Skip to main content

MONOLOG AZLI SHUKRI
Bab 4 : Jalan Lain Ke Neraka



Saya mendapat begitu banyak respon ekoran tulisan saya yang agak keras mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri Monolog Azli Shukri Bab 3 baru-baru ini. Yang pelik dan aneh ialah, ramai yang seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan bahawa Anwar Ibrahim juga adalah manusia biasa, seperti kita. Dia juga tidak terlepas daripada sebarang kesalahan dan kesilapan. Keadilan bukan hak mutlak Anwar Ibrahim, kebenaran juga bukan hak mutlak Anwar Ibrahim. Keadilan dan kebenaran merupakan hak semua orang. Jika Tun Dr Mahatir Mohamad, pada suatu ketika dahulu pernah dituduh sebagai MahaFiraun, maka apakah bezanya pula dengan Anwar Ibrahim yang jelas-jelas tidak peduli tentang ketuanan Melayu dan kontrak sosial yang menekankan hak keistimewaan orang-orang Melayu agar terus terpelihara? Seperti yang kita sedia maklum apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin menyerahkan 400 hektar tanah kepada sembilan buah sekolah persendirian Cina di Perak, ramai yang melihat ia merupakan keputusan DAP dan bukan keputusan MB sendiri. Menurut Profesor Datuk Dr. Amri Baharuddin, Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, beliau percaya keputusan tersebut merupakan keputusan DAP, “PKR dan PAS tidak boleh berbuat apa-apa, melainkan terpaksa akur dengan keputusan tersebut. Menteri Besar Perak pula, hanya boneka kepada parti tersebut”. Sambungnya lagi, “kedudukan Muhammad Nizar dalam kerajaan Perak boleh diibaratkan sebagai ‘Telur Dihujung Tanduk’, ini semua mainan politik dan Muhammad Nizar tidak boleh berbuat apa-apa jika mahu kekal sebagai Menteri Besar Perak”.




Tidak sampai enam bulan mentadbir Perak, PKR dan PAS mengkhianati orang Melayu, sedangkan orang Melayu jauh lebih ramai penduduknya di negeri tersebut. Cuba kita bayangkan, apa yang akan terjadi kepada tanah-tanah di seluruh negeri Perak, jika PKR, PAS dan DAP berkuasa untuk 10 tahun lagi? Jika UMNO kononnya dituduh menghancurkan negara yang sudah merdeka selama 50 tahun ini, maka bolehlah saya katakan pula bahawa PKR, PAS dan DAP hanya memerlukan lima tahu sahaja untuk menghancurkan seluruh kontrak sosial dan mengizinkan negara ini ditadbir dalam bentuk hukum rimba. Malah, negara asing juga, khususnya Amerika Syarikat bertepuk tangan kerana proksi mereka berjaya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baru. Hujahnya mudah, ideologi yang diguna pakai oleh PKR, PAS dan DAP adalah berlandaskan kepada persamaan semua kaum, tiada lagi mengikut realiti sesuatu kaum. Menurut pembangkang, kekayaan Malaysia perlu diberi secara sama rata, tanpa mempedulikan realiti sesuatu kaum. Jika orang Melayu masih lemah, biarkan sahaja, hanya yang kuat sahaja boleh hidup. Begitulah dengan kata yang mudah dan tepatnya. Dan jika bangsa lain kuat, walaupun mereka tidak ramai, maka merekalah yang harus memerintah negeri atau negara ini. Tiada lagi istilah siapakah penduduk asal negara ini. Semuanya adalah sama di sisi mereka. Konsep yang diguna pakai oleh pembangkang ini adalah seiring dengan cara orang Amerika mengetepikan kaum Red Indian, penduduk asal negara tersebut.




Jika UMNO dan BN dituduh mengamalkan rasuah dan penyelewengan kuasa. Apakah nama untuk kita berikan kepada PKR, PAS dan DAP yang jelas hanya mahukan kuasa dan memporak-perandakan negara ini, dengan pelbagai ideologi yang berbeza-beza dan hanya mengorbankan kontrak sosial yang sekian lama telah terbina? Apakah kita menyangka, bahawa dalam kerajaan campuran PAS, DAP dan PKR, maka rasuah dan penyelewengan kuasa tidak akan berlaku sama sekali? Saya khuatir mereka jauh lebih teruk daripada pentadbiran kerajaan BN sebelum ini. Seperti yang saya tanyakan selalu, apakah kita yakin DAP mampu ditunduk dan dikawal oleh PAS? Apakah PAS dengan ketokohan Nik Aziz dan Haji Hadi mampu mengalahkan ideologi yang dipegang oleh Karpal Sing dan Lim Kit Siang? Ataupun PAS akan dipijak dan dimain-mainkan oleh DAP untuk memenuhi agenda politik sempit mereka yang dipanggil Malaysia Malaysian itu? Semua ini telah menyebabkan Malaysia bertambah kucar-kacir dan tidak akan berlaku lagi keadilan kepada semua kaum. Dan sesungguhnya, Malaysia sudah tergelincir jauh daripada landasannya yang sebenar – kerana kita telah memilih parti yang tidak secocok dari segi fikrah dan asas perjuangan mereka, iaitu PAS, PKR dan DAP.




Dan generasi akan datang, akan menyalahkan nenek moyang mereka lalu bertanya, mengapakah Malaysia menjadi sebegini rupa – mengapakah kami, orang Melayu tidak ada lagi keistimewaannya? walaupun negara ini merupakan tanah air kami yang asal. Salah siapakah ini? mengapakah kami, orang Melayu semakin hari semakin terpinggir, malah lebih teruk lagi selepas pakatan rakyat memerintah? Mengapa kami, orang Melayu mesti begitu banyak bertolak ansur dan berkongsi akan hak-hak kami yang telah terjamin di sisi perlembagaan?Akhirnya, kubur kita akan dikencing oleh generasi akan datang, kerana kebodohan kita sendiri yang lebih gemar mengikut rasa hati dan tidak berfikiran jauh. Kita mengharapkan PKR, DAP dan PAS mampu mentadbir negara ini dengan lebih baik, tetapi rupa-rupanya, mereka membawa kita jalan lain ke neraka!

Comments

Cheguman said…
Demang lebih risau lagi jika anak-cucu kita tak kira melayu, cina, dan india memaki kita yg berebut kuasa sehingga mereka tidak lagi mempunyai negara yg aman utk didiami.
mummybosan said…
Keberanian Saiful bersumpah laknat TIDAK membuktikan dia di pihak yang benar. Keengganan DSAI bersumpah laknat TIDAK membuktikan dia bersalah. Buat masa ini hanya mereka dan Allah swt sahaja yang tahu kebenarannya. Oleh yang demikian jangan pula kita mendakwa kita memiliki sifat MAHA MENGETAHUI dengan menjatuhkan hukum ketika ini.
AL-BIMA SAKTI said…
salam;
kalau terlalu banyak kita bertolak ansur,lama-lama kita yang akan beransur-ansur...

bangsa yg lemah, bangsa yg mudah disergah.

apa yg saya takut, kerana kepentingan politik pribadi, maruah dan hak bangsa semakin banyak tergadai...
azlishukri said…
Demang - saya sependapat

mummybosan - mengikut Islam, sesiapa yang sudah bersumpah mubahalah, dia sudah dikira sebagai seorang yang menang dari segi moral. dan ketika ini hanya Saiful yang berani. bermaksud setakat ini pihak saiful berada di kedudukan yang benar dalam usaha mempertahankan kenyataannya.

al-bima sakti - saya juga rasa mcm itu, kita terlalu takut untuk mempertahankan hak kita.
TICO said…
Salam Kunjung balas

Sdr Azli Shukri, tahniah kerana rajin menulis. Pada usia yang muda anda telah menghasilkan buku. Bagus.

Cuma komen saya satu sahaja. Bagi memudahkan bacaan dapat kiranya saudara menjadikan perenggan lebih kecil supaya senang apabila kita scroll down.
azlishukri said…
terima kasih tico, nasihat itu serta merta saya akan laksanakan.
buku itu saya tulis ketika saya berusia 24 tahun.
Rahimin Idris said…
ok2. aku memang tak pernah fanatik kepada mana2 politikus. anwar pun asalnya orang umno juga. itu kenyataan.
orang melayu dibawah umno/bn pun susah nak bangkit. bawah p.r ni lagi teruk aku rasa.
soal melayu, aku rasa melayu akan selamat selagi menjaga islam sebab melayu selamat kerana islam, bukan islam selamat kerana melayu. bukankah sesebuah negara islam tu akan runtuh bila pemimpin2nya mula menjauhkan diri dari ajaran islam?
azlishukri said…
rahimin idris - betul saya setuju.
mummybosan said…
Antara DSAI dan Saiful, kedua2nya mummy belum percaya. Bawa mereka ke mahkamah. Bicarakan secara telus, keputusannya akan diterima. Namun KEBENARAN TETAP MILIK YANG MAHA MENGETAHUI.
Zaid@Zaidel said…
Bercakap mengenai kaum dalam sebuah negara seperti Malaysia memang suatu yang sukar. Amerika Syarikat negara yang ego dengan kuasanya pun tidak dapat lari daripada hakikat perkauman walau hanya dua kaum yang ketara, iaitu hitam dan putih. Itu belum ditambah lagi permintaan orang asli Red Indian. Apatah lagi kita di Malaysia ini. Yang jelas, pada pendapat saya bila kuasa kepimpinan Melayu sendiri mulai lemah maka tiada apa yang boleh kita harapkan melainkan kita sendiri berusaha mempertahankannya dengan apa cara sekalipun, asalkan tidak melangar undang-undang negara. Dalam konteks kaum ini saya suka bila mambaca kenyataan Tok Guru yang pernah disiarkan dalam akhbar sebelum ini.
azlishukri said…
begitulah zaidel dan mummy, saya setuju.

Pilihan Pembaca

Semua Bloggers Pro-Mukhriz Diminta Memberi Sokongan Moral

MEMBERI SOKONGAN MORAL KEPADA DATUK MUKHRIZ MAHATHIR Saya sudah katakan, bahawa Khairy mempunyai masalah, dan terlibat dalam "isu" yang selama ini dilaung-laungkan oleh pihak akar umbi, apabila lembaga disiplin memberi amaran kepada Khairy dengan sebegitu rupa, sebentar tadi apakah kita masih mahu memilih Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia? Saya sudah berkali-kali menjelaskan dalam blog saya ini, dari tahun lepas lagi bahawa Khairy telah gagal sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO, dan sekarang buktinya telah jelas. Saya menyeru kepada semua ahli UMNO memberi sokongan kepada Datuk Mukhriz Mahathir sebagai KETUA PEMUDA UMNO yang baharu, Dan sekarang dengan secara rasminya, saya membuka peluang kepada seluruh bloggers meletakkan komen sokongan anda ke blog ini secara besar-besaran, sebagai satu usaha menyokong Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Ketua Pemuda. Amaran , mana-mana komen yang cuba membuat provokasi, akan dipadam, hanya komen yang memberi sokongan moral kepada Datuk Mukh...

Mahathir Belum Mati

Do You Still Remember Me? Pada hari ini, semua suratkhabar perdana menyiarkan gambar Tun Mahathir berdiri bersama-bersama dengan saf kepimpinan baru UMNO yang dilantik oleh para perwakilan, dan seluruh rakyat khususnya orang-orang Melayu dengan secara tiba-tiba "dikembalikan" semangat mereka untuk bersungguh-sungguh memenangai ketiga-tiga pilihan raya kecil yakni di Bukit Gantang, Batang Ai dan Bukit Selambau. Ribuan penyokong UMNO dan BN mengiringi calon BN di Bukit Gantang, iaitu Ismail Safian ke pusat penamaan calon - rasanya belum pernah semangat sebegini rupa yang ditonjolkan oleh para penyokong UMNO dalam mana-mana pilihan raya kecil - malah tidak syak lagi , BN mampu merampas kembali kerusi parlimen tersebut. Jelaslah, kehadiran Tun Mahathir di Persidangan UMNO semalam , dan janjinya untuk kembali kepada UMNO, sekurang-kurangnya telah menyunting semangat baru dalam kalangan ahli UMNO, untuk melihat parti tersebut kembali pulih dan bertenaga semula, malah untuk seketi...

Tan Sri Isa Samad 2009 : Karakatua Muntah Lagi!

Tan Sri Isa Samad 2009 Karakatua Muntah Lagi Pemimpin Umno Bahagian Telok Kemang umumnya ingin melihat mantan menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad bertanding sebagai calon BN pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang. Ketua Pemuda bahagian Mohd Faizal Ramli berkata, Isa yang mengetuai bahagian itu, ingin dicalonkan lagi kerana beliau masih dihormati di kalangan pengundi. "Rakyat masih menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan beliau," katanya. Mohd Faizal menegaskan pilihanraya kecil kali ini bukan boleh diambil mudah kerana BN telah tewas di tujuh daripada lapan pilihanraya kecil sebelum ini – satu daripadanya, di Penanti, tidak ditandingi. "Ini bukan pilihanraya main-main, ia adalah satu pilihanraya yang kritikal," katanya yang juga timbalan pengarah jentera pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang. "Dan ini adalah kubu kuat BN yang perlu dipertahankan, malah majoriti perlu ditambah agar Umno dan BN masih relevan dan masih diterima oleh rakyat. Bahagia...