Skip to main content

A. Samad Said 2009 : Dari Daerah Zeni ke Dunia yang Satu Lagi



A. Samad Said 2009
Dari Daerah Zeni ke Dunia yang Satu Lagi

Oleh Muhammad Azli Shukri


KUALA LUMPUR 5 Mei - Lima Sasterawan Negara buat pertama kalinya menyatakan pendirian bersama menolak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Malah dua daripada mereka yang hadir pada sidang akhbar hari ini iaitu Datuk A. Samad Said dan Profesor Muhammad Salleh sedia ditarik balik gelaran berkenaan jika keadaan memerlukan. Muhammad mengakui apa yang lebih penting adalah bahasa Melayu perlu kembali dimartabatkan sebagai bahasa ilmu di sekolah dan universiti demi masa depan bahasa itu sendiri.

"Kita tidak menentang penguasaan bahasa Inggeris kepada anak-anak kita tetapi kaedah pembelajaran yang perlu diperbaiki supaya lebih berkesan.

"Kerajaan perlu merujuk kepada model pengajaran bahasa dari negara Denmark, Sweden, Norway, Belanda dan Belgium yang pengajarannya lebih baik walaupun pelajaran bahasa Inggeris hanya mula diperkenalkan di sekolah menengah,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar bersama mengenai bantahan terhadap PPSMI yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di Rumah Pena di sini.

Tiga lagi Sasterawan Negara yang menentang PPSMI ialah Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain.


Ulasan Saya : Isu berkenaan PPSMI masih tenggelam timbul. Tiada keputusan dan tiada harapan. Saya tidaklah memihak kepada mana-mana kumpulan dalam soal ini. Hal ini adalah kerana, masing-masing masih keliru dan dikelirukan oleh matlamat yang kabur dan tidak jelas. Kerajaan melihat isu PPSMI dari aspek politik - yang menginginkan orang Melayu menguasai ilmu sains dan teknologi, di samping petah bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris, sekali gus memudahkan generasi muda untuk mendapatkan pekerjaan. Manakala, pejuang bahasa pula melihat isu PPSMI dari aspek masa hadapan bahasa Melayu dan jatidiri bangsa Melayu itu sendiri. Saya sudah menjelaskan isu ini dalam posting saya yang terdahulu, bahawa para pejuang bahasa seharusnya sudah lama menyedari hakikatnya bahasa sama sekali tidak boleh bergantung harap kepada undang-undang dan akta bagi menjamin kelangsungannya untuk terus hidup dan subur. Ia hanyalah sebahagian kecil daripada cara yang bersifat sementara bagi menyelamatkan bahasa Melayu.


Sejak isu Keranda 152 meletus 42 tahun yang lalu, kita masih melihat isu bahasa dan perjuangan bahasa dari perspektif undang-undang bagi mempertahankannya. Kita seolah-olah masih mengharapkan kerajaan dan ahli politik untuk mempertahankan bahasa Melayu setelah kita merdeka. Inilah masalah utama kita semua.


Saya sudah berkali-kali mengingatkan, bahkan seluruh ahli linguistik dan bahasa akan bersetuju dengan saya bahawa, satu-satunya jalan bagi mempertahankan bahasa ibunda kita adalah melalui penghasilan ilmu baharu - tokoh-tokoh ilmuan dan pejuang bahasa perlu prolifik dalam menghasilkan tulisan dan karya besar yang bermutu tinggi serta berupaya memberi kesan kepada masyarakat. Kita sama sekali tidak boleh mengharapkan orang politik atau kerajaan menjadikan undang-undang sebagai alat bagi mewajibkan setiap warga negara Malaysia mencintai dan menjiwai bahasa Melayu, kita juga sama sekali tidak boleh mengharapkan undang-undang akan menjadi pelindung kepada bahasa Melayu untuk selama-lamanya. Kita harus faham, undang-undang bukanlah segala-galanya. Kita harus membina kesedaran dalam kalangan bangsa lain bahawa bahasa Melayu sememangnya unggul - tetapi bukan melalui undang-undang semata-mata, sebaliknya melalui mata pena. Kita mahu, bangsa lain tercari-cari idea orang Melayu melalui tulisan-tulisan mereka, serta kagum dengan daya pemikiran mereka, maka barulah bahasa Melayu akan maju dan disanjungi.


Kita sama-sama mampu melindungi dan mempertahankan bahasa Melayu hanya melalui tajamnya mata pena, dan tingginya daya pemikiran kita. Bahasa Melayu hanya mampu dipertahankan melalui bahasa Melayu itu sendiri. Ia tidak akan berjaya dipertahankan melalui cara lain. Semua bahasa utama dunia tidak disebarkan melalui akta atau undang-undang, tetapi ia disebarkan melalui tajamnya mata pena dan idealisme penuturnya. Selagi kita masih tidak mendidik pejuang bahasa dan pencinta bahasa agar mereka bersama-sama menghasilkan pelbagai disiplin ilmu baharu dalam bahasa Melayu, kita hanya melakukan kerja yang sia-sia. Sekali pun kita berupaya menghalang PPSMI, apakah ia bermakna rakyat dan masyarakat akan terus menjiwai bahasa Melayu? Sampai bilakah kita harus bergantung harap kepada undang-undang dan kerajaan? Apakah bahasa Melayu juga harus menjadi seperti orang Melayu sendiri yang memerlukan tongkat untuk berdiri setelah 52 tahun kita merdeka? Apakah bahasa Melayu juga memerlukan mekanisme seperti DEB untuk meneruskan nadi kehidupannya? Kita terlalu banyak menyalahkan orang lain. Kita masih keliru apakah yang sebenarnya kita perjuangkan selama ini.


Bahasa Melayu menjadi lemah, kerana kita masih banyak mencedok ilmu dari bangsa dan bahasa lain, kita tidak mahu menghasilkan idea-idea yang baharu dan kreatif serta dipersembahkan dalam bahasa Melayu. Jadi, masyarakat akan berfikir bahawa bahasa Melayu hanyalah cemerlang dalam dunia bahasa dan sastera semata-mata, dan bukan dalam dunia keilmuan secara keseluruhannya. Salah siapakah ini? ini bukan salah kerajaan, tetapi ini adalah salah kita semua. Kita mendakwa bahawa kita mencintai bahasa Melayu serta menjiwanya, tetapi apakah pengorbanan yang telah kita lakukan terhadap bahasa Melayu itu sendiri? Berapa banyak buku yang telah kita hasilkan dalam bahasa Melayu untuk setiap tahun? Berapa banyak pula artikel yang telah kita tulis dalam setahun? Dan berapa banyak idea dan gagasan baharu yang telah kita tulis dalam bahasa Melayu pada setiap tahun? Jawapannya tiada. Kita hanya pandai menjadi pejuang tetapi tidak pandai menjadi seorang penulis yang prolifik. Yakni penulis yang berupaya istiqamah dalam menghasilkan pelbagai gagasan dan idea baharu dalam bahasa Melayu untuk dipersembahkan dalam masyarakat. Hanya dengan banyak menghasilkan tulisan dan idea baharu sahaja bahasa Melayu akan kembali ke landasanya yang sebenar.


Bahasa Melayu tidak akan tersebar luas dengan hanya menghasilkan puisi atau cerpen bertaraf dunia semata-mata. Tetapi, bahasa Melayu mampu disebar dan dijiwai jika penuturnya berupaya menghasilkan pelbagai cabang pengetahuan dan ilmu baharu. Masyarakat dunia akan teruja jika idea orang-orang Melayu yang kreatif dan inovatif dipersembahkan dalam bentuk tulisan dan penerbitan. Inilah masalah kita. Bahasa Inggeris bukanlah terlalu hebat, tetapi ia menjadi hebat lantaran para penuturnya suka membuat kajian dan mengemukan idea-idea baharu mereka untuk dikongsi bersama dengan dunia luar melalui penulisan dan penerbitan, maka tersebar luaslah bahasa Inggeris di seluruh pelusuk dunia secara tidak langsung. Hal yang sama berlaku terhadap bahasa Arab. Ia berkembang maju adalah disebabkan faktor perkembangan dalam segenap disiplin ilmu agama.


ulama-ulama terdahulu begitu rajin menulis pelbagai kitab agama, yang merangkumi pelbagai disiplin ilmu yang digali dari al-Quran dan Hadis nabi, semua ini menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa ilmu yang dipelajari tidak hanya dalam kalangan orang Eropah semata-mata, bahkan turut merangkumi masyarakat Asia. Akhirnya, ilmu yang ditulis oleh ulama-ulama terdahulu menjadi perdebatan dalam komuniti masyarakat, sekali gus menyebarluaskan bahasa Arab ke serata dunia tanpa dipaksa-paksa. Iman Al-Ghazali umpamanya menghasilkan kitabnya seawal umur beliau 24 tahun. Sebaliknya, bagaimanakah pula dengan remaja Melayu sekarang yang berumur 24 tahun? Jangankan hendak menulis sebuah buku dengan ilmu yang baharu, menulis sebuah sajak pun belum tentu mampu. Jadi bagaimanakah bahasa Melayu hendak berkembang dan maju? Hal inilah yang harus diberi perhatian serius oleh para pejuang dan pencita bahasa. Kita harus menyedarkan masyarakat Melayu betapa bahasa Melayu sangat-sangat memerlukan nilai tambah yang secukupnya demi kelangsungan dan masa hadapan bahasa tersebut. Bahasa Melayu tidak memerlukan undang-undang dan akta untuk melindunginya sampai bila-bila. Bahasa Melayu memerlukan pendukung dan pencintanya yang berupaya menggarap dan melahirkan disiplin ilmu baharu dalam perlbagai bidang - sekali gus menyedarkan dunia akan kemampuan sebenar bahasa Melayu. Usaha ke arah itu harus dilakukan. Kita sebagai penutur bahasa Melayu perlu memiliki jiwa yang besar dengan menghasilkan pelbagai ilmu baharu yang berupaya menandingi ilmu-ilmu dari Barat. Kita mesti menghasilkan ilmu baharu dan ditulis dalam bahasa Melayu. Barulah bahasa kita dipandang tinggi oleh bangsa lain. Kita harus mulakan dengan diri kita dahulu dan bukan mengharap orang lain ataupun pihak kerajaan. Jika hal ini dapat dilakukan, kita akan membina generasi yang inovatif dan yakin dengan bahasanya sendiri.


Agak malang, hal ini tidak terdapat dalam kalangan pencintai bahasa Melayu. Kita kurang meletakkan nilai tambah kepada bahasa kita sendiri. Sebaliknya kita lebih gemar bercakap soal hukum bahasa berbandingan dengan pembentukan hukum ilmu baharu. Kita lebih gemar berbincang berbulan-bulan hanya kerana mahu menetapkan penggunaan perkataan sama ada "Dalam Kalangan" atau "Di kalangan" dan "Baharu" atau "Baru". Kita jarang sekali berbincang bagaimanakah bahasa Melayu harus diizikan bebas untuk menjadi lebih kreatif dan inovasi. Tanpa kita sedar, selama ini kita sendirilah yang telah menyekat bahasa Melayu daripada menjadi lebih baik dan kreatif. Jadi, bagaimanakah kita harus memaksa agar masyarakat menjiwai bahasa Melayu serta mempertahankannya?


Bahasa Melayu akan dipandangan tinggi andaikata tulisan dan karya kita menarik perhatian rakyat melalui idea yang unik, gagasan yang utuh, gaya bahasa yang menarik, tajuk/judul buku yang menggambarkan kehebatan bahasa Melayu, serta eleman-eleman lain yang menunjukkan bahasa Melayu berupaya menjadi hebat serta menarik bangsa lain menguasai bahasa kita. Kita tidak boleh bersandar hanya kepada dunia sastera bagi menarik minat orang lain mencintai dan menjiwai bahasa Melayu, kita memerlukan "sesuatu" yang berupaya menggerak dan menghidupkan bahasa Melayu sampai bila-bila. Tetapi, "sesuatu" itu bukanlah undang-undang semata-mata, ia jauh daripada itu.


Bahasa Melayu memerlukan kreativiti dan idealisme kita untuk dihamparkan kepada dunia luar. Kita perlu melahirkan banyak disiplin ilmu yang baharu yang ditulis dalam bahasa Melayu, dan bukan sekadar menerbitkan buku yang mengupas ilmu bangsa lain. Kita perlu kreatif dalam menyampaikan idea dan gagasan kita. Gaya tulisan dan pemikiran kita haruslah dicerna dalam bahasa Melayu, agar ilmu yang lahir itu benar-benar menggambarkan keintektualan bangsa Melayu yang sebenar. Dunia dan bangsa lain akan menghormati bahasa kita, andaikata kita berupaya menulis dan menghasilkan pelbagai disiplin ilmu baharu dalam bahasa Melayu dan bukan menjadi pengikut kepada ilmu barat semata-mata. Jika hal ini mampu dilaksanakan, saya menyakini kita tidak perlu melakukan demonstrasi bagi mempertahankan bahasa yang kita cintai ini.


Dan sesungguh, berkenaan isu PPSMI ini, kita semua sedang dijemput oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said untuk masuk kembali ke mindanya bagi memahami dunia anak Lazri Meon yang dilukisnya melalui watak Zeni dari kaca mata Hamdar, sebuah watak dalam karya tulisan Lazri - yang seakan-akan cuba menghidupkan kembali perjuangan yang belum selesai. Dan, adakah perjuangan yang dimaksudkan oleh A. Samad Said dalam novel Daerah Zeninya itu sedang sama-sama kita hadapi ketika ini? Hanya jauhari yang mengenal manikam. Wallahualam.

Comments

alang said…
Isu PPSMI ni, saya tak boleh komen lanjut. Kerana bukan bidang saya. Apapun, diharapkan setiap keputusan dari kerajaan mengambil kira pandangan dan pendapat para ilmuan dan ahli dalam bidang ini.
Ruby said…
Saya agak kecewa dengan ulasan suadara berkenaan isu PPSMI. Sebagai seorg yg berlatar belakangkan ilmu linguistik, saudara patut memlihat aspek bahasa dgn lebih luas.
Bahasa bukanlah sekadar ilmu berkenaan tatabahasa seperti yg saudara terangkan dlm contoh saudara.
Bahasa meliputi fonetik, morfologi, sintaktik, semantik, pragmatik.

Dlm ilmu sosiolinguistik, bukankah diterangkan dgn meluas ttg aspek2 budaya bahasa?

Saya yakin, saudara pasti tahu bahawa terdapat 5 faktor penting yg menjamin keutuhan bahasa dlm sesebuah negara:
1) Pendidikan
2) Penyiaran
3) Perundangan
4) Urusan Rasmi
5) (saya pun tak berapa ingat. Mungkin saudara boleh ingatkan saya)

Ulasan saudara seolah-olah menyatakan bahawa undang2 tak perlu bagi mengukuhkan bahasa.

Saya amat berasa keliru.
Unknown said…
salam
PPSMI jika dihapuskan adakah ia sudah cukup meningkatkan martabat BM?Usaha-usaha untuk menguatkan BM sendiri perlu ditekankan dan diusahakan.
Saya akan ulas isu ini sedikit masa lagi.Terima kasih kerana telah 'generate'kan idea dan isunya
azlishukri said…
ikaa - saya bermaksud bahawa, sudah terlalu lama kita berjuang sesuatu yang kita tidak upaya berjuang sehingga habis...apakah akan terjadi jika para perjuang bahasa yang ada sekarang ini meninggal dunia...mana penggantinya? pejuang bahasa harus melihat isu memperjuangkan bahasa itu lebih jauh daripada biasa.

saya jelaskan, saya juga orang bahasa dan ahli lingustik, tetapi dalam soal ini, kita tidak menghurai dari aspek disiplin ilmu linguistik atau pun bahasa

saya cuba membawa para pembaca agar memikir penyelesaian isu PPSMI dari kaca mata dunia hari ini. Undang-undang hanyalah sebahagian kecil daripada eleman mempertahankan bahasa Melayu, selebihnya datang daripada pengaruh bahasa itu sendiri. Wallahualam.
Amirah Najihah said…
Salam..
Tak tau nak say thanks kt mane sebab follow. But I like your writing. Keep it up. Sy akan bce ;)
azlishukri said…
amirah - terima kasih
PenaKiri said…
Undang-undang nampak kecil tetapi peranan dan pengaruhnya sangat penting dan meluas.

Sebab itu kita ada undang-undang.
Allah turunkan al-Quran.

Adakah boleh kita berkata yang tidak perlu undang-undang tangkap orang mencuri, tapi cukuplah didik mereka betul-betul?

Apabila DS Najib sebagai menteri pendidikan dulu luluskan akta IPTS, maka apa yang berlaku IPTS berebut-rebut tawarkan kursus dalam bahasa english, IPTS tentunya lebih ramai melahirkan graduan berbanding, IPTA, maka apa yang berlaku lebih sudu dari kuah,
semua tawarkan kursus dalam english, maka bahasa melayu dikesampingkan dan dipersudutkan, pensyarah kena ajar dalam bahasa english, buku-buku dalam english berlambak dipasaran, ITNM tak sempat mainkan peranan penterjemahan dan seolah-olah tak bermakna keran penuntut akan berlajar dalam english.

Sepuluh tahun kemudian(akta ipts lebih kurang 1997) dan kini kita dapat lihat hasilnya betapa bahasa melayu jadi kelas kedua.

Orang bisnes, orang undang2 dan doktor-doktor seolah-olah malu untuk bercakap dalam bahasa melayu.

Cuba tengok kesan akta di Jepun yang mewajibkan semua bahan diterjemahkan dalam bahasa jepun.
Sebab itu semua manual ada dalam bahasa jepun walaupun bukan dibuat di jepun, malah tengok wayangpun telah dialih bahasa.

Walau bagaimanpun betapa peri pentingnya untuk kita menerbitkan buku dan bahan ilmiah kualiti tinggi amatlah penting dan perlu dipergiatkan.
interesting - in translation
Ruby said…
Saya bersetuju mengenai kukurangan tokoh bahasa serta keperluan utk menaikkan keupayaan BM sebagai bahasa ilmu.
Hakikatnya masih banyak kelemahan.
Jika kelemahan masih tak diusahakan utk diperbaiki, maka mmg susah utk PPMSI dihapuskan.
Lebih2 lagi dengan pengaruh suasana politik hari ini.
Nizar_Ryza said…
Ini adalah pengalaman peribadiku mengajar PPSMI di sekolah..

Sila membuat penilaian sendiri..

http://dinmafia.blogspot.com/2009/03/ppsmi-pengalamanku.html
azlishukri said…
penakiri - saya sependapat dalam hal tersebut, namun demikian, bergantung 100% kepada undang2 adalah sesuatu yang tersasar...dalam al-Quran ayat hukum boleh dihitung berbanding dengan ayat berkenaan pendidikan dan mengasuh. Hakikatnya, undang2 masih di terima tetapi bukanlah kita mesti berharap dan bergantung kepadanya sampai bila2. Perjuangan bahasa sudah terlalu lama berharap kepada undang2, tetapi apakah undang2 itu akan terus diterima oleh rakyat secara berterusan? saya khuatir jika perjuangan bahasa terus menerus sebegini, akhirnya kita hanya menang bersorak tetapi kesan dan impaknya tidak seperti mana yang kita harapkan.

saya tekan, kita harus menukar haluan perjuangan kita daripada mengharap agar kerajaan mengubah itu dan ini kepada perjuangan mengubah diri kita sendiri, mengubah dengan apa-apa yang kita mampu, InsyaAllah bahasa Melayu akan terus terbela. wallahualam.
azlishukri said…
ikaa - apa yg saya maksudkan di sini hanya satu, bahasa melayu tiada kekurangan, yang kekurangan itu adalah diri kita. Kita tidak berupaya menggarap ilmu baru dalam bahasa kita sendiri, malah kita juga terbukti kurang membaca, akhirnya sikap tersebut merugikan bahasa kita sendiri. Kita harus banyak membaca dan membina korpus ilmu kita sendiri. Kita harus mulakan dengan kita sendiri, dan generasi akan datang akan menurutinya kelak.
Bijen M. said…
setuju dgn pandangan saudara..
peranan bahasa harus ditanam sebagai jati diri sejak dari kecil sebagai pegangan agar diri kuat berhadapan berbagai cabaran sekian hari..
dan bahasa melayu itu sendiri harus diperkukuhkan dan diperhiasi dengan konsep dan pendekatan baru dan terhormat disamping mengekalkan keasliannya..
barulah bahasa melayu akan dipandang tinggi dan dihormati seterusnya para ilmuwan itu tidak lagi malu berbahasa..
Rid said…
Beliau pencetus ideologi terhabat :)
Daddy said…
Salam...

Masalahnya sekarang.. "undang-undang" dari Tun Mahathir dah wajibkan Bahasa Inggeris dalam PPSMI... HARAM guna Bahasa Melayu tu yg pelik ada undang-undang nak jaga Bahasa Inggeris pula sepatutnya tak ada undang-udang yang kena jaga Bahasa Inggeris ni kerana budaya seharian Melayu Malaysia semakin mesra dengan Bahasa Inggeris.. dgn PPSMI akan jadi pucuk dicita ulam mendatang... APA JADI DENGAN BAHASA MELAYU/MALAYSIA NANTI?? Itu persoalannya
Redz da Tsar said…
Sekadar mahu memberi cadangan:

1. PPSMI ini memang patut diteruskan
2. Bahasa Melayu juga perlu dalam pengajaran Sains dan Matematik
3. Cadangan saya: Bagi pilihan kepada pelajar untuk memilih bahasa pengantar mereka...
4. Jadi, takde masalah dah... PPSMI masih ada, dan Bahasa Melayu masih ada...
Basuh Baju said…
Manusia- suka atau tidak- pasti perlu untuk berfikir. Manusia yang tidak berfikir adalah sama seperti tin kosong. Pergi tersepak pulang terlanggar. Untuk berfikir, manusia memerlukan bahasa. Bahasa akan menerangkan sesuatu dan dari bahasalah sesuatu penyelesaian dapat difikirkan. Dari beribu-ribu macam bahasa di dunia ini, manusia akan berfikir menggunakan bahasa yang paling difahaminya. Ini akliah manusia.

Adalah perkara bangang jika seorang Bangla berfikir dalam bahasa Perancis untuk mencari jawapan 2+2 sama dengan berapa. Tidak mungkin juga seorang melayu berfikir dalam bahasa urdu untuk mengetahui apakah hasil campuran oksigen dan karbon sulfat. Penemuan dan penerangan tentang sesuatu ilmu pengetahuan pastilah dilakukan dalam bahasa si penemu itu.

Saya cukup yakin Leonardo Da Vinci berfikir dalam bahasa Itali ketika mereka bentuk Golden Horn. Begitu juga dengan idea Karl Max di dalam buku Das Capital- yang datang dalam bahasa German bukan bahasa Arab. Kemudian sila bayangkan Thomas Edison- si pencipta ulung Amerika- berfikir dalam bahasa Melayu ketika mencipta mentol. Kemungkinan kita sekarang dalam keadaan bergelap tanpa cahaya lampu.

Semua ini adalah kerana mereka berfikir di dalam bahasa yang mereka fahami- ertinya bahasa ibunda mereka. Bahasa yang dari kecik lagi mereka fasih.

Noktah Sebentar.

Heboh di sana sini tentang bahasa melayu di negara kita. Paling terbaru saya terdengar gosip-gosip mengenai PPSMI. Gosip ini telah 6 tahun berlarutan. Kejap hilang kejap muncul- betul-betul macam penjual VCD cetak rompak di Pasar Malam.

Lalu saya timbulkan satu persoalan: APAKAH TUJUAN UTAMA BAHASA INGGERIS DALAM SAINS DAN MATEMATIK?

Jawab ini dahulu, baru nak bergosip. Jika jawapannya untuk 'melahirkan pelajar yang kritis dalam ilmu pengetahuan...bla....bla...bla..supaya Malaysia dapat mencapai wawasan 2020..zzz..zzz..', maka saya kira PPSMI WAJIB dihentikan. Tidak perlu ada eeekkk sini oookkkk sana. Batal. Habis. Cukup. Tamat.

Ilmu pengetahuan hanya akan berkembang sekiranya manusia berfikir dalam bahasanya. Memaksa pelajar-pelajar berfikir menggunakan bahasa yang mereka tidak kuasai adalah perkara bangang. Ia samalah seperti memaksa penyu jantan bertelur.

Pelajar melayu yang dari kecik cakap bahasa melayu akan lebih mudah berfikir tentang sesuatu permasalahan sains. Begitu juga pelajar Cina hanya dapat mencari jawapan kepada soalan matematik yang kompleks dengan bahasanya. Kita perlu jujur akan hakikat manusia berfikir dengan bahasanya. Dari situ barulah idea-idea mengegarkan dunia dapat dihasilkan. Dan sejarah telah pun membuktikannya.

Noktah Sebentar.

Jika Leonardo Da Vinci, Karl Max atau Thomas Edison menjadi pelajar di Malaysia sekarang, sudah pasti selepas tamatnya SPM mereka akan membunuh diri kerana tidak dapat berfikir. Atau jika mereka masih hidup pun mereka pasti menulis sebuah buku. Dan tajuk buku itu ialah '3 Teknik Menjadi Pelajar Bijak Berfikir dan Soleh'. (BB)
Cheguman said…
Salam Azli,
Satu pandangan yang menarik. Mulanya saya ingat saudara nak mengulas tentang novel Daerah Zeni.

Saya bersetuju bahawa kita tidak lagi boleh berharap pada undang-undang sebab undang-undang boleh berubah-ubah. Jika benar-benar ingin memartabatkan bahasa Melayu, mari kita lakukannya secara praktikal. Selain memperbanyakkan penulisan melalui idea sendiri, setiap penulis perlu perbanyakkan usaha menterjemah.
KINAS said…
kepada ika--saya tak fikir Saudara Ali bermaksud undang-undang tidak perlu ttp tidak dijadikan sandaran sepenuhnya untuk memartabatkan bahasa....ada perkara lain yang tidak diberi perhatian sewajarnya...betulkan saya kalau saya salah, saudara azli.
azlishukri said…
terima kasih atas komen semua, tidak sempat saya membalasnya.
Atan said…
Salam, Sdr.

[Pembetulan kepada Post Sdr. untuk kenyataan yang berikut: “Apakah bahasa Melayu juga harus menjadi seperti orang Melayu sendiri yang memerlukan tongkat untuk berdiri setelah 57 tahun kita merdeka?”. Untuk perhatian, usia kemerdekaan negara kita baru 52 tahun.]

Menghasilkan karya bermutu supaya dapat menjadi master-piece sehingga dapat menarik minat orang kepada bahasa Melayu idea yang sangat baik. Cuma, fikirkan, bagaimanakah Indonesia dapat memastikan bahasa Melayu dituturkan oleh segenap lapisan masyarakatnya yang berjumlah sekitar 200 juta jiwa itu tanpa okk dan ekk (meminjam ungkapan Sdr BasuhBaju - saya bersetuju dengan pandangan Sdr BasuhBaju dalam komen untuk post ini)? Malah Indonesia dapat pula mengeksport penutur bahasa Melayu yang baik ini ke dalam rumah masyarakat kita di Malaysia (melalui pembantu rumah yang digajikan orang Cina orang Melayu, dan orang lain di negara kita) sehingga anak-anak Cina dapat menuturkan bahasa Melayu slanga Indonesia dengan agak baik.

Jawaban kepada persoalan di atas ialah kanun (perundang-undangan). Mereka telah menetapkan bahasa Melayu wajib dituturkan semua bangsa atas nama kesatuan.

Kita, khususnya pemuka bangsa Melayu di negara ini, memang menghidap penyakit tidak yakin pada bahasa sendiri. Pemahaman dan penghayatan sebilangan orang terhadap peranan bahasa Melayu dalam pembentukan konsep kebangsaan sangat berjerebu.

(INGAT pada peristiwa 2004? Seorang menteri kanan (kini hanya merupakan mantan menteri dan mantan ketua srikandi) meminta rakyat mengenyampingkan sahaja golongan pejuang bahasa dan meneruskan upaya untuk memperhebat pemakaian bahasa Inggeris. Dia, malah, dengan bangganya mengatakan bahawa segala urusan di kementerian yang dipimpinnya dijalankan dalam bahasa Inggeris.) Sayang, dia tidak menggunakan bahasa Inggeris untuk mempertahankan jawatannya.

Sikap dan pendirian yang sebeginilah yang menyebabkan adanya pejuang bahasa ini (sepatutnya tidak ada lagi jika pemimpin kita tidak "mengerjakan" bahasa kebangsaan bahasa perpaduan kita ini dengan cara seperti pengenalan PPSMI dalam lapangan pendidikan di negara ini.) Pejuang bahasa sepatutnya telah menjadi peneraju ilmu bahasa dan menjadi rujukan sarjana asing dalam mendalami bahasa Melayu. Bahasa Melayu, jika tidak dilanyak begini, pada ketika ini hanya sedang melalui proses pemantapan.

Tidakkah tuan-tuan merasakan PPSMI satu penghinaan?
azlishukri said…
atan, terima kasih atas pembetulan itu, saya terlepas pandang.
hans said…
Masuk U pun study dalam bahasa inggeris...
sama jer..teruskan jer lah..tapi untuk skolah rendah ajarlah dwi bahasa...
ajar dalam Bi n terangkan dalam BM...
baru bebudak faham
Alfie said…
Salam saudara Azli,

Ini adalah pendapat saya. Saya rasakan banyak pihak terkeliru dgn isu PPSMI ini. Menurut apa yg dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir, PPSMI cuma satu kaedah untuk lebih memahami metodologi dan istilah Sains dan Matematik, iaitu dgn menggunakan bahasa Inggeris kerana kebanyakan buku2 rujukan bahan2 kajian ditulis dlm bahasa Inggeris, amat sukar didapati dlm bahasa Melayu dan bahasa2 lain, dan bukannya bermaksud PPSMI itu menekankan agar bahasa Inggeris diberi keutamaan kerana cuma dua subjek ini sahaja yang harus dipelajari menggunakan bahasa Inggeris, jadi pada saya tidak timbul isu bahawa bahasa Melayu akan lenyap atau pun dipinggirkan. Saya juga rasa jatidiri orang Melayu takkan lenyap hanya kerana PPSMI dilaksanakan, cuma yang menjadi masalah ialah kaedah pengajaran Sains dan Matematik dlm bahasa Inggeris kerana guru2 yg dapat mengajar dlm bahasa Inggeris mungkin kurang dan ini yang menyebabkan para pelajar sukar untuk memahami kedua-dua subjek tersebut.
Mak Su said…
saya suka bahasa melayu diketengahkan dengan serius sebab ini dunia melayu, malaysia. well, bukanlah saya bangkang pembelajaran bahasa inggeris... entahlah, saya ni orang kecil
x said…
azli,
anda tak mau berpihak dalam isu ni sebab sebelah kaki anda di pihak yang memperkenal dan mempertahankan dasar ini.
tapi mujurlah sebelah kaki anda lagi masih berpijak dibumi nyata bahawa anda seorang melayu.

terima kasih kasih kerana menulis artikel ini tanpa prejudis.
Assalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh saudaraku azli shukri yang sangat aku sayangi...

