Mencari Mahathir Baru
Surat khabar tabloid popular, Era Baru keluaran 2 Jun 2008, mendedahkan Penasihat parti Gerakan yang juga bekas Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Tun Dr. Lim Keng Yaik telah menyelar UMNO yang kononnya tidak berlaku adil kepada Gerakan, MCA, dan MIC dalam Barisan Nasional. Beliau menyifatkan mereka seolah-olah sebagai “peminta sedekah”. Keng Yaik berkata demikian ketika ditemu bual oleh sebuah akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily baru-baru ini. Beliau juga mendakwa kekalahan Gerakan dalam PRU ke-12 adalah berpunca daripada sikap UMNO yang sombong dan isu perkauman yang sering kali dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.- Era Baru
Ulasan Saya : Pertemuan saya dengan Tun Dr. Lim Keng Yaik pada bulan September tahun lalu, benar-benar mempunyai signifikan yang tersendiri. Beliau merupakan salah seorang pemimpin Gerakan yang paling lama berkhidmat sebagai Menteri Kabinet. Lantang bersuara dan kadang kala seolah-olah tidak mempedulikan perasaan orang lain. Kenyataan Keng Yaik di atas ada kaitan dengan senario politik Malaysia muktahir ini. Pelbagai tuntutan daripada kaum Cina dan India kita dengar ketika ini, di samping DAP sudah semakin berani memainkan isu panas membabitkan Ketuanan Melayu dan Hak-hak Istimewa Orang Melayu yang selama ini cukup sensitif untuk dimainkan oleh sesiapa pun. Inilah yang sedang kita hadapi ketika saat-saat politik orang-orang Melayu semakin lemah dan tidak bermaya.
Saya mungkin mempunyai sedikit pandangan yang berbeza dalam soal tersebut. Saya tidak menyalahkan pemimpin-pemimpin Cina atau India yang menuntut pelbagai hak dan kelebihan kepada pemimpin-pemimpin UMNO. Hal ini adalah normal, apabila kepimpinan orang-orang Melayu, khususnya UMNO semakin lemah. Lemahnya pemimpin-pemimpin UMNO akan diambil kesempatan oleh orang lain untuk menuntut yang bukan-bukan sehingga melepasi garis sempadan sensitiviti kaum yang telah terbina lama. Di mana-mana sahaja, jika seseorang Ketua Negara itu lemah, maka akan wujud anasir-anasir lain yang akan cuba mendominasinya. Hal inilah yang berlaku dalam kepimpinan tertinggi UMNO sehingga mengalami kekalahan yang begitu teruk dalam PRU ke-12. Seseorang pemimpin yang lemah, akan cenderung melantik menteri-menterinya yang lemah dan bermasalah juga. Lantaran itu, seluruh struktur kepimpinannya turut menjadi lemah dan tidak akan berupaya menangani isu-isu semasa yang semakin mencabar dan menuntut idealisme yang tinggi.
Keng Yaik merupakan sebahagian kecil daripada pemimpin-pemimpin Cina yang bersuara lantang, tetapi apakah beliau akan bersuara lantang jika UMNO menang besar dalam PRU ke-12 baru-baru ini? Beliau tidak akan berani jika pemimpin-pemimpin UMNO kuat dan bijaksana serta mendapat sokongan rakyat. Malaysia sebenarnya tidak memerlukan pemimpin yang begitu banyak dengan retorik dan tidak menepati janji-janji yang telah ditaburkan. Malaysia akan menjadi lemah dan dijajah jika ditadbir oleh pemimpin seperti Abdullah Ahmad Badawi (AB) atau Anwar Ibrahim (AI).
Kedua-dua jenis pemimpin ini adalah lemah, AB dan AI merupakan pemimpin yang lemah dari segi idealisme, misi dan kebijaksanaan. Walaupun secara zahirnya AI seperti pemimpin besar, tetapi kebijaksanaannya tidak terserlah. Ikutilah blognya, tiada apa-apa idea yang meyakinkan kita bahawa beliau mampu memimpin Malaysia dengan lebih cemerlang daripada sebelumnya. Prinsipnya sentiasa berubah-rubah, bahkan pendiriannya yang samar-samar terhadap Singapura dan Amerika Syarikat menambahkan lagi kesangsian siapakah yang sebenarnya AI ini? Apakah beliau bersifat takiyyah dalam soal ini? Hanya Allah yang mengetahui.
Sewaktu saya bertemu Keng Yaik, beliau cukup berani memberitahu saya bahawa, sepanjang beliau menjadi menteri, beliau tidak nampak pemimpin-pemimpin UMNO menolong bangsanya sendiri, sebaliknya mereka lebih mementingkan diri sendiri. Kenyataan ini membuktikan bahawa terdapat begitu banyak pemimpin-pemimpin UMNO yang lemah jiwa dan semangat perjuangannya. Jika hal ini berterusan, tidak mustahil pada suatu hari nanti, negara Malaysia tercinta ini bakal dilelongkan kepada bangsa asing. Tun Mahathir sudah terlalu letih mengingatkan orang-orang Melayu tentang soal ini. Beliau tidak mampu mengawal segala-galanya dahulu. Tetapi, itu bukanlah alasan untuk kita tidak melakukan transformasi di dalam UMNO. UMNO memerlukan perubahan yang besar, agar strukturnya yang lemah kini, dapat dipulihkan kembali, sekaligus menarik semula sokongan orang Melayu dan dihormati oleh kaum lain.
Sama ada kita sedar atau tidak, Malaysia sebenarnya sedang “sakit” untuk mencari seorang pemimpin yang benar-benar mampu mengawal panasnya rasa perkauman, dan pada masa yang sama turut disegani oleh dunia Barat dan dihormati oleh Umat Islam. Tanggungjawab kita kini adalah mencari seorang Mahathir Baru, yang lahir daripada hati yang ikhlas dan perjuangan yang bermaruah.
Comments
I like the way you interpreting your articles. It is very nice and details. It is very interesting and easy to understand as well:)
mana pemimpin2 bersikap mengisi "poket" sendiri dari pada membantu apa pun rencana pembangunan tidak akan berjalan baik.Yang penting "KESUNGGUHAN" niat yang benar2 ikhlas mahu membantu dan membangunkan bangsa pasti akan wujud jika setiap pemimpin menjadikan "tanggungjawab" dan "amanah" sebagai pegangan mereka...
Izinkan saya untuk menumpang di blog saudara dalam memberi pandangan terhadap pencarian Mahathir Baru.
Saya membuat kesimpulan bahawa kebanyakan pemimpin-pemimpin UMNO pasca Mahathir, samada yang pernah bersama mahupun yang menjadi lawan politik, seolah-olah ingin menonjolkan bahawa idealisme mereka lebih baik dari TDM. Saya memandang seolah-olah ingin menunjukkan kepada kita semua bahawa mereka adalah bebas dari bayangan TDM.
Namun, yang terserlah ialah kelemahan utama mereka, menurut hemat saya iaitu kegagalan mengurus krisis. Hal ini merangkumi pencegahan terhadap terbitnya isu-isu baru disamping kegagalan menyediakan formula penyelesaian krisis. Berpunca dari kelemahan ini, ia telah menyumbangkan keberantakan, kegelisahan malah kemarahan disemua peringkat masyarakat.
Hakikatnya, saya amat pesimis dengan kemunculan Mahathir baru, dikalangan pemimpin-pemimpin yang ada, termasuk dari parti pembangkang selagi mereka tidak mahu belajar dan mengambil iktibar dari apa yang telah TDM lakukan. Bagi saya, TDM adalah istimewa kerana telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t dengan ketajaman akal fikiran (seperti dinyatakan oleh TG Nik Aziz). Beliau secara semula jadi memiliki kelebihan itu dan telah mencoretkan misi dan visi beliau (walau pun tidak secara spesifik) melalui 'Malay Dilema',sedekad sebelum beliau menjadi PM.
Mungkin ada yang berkata bahawa 'Mahathirisme' telah berakhir. Saya tidak pasti, terpaculnya kata-kata itu berpunca dari kegagalan TDM dalam memacu negara atau lebih terdorong oleh kecemburuan sanubari terhadap apa yang telah TDM laksanakan. Namun adakah mereka menyedari bahawa 'Mahathirissme' telah sebati pada majoriti kalangan kita dan kata-kata itu akan memakan diri mereka sendiri.
Wassalam.
Kini Allah uji kita pula dengan seorang lagi pemimpin yang katanya mencari Al-Ghazali dan As-Shafie... Tetapi lupa kepada rakyat, dan lupa untuk melihat keadaan orang-orang susah...
Saya sungguh-sungguh tak paham apa yang berlaku kepada ekonomi negara sebenarnya... Kita tak pernah putus bekalan minyak.. Kenapa harga minyak perlu naik? Lainlah kalau bekalan minyak negara habis, maka perlulah naikkan harga minyak.. Atau kalau bekalan beras naik dan kena import masuk beras, perlulah beli beras dipasaran luar.. Kita ade minyak kat Malaysia, dan bekalan minyak masih mencukupi, kenala berkongsi susah dengan rakyat...
Saya secara peribadi berpendapat bahawa dasar pendidikan dan peraturan berpolitik dalam negara ini sendiri menjadi penyebab utama kepada ketandusan ini.
Akta Kolej dan Universiti terutamanya telah secara langsung mematikan aktiviti politik pelajar-pelajar (bakal pemimpin)ini untuk turut serta bergiat dalam memberi pandangan dan kritikan terhadap isu-isu semasa.
Peraturan yang menghalang penjawat awam kelas A untuk berpolitik juga menyumbang kepada ketandusan kepimpinan ini. Bayangkan lah berapa ramai pensyarah-pensyarah atau pegawai kerajaan yang berkebolehan tidak dapat diketengahkan? Apabila mereka pencen baru nak bergiat cergas dalam politik, saya kira masanya dah agak lambat...sama-sama lah kita fikirkan. Wassallam.
Walau pun saya peminat AI, saya bersetuju beliau sukar untuk di fahami.
namun saya merasakan PAS adalah parti yang layak mengeluarkan pemimpin2 yang akan memimpin negara Malaysia ini mengantikan UMNo, bukan PKR,sebuah parti baru yang bercelaru dan tiada wawasan. Wawasannya adalah ANWAR IBRAHIM.
www.muhammadridwanto.wordpress.com