka cucuk kita agar kita melenting, mereka panggil kita ’animal’ dan macam-macam lagi untuk mewujudkan ketegangan. Jadi, saya lihat ahli-ahli parlimen BN sudah memainkan peranannya yang berkesan agar mengimbangi kekuatan pembangkang.


Pada pandangan Datuk, bagaimanakah perjuangan Pemuda UMNO untuk masa akan datang, apabila melihatkan nasib BN yang teruk dalam pilihan raya kali ini?


Kita kena faham, untuk PRU ke-13 kelak, 55 peratus pengundi adalah golongan remaja dan belia. Pemuda UMNO kena ada strategik untuk menarik kembali sokongan golongan ini, jika tidak kita akan tewas dengan lebih teruk lagi. Oleh sebab itu, ketua Pemuda UMNO yang akan dipilih kelak akan lebih hebat cabarannya berbanding dengan zaman Datuk Seri Hishamuddin mengambil alih ketika UMNO menghadapi krisis Anwar Ibrahim.


Peneraju Pemuda UMNO nanti seharusnya lebih kerap turun ke padang dan dengar kehendak dan rintihan ahli-ahlinya. Kemudian kita jangan sekat golongan muda ini untuk menyertai UMNO, jika hati mereka terbuka untuk menyertai UMNO biarkan. Beri peluang kepada golongan muda yang berbakat untuk menyertai kita. Yang penting kita seharusnya mempunyai program untuk ahli-ahli muda ini memahami perjuangan dan sejarah UMNO barulah mereka ikhlas dalam perjuangan. Kita tidak boleh biarkan mereka masuk UMNO lepas itu kita biarkan macam itu sahaja. Kena ada program menyeluruh untuk golongan ini. Kita juga harus ingat dan jaga hati golongan muda daripada kaum lain, umpamanya kita cabut keris dan beri orang lain lihat ia mendatangkan kesan yang tidak baik, sebenarnya hunus keris pun tidak ada gunanya, jika jiwa kita kosong. Kalau jiwa kita kuat kita tidak perlu menghunuskan keris, kerana yang sebenarnya, keris itu tersemat dalam jiwa kita. Itu sudah cukup. Contohnya, apabila isu Hindraf meletus kita tidak buat apa-apa pun. Ini contoh jiwa kita lemah.


Apakah pandangan Datuk berkenaan isu ladang Babi berharga 100 juta yang ingin dilaksanakan di Selangor?


Saya pernah jumpa seorang wakil rakyat daripada PKR, saya tanya berkenaan isu ini. Dia jawab ini soal fardu kifayah Datuk. Kita buka ladang Babi itu untuk menunaikan fardu kifayah sebab bangsa Cina ini makan haiwan inilah. Saya tanya balik apakah jaminan bahawa ladang ini semata-mata dibuat untuk membekalkan makanan kepada bangsa Cina di kawasan tersebut sahaja. Dia tiada jawab la. Rupa-rupanya seminggu selepas itu saya dapat berita bahawa ladang itu dibina untuk tujuan komersil, pasarannya adalah di China kerana permintaan di sana adalah tinggi. Jadi, fardu kifayah apa namanya ni.


Baru-baru ini, majalah TIME meletakkan Anwar Ibrahim sebagai salah seorang daripada 100 individu yang paling berpengaruh di dunia, sebaris dengan tokoh-tokoh dunia yang lain, apa komen Datuk?


Ini satu propaganda la. Bukan TIME sahaja yang memberi pandangan tinggi mereka kepada Anwar, bahkan surat khabar Israel pun pernah menamakan Anwar sebagai “Perdana Menteri yang Sedang Menunggu”. Apakah maknanya semua ini. Sudah tentu ada yang tidak kena dengan Anwar jika media Israel pun menyokongnya. Kita sebenarnya perlu mendedahkan hipokrit dan tipu muslihat Anwar, agar rakyat tidak tertipu. Saya teringat ucapan Anwar sewaktu menyampaikan syarahannya di Melbourne yang mendakwa bahawa jika kita peruntukkan satu juta untuk membina masjid, kita juga harus memperuntukkan satu juta untuk membina tokong dan kuil. Hal ini saya tengok sudah mendapat nada yang sama daripada Ong Ka Ting di parlimen. Kita kena la faham kedudukan agama kita di Malaysia, kita tidak boleh nak ikut semua kehendak orang lain macam itu sahaja.


Apakah pandangan Datuk berkenaan perlunya Melayu bermuafakat melangkaui ideologi politik dan kepartian?


Kita kena faham, UMNO merupakan parti muafakat dengan semua parti-parti yang berlainan ideologi yang terdapat di Malaysia. Kita sendiri dalam BN juga bermuafakat dengan parti-parti lain untuk membina kesejahteraan. Kita juga tidak menjadi masalah untuk bermuafakat dengan PAS dan PKR demi bangsa Melayu. Sejarah telah membuktikannya. Pada tahun 1990 kita telah menubuhkan Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN I) untuk membincangkan agenda perpaduan, kontrak sosial dan ekonomi yang mana orang Melayu diwakili oleh UMNO, PAS dan Semangat 46 manakala Cina pula diwakili oleh MCA, DAP dan Gerakan. Dan terbukti kita mampu mencapai kata sepakat. Tetapi pada tahun 2000, apabila kita mengadakan MAPEN II PAS dan PKR tak mahu sertai kita. Dan sekarang apabila Haji Hadi timbulkan hal tersebut, saya rasa amat marah kerana mereka yang menolak permuafakatan yang pernah kita tawarkan dahulu.


Apakah pandangan Datuk dengan sikap Karpal Singh baru-baru ini yang mempertikaikan kuasa sultan Perak?


Karpal ini saya gelar sebagai ekstremis. Suka menimbulkan isu-isu sensitif dan sentimen perkauman. Orang macam ini tidak patut disokong.


Berkenaan tangkapan Raja Petra apa komen Datuk?


Pendekatan beliau dalam laman webnya merupakan pendekatan anarki. Tiada batasan dalam penulisannya. Dia buka seluas-luasnya untuk menulis apa sahaja dan komen apa sahaja. Ini sesuatu yang tidak baik, kita mesti ada batasan dan had yang tidak terlalu bebas menghentam sesiapa sahaja.


Apakah respons yang Datuk terima selepas mengirimkan surat peribadi kepada Pak Lah agar beliau meletakkan jawatannya?


Surat itu telah dibocorkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab, sememangnya saya sengaja menghantar surat tersebut kepada Pak Lah sebelum barisan kabinet dibentuk, hal ini adalah untuk mengelakkan agar saya dituduh kecewa kerana tidak dapat tempat dalam kabinet Pak Lah. Apabila saya menghantar surat itu sudah tentu ada pro dan konnya. Ramai juga yang ada jawatan dalam UMNO dan kerajaan yang mula menjauhi saya kerana bimbang dikatakan sebagai orang saya. Tetapi tidak kurang ramai juga yang menyokong tindakkan saya tersebut. Tetapi hakikatnya, saya menerima banyak respons daripada akar umbi.


Saya menerima 2000 sms yang menunjukkan sokongan mereka kepada saya, saya boleh katakan 99 peratus menyokong tindakkan saya. Malah tak sempat saya nak membaca semua sms tersebut. Apatah lagi untuk membalasnya. Saya pun tidak sangka setelah saya menghantar surat tersebut kepada Pak Lah, saya telah dilihat sebagai hero pula, sedangkan itu bukanlah niat saya, malah tindakkan saya itu juga turut mempengaruhi Tengku Razaliegh untuk menyatakan hasratnya bertanding jawatan Presiden UMNO.


Apakah pandangan Datuk berkenaan hasrat Pak Lah untuk mengekalkan jawatan Presiden UMNO Disember ini?


Nampak gayanya tiada peralihan kuasa daripada Pak Lah kepada Najib. Jelas Pak Lah ingin mengekalkan jawatannya. Kita sebenarnya mintak Pak Lah berundur kerana kita mahu dia melepaskan jawatannya secara baik. Kita bimbang, dalam sejarah UMNO tiada Presiden UMNO yang tewas ketika sedang menjadi penyandangnya. Kita tidak mahu hal ini terjadi.


Benarkah dakwaan yang mengatakan bahawa faktor 3 peratus yang dikenakan sebagai faedah kepada peminjam PTPTN menyebabkan golongan muda mengundi pembangkang pada kali ini?


Saya tidak fikir seperti itu, saya percaya para pelajar memahami kebajikan yang telah kerajaan sediakan kepada mereka selama ini. Saya tak percaya faktor 3 peratus itu yang menyebabkan BN tewas baru-baru ini.


Apakah kesan kepada BN setelah kita kehilangan 2/3 majoriti apakah akan terganggu dari aspek belanjawan yang akan dibentangkan oleh kerajaan kelak?


Saya percaya ia berjalan dengan lancar. Cuma jika mahu mengubah perlembagaan sahaja kita memerlukan sokongan pembangkang. Dari aspek belanjawan saya percaya kita tidak akan hadapi masalah daripada mendapat sokongan ahli dewan.

Comments

Unknown said…
Hebat Azli dapat mewawancara tokoh yang memberikan jawapan yang hebat. Teruskan dengan wawancara lain. Tak sabar ...
azlishukri said…
InsyaAllah...nanti akan saya dapatkan padangan daripada tokoh-tokoh lain..
speedrider said…
Pada pendapat saya pula, caj 3% tu adalah SALAH SATU sebab golongan muda membangkang pada PRU baru-baru ini. Datuk Mukhriz patut bersembang sendiri dengan bekas pelajar yang tidak menyertai mana2 pertubuhan politik. Caj 3% itu adalah mengelirukan dalam perjanjian asal pembayaran balik PTPTN kerana dalam perjanjian, tidak dinyatakan jumlah caj 3% bulanan tersebut. Datuk, 3% tersebut amat membebankan kepada kami golongan muda yang mempunyai gaji RM1500 ke bawah!!!
azlishukri said…
Saya setuju sebenarnya golongan muda kecewa dengan 3 peratus caj PTPTN itu. Salah satu sebab BN tewas adalah kerana faktor tersebut. Saya merupakan generasi kedua yang dikenakan caj tersebut.
seribugis said…
salam,
Saudara sebenarnya, pemuda dah berubah dan sedar bahwa dunia ini hanya sementara. Dalam mengejar cita-cita keduniaan ramai yang tersungkur dari yang berjaya. Dengan beban masyarakat dan keluarga yang semakin memuncak dunia ini telah ditinggalkan dan akhirat jadi rebutan.. Syukurlah..
Nak masuk UMNO dengan program2 bermacam-macam untuk apa?? Pengisian roh dalam UMNO dah lama ditinggalkan. Berani Berubah harus dilihat dalam pengisian roh perjuangan UMNO. TDM dengan pembangunan material.. Pak Lah dengan pembangunan Insan.. Dah betul dah.. cuma pemimpin UMNO yang tak dapat terima.. Golongan muda dapat terima sebab itu mereka beralih ke PAS karena pemimpin UMNO tak dapat bawa "Kepimpinan Melalui Teladan".
Dato Mukhriz harus lebih berani.. bukan kah Pemuda tiang Agama, Bangsa dan Negara.. KJ berani tapi tak islamik.. Kesilapan.. biasa lah..'pemuda'... Tepuk dada tanya selera.. KJ the next Ketua Pemuda UMNO..
azlishukri said…
terima kasih seribugis.

Pilihan Pembaca

Penulis dua dari kanan bersama dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Pada 10 September yang lalu, Sidang Editor Bahagian Majalah berkesempatan berbuka puasa bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Sime Darby Convention Center. Terima kasih atas Jemputan tersebut. Jazakumullahu Khairan Kasiran. * Dari kiri Ros, Suria Janib (Penolong Editor Dewan Masyarakat ), A. Zaidel (Penolong Editor Dewan Masyarakat ), Datuk Seri Khaled Nordin, Muhammad Azli Shukri (Editor Dewan Ekonomi) , dan Armin Azhari (Editor Pelita Bahasa ).
Nasihat Pemimpin Patuhi Etika Islam Oleh Muhammad Azli Shukri (Artikel saya ini telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 18/09/2003) Dalam Islam, pemimpin atau pemerintah yang telah dilantik haruslah diikuti perintahnya, selagi perintah tersebut tidak bercanggah dengan suruhan wahyu dan perintah Rasul, seperti mana firman Allah di dalam surah an-Nisa ayat 59, "Wahai orang-orang yang beriman! patuhilah olehmu perintah Allah dan patuhilah olehmu perintah Rasul dan ulil amri di antara kamu." Oleh kerana para pemimpin atau pemerintah merupakan manusia biasa dan tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat, maka mereka juga wajib diberi nasihat oleh rakyat yang sedang di pimpinnya, bersesuaian dengan roh Islam itu sendiri yang berteraskan kepada amar makruf nahi mungkar, sebagaimana firman Allah, "Kamu adalah umat yang terbaik yang telah dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.'' (
MONOLOG AZLI SHUKRI Bab 10 : Muhammad Azli Shukri Lagi! Saya agak sukar untuk menulis Monolog ke-10 saya pada kali ini. Saya merasakan inilah monolog yang sangat susah untuk saya meluahkannya. Saya tidak tahu, bagaimanakah harus saya sampaikan monolog saya pada kali ini? Apakah saya harus menulis atas prinsip saya sebagai seorang wartawan? Atau sebagai seorang ahli politik? Atau sebagai seorang penulis bebas? Atau sebagai seorang editor? Semua ini menyukarkan saya untuk menulis monolog saya yang terakhir pada bulan ini. Saya merasakan bahawa saya harus berterus terang dengan jujur dan amanah, tanpa rasa takut dan kesal, kerana kebenaran dan jihad harus ditegakkan dengan segala kekuatan yang ada. Yang pasti, kebenaran tidak boleh disembunyikan lagi. Dan Sesungguh, untuk menjadikan kejahatan bermaharajalela, cukuplah sekadar kebenaran mendiamkan diri! Saya tidak berupaya membiarkan itu semua berlaku. Dan untuk kali ini saya harus bercakap benar dengan nada yang berterus terang. A