Skip to main content

Shahidan Kasim 2009 : Apabila Malam Terlelap


Shahidan Kasim 2009
Apabila Malam Terlelap


KANGAR: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan hanya satu jawatan mufti diwujudkan di negara ini bagi mengelakkan pertikaian dan perselisihan pendapat sesama mereka. Katanya, pada masa ini setiap negeri mempunyai mufti dan perbezaan pandangan di kalangan mufti-mufti akan menimbulkan keresahan rakyat kerana isu agama adalah sensitif.

"Perkara ini perlu dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja untuk dibincangkan pada mesyuarat akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini selepas membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) berhubung kenyataan Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Zamihan Mat Zain AlGhari mengenai bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Zamihan baru-baru ini mendedahkan, berdasarkan pemeriksaannya, bidang pengkhususan Dr Mohd Asri melibatkan Bahasa Arab dan Sastera dan pendedahan itu disifatkan Shahidan sesuatu perkara yang mengaibkan.

Shahidan juga berharap peraturan baru diwujudkan berhubung pelantikan mufti termasuk memastikan mereka mempunyai pendidikan bertaraf doktor falsafah (PhD) dan hafal al Quran selain mahir dalam hal ehwal syariah.

Sementara itu, Shahidan berkata laporan kepada JAIPs dibuat bagi membersihkan nama baik kerajaan negeri Perlis yang telah melantik Dr Mohd Asri sebagai Mufti Perlis sebelum ini.

Pengarah JAIPs Malek Hussin yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) berkata laporan Shahidan itu akan dikaji dan dipanjangkan ke peringkat MAIPs termasuk menyembah maklum kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs.

Turut mengiringi Shahidan membuat laporan itu ialah bekas Pengarah JAIPs, Md Sadik Ismail.

Semalam, Shahidan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tambun Tulang membuat laporan di Balai Polis Kangar berhubung kenyataan Zamihan selain memorandum oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kepada Yang diPertuan Agong berhubung isu Dr Mohd Asri. BERNAMA


Ulasan Saya : Sudah lama saya memikiran apa yang telah dikatakan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim di atas. Sememangnya sudah sampai masanya semua mufti yang bakal dilantik pada masa akan datang haruslah dalam kalangan tahfiz al-Quran dan penghafal hadis. Malah, satu ketika dahulu, saya pernah mencadangkan agar silibus pengajian Islam di Malaysia mestilah dirombak dengan memberi penekanan ke atas melahirkan graduan pengajian Islam yang hafal al-Quran dan hadis setelah mereka menamatkan pengajian di universiti.


Yang berlaku pada hari ini semakin membimbangkan - tahap penguasaan bahasa Arab dalam kalangan graduan pengajian Islam kita di Malaysia masih boleh dipertikaikan, malah sijil bahasa Arab negara kita juga baru-baru ini ditolak oleh Universiti al-Azhar, gara-gara kelemahan pelajar kita dalam menguasai bahasa Arab dengan baik ketika menyambung pelajaran di universiti tersebut. Semua ini memerlukan satu transformasi dalam sistem pengajian Islam dan syariah di universiti-universiti tempatan. Sesuatu harus dilakukan oleh pihak kerajaan.


Mahu atau tidak mahu, pelajar-pelajar Melayu harus dilatih untuk menghafal al-Quran sejak di bangku sekolah lagi dan apabila mereka tamat belajar di tingkatan lima, sekurang-kurangnya separuh al-Quran sudah dihafal di luar kepala. Hal ini tidak mustahil untuk dilakukan - kerajaan boleh memulakan program ini di sekolah-sekolah agama terlebih dahulu. Yang menjadi masalah pada hari ini ialah - hafazan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah hanya diambil berdasarkan ayat-ayat terpilih sahaja dan bukan satu program yang menyeluruh untuk menghafal seluruh isi al-Quran di sepanjang sessi persekolahan mereka selama 11 tahun itu (6 tahun sekolah rendah dan 5 tahun sekolah menengah).


Hal yang sama juga berlaku di peringkat pengajian Islam di universiti-universiti tempatan. Yang kita lahirkan pada hari ini hanyalah ustaz-ustaz muda yang menghafal beberapa surah al-Quran sahaja dan bukannya menghayati seluruh kandungan dan isi al-Quran secara holistik melalui hafalan dan penghayatan. Suka saya nyatakan bahawa, seharusnya syarat untuk seseorang menyambung pelajaran dalam jurusan agama di peringkat sarjana muda atau sarjana mestilah bertitik tolak daripada sejauh mana kemampuannya menghafal al-Quran dan bukan hanya melihat gred bahasa arab yang diperolehnya di peringkat SPM atau STPM. Dan lebih malang, di Malaysia, jurusan hafaz al-Quran hanya berada di sekolah-sekolah pondok atau di mahaad-mahaad tahfiz swasta sahaja, sebaliknya tiada pula usaha menyeluruh ke arah menaiktarafkan bidang tahfiz al-Quran sehingga ke universiti. Kita tidak mahu hanya ada Diploma Tahfiz al-Quran semata-mata, sebaliknya semua pelajar yang mengambil jurusan agama di peringkat sarjana muda wajib hafal al-Quran.


Saya mengambil contoh Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya - sudah tiba masanya akademi tersebut meletakkan syarat yang ketat sebelum graduannya lulus membawa balik segulung ijazah sarjana muda pengajian Islam. Tiada masalah jika diwajibkan bagi penganugerahan segulung ijazah usuluddin atau syariah seseorang graduan itu mestilah menghafal sekurang-kurangnya 15 juzuk al-Quran, manakala graduan yang mengambil jurusan ilmu wahyu seperti di UIA - diwajibkan bagi mereka menghafal seluruh al-Quran terlebih dahulu sebelum dianugerahkan ijazah dalam jurusan tersebut. Adalah pelik jika seseorang mengambil jurusan ilmu hadis, tetapi hanya menghafal 10-20 buah hadis sahaja, manakala seseorang yang mengambil jurusan ilmu wahyu di UIA hanya menghafal 5-10 surah-surah penting sahaja - jadi bagaimana mungkin kita berupaya melahirkan generasi al-Quran?


Hakikatnya yang kita lahirkan pada hari ini ialah graduan agama yang hanya berminat untuk menjadi ahli politik, mengajar sebagai seorang guru atau menjadi pakar motivasi. Realitinya, kita tidak melahirkan generasi ulul albab - yang membongkar isi al-Quran dan menemui ilmu-ilmu baharu melalui kefahaman dan penghayatan al-Quran, seperti mana yang dilakukan oleh generasi terdahulu. Perhatikan, tokoh-tokoh besar Islam yang lampau menghasilkan karya-karya yang unggul dan agung serta dihormati oleh dunia barat adalah bertitik tolak daripada penghayatan mereka terhadap al-Quran. Perlu juga diingatkan bahawa - semua tokoh unggul Islam yang lampau seperti Ibn Sinar, Al-Ghazali, As-Syafii, Ibn Kaldun, Ibn Isyhak, Ibn Taimiyyah, Ar-Razi dan banyak lagi telah menghafal al-Quran seawal usia 10 tahun! Dan sesungguhnya, al-Quran hanya boleh benar-benar dihayati dan difahami melalui dua kaedah penting ini, iaitu melalui penguasaan bahasa Arab dan penghafalan (kerana penghafalan memerlukan pengulangan, dan pengulangan pula memerlukan pemahaman). Wallahualam.

Comments

joegrimjow said…
ri2 jumpe shahidan kat manchester
die ckp perjuangan die nak bawk mufti masuk krajaan di tolak 'orang'

nak bawak perubahan bukan mudah
harap malaysia MAJU!!
DIN ZS said…
Malaysia adalah negara yang amat unik sekali.

1. Malaysia ada seorang Yang DiPertuan Agong yang dilantik dari raja-raja Melayu.

2. Malaysia ada sembilan raja-raja Melayu.

3. Malaysia ada 3 bangsa utama yang menjadi rakyatnya iaitu Melayu, Cina dan India.

4. Malaysia ada 3 jenis sekolah. Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Tidak ada negara dalam dunia yang mempunyai sekolah mempunyai 3 aliran Bahasa.

5. Malaysia mempunyai 13 mufti. Tiap-tiap negeri ada muftinya sendiri.

6. Malaysia diperintah oleh kerajaan Perikatan gabungan UMNO, MCA dan MIC sejak mula merdeka pada tahun 1957 dan kerajaan BN gabungan beberapa buah parti yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC, GERAKAN, PPP, SUPP, dan beberapa lagi parti di Sabah dan Sarawak mulai tahun 1974. Tidak ada negara lain yang diperintah oleh gabungan parti yang begitu banyak.

Kerana keunikannya, maka ramailah rakyat negeri lain tertarik untuk datang melancong dan mencari rezeki di negara Malaysia yang bertuah ini.
zaidi said…
Hanya sekadar pandangan, tertarik dengan hujah lepasan pengajian Islam dan Ilmu Wahyu yang perlu menghafal AlQuran keseluruhannya.Idea yang bernas tapi perlaksanaan yang mungkin merisaukan pensyarah2..

1. Perlu diambil kira juga peranan dan tanggungjawab pensyarah.adakah hanya pelajar sahaja yang perlu menhafaz AlQuran?bagaimana pula dengan guru2 dan pensyarah2?adakah mereka dapat menghafaz Quran secara keseluruhan sebelum mengajarkan kepada pelajar2nya..?
Persoalan pertama.

2. Sistem pendidikan perlu diubah untuk melaksanakan dasar tersebut yg sudah pastinya memerlukan tanggungjawab yg bukan ringan dan mudah.

3.Apapun saya menyokong pndpt saudara itu.cuma ingin menimbulkan persoalan sedikit.

SYUKRAN
perfectwater75 said…
Salam,

Saya sokong saranan tuan!

thx!
Unknown said…
Salam sdr.

Saya amat bersetuju dan menyokong pandangan saudara. Sudahlah ramai Raja dan ramai Mufti dan perselisihan pendapat di kalangan mereka akan mengelirukan umat.
http://www.malaysiakini.com/news/113340 said…
http://www.malaysiakini.com/news/113340
azlishukri said…
zaidi - saya sependapat dengan tuan, pensyarahnya juga perlu menghafal al quran juga.

perfecwater - sama2 kita berdoa.
hans said…
malaysia gawat dengan berbagai2 berita pelik sejak kebelakangan nih
cikgunizar said…
shahidan kata Sunnah Perlis @ Ahlus Sunnah wal Jamaah.. tp kena amalannya berbeza dengan lain2 negeri yang juga golongan Ahlus Sunnah?

Sunnah buta tanpa mazhab kepada mana-mana 4 Imam Besar Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah itu sebenarnya Wahabi atau Salafi.

Pilihan Pembaca

Kabinet Najib : Masih Kenal Saya?

NOSTRADAMUS SUDAH MATI! Hampir semula ramalan dan tekaan daripada para pemerhati politik dan ahli-ahli politik telah gagal membaca betapa dalamnya hati nurani DS Najib bagi memilih senarai ahli kabinetnya sebentar tadi. Saya percaya, beberapa hari yang lalu, lobi melobi telah berlaku, malah tidak kurang juga ratusan SMS berlegar diruang udara, menceritakan siapa yang bakal dilantik ke kementerian tertentu. Namun demikian, saya percaya pasti ramai yang terkejut dengan barisan kabinet DS Najib pada kali ini, kerana sangat jelas bahawa DS Najib tidak terpengaruh dengan sesiapa pun ketika beliau membuat keputusan melantik ahli jemaah menterinya. Hal ini sangat jelas, tatkala semua ramalan awal dan ramalan di saat-saat akhir turut tersasar jauh daripada hakikatnya. DS Najib memang bijak, maka tidak hairanlah mengapa Tun Mahathir menginginkan beliau menjadi PM, dan terbuktilah juga mengapa Anwar Ibrahim selama ini begitu bimbang andaikata DS Najib menerajui negara. Sesungguhnya, banyak tin...

Terima Kasih ITNM!

TERIMA KASIH ITNM! Peraduan "Beli Buku ITNM & Menangi Hadiah Bernilai RM100,000" telah pun diketahui keseluruhan pemenangnya semalam. Saya mengucapkan tahniah kepada para pemenang. Namun demikian, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih secara peribadi kepada Institut Terjemahan Negara kerana memilih slogan saya sebagai salah seorang pemenang untuk hadiah ke-3 pertandingan tersebut dengan membawa wang tunai RM1000 (Seribu). Saya agak terkejut pada awalnya, hal ini adalah kerana saya cuma menghantar tiga atau empat penyertaan sahaja (jika tidak silap saya) sewaktu berada di tapak Pesta Buku Antarabangsa di PWTC bulan April lepas, itu pun slogan tersebut ditulis secara main-main sahaja, selepas kawan baik saya saudara Khairul Anuar Manshor memperkenalkan buku terjemahan tulisan Presiden Amerika Syarikat, bertajuk, "Keberanian Menggapai Harapan". Hakikatnya, sehingga kini pun saya masih tidak ingat apakah slogan yang telah saya tuliskan itu. Walaubagaiman...
Mukhriz Telah Menang! Oleh Muhammad Azli Shukri Saya bertemu dengan Datuk Mukhriz Mahathir di Parlimen baru-baru ini, ada sesuatu yang telah lama terbuku dalam benak dan fikiran saya, agar isu ini dapat diselesaikan dengan segera antara saya dengan Mukhriz. Sebagai seorang sahabat baik dan penyokong setia beliau, saya rasa bertanggungjawab untuk menyelesaikan apa-apa yang sekian lama bermain dalam kotak minda saya. Petang itu, setelah Mukhriz bersetuju meluang masa untuk berjumpa, maka saya bergegas ke Parlimen. Tidak sabar untuk saya mendapatkan kepastian daripada mulut beliau sendiri, setelah tersebar fitnah paling ganas terhadap dirinya di Internet sejak belakangan ini. Kepastian dan kebenaran harus segera saya cara dan temui, jika tidak – saya tidak bisa tidur malam. Hampir dua jam saya berbual tentang pelbagai isu, bermula daripada isu bahasa, hinggalah ke isu politik dan ekonomi, semuanya beliau jawab dengan penuh meyakinkan – tiada ragu-ragu – tiada rasa haru biru – semua dijawa...