Alhamdulillah!
Saya sangat bersyukur kehadirat Allah Azzawajalla karna telah menemukan saya dengan saudara di alam maya ini, walaupun tanpa bersua-muka, tetapi dari segi penghayatannya, tetap terwujud seperti bersua-muka berbicara.

Penulisan saudara telah sedikit sebanyak memberikan saya impak yg kuat dan memanggil saya semula untuk menulis semula,

walaupun tanpa bersuaka-muka, tetapi suara hati tetap terasa,
barangkali, mungkin inilah permulaanya 'pintu masuk' bagi telepati orang dulu-dulu apbila berbicara walau tanpa bersua-muka, wallahualam.

Impak.
Impak apa yang saya maksudkan itu?.
Jauh sekali impak kepada 'politiknya ya, bukat yang itu, tetapi maksud Impak bagi kami adalah Impak kepada apa yang saya akan perkatakan selepas ini adalah impak dari segi teori 'push factor'.

lihatlah, kalau dari segi bahasa inggeris sudah ada teori 'the push factor', maka, kita semua disini , lihatlah, adakah teori tentang 'the push factor' ini ditulis didalam bahasa melayu kita?

jikalau ada, mungkin kita akan senang-senang sahaja mengalih bahasakan kepada bahasa kita, bukan semudah itu ya jika kita mahu menulis dan memberikan impak kepada manusia sejagat.

'the push factor',
adakah sesiapa diantara kita atau mana-mana orang melayu yang menulis didalam bahasa melayu tentang hal dan perihal ini? kalau diterjemah secara langsung, ianya akan jadi 'faktor tolak: (menolak)'? apa benar kita boleh terus menterjemahkan scara langsung begitu? tentunya tidak boleh bukan,

contoh, dalam erti kata lain:
1.) azli shukri menjadi 'faktor penolak' (atau, 'penolak faktor') kepada saya untuk menulis.
2.) azli shukri became a 'push factor' for me to write.

jadi, mana satu yang mudah difahami?
kalau rujuk 1.) maksudnya ada percanggahan samaada si azli shuri boleh menjadi faktor untuk saya tolak untuk menulis, (tidak mahu menulis) atau dia tolak saya untuk menulis.

yang ke 2). dalam bahasa inggeris, sudah tidak perluu diperjelaskan lagi. (bukannya bahasa mereka bagus, tetapi sistem dan cara mereka memartabatkan bahasa penghantaran mereka.

baiklah, mari kita lihat, kenapa 'mereka' lebih 'advance' daripada kita?

lihat 'the push factor'
pada soal 1). dan 2.)
kita baru hendak mula berbincang tentang mana satu yang kita patut tulis, samaada menterjemahkan ianya sebagai "faktor menolak" atau " faktor penolak"
kita masih sibuk atau buat-buat sibuk dan sampai ada yang sanggup buat keranda hanya kerna demi memperbahaskan tentang isu-isu sebegini,

tetapi "mereka"
pada perkara yang ke 2). itu, mereka sudah mula memikirkan bagaimana untuk memperjelaskan tentang 'the push factor iani,
2.1) faktor keadaan sekeliling
2.2) faktor ekonomi
2.3) faktor rakan atau penaruh sahabat
2.4) faktor ekonomi
dan mbermacam-macam hal dan perihal lain lagi mereka fikirkan,

adakah mereka "sebok" atau "buat buat sibuk untuk menterjemah-terjemah kepada bahasa lain? kerna bagi mereka, apbila mereka berjaya menulis, dan idea-idea mereka diterima pakai nanti,
maka, pandai-pandai mana-mana bangsa yang mahu mengikut mereka menterjemahkan kepada bahasa mereka sendiri. CONTOH yang paling KETARA dan paling dekat dengan kita adalah seperti: "Kaizen" penulisan Masaaki Imai, atau sebutannya "Kai Zen" bahasa apa itu?

dan juga lihatlah pada buku keluaran Dr.Ary Ginanjar dari Indonesia yang menulis tentang Emotional Spiritual Quotients atau ESQ, kenapa kita harus menulisnya sebagai ESQ (didalam bahasa inggeris) kenapa kita tidak mampu
menuliskan tajuknya sebagai "EMOSIONAL, KEROHANIAN DAN...Quotients?” (Adakah kita masih lagi tercari-cari identiti di jalanan?

tiadalah saya berkata-kata jikalau tanpa ilmu dan bukti,
dan, segala puji dan pujian itu hanyalah kepada Allah Azzawajalla,

saya telahpun menyahut cabaran azli shukri untuk menulis, dan saya telah bermula menulis biarpun lambat, tetapi saya akan tetap gigih untuk mengusahakannya,

saya telah mula menulis tentang "Pulau Namoyaki" sebuah pulau dan sebuah tempat yang kita sisihkan dan kita tinggalkan dulu tanpa kita sedari...

terima kasih saudaraku azli shukri, semoga kamu akan selalu dirahmati Allah SWT dan semoga kita semua faham tentang "suara hati kita semuanya sama"...

meminjam dan merujuk kembali kpd kata-kata azli disini:

“Saya sudah berkali-kali mengingatkan, bahkan seluruh ahli linguistik dan bahasa akan bersetuju dengan saya bahawa, satu-satunya jalan bagi mempertahankan bahasa ibunda kita adalah melalui penghasilan ilmu baharu - tokoh-tokoh ilmuan dan pejuang bahasa perlu prolifik dalam menghasilkan tulisan dan karya besar yang bermutu tinggi serta berupaya memberi kesan kepada masyarakat. Kita sama sekali tidak boleh mengharapkan orang politik atau kerajaan menjadikan undang-undang sebagai alat bagi mewajibkan setiap warga negara Malaysia mencintai dan menjiwai bahasa Melayu, kita juga sama sekali tidak boleh mengharapkan undang-undang akan menjadi pelindung kepada bahasa Melayu untuk selama-lamanya. Kita harus faham, undang-undang bukanlah segala-galanya. Kita harus membina kesedaran dalam kalangan bangsa lain bahawa bahasa Melayu sememangnya unggul - tetapi bukan melalui undang-undang semata-mata, sebaliknya melalui mata pena. Kita mahu, bangsa lain tercari-cari idea orang Melayu melalui tulisan-tulisan mereka, serta kagum dengan daya pemikiran mereka, maka barulah bahasa Melayu akan maju dan disanjungi. -Azli Shukri

Akhir kata, dengan itu, saya juga telah bangun, bangkit dan bergerak menyahut cabaran itu.

Terima kasih saudaraku Azli Shukri.

Salam hormat, salam penuh kasih saying,
Zul Rahman
naqiubex said…
Masalahnya sistem pendidikan bahasa inggeris itu sendiri amat lemah.. Daripada sekolah rendah ke sekolah menengah, pelajaran tersebut mengulangi perkara yang sama tanpa mengaplikasikan ilmu bahasa inggeris yang lebih tinggi. Contoh buku sastera disediakan dalam bentuk ringkas yang cuma menggalakkan pelajar hanya skor A dalam SPM tetapi tidak mempunyai kualiti yang tinggi dalam pemamahaman mata pelajaran. tersebut. Jikalau pendidikan bahasa Inggeris tu sendiri sangat lemah apatah lagi kononnya nak menggunakan PPSMI.

Saya sebenarnya rasa bahawa sebenarnya sistem pendidikan di Malaysia bukan sahaja perlu memfokuskan diri kepada bahasa melayu atau inggeris sebagai bahasa yang perlu dipelajari di institusi persekolahan. Tetapi juga menerapkan pembelajaran bahasa Mandarin, Tamil atau Telegu supaya setiap bangsa di malaysia dapat memahami bahasa masing-masing. Sekurang kurangnya hanya perlu memahami, tanpa perlu mendesak pelajar untuk skor A dalam SPM.
qito said…
PPSMI perlu diteruskan!!!

Sape2 yang belajar kejuruteraan dalam bahasa melayu pasti kecewa bila berkerja di bidangnya nanti, pensyarah yang translate ke BM pon pening nak paham apa lagi pelajar dia...

Mata pelajaran matematik dan sains jer, cukupla kat takat tu...kalau nak lebih sampai urusan rasmi pon nak cakap omputih,xdapat la nak bagi...

Pilihan Pembaca

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca

Lagi Kisah Siti Nurhaliza : Mana Perginya Produk CTea?

Lagi Kisah Siti Nurhaliza Mana Perginya Produk CTea? Oleh Satu Hala (Malaysia Instinct) Inilah antara benda-benda yang buat sakit hati dengan orang kaya Melayu ni. Datuk K sanggup perabis RM66,550 untuk beli nombor plate KCT 1 untuk isteri tercinta, Datuk Siti Nurhaliza. Kononnya cintan maut habislah tu kan. Tak tahulah kot-kot Rozita Che Wan yang dulu orang kata dapat Mercedes dari Datuk K (lepas dah kahwin dengan Siti) pun akan dapat nombor plate yang sama. Gasaklah hal Rozita Che Wan tu. Yang penulis tertarik nak tulis ialah sikap orang macam Datuk K dan Siti Nurhaliza. Parasit adalah perkataan paling tepat. Tahu tak Siti Nurhaliza adalah pemohon pinjaman Tekun untuk bisnes barang solek Simply Siti. Kalau tak percaya, pergilah cek dengan Tekun. Pasti nama Siti akan terpacul. Sakit hati betul penulis dengan orang-orang macam ini. Dah tahu duit banyak, gunalah duit sendiri untuk berniaga, tak pun pinjamlah bank. Gi pinjam dengan Tekun tu buat apa? Mentanglah bayar

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil