Skip to main content

Penulis bersama Mufti Perlis SS Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Ikuti wawancara saya bersama Sahibul Samahah (SS) Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Negeri Perlis baru-baru ini.


Ekonomi ialah Senjata Zaman Ini.”


Apa pandangan Dr. terhadap ekonomi Islam yang semakin diterima oleh masyarakat antarabangsa, khususnya sejak kewujudan perbankan Islam dan sekarang pula kelahiran industri halal?


Penerimaan ini ada dua sebab. Pertama, kesedaran dalam kalangan umat Islam tentang pentingnya mereka mengendali atau berurusan dalam soal ekonomi dan makanan harian secara halal. Hal ini menunjukkan, kesedaran Islam semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Islam, terutama dalam soal ekonomi yang biasanya tidak begitu diberi perhatian.


Banyak yang prihatin tentang makanan halal, walaupun kadangkala seseorang itu tidak solat sekalipun, tetapi masih dia mencari yang halal. Namun demikian, soal perbankan atau soal riba secara lebih khusus, masih banyak yang alpa. Apatah lagi apabila menjejaskan keuntungan ekonomi seseorang.


Apabila seseorang sanggup meninggalkan peluang keuntungan disebabkan oleh faktor riba atau transaksi yang tidak diizinkan syarak, lalu bersusah payah mencari alternatif halal, hal ini menunjukkan adanya unsur keimanan yang kuat. Hal ini patut kita hormati.


Lagipun, insan itu sendiri akan sedar bahawa harta atau kekayaan semata-mata belum tentu dapat membawa seseorang kepada kedamaian hidup, tanpa diiringi dengan unsur keberkatan dan sakinat (ketenangan) daripada Allah. Kesedaran ini membantu keprihatinan masyarakat terhadap soal halal ini. Ini hasil kempen dakwah Islamiah yang dilakukan oleh pelbagai pihak.


Kedua, penerimaan produk halal ini, terutamanya dalam hal perbankan, kerana manusia ini sekalipun tidak Muslim dia inginkan alternatif yang lebih adil dan terhindar daripada unsur penindasan. Kalau isu makanan, soal kebersihan yang dititikberatkan. Membenci penindasan dan inginkan kebersihan merupakan perkara yang dikongsi oleh setiap insan normal tanpa mengira batasan bangsa dan agama.



Apakah cabaran utama dalam membangunkan industri halal ini pada pandangan Dr.?


Saya lihat ada dua cabaran besar dalam hal ini. Pertama, sejauh manakah operasi yang menggunakan nama Islam dalam industri ini benar-benar mencerminkan keharmonian agama ini, dari segi zahirnya dan spiritualnya juga. Hal ini terutamanya dalam masalah perbankan.


Adakah unsur penindasan yang ditentang oleh Islam masih terdapat dalam operasi yang dijalankan? Jangan hanya dari segi zahir akadnya sahaja kelihatan halal, tetapi nilai-nilai penindasan yang dimusuhi Islam masih wujud dengan jelas. Akhirnya, Islam hanya dipergunakan untuk kepentingan.


Kedua, dalam banyak keadaan kita masih menjadi pengguna, bukan pengeluar. Maka, akhirnya kita hanya sekadar mampu mengesahkan keluaran orang lain sahaja. Dalam bahasa lain, kita hanya makan kuah, isinya dipungut oleh orang lain. Saya teringatkan kata-kata Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi dalam bukunya Maza khasira al-`Alam bi Inhitat al-Muslimin. Beliau mengkritik dunia Arab dengan menyatakan,


“Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa-apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya … sesungguhnya dunia Arab tidak dapat memerangi Barat - jika keadaan memerlukan demikian - selagi mereka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Sungguh memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain”.


Adakah kewujudan dan perkembangan industri halal ini menjadi titik tolak terhadap penerimaan masyarakat bukan Islam terhadap sistem ekonomi Islam pada masa akan datang?


