Skip to main content

Daripada Azli Kepada Azli!


Realiti Telah Menjadi Fantasi
Daripada Azli Kepada Azli



Saya sering diingatkan bahawa kita harus menjaga sesebuah persahabatan dengan baik, dan kita juga harus menghargai persahabatan yang sedia ada. Apabila kita mempunyai kawan yang ikhlas untuk bersahabat dengan kita, maka sambutlah keikhlasan tersebut dengan seadanya. Dalam dunia yang penuh dengan penipuan, sahabat yang baik dan jujur adalah umpama emas yang datang dengan tiba-tiba, dan apabila ia hilang - maka mencari gantinya adalah umpama mencari barang yang hilang dalam gelapnya malam. Entri saya kali ini adalah entri yang saya tulis daripada hati saya sendiri, ditulis dengan penuh kerendahan diri, ditulis dengan penuh rasa jujur, lantaran itu tajuk entri saya kali ini agak pelik dan memelikkan.



Dengan judul "Daripada Azli Kepada Azli" ia merupakan sebuah manifestasi hati saya yang sudah lama terpendam dan terpadam - tentang apa yang saya faham dan alami, berkenaan kawan dan sahabat. Ceritanya tetap sama dengan semua orang yang mengalaminya, tentang kawan baik yang menolak kita dari arah belakang, tentang sahabat rapat yang menikam kita dengan tombak dari segenap arah, baik dari sisi, tepi dan belakang. Entri ini - seperti judulnya, merupakan tulisan yang saya luahkan sendiri, ditulis, dibaca dan dilafazkan hanya untuk diri saya sendiri, dan bukan untuk sesiapa pun. Lantaran itu, entri kali ini sangat jauh bezanya dengan semua entri saya sebelum ini. Ada masanya, kita mahu bersendiri - untuk diri sendiri, untuk mengenang dan menghayati tentang apa-apa yang telah kita lakukan dan orang lain lakukan kepada diri kita selama ini. Setiap daripada kita, akan tetap memiliki kelemahan dan kekuatan. Namun demikian, hati tidak pernah menipu, tetapi kita sering ditipu oleh perasaan kita sendiri. Perasaan jujur dan ikhlas - seringkali dibalas dengan racun dan tuba.



Tidak ada kepedihan yang lebih pedih daripada sikap belot dan "membunuh" sahabat baik sendiri. Tangan kita berlumuran dengan darah teman baik sendiri - dicerca dan "dibelasah" semahu mungkin di tengah-tengah meja mesyuarat. Bak tikaman keris Hang Tuah menusuk masuk ke jantung Hang Jebat - gugur sebuah persahabatan dibeli kesetiaan yang membuta-tuli, akhirnya ranap kota Melaka bersama para menteri. Begitulah cerita mengajar kita, bahawa persahabatan bisa menjadi mitos atau kekal ke akhir hayat. Sejarah telah merakamkan, tentang dosa dan noda dalam persahabatan, tentang memilih antara sumpah setia dengan nikmat dunia yang sementara, tentang kejujuran dalam hubungan atau mengejar mahkota idaman. Persahabatan tetap akan bersilih ganti, antara menjadi teman sejati dengan menjadi musuh sehingga mati - segalanya bercantum dalam erti persahabatan, memilih jalan untuk dibenci, atau dipuji - atau memilih jalan mati. Saya tidak bisa terus-menerus beretorik dengan bahasa yang memualkan - namun begitu, seperti yang saya ingatkan diawal penulisan ini, entri saya pada kali ini hanyalah untuk saya melayan perasaan, untuk saya curahkan apa-apa yang tersimpan dalam kota minda - agar kita bisa berterus-terang dan berkata jujur bahawa - kadangkala persahabatan mudah sahaja bertukar dalam sekelip mata - menjadi musuh yang paling kita benci.



Tiada nilai wang ringgit yang mampu kita bayar untuk sebuah persahabatan yang ikhlas dan jujur. Tetapi, jika nilai persahabatan boleh dijual beli, maka itu bukanlah persahabatan dalam erti kata yang sebenar. Dalam dunia yang penuh dengan dugaan dan fitnah, "persahabatan" sudah semacam barang dagangan komoditi - apabila ada sesuatu kepentingan, maka "tali persahabatan" akan terjalin, sebaliknya, apabila sesuatu "persahabatan" itu seakan-akan mengancam "periuk" nasi seseorang, maka putuskan sahaja, itu lebih selamat untuk menjaga perut sendiri. Mungkin ramai yang kurang faham, terdapat perbezaan antara maksud "bersahabat", "berkawan" dengan "berkenalan". Semua perkataan ini - ada maknanya yang tersendiri.



Tatkala kita menerima seseorang itu sebagai sahabat baik kita, kita sentiasa menginginkan agar dia memperoleh kebaikan, dan pada masa yang sama kita juga berharap agar dia sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat. Kita mengambil berat keadaannya, selalu menasihatnya tentang agama, dosa dan pahala, malah tidak kurang kita turut membantunya dalam serba-serbi kehidupan peribadinya. Seorang sahabat yang baik, adalah sahabat yang mengenang jasa dan pengorbanan sahabatnya yang lain. Dalam susah dan senang - mereka tetap akan sentiasa saling menyokong, dalam suka dan duka mereka tetap saling berteguran, dan dalam kegelisahan, mereka saling membantu. Itulah persahabatan, dan bukannya menikam dan menunjukkan permusuhan dengan kita dari arah belakang.



Salah satu kelemahan saya - adalah tidak tahu membezakan antara sahabat, kawan dan kenalan. Apabila kita menyayangi seseorang sahabat - kita mengharapkan agar sahabat baik kita itu , memperoleh sesuatu yang baik daripada hubungan yang telah dijalinkan, khususnya dari segi agama dan moral. Malah, Kita juga akan sentiasa menasihati sahabat baik kita itu, berkenaan hal yang baik-baik, demi kepentingan dan menjaga persahabatan yang sedia terjalin. Sahabat yang baik sudah pasti akan menasihat sahabatnya berkenaan solat, berkenaan penjagaan aurat, berkenaan dosa dan noda, berkenaan kewajiban memakai tudung kepala, dan berkenaan berkelakuan yang mencerminkan seorang muslimah yang baik.



Namun demikian, sebahagian persahabatan di Bahagian M, sewaktu saya bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka - adalah persahabatan yang boleh "dijual-beli". Jika hari ini, seseorang itu bisa menjadi sahabat yang sangat baik untuk kita, tetapi dengan tiba-tiba tidak mustahil keesokan harinya dia sanggup berubah, dengan menikam dada kita, baik dari arah belakang mahu pun dari arah hadapan, tanpa kita menyangka sedikit jua pun. Saya tidak tahu bagaimana keadaan seperti ini ada di tempat lain, tetapi pengalaman bekerja yang agak banyak saya miliki, menunjukkan bahawa persahabatan bagi sesetengah individu merupakan satu bentuk "perdagangan" bagi mencapai sesuatu maksud yang tersirat, sama ada mahu mengejar jawatan, atau mengejar status sebagai pekerja tetap, atau apa-apa sahaja alasan bagi mencapai hasrat, cita-cita mahupun hajat peribadi.



Hal yang sama pernah terjadi kepada Tun Mahathir, selang beberapa hari beliau meletakkan jawatannya sebagai PM, beliau telah kehilangan begitu ramai sahabat dan kawan, yang selama ini rapat dengannya. Jelaslah bahawa sahabat-sahabat lama Tun Mahathir sewaktu bersama-sama beliau ketika berada dalam kerajan dahulu, dengan tiba-tiba menjadi gusar serta gelisah jika "persahabatan" yang mereka jalinkan selama ini dengan Tun Mahathir tiba-tiba dapat dihidu oleh orang-orang Pak Lah, maka tidak mustahil, jawatan dan pangkat yang sedang mereka sandang bakal lenyap dan hilang serta-merta. Inilah yang saya maksudkan dengan nilai persahabatan yang boleh dijual beli dan didagangkan sebagai komoditi. Sewaktu diperlukan, kita ucap salam persahabatan, dan apabila tidak diperlukan lagi, kita akan menerima ucap selamat jalan.



Maka, jelaslah bahawa nilai "persahabatan" pada akhir zaman ini - lebih bercorak materialistik dan keduniaan, ia sudah tidak dilihat lagi sebagai satu bentuk hubungan sosial yang utuh bagi menjamin kelangsungan hidup manusia yang memerlukan nilai moral dan kasih sayang. Pada hari ini, jika seorang sahabat kita dibenci oleh bos kita sendiri, maka marilah kita bersama-sama membencinya, agar bos dengan jelas mengetahui, bahawa kita begitu taat setia dengannya (walaupun kita sebenarnya berpura-pura). Menurut golongan ini, persetankanlah nilai persahabatan dan kejujuran dalam berkawan. Jika sesebuah persahabatan itu membawa keuntungan, maka teruskan bersahabat, sebaliknya jika sesebuah persahabatan itu merugikan diri kita dari segi kenaikan pangkat atau mendapat status pekerja tetap, maka tinggalkan segera sahabat baik kita itu keseorangan. Biar dia mati dan dibenci, persetankan kebenaran, biar sekali pun ia di pihak yang benar, tetapi "perut" kita jauh lebih penting daripada sebuah persahabatan dan kebenaran.



Biarkan apa-apa sahaja yang diperkatakan oleh orang lain kepada diri kita - seorang yang hipokrit, talam dua muka, pentingkan diri sendiri, menikam kawan baik dari arah belakang dan apa sahaja yang mereka kata- jangan lagi dipedulikan. Yang penting, aku mahu hidup! Inilah bentuk baru persahabatan - tiada lagi moraliti dan kasih sayang - yang muncul hanyalah kepentingan diri dan gaji akhir bulan. Namun, insan seperti ini telah lupa - hidup ini seperti roda, ia berputar dan berpusing-pusing dalam orbitnya. Jika tangan ini basah dengan darah sahabat baik kita sendiri - tidak mustahil nasib kita juga, akan diakhiri dengan cara yang sama. Jika pada hari ini, kita menikam sahabat baik kita sendiri, janganlah menyalah sesiapa andaikata hal yang sama berlaku ke atas diri kita kelak.



Kita tidak memerlukan cara kotor untuk menunjukkan taat setia kepada bos kita sendiri - menikam sahabat baik di hadapan ramai orang, di dalam mesyuarat umpamanya - hanya menimbulkan rasa benci dan amarah kepada orang lain, bukan itu caranya, kerna tersilap haribulan dan langkah, kita bisa sahaja ditikam oleh bos kita sendiri. Mungkin lebih kejam dan mungkin juga lebih zalim. Hidup sememangnya begini - yang menikam dan ditikam, silih berganti. Namun, kita ada akal yang Tuhan beri - fikir-fikirkan dan bukan membuat keputusan dengan akal yang cetek. Wallahualam.




Gambar : Tinggal kenangan, penulis bersama dengan wartawan terkenal Mastika pada suatu ketika dahulu, Aninah Janang - segala-galanya sudah menjadi mimpi, dan persahabatan bisa sahaja "dibunuh" untuk menjaga hati dan kepentingan diri sendiri. Semoga Allah menyedarkan kita semua. Amin.

Comments

Sang Pencinta said…
- Membaca tulisan saudara kali ini, terasa benar tikamannya. Sabarlah, Tuhan bersama dengan orang-orang yang sabar.
Mohd Faizal said…
Saya bersimpati dengan Tuan Azli..

Hamka pernah mengungkapkan,
Pengubat jerih payah hidup manusia di dunia ini ada dua. Pertama, beriman kepada Allah dan yang kedua percaya kepada sahabat!

Moga Allah melindungi Tuan dari kejahatan manusia yang dengki dan khianat..

http://mundarmandir2.blogspot.com/2007/02/beberapa-kata-kata-hikmah-tentang.html
Unknown said…
Bersyukurlah, belum terlambat untuk saudara mengenali hati budi seseorang.
Ingatlah saudara,
yang indah di mata belum tentu indah di hati;
yang manis di mulut belum tentu manis di perut.
Jangan lupa juga... ada sahabat yang melihat dari jauh ketika saudara senang dan dia hanya akan muncul ketika saudara kelemasan, terkapai-kapai, pada ketika itulah dia akan menghulurkan tangan pertolongannya.
Begitulah anehnya dunia ini, hargailah setiap pengalaman saudara.
Semoga saudara ketemu jodoh yang terbaik ...
Pozi ABB said…
Pujangga Tibet:

apabila engkau ingin memilih seseorang untuk dijadikan sahabat, maka ujilah ia..NYALAKAN API KEMARAHANnya sebesar mungkin, jika ia dapat bertahan dan BERSABAR, maka layaklah ia engkau jadikan SAHABAT...jika ia TERBAKAR oleh API KEMARAHAN yang engkau NYALAKAN itu, maka berhati-hatilah!! jika engkau masih memilih untuk bersahabat dengannya.
KINAS said…
Biarpun tajuknya berbunyi Daripada Azli Kepada Azli namun entri ini merupakan sesuatu yang boleh/perlu dikongsi untuk direnungkan
Binjaie said…
Pengalaman biar pun pahit, mendewasakan kita. Tabahkan diri sahabat. Amin
myQza said…
sahabat umpama bunga yang indah dalam taman kehidupan kita.. namun hakikatnya.. tak semua itu wangi untuk di hidu... ada juga yang beracun... =))

salam singgah!!
Anonymous said…
SAHABAT ATAU PENJAHAT


Sahabat atau penjahat
Ketika aku luka, aku ditikamnya
Ketika aku lemas, tali dicantasnya
Ketika aku haus, tuba diberinya
Itukah yang bernama sahabat?

Sahabat atau penjahat
Ketika matahari terik bercahaya
Dibiarnya aku terikat di padang pasir
Menjadi habuan teriknya cahaya
Menjadi habuan derasnya debu
Menjadi santapan sengatnya jengking

Sahabat atau penjahat
Sahabat atau pengkhianat
Tika malam pekat
Buka lilin atau cahaya
Tapi bara panas bernyala
Bukan untuk menyinari
Tetapi ditusuk kedada
Tembus kejantung kelubuk hati
Menambah duka dan pilunya
Hati yang sedia terluka dan tersiksa

Sahabat
Tidak takutkah kau dilaknat
Oleh Pencipta Sarwajagat?
Atau,
Memang itukah harga sebuah sahabat.


Nukilan

Dato' Adil
Bangsar, KL.


(Saya mohon maaf kerana telah menjemput saudara-saudari melawati blog saya, namun blog itu ada identiti syarikat yang terpaksa saya batalkan sementara paparannya, ini penting untuk mengelakkan masalah atau rasa tidak selesa Saudara Azli)
Unknown said…
salam
saya juga sedang merasakan perkara yang sama.Bagaimana orang yang tidak disangka2 itulah yang telah menikam dan memburukkan kita dari belakang. Tetapi hal itu sedikitpun tidak merungsingkan saya kerana hal itu akan membuatkan saya lebih berwaspada untuk menilai seseorang itu sebagai seorang kawan atau lawan
Anonymous said…
Pembetulan

(Buka lilin atau cahaya)

Sepatutnya

Bukan lilin atau cahaya

Sekian dan selamat malam.
Anonymous said…
hi.b cool make it calm..read my blog entry friend or fiend..piece
Anonymous said…
Salam Sdr Azli,
Berkenalan biarlah di internet,
Berkawan biarlah di tempat kerja,
Bersahabat hanyalah dengan sahabat.

Kegelojohan manusia akan dapat membezakan yang mana satu sahabat dan yang mana satu lawan. Mungkin bukan sekarang. Suatu hari nanti.
fahana_ann said…
salam, memang kadang kita perlukan sangat masa untuk diri sndrir..
persahabatan?kuasa?keihlasan?..
Salam saudara Azli,

Saya juga pernah merasai apa yang saudara rasakan. Pedih rasany bila dikhianati, terutamanya bila kita ditinggalkan terpinga-pinga tak tahu apa masalah sebenar.

Susah hendak mencari orang yang jujur sekarang, ramai yang dah besar kepala mungkin kerana sangkakan diri bagus sangat.

Saya berharap saudara dapat bersabar, ini adalah petunjuk Yang Maha Esa tentang mana permata dan kaca. Bersyukurlah, sebelum terlambat, sudah kenal hati budi seseorang..sekurang2nya hidup saudara sudah bebas daripada orang yang tidak pandai menilai erti persahabatan..:)
Unknown said…
Sdr Azli,
Apa yang hendak dihairankan? 'Sahabat' sdr tu kan seorang yang bijak, pandai, cepat belajar dan pantas menyesuaikan diri apatah lagi ada contoh yang unggul di bahagian M...
Masa dua tahun sudah cukup baginya 'memasterkan' diri jika hendak mendapat tempat di bahagian M.
Apalah ertinya persahabatan baginya kalau tali persahabat dengan sdr akan membelit kakinya untuk melangkah lebih jauh?
Dalam hal ini sdr terlalu polos dan belum kenal dunia manusia yang korup!
Salam saudara Azli..
memang sukar mencari sahabat yang sebenar-benarbya sahabat
sy bersyukur dikurniakan sahabat yang saling menyokong, saling memberi dan menerima, menangis dan tertawa bersama. sy sering mendoakan agar persahabatan kami terhindar dari rasa iri dan cemburu. kerana peraasaan itu adalah tunjang utama yang membunuh sebuah persahabatan..semoga rasa itu dijauhkan dari diri kita semua..
Anonymous said…
AKHIRNYA AKU MENGERTI

Akhirnya aku mengerti
Bahawa gadis itu yang dimaksudkan
Bahawa gadis itu yang menikam
Bahawa gadis itu yang menerkam

Kerana selalunya gambar
Bukan mencerminkan cerita
Kerana selalunya gambar
Bukan mengenai bicara
Kerana selalunya gambar
Hanya sekadar hiasan

Tetapi pagi ini dato adil mengerti
Yang sekian kali kita bicara
Dalam hikayat dalam coretan
Si gadis itu salah seorang
Yang menjadi watak suka menikam
Hanya kerana mengejar kedudukan

Kata Puteri Hutan Nipah
Dua tahun cukup untuk "Memasterkan"
Diri bergelar pakar
Dalam kelentong serba serbi
Mengharung gelombang
Walau terpaksa
mengaib
mencerca
memaki
menghina
atau "menelanjangkan"
hal peribadi
yang pernah dikongsi
sebagai kononnya sahabat sejati

Benar kata Ida Hariati Hashim
Blogger hebat dan berjiwa sentimental
Katanya bukan senang mencari kawan
Kerana semuanya mungkin merasa
Sudah bagus dan baik

Tapi pada saya
Mereka hanya bagus
Dalam mengampu untuk duniawi
Sedang mereka lupa
Perjalanan masih jauh
Tetapi mereka berpaut bukan pada pohon muda

Sebaliknya pada pohon tua
Yang tentu lebih awal
Menemui reputnya
pada masa itu siapa lagi
Tempat bicara tempat meluah kata
Andai pohon yang dulu gagah
Akan reput di makan anai-anai?
Yang tinggal hanya pohon muda
Yang pernah disiram tuba

Mujur hujan tujuh benua
Dari langit tujuh lapis
Dan air kasturi tujuh warna
Menyiram pokok itu,
Tatkala dicampak
Dari Kayangan 20

Dato Adil
Bangsar, KL.
azlishukri said…
terima kasih atas komen tuan2 semua, tidak sempat untuk membalasnya...
semalu said…
Salam

Simpati dgn apa yg telah dilalui.

Moga pengalaman menjadikan kita matang dalam memilih dan menilai yg mana kawan dan lawan.
Anonymous said…
amboi mesranya.. siap jumpa kat rumah dan masak-masak. boleh tau kat rumah sapa tu :)
Anonymous said…
jangan keluar gambar macam elizabeth sudah.. hehehe.. seram den dibuatnya... hehehe... jangan marah ye..
Anonymous said…
aku no komen dalam hal ini...
zol dabat said…
hati manusia berbeza2
yg tu kita x mampu kawal
yg kita mampu kawal hnyalah d sbelah diri kita
jd trpulangkan kpd dri masing utk mrespon kpd prangai manusia yg berbagai2.....
satu malaysia said…
Sakit sekali apabila kita ditikam oleh kawan sendiri. Tikaman Tuah terhadap Jebat derhaka pun tak dapat diterima oleh sesetengah orang, apatah lagi tikaman seorang sahabat terhadap sahabatnya yang masih setia kepada persahabatan.

Dalam politik tikam depan, tikam belakang, tikam rusuk dan tikam segala tikam sudah menjadi asam garam. Mahathir dan Pak Lah sendiri rasanya pernah merasai tikaman ini.

Saya bersimpati dengan Saudara Azli kerana saya sendiri selaku anggota picisan dalam parti politik pernah mengalaminya.
Syameer Firdaus said…
saya fikir artikel saudara ini ditulis dengan hati yang sangat mendalam...semoga pengajaran diperolehi dari apa luahan isi hati saudara...
C.H.E Dayat said…
salam abang.. maaf lama tak singgah, baru balik dari kampung.. entri ni sama seperti cerita/kisah saya ceritakan kpd abg di k.l dulu..

sabar ubat segala kedukaan..

www.kisahsebuahbangsa.blogspot.com
azlishukri said…
saya ingin menjawab tuduhan kononnnya saya melaga2kan kawan...saya ingin bertanya, apakah mereka ingat bahawa dalam mesyuarat itu hanya ada seorang sahaja yang hadir? apakah orang lain yang hadir itu semua buta dan tuli untuk mendengar apa2 yang telah diperkatakan? nak jumpa bersemuka? jangan harap lagi, berapa kali sms yang telah saya kirimkan sebelum ini, sebelum saya tinggalkan DBP kepada dia untuk bertemu, tetapi ditolak mentah2, jangan masih mahu membela orang yang bersalah, dan pura-pura untuk menunjuk baik di hadapan orang lain dalam hal ini. Tiada siapa yang menghasut atau menyampaikan berita palsu, semua orang dengar apa yang telah dia cakapkan di dalam mesyuarat - semua orang terkejut. bukankah lebih baik diam sahaja? tak perlu babitkan nama saya? Bos tanya lain, dan dia jawab lain...tolonglah jangan berpura-pura lagi, saya tidak melaga2kan sesiapa, tetapi oleh kerana terlalu ramai yang hipokrit, maka kebenaran terpaksa diluahkan, terpulang sama ada mahu menerima atau sebaliknya. Tuhan lebih tahu. wallahualam.
fital said…
Pesan nenek saya kalau berkawan janganlah terlalu rapat.Berkawanlah sekadarnya.Janganlah terlalu percaya kepada sahabat/kawan kerana telah banyak terjadi kepercayaan sering dikhianati oleh sahabat sendiri.
Anonymous said…
Sdra Azli,

Bak tikam menikam ni Tun Dr. Mahathir lebih teruk lagi. Beliau telah ditikam oleh kedua-dua Timbalannya.

Tapi lihat apa yang telah terjadi kepada mereka?

Sehabat sejati kepada Tun DR.M ialah seperti TS Sanusi Junid, Dato Rais Yatim, Dato Aziz Shamsuddin, TS Muhyiddin Yassin

Allahyarham TS P.Ramlee telah menceritakan tentang sahabat dalam filemnya bertajuk "Keluarga 69".

-zajbiz-
mrs shaifull said…
bila membaca entry ini, pada satu perenggan mengingatkan apa yg terjadi pada saya.

saya bersahabat baik dgn staf yg dibenci oleh bos (i'm his pa). dan akhirnya saya terlontar ke tempat yg paling jauh dan sepi dr sisi bos, sbbnya pada fikirannya saya tidak sehaluan dgn dia, dan saya akan menikamnya dr belakang, padahal benda itu tidak pernah berlaku.

dan saya redha dgn perlakuan bos itu kepada saya, sbbnya saya tidak melanggar prinsip hidup saya.
Unknown said…
CT Noramiza yang budiman,
Perkara seperti yang saudari alami juga berlaku di bahagian M, kalau ada seorang yang dibenci bos, maka jangan ada sesiapa pun boleh berkawan dengan orang itu, jika tidak anda akan dicap 'penderhaka' + 'pengkhianat' dan anda juga akan dibenci tanpa sebab.
Kepada pembaca blog ini yang berpangkat 'bos' di mana-mana, usahlah mengamalkan mentaliti primitif ini. Ia akan merugikan organisasi dan syarikat kita sahaja, kalau dibiarkan rasa benci itu bersarang dan bernanah di hati nescaya akan lingkuplah syarikat itu atau organisasi itu dipandang hina oleh masyarakat luar. Jangan ingat bau busuk itu tak dapat dihidu orang kalau ia sudah ditakung buat sekian lama dan staf-staf anda juga turut menambahkan lagi bau busuk itu ...
Usahlah menuduh kami yang meninggalkan komen di blog ini sebagai orang yang 'sakit jiwa', cermin-cerminlah diri tu dahulu siapakah yang lebih sakit dan lebih kritikal, dan memerlukan rawatan segera!
telah lama saya menunggu penulisan sebegini daripada suara hati azli,

"salam penuh kaseh sayang" itu terwujud di dalam segala maksud cerita segala-galanya,

salam hormat kepadamu azli,
salam penuh kasih sayang.
dengarkanlah, renungkanlah, dengarkanlah dan renungkanlah secara perlahan-lahan...
Friday, May 1, 2009,

terima kasih saudaraku, terima kasih kepada segala-galanya,

salam hormat.
azlishukri said…
terima kasih zul rahman
Anonymous said…
menjadi pengajaran berguna
razmi5 said…
saudara azli

nampaknya kita telah terkena dengan orang yang sama..

memang pedih,sahabat tapi telah mengkhianati kita

kehidupan harus diteruskan
ada rahmat disebaliknya

Pilihan Pembaca

Lagi Kisah Siti Nurhaliza : Mana Perginya Produk CTea?

Lagi Kisah Siti Nurhaliza Mana Perginya Produk CTea? Oleh Satu Hala (Malaysia Instinct) Inilah antara benda-benda yang buat sakit hati dengan orang kaya Melayu ni. Datuk K sanggup perabis RM66,550 untuk beli nombor plate KCT 1 untuk isteri tercinta, Datuk Siti Nurhaliza. Kononnya cintan maut habislah tu kan. Tak tahulah kot-kot Rozita Che Wan yang dulu orang kata dapat Mercedes dari Datuk K (lepas dah kahwin dengan Siti) pun akan dapat nombor plate yang sama. Gasaklah hal Rozita Che Wan tu. Yang penulis tertarik nak tulis ialah sikap orang macam Datuk K dan Siti Nurhaliza. Parasit adalah perkataan paling tepat. Tahu tak Siti Nurhaliza adalah pemohon pinjaman Tekun untuk bisnes barang solek Simply Siti. Kalau tak percaya, pergilah cek dengan Tekun. Pasti nama Siti akan terpacul. Sakit hati betul penulis dengan orang-orang macam ini. Dah tahu duit banyak, gunalah duit sendiri untuk berniaga, tak pun pinjamlah bank. Gi pinjam dengan Tekun tu buat apa? Mentanglah bayar

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil