Skip to main content

Ku Li vs DS Najib 2010 : Yang Tersirat Disurat


Isu Royalti Minyak Kelantan
Hasrat Ku Li Yang Tak Terlihat



Saya memetik tulis Datuk A.Kadir Jasin berhubung isu ini dan kemudian saya beri ulasan saya di bawah :

PRESIDEN Umno Mohd Najib Abdul Razak pada 25 Februari berkata dia menyerahkan kepada keahlian parti memutuskan jika tindakan perlu diambil ke atas Tengku Razaleigh Hamzah. Tindakan Ku Li menentang dasar kerajaan pusat mengenai tuntutan royalti minyak/gas oleh kerajaan Kelantan dilaporkan mendapat bantahan beberapa orang ahli Majlis Tertinggi Umno. Mereka mempersoalkan “kekebalan” bekas Naib Presiden Unmo itu. Mohd Najib menyatakan pendirian itu ketika ditekan oleh pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MT. Nampaknya, Mohd Najib sama ada mahu mencari jalan selamat mengelakkan konfrontasi dengan Ku Li atau dia mahu ahli Umno membantunya menamatkan riwayat politik Ku Li.

Umno sudah biasa dengan taktik main selamat Mohd Najib. Tetapi perlu disebutkan juga yang Ku Li telah mencuba menyekat Mohd Najib daripada mengisi jawatan presiden dalam pemilihan Umno tahun lalu tetapi gagal. Sebagai veteran terakhir Umno yang masih cergas dalam politik dan mewakili sebuah kerusi Parlimen, Ku Li mungkin berasa dia tidak akan rugi apa-apa dengan tindakannya itu. Kalau dia dikenakan tindakan oleh Umno, dia tetap akan menjadi hero kepada sesetengah orang dan pihak. Bagi ahli dan penyokong Umno Kelantan, isu ini umpama telan mati ibu, luah mati bapa.

Tetapi sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, Mohd Najib tidak boleh berdiam diri membenarkan seorang ahli parti menentang dasar parti dan kerajaan secara terbuka, apatah lagi di saat-saat Umno dilihat sebagai sedang mengalami pemulihan dan pembangkang semakin kelam-kabut.

Serentak itu Umno dan Pas berdepan dengan kepelbagaian suara Melayu/Islam yang semakin lantang dengan penubuhan Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Kuala Lumpur Sabtu lalu (27 Feb.). Maka bagi seorang pembesar Umno seperti Ku Li bersekongkol dengan parti lawan adalah bukan alang-kepalang kesalahan. Kalau Mohd Najib tidak bertindak tegas dan pantas, dia akan dianggap tidak tegas dan mungkin pembesar Umno dan Barisan Nasional lain mungkin mengikut langkah Ku Li memberontak. Inilah dilema Mohd Najib. Apatah lagi, Ku Li bukan orang lain, tetapi antara guru yang diamanahkan oleh Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, untuk mendidiknya.

Jika berlaku konfrontasi terbuka antara Mohd Najib dan Ku Li, ia adalah perlawanan yang cukup menarik.

1. Ia berupa perlawanan antara murid dengan guru. Pasti ada sebab Abdul Razak menghantar anaknya yang baru pulang dari belajar di England berguru dengan Ku Li di Petronas di mana Ku Li adalah pengerusinya;

2. Sama ada kerana keturunan, kebijaksanaan atau ketentuan nasib si murid telah menjadi lebih berkuasa daripada guru;

3. Perlawanan kali kedua setelah Ku Li gagal mencabar Mohd Najib untuk jawatan Presiden Umno pada tahun 2009. Ku Li tidak memperoleh cukup kuota pencalonan bahagian untuk bertanding;

4. Perbezaan pendapat dalam Umno mengenai isu royalti minyak ini akan memberi kesan langsung dan besar kepada keputusan pilihan raya umum akan datang di Kelantan;

5. Cabaran Ku Li ini adalah sesuatu yang Mohd Najib perlu tangani dengan berhati-hati kerana walaupun Ku Li tidak lagi mempunyai kedudukan dalam kepemimpinan tertinggi parti, tetapi dia masih dihormati ramai;

6. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Ku Li dianggap sebagai pelindung hak Melayu dan antara beberapa kerat pembesar Umno yang masih berani bersuara;

7. Ku Li pernah menjadi putera mahkota politik Umno selaku naib presiden termuda di era Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn. Dia kenal benar siapa Mohd Najib;

8. Ku Li menjadi kuasa di belakang gerakan menjatuhkan kerajaan Pas Kelantan dan mengembalikan pemerintahan Umno pada tahun 1977;

9. Antara 1977 dan 1987 Ku Li menjadi peneraju pembangunan negeri Kelantan di bawah Pelan Pembangunan Negeri Kelantan;

10. Dia tentu sedar dengan hasil minyak yang lebih besar, Kelantan boleh dimajukan semula seperti zamannya dahulu. Kalau dia memihak kepada Pas, kerajaan Pas Kelantan pasti akan meminta nasihatnya;

11. Dia membantu menjatuhkan kerajaan BN Kelantan dan menaikkan semula Pas dalam pilihan raya umum 1990 apabila parti barunya, Parti Melayu Semangat 46 (S46) bersekongkol dengan Pas. Atas sebab itu, Pas sentiasa bersimpati dengan Ku Li; dan

12. Zaman Ku Li menerajui pembangunan Kelantan antara 1977 dan 1987 dianggap sebagai zaman keemasan Umno Kelantan.

Soalnya adakah pendirian beliau mengenai isu royalti minyak ini berupa episod kedua dan terakhir cabarannya terhadap Mohd Najib? Ku Li tentunya sedar bahawa sama ada dia menjadi duri dalam daging kepada Umno atau dipecat, dia tetap akan menjadi wira di mata ramai ahli Umno dan orang Melayu. Pada usianya sekarang, dia tidak akan rugi apa-apa.

Bagi Mohd Najib pula, bagaimanakah dia mengharapkan keahlian Umno memberi kata putus mengenai Ku Li? Apakah caranya bagi ahli Umno yang berjuta bilangannya itu menyatakan pendirian mereka mengenai tindak-tanduk Ku Li? Secara tidak langsung, keahlian Umno, melalui mesyuarat agung bahagian awal tahun lalu, telah menyatakan pendirian apabila mereka memberi sokongan sebulat suara kepada Mohd Najib dan menolak pencalonan Ku Li.

Jadi, adalah tidak mustahil bahawa Ku Li menggunakan isu royalti minyak ini untuk memberi kesempatan terakhir kepada dirinya dan kepada Mohd Najib untuk menentukan masa depannya dalam Umno dan BN.

Dia (Ku Li) sama ada kekal dalam Umno sebagai melukut di tepi gantang dan duri dalam daging atau menjadi “man of the hour” dipecat daripada Umno.


Ulasan Saya

1. Pertembungan "kebenaran" yang dibawa antara Ku Li dengan DS Najib harus segera ditamatkan dengan cara halus dan baik. Kita akui - isu royalti, sama ada DS Najib yang betul atau Ku Li yang benar - ia tetap memberi kemenangan moral kepada Ku Li. Ku Li tetap akan menjadi wira kepada rakyat Kelantan - itu jelas. Kerusi Parlimen Gua Musang yang disandangnya tidak mungkin mampu dikecapi orang lain, kecuali menanti kematian beliau sahaja.

2. Secara realitinya, dari segi sejarah DS Najib bukanlah tandingan Ku Li - sebagai guru politik kepada DS Najib, Ku Li tahu benar akan kelemahan dan kekuatan DS Najib, lantaran itu adalah tidak wajar untuk melagakan DS Najib dengan Ku Li. Jika sebelum ini kita telah menyaksikan pertembungan dahsyat antara Mahathir dengan Pak Lah yang mengakibatkan UMNO kalah teruk dalam PRU ke-12, maka adalah sesuatu yag mengecewakan andaikata konflik antara Ku Li dengan DS Najib berlarutan sehingga PRU ke-13 dan tidak segera diselesaikan.

3. Kita akui DS Najib berada dalam dilema - apakah tindakan yang harus dilakukan terhadap Ku Li? Mengheretnya ke Jawatankuasa Lembaga Disiplin UMNO? atau membiarkan Ku Li terus-menerus membicarakan soal royalti minyak Kelantan sehingga menguntungkan PAS dan pembangkang. Jawapannya mudah - pentadbiran DS Najib tidak perlu rasa tertekan dan mudah menerima hasutan daripada menteri-menteri tertentu, agar Ku Li dikenakan tindakan disiplin - pada hemat saya biarkanlah Ku Li bersuara, sudah sekian lama beliau mengharapkan dan mengidamkan suatu platform untuk bercakap dan berucap melalui hati nuraninya, secara jujur dan berterus-terang, namun demikian, tiada seorang pun di dalam UMNO yang mahu memberi peluang itu - seolah-olah pandangan serta buah fikiran beliau tidak diperlukan oleh negara dan parti. Hal yang sama pernah berlaku ke atas Tun Mahathir, sewaktu Pak Lah mengambil alih kepimpinan negara - Mahathir disisih dan diketepikan, baik dari segi pandangan mahu pun dari segi peranan. Maka, sudah tentulah beliau akan mencari isu tertentu untuk kembali bersuara dan memberikan pandangannya secara berterus-terang - ini adalah sifat lumrah bagi mana-mana tokoh besar dalam kepimpinan negara yang telah bersara. Mereka sedikit sebanyak mahu dihargai dan diberi peranan dalam membangunkan negara dan bangsa. Inilah yang sebenarnya sedang dihadapi oleh jiwa Mahathir dan Ku Li yang kita semua tidak nampak.


Dalam hal royalti minyak dan Ku Li, suka saya menyalahkan diri kita sendiri. UMNO seolah-olah telah alpa terhadap kewujudan ahli Parlimen Gua Musang yang hebat ini - kita memandang rendah dan sering berburuk sangka terhadap beliau. Malah, lebih malang lagi sewaktu DS Najib dinobatkan sebagai Perdana Menteri, kita sudah mendengar "cakap-cakap" agar Ku Li dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Negara, namun demikian kita buat-buat tidak tahu, dan memandang enteng cadangan tersebut. Inilah masalah kita, masalah UMNO dan masalah Barisan Nasional. Kita tidak mahu merapatkan hubungan antara kepimpinan UMNO yang lama dengan kepimpinan UMNO yang baru, agar UMNO menjadi lebih kuat.


Apabila Pak Lah membina benteng pemisah antara beliau dengan Mahathir pada satu ketika dahulu, maka Mahathir mula terasa tersisih dan tidak dihargai, maka begitu jugalah dengan Ku Li! DS Najib merupakan anak didiknya, maka mengapa perlu menyisihkan beliau daripada politik arus perdana? Ku Li bukan mahu menjadi Pedana Menteri (seperti Anwar Ibrahim) , sebaliknya Ku Li mahu membuktikan bahawa beliau masih mampu menabur jasa kepada agama, bangsa dan negara, maka beliau perlulah diberikan peranan yang sewajarnya. Jika UMNO menyisihkannya, maka beliau akan mencari platform lain untuk bersuara dan berjuang, hal ini adalah berpunca daripada kegagalan UMNO sendiri yang tidak peka bagi menyediakan platform untuk beliau memberikan pandangan dan buah fikirannya demi membagunkan negara dan bangsanya. Malah, harapan Ku Li untuk sama-sama membangunkan negara dan bangsa hampir berkecai tatkala beliau tidak diberi peranan yang sewajarnya sebagai seorang ahli UMNO yang veteran dan pakar ekonomi dalam pentadbiran DS Najib - sekurang-kurangnya beliau boleh dilantik sebagai Pengerusi GABEM (Gagasan Bertindak Ekonomi Melayu) atau pun Penasihat Ekonomi Negara. Melalui cara ini Ku Li akan terasa lebih dihargai dan dihormati. Namun demikan, kita memandang kecil hal-hal seperti ini.


Secara peribadi - sekarang nasi sudah menjadi bubur! Apa-apa yang telah dilakukan oleh Ku Li pada saat ini - adalah salah kita sendiri, kita menyisihkan beliau dan menganggap beliau merupakan seorang ahli politik yang sudah tua dan tidak berguna, sedangkan Ku Li benar-benar berharap semoga di bawah pentabdiran DS Najib, beliau akan diberi peranan yang penting sebagai salah seorang ahli UMNO veteran yang mampu menyumbang tenaga dan buah fikiran kepada pembangunan dan kekuatan politik orang Melayu pada masa akan datang- sepertimana harapan Mahathir terhadap kepimpinan Pak Lah, maka begitu jugalah harapan Ku Li terhadap kepimpinan DS Najib. Justeru itu, ingat- ingatlah, UMNO jangan sekali-kali menyisihkan Ku Li dan ahli-ahli UMNO veteran yang lain, termasuk Pak Lah, Mus Hitam dan Tun Daim. Semoga Allah Selamatkan UMNO. Wallahualam.

Gambar : Penulis bersama Ku Li.

Comments

Anonymous said…
sebagai pengundi akar umbi dalam Parlimen Gua Musang, DUN Galas, Ku Li tak lebih daripada " Tunggul Buruk" @ " Banir ". Siapalah Ku Li di sisi pengundi muda?..begitu sukar dan teramat jarang bersua muka di dalam kawasan. Kalau KPI yang diperkenalkan oleh PM ingin dijadikan ukuran... Ku Li ni teramat jauh ketinggalan untuk mencapai standardnya sebagai wakil rakyat yang mesra rakyat.
Pendirian dan pandangan yang diambil oleh Ku Li dalam hal Royalti adalah teramat jelas hanyalah ingin mengaut keuntungan peribadi... rakyat marhain dalam kawasannya sudah berpuluh tahun tak terbela...fikiran masih terkongkong dengan darah keturunannya....makin parah lagi..ADUN Nenggiri dan ADUN Paloh mengambil pendirian sama dengan bossnya demi politik poket sendiri... di mana rakyat sekarang.????
wanbaki said…
salam Azli,
Saya bersetuju dengan Anon 11.25PM. Pada saya Ku Li ada hak untuk bersemuka dengan DS Najib dan juga boleh berbincang dengan pihak yang sepatutnya. Adakah perlu Ku Li menggunakan platform pembangkang untuk membakar rumahnya sendiri.
Sudah banyak perkara yang dilakukan Ku Li yang merosak kan parti..Natijah nya adalah UMNO.
Ku Li juga boleh bercakap di perhimpunan Agong Umno. Banyak lagi platform yang boleh di suarakan tapi beliau sendiri yang terjun ke dalam lumpur. Sudah banyak kali lumpur di palitkan kepada UMNO.

Banyak perbezaan antara Tun dan Ku Li. Tun lebih gentleman bila keluar parti dan tikam dari luar sedangkan Ku Li sedang memamah batang tubuh sendiri. Kenapa Ku Li tak saja keluar parti. Kenapa? Mungkin ada sesuatu?
Tidak dinafikan yang Ku Li juga ada peranan dalam kerajaan dan dan jasa kepada negara.
Tetapi sedarkah kita bila BN tumbang di kelantan 1990. Inilah jasa Ku Li. Di bawah kepimpinan PAS negeri kelantan tidak berkembang maju seperti negeri lain sedangkan orang kelantan yang berjaya di seluruh negara.
Namun bila Ku Li menyertai kembali UMNO beliau tak mampu unutk merampas kembali Kelantan kepada BN. Kekalahan BN di kelantan sepatutnya dipertanggungjawabkan keatas beliau. Tetapi UMNO lebih bertoleransi.
Bila isu royalti minyak ini Ku Li seperti cuba untuk membayar hutang jasa kepada rakyat kelantan. Mungkin Ku Li tahu apa yang sebenarnya berlaku tetapi juga tahu bagaimana unutk menganbil kesempatan...
Anonymous said…
hang pi jumpa ku li ni...
Ujang said…
SUdah sampai masanya Ku Li bertanya pada dirinya sendiri...sebagai seorang veteran, ada platform yang sesuai untuk beliau nyatakan pendirian berkaitan isu royalti minyak, bukan sekadar mengeruhkan lagi suasana.
Saya bersetuju dengan komen wanbaki juga anon 1125 pm dan saya yakin Ku Li ada agenda tersendiri disebalik isu royalti minyak ini.
Masih belum terlambat buat Ku Li untuk sama2 memperteguhkan kedudukan UMNO...

UB44
azlishukri said…
terima kasih semua
Mengambil tindakan disiplin dalam apa jua bentuk kepada Ku Li sebenarnya lebih kepada pucuk di cita ulam mendatang kepada Ku Li. Tindakan UMNO akan memberi semula 'nafas' kepada nyawa nyawa ikan politik Ku Li yang sudah semakin dilupakan.

Di pihak pembangkang, Ku LI hanya diperalatkan dan tidak akan diangkat setinggi manapun kecuali untuk seketika sebelum 'dihempas' semula ke tanah. PAS tidak akan memberi layanan istimewa kerana takut pisang berbuah dua kali, lihatlah kerenah Ibrahim Ali yang diibaratkan 'kacang lupakan kulit' oleh PAS.

Adalah lebih baik Ku Li dibiarkan bersuara atau dipujuk dengan cara yang lebih halus berdasarkan 'selera dan citarasanya sebenar'- faham faham sahajalah kalau anak kecik menangis, diberi gula atau mainan - senyaplah dia'.

Dalam hal ini Najib tidak kurang idea untuk menjinakkan Ku Li seperti Najib melayan Tun Mahathir yang dilihat kembali menyokongnya dalam banyak isu.

Jauh lebih penting, Najib dan UMNO harus mengorak ke depan memberi pelduang kepada ramai lagi bakat bakat muda dan baru yang berpotensi untuk menjadi pelapis kepada kepimpinan yang sedia ada sambil membuang beberapa muka lama yang berdaki karat seperti Nazri dan Johari.

Jika Najib asyik menoleh ke belakang dan 'beremosi' dengan orang seperti Ku Li dan beberapa veteran lain, UMNO tidak akan ke manapun... Zaman Ku Li dan seagkatannya sudah berlalu, jika cuba cuba merelevankan diri, itu sekadar mengada ngada.
azlishukri said…
terima kasih komen tuan2 semua.

Pilihan Pembaca

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil...

Isu Kristian Agama Rasmi : Jangan Cepat Hentam Utusan Malaysia dan BigDog

Saya berfikir isu "Kristian Mahu Menjadi Agama Rasmi Malaysia" perlu dilihat secara holistik. Persoalan pengembangan agama Kristian di Malaysia sudah dibicarakan secara serius oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani hampir 10 tahun yang lalu. Sekiranya kita masih ingat, pada suatu ketika dahulu kecoh berkenaan begitu ramai orang Melayu masuk Krtistian dan pendedahan seorang Paderi Besar Kristian dari Sabah yang sudah memeluk Islam berhubung strategi Paderi-Paderi Kristian dalam usaha mengkristian para penduduk Sabah, khususnya yang tinggal dipedalaman. Bahkan terdapat kerjasama antara organisasi Kristian di Singapura dengan organisasi Kristian di Malaysia dalam menyediakan sumber kewangan untuk melakukan kristianisasi di negara ini. Persoalan yang perlu diberi penekanan ialah : 1. Sejauh mana organisasi Kristian di Malaysia mengembangkan agama mereka dalam kalangan penganut Islam? Seperti yang kita sedia maklum, agama lain boleh diamalkan di negara ini, tetapi tida...

Yang Mana Satu?

Fikir-fikirkan...yang mana satu Allahyarham Baharuddin Ahmad, Baharuddin meninggal di KLCC, tetapi gambar yang dikatakan sebagai arwah itu diambil di Hentian Puduraya, cuba lihat gambar kedua tersebut, tertera di belakangnya tertulis Puduraya. Baca juga penjelasan menarik daripada sahabat saya di sini... Double Y