Saya rasa dalam soal ekonomi, penerimaan manusia kepada sesuatu sistem lebih cenderung terhadap faktor untung rugi. Sekian lama orang Islam berpegang pada sistem kapitalisme dalam ekonomi tidaklah bererti mereka beriman dengan kapitalisme. Namun demikian, oleh sebab hanya itu ruang yang ada, maka mereka mengambil jalan mudah atas kelemahan diri sendiri.


Lantaran itu, kita ingin agar penggunaan masyarakat antarabangsa terhadap sistem ekonomi Islam ini berupaya membuka kesedaran mereka kepada keindahan Islam. Oleh sebab itu, pihak yang beroperasi atas nama sistem Islam ini perlulah menonjolkan unsur-unsur kerahmatan Islam tersebut secara jelas.


Di samping kita berniaga, jangan lupa meletakkan tujuan dakwah dan cita-cita dalam mempamerkan imej murni Islam kepada dunia. Jika hal ini berlaku, kita akan memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat. Kita buktikan kepada mereka bahawa terdapat perbezaan yang nyata antara sistem yang berpandukan wahyu dengan sistem yang hanya memikirkan untuk keuntungan semata-mata.



Apakah pandangan Dr. terhadap prospek masa hadapan industri halal, khususnya di Malaysia, yang kini terkenal sebagai pusat halal di rantau ini?


Ekonomi ialah senjata zaman ini. Saya lebih memikirkan pembangunan ekonomi umat Islam itu sendiri, bukan soal halal semata-semata. Jika sekadar halal, saya fikir negara yang bukan Islam pun boleh berjaya menjadi pusat halal jika mereka lebih efisien dalam kerja mereka.


Apatah lagi jika kita berfikiran sempit atau lebih cenderung mengharamkannya, sedangkan prinsip Islam cenderung menghalalkan. Oleh hal yang demikian, pihak lain akan mengambil kesempatan. Bagi saya, yang penting penekanan kepada produk Muslim halal demi menjanakan ekonomi kita.


Terdapat beberapa faktor yang boleh membantu hal ini. Antaranya, yang pertama isu halal haram. Isu mengenai makanan tidak halal telah menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam. Hal ini disebabkan oleh umat Islam gagal berdikari dalam menghasilkan makanan mereka. Jika kesempatan ini diambil agar memastikan keselamatan umat Islam dalam soal makanan, maka kita menggesa mereka berdikari dan mampu menjadi pengeluar, bukan sekadar pengguna.


Yang kedua faktor kuasa membeli yang tinggi. Jumlah umat Islam yang banyak membawa kepada kuasa membeli yang tinggi. Hal ini demikian kerana jumlah umat yang banyak menjadikan keperluan barangan dan makanan mereka tinggi juga. Jika kuasa membeli ini dimanfaatkan, tentulah berlakunya kitaran ekonomi yang kuat dalam kalangan masyarakat Islam tempatan dan antarabangsa.


Yang ketiga faktor ketegangan yang wujud. Ketegangan yang wujud sekarang antara blok Barat dengan umat Islam boleh membantu ke arah mewujudkan umat yang lebih memiliki jati diri dan berdikari. Jika pelancong Arab banyak yang enggan ke Barat lagi, mengapa tidak kita jadikan mereka juga menggunakan dan menghasilkan barangan negara Islam.


Jika ukhuwah Islamiah itu benar-benar dapat digilap sehingga peringkat penghayatan dalam bidang ekonomi, umat Islam mempunyai potensi menjadi umat yang berdikari dan mempunyai jati diri dalam ekonomi. Ekonomi ialah senjata baharu yang mempunyai pengaruh yang besar dalam mencatur kejatuhan dan kebangkitan sesuatu bangsa. Perjuangan menegakkan ekonomi yang bersifat membina kekuatan umat ialah tanggungjawab setiap Muslim di zaman ini.



Bagaimanakah pula dari segi persaingan dalam industri halal ini? Apakah hal ini akan menyebabkan usahawan Islam terpinggir jika pengusaha bukan Islam memainkan peranan mereka dengan lebih efektif?


Seperti yang kita maklum, pembabitan umat Islam di tanah air kita dalam bidang perniagaan masih dalam keadaan yang tidak kukuh. Peniaga Muslim menghadapi cabaran yang kuat dari segi persaingan. Agak sukar bagi kita mendapati pasar raya besar di Malaysia dimiliki Muslim atau memasarkan barangan keluaran Muslim. Hal ini berlaku disebabkan oleh faktor tertentu, mungkin satu daripadanya bersifat perkauman yang ditunjukkan oleh mereka.


Di samping itu, jumlah kedai dan produk dimiliki umat Islam terhad juga. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar kalangan bukan Muslim membeli barangan keluaran umat Islam. Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di gerai, kedai dan pasar raya yang dimiliki saudara Muslim mereka sendiri. Keadaan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam tidak membantu membeli produk Muslim.


Di peringkat antarabangsa pula, negara Islam masih lagi bergantung pada dunia Barat. Inilah faktor menjadikan dunia Islam dayus terhadap Barat. Banyak bahan mentah dimiliki umat Islam, terutamanya minyak, tetapi masih gagal untuk menjadikan dunia Islam blok yang digeruni. Kita masih lagi gagal untuk mengujud kesatuan perdagangan dalam dunia Islam.


Dalam keadaan sebeginilah umat Islam dalam semua peringkat individu dan negara dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan produk keluaran Muslim yang berkualiti ialah kewajipan agar kita bebas dan tidak bergantung pada orang lain. Tanggungjawab membeli produk Muslim atau membeli di kedai dan pasar raya yang dimiliki orang Islam ialah kewajipan agar tanggungjawab tersebut berjaya disempurnakan.


Bagi peringkat antarabangsa, berdagang sesama negara Islam ialah kewajipan kerajaan Islam yang ada. Kita mesti insaf bahawa akidah Islam yang diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah mewujudkan rangkaian ikatan persaudaraan Islam yang kukuh sesama kita. Berdasarkan akidah yang teguh ini jugalah telah menjadikan umat ini dahulunya bergerak seiring secara bermatlamat mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya.


Pergerakan itu berlaku atas perasaan tanggungjawab yang besar terhadap agama Allah demi membebaskan manusia dari kezaliman segala sistem yang wujud kepada keadilan Islam yang luhur. Segala kepentingan diri diletakkan di belakang demi kepentingan kegemilangan Islam. Inilah rahsia kejayaan umat Islam dahulu.


Apabila akidah Muslimin lemah, maka lemahlah seluruh kekuatan yang lain, termasuk dalam bidang ekonomi. Sepatutnya daripada akidah lahirnya rasa ukhuwah sesama Muslim yang menggerakkan ekonomi dan kekuatan umat. Daripada akidah yang teguh dapat dibentuk sikap bertanggungjawab terhadap seluruh strategi yang diatur demi membangunkan umat. Tanpa akidah hilanglah ikatan persaudaraan atau ukhuwah Islamiah yang menjadi penggerak kepada pembangunan ekonomi.



Bagaimanakah Rasulullah SAW dan para sahabat membangunkan ekonomi Islam pada zaman mereka, boleh Dr. huraikan secara umum?


Rasulullah SAW mengajar tolong-menolong sesama Muslim. Dalam hadis Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa-apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian, mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Dalam hadis ini, Rasulullah S.A.W. memuji sikap tolong-menolong, bantu-membantu serta perasaan mengambil berat sesama antara satu sama lain. Baginda SAW memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-Asy`ariyin yang jamin-menjamin kebajikan sesama mereka. Maksud hadis “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” adalah menggambarkan redanya Rasulullah SAW dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah.


Tolong-menolong sesama sendiri atau puak, bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan takwa tidak dianggap sebagai perkauman yang sempit. Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadis di atas: “Sesungguhnya Rasulullah SAW memerangi `asabiyyah (perkauman) yang semata-mata disebabkan oleh keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun begitu, baginda menganggap kaum al-`As`ariyin sebahagian daripada baginda. Hal ini disebabkan oleh prinsip yang sama, iaitu jamin-menjamin dan bantu-membantu dalam harta, selain membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan.”


Kalaulah sikap tolong-menolong sesama puak diizinkan dan dipuji oleh Rasulullah SAW demi kebajikan, terutamanya ketika waktu susah dan terdesak, tentulah tolong-menolong sesama Muslim dalam keadaan Islam dimusuhi dan ditindas, lebih-lebih lagi dituntut. Bahkan, tolong-menolong, bantu-membantu dan jamin-menjamin sesama Muslim dalam perkara makruf atau kebaikan ialah tuntutan al-ukhuwah al-Islamiah.


Seseorang Muslim sentiasa berusaha membantu saudara Muslimnya yang lain. Sabda Rasulullah SAW: “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Tolong-menolong membangunkan ekonomi ialah satu cara terbesar pada masa ini dalam menunaikan tanggungjawab bantu-membantu dalam menguatkan umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa ekonomi serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam sekali gus akan menjadi kuat.


Namun demikian, sekiranya ekonomi umat lemah, sistem zakat tidak berjalan dengan jayanya, kita menjadi peminta sedekah dari orang lain dan Islam akan dipandang hina. Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi umat, sehingga kita mampu berdiri dengan sendirinya, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Pandangan masyarakat dunia terhadap kita akan menjadi hambar. Adakah selepas itu kita berupaya mencanangkan bahawa Islam agama yang membina kekuatan sesuatu umat dan ketamadunannya?

Comments

salam saudara,

agak terkejut tiba-tiba saudara singgah... kita pernah kenal kah?
tidak mengapa rajin2 lah sesama kita bertukar pendapat. :-)
joharihamzah said…
Encik Azli,

Satu lagi temuramah menarik bersama tokoh terkenal di Malaysia.

Saya memang mengikuti perkembangan Dr MAZA, sejak-sejak debat dengan Atora Jabat dahulu..
(Dah ke mana Astora sekarang, dengarnya sudah jadi ejen ubat kurus!!)

Oh ya, saya harap saudara Azli dapat memberi sedikit ulasan berkaitan seruan Dr MAZA tentang cadangan mempertemukan 4 tokoh utama negara seperti yang ada di laman web beliau.

TQ
Salam,

Memang luar biasa blog Encik Azli, tak ramai yang berpeluang mendekati tokoh-tokoh hebat negara. Saya pun tumpang cemburu membaca dan melihatnya. Apa pun, ini adalah peluang terbaik untuk Encik Azli menterjemah dan mencernakan pemikiran besar tokoh-tokoh genius dan 'the towering Malays' ini kepada rakyat. Teruskan lagi 'keluarbiasaan' ini.
azlishukri said…
Salam, saudara joharihamzah, saya secara peribadi bersetuju dengan dengan cadangan Dr Maza tentang mempertemukan 4 tokoh tersebut, tetapi yang utama ialah keihklasan, jika ini dapat dilakukan, maka insyaAllah matlamatnya akan tercapai, tentang Astora Jabat tu saya kurang pasti, tetapi beliau ada membuka laman webnya sendiri.

saudara sofee, insyaAllah akan saya usahakan lebih, agar kita dapat manfaatnya bersama.
SiR KinG TiGeR said…
LI

Ape kabo? Keep up your good writting. Dah glamour SS Dr Mohd Asri ni. Aku pun syoook baca komen komen dia kat paper. Ok jumpa dilain masa.

Salam blog

DatOK ZeQ
Kelana Jaya, Selangor
salam..azli shukri,

first time, explore ur blog..very impressive..well done..u hav talent to become the 'Malaysian Top Writer'..who know?
azlishukri said…
terima kasih zam dan dato zeq..
akirasuri said…
Waaa..
Kagum saya orang-orang besar singgah blog saya tadi..

Apapun.. Salam perkenalan ya..
Blog yang menarik dan komentar yang berkesan.. :)
CikguZue said…
salam, berkunjung balas...

ooo banyaknye temuramah. tahniah.

walaupun ada byk pro dan kontranye akan pandangan2 MAZA yg merupakan kawan satu sekolah dan satu tingkatan yg lama sudah saya kenali ini, tetapi dlm hal produk halal ini saya amat2la berharap ianye dpt menembusi negara2 terutamanye ke UK ini, yg amat mendambakan makanan yg halalan tayyiba. bukan hanya untuk memenuhi kehendak perut atau ekonomi manusia tetapi juga iman dan taqwa.
Anonymous said…
hehe,terima kasih azli kerana singgah sebentar ke blog sy.siapler nuar lepas ni,sy nak demand lebih skit,ahaks!
Rizman said…
Assalamualaikum dan Salam Hormat Azli

Saya amat berterima kasih di atas komen anda di laman blog saya. Wawancara saudara bersama dengan Mufti Perlis berkenaan isu halal ini amat bagus, sedikit sebanyak ianya dapat membuka mata minda masyarakat melayu pada hari ini.

Hari ini kita lihat Melayu berpecah dek kerana fahaman politik yang sempit. Apakah tidak saudara hendak berjuangan bersama saya dan individu melayu lain ajak bersama jauhkan fahaman politik yang sempit yang sememangnya tidak ke mana?.

Bagaimana pula pandangan saudara Azli berkenaan dengan isu Melayu yang tidak bersatu dan hak-hak keistimewaan Melayu yang telah dicabul?.

Salam Hormat
azlishukri said…
salam, saudara rizman, saya memang bercadang untuk menulis berkenaan isu yang saudara kemukakan itu tidak lama lagi, InsyAllah.
Unknown said…
salam bro,

amat setuju dengan cadangan Ustaz asri.....

bila kita bercakap tentang isu hak-hak keistimewaan Melayu yang telah dicabul.....tidak kah kita terfikir yang kita sendiri secara langsung atau tidak yang mencabulinya hak melayu dengan penindasan

setengah orang.....menggunakan hak melayu dan isu2 sensitif untuk kepentingan sendiri.......

kekuatan dan semangat melayu akan terhakis apabila ketamakan,
kerakusan menguasai diri...
kuat keislaman kita maka kuat lah asas melayu kita

sama-sama lah kita kembali ke asas perjuangan....mudah-mudahan

wasalam
Anonymous said…
dr maza ..wahabi
Anonymous said…
sila baca artikel ini..

http://abu-syafiq.blogspot.com/2008/10/asyeikh-asy-syowiy-al-maliky-sifatkan.html

Pilihan Pembaca

10 Buku Paling Kontroversi Di Malaysia

Di bawah ini saya senaraikan 10 buah buku yang pada perkiraan dan pendapat saya, merupakan buku-buku yang penuh dengan kontroversi serta memberi impak besar ke atas masyarakat Malaysia, baik dari aspek politik, agama mahu pun perkauman. Saya mengalu-alukan sebarang komen daripada tuan-tuan sekiranya terdapat penambahbaikan dalam senarai ini. Harap maklum. 10 Buku Paling Kontroversi Di Malaysia 1. Falsafah Takdir (1932) : Pendita Za'ba 2. Dilema Melayu (1970) : Mahathir Mohamad 3. Aurat Muhammadiyah Pegangan Darul Arqam (1985) : Ashaari Muhammad 4. Hadis : Satu Penilaian Semula (1986) : Kassim Ahmad 5. 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM (1998) : Khalid Jeffry 6. Shit (1999) : Shahnon Ahmad 7. Khairy Jamaluddin Bakal Perdana Menteri? (2004) : Yahaya Ismail 8. The March To Putrajaya (2010) : Kim Quek 9. Menuju PAS Baru (2010) : Mujahid Yusuf Rawa 10. Interlok (Versi 2010) : Abdullah Hussien .

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil...

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca ...