Skip to main content

Belajar daripada Kekesalan Mike Tyson

JOE ROGAN BERTANYA, "APAKAH ITU DISIPLIN?" Mike Tyson menjawab, "Lakukan apa-apa yang anda tidak suka lakukan, tetapi ingat, lakukannya seperti anda sangat menyukainya."
 
Mike Tyson, bekas juara tinju kelas heavyweight termuda yang berbakat, dibesarkan dalam undang-undang rimba di lorong Brooklyn. Tiada belas ihsan, hidup dalam dunia keras, penuh penindasan, berdiri di atas kaki sendiri, berjuang bersendirian, tiada yang peduli, tiada yang sudi membantu, hidup miskin dan sentiasa dibenci. Tetapi dia lelaki yang paling ditakuti di atas gelanggang. Memegang rekod 50 - 6 termasuk 44 KO. Hebat bukan. 
 
 
Dia hebat kerana berdisiplin, sama dalam perniagaan. Anda berdisiplin, bermakna anda membina rutin hebat yang konsisten. Rutin yang konsisten mencipta kejayaan. Berdisiplin menjadikan anda tidak hilang fokus. Lagi kuat daya fokus anda, lagi tinggi disiplin anda. Peluang untuk anda menang dalam persaingan semakin cerah. 
 
Tetapi, segala fokus dan disiplin yang tinggi boleh dihancurkan dalam sekelip mata. Hanya 37 saat pada pusingan ke-11, Tyson ditumbuk dan diasak sehingga ke tepi gelanggang oleh Evander Holyfield. Pengadil melihat Tyson sudah kehilangan respon dan menghentikan pertarungan. Tyson sang jaguh yang tidak terkalah, akhirnya tersungkur. Semuanya kerana EGO. Sejak awal lagi dia memandang rendah terhadap Holyfield. Dia tidak ditewaskan oleh Holyfield, dia ditewaskan oleh egonya sendiri. Memandang rendah kepada pesaing ialah permulaan kehancuran dalam apa juga perniagaan. 
 
Holyfield tidak bercakap besar. Merendah diri dan tidak bercakap banyak. Tyson terlalu yakin menang dan memandang rendah keupayaan pencabarnya. Pemerhati luar menjangkan Holyfield akan tewas mudah dan meletakkan nisbah 25 : 1. Dalam perniagaan biarkan sesiapa sahaja memandang rendah keupayaan kita kerana itulah yang akan menjadi kekuatan luar biasa pasukan niaga kita. 
 
Sehingga pusingan ke-10, Holyfield masih belum mampu dijatuhkan. Tyson hilang keseimbangan. Hilang keyakinan. Egonya yang besar telah memakan seluruh kekuatannya. Masuk pusingan ke-11, Tyson akhirnya kecundang. Orang bisnes kena sentiasa tenang. Tidak gopoh. Sentiasa kawal emosi seperti Holyfield. 
 
Namun, sifat orang berniaga tidak pernah rasa puas. Sekali lagi Tyson mencabar Holyfield. Dia mahu menebus maruahnya kembali. Malangnya terdapat orang bisnes yang tidak sabar untuk berjaya dan menerima hakikat kelemahannya, lantas dia bertindak di luar kewarasan untuk menumpaskan para pesaingnya. Maka lahirlah DENDAM. Ketika pusingan ketiga berbaki 40 saat Tyson menggigit telinga kanan Holyfield setelah hook tangan kirinya gagal mengenai sasaran. Telinga Holyfield terkoyak dan ada cebisan daging yang jatuh di atas gelanggang. 
 
Perlawanan dibatalkan dan Holyfield diisytiharkan pemenang. Tyson dalam perlawanan kali ini telah ditewaskan oleh perasaan dendamnya bukan lagi ego. Ego hanya melahirkan dendam. Dua penyakit yang merosakkan perniagaan. 
 
Tyson didenda USD 3 juta. Lesen tinju profesionalnya digantung. Dua kekalahan Tyson di tangan Holyfield menandakan berakhirnya kegemilangan Iron Mike. Sejak itu Tyson semakin hilang bisanya. Tewas di tangan beberapa petinju lain seperti Lennox Lewis, Danny Williams dan Kevin McBride. Ego dan dendam hanya memusnahkan hidup dan kerjaya kita.
 
Permulaan membina bisnes, kita memang perlu jadi seperti Mike Tyson. Berani, berdikari, yakin diri, tidak bergantung dengan sesiapa, hidup dalam ujian. Tetapi, saat kita berada di puncak , kita perlu jadi humble seperti Holyfield. Tenang, sabar dan tiada dendam. 
 
Namun demikian, semua tidak berakhir di situ. Tahun 2009, Tyson dan Holyfield dipertemukan dalam rancangan Oprah Winfrey. Tyson membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Holyfield di kaca televisyen. Lantas Holyfield menjawab, “Perkara terpenting dalam hidup ini adalah memaafkan dan saya memaafkan kamu Mike.” Holyfield memaafkan Tyson, meskipun telinganya telah dicacatkan. Sifat memaafkan orang lain mengukuhkan jenama perniagaan kita.
 
Dalam bisnes persaingan bukanlah suatu permusuhan. Bersikap profesional. Ia adalah proses untuk mencipta inovasi. Tidak perlu memakai jubah ego untuk membuktikan kehebatan bisnes. Tidak perlu berdendam dengan kekecewaan. Maafkan orang yang menganiaya dan berlapang dada dengan penyesalan orang lain. Berjuanglah seperti Mike Tyson saat dia memulakan kerjayanya. Dan jadilah seperti Evander Holyfield ketika perniagaan sedang berada di puncak. 
 
Hakcipta © Muhammad Azli Shukri, 2020 Sertai telegram saya di t.me/azlishukri untuk tip penulisan, personal branding dan bisnes.
 
Telegram   : t.me/azlishukri 
FB Profile : Azli Shukri
FB Page    : Muhammad Azli Shukri
Instagram  : azli.shukri
Twitter       : AzliShukri
LinkedIn    : Muhammad Azli Shukri
YouTube    : Azli Shukri Channel
Blogspot    : Azli Shukri Jurnal
TikTok      : Azli Shukri

Comments

Pilihan Pembaca

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca ...

Permatang Pasir 2009 : Undi Protes Untuk PAS?

PERMATANG PASIR 2009 Undi Protes Untuk PAS? Menurut HarakahDaily, calon PAS di Permatang Pasir akan memenangi kawasan tersebut sekali lagi dengan majoriti 2500. Dan paling tinggi pun mungkin 3500 undi. Pada hemat saya pula, secara jujur mungkin PAS akan memenangi kawasan tersebut dengan majoriti sekitar 800 hingga 1000 undi sahaja. Walaupun PAS mungkin akan mengekalkan kawasan tradisinya itu, tetapi saya percaya pengaruh parti tersebut semakin menurun selepas pilihanraya kecil di Manek Urai. Hal ini jelas membuktikan beberapa perkara antaranya : 1. Rakyat tidak suka sikap kasar dan cara maki hamun yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi PAS terhadap UMNO. 2. Rakyat yang celik tidak gemar cara PAS berkompromi dengan DAP yang jelas menghina Islam 3. PAS tidak mempunyai prinsip yang jelas berhubung pembentukan negara Islam dan hak keistimewaan orang Melayu. 4. PAS lebih suka berpolitik berbanding dengan agenda meningkatkan taraf hidup rakyat. 5. PAS dilihat sebagai parti yang dipe...

PAS, DAP dan Demonstrasi : Pecahnya Zon Masa

PAS, DAP dan Demonstrasi Pecahnya Zon Masa KUALA LUMPUR 4 Ogos – Wakil rakyat DAP, Jeff Ooi didesak supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya yang menuduh Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, Mohd. Razali Abdullah sebagai ekstremis agama Islam. Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Nordin menegaskan, kenyataan dangkal dan sombong yang dibuat Ahli Parlimen Jelutong itu telah mengguris perasaan umat Islam yang sekian lama bersabar dengan kerenah serta sikap sombong melampau orang seperti Ooi. “Jeff Ooi seorang yang terlalu dangkal dan bodoh apabila menuduh Mohd. Razali sebagai ekstremis agama Islam. Beliau merupakan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang jurutera yang berkelayakan serta mempunyai kelulusan akademik yang cemerlang. “Sebenarnya apa yang ditunjukkan oleh Ooi dengan mengeluarkan kenyataan tersebut menyerlahkan sikap beliau sendiri sebagai seorang yang ekstremis dan cauvinis,” katanya dalam blognya http://zul4kulim.blogspot.com semal...